31 Oktober 2010

Cuci tangan cegah jangkitan

Ketika seluruh dunia dilanda kebimbangan kemunculan pelbagai wabak, banyak pihak mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengambil pelbagai langkah berjaga-jaga untuk mengelak jangkitan.

Menyedari akan kepentingan penjagaan kesihatan diri, rangkaian penjagaan diri antibakteria Antabax dan Kementerian Kesihatan baru-baru ini melancarkan program kesedaran dan pendidikan bersama menerusi Kempen Kebersihan Tangan 1Malaysia sepanjang bulan Oktober ini.

Usaha murni itu juga turut mendapat sokongan Hospital Sungai Buloh dan juga hospital-hospital di seluruh negara, pengusaha restoran dan 33 buah sekolah.

Kempen tersebut dijangka membabitkan penyertaan lebih dua juta orang dari pelbagai peringkat. Ia juga dipercayai menjadi kempen kebersihan tangan haisl kerjasama jabatan kerajaan dan swasta yang terbesar di negara ini.

Kempen tersebut menumpukan perhatian kepada golongan muda termasuk murid-murid sekolah di mana golongan tersebut yang paling mudah terdedah dengan risiko jangkitan virus dan penyakit berjangkit.

''Mencuci tangan dengan sabun antara cara yang paling berkesan dan mampu mencegah daripada dijangkiti penyakit,'' katanya pada majlis tersebut.

Katanya, melalui kempen ia menjadikan pelajar dan guru sebagai duta untuk mengelakkan risiko jangkitan dan penyakit melalui udara.

Katanya lagi, kempen melalui sekolah sebenarnya mampu dihebahkan lebih cepat berbanding saluran lain dan konsep mulut ke mulut mampu memberikan latihan, didikan dan kesedaran mengenai aspek kesihatan yang betul.

Selaras isu semasa, kaedah mencuci tangan dengan betul dikatakan mampu mengelakkan masalah wabak HFMD yang kian hangat diperkatakan kini.

Malahan, wabak seperti selesema, batuk dan jangkitan kerongkong yang ketara meningkat akibat cuaca juga bakal berkurangan.

Seeloknya, beliau mencadangkan individu terutama pengguna perkhidmatan awam agar menyediakan tisu, sapu tangan atau sanitizier apabila bersin atau batuk di tempat umum.

''Apabila bersin atau batuk di tempat awam, secara automatik kita menyebarkan virus di udara. Jadi, tutup mulut dan hidung dengan tisu atau sapu tangan.

"Jika tidak ada jangan pula tahan dengan tangan kerana ia digunakan untuk memegang pelbagai barang yang turut digunakan orang ramai sebaliknya bersin pada baju di kawasan ketiak.

''Baju akan menyerap bakteria daripada terawang-awang di udara seterusnya mengelakkan risiko jangkitan pada orang ramai," katanya.

Turut hadir merasmikan kempen tersebut, Pengarah Hospital Sungai Buloh, Dr. Khalid Ibrahim dan Duta produk Antabax, Ziana Zain.

Sementara itu, Pengurus Pemasaran Lam Soon , Carmen Foo memberitahu, Antabax menganjurkan kempen selama sebulan selepas mendapat maklum balas yang memberansangkan.

''Sebagai sebuah jenama Malaysia yang komited terhadap penjagaan kesihatan da kebersihan, kami telah memperuntukan sejumlah dana khas untuk program bagi memastikan mesej menjaga kebersihan tangan di capai dan difahami oleh seluruh rakyat,'' ujarnya .


Baca Lagi...

30 Oktober 2010

Alahan Semasa Mengandung

Alahan semasa mengandung sering dikaitkan dengan muntah-muntah, pening kepala dan perut berasa sebu dan tidak selesa. Keadaan ini biasa berlaku apabila anda baru bangun dari tidur dengan mengalami sedikit pening dan muntah, namun ada juga yang akan mengalaminya sepanjang hari. Keterukan alahan bergantung kepada individu dan ada juga wanita yang bernasib baik yang tiada alahan langsung.


Punca alahan

Punca sebenar alahan sebenarnya masih kurang jelas. Kebanyakan penyelidik percaya yang alahan wanita mengandung disebabkan oleh perubahan fizikal dan hormon pada badan. Ada juga pendapat yang mengatakan alahan mungkin disebabkan oleh ketidak seimbangan paras gula dalam darah.

Bila alahan berlaku?

Kebiasaannya, wanita mengandung akan mengalami alahan dalam trimester pertama. Apabila usia kandungan mencecah trimester kedua, alahan akan beransur-ansur hilang. Walau bagaimana pun, ada sesetengah individu akan mengalami alahan yang berlanjutan sehingga bersalin.

Kebanyakan wanita yang mengalami alahan semasa mengandung akan sedikit sebanyak merasai kesannya pada rutin seharian. Ada yang terpaksa menukar perancangan harian untuk menyesuaikan diri dengan keadaan ini, malah ada yang terpaksa bercuti dari kerja kerana alahan yang terlalu teruk.

Kesan alahan terhadap kesihatan
 
Secara amnya, alahan dalam jangka masa pendek tidak akan menjejaskan kesihatan ibu dan bayi. Jika alahan anda terlalu teruk sehingga apa yang dimakan akan dimuntahkan kembali, bayi berkemungkinan akan kekurangan nutrisi untuk perkembangannya dan kesihatan ibu akan terjejas. Tambahan lagi, ibu akan mengalami dehidrasi (kekurangan air dalam badan). Simptom dehidrasi ialah pening-pening, dahaga dan air kencing sedikit daripada biasa. Jika anda mengalami simptom-simptom ini, anda memerlukan rawatan dengan segera. Ibu yang mengalami dehidrasi biasanya akan diberi cecair dan suplemen tambahan melalui drip.

Cara mengatasi alahan

Makanan

    * Apabila anda sedar di waktu pagi, makan kraker atau biskut dan rehat selama 15 minit, kemudian barulah bangun.

    * Bangun perlahan-lahan dan jangan terus baring selepas makan.

    * Kerap makan snek atau hidangan dalam kuantiti yang kecil supaya perut tidak kosong (contoh: setiap 2 jam) walau pun anda tidak lapar.

    * Makan apa sahaja yang anda mahu tapi elakkan mengambil makanan pedas, berlemak dan bergoreng.

    * Jika anda tidak tahan dengan bau yang kuat ketika memasak, buka tingkap dan kipas. Lebih baik jika orang lain yang memasak.

    * Makan makanan yang sudah sejuk berbanding makanan panas kerana makanan yang sudah sejuk kurang baunya.

    * Hidu bau limau nipis, limau kasturi atau halia boleh meredakan perut yang berasa sebu atau tidak selesa.

    * Elakkan mengambil kafein dan merokok.

Minuman

    * Minum air dengan kerap sehingga 12 cawan sehari.

    * Elakkan minum semasa makan serta sebaik sahaja sebelum dan selepas makan.

    * Pengambilan air halia boleh mengurangkan rasa mual.

Rutin harian

    * Berehat secukupnya kerana alahan akan bertambah buruk apabila kepenatan. Tidur sekejap di siang hari kerana biasanya pada trimester pertama, wanita mengandung kerap berasa letih dan mengantuk.

    * Dapatkan bantuan untuk mengemas rumah dan menjaga anak yang lain. Pastikan anda peruntukkan masa untuk berehat.

    * Bersiar-siar dan lakukan senaman ringan di luar rumah untuk dapatkan udara segar. Buka tingkap rumah untuk pengudaraan yang baik dalam rumah.

    * Elakkan tempat panas kerana kebiasaannya alahan akan bertambah teruk.

    * Jika pengambilan vitamin mengandung anda menyebabkan alahan bertambah teruk, minta nasihat doktor.

    * Bergerak perlahan-lahan dan elakkan pergerakan pantas.

    * Jangan gosok gigi sebaik sahaja lepas makan kerana ini boleh menyebabkan rasa mual.

    * Dapatkan sokongan daripada orang yang rapat (contoh: suami, ibu bapa, rakan)

Bila anda perlu dapatkan nasihat doktor?

    * Cadangan di atas tidak memberikan kesan.

    * Anda muntah lebih dari 3-4 kali sehari dan sebaik sahaja makan, anda muntah.

    * Berat badan anda menurun dengan banyak.

    * Muntah anda mengandungi darah atau berwarna hitam pekat.

    * Anda mengalami simptom-simptom dehidrasi.

    * Anda risau dengan keadaan anda atau merasakan perubahan serius pada kesihatan anda.




Baca Lagi...

28 Oktober 2010

Jejas organ utama

Arthritis tidak hanya serang sendi sebaliknya boleh rosakkan jantung, ginjal selain turut dialami si kecil

APABILA disebut arthritis, tidak ramai dapat meneka dengan tepat bahawa penyakit itu berkaitan sendi. Malah, berapa ramaikah yang tahu penyakit ini bukanlah bersifat setempat atau pada bahagian sendi semata-mata, sebaliknya boleh menyebabkan kerosakan organ penting badan selain boleh dihidapi kanak-kanak.

Pengetahuan yang sebegitu terhad itu menyebabkan penyakit arthritis ini kurang diberi perhatian biarpun pelbagai kempen dan program kesedaran mengenainya diadakan dari semasa ke semasa.

Di peringkat antarabangsa, Hari Arthritis Sedunia diisytiharkan pada 12 Oktober lalu tetapi pelbagai kempen dan program mengenainya terus diadakan sepanjang bulan ini.

Secara umumnya, arthritis merujuk radang sendi. Malah, ada lebih 100 penyakit rheumatik dan lain-lain keadaan yang menyebabkan rasa sakit, kejang dan bengkak pada sendi.

Arthritis turut memberi kesan kepada sistem otot dan tulang (musculoskeletal), terutama sendi yang bertindak menyambung antara dua tulang dan ‘diikat’ oleh ligamen. Fungsi sendi ini dibantu rawan yang menutup permukaan tulang bagi mengelak pergeseran.

Itulah keadaannya bagi insan normal. Malangnya, bagi pesakit arthritis, sendi mereka menjadi tidak normal yang mungkin berpunca daripada rawan terkoyak, masalah jangkitan atau penyakit auto imun (tubuh menyerang sel tubuh) atau kombinasi pelbagai faktor.
Pakar Bedah Ortopedik Hospital Pantai Kuala Lumpur, Dr Kok Choong Seng, berkata bagi kebanyakan jenis arthritis, ia diklasifikasikan sebagai sistemik bermaksud memberi kesan kepada seluruh tubuh.

“Arthritis juga boleh menyebabkan kerosakan pada organ atau sistem tubuh termasuk jantung, paru-paru, ginjal, salur darah juga kulit. Sementara keadaan lain berkaitan dengan arthritis umumnya menjejaskan otot dan tulang.

“Walaupun arthritis lebih banyak ditemui di kalangan mereka yang berusia namun, ia boleh terjadi pada kanak-kanak. Bagaimanapun arthritis pada kanak-kanak kerap kalinya dianggap sebagai masalah kesakitan yang biasa atau disebabkan kecederaan bersukan,” katanya.

Bagaimanapun, bagi ibu bapa yang peka pada perkembangan anaknya, mereka pasti berupaya mengesan perubahan anak menerusi sendi yang bengkak, demam atau ruam yang tidak dapat dipastikan.

“Arthritis di kalangan kanak-kanak dikenali sebagai ‘juvenile arthritis’. Kanak-kanak sebenarnya boleh berhadapan dengan jenis-jenis arthritis yang menyerang orang dewasa namun mereka lebih kerap dikesan dengan juvenile rheumatoid arthritis,” katanya.

Dr Kok berkata, bergantung jenis arthritis, sebahagian daripadanya boleh dirawat misalnya gout manakala yang lain boleh dielakkan.

“Perlu diingat, kualiti hidup tidak terjejas walaupun anda berhadapan dengan arthritis sekiranya mendapatkan rawatan dan menguruskannya dengan baik,” katanya.

INFO: Arthritis yang paling biasa ditemui

1) Osteoarthritis (OA)

Jenis arthritis paling lazim. Di rantau ini OA menjejaskan kualiti hidup antara 10 ke 20 peratus penduduk. Malah di Malaysia, OA yang kerap dikesan adalah OA pada lutut. Umumnya, OA disebabkan rawan tidak lagi elastik menyebabkan ia mudah rosak. Apabila ia koyak, tendon dan ligamen pula meregang ia akan menyebabkan kesakitan. Tulang akan bergeser antara satu sama lain menyebabkan rasa sakit.

2) Rheumatoid arthritis (RA)

Masalah radang yang menyaksikan membran synovial (tisu lembut dalam lutut) terjejas yang menyebabkan rasa sakit dan bengkak. Tanpa rawatan, ia akan menyebabkan kecacatan. RA lebih kerap ditemui pada perempuan berbanding lelaki dan menyerang pesakit berusia 40 tahun ke atas.

3) Infectious arthritis (septic arthritic)

Berlakunya jangkitan pada cecair synovial dan tisu pada sendi yang berpunca daripada bakteria. Ada kalanya disebabkan oleh kulat dan virus. Bakteria, kulat dan virus merebak melalui salur darah daripada tisu yang terjejas dan menjangkiti sendi.

4) Gout

Masalah yang berpunca daripada pengumpulan kristal pada sendi. Kristal daripada asid urik ini terbentuk hasil daripada pecahan bahan-bahan dalam tubuh yang lazim. Pengumpulan asid urik ini dalam sendi menyebabkan gout (gouty arthritis). Biasanya, sendi yang kerap terjejas dengan gout adalah ibu jari kaki dan lutut.

5) Pseudogout Arthritis

Jenis arthritis yang hampir sama dengan gout tetapi puncanya berbeza. Pseudogout arthritis berlaku kerana pengumpulan lebihan kalsium dalam sendi dan kerap ditemui pada sendi lutut.




Baca Lagi...

27 Oktober 2010

Asid perfluoro oktanoik sebabkan tiroid

SEJENIS bahan kimia yang digunakan untuk membuat lapisan tidak lekat pada periuk bertangkai, asid perfluoro oktanoik (PFOA) telah dikaitkan dengan masalah tiroid dalam kalangan orang dewasa.

Para saintis mendapati 25 peratus daripada sejumlah 4,000 orang dewasa di Amerika Syarikat (AS) yang memiliki paras PFOA tertinggi dalam darah adalah dua kali ganda lebih berisiko memperoleh masalah tiroid.

PFOA yang telah dihasilkan sejak lima dekad lalu banyak digunakan dalam pembuatan pelbagai bahan termasuk fabrik dan permaidani. Ia dipercayai memasuki tubuh menerusi diet atau melalui habuk yang disedut masuk ke dalam paru-paru.

Kajian ke atas haiwan mendapati bahan kimia tersebut berpotensi menjejaskan fungsi tiroid yang sememangnya penting untuk mengekalkan kadar degupan jantung.

Selain itu, ia juga membantu menyelaraskan suhu tubuh dan menyokong fungsi-fungsi tubuh yang lain. – Environmental Health Perspectives



Baca Lagi...

26 Oktober 2010

Keguguran Rambut

Botak boleh dielakkan jika setiap individu amal gaya hidup seimbang, jaga pemakanan dan diet.

PENUAAN sering dikaitkan dengan tumpuan kepada kulit wajah sehingga ada yang lupa bahawa rambut juga mengalami masalah penuaan. Malah ada yang menganggap masalah keguguran rambut serius seperti botak hanya dialami oleh mereka yang semakin meningkat usia.

RAMAI lelaki dan wanita yang terpaksa bertarung dengan masalah kekurangan rambut di kepala sering memikirkan mengapa mereka kehilangan rambut dan bagaimana cara untuk memulihkannya.
Kehilangan rambut atau ketipisan rambut telah menjadi isu yang sensitif dan mengecewakan ramai lelaki dan wanita.

Ramai yang menyalahkan kekurangan nutrien, sistem pengedaran kurang baik, dan penyumbatan folikel rambut lalu menggunakan pelbagai kaedah tradisional untuk menangani masalah ini.

Terdapat banyak mitos dan cerita rawatan ajaib yang dikaitkan dengan kehilangan rambut. Namun, berapa banyakkah daripadanya berasaskan fakta sebenar dan berapa banyak pula rekaan semata-mata?

Pakar-pakar Australia menganggarkan bahawa 30 peratus daripada kalangan wanita dan 40 peratus lelaki akan mengalami kehilangan rambut akibat faktor keturunan menjelang usia 40 tahun.

Bagaimanapun, menurut hasil tinjauan kaji selidik membabitkan lebih 700 peserta yang dijalankan menerusi Internet oleh Pfizer Consumer Healthcare, semakin ramai lelaki dan wanita mengalami kehilangan rambut. Keadaan ini amat membimbangkan.

Masalah kehilangan atau ketipisan rambut boleh dialami oleh lelaki dan wanita seawal usia belasan tahun.

Kehilangan rambut disebabkan faktor keturunan (androgenetic alopesia) selalunya bermula antara usia 12 dan 40 tahun dan kira-kira separuh daripada kita mengalami sesuatu bentuk kehilangan rambut menjelang usia 50 tahun.

Meskipun kadar ini agak tinggi, kesedaran mengenai kehilangan rambut di kalangan lelaki dan wanita dan puncanya atau pilihan rawatan yang boleh diperoleh amat kurang.

``Keguguran rambut adalah masalah biasa. Masyarakat kita meletakkan nilai yang begitu tinggi ke atas rambut, menjadikan kehilangan rambut atau ketipisan rambut isu yang sukar dibincangkan,'' kata Pakar Perunding Dermatologi, Dr. Ting Hoon Chin.

Kehilangan rambut atau ketipisan rambut?

Lebih separuh daripada mereka yang menyertai tinjauan kaji selidik pernah mendengar tentang kehilangan rambut, tetapi mereka tidak pasti sama ada terdapat perbezaan antara kehilangan rambut dan ketipisan rambut.

Istilah umum `kehilangan rambut' boleh merujuk kepada banyak masalah yang berlainan, daripada sedikit ketipisan hingga kebotakan penuh, dan keadaan ini boleh berlaku kerana banyak sebab yang berlainan.

Dr. Ting menjelaskan bahawa kehilangan rambut boleh berlaku secara beransur-ansur menyebabkan rambut menjadi semakin nipis.

Adakah kerana gen?

Sebanyak 21 peratus daripada responden percaya bahawa kehilangan rambut adalah berpunca daripada kombinasi faktor keturunan, hormon dan usia.

Umumnya, kehilangan rambut di kalangan lelaki dan wanita adalah diwarisi daripada ibu atau bapa mereka, atau kedua-duanya. Gen kita mempengaruhi pertumbuhan rambut kita.

Ia mengaktifkan kepekaan kepada androgen (hormon lelaki) termasuk testosteron, yang menyebabkan folikel rambut mengecut. Folikel yang mengecut (selaput yang menyarung umbi rambut) mengeluarkan rambut yang nipis.

Menurut Dr. Ting, punca kehilangan rambut paling biasa di kalangan lelaki (90 peratus) dan wanita (70 peratus) ialah androgenetic alopesia (sering dipanggil oleh masyarakat bukan perubatan sebagai kehilangan rambut akibat faktor warisan atau keturunan).

``Keadaan ini adalah disebabkan kesan androgen (hormon lelaki) ke atas folikel rambut dan corak tindak balas ditetapkan secara genetik. Semua wanita juga mempunyai hormon androgen dan kerana itu gejala ini dialami oleh lelaki dan wanita.

``Kehilangan rambut di kalangan lelaki biasanya dilihat pada bahagian depan, khususnya atas dahi, atau tompok botak di bahagian tengah atas kepala,'' ujar beliau.

Bagaimanapun, keadaannya berbeza di kalangan wanita - kehilangan rambut tidak berlaku secara setempat tetapi di seluruh kulit kepala, menyebabkan rambut kelihatan semakin nipis.

Faktor tekanan

Sementara itu, sebanyak 21 peratus daripada peserta yang mengalami kehilangan rambut menyangka bahawa punca masalah kehilangan rambut mereka adalah tekanan emosi atau fizikal, manakala 20 peratus lagi percaya bahawa masalah ini berpunca daripada kekurangan nutrien.

Jika mereka ternampak lebih banyak rambut gugur ke dalam besen cuci muka atau di atas lantai selepas menyikat rambut, mereka percaya ia adalah tanda kehilangan atau ketipisan rambut.

Hasil tinjauan ini juga menunjukkan bahawa 34 peratus daripada responden telah mengalami masalah kehilangan rambut selama dua hingga lima tahun, dan kira-kira 60 peratus peserta yang menyertai tinjauan telah mencuba pelbagai cara untuk mengatasi masalah ini.

``Tekanan adalah punca biasa kehilangan rambut berbentuk khusus, yang dikenali sebagai Telogen Effluvium.

``Apa yang berlaku ialah kitaran pertumbuhan rambut akan memasuki keadaan rehat apabila anda di bawah tekanan, seperti baru menjalani pembedahan atau mengalami sakit teruk atau demam teruk,'' kata Dr. Ting.

Tambahnya, seseorang itu boleh kehilangan banyak rambut dalam tempoh enam minggu hingga tiga bulan selepas mengalami tekanan fizikal atau emosi yang teruk tetapi rambut biasanya akan tumbuh

semula dalam masa beberapa bulan kemudian.

Siapakah yang patut saya temui?

Kaum lelaki dan wanita biasanya mencari pelbagai cara untuk mengatasi masalah ini. Mereka cuba mendapatkan bantuan daripada pakar pendandan rambut, ahli farmasi, doktor, pakar dermatologi dan pakar rawatan rambut.

Tinjauan kaji selidik menunjukkan bahawa antara orang pertama yang dirujuk ialah pakar pendandan rambut (28 peratus), diikuti oleh ahli farmasi (27 peratus). Hanya sebilangan kecil (11 peratus) mendapatkan rawatan daripada pakar dermatologi.

Bantuan

Pakar pendandan rambut merupakan orang pertama yang menyedari kehilangan rambut seseorang. Mereka mempunyai keupayaan untuk memecahkan benteng dan memperkatakan tentang kehilangan rambut.

Orang lain mungkin mendapatkan bantuan daripada ahli farmasi kerana mereka arif tentang ubat-ubatan, dipercayai dan mudah ditemui.

Bagaimanapun, jelas Dr. Ting, adalah langkah bijak bagi mereka yang mengalami masalah kehilangan rambut menemui doktor untuk mendapatkan

penilaian klinikal dan diagnosis sebelum memulakan rawatan yang sesuai.

Ia memalukan!

Tinjauan kaji selidik tersebut menunjukkan bahawa 22 peratus daripada responden yang telah atau pernah mengalami keadaan ini mengalami kesan psikologi akibat kehilangan rambut, menyebabkan mereka berasa malu. Keadaan ini lebih ketara di kalangan wanita.

Responden yang tidak mengalami kehilangan rambut (38 peratus) menyatakan bahawa mereka akan berasa kurang yakin pada diri sendiri jika mengalami keadaan sedemikian.

``Memandangkan kehilangan rambut di kalangan lelaki dan wanita boleh menimbulkan banyak kesan psikologi seperti tekanan perasaan dan emosi disebabkan mereka merasa tidak menarik, pengguna perlu dididik mengenainya.

``Nasihat daripada pakar penjagaan kesihatan profesional yang mempunyai kepakaran khusus dalam penjagaan dan rawatan rambut boleh memberi ketenangan fikiran kepada mereka yang dihantui masalah kehilangan rambut dengan memberikan rawatan yang betul,'' tegas Dr. Ting.

Kehilangan rambut wanita

Benarkah kehilangan rambut jarang berlaku di kalangan wanita? Ini adalah salah tanggapan yang

paling kerap disuarakan.

Hanya lapan peratus daripada responden yang memberikan pendapat mereka percaya bahawa kehilangan rambut adalah masalah biasa di kalangan wanita, berbanding 26 peratus yang berkata bahawa kehilangan rambut adalah masalah biasa di kalangan lelaki.

Kehilangan rambut memang biasa dialami oleh lelaki, tetapi kehilangan rambut di kalangan wanita adalah juga satu fenomena biasa.

Kebanyakan wanita yang mengalami keadaan rambut semakin nipis tidak pernah menduga masalah ini boleh berlaku ke atas mereka kerana ia adalah masalah yang jarang dibincangkan di kalangan mereka atau membabitkan mereka.

Bagaimana dengan rambut palsu?

Hanya satu peratus responden menggunakan rambut palsu untuk menyembunyikan masalah kehilangan atau ketipisan rambut mereka.

Cara paling popular ialah menyikat rambut ke atas bahagian yang kehilangan rambut (50 peratus), diikuti oleh cara lain (24 peratus) seperti mengeritingkan rambut, memotong pendek, membotakkan kepala dan menerima seadanya.

Tinjauan kaji selidik itu juga menunjukkan bahawa mereka yang mengalami kehilangan rambut menukar syampu (33 peratus) dan menggunakan produk merangsangkan pertumbuhan rambut seperti Topical Minoxidil (20 peratus) untuk memulihkan keadaan. 




Baca Lagi...

25 Oktober 2010

Hapuskan parut jerawat

SALLY merenung ke bayangnya di cermin. Jerawat sudah sembuh hasil rawatan yang dijalani dengan bersungguh-sungguh. Selain berubat di klinik, dia juga rajin ke salon untuk mencuci mukanya. Tak cukup dengan itu dia turut mengamalkan rejim mencuci muka dan pemakanan sihat.

Setahun yang lalu masalah jerawat bagaikan tragedi ngeri yang menimpa Sally. Syukurlah dengan teknologi perubatan moden maka mimpi ngeri tersebut sudah berakhir dan kini hanya tinggal kesan parut kehitaman.
Baru-baru ini Sally datang bertemu saya. Dia bertanya sama ada parut parut tersebut dapat dipulihkan atau tidak.

“Bagaimanakah cara terbaik bagi memulihkah parut. Jika ada apakah peratusan ia boleh pulih semula?” tanya beliau bertalu-talu.

Semangat Sally tetap kental sebagaimana saya mengenalinya setahun lalu.

Saya yakin Sally akan berjaya merealisasikan impiannya. 

Apakah sebenarnya 

parut jerawat?

Apabila jerawat sembuh, ia akan meninggalkan kesan kemerahan atau kesan parut hitam. Ini sebenarnya bukan parut jerawat tetapi kesan daripada radang jerawat . Jika tiada jerawat baru yang tumbuh, kulit akan sembuh dengan sendiri . Proses penyembuhan ini boleh mengambil masa 6 hingga 12 bulan. Kesan akibat jerawat lebih daripada setahun dikenali parut jerawat. Biasanya parut ini kekal dan membuatkan kulit muka kelihatan gelap dan kurang menarik. Untuk mengelakkannya rawatan awal boleh dilakukan. 

Rawatan awal 

Radang kulit disebabkan oleh jerawat adalah satu proses penyembuhan yang normal. Ada beberapa langkah yang boleh dilakukan untuk membantu merawat peringkat awal parut jerawat.

Pendedahan kepada matahari melambatkan proses penyembuhan radang jerawat dan boleh merosakkan kulit. Oleh itu pengunaan sunblock yang sesuai amat penting 

Doktor boleh memberi krim tretinoin untuk mempercepatkan proses remodeling kulit. 

Penggunaan peeling agent seperti AHA (Alpha Hydroxy Acid) yang bersesuaian juga boleh mempercepat kan proses remodeling kulit 

Jangan memicit jerawat atau parut jerawat . Ini akan mengganggu proses penyembuhan jerawat. Ia juga boleh menyebabkan bakteria yang terdapat di dalam jerawat tersebar lebih ke dalam kulit. Ini boleh menyebabkan parut jerawat yang lebih dalam berlaku 

Penggunaan krim antioksidan seperti Vitamin C juga membantu memulihkan kesan jerawat. 

Rawatan parut jerawat

Dengan kemajuan teknologi laser dermatologi/ aesthetic , kini rawatan yang paling berkesan untuk rawatan parut jerawat adalah dengan menggunakan laser. Dua jenis laser yang paling berkesan adalah laser CO2 (karbon dioksida ) atau Erbium Yag. Kedua-dua laser ini adalah dalam kategori ablative. Ia bermaksud akan meratakan kawasan kulit yang dirawat dengan laser. Ia juga akan merangsang kulit untuk membentuk kolagen. Ini menyebabkan kulit akan kelihatan lebih tegang, kesan parut jerawat kurang dalam serta pori pori muka kelihatan lebih halus. Proses rawatan ini perlu dilakukan beberapa sesi di antara enam ke lapan minggu. 

Masalah jerawat adalah masalah utama untuk remaja . Masalah ini menjadi lebih rumit apabila remaja mula mencuba pelbagai jenis produk. Saya boleh memberi beberapa tip dan panduan untuk remaja yang mempunyai masalah jerawat.

1. Amalkan banyak pemakanan yang mengandungi antioksidan yang tinggi seperti buah-buahan citrus, nenas, kiwi dan anggur. Kebanyakan sayur sayuran juga mempunyai antioxidan yang tinggi . 

2. Stres juga boleh menjadikan jerawat tumbuh dengan banyak. Oleh itu lakukan aktiviti yang boleh mengurangkan stres dan menyihatkan seperti bersukan

3. Apa-apa produk yang diletakkan di muka mestilah bebas minyak, berasaskan air dan non-comedogenic (tidak menyumbat pori-pori muka). Gunakan pencuci muka yang sesuai dan jangan mencuci muka dengan sabun mandi.

4. Jika peralatan kosmetik anda menyebabkan tumbuh whitehead atau blackhead, tukar kepada jenama lain. Yang terbaik adalah kosmetik berasaskan mineral. Kosmetik di muka mesti dicuci sebelum tidur .

Perubahan hormon juga boleh menyebabkan jerawat yang teruk. Jika langkah langkah di atas tidak dapat membantu, rawatan seperti antibiotik, chemical peeling, photofacial dan rawatan hormon boleh membantu. Sila berjumpa dengan pakar kulit. 

Parut di muka selalunya disebabkan oleh kesan jerawat. Namun begitu ia juga boleh disebabkan kesan kecederaan seperti terbakar atau luka. Setakat ini belum ada produk yang boleh merawat kesan parut dengan berkesan. Jika parut itu tidak dalam, rawatan seperti chemical peeling dan microdermabrasion boleh membantu mengurangkan masalah parut. Tetapi jika parut itu dalam dan banyak, rawatan yang sesuai adalah laser CO2 atau Erbium YAG. Rawatan yang diperlukan adalah sebanyak tiga ke lima sesi. Rawatan ini adalah yang terbaik untuk masalah parut. 

Jerawat di badan

Untuk merawat Jerawat di badan , saya nasihatkan untuk mengambil antibiotik yang sesuai seperti Minocycline HCL. Ini bertujuan membunuh bakteria yang menyebabkan jerawat itu bengkak dan sakit. Semasa rawatan antibiotik , nada perlu menggunakan krim Benzoyl peroxide (seperti jenama Oxy) agar rawatan lebih berkesan. Jika jerawat tersebut mempunyai blackhead, rawatan seperti krim tretinoin perlu digunakan. Namun begitu anda dinasihatkan bertemu doktor untuk mengenal pasti rawatan yang sesuai.

Untuk rawatan terkini, terdapat dua jenis laser yang sangat berkesan untuk merawat jerawat iaitu Isolaz yang mendapat kelulusan untuk merawat jerawat tahap 1 hingga tahap 6 dan laser long pulse Nd:Yag. Kelebihan rawatan ini adalah ia ringkas, tidak sakit dan sangat berkesan.



Baca Lagi...

22 Oktober 2010

Kawal darah tinggi

Jangan berhenti ambil ubat

MUDAH disebut dan kerap kali diingatkan, tetapi masih ramai yang bersikap tidak kisah. Realitinya, itulah sikap masyarakat terhadap penyakit darah tinggi atau hipertensi.

Sedar atau tidak, hipertensi menjadi antara penyakit paling umum dihidapi ramai, khususnya bagi mereka yang tinggal di kawasan bandar.

Keadaan itu tidak boleh dibiarkan berterusan kerana hipertensi menjadi antara faktor penyebab strok, serangan jantung dan kegagalan buah pinggang berfungsi. Akibat terburuk daripada penyakit itu adalah kematian. Justeru, penyakit yang membawa punca kesengsaraan hidup dan meragut nyawa itu harus dicegah.

Presiden Persatuan Hipertensi Malaysia (PHP), Dr Azani Mohamed Daud, berkata jika seseorang itu memiliki tekanan darah yang tinggi hendaklah mengawalnya supaya tidak terus memudaratkan tahap kesihatannya.

Dr Azani berkata, kebimbangan penyakit hipertensi yang semakin meningkat dan menjadi faktor risiko penyakit kardiovaskular bukan saja di negara ini, tetapi juga di seluruh dunia. Dianggarkan bahawa 972 juta orang menghidap hipertensi atau tekanan darah tinggi di seluruh dunia. Jumlah itu dijangka meningkat kepada 1.56 bilion menjelang 2025 bersamaan kadar kira-kira seorang daripada setiap tiga orang dewasa berusia lebih 20 tahun.

“Sama ada lelaki atau wanita, kedua-duanya boleh mendapat penyakit hipertensi. Apa yang membimbangkan, penyakit itu disifatkan antara penyakit yang membunuh dalam senyap kerana ia menyerang pesakit tanpa sebarang tanda memandangkan kebanyakan pesakit tidak dikaitkan dengan sebarang simptom dan hanya menyedarinya selepas menjalani pemeriksaan doktor ataupun lebih serius diserang strok yang boleh membawa maut atau lumpuh, sekali gus mengurangkan kualiti hidup,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Persidangan Mesyuarat Tahunan Persatuan Hipertensi Malaysia di ibu negara, baru-baru ini.

Dr Azani berkata, walaupun hipertensi berleluasa dan menjadi satu faktor risiko utama bagi penyakit kardiovaskular, ia antara sebilangan faktor risiko yang boleh dikawal. Ini termasuklah, mengubah cara gaya hidup yang lebih sihat seperti melakukan senaman, berhenti merokok, mengurangkan kolesterol dan mengelakkan diri menjadi obesiti.

Katanya, gaya hidup masyarakat urban pada masa kini yang terlalu sedikit melakukan senaman dan terlalu banyak makan adalah antara punca utama yang menyebabkan hipertensi.

“Masalah obesiti juga ada di kalangan kanak-kanak dan menjadi isu masa kini. Semua itu adalah berpunca amalan pemakanan dan gaya hidup yang tidak sihat, sekali gus menjadi punca utama hipertensi di kalangan generasi muda. Berasaskan data terkini yang boleh didapati, sekurang-kurangnya 42 peratus dewasa Malaysia berusia lebih 30 tahun mengalami hipertensi.

“Hanya 35.8 peratus yang prihatin mereka mempunyai hipertensi. Tetapi lebih membimbangkan lagi kerana daripada 4.8 juta rakyat Malaysia yang menghidap penyakit ini hanya lapan peratus daripada mereka dapat mengawal tekanan darah mereka supaya berada dalam julat yang boleh diterima,” katanya lagi.

Semua data dikemukakan itu adalah hasil kajian Morbiditi dan Kesihatan Kebangsaan ke-3 yang dijalankan pada 2006 dan membabitkan orang dewasa berusia 30 tahun serta ke atas. Berbanding 10 tahun lalu, jumlah purata didapati meningkat daripada 33 peratus hingga 43 peratus.

Menjelaskan penyakit hipertensi Dr Azani berkata, darah tinggi sebenarnya terjadi apabila darah dalam 'arterial' dan 'venous circuit' sistem kardiovaskular mengalir dengan tekanan yang lebih tinggi daripada biasa. Keadaan itu menyebabkan jantung bekerja lebih keras untuk menentukan pengaliran darah ke seluruh tubuh dan menyebabkan masalah kesihatan yang serius.

Membicara lebih lanjut hipertensi dan wanita Dr Azani berkata, kebanyakan wanita hamil hanya mengalami masalah yang ringan dan dianggap biasa saja, tetapi sebilangan kecil yang kurang bernasib baik mengalami masalah serius yang boleh mengancam nyawa ibu dan anak yang dikandungnya.

“Wanita hamil memang kerap mengalami masalah penyakit darah tinggi. Tetap ramai juga wanita tidak menyangka mereka boleh menghidap hipertensi ketika hamil. Ini kerana mereka berkeadaan sihat dan tidak menghidap sebarang penyakit sebelum hamil. Sesetengah wanita mungkin hanya mengalami tekanan darah tinggi sepanjang tempoh kehamilan saja tetapi selepas bersalin keadaan kembali normal.

“Ini berlaku kerana ramai wanita mengandung makan berlebihan kerana selera mereka meningkat ketika hamil. Ini menyebabkan mereka mengalami masalah darah tinggi.

Namun, tidak kurang juga ada wanita selepas bersalin akan berterusan dikesan berdepan dengan masalah tekanan darah tinggi. Justeru, seseorang itu perlu mengawalnya dan tidak boleh ambil mudah saja,” katanya.

Dr Azani berkata, bagi wanita yang mempunyai masalah darah tinggi sebelum hamil, perlu lebih berhati-hati. Apa yang penting, wanita berkenaan tidak menghentikan pengambilan ubat ketika tempoh kehamilan bagi mengawal masalah darah tinggi yang dialaminya. Malah, untuk tidak membahayakan diri dan anak yang bakal dikandung, adalah lebih baik jika wanita yang berdepan yang masalah seperti itu mendapatkan pandangan doktor terlebih dulu sebelum mengambil keputusan untuk hamil.

“Begitu juga apabila wanita itu mengetahui dia hamil, patutlah mendapatkan pemeriksaan doktor dengan secepat mungkin untuk tujuan yang sama. Jika terdapat sesuatu penyakit, bolehlah diberi rawatan dan jagaan yang sewajarnya sejak dari peringkat awal lagi. Pemeriksaan setiap bulan khususnya di peringkat akhir kehamilan sangat penting untuk mengesan penyakit darah tinggi,” katanya.
Jika keadaan itu tidak terkawal ia boleh mengancam nyawa ibu dan bayi.

Kemungkinan bayi akan mati dalam kandungan. Bayi itu juga biasanya lahir dengan timbang berat yang ringan dan kadangkala lahir sebelum cukup bulan. Kedua-dua masalah berkenaan boleh mengancam nyawa dan kesejahteraan bayi pada masa hadapan.

Katanya lagi, sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat tempatan, pendidikan pesakit perlu menjadi satu keutamaan. Individu perlu melakukan saringan pemeriksaan kesihatan dan melakukan pemeriksaan susulan bagi mencapai sasaran.

Selain itu, kesedaran mengenai bahaya penyakit hipertensi perlu dipertingkatkan di kalangan masyarakat. Adalah penting bagi pesakit hipertensi mengambil ubat mengikut jadual bagi memastikan tekanan darah terkawal pada setiap masa.

INFO: Penyebab Darah Tinggi

  • Keturunan: Faktor ini tidak boleh dielakkan. Jika seseorang memiliki ibu bapa atau ahli keluarga yang memiliki tekanan darah tinggi, maka kemungkinan ia menderita tekanan darah tinggi lebih besar. Statistik menunjukkan bahawa masalah tekanan darah tinggi lebih tinggi pada kembar seiras berbanding sebaliknya. Sebuah penelitian menunjukkanm ada bukti gen yang diturunkan menyumbang masalah tekanan darah tinggi.


  • Usia: Faktor ini juga tidak boleh dielakkan. Penelitian menunjukkan, semakin usia seseorang itu bertambah, tekanan darah pun akan meningkat. Anda tidak dapat mengharapkan, tekanan darah ketika anda muda akan sama ketika bertambah tua. Namun, anda dapat mengendalikan supaya jangan melewati batas atas yang normal.


  • Garam: Faktor ini boleh dikendalikan. Garam dapat meningkatkan tekanan darah dengan cepat pada sesetengah individu orang, khususnya bagi penderita diabetes, hipertensi ringan, orang tua, dan mereka yang berkulit hitam.


  • Kolesterol: Faktor ini boleh dikendalikan. Kandungan lemak yang berlebihan dalam darah boleh menyebabkan timbunan kolesterol pada dinding pembuluh darah. Hal ini boleh membuatkan pembuluh darah menyempit dan akibatnya tekanan darah akan meningkat. Kendalikan kolesterol sebaik mungkin.


  • Obesiti/Kegemukan: Faktor ini boleh dikendalikan. Individu yang memiliki berat badan melebihi 30 peratus berat badan ideal, memiliki kemungkinan lebih besar menderita tekanan darah tinggi.


  • Stres: Faktor ini boleh dikendalikan. Stres dan keadaan emosi yang tidak stabil juga mengakibatkan tekanan darah tinggi.


  • Rokok: Faktor ini boleh dikendalikan. Merokok juga dapat meningkatkan tekanan darah menjadi tinggi. Kebiasaan merokok dapat meningkatkan risiko diabetes, serangan jantung dan strok.


  • Kafein: Faktor ini boleh dikendalikan. Kafein yang terdapat pada kopi, teh mahupun minuman lain menyebabkan peningkatan tekanan darah.


  • Alkohol: Faktor ini boleh dikendalikan. Pengguna alkohol secara berlebihan juga menyebabkan tekanan darah tinggi.


  • Kurang Olahraga: Faktor ini boleh kendalikan. Kurang olahraga dan bergerak boleh menyebabkan tekanan darah dalam tubuh meningkat. Olahraga teratur mampu menurunkan tekanan darah tinggi tetapu jangan melakukan olahraga yang berat jika anda menderita tekanan darah tinggi. 



  • Baca Lagi...

    21 Oktober 2010

    RESDUNG - Risiko Jangkitan Otak

    ANDA batuk, kerap bersin, tidak bermaya dan tidak sedap badan. Hidung pula rasa berair dan tersumbat. Anda terasa yang anda demam.

    Apabila ubat-ubatan yang diambil tidak meredakan gejala-gejala demam biasa, bangun pagi anda mulai diiringi dengan sakit kepala dan rasa berat pada bahagian muka.

    Selepas doktor mendengar sejarah gejala, memeriksa bahagian muka, dahi dan mungkin menjalankan sinaran-X pada bahagian sinus, anda disahkan menghidap penyakit resdung atau sinusitis.

    Di kalangan masyarakat setempat, ia lebih popular sebagai resdung dan sangat biasa terjadi di kalangan rakyat negara ini.

    ``Ringkasnya, resdung menghasilkan pelbagai gejala hidung dan tidak ketinggalan boleh juga memberikan kesan terhadap tekak, peti suara serta telinga tengah.

    ``Salah satu punca resdung adalah disebabkan oleh jangkitan bakteria ke atas hidung dan rongga di sekelilingnya yang dipanggil sinus,'' kata Pakar Telinga, Hidung dan Tekak, Hospital Pusrawi, Kuala Lumpur, Dr. Amir Izwan Mohamed Dahan.

    Menurutnya, sinus sebenarnya adalah rongga-rongga di dalam tulang muka yang bersambung ke hidung melalui saluran-saluran yang sangat kecil.

    Sinus terletak pada bahagian muka - pipi di bawah mata, di antara dua mata, hanya sedikit di belakang hidung dan turut meliputi bahagian dahi seseorang.

    Ia terbahagi kepada empat; masing-masingnya dikenali sebagai sinus frontal, sinus maksila, sinus etmoid dan sinus sfenoid.

    Fungsi sebenar sinus tidak diketahui dengan tepat tetapi ada antara teori mengatakan sinus berfungsi meringankan tengkorak selain turut memainkan peranan dalam degungan suara.

    ``Biasanya lendir dihasilkan oleh rongga-rongga ini pada setiap masa dan disalirkan ke dalam hidung.

    ``Jika saluran daripada sinus ini tersumbat, lendir akan terkumpul dan rongga sinus menjadi tempat pembiakan yang baik bagi kuman bakteria,'' katanya.

    Dr. Amir Izwan yang juga pakar bedah kepala dan leher berkata, bengkakan di dalam lapisan hidung juga boleh menyebabkan salur sinus ini tersumbat.

    Salah satu punca utama bengkakan dalam hidung ini ialah radang hidung disebabkan oleh alahan (rhinitis) yang agak berleluasa dalam masyarakat kita.

    Mengulas lanjut, resdung boleh juga terjadi disebabkan oleh rerambut halus silia di dalam sinus yang sepatutnya membantu pengaliran mukus, gagal menyempurnakan tugasnya.

    Aktiviti menyelam ataupun berenang merupakan antara beberapa faktor yang boleh meningkatkan risiko resdung selain asap rokok yang dikenal pasti sebagai pencetus radang hidung.

    Oleh itu, adalah sangat penting `mengharamkan' tabiat merokok di dalam persekitaran rumah mahupun kenderaan pesakit resdung, sekali gus mengelakkan tempat-tempat yang seumpamanya.

    Katanya, apabila gejala resdung berlaku dalam tempoh beberapa hari hingga beberapa minggu, ia diklasifikasikan sebagai akut.

    Resdung akut kadangkala adalah penyebab demam, terutamanya yang berlanjutan lebih daripada tujuh hingga 10 hari.

    ``Asalnya, virus-virus yang menyebabkan selesema biasa, menyerang lapisan dalam hidung dan sinus menyebabkan bengkak dan menyempit.

    ``Badan juga bertindak balas terhadap virus dengan menghasilkan lebih banyak mukus. Ini menyebabkan hidung tersumbat dan nanah terkumpul di dalam sinus yang bengkak,'' kata Dr. Amir Izwan.

    Demam yang mula kebah tetapi kemudiannya bertukar melarat menjadi sebahagian tanda-tanda resdung akut.

    Di samping itu, kesakitan di dalam bahagian dahi yang timbul semasa anda mencondongkan badan ke depan seperti waktu sujud juga boleh menjadi petanda.

    Ditanya bagaimanakah caranya untuk membezakan di antara resdung, demam selesema biasa dan alahan hidung memandangkan ketiga-tiganya mempunyai gejala yang saling bertindihan, Dr. Amir Izwan menjelaskan:

    ``Jika pesakit demam dan mempunyai gejala berkaitan hidung seperti sakit muka dan hidung, keluar nanah berwarna kuning atau hijau daripada hidung atau kahak warna sama pada sebelah pagi, itu resdung.

    ``Apabila gejala-gejalanya berlaku lebih kerap ataupun jangkitan berpanjangan lebih daripada tiga bulan, resdung akut boleh menjadi kronik.

    ``Gejalanya mungkin tidak seteruk resdung akut namun, jika tidak dirawat boleh menyebabkan kerosakan kepada sinus dan tulang pipi sehingga memerlukan pembedahan,'' katanya.

    Walaupun resdung tidak boleh menjadi kanser sehingga menyebabkan hidung rompong tetapi sebaliknya kanser boleh memperlihatkan gejala-gejala seperti penyakit itu.

    Sekiranya dibiarkan tanpa rawatan, resdung boleh mengakibatkan maut tidak langsung yang disebabkan oleh komplikasi pada otak pesakit.

    Serangan resdung berulang-ulang juga boleh berlaku. Pesakit selalunya diberikan rawatan antibiotik untuk menyembuhkannya tetapi penyakit datang semula sebulan dua kemudian.

    Puncanya mungkin disebabkan oleh faktor penyebab penyakit ini yang tidak dirawat sepenuhnya, lazimnya susunan tulang dalaman sinus yang tidak normal dan sempit. Dalam kes-kes begini, pembedahan endoskopi dilakukan.

    Sekiranya gejala resdung masih berterusan, kaedah baru ini akan dilakukan di mana rongga-rongga sinus terlibat akan dibuka menggunakan alat-alat khas di bawah penglihatan kamera skop.

    Pembedahan sinus endoskopi ini sama sekali tidak memerlukan belahan pada kulit kerana segala prosedurnya dilakukan di dalam rongga hidung.

    Ini berbeza dari kaedah lama pembedahan di mana belahan terpaksa dibuat di sekeliling kawasan hidung.

    Pun begitu, gejala alahan hidung masih boleh terjadi selepas pembedahan dan hanya dapat dikawal melalui penggunaan ubat-ubatan.

    ``Justeru, adalah sangat penting bagi para pesakit untuk mengekalkan pengambilan ubat-ubatan antialahan selepas pembedahan,'' kata Dr. Amir Izwan.

    Tambahnya, cara terbaik untuk mencegah serangan resdung ialah dengan merawat gejala-gejala hidung dengan segera sebelum ia melarat.

    Gejala resdung:

    * Hidung tersumbat

    * Lendir daripada hidung dan tekak

    * Muka berasa sakit dan berat terutamanya pada bahagian antara mata

    * Sakit tekak berpanjangan dan berulang-ulang

    * Demam atau rasa tidak sedap badan yang berpanjangan akibat gejala di atas

    * Gejala alahan hidung seperti bersin, gatal hidung dan sebagainya.

    Punca resdung:

    * Susunan tulang dalaman hidung yang sempit

    * Hidung bengkok

    * Mandi dan terjun di dalam air yang kotor

    * Jangkitan gigi atas

    * Ketumbuhan di dalam hidung

    * Objek dimasukkan ke dalam hidung, contohnya putik kapas, maik dan kertas

    * Tisu belakang hidung yang bengkak terutamanya kanak-kanak.

    Komplikasi resdung:

    * Jangkitan nanah di sekeliling kawasan mata

    * Jangkitan otak (meningitis)

    * Sakit tekak yang kronik

    * Jangkitan tulang muka

    * Memburukkan keadaan lelah

    * Berdengkur yang kronik

    * Jangkitan telinga dan tonsil, terutamanya kanak-kanak

    * Alahan hidung atau hidung sensitif

    * Selesema biasa yang melarat.

    Diagnosis:

    * Skop hidung untuk melihat punca resdung

    * Skan CT hidung dan sinus untuk melihat rongga-rongga yang terlibat dan kawasan putih menandakan lendir atau dipenuhi nanah

    Rawatan:

    Berdasarkan gejala pesakit dan hasil diagnosis, rawatan bersesuaian akan disyorkan.

    * Antibiotik (10 hingga 14 hari bagi resdung akut)

    * Ubat selesema

    * Dekongestan; ubat titis atau semburan hidung

    * Pembedahan hanya akan dipertimbangkan setelah rawatan-rawatan lain tidak berkesan ataupun jika ada sesuatu yang menghalang sinus dan ia tidak dapat disembuhkan dengan ubat-ubatan.

    Tip menguruskan resdung:

    * Bagi pesakit yang mempunyai alahan hidung disarankan agar tidak menyapu rumah tetapi menggunakan vakum atau mop

    * Elakkan makanan yang boleh menyebabkan alahan

    Setiap individu alah kepada makanan yang berlainan terutamanya ramai orang yang tidak boleh memakan makanan laut yang kaya protein atau belacan

    * Banyakkan berehat. Berbaringlah menggunakan bahagian badan yang membuatkan anda bernafas dengan lebih baik kerana ia berupaya melegakan resdung

    * Hirup sup atau cecair yang panas dan minum banyak air

    * Lap muka anda dengan menggunakan tuala yang dibasahkan dengan air suam ataupun melakukan pernafasan wap

    * Jangan menggunakan semburan hidung dekongestan lebih dari tujuh hari. Jika tidak, bengkak di dalam sinus akan menjadi lebih teruk selepas anda memberhentikan penggunaannya

    * Bilas saluran sinus menggunakan larutan salina yang boleh didapati di farmasi

    * Anda juga boleh menggunakan ubat-ubatan seperti acetaminophen dan parasetamol untuk merawat kesakitan

    * Berbincanglah dengan doktor anda sebelum mengambil ubat demam kerana sesetengahnya boleh memburukkan gejala resdung ataupun menimbulkan lain-lain masalah.

     

    Baca Lagi...

    17 Oktober 2010

    Darah tinggi penyakit seumur hidup

    HIPERTENSI ataupun darah tinggi merupakan salah satu penyakit utama yang sering dihidapi penduduk negara ini. Walaupun bahaya penyakit ini banyak didedahkan, begitu juga cara-cara untuk mencegahnya namun bilangan penghidapnya tidak menampakkan tanda-tanda penurunan.

    Ini kerana ketiadaan simptom ketara yang dapat mengaitkan seseorang dengan penyakit ini.

    Pakar Kardiologi dan Pengarah Klinikal Perkhidmatan Kecemasan Jantung, Institut Jantung Negara (IJN), Datuk Dr. Azhari Rosman menegaskan, punca tekanan darah tinggi membabitkan 95 peratus pesakit masih tidak diketahui.

    “Malah, ada individu yang tidak mengetahui mereka menghidap darah tinggi selama bertahun-tahun tanpa sedikit pun menunjukkan simptom,” katanya.

    Ujarnya lagi, penyakit ini tidak akan hilang. Dalam kebanyakan kes, ia merupakan penyakit seumur hidup.

    Akibatnya, penghidap darah tinggi perlu bergantung kepada ubat-ubatan sepanjang hayat bagi mengawal tekanan darah mereka.

    Secara amnya, darah tinggi merujuk pada tekanan darah yang meningkat lebih tinggi daripada tahap biasa secara kronik.

    Pesakit yang mempunyai tiga bacaan tekanan darah yang melebihi 140/90mmHg dalam keadaan rehat berpotensi positif mendapat penyakit tersebut.

    “Darah tinggi memang tiada sebarang gejala. Namun, jika tidak dibendung daripada awal, seseorang boleh terkena serangan atau kegagalan jantung, strok dan kerosakan buah pinggang,” katanya.

    Satu daripada dua

    Mengikut satu kajian pada tahun 2006, satu daripada tiga rakyat negara ini yang berumur 30 tahun ke atas menghidap darah tinggi.

    “Saya berpendapat angka ini telah meningkat dan melebihi 50 peratus rakyat Malaysia menghidapnya.

    “Dahulu penghidapnya berusia 30 tahun ke atas, kini ia tidak mengira peringkat umur.

    “Mereka yang berada di bawah umur tersebut juga berisiko. Malah kanak-kanak turut terdedah kepada penyakit ini kerana faktor pemakanan dan obesiti,” ujarnya.

    Tambah Azhari, ada pesakit hanya mengetahui mereka mempunyai darah tinggi setelah mereka diserang strok.

    Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Merican berkata, risiko komplikasi darah tinggi boleh dielakkan jika seseorang berdisiplin dengan mengambil makanan berkhasiat.

    “Kawalan diet terutama pengambilan garam selain rejim senaman bagi mengekalkan berat badan ideal juga perlu bagi penghidap darah tinggi,” katanya.

    Berbicara mengenai rawatan darah tinggi melalui medium perubatan alternatif, pengamal perubatan alternatif, Nik Omar Nik Daud berkata, penyakit itu memerlukan rawatan secara holistik selain mengurangkan pengambilan ubat-ubatan yang bersumberkan dadah.

     “Dari sudut homeopati, keadaan pesakit darah tinggi termasuk simptom yang mereka alami akan dinilai terlebih dahulu.

    “Selepas didiagnosis, mereka akan diberikan ubat-ubatan yang bersumberkan alam semula jadi seperti garam galian,” katanya.

    Ujarnya lagi, garam galian berbeza daripada garam yang terdapat dalam makanan yang menjadi punca darah tinggi.

    Katanya, garam galian lebih selamat dan bersumberkan sulfur, magnesium dan kapur.

    “Ia selamat dan boleh membantu mengurangkan tekanan darah seseorang,” katanya.

    Akupuntur

    Tambah beliau, kebiasaannya pesakit darah tinggi memerlukan masa selama tiga bulan untuk pulih sepenuhnya. “Namun, mereka juga mesti mengambil makanan yang sihat dan banyak bersenam,” katanya.

    Ujar Nik Omar lagi, rawatan akupuntur dan bekam turut membantu memulihkan tekanan darah tinggi.

    “Rawatan akupuntur memberi tumpuan pada bahagian kaki dan tangan yang merupakan kawasan berkaitan saluran darah.

    “Ini untuk memastikan pengaliran darah sempurna dan stabil selain mengaktifkan sel-sel darah yang terjejas,” katanya.


    Baca Lagi...

    16 Oktober 2010

    Burger McDonald's tidak busuk selama enam bulan

    NEW YORK - Burger daging dan kentang goreng McDonald's didapati tidak busuk selama enam bulan selepas ia dibiarkan berada di atas pinggan di dalam apartmen seorang wanita, Sally Davies di New York.

    Wanita itu membeli set Happy Meal McDonald's enam bulan lalu dan dia tidak memakannya.

    Apa yang dibuat dengan burger itu ialah dia merakamkan gambar makanan tersebut dengan kamera bagi melihat sama ada ia mengalami perubahan selama enam bulan. Dia membeli burger dan kentang goreng itu pada 10 April lalu.

    Burger dan kentang goreng yang tidak busuk itu pernah disiarkan dalam beberapa program televisyen dan menjadi perdebatan semasa orang ramai memikirkan bagaimana makanan segera boleh menunjukkan perubahan bentuk selepas enam bulan berada di atas pinggan.

    "Ia (merakamkan burger itu selama enam bulan) bermula dengan satu pertaruhan dengan seorang rakan saya," katanya.

    "Oleh itu, pada 10 April lalu, saya membeli sebiji burger dan saya mula merakamkan gambarnya tetapi tidak ada apa yang berlaku. Burger itu berbau selama satu hari dan ia kemudian terhenti (tidak ada bau lagi)," kata wanita tersebut.

    Roti burger itu mengecut sedikit tetapi ia masih mengekalkan keadaan asal dan kelihatan sama seperti baru dibeli. Seperti yang dikatakan wanita itu, burger itu juga tidak ada bau.
    Dua ekor anjingnya, Shih Tzu dan Charlie tidak menunjukkan minat untuk memakan buger itu kerana ia tidak mengeluarkan bau.

    Ketahanan buger tersebut selama enam bulan mencetuskan kebingungan dan kebimbangan ramai pihak sama ada makanan segera yang bertahan lama itu sihat untuk kesihatan.

    Pihak McDonald's enggan memenuhi permintaan ditemu ramah. 

    Bagaimanapun, menurut satu kenyataan rangkaian restoran itu, bahan makanan segar disediakan di restoran McDonald's.

    "Adalah tidak munasabah untuk menyediakan satu maklumat terperinci berhubung dakwaan (wanita itu) tanpa mengetahui keadaan makanan itu disimpan. Kami meminta orang ramai tidak membuat sebarang kesimpulan," kata kenyataan daripada rangkaian restoran McDonald's.

    Menurut kenyataan itu, bakteria dan kulat membiak berdasarkan keadaan tertentu. Jika makanan kering secukupnya, ia tidak akan membesarkan bakteria atau kulat.

    Wanita yang merakamkan gambar itu benci dengan dakwaan yang diterimanya menerusi e-mel bahawa dia menipu berhubung burger tersebut.

    "Saya tidak tahu kenapa saya mahu menipu. Saya berharap orang ramai akan membeli burger itu dan melakukan beberapa eksperimen," katanya. - AFP " 


    Baca Lagi...