16 Februari 2013

Kenapa Rasulullah Larang Minum Berdiri?


Sebagai manusia biasa, kadang-kadang kita gemar melakukan sesuatu perkara itu tanpa mengetahui sama ada ia membawa kebaikan atau keburukan terhadap diri kita.

Perkara yang paling mudah di pandang enteng oleh manusia adalah sikap suka minum sambil berdiri.

Pergilah kemana-mana sahaja sekali pun, akan jelas kita diperlihatkan dengan kerenah manusia yang minum berdiri sama ada di tepi jalan, ketika melepak mahu pun ketika membeli-belah.

Jelas sekali tabiat buruk minum berdiri sama sekali ditegah oleh Rasulullah S.A.W kerana tabiat ini mampu memberikan kesan kepada kesihatan tubuh badan untuk jangka masa panjang.

Menurut pakar perubatan, Dr. Abdul Razzak Al-Kailani berkata, makan dan minum secara duduk lebih baik dari segi kesihatan, lebih selamat dan lebih puas di mana makanan dan minuman lalu di dinding perut dengan secara tenang.

Kajian perubatan juga menunjukkan di dalam tubuh badan manusia terdapatnya sejenis penapis ‘sfringer’ yang bertindak membuka bukaannya ketika duduk dan tertutup ketika berdiri.

Air yang diminum setiap hari bukanlah 100% ditapis sepenuhnya dan apabila masuk ke dalam tubuh badan, sfringer akan bertindak menapis segala benda asing dalam air sebelum disalurkan ke seluruh tubuh.

Jadi, sekiranya air masuk ketika tubuh berdiri, maka air itu tidak akan ditapis terlebih dahulu kerana sfringer tertutup dan terus dibawa ke kantung kecing yang boleh menyebabkan timbulnya penyakit lain iaitu penyakit batu karang.

Minum secara berdiri juga akan memberikan tekanan penurunan air yang tinggi ke dalam perut dan keadaan itu menyebabkan kondisi perut terkejut.

Malah, air akan jatuh ke lapisan perut dengan keras dan akan melanggar lapisan dinding-dinding perut.

Sekiranya tabiat minum berdiri selalu diamalkan, dinding-dinding perut akan menjadi longgar dan akan menimbulkan penyakit lain iaitu susahnya untuk menghadamkan makanan.

Seorang lagi pakar kajian, Dr. Ibrahim Ar-Rawi juga berpendapat, ketika tubuh berdiri, otot-otot badan akan menjadi tegang dan akan turut memberi tekanan kepada sistem saraf pusat (Central Nervous System) kerana terpaksa berkerja ‘terlampau’ aktif mengawal semua otot untuk melakukan proses pengimbangan badan ketika berdiri.

Keadaan itulah yang akan menyebabkan organ-organ dalam badan tidak dapat berehat seketika selepas berkerja.

Berbeza ketika minum secara duduk, sistem saraf dan otot akan berada di dalam keadaan tenang dan mampu untuk menjalankan tugas dan memproses segala bentuk bahan secara betul yang masuk ke dalam badan termasuklah air dan makanan.

Namun, Rasulullah S.A.W mengharuskan untuk minum dalam keadaan berdiri bergantung kepada keadaan seperti berada di tempat yang terlalu sesak dengan orang ramai.

Berlainan pula dengan kisah di mana Rasulullah S.A.W minum air zam-zam dalam keadaan berdiri berdasarkan hadis dari Ibn Abbas.

Air zam-zam mengandungi kandungan fluorida yang tinggi yang memiliki daya efektif membunuh kuman dan mengandungi kalsium dan garam magnesium yang tinggi berbanding sumber air-air yang lain seperti keputusan kajian yang terhasil dari pakar-pakar pengkaji.

Dari sudut saintifik, air zam-zam bersifat alkali dan akan dapat meneutralkan asid secara tidak langsung yang terhasil dalam perut.

Kerana itulah Rasulullah S.A.W. mengamalkan minum berdiri ketika meminum air zam-zam.

Selain itu, air zam-zam juga mengandungi iodin, sulfat dan nitrat dan beberapa kandungan makronutrien yang tinggi khususnya magnesium, sodium dan potassium menyebabkan air zam-zam bersifat nutritif berbanding sumber lain.

Kandungan inilah yang membuatkan air zam-zam dapat menyegarkan para jemaah haji yang meminumnya dan memberi ketahanan anti bodi kepada orang yang meminumnya.

Justeru, setiap amalan dan tindakan yang diamalkan oleh Rasulullah S.A.W pastinya terkandung seribu kebaikan dan manfaat kepada umat-umatnya. Jadi, tidak salah bukan bagi kita untuk merubah tabiat buruk kepada yang lebih baik?

“Sesungguhnya orang yang beriman itu ialah orang yang apabila disebutkan Allah akan gementar hati mereka, dan apabila dibacakan ayat-ayat-Nya (ayat-ayat Allah) akan bertambahlah iman mereka, dan kepada Rab (Tuhan) mereka bertawakal” – Surah an-Anfal : Ayat 2.

Oleh: NAIMAH SHAARI



0 comments: