03 Jun 2015

Usah abaikan sakit sendi

Berbanding penyakit lain, sakit sendi sering dianggap remeh kerana dirasakan tidak berbahaya hingga menyebabkan kematian.

Tanpa menyedari penyakit dideritai ialah Artritis Reumatoid (RA), pesakit lambat mendapatkan rawatan, menyebabkan usaha mengubatnya sukar. Ini kerana RA mengambil masa lama untuk menunjukkan gejala ketara.

Sekitar lima daripada 1,000 individu di Malaysia dan 23.7 juta individu di seluruh dunia menghidap RA. Ia penyakit serius dan progresif yang boleh menyebabkan kerosakan sendi yang tidak boleh dipulihkan. RA ialah penyakit auto imun sistemik kronik yang menyakit dan melumpuhkan.

"Individu dengan artritis akan mengalami kesakitan, bengkak dan kejang pada sendi, terutama di tangan, kaki dan lutut. Kajian menunjukkan individu dengan RA adalah 40 peratus lebih berkemungkinan untuk mengalami kesihatan am yang sederhana atau teruk berbanding individu tanpa RA.

"Sebagai tambahan kepada simptom yang menyakitkan dan kesan seterusnya ke atas kualiti hidup, RA adalah penyakit jangka masa panjang yang boleh membebankan penyakit dari segi ekonomi," katanya.

Meskipun RA boleh menyerang semua peringkat umur, ia biasanya berlaku dalam lingkungan umur 40 hingga 70 tahun serta menyerang dua hingga tiga kali lebih ramai wanita berbanding lelaki.

Pesakit RA mempunyai taraf fungsi lebih teruk daripada mereka yang mempunyai osteoartitis dan kira-kira enam kali lebih berkemungkinan untuk menanggung caj perubatan berbanding mereka yang tidak mempunyai artritis.

Sendi diserang mengalami kerosakan dalaman dan sekitar tulang. Tiada rawatan khusus untuk menyembuhkan penyakit ini. Pesakit memerlukan rawatan yang bukan hanya untuk menangani kesakitan dan keradangan, juga mengekang proses perkembangan penyakit.

Lebih teruk lagi, RA juga dikaitkan dengan penyakit lain termasuk penyakit kardiovaskular, jangkitan kuman dan masalah kesihatan mental.

Dalam kalangan masyarakat kita, kesedaran dan pengetahuan mengenai RA masih pada tahap rendah. Lazimnya pesakit tidak menghiraukan gejala penyakit itu kerana menyangka ia sakit sendi biasa. Mereka hanya mendapatkan rawatan apabila sakit semakin teruk.

Baca juga :

0 comments: