Perkongsian Info dan maklumat Kesihatan.

16 Februari 2013

Tahukah Anda Keburukan Kacang Soya?


Nabi SAW mengamalkan pemakanan sunnah seperti kurma, kismis dan lain-lain. Tetapi kita telah dipalingkan daripada pemakanan sunnah oleh golongan tertentu sehingga yg baik tidak diambil, sebaliknya kita disogokkan oleh musuh Islam dengan matlamat untuk melariskan barangan mereka.


Kita selalu digambar-gemburkan dengan kandungan dan kebaikan soya yang mengandungi nutrien penting dan protein. Hakikatnya, soya sebenarnya mengandungi kandungan bahan kimia yang berbahaya. Terutama sekali untuk kaum wanita.

Antara keburukan kacang soya:

•Meningkatkan risiko penyakit barah payudara (breast cancer) di kalangan wanita.

•Berupaya mempengaruhi dan melembapkan minda/otak.

•Punca kepada proses pertumbuhan luar biasa untuk bayi dalam kandungan dan kanak-kanak.

Kajian menunjukkan kacang soya mengandungi satu bahan kimia yang menyerupai hormon estrogen (yakni hormon wanita). Bahan kimia ini jika diambil berlebihan mampu mengubah perkembangan seksual / sexual development.

FAKTA: 2 gelas susu soya sehari, dalam masa sebulan, adalah cukup untuk mengubah masa kitaran haid wanita!

Kacang soya mengandungi satu susunan fotokimia iaitu komponen yang aktif secara biologi yang terhasil dari tumbuh-tumbuhan yang mengagumkan, dan susunan yang paling menarik ialah satu chemical bernama isoflavone (komponen sebatian kimia yang dikaji dapat melegakan symptom menopous, mengelak kanser, memperlahankan kadar osteoporosis dan mengurangkan risiko penyakit jantung.)

Walaubagaimanapun, kandungan isoflavone ni bukan senang-senang dapat diekstrak dari kacang soya. Hanya selepas menjalani proses penapaian (fermentation) yang lengkap, barulah dapat menghasilkan isoflavone, yang dapat dihadam dengan sempurna dalam sistem penghadaman manusia. Dalam erti kata lain, kacang soya yang tidak menjalani proses penapaian sempurna, mempunyai kurang kandungan isoflavone dan tidak sesuai untuk diminum.

Secara semulajadinya, semua kekacang mempunyai satu bahan kimia bernama phytic acid yang merupakan satu bahan anti-nutrien. Phytic acid mampu menghalang penyerapan mineral tertentu seperti magnesium, kalsium, zat besi dan zink. Laporan perubatan menunjukkan penduduk Negara Dunia Ketiga yang banyak mengambil kacang soya, mempunyai kekurangan mineral-mineral tersebut dalam badan. Malah, kandungan bahan ini dalam kacang soya adalah lebih berbanding kekacang lain.

Kacang soya juga mengandungi bahan kimia hemagluttinin yang membentuk jaringan virus H1N1 dan sekuel-sekuel nya dan perencat tripsin yang merencatkan pertumbuhan manusia (di peringkat kanak-kanak). Bahan ini dapat di deaktifkan dengan proses penapaian. Antara produk dari kacang soya yang menjalani proses penapaian ialah tempe .

Keadaan ini juga bukan satu berita baik untuk kanak-kanak yang mengambil susu berasakan soya. Sesetengah ibu bapa menggantikan susu tepung (susu lembu) dengan susu berasaskan soya, tapi ia bukanlah sebaik yang disangka. Menurut Dr Jill Shneider, Prof Madya Sains & Biologi di Lehigh University, Betlehem, Pensylvania, bayi yang alergik kepada susu lembu tapi diberi susu berasaskan soya merupakan satu keadaan yang berbahaya.

Satu kajian makmal dibuat ke atas tikus putih menunjukkan isoflavone yang bertindak sebagai hormone estrogen dalam kacang soya mampu mempercepatkan proses tumbesaran tikus makmal. Chemical ni kurang baik untuk bayi kerana ia bertindak seperti estrogen yang mengawal pertumbuhan lelaki dan wanita dewasa. Senang cakap, seolah-olah menggalakkan ia bayi membesar lebih cepat dari kadar yang sepatutnya.

FAKTA: Dikatakan, bayi yang diberi minum susu berasaskan soya menghadam phytoestrogen dari kacang soya, seolah-olah bayi tersebut menerima 5 biji pil perancang dalam sehari! Pergh! banyak tu…

FAKTA: Pada 1991, penyelidik Jepun melaporkan bahawa penggunaan soya serendah 30 gram sehari atau 2 sudu makan, untuk sebulan, boleh menyumbang kepada peningkatan hormone tiroid, yang menyebabkan kanser tiroid.

Kenapa Rasulullah Larang Minum Berdiri?


Sebagai manusia biasa, kadang-kadang kita gemar melakukan sesuatu perkara itu tanpa mengetahui sama ada ia membawa kebaikan atau keburukan terhadap diri kita.

Perkara yang paling mudah di pandang enteng oleh manusia adalah sikap suka minum sambil berdiri.

Pergilah kemana-mana sahaja sekali pun, akan jelas kita diperlihatkan dengan kerenah manusia yang minum berdiri sama ada di tepi jalan, ketika melepak mahu pun ketika membeli-belah.

Jelas sekali tabiat buruk minum berdiri sama sekali ditegah oleh Rasulullah S.A.W kerana tabiat ini mampu memberikan kesan kepada kesihatan tubuh badan untuk jangka masa panjang.

Menurut pakar perubatan, Dr. Abdul Razzak Al-Kailani berkata, makan dan minum secara duduk lebih baik dari segi kesihatan, lebih selamat dan lebih puas di mana makanan dan minuman lalu di dinding perut dengan secara tenang.

Kajian perubatan juga menunjukkan di dalam tubuh badan manusia terdapatnya sejenis penapis ‘sfringer’ yang bertindak membuka bukaannya ketika duduk dan tertutup ketika berdiri.

Air yang diminum setiap hari bukanlah 100% ditapis sepenuhnya dan apabila masuk ke dalam tubuh badan, sfringer akan bertindak menapis segala benda asing dalam air sebelum disalurkan ke seluruh tubuh.

Jadi, sekiranya air masuk ketika tubuh berdiri, maka air itu tidak akan ditapis terlebih dahulu kerana sfringer tertutup dan terus dibawa ke kantung kecing yang boleh menyebabkan timbulnya penyakit lain iaitu penyakit batu karang.

Minum secara berdiri juga akan memberikan tekanan penurunan air yang tinggi ke dalam perut dan keadaan itu menyebabkan kondisi perut terkejut.

Malah, air akan jatuh ke lapisan perut dengan keras dan akan melanggar lapisan dinding-dinding perut.

Sekiranya tabiat minum berdiri selalu diamalkan, dinding-dinding perut akan menjadi longgar dan akan menimbulkan penyakit lain iaitu susahnya untuk menghadamkan makanan.

Seorang lagi pakar kajian, Dr. Ibrahim Ar-Rawi juga berpendapat, ketika tubuh berdiri, otot-otot badan akan menjadi tegang dan akan turut memberi tekanan kepada sistem saraf pusat (Central Nervous System) kerana terpaksa berkerja ‘terlampau’ aktif mengawal semua otot untuk melakukan proses pengimbangan badan ketika berdiri.

Keadaan itulah yang akan menyebabkan organ-organ dalam badan tidak dapat berehat seketika selepas berkerja.

Berbeza ketika minum secara duduk, sistem saraf dan otot akan berada di dalam keadaan tenang dan mampu untuk menjalankan tugas dan memproses segala bentuk bahan secara betul yang masuk ke dalam badan termasuklah air dan makanan.

Namun, Rasulullah S.A.W mengharuskan untuk minum dalam keadaan berdiri bergantung kepada keadaan seperti berada di tempat yang terlalu sesak dengan orang ramai.

Berlainan pula dengan kisah di mana Rasulullah S.A.W minum air zam-zam dalam keadaan berdiri berdasarkan hadis dari Ibn Abbas.

Air zam-zam mengandungi kandungan fluorida yang tinggi yang memiliki daya efektif membunuh kuman dan mengandungi kalsium dan garam magnesium yang tinggi berbanding sumber air-air yang lain seperti keputusan kajian yang terhasil dari pakar-pakar pengkaji.

Dari sudut saintifik, air zam-zam bersifat alkali dan akan dapat meneutralkan asid secara tidak langsung yang terhasil dalam perut.

Kerana itulah Rasulullah S.A.W. mengamalkan minum berdiri ketika meminum air zam-zam.

Selain itu, air zam-zam juga mengandungi iodin, sulfat dan nitrat dan beberapa kandungan makronutrien yang tinggi khususnya magnesium, sodium dan potassium menyebabkan air zam-zam bersifat nutritif berbanding sumber lain.

Kandungan inilah yang membuatkan air zam-zam dapat menyegarkan para jemaah haji yang meminumnya dan memberi ketahanan anti bodi kepada orang yang meminumnya.

Justeru, setiap amalan dan tindakan yang diamalkan oleh Rasulullah S.A.W pastinya terkandung seribu kebaikan dan manfaat kepada umat-umatnya. Jadi, tidak salah bukan bagi kita untuk merubah tabiat buruk kepada yang lebih baik?

“Sesungguhnya orang yang beriman itu ialah orang yang apabila disebutkan Allah akan gementar hati mereka, dan apabila dibacakan ayat-ayat-Nya (ayat-ayat Allah) akan bertambahlah iman mereka, dan kepada Rab (Tuhan) mereka bertawakal” – Surah an-Anfal : Ayat 2.

Oleh: NAIMAH SHAARI



Amenorrhoea


Kebanyakan wanita akan mengalami haid setiap bulan. Ia memberikan tanda bahawa yang sistem peranakan anda dalam keadaan yang baik dan anda adalah seorang yang sihat. Walaubagaimanpun, ada juga wanita yang mengalami gangguan haid dimana, selama beberapa bulan haid tidak datang. Sekiranya ini terjadi lebih dari 5 bulan, anda akan dikatakan mengalami amenorrhoea.

Apa Itu Amenorrhea?

Amenorrhea merujuk kepada ketiadaan haid. ia adalah masalah yang agak kerap, pada 2-5% populasi wanita. Haid yang normal terjadi satu kali setiap 21-35 hari. Kedatangan Haid adalah disebabkan oleh tindakbalas hormon yang kompleks dalam badan kita. Semasa kita mengandung atau menopos, walaupun tiada haid ia adalah keadaan normal dan semula jadi. Selain dari itu, ia sama sekali tidak normal kemungkinan disebabkan oleh pelbagai faktor berbeza.

Terdapat 2 Jenis Amenorrhea

Amenorrhea primer: Gadis yang masih tidak mengalami haid pertamanya pada usia 16 tahun dikatakan mengalami amenorrhea primer.Pada usia ini, bagi gadis yang biasa yang sudah mengalami puberti atau baligh, hormon-hormon yang terlibat dalam proses untuk memulakan haid sudahpun cukup dan haid akan datang setiap bulan. Tapi bagi mereka yang mempunyai Amenorrhea primer, hormon yang ada dalam badannya tidak cukup untuk memulakan haid. Ia banyak berlaku pada wanita yang sangat kurus dan ahli sukan kerana mereka tidak ada cukup lemak untuk menyimpan hormon estrogen didalam badan mereka.

Amenorrhea secondari: Berlaku sekiranya anda mengalami haid setiap bulan tetapi tiba-tiba haid tidak berlaku untuk lebih dari 3 bulan. Ia disebabkan oleh penurunan tahap hormon atau ketidakseimbangan hormon.

Sebab-Sebab Amenorrhea

Sekiranya anda mempunyai masalah ini, ia berpunca dari beberapa faktor yang menyebabkan kekurangan hormon seperti estrogen dan progesteron kerana sekiranya kehadiran hormon ini tidak mencukup dalam sistem badan kita,ovulasi tidak akan berlaku dan haid tidak akan bermula.

Antara Sebab-Sebab Amenorrhea Ialah:

Masalah pada kelenjar pituitari, hypothalamus dan ovari
Kehilangan dan kenaikkan berat badan yang keterlaluan
Pemakanan yang tak normal seperti anorexia dan bulimia.
Senaman yang keterlaluan
Tekanan perasaan
Masalah nutrisi yang teruk
Amenorrhea dan Kesuburan

Amenorrhea boleh memberi kesan negatif kepada kesuburan anda. Ramai wanita yang mengalami amemorhoea mempunyai masalah ovulasi dalam masa yang sama.

Ia juga mungkin disebabkan oleh:

PCOS

Hiperprolactinaemia-masalah hormon prolaktin berlebihan
Hipertyroidism-masalah hormon tiroid yang berlebihan
Selalunya, ketika kali pertama anda berjumpa dengan doktor, anda akan ditanya seolan-soalan yang berkaitan dengan gejala ini. Jadi amat penting untuk anda berjumpa dengan doktor sekiranya dalam masa yang sama anda mempunyai masalah sukar hamil

Rawatan

Rawatan bergantung kepada penyakit yang menyebabkan anda mengalami amenorrhoea. Ia termasuklah ubat hormon seperti, pill, terapi hormon atau clomiphene. Perubahan dalam pemakanan dan diet seperti makan dalam kalori yang lebih tinggi sekiranya anda seorang yang terlalu, kurangkan tekanan dan rawatan untuk masalah eating disorder seperti anorexia dan bulimia.


04 Februari 2013

Sakit kepala teruk


PERNAHKAH anda berasa sakit kepala, pandangan kabur, muntah-muntah dan sering lupa? Jika ya anda harus segera berjumpa doktor kerana dikhuatiri ia mungkin antara gejala awal barah otak.
Barah otak antara penyakit paling digeruni masyarakat dunia selain barah payudara. Ia boleh menyerang sesiapa tanpa mengira umur dan jantina sama ada kanak-kanak mahupun orang dewasa.
Menurut Perunding Pakar Bedah Otak Stereotaktik Advanced Neuroscience and Orthopaedic Clinic, Dr Chee Chee Pin, terdapat dua jenis barah yang diklasifikasikan sebagai Tumor Benigna dan Tumor Malignan. 
“Selain itu, terdapat juga dua kategori barah otak iaitu Tumor Otak Primer (berasal atau tumbuh dari otak) serta Tumor Otak Sekunder (ia berasal atau merebak dari bahagian badan seperti buah pinggang, payudara dan kulit).
“Seperti yang dinyatakan di atas, tumor benigna tumbuh secara perlahan-lahan dan tidak merebak di bahagian dalam badan. Jika tumor ini berjaya dibuang ia tidak akan menimbulkan masalah,” katanya sewaktu ditemui baru-baru ini.
Pun begitu jika barah itu terletak berdekatan struktur otak penting, ia boleh menimbulkan masalah kesihatan serius kerana ketumbuhan yang membesar boleh menyebabkan beberapa komplikasi serta mengancam nyawa.

“Bagi tumor Malignan pula, sel ketumbuhan ini berkemampuan merebak ke bahagian badan lain dan menyerang dengan pantas. Bagaimanapun tumor otak malignan jarang merebak keluar dari sistem saraf pusat.

“Berlainan dengan tumor otak Primer bermula dan terbentuk dalam otak. Ia mungkin tumbuh dan terbentuk di kawasan kecil atau merebak di kawasan berdekatan,” katanya.

Tumor secara langsung boleh memusnahkan sel otak dan secara tidak langsung memusnahkan sel-sel apabila berlaku keradangan, mampatan akibat ketumbuhan tumor, bengkak dan peningkatan tekanan dalam otak (tekanan intrakranium).

Apakah penyebab barah otak?

Sehingga kini penyebab kanser otak masih belum ditemui namun pengkaji masih mencari jawapan kepada masalah ini. 

Antara faktor utama ditemui adalah genetik, keturunan, persekitaran dan bahan kimia.

Apakah faktor yang boleh meningkatkan risiko barah otak?

Tidak terdapat faktor risiko yang jelas di kalangan pesakit yang menghidap barah otak. Kajian dijalankan mendapati sesetengah jenis barah otak lebih kerap berlaku kepada pekerja kilang penapis minyak, industri pembuatan bahan getah dan dadah selain ahli kimia.

Bagaimana insiden penyakit ini?

Barah otak boleh berlaku pada semua lapisan umur, namun kajian menunjukkan terdapat dua kumpulan umur lebih biasa mengalaminya iaitu kanak-kanak (tiga hingga 12 tahun) serta golongan dewasa (40 hingga 70 tahun).

Apakah gejala barah otak?

  • Sakit kepala yang teruk terutama di sebelah pagi berbanding tengah hari.
  • Sakit kepala berterusan diikuti loya dan muntah
  • Pandangan kabur
  • Sering lupa
  • Epilepsi (sawan, kekejangan otot dan tidak sedarkan diri)
  • Gangguan percakapan
  • Kesukaran menggerakkan kaki dan tangan
  • Gangguan ingatan atau perubahan personaliti
  • Kerap diserang sakit kepala

    Gejala di kalangan kanak-kanak

  • Loya dan muntah
  • Gangguan penglihatan seperti penglihatan berganda atau juling
  • Gangguan makanan
  • Sebelah tangan menjadi lemah dan kekok
  • Perubahan pada gaya berjalan seperti terhincut
  • Kesukaran berjalan
  • Letih dan lemah badan
  • Peningkatan berat badan
  • Perubahan pada endokrin

    Apakah jenis barah otak?

  • Supra tentoria (bahagian atas otak)
  • Infra tentoria (bahagian bawah otak)


    Kanser pada bahagian atas otak ialah:

  • Astrocytoma (ketumbuhan otak yang bukan berasal daripada sel-sel saraf)
  • Craniopharngioma (berasal daripada saki baki Rathker)
  • Kanser kelenjar pinea

    Kanser pada bahagian bawah otak ialah:

  • Infra tentorial
  • Medulloblastoma (belakang otak)
  • Cerebeller astrocytoma (ketumbuhan pada serebrum)
  • Brain stem glioma (pangkal otak)

  • Ependymoma (ketumbuhan serebral yang berasal daripada sel-sel ependimal slia. Ia menyekat cecair serebrospina dan menyebabkan hidrosefulus jenis yang paling kerap berlaku.

    Apakah rawatan yang dijalankan bagi mengesan barah otak?

    Biasanya doktor akan membuat diagnosis melalui pemeriksaan neurologi termasuk ujian mental, pemeriksaan mata, ujian pendengaran, kuasa dan pemeriksaan saraf kranial dan lain-lain. Selain itu doktor akan melakukan pemeriksaan menggunakan alat pengimbas tomografi berkomputer iaitu sejenis alat sinar-X menggunakan komputer untuk memaparkan struktur otak terperinci. 

  • Biopsi- kaedah ini dilakukan bagi mengesahkan kewujudan tumor otak disamping menentukan jenis histologi tumor.

  • Pengimbas Pet (Positron Emission Tomography)- alat ini menggunakan bahan gula yang dirawat menggunakan bahan radioaktif deoksiglukosa. Bahan ini akan disuntik dalam vena dan proses pengimbasan dilakukan.

    Rawatan

    Rawatan am dan spesifik dilakukan untuk menyembuhkan pesakit dilaksanakan oleh doktor pakar. Ada barah yang boleh dirawat 100 peratus dan ada yang tidak dapat dirawat tanpa kombinasi cara rawatan iaitu - pembedahan, radioterapi dan kimoterapi.

    Tugas pakar bedah otak ialah membuang barah, jika boleh sehingga 100 peratus tetapi ada jenis barah yang tidak dapat dibuang keseluruhannya walaupun di tangan pakar bedah yang cekap di dunia.

    Jika barah berlaku di kawasan otak, pembedahan mungkin membawa risiko tinggi. Oleh itu, rawatan radioterapi atau kimoterapi dipilih selepas biopsi dilakukan iaitu mengambil ‘daging’ barah yang berukuran 2 milimeter atau lebih untuk siasatan patalogi.

    Ada sesetengah barah dirawat dengan keadaan embolisasi mengecutkan barah itu. Radioterapi memberi rawatan berbeza daripada kaedah kecil hinggalah ke kaedah besar. 

    Cara baru rawatan barah otak yang masih kecil adalah melalui kaedah radiosurgeri iaitu menggunakan akselerator linear, cobalt gamma knife atau kaedah brachiterapi.

    Kimoterapi iaitu menggunakan ubat-ubat yang kuat dapat memberhentikan proses pertumbuhan barah kini menjadi terapi yang mendapat perhatian dunia.

    Desas-desus yang mengatakan penggunaan telefon selular sebagai salah satu punca barah otak adalah tidak benar sama sekali kerana Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) mengesahkan ia tiada kaitan antara risiko barah otak dan penggunaan telefon bimbit. Frekuensi elektromagnet telefon selular terbukti selamat.

  • Elak diserang sakit jantung


    PENYAKIT jantung sememangnya dikenali sebagai salah satu punca kematian di seluruh dunia. Di Amerika Syarikat, penyakit ini dikenal pasti sebagai punca utama, selain mencatat jumlah kematian tinggi di Kanada.

    Malaysia juga tidak terkecuali dan pengambilan makanan yang tidak seimbang disifatkan membuka langkah kepada ramai penduduk negara ini mengalaminya meskipun pada usia muda. 

    Sebelum menyenaraikan bahan makanan yang perlu dan tidak sepatutnya diambil dalam usaha memastikan diet seimbang, beri perhatian pada satu perkara pastikan jantung sihat dan jantung yang sihat tidak akan dapat berfungsi dengan baik jika sistem organ lain pula bermasalah. 

    Jantung yang baik dapat memastikan kesihatan tubuh dan minda andai keseluruhan sistem dalaman berfungsi dengan lancar. Sistem saraf, sistem pernafasan, sistem perkumuhan dan saluran darah adalah antara bahagian yang perlu sentiasa dititikberatkan kerana saling berkait rapat dengan keadaan jantung yang sihat.

    Pengambilan sayuran yang banyak, selain makanan yang memiliki asid lemak omega-3 serta vitamin C kompleks dalam diet harian sudah memadai bagi mengelakkan diri terlantar di hospital.

    Berikut beberapa sumber makanan lain yang baik untuk kesihatan jantung, yang bukan saja murah, tapi mudah didapati: 

    Emping oat 

    Mulakan hari anda dengan semangkuk emping oat yang kaya dengan asid lemak omega-3, folat dan kalium. Makanan yang kaya serat ini juga dapat menurunkan kadar kolesterol, di samping membantu mengelakkan arteri daripada tersumbat. 

    Pilih oat kasar atau organik berbanding dalam pek segera kerana ia mengandungi lebih banyak serat dan tambahkan perisa dengan pisang, kiwi atau strawberi. 

    Ikan salmon 

    Kaya dengan asid lemak omega-3, salmon secara efektif membantu mengurangkan tekanan darah dan menghindarkan saluran darah tersumbat. Cuba senaraikan ikan salmon sekurang-kurangnya dua hidangan dalam seminggu, yang mana dapat membantu mengurangkan risiko serangan jantung. 

    Salmon juga mengandungi karotenoid astaksantin, iaitu antioksidan penuh. Jika bukan peminat salmon, pilih ikan lain seperti tuna, sardin, kembung atau ikan hering. 

    Avokado 

    Tambahkan sedikit avokado dalam sandwic atau salad sebagai sumber lemak sihat dalam diet anda. Padat dengan lemak monotaktepu, avokado dapat membantu mengurangkan kolesterol buruk (atau dikenali LDL) sementara meningkatkan jumlah kolesterol baik (dipanggil HDL) dalam tubuh. 

    Avokado juga membuatkan penyerapan karotenoid lain khususnya beta karotena dan likopena - yang penting untuk kesihatan jantung. 

    Minyak zaitun 

    Kaya dengan lemak monotaktepu, minyak zaitun merendahkan tahap kolesterol LDL dan mengurangkan risiko mendapat penyakit jantung. 


    Keputusan daripada Kajian Tujuh Negara, yang melihat kejadian penyakit kardiovaskular di seluruh dunia, menunjukkan bahawa lelaki di Crete, Greece mempunyai kecenderungan untuk mendapat paras kolesterol tinggi, tapi tidak ramai yang meninggal dunia akibat penyakit jantung kerana diet mereka memberi tumpuan kepada lemak sihat yang ditemui dalam minyak zaitun. 

    Gunakan minyak zaitun jenis virgin atau extra-virgin dan gunakannya bagi menggantikan mentega ketika memasak. 

    Kacang 

    Kacang walnut penuh dengan asid lemak omega-3, selain badam dan kacang makadamia yang sarat dengan mono serta lemak politaktepu. 

    Selain itu, pengambilan kekacang dapat meningkatkan serat dalam diet. Seperti minyak zaitun, bahan makanan ini adalah sumber besar untuk lemak sihat. 

    Jadikan pengambilan kekacang sebagai snek berbanding mengambil makanan ringan yang penuh dengan bahan perisa dan pewarna. 

    Buah beri 

    Beri biru, raspberi dan strawberi - apa saja yang anda suka - penuh dengan khasiat antiradang yang membantu mengurangkan risiko penyakit jantung dan barah. 
    Beri ini juga baik untuk kesihatan sistem pembuluh darah. 

    Kacang legum 

    Kacang kuda, dal dan kacang hitam kaya dengan asid lemak omega-3. Selain itu, ia memberikan khasiat kalsium dan serat larut. 

    Bayam 

    Bayam boleh membantu mengekalkan degupan jantung normal disebabkan khasiat lutein, folat, kalium dan serat. 

    Tapi apa jua sayuran dapat memberikan rangsangan pada jantung anda. Kajian Pakar Kesihatan memeriksa lebih 15,000 lelaki tanpa penyakit jantung selama 12 tahun dan mendapati mereka yang makan sekurang-kurangnya dua setengah hidangan sayuran setiap hari berupaya mengurangkan risiko penyakit jantung hampir 25 peratus, berbanding dengan mereka yang tidak mengambil sayuran. 

    Setiap hidangan tambahan pula mengurangkan risiko sehingga 17 peratus. 

    Soya 

    Soya dikatakan membantu mengurangkan kolesterol dan disebabkan ia rendah lemak tepu, ia sumber protein yang baik untuk kesihatan jantung. 

    Pilih sumber semula jadi soya seperti kacang edamame, tempe atau tauhu organik. 
    Susu soya pula adalah tambahan yang baik kepada semangkuk emping oat atau bijirin gandung. 

    Elakkan soya yang diproses kerana mengandungi garam tambahan yang boleh meningkatkan tekanan darah tinggi.

    02 Februari 2013

    Emosi terkawal lebih sejahtera

    Perlakuan ini dikatakan di luar batas pemikiran waras. Apabila emosi marah meluap-luap dalam hati akhirnya menyebabkan manusia bertindak ganas dan tidak dapat mengawal perasaannya.

    Harian Metro sering memaparkan keganasan yang tidak dapat dikawal menyebabkan pelbagai insiden tidak baik berlaku. Antara tajuk berita yang menarik perhatian ialah ‘Tiga beradik naik angin di luar mahkamah Syariah,’ ‘Wanita tujuh anak dilanggar suami,’ ‘Guru patah hidung ditumbuk murid,” dan “20 belasah pelajar.’

    Begitulah paparan berita yang menunjukkan manusia pada masa kini tidak lagi dapat mengawal emosi, terutama emosi marah. Fenomena ini dikatakan sering berlaku di mana-mana saja dan mencetuskan pelbagai kesan tidak baik akibat tidak dapat mengawal emosi dan perasaan.

    Kajian pakar psikologi Goleman mengenal pasti manusia mempunyai lapan jenis emosi utama iaitu marah, sedih, takut, gembira, sayang, hairan, benci dan malu. Antaranya perasaan marah merupakan emosi yang sering timbul dalam perasaan manusia.

    Menurutnya, emosi merupakan suatu perasaan jiwa yang kuat. Sebagai contoh, perasaan marah jika tidak dapat dikawal ia boleh mencetuskan pelbagai kesan dan insiden tidak baik seperti pergaduhan, perkelahian, amuk, memukul orang lain dan tindakan ganas.

    Oleh itu, kebolehan menguruskan hubungan dengan emosi dan perasaan yang baik sangat penting. Teknik menguruskan hubungan, sebahagian besarnya adalah kemahiran mengurus emosi dengan orang lain. Kebolehan ini berkait rapat dengan populariti atau kualiti yang disanjung.

    Justeru, emosi juga mempunyai kecerdasan jika dikawal. Mengikut teori kecerdasan emosi yang dikembangkan daripada teori kognitif emosi adalah integrasi elemen emosi dengan kognitif struktur seseorang.

    Emosi ini dikatakan dihasilkan dan dipengaruhi tiga faktor seperti situasi persekitaran, keadaan fisiologi dan proses kognitif. Jelaslah, manusia yang dapat mengawal emosi marahnya dan menukarkan kepada kecerdasan emosi adalah manusia yang hebat dan kuat.

    Dalam Islam, manusia yang dapat mengawal marah dengan sabar adalah manusia yang kuat dan beriman. Setiap orang seharusnya memahami emosi diri dan mengawal kemarahan. Mereka juga mesti mampu mengurus emosi dengan lebih berkesan terhadap perasaan kecewa dan emosi marahnya.

    Justeru, dalam pergaulan seharian seseorang itu seharusnya dapat mengawal emosinya supaya tidak mudah marah, panas baran, naik angin dan meradang tidak tentu pasal. Mengawal emosi dengan lebih berkesan akan menjadikan seseorang itu lebih berjaya mengenal diri sendiri dan orang lain.

    Keutamaan ikhlas, taat kepada Allah, sabar dan sentiasa menerima suratan dan musibah yang ditentukan dapat mengawal kemarahan. Sifat sabar juga sebagai pendinding kepada sifat marah dengan menjauhi akhlak yang buruk dan menggantikannya dengan akhlak baik dan terpuji. Rasulullah s.a.w pernah berpesan: “Sabar yang sebenarnya ialah sabar pada saat bermula ditimpa musibah.” (Riwayat Al Bukhari).


    Mendidik hati dan jiwa dengan sifat sabar memerlukan latihan dan amalan. Pendidikan yang dilakukan secara berterusan dengan amal dan akhlak yang baik akan dapat meningkatkan emosi baik atau kecerdasan emosi ke arah kebaikan dalam hidup. Seterusnya Nabi juga pernah berpesan bahawa marah itu merosak iman, bagai barang yang pahit merosak madu.

    Dikatakan kemarahan itu bagaikan api yang meniup pada lampu dalam fikiran. Kemarahan yang tidak dikekang sering kali menyebabkan pelbagai perkara tidak baik. Apabila kemarahan dapat dikawal dan ditahan kebijaksanaan akan diperoleh.

    Dalam kehidupan, kita sering berhadapan pelbagai situasi yang boleh menyebabkan kemarahan, sebagai contoh kesesakan di jalan raya, masalah di tempat kerja, pergaduhan dalam rumah tangga, perselisihan dengan jiran tetangga sering kali mencetuskan kemarahan jika tidak dikawal.

    Lantaran itu, membaca dan memahami emosi sendiri amat penting terutama ketika marah. Melaluinya seseorang itu dapat meningkatkan keupayaan menerima perasaan orang lain. Peningkatan empati dan sifat sensitif terhadap perasaan orang lain. Sedia dan cekap mendengar kata orang lain.

    Sifat mudah marah dan keganasan mempunyai kaitan amat rapat. Semuanya disebabkan seseorang itu tidak dapat mengawal dan mengurus emosi, hanya mementingkan emosi diri sendiri, tidak berjaya mengurus emosi dalam hubungan dengan orang lain.

    Setiap orang mempunyai sebab mengapa mereka marah, tetapi jarang sekali sebab itu munasabah. Jika perasaan marah tidak dikawal akan meletup secara meluap-luap dan membawa akibat yang buruk kepada diri sendiri dan orang lain.

    Oleh sebab marah dan keganasan dibina atas kemarahan, bagi meredakannya sebarang provokasi seharusnya dielakkan. Di samping itu, orang yang sedang marah harus berusaha mengalihkan perasaan marah kepada perkara yang disukainya seperti mendengar lagu, bersiar-siar, bersukan, mengamalkan gaya hidup sihat supaya mengelakkan daripada kemarahannya.

    Islam menyarankan seseorang yang sedang marah diminta menjauhkan diri dari kawasan pertengkaran, mengambil wuduk, banyak berselawat, berzikir dan beristighfar kepada Allah. Cara tersebut bertujuan memberi tempoh bertenang demi mengurangkan kadar kemarahan, membiarkan pemikiran rasionalnya menguasai diri dalam perspektif yang positif.

    Ironinya, apabila kita mengubah rasa marah itu menjadi cinta kasih, maka dunia akan menjadi syurga. Elakkan marah dalam hubungan dengan orang lain yang boleh menyebabkan keganasan yang melampau dan menyebabkan perkara yang tidak diingini berlaku.

    01 Februari 2013

    Diet sihat elak penyakit

    BERDASARKAN Kajian Kesihatan dan Morbiditi Nasional ketiga, 70 peratus daripada rakyat Malaysia dalam semua kumpulan usia mengamalkan diet tidak sihat dengan pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran yang tidak mencukupi. Selain itu, hanya 30 peratus daripadanya kerap bersenam dan mengamalkan gaya hidup sihat.

    Di negara maju seperti Jepun, Korea dan negara Timur Tengah, rakyat mereka hidup lebih lama kerana mengamalkan pemakanan serta gaya hidup sihat. Salah satu unsur dalam diet mereka ialah makanan berasaskan tumbuh-tumbuhan, buah-buahan, bijirin penuh dan sederhana dalam protein tanpa lemak seperti ikan dan minyak.

    Menurut pakar pemakanan, Indra Balaratnam, di Malaysia isu kesihatan yang biasa dihadapi adalah berkaitan kurangnya pengambilan buah-buahan dan sayuran yang mempunyai manfaat dalam kesihatan selain bebas rokok, tidak mengambil minuman beralkohol dan dadah.

    “Pemakanan yang baik adalah apabila seseorang mengamalkan makanan sihat bagi mengekalkan berat badan supaya tidak terlalu berat atau kurus. Bersenam untuk menguatkan jantung, paru-paru dan otot, tidur yang cukup sekurang-kurangnya lapan jam sehari serta menguruskan tahap tekanan yang akan mempengaruhi kehidupan,” katanya.

    Malangnya, kebanyakan individu tidak mahu berkompromi dalam memilih makanan dan makan apa saja bagi memenuhi perut mereka. Tanpa sedar mereka mengambil makanan segera kerana lebih cepat dan mudah. Makanan ini dipenuhi lemak tepu, garam dan pengawet serta mengalami kehilangan vitamin dan mineral semula jadi akibat pemprosesan.

    Akibat pengambilan makanan tidak sihat, pelbagai penyakit muncul yang menyebabkan kesihatan mulai merosot. Namun semua ini boleh dielakkan sekiranya setiap orang menukar corak pemakanan dengan melebihkan buah-buahan dan sayur-sayuran. Berikut panduan daripada Indra untuk membantu menghindari penyakit dengan pengambilan buah-buahan segar.

    Jerawat

    Jerawat terjadi disebabkan folikel rambut pada kulit tersumbat dengan minyak dan sel kulit mati. Biasanya, ini memberi kesan kepada kanak-kanak yang mula beralih ke usia remaja. Malah orang tua juga mengalaminya akibat perubahan hormon. Bagi remaja, jerawat menyebabkan mereka kurang keyakinan diri. Apatah lagi, sekiranya ia meninggalkan parut kekal yang memberi kesan kepada penampilan dan sosial mereka.

    Kesan jerawat boleh diminimumkan dengan pengambilan beta karotena (sebatian yang akan bertukar menjadi vitamin aktif apabila badan memerlukan) dan vitamin C. Nutrien ini mempunyai kualiti antioksida yang tinggi serta menghalang kehadiran bakteria pada kulit.

    Buah-buahan dan sayur-sayuran yang kaya beta karotena berwarna kuning seperti oren, betik, mangga, kapsicum kuning, labu dan kentang manis. Vitamin C boleh ditemui dalam beri hitam, strawberi, buah-buahan sitrus dan sayur-sayuran berdaun hijau. Namun kebanyakan remaja kurang menyukai sayur-sayuran hijau.
    Jadi cara mudah membantu mendapatkan nutrien bagi memperbaiki keadaan jerawat adalah dengan mencampurkannya menjadi jus. Ia adalah pengganti minuman yang jauh lebih baik daripada minuman berkarbonat serta manis.

    Jus untuk dicuba: Oren bersama mangga, limau gedang bersama lobak merah, tomato bersama lobak merah, epal, tembikai susu dan timun.

    Tekanan darah tinggi

    Hipertensi berlaku apabila tekanan darah sangat tinggi dan berisiko mendapat serangan jantung dan strok. Persatuan Jantung Amerika menyarankan diet untuk pesakit darah tinggi perlu tertumpu kepada buah-buahan segar, sayur-sayuran, bijirin penuh, tenusu rendah lemak dan potongan daging tanpa lemak.

    Dalam hal ini, pengambilan empat hidangan dengan mengandungi buah-buahan dan sayur-sayuran setiap hari antara 1,800 hingga 2,200 kalori mampu mengurangkan tekanan darah tinggi.

    Buah-buahan dan sayur-sayuran mengandungi jumlah nutrien seperti kalium yang membantu mengawal dan mengimbangi kandungan natrium dalam darah seterusnya menstabilkan tekanan darah tinggi dengan lebih berkesan.

    Tujuh hingga sembilan hidangan buah-buahan dan sayur-sayuran boleh menjadi agak sukar bagi sesetengah orang terutama jika mereka tidak pernah mengambil dua hingga tiga hidangan sehari.

    Ini boleh dilakukan dengan mencampurkan semua jenis buah-buahan dan sayur-sayuran ke dalam hidangan utama iaitu ketika bersarapan dengan sepotong buah yang dimasukkan ke dalam bijirin sarapan, minum jus buah-buahan ketika makan tengah hari dan makan pelbagai buah-buahan sebagai pencuci mulut untuk makan malam.

    Jus perlu dicuba: Epal bersama timun dan saderi atau jambu batu bersama saderi dan buah naga.

    Kegemukan

    Tidak ramai orang menganggap obesiti sebagai salah satu penyakit kerana mereka tidak menjangkakan kesan langsung kepada kesihatan. Kegemukan sebenarnya salah satu faktor kepada masalah kesihatan seperti kemandulan, kencing manis, tekanan darah tinggi, sakit sendi, jantung dan kanser. Statistik menunjukkan terdapat kemungkinan besar seorang kanak-kanak montel akan membesar menjadi dewasa obes jika langkah pencegahan tidak dilakukan.

    Penawar terbaik memerangi kegemukan adalah dengan melakukan aktiviti fizikal, makan makanan tinggi serat dan mengamalkan diet seimbang. Buah-buahan dan sayur-sayuran adalah pilihan makanan yang baik kerana memiliki rendah kalori secara semula jadi serta menyumbang sejumlah besar serat dalam diet.

    Dengan menggantikan kalori makanan yang tinggi dengan hasil kalori yang lebih rendah ini dapat membantu seseorang berasa kenyang tanpa makan terlalu banyak.

    Mengisar buah-buahan dan sayur-sayuran untuk dijadikan jus adalah cara terbaik menurunkan berat badan tanpa perlu menikmati hidangan penuh.

    Jus untuk dicuba: Oren bersama lemon dan saderi atau oren bersama mangga dan pear.

    Penyakit mata

    Penyakit mata adalah punca utama kecacatan penglihatan di kalangan orang tua.
    Berdasarkan statistik Amerika, dianggarkan 20 juta rakyat Amerika berumur 40 dan ke atas menghidap katarak. Ini berlaku apabila protein dalam kanta mata rosak, menyebabkan lapisan legap menjejaskan penglihatan. Katarak boleh dirawat dengan menukar kanta melalui pembedahan atau rawatan laser.

    Penyelidik menemui kaitan antara penyakit mata dengan nutrien utama iaitu vitamin C, karotenoid E, beta karotena, lutein dan zeaxanthin, asid lemak omega-3, asid folik, vitamin B6 dan B12. Kebanyakan nutrien ini banyak terdapat di dalam buah-buahan, sayur-sayuran, bijirin penuh dan daging tanpa lemak.

    Jus untuk dicuba: Oren bersama epal dan lobak merah.

    Kemandulan

    Pada zaman moden ini masalah kemandulan semakin tinggi yang bukan saja dihadapi wanita malah lelaki. Terdapat beberapa faktor penyebab peningkatan masalah kesuburan iaitu obesiti, pemakanan yang tidak sihat serta kekurangan vitamin D dan asid folik, tekanan dan gaya hidup tidak sihat.

    Kekurangan zink dikenal pasti berkait dengan jumlah sperma yang rendah pada lelaki. Zink boleh didapati dalam makanan laut, ikan, bunga matahari dan biji labu. Vitamin B6 pula boleh ditemui dalam bijirin dan produk tenusu, brokoli, cendawan, kacang, telur dan daging. Paras zat besi yang rendah, menjadi faktor utama dalam kemandulan. Zat besi boleh didapati dalam kebanyakan daging merah dan organ haiwan.

    Jus untuk dicuba: Jambu batu bersama saderi dan buah naga atau anggur bersama avakado, susu, madu dan jus anggur bersama lobak merah.

    Kolesterol tinggi

    Kolesterol berlebihan disebabkan gaya hidup dan amalan pemakanan tidak sihat.
    Diet yang tinggi lemak tepu boleh menyebabkan pengumpulan tambahan kolesterol dalam arteri darah yang akhirnya menyebabkan pengaliran darah terhad.

    Mengurangkan kolesterol adalah dengan makan makanan rendah lemak, tinggi serat terutama buah-buahan, sayur-sayuran dan bijirin penuh. Pilih daging tanpa lemak, ikan, kacang dan tenusu rendah lemak. Kurangkan pengambilan minyak masak lemak tepu dan menggantikannya dengan minyak yang mempunyai peratusan lebih tinggi lemak tidak tepu.

    Serat beta glucan yang ditemui pada oat, barli dan bijirin terbukti mampu mengurangkan paras kolesterol jika dimakan setiap hari. Ramai orang tidak suka makan oat disebabkan rasa bergetah. Bagaimanapun, untuk rasa enak gabungkan oat bersama jus buah-buahan.

    Jus untuk dicuba: Avakado bersama nanas dan susu. Kemudian kisar bijirin penuh seperti oat ke dalam jus bagi meningkatkan pengambilan serat beta glucan.

    Kanser

    Kini kanser menjadi penyakit yang sangat membimbangkan. Penyelidikan ke dalam diet harian mendapati pengambilan buah-buahan, sayur-sayuran dan bijirin penuh mengandungi antioksidan dan serat mampu mengurangkan risiko kanser tumor.
    Terdapat bukti menunjukkan makan buah-buahan dalam sehari boleh mencegah kanser mulut, larinks, esofagus, paru-paru dan perut.

    Jus untuk dicuba: Oren bersama epal atau kiwi bersama betik dan pear.

    Diabetes

    Makanan mempunyai paras indeks glisemik rendah disyor�kan untuk pesakit kencing manis. Beberapa buah-buahan yang disyorkan seperti epal, prun, strawberi, pear dan plum iaitu dalam jumlah satu cawan. Elakkan pengambilan makanan tinggi gula dan garam serta makanan berlemak.

    Jus untuk dicuba: Epal bersama strawberi atau pear bersama plum. Minum setiap hari untuk kekal sihat dan menurunkan kandungan gula dalam darah.


    Buah-buahan pulih tenaga selepas berpuasa


    Ramai tidak tahu kekurangan tenaga boleh menjejaskan kecerdasan dan tumpuan belajar serta menjalankan tugasan harian. Apabila ini berlaku badan menjadi lemah dan lesu serta boleh menyebabkan munculnya penyakit lain seperti demam, batuk atau selesema.

    Menurut pakar pemakanan, untuk mendapatkan bekalan tenaga dengan kadar segera, pengambilan buah-buahan seperti pisang, tembikai, epal, pear, prun, oren, jambu batu, anggur dan semua jenis beri adalah sangat bagus sepanjang berpuasa nanti.

    Buah-buahan ini boleh dimakan begitu saja atau enak dibuat jus bagi mengisi keperluan nutrien sama ada ketika berbuka puasa dan bersahur.

    “Anda boleh mencuba campuran jus tembikai bersama belimbing atau jus epal hijau bersama jambu batu dan oren untuk mendapatkan bekalan tenaga mencukupi,” katanya.

    Selain itu masalah yang sering dihadapi ialah nafas berbau yang disebabkan kekurangan air dan bendalir dalam badan. Oleh itu, penting memastikan penghidratan mulut dan mencegah pengumpulan sebatian mengandungi sulfur yang boleh menjejaskan gusi.

    “Namun jangan bimbang kerana semua ini boleh dielakkan hanya dengan pengambilan buah-buahan dalam kadar mencukupi. Bagi mengurangkan masalah nafas berbau, masukkan nanas dan betik ke dalam masakan atau mengambilnya sebagai buah-buahan segar ketika berbuka puasa. Nanas boleh dimasak sebagai pajeri manakala betik muda boleh dibuat rojak yang enak dimakan bersama sajian tempatan berempah atau pedas. Untuk menghilang rasa pedas, kunyah beberapa potong nanas segar selepas makan,” nasihat Indra.

    Selain khasiat dalam pemakanan sepanjang Ramadan, Indra juga menggalakkan orang ramai menjadikan buah-buahan sebagai hadiah ketika berkunjung ke rumah rakan atau sajian pada hari raya dan majlis rumah terbuka kelak.

    Perkara paling penting adalah mengawal nafsu makan sama ada ketika berpuasa atau musim perayaan nanti. Pelbagai juadah lazat dihidangkan di meja mungkin akan menyebabkan anda makan apa saja sehingga boleh menjejaskan kesihatan.

    “Selain keseronokan, musim perayaan juga boleh membawa tekanan. Namun perkara ini boleh dielakkan sekiranya individu mempunyai bekalan buah-buahan yang kaya vitamin C untuk membantu memperkuatkan sistem imunisasi dan menjauhkan selesema dan sakit tekak. Buah-buahan merah atau ungu kaya antioksidan dapat menguatkan kekebalan tubuh. Ambil lebih banyak buah-buahan yang kaya antioksidan, untuk membantu menentang kesan kerosakan pada badan,” katanya.

    Jelasnya, ramai orang tidak dapat mengawal nafsu makan sedangkan pengambilan makanan secara berlebihan memberi kesan buruk kepada tubuh. Untuk mengelak masalah makanan tidak hadam pula, makan nanas selepas mengambil makanan berat kerana nanas mengandungi enzim bromelain yang membantu penghadaman.

    Sesiapa juga mampu kelihatan menarik dan kekal langsing dengan bantuan buah-buahan. Ini terbukti daripada kajian di Britain baru-baru ini yang menunjukkan pengambilan dua hidangan tambahan sayuran dan buah-buahan seperti lobak merah dan tomato membantu mencantikkan warna kulit.

    Menurut pakar penyelidik, pigmen karetonoid jingga kemerahan membantu menjadikan kulit lebih berseri.

    “Minum campuran jus tomato dan lobak merah bersama epal untuk mendapatkan tambahan karetonoid atau jus tembikai susu bersama mentimun yang membantu melicinkan kulit,” ujarnya.