Perkongsian Info dan maklumat Kesihatan.

03 Oktober 2013

Peranan lemak berbeza

Isu penggunaan lemak dan kebimbangan terhadap kesan negatif lemak sudah lama dibincangkan. Bagaimanapun bukan semua lemak itu berbahaya dan ia mempunyai peranan tersendiri yang sangat penting.

Lemak memberi badan tenaga untuk berfungsi dengan baik, diperlukan untuk mengekalkan kesihatan kulit dan rambut; membantu badan menyerap vitamin A, D, E dan K (dipanggil vitamin larut lemak).

Lemak akan memenuhi sel-sel lemak di bawah kulit bagi membantu memanaskan badan. Selain itu lemak berperanan penting untuk perkembangan otak, mengawal keradangan dan pembekuan darah. 

Tidak kira jenis minyak yang dipilih, semuanya adalah lemak. Lemak boleh dibahagikan kepada dua iaitu lemak tepu dan lemak tidak tepu. Klasifikasi ini dilakukan berdasarkan jumlah kandungan asid lemak tepu dan tidak tepu. Semua minyak, tidak kira semahal mana pun ia, tetap mengandungi lemak tepu tetapi dalam jumlah berbeza. 

a. Lemak tepu: Ia adalah lemak yang diperoleh daripada haiwan dan ia beku pada suhu bilik; contohnya mentega, keju, minyak sapi dan lemak pada daging. 

Bagaimanapun sesetengah lemak daripada tumbuh- tumbuhan juga dikelaskan sebagai lemak tepu seperti minyak kelapa, santan kelapa dan isi rong kelapa sawit. Minyak sawit juga dikategorikan sebagai minyak tepu kerana kandungan lemak tepu dan tidak tepu adalah sama. Kesannya, ia akan meninggikan paras kolesterol buruk dan tahap kolesterol keseluruhan jika diambil berlebihan. 

b. Lemak tidak tepu: Lemak jenis boleh diperoleh daripada sumber haiwan dan tumbuhan. Ia boleh dibahagikan kepada tiga iaitu lemak poli tak tepu, lemak moto tak tepu dan asid lemak trans. Pada suhu bilik, ia berada dalam keadaan cecair.

Lemak poli tak tepu - Sumber lemak jenis ini ialah bijian, kekacang dan ikan laut dalam. Contohnya minyak bunga matahari, jagung, soya, safflower, bijan, biji benih flaks dan kacang. 

Ikan laut dalam pula seperti salmon, tuna, sardin, makerel dan trout membekalkan asid lemak perlu Omega-3 manakala minyak jagung, soya dan safflower pula mengandungi asid lemak perlu Omega-6.

Asid lemak perlu ialah lemak yang tidak boleh dihasilkan oleh badan.

Lemak jenis ini dikategorikan sebagai lemak baik kerana ia boleh mengurangkan paras kolesterol buruk (LDL), trigliserida dan jumlah kolesterol keseluruhan.
Lemak mono tak tepu - Sumbernya ialah bijian dan kekacang seperti minyak kanola, kacang tanah, zaitun dan bran beras. Ia juga dianggap lemak baik kerana boleh mengurangkan jumlah kolesterol keseluruhan dan meningkatkan paras kolesterol baik (HDL).

Lemak trans - Lemak trans dihasilkan apabila minyak dalam bentuk cecair ditukar ke bentuk pepejal seperti margerin, pepejal susu atau lemak (lemak yang digunakan dalam pastri) dan gi sayuran (vegetable ghee). Proses penukaran ini dipanggil hidrogenasi.

Ia dikategorikan sebagai lemak yang sangat buruk (dua hingga lima kali lebih teruk daripada lemak tepu) kerana asid lemak trans boleh meningkatkan paras kolesterol buruk dan merendahkan kolesterol baik.

Lemak trans adalah lemak tidak tepu; bermakna rantaian kimianya tidak dipenuhi hidrogen. Namun, apabila lemak tidak tepu menjalani proses hidrogenasi (penambahan hidrogen pada rantaian kimianya), ia menjadi satu rantaian baru menyebabkan lemak trans berada dalam keadaan pepejal pada suhu bilik.

Lemak trans digunakan untuk memperbaiki kualiti produk makanan, mengekalkan kesegarannya dan menaikkan rasa makanan supaya ia boleh berada di pasaran bagi tempoh lama. 

Yang menjadi isu ialah, lemak trans boleh meningkatkan paras kolesterol buruk dan merendahkan paras kolesterol baik; sekali gus meninggikan risiko untuk mendapat penyakit jantung, strok, kencing manis dan lain-lain penyakit kronik.

Pilihan minyak dan kaedah memasak

Menurut Ho, pemilihan yang dilakukan oleh rakan penulis seperti diceritakan awal tadi memang tepat kerana bukan semua minyak sesuai digunakan dalam semua kaedah memasak. 

“Kegunaan setiap minyak itu berbeza dan ia memberi ‘prestasi’ terbaik dalam lingkungan suhu tertentu. Sesetengah minyak memang boleh digunakan untuk menggoreng dan sesetengahnya lagi hanya untuk kaedah memasak yang tidak membabitkan suhu terlalu tinggi. Ada pula yang lebih enak jika dipercikkan sahaja pada makanan.

“Perbezaan ini disebabkan adanya keadaan dipanggil titik asap iaitu tahap suhu minyak yang akan menyebabkan ia berasap apabila dipanaskan. Apabila minyak dipanaskan sehingga ia berasap, akan berlaku perubahan pada rantaian kimia minyak berkenaan yang boleh memberi kesan buruk kepada kesihatan jika ia terus digunakan.

“Untuk menggoreng, gunakan minyak sawit kerana ia mempunyai titik asap yang tinggi. Manakala minyak lain dalam kategori lemak tidak tepu sesuai digunakan untuk menumis kerana titik asapnya yang lebih rendah,” katanya.

Malangnya ada orang salah anggap mengenai penggunaan minyak. Ada yang percaya mereka perlu menghindari minyak sawit sepenuhnya dan menggunakan minyak dalam kumpulan lemak tidak tepu untuk semua masakan.

“Ramai orang percaya jika menggunakan minyak tidak tepu, mereka akan jadi lebih sihat. Anggapan ini kurang tepat kerana ia mempunyai titik asap lebih rendah. Jadi apabila digunakan untuk menggoreng, akan berlaku perubahan pada rantaian kimia minyak tadi dan boleh mengakibatkan paras kolesterol dalam darah mereka semakin meningkat.

“Walaupun minyak sawit sesuai digunakan untuk menggoreng, kita perlu ingat, penggunaan minyak ini ada hadnya. Pakar pemakanan menyarankan penggunaan minyak menggoreng ini terhad kepada dua kali saja. Maknanya kita boleh menggunakan minyak sama untuk menggoreng setakat dua kali saja,” katanya. 

Kali kedua anda memanaskan minyak, titik asapnya akan menjadi lebih rendah daripada kali pertama minyak berkenaan digunakan.

Ini sebabnya pakar pemakanan tidak menyarankan kita menggunakan semula minyak, terutama untuk makanan bergoreng.

Namun kini dengan teknologi penapisan yang semakin canggih, kebanyakan minyak sawit di pasaran boleh digunakan sehingga tiga kali seperti didakwa pengeluar. Cara mudah untuk mengenali minyak yang sudah digunakan ialah melihat warnanya. Elak membeli makanan yang digoreng dengan minyak berwarna gelap.

Satu perkara penting yang perlu kita tahu ialah semua minyak mengandungi asid lemak tepu. Tidak kira sebaik manapun ia, penggunaan minyak secara keseluruhannya perlu dikurangkan kerana satu gram lemak mengandungi sembilan kalori berbanding hanya empat kalori daripada setiap gram karbohidrat atau protein.

Ini sebabnya makanan mengandungi minyak atau banyak lemak dipanggil ‘menggemukkan’. 

Walaupun lemak memberi kita tenaga, ia adalah sumber tenaga akhir yang akan dikeluarkan apabila kita bersenam atau melakukan aktiviti cergas.

Dalam masa 20 minit pertama kita bersenam, tenaga yang digunakan datang daripada karbohidrat.

Hanya lepas 20 minit bersenam baru badan akan membakar lemak sebagai sumber tenaga. 

Ini sebabnya kita disaran bersenam sekurang-kurangnya 30 minit sehari, lima kali seminggu untuk membakar lemak dalam badan yang boleh mendekatkan kita dengan pelbagai penyakit, terutama sakit jantung, strok, kencing manis dan masalah kolesterol tinggi.

“Antara 25 hingga 30 peratus tenaga kita sepatutnya datang daripada lemak. Ringkasnya, kita harus mengehadkan pengambilan lemak kepada enam hingga tujuh camca teh saja dalam pemakanan seharian. 

“Bagaimanapun, jumlah ini sukar dicapai kerana kebanyakan makanan kita tinggi kandungan lemaknya, baik dalam masakan sayur-sayuran, lauk-pauk mahupun kuih-muih. Masalah pemakanan bertambah teruk kerana ramai orang tidak mengambil sayur-sayuran dan buah-buahan secukupnya setiap hari,” katanya.

Minyak dan kolesterol

Menurut Ho, semua lemak atau minyak yang dihasilkan daripada sumber tumbuh-tumbuhan tidak mengandungi kolesterol.

Kolesterol hanya ada dalam lemak yang berasaskan sumber haiwan. Maknanya makanan dari sumber haiwan yang dimasak sama ada menggunakan sedikit atau banyak minyak mengandungi kolesterol. 

Kolesterol ialah bahan lembut dan berminyak yang boleh berkumpul dan melekat pada dinding salur darah. Pengumpulan kolesterol ini lama kelamaan membuatkan salur darah tersumbat yang boleh menyebabkan serangan jantung atau otak.

Tahukah anda, kebanyakan kolesterol dalam badan sebenarnya dihasilkan oleh hati daripada lemak tepu? Hanya tiga peratus kolesterol dalam darah datang terus daripada makanan. Hati adalah organ yang bertanggungjawab menghasilkan kolesterol baik dan buruk.

Jika begitu, bagaimana boleh timbul masalah kolesterol tinggi dalam darah? Apabila kita makan makanan mengandungi lemak tepu, hati akan memprosesnya dan menghasilkan kolesterol.

Lebih banyak kandungan lemak tepu, hati akan menghasilkan lebih banyak kolesterol untuk dilepaskan ke dalam darah.

Jadi walaupun makanan kita umumnya tidak mengandungi kolesterol, misalnya pisang goreng, ia dimasak menggunakan lemak tepu. Apabila banyak lemak tepu masuk ke dalam badan, banyaklah juga kolesterol yang akan dihasilkan hati.

Kolesterol mempunyai peranannya tersendiri; ia menjadi komponen pada dinding sel dan penting untuk otak dan saraf berfungsi dengan baik. Ia juga membantu penghasilan hormon yang diperlukan untuk pertumbuhan dan peranakan. 

Ia menjadi pelopor untuk hormon estrogen, progesteron dan testosteron.

Malah banyak hormon lain turut bergantung kepada kolesterol untuk berfungsi, namun terlalu banyak kolesterol jahat boleh memudaratkan kesihatan.

Selain makanan, peningkatan kolesterol buruk juga disumbangkan oleh beberapa faktor seperti genetik, kurang bersenam, tekanan, umur, pengambilan terlalu banyak alkohol dan kurang makan sayur-sayuran serta buah-buahan.

Bagaimana pula dengan orang yang mengamalkan minum minyak tidak tepu untuk menjaga kesihatan? Menurut Ho, ia mungkin memberi manfaat tertentu tetapi perlu diingat, ia adalah lemak yang mengandungi banyak kalori dan jika melebihi keperluan kalori harian, ia akan menyebabkan masalah pertambahan berat badan.

Panduan mengurangkan penggunaan dan pengambilan lemak 

Gunakan kuantiti kecil dalam penyediaan makanan.

Guna kuali tidak melekat untuk memasak bagi mengurangkan minyak. Menggoreng ikan di kuali leper akan menggunakan kurang minyak berbanding kuali melengkung.

Hadkan makanan bergoreng kepada dua kali seminggu.

Gunakan tuala kertas untuk melapik pinggan, ia akan menyerap lebihan minyak daripada makanan

Pilih kaedah memasak yang lebih sihat seperti kukus, rebus, celur atau bakar. 

Gantikan santan kelapa dengan susu atau dadih rendah lemak. 

Buang lapisan minyak yang timbul apabila makanan sudah sejuk dan panaskan semula sebelum dihidang.

Buang lemak pada daging dan ayam (terutama kulit ayam). 

Hadkan pengambilan marjerin, mentega, mentega kacang, makanan mengandungi banyak lemak dan snek.

Apabila anda membeli produk makanan, lihat senarai bahan-bahannya. Hadkan membeli produk mengandungi pepejal susu atau lemak seperti biskut, kerepek, aneka kek dan pastri serta makanan bergoreng yang mungkin tinggi kandungan asid lemak trans.

Baca label makanan dan pilih produk mengandungi paling rendah jumlah lemak keseluruhan, lemak tepu dan asid lemak trans.

Bebaskan diri dari risiko penyakit kronik yang amat berbahaya



Jika ada tanda-tanda selalu lemah badan serta perlukan sesuatu yang membolehkan anda cergas semula maka saya sarankan anda teruskan membaca. Apa yang anda cari ada dalam laman berikut...

02 Oktober 2013

Tiroid boleh sebabkan koma

Tiroid adalah kelenjar yang terletak di leher manusia. Ia antara kelenjar terbesar dalam badan manusia. Kebiasaannya, kelenjar ini tidak kelihatan dan seolah-olah permukaan kulit leher yang meliputi adalah rata. Perlu difahami bahawa, tidak semua bengkak pada leher ialah kelenjar tiroid dan tidak semua kelenjar yang bengkak mempunyai masalah.

Fungsi kelenjar ini ialah untuk merembeskan hormon yang dipanggil hormon tiroid. Iodin ialah komponen utama penghasilan hormon ini. Hormon ialah bahan merangsang tisu badan untuk ‘bekerja’.

Dalam kata lain ialah, ia menentukan kadar metabolisme dalam badan. Jika berlaku masalah pada kelenjar itu dan jumlah hormon tiroid ini meningkat, kadar metabolisme dalam badan juga meningkat. Ia dipanggil hyperthyroid, di mana hiper bermaksud ‘lebih’.

Di dalam keadaan rembesan hormon ini menjadi berlebihan, kadar metabolisme atau pekerjaan tisu badan menjadi meningkat dan laju.

Ini menyebabkan seseorang itu mempunyai simptom seperti jantung berdebar, sesak nafas, cemas, tangan menggeletar, berpeluh walaupun di dalam cuaca atau persekitaran dingin, gelisah, cepat marah, haid tidak teratur dan susut berat badan dengan mendadak walaupun selera makan bertambah. Ini antara simptom jika berlebihan hormon tiroid.

Masalah utama yang dirisaukan ialah jika hormon ini dirembeskan terlalu banyak secara tiba-tiba. Ini akan menyebabkan jantung menjadi laju, sesak nafas, loya, suhu badan meningkat, keliru dan akhirnya degupan jantung gagal berfungsi dan boleh mengakibatkan koma.

Rawatan kecemasan perlu diberi jika simptom ini berlaku. Keadaan ini dipanggil Thiroid Storm.

Justeru, penting untuk mereka yang disyaki atau mempunyai simptom hyperthyroid tadi untuk membuat pemeriksaan oleh pegawai perubatan atau pakar.

Ujian darah dapat mengesahkan sama ada anda menghidapi masalah berkenaan atau tidak seterusnya dapat mengenal pasti punca hyperthyroid.

Ujian ultrasound atau scan boleh dilakukan jika kelenjar pada leher membengkak atau ujian darah mengesahkan anda menghidapi masalah hyperthyroid.

Selain itu, ujian yang menggunakan cecair iodin juga boleh dijalankan, bergantung pada penilaian klinikal oleh pakar.

Rawatan untuk hyperthyroid berbeza bergantung kepada berapa banyak hormon tiroid yang dirembeskan dan bergantung pada jenis penyebab masalah itu.

Ubat untuk merendahkan paras hormon tiroid serta mengurangkan kadar denyutan jantung biasanya diberi jika perlu untuk mengelak berlakunya thiroid storm.

Pilihan lain ialah dengan membuat pembedahan untuk membuang kelenjar tiroid atau memulakan rawatan khas menggunakan cecair iodin. Selain itu, pesakit dinasihatkan tidak memakan rumpai laut yang kaya dengan kandungan iodin.


Bebaskan diri dari risiko penyakit kronik yang amat berbahaya

Jika ada tanda-tanda selalu lemah badan serta perlukan sesuatu yang membolehkan anda cergas semula maka saya sarankan anda teruskan membaca. Apa yang anda cari ada dalam laman berikut...


01 Oktober 2013

Kemurungan perlu dirawat

RASA sakit dan lesu seluruh badan biasanya disebabkan keletihan dan kerja keras, namun tidak ramai daripada kita yang mengaitkannya dengan masalah kemurungan.

Keadaan itu menyebabkan ramai mereka yang mengalami kemurungan tidak menyedari mereka mempunyai masalah tersebut kerana menyangkakan sakit badan yang dialami adalah sakit biasa.

Ramai yang tidak sedar bahawa kesakitan yang tidak dapat dijelaskan ini sebenarnya berkait rapat dengan kemurungan

Para penyelidik mendapati bahawa 82 peratus daripada pesakit murung yang datang mendapat rawatan daripada pengamal perubatan pada awalnya tidak mengetahui mereka mengalami gejala kemurungan.

Ini menyebabkan mereka tidak mendapat rawatan sewajarnya, sementara 18 peratus lagi hanya menerima ubat anti kemurungan.

Pemahaman mengenai hubung kait kesakitan dan kemurungan amat penting bagi memudahkan proses rawatan penyakit tersebut.

Ini terutama bagi pesakit yang berada di tahap yang lebih kronik sehingga terdorong kepada perasaan ingin membunuh diri. Kemurungan merupakan penyakit yang melanda kira-kira 121 juta manusia di seluruh dunia.

Malam menurut Laporan Kesihatan Sedunia 1999 yang diterbitkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kemurungan merupakan penyakit keempat paling ramai dihidapi di dunia yang boleh menimbulkan ketidakupayaan individu.

"Perlu untuk diberitahu kepada masyarakat juga bahawa kemurungan bukan penyakit yang sengaja diada-adakan.

"Ia adalah satu penyakit yang memerlukan rawatan dan banyak mempengaruhi kehidupan lebih-lebih lagi dalam negara yang mengalami krisis ekonomi," katanya.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Psikiatri Malaysia (MPA), Dr. Yen Teck Hoe berkata, terdapat beberapa simptom kemurungan yang boleh dikenalpasti secara mata kasar.

Ini termasuk hilang minat atau keinginan terhadap aktiviti yang lazim dilakukan seperti bersukan, riadah bersama keluarga dan sebagainya.

"Pesakit juga mudah dilanda rasa sedih, cepat marah, hilang tumpuan dan lebih teruk lagi timbul rasa ingin bunuh diri.

"Kemurungan tidak mengenal mangsa, ia boleh terjadi kepada kanak-kanak semuda usia lima tahun dengan simptom yang berbeza," tambah beliau.

Dr. Teck Hoe berkata, mengikut kajian, kejadian kemurungan di kalangan wanita adalah lebih tinggi berbanding lelaki dengan nisbah 2:1.

"Antara sebabnya ialah perubahan peringkat hormon yang dialami wanita. Itu sebabnya, kemurungan berlaku ketika wanita mengalami peredaran haid, hamil selepas bersalin dan putus haid.

"Biasanya wanita akan menunjukkan tanda-tanda kemurungan seperti putus asa dan tidak berupaya manakala lelaki pula bersikap berang atau cepat marah," jelas beliau.

Dari segi saintifiknya, penyelidikan mendapati kemurungan disebabkan ketidakseimbangan dua bahan kimia dalam otak dan badan iaitu serotonin dan noradrenalin.

Serotonin ialah sejenis bahan kimia yang wujud dalam sistem saraf pusat dan perubahan paras serotonin dalam otak boleh mengubah mood seseorang.

Begitu pun, kajian turut mendapati bahawa kemurungan boleh diwarisi yang bermaksud ia mempunyai hubung kait dengan faktor genetik.

Sementara itu, perunding psikiatri Pusat Perubatan Universiti Malaya, Profesor Dr. Nor Zuraida Zainal, dalam kertas kerjanya yang bertajuk Penyakit Kronik dan Hubung Kaitnya dengan Kemurungan dan Kesakitan pula menjelaskan, kemurungan di kalangan pesakit yang menghidapi penyakit kronik seperti barah, jantung, strok dan parkinson boleh memburukkan lagi keadaan kesihatan mereka.

"Hubung kait kemurungan dan penyakit kronik amat tinggi. Kesakitan menyebabkan kemurungan dan kemurungan menyebabkan kesakitan.

"Penyakit kronik menyebabkan jiwa tertekan dan menjejaskan keadaan psikologi pesakit, seterusnya membawa kepada kemurungan.

"Kemurungan pula boleh memburukkan lagi keadaan kesakitan dan menjejaskan keadaan fizikal yang mengganggu keberkesanan rawatan penyakit tersebut," jelas beliau.

Sementara itu, pensyarah kanan Jabatan Perubatan Psikologi Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Dr. Jesjeet Singh Gill berkata, cabaran sebenar dalam mengenal pasti kesakitan dan kemurungan ini ialah untuk mengatasi stigma yang berkait rapat dengan diagnosis dan rawatan penyakit tersebut.

"Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan kedua pada tahun 1996 menyatakan 10.7 peratus daripada orang dewasa Malaysia berusia 16 tahun ke atas menghadapi masalah kesihatan mental.

"Kemurungan menyumbang 11.8 peratus kepada masalah psikologi paling umum dihadapi oleh para responden. Walaupun peratusan itu tidak tinggi, ia telah menunjukkan tanda-tanda amaran.

"Didapati hanya sebilangan kecil pesakit yang berjumpa dengan pengamal perubatan am untuk mengatasi masalah kemurungan manakala hanya segelintir yang terus berjumpa dengan pakar psikiatri," jelas beliau.

Dr. Jesjeet menambah, masalah kemurungan ini boleh dirawat namun ramai pesakit yang enggan atau keberatan untuk berjumpa pengalam perubatan.

"Kami mendapati para pesakit enggan mendapatkan rawatan kerana mereka bimbang akan dipulaukan. Mereka juga takut dipandang rendah di tempat kerja dan mereka yang menghidapi masalah ini masih dianggap sebagai mempunyai masalah emosi atau kurang keazaman," ujar Dr. Jesjeet.

Pensyarah kanan Jabatan Perubatan Psikologi, Universiti Malaya, Dr. Ting Joe Hang menegaskan kemurungan bukan satu kelemahan peribadi tetapi penyakit yang menjejaskan otak dan memerlukan rawatan segera.

"Sekiranya pesakit mempunyai empat atau lima simptom tetapi tidak tahu apakah sebabnya berkemungkinan mereka menghidap kemurungan.

"Pesakit tidak harus berdiam diri, mereka perlu berjumpa dengan doktor dan utarakan kemungkinan menghidapi kemurungan supaya mereka boleh dirujuk kepada doktor pakar. Perkara yang tidak harus dilakukan oleh doktor ialah dengan menganggap kesakitan fizikal ini sebagai sakit biasa," ujar beliau.

Menerusi satu kajian kes yang dijalankan, beliau mendapati bahawa seorang suri rumah yang mengadu mengalami sakit gigi masih mengalami kesakitan tersebut walaupun giginya telah dicabut.

"Menerusi perbualan dengan pakar psikiatri, menemukan hasil bahawa wanita tersebut sebenarnya mengalami kemurungan sejak tiga tahun lalu iaitu sebelum dia mengalami kesakitan gigi.

"Wanita itu juga mengakui sukar tidur, hilang selera makan, tidak lagi gemar berkebun seperti dahulu dan mudah sensitif.

Setelah diagnosis dijalankan, rawatan melibatkan ubat, terapi dan sokongan sosial terbukti membantu wanita tersebut mengembalikan keceriaan hidupnya. Bukannya kesakitan gigi yang menyebabkan beliau sakit, tetapi apa yang dipendam menjadi punca kemurungan tersebut," kata beliau.

Bebaskan diri dari risiko penyakit kronik yang amat berbahaya

Jika ada tanda-tanda selalu lemah badan serta perlukan sesuatu yang membolehkan anda cergas semula maka saya sarankan anda teruskan membaca. Apa yang anda cari ada dalam laman berikut...