24 April 2015

Trauma ekzema

RAMAI menyangkakan persekitaran atau cara hidup yang tidak mengutamakan kebersihan sebagai penyebab terjadinya jangkitan atau kegatalan kulit. Namun, hakikatnya, persekitaran yang terlalu bersih juga boleh menyebabkan jangkitan, kegatalan atau alahan kepada kulit.

Penyakit ekzema, kegatalan atau radang kulit misalnya, lebih banyak ditemui di negara maju, yang kebiasaan rakyatnya mengambil berat mengenai kebersihan. Bilangan penghidap ekzema yang tinggi dicatatkan di negara maju sejak tiga dekad yang lalu.

“Ia barangkali disebabkan persekitaran terlalu bersih di negara maju hingga membuatkan sistem imun badan seseorang itu malas, seterusnya tidak dapat membezakan antara unsur baik ataupun jahat.

“Sistem imun yang malas ini akan bertindak balas dengan setiap bakteria yang ada hingga membuatkan seseorang terlampau sensitif dan mudah mendapat alahan,” kata Perunding Dermatologi Pediatrik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Leong Kin Fon.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran kempen menentang ekzema di Malaysia,‘United Against Itch’, anjuran LEO Pharma baru-baru ini.



Baca Lagi...

11 April 2015

Ekzema radang kulit

Oleh NORAINON OTHMAN

Dikenali juga sebagai atopic dermatitis, ia berlaku disebabkan jangkitan bakteria di kawasan berpeluh yang menyebabkan kulit menjadi kemerahan, gatal dan berkerak. Ruam merah berkenaan kelihatan seperti kulit melecur.

Radang kulit ini berlaku pada semua bangsa dan pelbagai peringkat umur. 
Kira-kira 85 peratus kes dihidapi kanak-kanak berusia bawah lima tahun. Ia boleh berlaku di mana-mana bahagian tubuh, misalnya di lipatan leher, lengan, kaki, hidung, muka dan pelipat kaki.

Penyakit ini boleh pulih tetapi bergantung kepada ketahanan antibodi seseorang sama ada pada usia dua, enam atau 12 tahun. Dalam sesetengah kes, penyakit ini dihidapi pesakit hingga ke akhir hayat.

Komplikasi ekzema ialah gatal menyebabkan pesakit sering menggaru. Akibatnya, mereka terdedah kepada jangkitan kuman serta menyebabkan nanah. Ada pesakit yang mengalami ekzema daripada kepala hingga ke tubuh.

Jika ekzema dihidapi serius, steroid akan digunakan untuk merawat masalah itu atau pesakit dimasukkan ke dalam wad untuk rawatan selanjutnya.

Perunding Pediatrik Pusat Perubatan Kelana Jaya, Dr Syed Nazir Ms Kadir berkata, ekzema bukan penyakit popular satu masa dulu, tetapi bilangan penghidapnya kini semakin meningkat disebabkan faktor persekitaran dan pemakanan.

“Semua orang terdedah kepada risiko mendapat ekzema tetapi risiko lebih tinggi kepada yang ada sejarah penyakit tertentu seperti asma, alergi dan ekzema dalam keluarga,” katanya.

Menurutnya, disebabkan salah tanggapan ekzema boleh berjangkit, ada individu menjauhi pesakit ekzema. Bagaimanapun, penyakit radang kulit itu bukan penyakit berjangkit, sebaliknya berpunca daripada sistem imun yang lemah.

“Jangan buat kanak-kanak penghidap ekzema berasa tersisih. Emosi mereka terganggu kerana penyakit ini membataskan aktiviti mereka.

“Mereka tidak boleh bermain seperti kanak-kanak lain kerana penyakit ekzema menjadi lebih buruk apabila mereka berpeluh,” katanya.

Dr Syed Nazir berkata, penyakit itu datang dan pergi menyebabkan pesakit harus mengambil langkah pencegahan bagi mengelak ia berulang.

Antara perkara yang perlu dihindarkan pesakit ialah menggunakan sabun mandi yang mempunyai pewangi kerana ia mengandungi lebih banyak bahan kimia yang boleh menyebabkan kulit kering.

Pesakit juga perlu mengelak berada di tempat panas kerana kulit mereka yang sensitif akan memberi kesan buruk apabila berpeluh.

Mereka juga menghindarkan kulit daripada bahan atau perkara yang boleh mencetuskan ekzema seperti kosmetik, pakaian, sabun pencuci pakaian mahupun barang kemas. Selain itu, elak juga pakaian tebal yang mudah membuatkan mereka berpeluh.

Pesakit harus menyapu pelembap bagi mengelak kulit kering. Jika ekzema dihidapi serius, steroid akan digunakan untuk mengurangkan masalah itu.




Baca Lagi...

08 April 2015

Diet sihat elak penyakit

Oleh Siti Zarinah Sahib

BERDASARKAN Kajian Kesihatan dan Morbiditi Nasional ketiga, 70 peratus daripada rakyat Malaysia dalam semua kumpulan usia mengamalkan diet tidak sihat dengan pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran yang tidak mencukupi. Selain itu, hanya 30 peratus daripadanya kerap bersenam dan mengamalkan gaya hidup sihat.

Di negara maju seperti Jepun, Korea dan negara Timur Tengah, rakyat mereka hidup lebih lama kerana mengamalkan pemakanan serta gaya hidup sihat. Salah satu unsur dalam diet mereka ialah makanan berasaskan tumbuh-tumbuhan, buah-buahan, bijirin penuh dan sederhana dalam protein tanpa lemak seperti ikan dan minyak. 

Menurut pakar pemakanan, Indra Balaratnam, di Malaysia isu kesihatan yang biasa dihadapi adalah berkaitan kurangnya pengambilan buah-buahan dan sayuran yang mempunyai manfaat dalam kesihatan selain bebas rokok, tidak me­ngambil minuman beralkohol dan dadah. 

Pemakanan yang baik adalah apabila seseorang mengamalkan makanan sihat bagi mengekalkan berat badan supaya tidak terlalu berat atau kurus. Bersenam untuk menguatkan jantung, paru-paru dan otot, tidur yang cukup sekurang-kurangnya lapan jam sehari serta menguruskan tahap tekanan yang akan mempengaruhi kehidupan,” katanya.

Malangnya, kebanyakan individu tidak mahu berkompromi dalam memilih makanan dan makan apa saja bagi memenuhi perut mereka. Tanpa sedar mereka mengambil makanan segera kerana lebih cepat dan mudah. Makanan ini dipenuhi lemak tepu, garam dan pengawet serta mengalami kehilangan vitamin dan mineral semula jadi akibat pemprosesan.


Baca Lagi...

07 April 2015

6 makanan bakar lemak

Banyak perkara yang boleh diperkatakan mengenai penurunan berat badan sehinggakan tiada satu pun dianggap mustahil. Ini kerana terdapat pelbagai cara menurunkan berat badan terutama mengehadkan pengambilan makanan berkalori tinggi dan bersenam setiap hari.

Menurut pakar pemakanan Orlando Magic, Tara Gidus, ada beberapa makanan yang dapat membantu fungsi pembakaran lemak dipanggil termogenik. Makanan termogenik membakar lebih banyak kalori.

Penulis buku Weight Loss: The Alternative Medicine Guide menjelaskan, makanan pembakar lemak mempunyai tiga karakter iaitu mengandungi protein, lemak dan serat yang tinggi.

"Makanan ini walaupun mengandungi lemak, ia memerlukan tenaga ketika proses penghadamannya. Ini membuatkan proses pembakaran lemak menjadi lebih cepat," ujarnya.

Berdasarkan kajian, terdapat enam makanan membakar lemak terbaik antaranya:

Daging tanpa lemak

Mengambil daging tanpa lemak untuk makan tengah hari akan membuatkan anda kenyang lebih lama. Ini kerana daging kaya protein sehingga memerlukan banyak tenaga ketika proses penghadaman.

Sekiranya tubuh memerlukan lebih tenaga untuk pemecahan protein yang terkandung dalam daging, ini bererti tubuh memerlukan lebih banyak kalori untuk membakarnya.

Teh hijau

Jurnal Nutrisi Klinikal Amerika melaporkan, minum empat cawan teh hijau setiap hari membuatkan berat badan berkurangan sehingga enam kilogram dalam tempoh lapan minggu. Ini kerana kandungan EGCG iaitu sejenis bahan antioksidan di dalam teh hijau menjadikan minuman ini sangat berkesan sebagai bahan pembakar lemak.

Avokado

Avokado mempunyai nilai kalori yang sangat tinggi, kaya lemak serta tinggi kandungan serat yang membantu membakar banyak lemak. Pengambilan avokado dalam hidangan harian menjadikan pembakaran kalori berlaku setiap hari.

Badam

Segenggam badam mengandung protein, lemak dan serat. Badam memberikan rasa kenyang lebih lama dan membantu membakar lemak tiga kali lebih cepat berbanding kekacang lain.

Cili merah

Ramai tidak tahu cili merah yang berfungsi menambah rasa pedas dalam masakan membantu meningkatkan kemampuan tubuh membakar lemak. Ini kerana kandungan capsaicin di dalam cili meningkat-

kan metabolisme.

Kopi

Kafein juga mampu membuat metabolisme bekerja lebih cepat. Ini kerana kafein dapat melakukan proses pemecahan lemak atau liposis. Satu atau dua cawan kopi setiap hari sudah mencukupi untuk pembakaran kalori anda.

Selain itu, pastikan anda mengambil banyak sayur-sayuran hijau dan buah-buahan kerana kedua-duanya membantu mengurangkan rasa lapar. Kandungan gula semula jadi yang terdapat di dalamnya memberikan rasa kenyang lebih lama.

Untuk mengelak rasa bosan, buah boleh dijadikan salad, jus atau snek harian. Jangan lupa, bersenam setiap hari selama 10 minit membantu tubuh kekal langsing dan sihat.


Baca Lagi...

06 April 2015

Toksik punca penyakit hati

MENGIKUT laporan Yayasan Hati Malaysia (MLF) tahun lalu, dianggarkan 2.5 juta penduduk di negara ini menderita penyakit hepatitis kronik dan jumlah itu tidak termasuk penyakit hati serius seperti jaundis serta sirosis hati (parut pada hati) akibat pengambilan alkohol.

Kombinasi makanan tidak berkhasiat, merokok, pengambilan alkohol, minuman berkarbonat, makanan dengan pewarna, pengawet dan racun perosak memberi kesan kepada organ yang bertanggungjawab menyingkirkan toksik dalam tubuh, menyebabkan seseorang itu terdedah kepada penyakit hati pada usia muda.

Wanita lebih terdedah penyakit hati sekalipun menjalani gaya hidup sihat tanpa mengambil alkohol dan merokok. Alat solek, barangan penjagaan diri dan rambut mungkin memberi kesan kepada sistem hormon kerana pelbagai jenis toksik daripada barangan berkenaan mudah menyerap melalui kulit.

Tambahan pula, wanita sering terdedah kepada produk pembersihan rumah yang mengandungi lebih 30 toksik dan bahan kimia yang menghakis, sesetengah daripadanya berbau harum yang memberi tanggapan salah bahawa ia bersih dan segar.

Antara gejala kemerosotan hati ialah gangguan sistem imun yang kerap menyebabkan penyakit yang memberi tekanan kepada tubuh dan boleh menyebabkan cepat tua, letih, mengantuk dan kurang daya tumpuan, kemurungan dan perubahan emosi, jerawat badan, cela pada kulit wajah, lingkaran gelap dan bengkak merah pada mata, peluh berlebihan dan badan berbau, masalah pencernaan, pedih hulu hati, kembung dan sembelit serta kurang toleransi terhadap makanan berlemak dan alkohol.


Baca Lagi...

Elak potong kaki

Oleh Zaitie Satibi 

Ramai dalam kalangan kita lebih bimbang mengenai penyakit jantung dan barah yang menjadi dua penyebab utama kematian dan memberik hanya sedikit perhatian terhadap diabetes.

Sepatutnya tidak begitu kerana diabetes ialah penyakit membawa maut yang meningkat dengan cepat dan menambah risiko kepada penyakit pembunuh utama yang lain.

Kira-kira 360 juta orang kini menghidap diabetes di seluruh dunia, manakala Kajian Kesihatan dan Kemorbidan Kebangsaan (NHMS) Malaysia pada 2011 menunjukkan, berlaku peningkatan daripada 14.9 peratus pada 2006 kepada 20.8 peratus pada 2011. Ini bermaksud seorang dalam setiap lima rakyat Malaysia dewasa kini penghidap diabetes.

Peningkatan jumlah penghidap diabetes selari dengan pertambahan saiz badan mereka yang berkembang secara berterusan dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini.

Diabetes ialah penyakit yang tidak boleh dipulihkan tetapi dengan usaha mencukupi, kita boleh melambat atau menghentikan komplikasi yang dikaitkan dengan kemajuan penyakit itu. Mengawal tahap glukos darah sangat penting untuk meminimumkan komplikasi yang berkait dengan diabetes.

Kawalan gula dalam darah yang tidak baik untuk satu tempoh panjang akan membawa kepada beberapa komplikasi, termasuk penyakit jantung, penyakit buah pinggang, retinopati dan neuropati (kerosakan saraf).

Kerosakan saraf diabetes

Hilang deria rasa, rasa kebas, berdenyut-denyut, sakit, rasa terbakar, malah rasa seperti dicucuk-cucuk dengan jarum pada kaki, jari kaki, jari tangan, lengan dan tangan ialah gejala kerosakan saraf.

Kerosakan saraf juga boleh berlaku dengan senyap, maksudnya anda langsung tidak menunjukkan gejala. Keadaan ini sangat berbahaya, terutama bagi penghidap diabetes dan pradiabetes. Tahukah anda, sehingga 60 hingga 70 peratus penghidap diabetes juga mengalami beberapa jenis kerosakan saraf?

Jika tindakan segera tidak diambil, keadaan ini akan membawa kepada pemotongan anggota iatu satu daripada komplikasi neuropati yang paling berpotensi menjadi serius.

Diabetes penyebab utama pemotongan anggota bawah di seluruh dunia

Doktor meramalkan hampir separuh daripada semua pemotongan anggota disebabkan oleh neuropati dan masalah peredaran yang boleh dielakkan.

Di Malaysia, sejumlah besar pesakit diabetes dimasukkan ke wad ortopedik di hospital kerajaan disebabkan komplikasi kaki diabetes. Majoriti daripada mereka perlu tinggal di hospital untuk tempoh lama dan perlu dimasukkan ke wad serta dibedah berulang kali.

Segelintir pula memerlukan pemotongan di sekeliling kaki atau buku lali, manakala segelintir lagi terpaksa menerima pemotongan di bawah atau atas lutut. Risiko mengalami pemotongan kaki ialah 27.7 kali lebih besar untuk seseorang yang menghidap diabetes.


Atasi masalah kesihatan

Baca Lagi...

04 April 2015

Pastikan wanita kekal sihat

Oleh Zaitie Satibi

Kesihatan wanita bukan saja menjadi petanda penting mengenai kedudukan dan taraf mereka, malah sebagai ibu dan pengasuh kerana mereka boleh mempengaruhi kesihatan seluruh keluarga dan masyarakat.

Justeru sangat penting bagi wanita mendapat kualiti penjagaan kesihatan yang baik dan sempurna membabitkan aspek jasmani, mental dan emosi.

Berikut adalah 10 isu kesihatan yang kerap dialami wanita:

1. Kanser

kanser yang kerap menyerang wanita adalah barah payudara dan kanser serviks. Pengesanan awal dua jenis kanser ini menjadi kunci memastikan wanita kekal sihat. Statistik global terbaru menunjukkan kira-kira setengah juta wanita maut akibat kanser serviks, manakala setengah juta lagi maut akibat kanser payudara setiap tahun.

Kebanyakan kes kematian berlaku di negara berpendapatan sederhana dan rendah kerana imbasan awal, pencegahan dan rawatan hampir tidak disediakan, manakala vaksin untuk virus human papilloma (HPV) ditangguhkan.

2. Kesihatan reproduksi

Masalah kesihatan reproduksi dan hubungan kelamin menyumbang satu pertiga isu kesihatan wanita berusia 15 hingga 44 tahun. hubungan kelamin yang tidak selamat adalah faktor utama, terutama wanita dan remaja di negara membangun. Kira-kira 222 juta wanita tidak mendapat perkhidmatan kontrasepsi yang diperlukan.

3. Kesihatan ibu

Kebanyakan wanita mendapat manfaat daripada penambahbaikan besar-besaran penjagaan ketika kehamilan dan kelahiran yang diperkenalkan sedekad lalu. Namun, kemudahan itu tidak disediakan di semua tempat dan pada 2013 dilaporkan kira-kira 300,000 wanita maut akibat komplikasi ketika mengandung dan bersalin. Kebanyakan kes kematian ini boleh dicegah jika perancangan keluarga dan kemudahan asas disediakan.

4. HIV

Sejak 30 tahun lalu ketika wabak AIDS melanda, ramai wanita muda menjadi mangsa jangkitan. Terlalu ramai wanita muda berjuang melindungi diri mereka daripada penyakit jangkitan hubungan kelamin HIV dan mendapat rawatan diperlukan.
Mereka terdedah kepada penyakit tuberkulasis atau batuk TB yang juga penyebab utama kematian dalam kalangan wanita berusia 20 hingga 59 tahun di negara berpendapatan rendah.

5. Penyakit jangkitan hubungan kelamin (STI)

Walaupun jangkitan HIV dan HPV penyakit jangkitan kelamin paling kerap dialami di seluruh dunia, penyakit jangkitan lain juga penting untuk dicegah dan dirawat seperti gonorrhoea, klamidia dan sifilis.

Ini kerana sifilis yang tidak dirawat menyumbang kira-kira 200,000 kematian bayi dalam kandungan dan pramatang setiap tahun, manakala 90,000 kematian bayi baru dilahirkan.

6. Keganasan terhadap wanita

Wanita mudah menjadi subjek kepada pelbagai bentuk keganasan yang berlainan, tetapi keganasan fizikal dan hubungan kelamin, sama ada dilakukan pasangan atau orang lain, adalah paling menyakitkan.

Hari ini, seorang daripada tiga wanita bawah 50 tahun mengalami keganasan fizikal atau hubungan kelamin dilakukan pasangan atau orang lain yang menjejaskan fizikal dan mental mereka dalam jangka masa pendek dan panjang.

Oleh itu, penting kepada mereka yang sihat untuk sentiasa prihatin terhadap keganasan dan membantu mencegahnya, selain memberi sokongan kepada mangsa.

7. Kesihatan mental

Kajian menunjukkan wanita lebih cenderung daripada lelaki untuk mengalami keresahan, kemurungan dan aduan somatik iaitu gejala fizikal yang tidak dapat dijelaskan secara perubatan. Kemurungan adalah masalah kesihatan mental paling kerap berlaku dalam kalangan wanita dan kejadian membunuh diri penyebab utama kematian wanita berusia bawah 60 tahun.
Oleh itu, penting menyedarkan mereka mengenai isu kesihatan mental dengan memberi sokongan untuk mendapatkan bantuan.

8. Penyakit tidak berjangkit (NCD)

Pada 2012, kira-kira 4.7 juta wanita maut sebelum usia 70 tahun akibat NCD dan kebanyakan mereka dari negara berpendapatan sederhana dan rendah. Mereka maut akibat kemalangan jalan raya, merokok, alkohol, dadah dan obesiti. Dianggarkan 50 peratus wanita di Eropah dan Amerika mengalami obesiti dan membantu remaja perempuan dan wanita lain mengamalkan gaya hidup sihat di peringkat awal adalah kunci kesihatan hidup.

9. Menjadi ibu muda

Remaja perempuan berdepan pelbagai cabaran kesihatan reproduksi dan hubungan kelamin seperti STI dan kehamilan. Kira-kira 13 juta remaja perempuan bawah usia 20 tahun melahirkan anak setiap tahun.

Komplikasi daripada kehamilan dan bersalin menjadi penyumbang utama kematian dalam kalangan ibu muda dan ramai menderita akibat keguguran yang tidak selamat.

10. Menjadi tua

Kebanyakan wanita yang sudah tidak bekerja atau bersara memperoleh wang pencen dan kemudahan lain yang sedikit berbanding lelaki, sekali gus kurang mendapat penjagaan kesihatan dan perkhidmatan sosial. Selain berisiko miskin dan masalah lain berkaitan usia tua seperti nyanyuk, wanita tua kurang mendapat perkhidmatan kesihatan yang baik.


Sumber : Harian Metro Online


Atasi masalah kesihatan
Baca Lagi...

Racun yang manis

Oleh Zaitie Satibi 

Tahukah anda apa itu gula? Ia ialah benda berbintil berwarna putih yang kita ambil dengan teh tarik atau kopi susu. Rasa gula merembeskan hormon rasa sedap dalam otak dan ini menjelaskan kenapa ramai rakyat Malaysia ke-tagihkan racun yang manis ini.

Sedarkah anda bahawa Malaysia, negara yang kecil dengan jumlah penduduk lebih kurang 28 juta orang, adalah pengguna gula kelapan paling tinggi di dunia?

Berada di kedudukan kelapan daripada 195 negara di dunia dan keempat di Asia bukan sesuatu yang patut kita banggakan. Kerajaan berbelanja jutaan ringgit untuk mendidik masyarakat mengenai bahaya gula melalui kempen dan iklan bagi merayu kita untuk mengurangkan pengambilan gula.

Pakar kesihatan kini mengatakan, gula sungguh bahaya dan boleh diletakkan dalam kategori sama dengan tembakau dan alkohol. Hakikatnya, penggunaan gula secara berlebihan kini ialah satu krisis kesihatan awam. Diabetes bukan sekadar sejenis penyakit berkaitan makanan, tetapi penyakit berkaitan gaya hidup.

Diabetes: Penyakit berkaitan gaya hidup

Menjaga diet dengan mengurangkan pengambilan gula dan karbohidrat yang diproses ialah permulaan baik, tetapi mempunyai stres kronik dan berlebihan serta kurang aktiviti fizikal boleh mensabotaj niat baik anda untuk menambah baik kesihatan.

Cuba bertenang dan berehat melalui aktiviti mengurangkan stres seperti meditasi dan senaman pernafasan dalam atau mungkin dapatkan urutan. Menggerakkan otot melalui senaman secara tetap juga memainkan peranan penting dalam mencegah diabetes.

Pandemik diabetes

Pada 1985, kira-kira 30 juta orang di seluruh dunia dikatakan menghidap diabetes. Lebih kurang sedekad kemudian, jangkaan itu meningkat melebihi 150 juta orang. Hari ini, menurut angka Persekutuan Diabetes Antarabangsa (IDF), jumlah itu melebihi 250 juta orang. Jika tiada tindakan diambil untuk melaksanakan program pencegahan dan kawalan efektif, jumlah penghidap diabetes akan mencapai angka 380 juta menjelang 2025.

Menurut Kajian Kesihatan dan Kemorbidan Kebangsaan (NHMS) dijalankan Kementerian Kesihatan, satu daripada lima rakyat Malaysia menghidap diabetes dan ini bermakna diabetes menjejaskan sehingga 22 peratus daripada penduduk negara ini.

Komplikasi diabetes

Majoriti penghidap diabetes atau pra-diabetes sering diberitahu mengenai komplikasi jangka panjang seperti serangan jantung dan strok, kebutaan, penyakit buah pinggang dan penyakit saraf (neuropati) yang akhirnya boleh membawa kepada pengulseran dan pemotongan jari-jari kaki, kaki dan anggota badan bahagian bawah.

Ini ialah sedikit fakta menakutkan tetapi benar:

a) Risiko pemotongan kaki ialah 27.7 kali lebih besar bagi penghidap diabetes
b) Separuh daripada semua pemotongan yang dijalankan berlaku kepada penghidap diabetes

Memahami neuropati periferal diabetes

Saraf periferal bertanggungjawab kepada sensasi yang anda rasa seperti sentuhan, kesakitan dan suhu. Hakikatnya, hujung jutaan saraf jenis ini ada di jari, tangan, jari kaki dan kaki anda. Saraf ini mengelak anda daripada bahaya dan menjauhkan anda daripada perkara panas, sejuk dan tajam.

Dalam neuropati periferal, anda mungkin kehilangan deria rasa, rasa berdenyut-denyut, kebas atau rasa panas pada kaki dan tangan. Kerosakan saraf boleh bermula sebelum seseorang itu didiagnosis dengan diabetes. Malah, seseorang dengan pra-diabetes juga boleh mendapat neuropati.

Walaupun rasa berdenyut-denyut, kebas atau rasa panas yang melampau ialah tanda biasa neuropati, ada juga penghidap diabetes langsung tidak mengalami gejala. Orang yang mempunyai neuropati diabetes selalunya me-ngalami masalah mengawal tahap glukosa darah, tekanan darah, kolesterol dan berat badan.

Bagaimana anda boleh tahu jika mengalami kerosakan saraf?

Doktor mendiagnosis kerosakan saraf berdasarkan gejala dan pemeriksaan fizikal. Ketika pemeriksaan, doktor memeriksa tekanan darah, kadar degupan jantung, kekuatan otot, refleks dan sensitiviti anda terhadap perubahan kedudukan, getaran, suhu atau sentuhan lembut.

Membawa tahap gula dalam darah ke julat normal ialah langkah pertama untuk mencegah kerosakan saraf lebih teruk. Pemantauan tahap gula dalam darah, perancangan hidangan makanan, aktiviti fizikal, pengambilan ubat atau insulin secara tetap akan membantu mengawal tahap glukos darah.

Ia mungkin mengambil sedikit masa tetapi secara umumnya, gejala akan bertambah baik apabila ada pengawalan glukos yang baik. Kawalan glukos darah yang baik boleh juga membantu mencegah atau melambatkan bermulanya masalah kesihatan lain.

Baca Lagi...

03 April 2015

Ibu hamil lemah daya imun tubuh

Berpantang makan adalah perkara biasa bagi mereka tetapi keperluan ini meningkat ketika hamil bagi mengelakkan masalah alahan diwarisi anak.

Meskipun tiada kajian yang membuktikan wujudnya kaitan langsung antara pemakanan ibu dengan risiko alahan pada janin, pakar perubatan menasihatkan supaya mereka lebih berhati- hati; setidak-tidaknya ia dapat mengelakkan masalah pada diri sendiri.

Alahan boleh berlaku kepada sesiapa pada bila-bila masa tanpa mengira usia. Kajian mendapati ramai orang dewasa alah terhadap makanan, ubat-ubatan, gigitan serangga dan senaman. Kebanyakan kanak-kanak pula mengalami alahan terhadap makanan.

Sesetengah pakar berpendapat hampir semua orang alah terhadap bahan tertentu tetapi tidak menyedarinya, mungkin disebabkan reaksi alahan yang sedikit dan tidak mendatangkan masalah besar.

Alahan ialah tindak balas sistem imun. Ia berlaku apabila badan tersilap tafsir bahan di dalam makanan (biasanya protein) sebagai benda asing berbahaya dan perlu dihapuskan. Badan menghasilkan antibodi dipanggil imunoglobulin E atau IgE untuk ‘membunuh’ protein itu dan tindak balas ini menyebabkan pelbagai gejala.

Menurut Perunding Obstetrik dan Ginekologi Hospital Assunta di Petaling Jaya, Dr Liew Fah Onn, gejala alahan boleh dibahagikan kepada tiga iaitu alahan sedikit, sederhana dan teruk (anafilaksis). Bagi alahan yang sedikit, seseorang itu mengalami gejala setempat (tidak merebak) seperti:

Ruam
Gatal
Mata berair 
Hidung tersumbat

Alahan sederhana bermakna gejala merebak ke lain bahagian badan dan seseorang itu boleh mengalami:

Gatal
Kesukaran bernafas

Alahan teruk atau melampau (anafilaksis) adalah tindak balas mendadak terhadap alergen yang membabitkan seluruh badan. Gejala alahan boleh bermula dengan gatal pada mata atau muka, dan dalam masa beberapa minit ia menjadi serius.

Tindak balas badan individu yang mengalami alahan teruk, berlaku dengan cepat. Apabila alergen memasuki aliran darah, badan melepaskan sejenis bahan kimia iaitu histamin untuk menghapuskannya. Bagi individu yang mengalami anafilaksis, badan mereka menghasilkan terlalu banyak histamin sehingga menyebabkan pelbagai gejala yang boleh mengancam nyawa pesakit. Antara gejala anafilaksis ialah: 

Gejala gangguan saluran pernafasan (lelah, bronkitis, asma) - yang menyebabkan kesukaran bernafas atau menelan

Kulit menjadi gatal, tumbuh ruam dan ekzema
Sakit perut
Muntah
Cirit-birit
Pening atau berasa keliru
Baca Lagi...