Perkongsian Info dan maklumat Kesihatan.

21 Mei 2011

Psoriasis hilangkan keyakinan diri

KULIT kepala juga boleh menjadi punca penyakit serius jika salah satu sistem imunisasi tubuh terjejas.

Psoriasis kulit kepala adalah nama yang telah dipersetujui oleh sekumpulan para doktor dalam mentakrifkan senario di mana sistem imunisasi menerima arahan yang salah dari otak lalu menyebabkan sel kulit dihasilkan terlalu cepat.

Perunding Dermatologi dari Hospital Pantai, Dr. Steven Chow memberitahu, bagi kulit kepala yang sihat dan normal, sel kulit baru terhasil setiap 28 hingga 30 hari.

Tetapi dalam kes penyakit psoriasis kulit kepala, sel baru terhasil selang tiga hingga lima hari sahaja. Ini menyebabkan sel kulit menebal dan menjadi keruping.

Keadaan menjadi semakin teruk apabila sel tersebut bukan sekadar tumbuh di kepala malah mula merebak ke bahagian dahi dan pipi.

"Dalam sesetengah kes, ia juga memberi kesan kepada kawasan retroauricular fold atau bahagian belakang telinga sekali gus menjadi punca pengumpulan keruping di bahagian rerambut.

"Memang ia bukanlah menjadi punca rambut gugur. Namun psoriasis yang tidak dirawat boleh menyebabkan luka dan satu lagi simptom yang dinamakan Alopecia," ujarnya.

Mungkin ramai yang tidak sedar bahawa mereka sebenarnya menghidapi penyakit psoriasis kulit kepala.

Mengikut kajian, satu daripada 50 orang di dunia ini mengalami masalah psoriasis. Daripada jumlah itu 50 hingga 80 peratus adalah psoriasis kulit kepala.

"Di Malaysia pula satu hingga dua peratus daripada penduduk di negara ini mengalaminya.

"Ia bukanlah penyakit yang berjangkit. Tetapi mahukah anda dipandang sebagai seorang individu yang kotor sekali gus menyebabkan anda hilang keyakinan diri?

"Pada yang mengalaminya turut merasai kesakitan apabila kulit kepala terasa panas, tegang dan kegatalan melampau sehingga mengganggu rutin harian seperti tidur serta bekerja di pejabat," ujarnya.

Tambah Dr. Steven, psoriasis kulit kepala juga terbukti memberi kesan psikologi dari aspek perasaan dan ketidakselesaan untuk melakukan apa juga aktiviti sosial oleh penghidapnya.

Sehingga kini, para saintis masih tidak mempunyai bukti kukuh tentang punca sebenar penyakit psoriasis kulit kepala. Namun mereka tidak menafikan yang ia bersangkut-paut dengan genetik.

Antara penyebab lain ialah perubahan cuaca dan kerosakan sel kulit kepala selain akibat tekanan emosi.

Bagi sesetengah individu, punca psoriasis kulit kepala mungkin daripada ubat-ubatan yang diambil, tabiat merokok dan jangkitan kuman dari jenis streptococcol.

Psoriasis kulit kepala masih belum ditemui penawarnya. Tetapi ia boleh dikawal jika kena pada caranya.

Menurut Dr. Steven, psoriasis kulit kepala ini sebenarnya satu penyakit kronik tetapi terdapat ubat di pasaran untuk merawatnya.

"Bagaimanapun ramai pesakit keliru dengan penyakit ini kerana mereka menyangka ia hanya masalah kelemumur biasa.

"Jalan mudah yang mereka ambil ialah dengan mencuba rawatan kelemumur tanpa mendapat kesan positif daripadanya," jelasnya.



19 Mei 2011

Jalani mamogram awal

Lebih awal seseorang wanita menjalankan ujian pengesanan kanser payu dara, semakin cepat dan berkesan kaedah rawatan yang boleh diambil jika mereka berisiko atau diserang penyakit itu.

Justeru, selain ujian Pemeriksaan Sendiri Payudara (PSP) yang perlu dilakukan setiap bulan untuk mengesan simptom kanser pembunuh nombor satu kaum hawa itu, wanita digalakkan menjalani mamogram.

Mamogram adalah ujian pemeriksaan payu dara menggunakan Sinar-X yang memaparkan imej-imej terperinci payu dara termasuk keadaan lemak, kelenjar susu dan saluran darah selain kelenjar di bahagian ketiak.

Mamogram amat berkesan dalam mengesan kanser payu dara pada peringkat awal walaupun ketika ia hanya dilihat umpama sekumpulan kalsium halus atau disebut mikrokalsifikasi.

Pakar Bedah Am Hospital Ampang, Dr. Suraya Baharudin berkata, mamogram perlu dilakukan wanita berusia 40 tahun ke atas dalam tempoh sekurang-kurangnya setahun sekali.

Katanya, bagi wanita berusia di bawah usia 40 tahun, mereka tidak digalakkan menjalankan Mamogram kerana tisu payu dara yang lebih tebal menyebabkan hasil ujian itu kurang berkesan.

Suraya memberitahu, wanita di bawah usia 40 tahun digalakkan melakukan PSP tiga atau empat hari selepas haid setiap bulan.

"Ujian mamogram amat penting kerana ia dapat mengesan sehingga 97 peratus simptom barah payu dara dan hasil kajian perubatan yang dijalankan, mamogram mampu mengurangkan 30 peratus kematian akibat penyakit ini.

"Bila doktor mengesyaki ada simptom barah payu dara, doktor akan menghantar tisu pesakit ke makmal bagi mengesahkannya.

"Jadi sekiranya disahkan barah, ia adalah peringkat satu yang mana boleh dirawat dengan mudah tanpa menggunakan kimoterapi," katanya ketika dihubungi, baru-baru ini.

Bagaimanapun, wanita yang mempunyai sejarah ahli keluarga berpenyakit barah payu dara harus menjalani mamogram lebih awal, iaitu pada usia 35 tahun.




18 Mei 2011

Hormon untuk pertahan tulang

Apabila bapa mertua saya mengalami kemalangan di rumah, kami semua berasa risau. Bapa mertua saya berusia 80 tahun. Beliau ialah seorang lelaki yang tegap dan kacak meskipun sudah lanjut usia.

Kesihatan bapa mertua saya sangat baik sekali. Beliau tidak ada penyakit jantung mahupun kencing manis. Tubuhnya sederhana, tidak terlalu gemuk atau kurus kerana amalan pemakanannya yang baik. Ingatannya juga sangat tajam. Beliau mampu bercerita kisah lalu dan kisah terkini melalui pembacaan surat khabar setiap hari.

Apabila bapa terjatuh, beliau mengadu sakit belakang. Kami membawa bapa berjumpa pakar tulang kerana khuatir tulangnya retak atau patah. Kadar patah tulang di kalangan orang tua sangat tinggi maka kerana itulah saya begitu prihatin dengan keadaannya.

Menurut doktor tulangnya tidak patah. Sebagaimana orang tua yang lain tulang bapa mengalami osteoporosis. Ini dapat dilihat melalui gambar sinar-x yang diambil. Tulangnya kelihatan berongga dan tidak kukuh.

Sakit yang dialami mungkin hanya sekadar kesan lebam pada ototnya. Ia tidak ada kena mengena dengan tulang. Bapa bernasib baik. Tulangnya yang nipis mudah patah.

Masalah osteoporosis ini sudah lama kami ketahui. Beberapa tahun lalu, bapa juga telah terjatuh dari motosikal. Oleh kerana khuatir maka kami telah membawanya ke hospital dan doktor mengatakan dia hanya mengalami osteoporosis.

Pelbagai usaha kami lakukan untuk meningkatkan jisim tulang bapa termasuklah dengan rawatan chelation, pengambilan kalsium tinggi serta menjaga makan minumnya. Namun begitu kami tidak berjaya meningkatkan jisim tulangnya.

"Mahukah puan mencuba hormon untuk tulang?" doktor pakar itu bertanya.

Saya amat tertarik dengan saranannya itu. Sebagai seorang doktor dan juga pengamal hormon saya teruja apabila seorang pakar tulang mengaplikasikan hormon ke dalam bidangnya.

Hormon parathyroid merupakan hormon yang terpenting bagi tulang. ''Sebagai anaboloik hormon, ia mampu meningkatkan jisim tulang dengan cara membolehkan pembinaan tulang baru," terangnya.

Bagaimanakah tulang terbina?

Pembentukan tulang manusia dimulai pada saat masih janin dan umumnya akan bertumbuh dan berkembang terus sampai sehingga 35 tahun. Berikut adalah gambaran pembentukan tulang. Sekiranya dari awal proses pertumbuhan, banyak kalsium ada dalam darah maka tulang akan terbentuk dengan baik.

Pada usia 0 - 30/35 tahun, proses ini dinamakan modeling kerana pada masa ini terbentuknya model tulang seseorang. Ini bermakna tulang kita tidak sama antara satu sama lain. Kerana itulah kita mempunyai rupa paras yang berbeza.

Mencegah

Pada usia 30 - 35 tahun, pertumbuhan tulang sudah selesai, waktu ini disebut remodeling di mana modeling sudah selesai tinggal proses penggantian tulang yang sudah tua dengan tulang baru yang masih muda. Setelah pembentukan tulang selesai, maka akan terjadi penurunan jisim tulang. Hal ini bisa dicegah dengan menjaga kandungan kalsium setelah tercapainya puncak jisim tulang.

Dengan mengambil kalsium 800 - 1200 mg sehari, jisim ini boleh dipertahankan.

Untuk mencegah penurunan jisim tulang, di mana penurunan ini akan mengakibatkan berkurangnya kepadatan tulang dan tulang akan mengalami osteoporosis.

Osteoporosis lebih baik dicegah dengan cara pengambilan kalsium yang cukup setelah usia 30 atau 35 tahun.

Kesimpulan:

Dalam proses pembentukan tulang, tulang mengalami regenerasi iaitu penggantian tulang-tulang yang sudah tua dengan tulang baru yang masih muda, proses ini berjalan seimbang sehingga terbentuk puncak jisim tulang. Setelah terbentuk puncak jisim tulang, tulang masih mengalami penggantian tulang yang sudah tua dengan tulang yang masih muda. Tetapi proses ini tidak berjalan seimbang di mana tulang yang diserap untuk diganti lebih banyak daripada tulang yang akan menggantikan, maka terjadi penurunan jisim tulang. Apabila keadaan ini berjalan terus menerus, akan terjadi osteoporosis.

Komposisi tulang

Tulang terdiri daripada dua bahan:

Matrik yang kaya mineral (70%) > Tulang yang sudah matang)

Bahan-bahan organik (30%) yang terdiri dari:

Sel (2%) : 1) Sel Osteoblast : yang membuat matrik (bahan) tulang / sel pembentuk tulang. 2) Sel Osteocyte : mempertahankan matrik tulang. 3) Sel Osteoclast : yang menyerap osteoid (95%) (resorbsi) bahan tulang (matrik) / sel yang menyerap tulang.

Osteoid (98%) : Matrik (bahan) tulang yang mengandung sedikit mineral (osteoid>tulang muda)

Hormon yang mempengaruhi tulang secara langsung ialah parathyroid hormone.

Kelenjar parathyroid berada berhampiran dengan kelenjar tiroid kita iaitu di leher. Akibat penuaan maka aktiviti hormon ini merosot. Ini membuatkan kalsium tidak dapat didepositkan dengan baik. Malahan kalsium yang dimakan tidak mampu di serap dan keluar semula daripada tubuh kita.

Dengan pendekatan moden iaitu meningkatkan kembali paras hormon parathyroid kepadatan tulang akan dapat ditambahkan secara semulajadi dan ini merupakan berita gembira buat kita.



16 Mei 2011

Peluang hidup kedua

“Masa depan seolah-olah gelap gelita apabila disahkan strok oleh doktor, tiada ruang lagi untuk saya meneruskan kehidupan, malah saya terpaksa berhenti membawa teksi” luahnya.

Namun Aminuddin tabah dan menguatkan semangat. Hasilnya, kini dia memperoleh kegembiraannya semula malah mampu meneruskan kehidupan bahagia bersama keluarga.

Selepas hampir enam bulan menjalani terapi urutan menggunakan mesin khas di Setapak, Kuala Lumpur dan memakan ubat, dirinya sedikit pulih.

Suaranya dan sebutan perkataan semakin jelas sejak Februari lalu.

Malah akuinya, semasa awal menghidap strok , semua keperluan diri diuruskan oleh isterinya, Lelawati Manan, 46. Kini seboleh-bolehnya dia mahu melakukan sendiri.

Menceritakan saat-saat dirinya diserang strok , katanya, segala-galanya berpunca daripada penyakit darah tinggi serta pemakanan yang tidak seimbang.

“Pada awalnya, tangan saya menjadi kebas ketika memandu teksi. Tiba-tiba, bahagian tubuh kanan pula tidak boleh digerakkan, malah rasa sekeliling saya seperti berpusing dan separuh badan keras. Bayangkan masa itu saya sedang membawa seorang penumpang dan sebelah tangan saya tidak boleh gerak. Kemudian saya menarik brek dan menahan teksi lain,” ceritanya ketika menceritakan detik cemas yang berlaku di Jalan Petaling, Selangor.

Katanya lagi, mulutnya juga menjadi herot dan tidak boleh menyebut patah perkataan.

“Masa tu, saya rasa dunia sudah gelap hanya mati sahaja yang paling hampir,” ceritanya bersungguh.

Namun kesungguhan isteri dan anak-anaknya membuatkan dia semakin tabah menghadapi dugaan hidup.

Bercerita lanjut detik itu, seorang pemandu teksi yang lain menghantarnya pulang ke rumah di Taman Wilayah Selayang Fasa 4, Selayang, Kuala Lumpur.

Isterinya kemudian membawa dia ke Hospital Selayang dan doktor mengesahkan dia diserang strok.

“Tiada apa yang dapat saya lakukan ketika itu, hanya doa yang saya termampu. Apa yang saya terkilan, saya baru sahaja empat bulan membawa teksi. Isteri pula bekerja di tadika tetapi berapa sangatlah gaji dia. Sedangkan kami ada enam anak yang masih bersekolah. Mujur ada kakak yang menawarkan saya rawatan fisioterapi percuma di Setapak,” tambahnya yang menjalankan perniagaan sendiri sebelum menjadi pemandu teksi.

Walaupun mempunyai kenderaan sendiri, dia tidak mampu lagi membayarnya dan tersadai di rumah kerana isteri dan anak-anaknya tidak boleh memandu.

Setiap hari kakaknya akan menemani dia untuk menjalani fisioterapi di pusat terapi tersebut.

Usaha

Berkat kegigihan, usaha tanpa mengenal putus asa dan berdisiplin dengan latihan, selepas hampir empat bulan, kini Aminuddin sudah boleh berjalan perlahan-lahan dan bertutur .

“Ia menyerang secara tiba-tiba tanpa ‘sebarang petanda’. Dia tidak pernah didiagnosis berpenyakit darah tinggi, penyakit jantung dan kencing manis.

Bagaimanapun berada di pusat terapi banyak memberi perubahan kepada saya dan peluang untuk sembuh bertambah baik dengan dorongan keluarga,” jelasnya.

Dia sedar penyakit yang dihidapinya kini tidak mungkin sembuh 100 peratus, tetapi cukuplah jika dia dapat bekerja semula.

“Apa yang penting saya tidak berputus asa dan sentiasa mencuba. Selebihnya berserah kepada Allah Taala.

“Saya menganggap ini sebagai hidup kedua saya. Peluang yang diberikan perlu saya gunakan sebaik-baiknya. Kerana itulah, saya mahu segera sembuh untuk memperbaiki kehidupan keluarga saya,” ujarnya yang bersyukur kerana kakaknya sudi meminjamkan wang untuk persekolahan anak-anak dan rawatannya.

Kewangan

Walaupun digalakkan menjaga pemakanan, Aminuddin tidak kisah hidangan makanan hariannya.

Menyedari kekangan sumber kewangan keluarga, dia akan menjamah apa jua yang dimasak oleh isterinya.

Bahkan dia tidak mahu bergantung kepada bantuan orang ramai semata-mata tetapi dia mengharapkan pihak-pihak tertentu mengambil tindakan sewajarnya tentang nasibnya. Sejak diserang strok, permohonan bantuan sudah dihantar tetapi masih belum ada maklum balas.

“Saya bersyukur kerana isteri dan anak-anak sentiasa memberi sokongan dan menjadi pembakar semangat untuk melawan penyakit ini,” ujarnya




14 Mei 2011

Pengalaman pesakit saraf MS

SELEPAS disahkan menghidap penyakit saraf multiple sclerosis (MS) setahun lalu, kehidupan Nazatul Aqmar Nazri, 25 mula berubah.

Ketika berumur 14 tahun, dia mula mendapat tanda awal tentang MS. Kadang-kadang dia mengalami gangguan memori, percakapan sukar untuk berjalan dan badan sebelah kiri terasa berat. Lebih berat lagi, apabila dia tidak dapat mengawal pembuangan air kecil dan besar. Namun simptom tersebut kadang-kadang datang dan hilang. Namun, Nazatul tidak menghiraukan keadaan itu kerana ingin menumpukan pada pelajaran dan aktiviti sekolah.

Dia pernah dimasukkan ke wad dan doktor mendapati ada tanda putih di otaknya. Dia menolak apabila pihak hospital mahu mengambil air tulang belakang untuk memastikan punca sebenar penyakitnya.

Sepanjang sepuluh tahun, Nazatul berhadapan dengan tanda-tanda MS yang dianggapnya normal kerana ia hanya hadir buat sementara.

Bahkan, wanita muda yang bekerja sebagai pelatih pengurusan ini tetap aktif dalam acara sukan dan kebudayaan sekolahnya.

Perubahan

Melalui usia remaja dengan pelbagai cabaran, Nazatul sekali lagi diuji apabila dia terpaksa dibawa ke hospital pada tahun lalu dan menjalani ujian air tulang belakang dan Magnetic Resonance Imaging (MRI).

Dengan perasaan penuh debar, dia pergi ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk melakukan pemeriksaan kesihatan.

Ketika disahkan MS, Nazatul tidak menyangka pada usia muda dia diserang penyakit saraf. Lebih membimbangkan, dia baru sahaja mahu membina karier.

Sejak itu, dia mula merasakan perubahan pada dirinya. Nazatul kerap diserang gangguan memori dan hilang ingatan.

"Jika seminggu MS menyerang saraf lidah saya, percakapan saya menjadi pelat. Jika ia mengganggu saraf tangan, saya tidak dapat memegang benda dengan betul. Saya terpaksa melupakan cita-cita saya sebagai tukang masak ketika itu," ujarnya yang kini mendapatkan rawatan ubat daripada Hospital tetapi tidak mampu menampung perbelanjaan ubat-ubatannya yang mencecah ribuan Ringgit Malaysia.

Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikulnya. Begitulah penderitaan Nazatul yang tidak menghalangnya meneruskan kehidupan. Dia bersyukur kerana mempunyai keluarga dan rakan-rakan yang sentiasa memberi sokongan.

Dia pernah dikatakan berjalan dengan sugar daddy gara-gara berpegangan tangan dengan bapanya ketika berjalan.

"Orang lain tidak tahu apa yang dialami oleh pesakit MS. Ada yang beranggapan kami mengada-ngada. Ini mungkin disebabkan penyakit ini tidak menyerang sepanjang masa tetapi boleh hadir secara tiba-tiba. Keluarga amat memberi sokongan kepada saya. Kalau saya berjalan dengan bapa, dia akan pegang tangan saya. Dia tahu saya mungkin tidak nampak atau tiba-tiba berasa kebas.

Namun, ada juga orang kutuk saya sebab jalan dengan kekasih tua. Tetapi saya dikelilingi kawan-kawan yang positif. Mereka sokong dan ada yang menyediakan keperluan saya apabila saya memerlukan bantuan," ujarnya dengan tenang.

Harapan

Selain rawatan daripada aspek ubat-ubatan, Nazatul turut mendapat khidmat nasihat dan motivasi yang membaik pulih kesihatan emosinya. Dengan sokongan rakan senasib sepertinya, dia lebih yakin dan kuat.

Kini Nazatul aktif dalam persatuan MS dan membantu pesakit lain dengan berkongsi pengalamannya.

"Saya harap orang ramai mendapat kesedaran MS pada peringkat awal. Jika penyakit ini dapat dikesan awal, masalah yang lebih serius dapat dikawal. Bagi pesakit sendiri, mereka tidak boleh berfikiran negatif. Sebaliknya, mereka perlu positif dan mengambil langkah untuk memulihkan keadaan. Misalnya, jika anda mungkin diserang masalah gangguan memeri, anda perlu catat segala keperluan atau aktiviti harian yang perlu dilakukan," katanya.

Punca

Dalam pada itu, ahli neurologi HKL, Dr. Shanti Viswanathan berkata, MS sebenar penyakit yang sukar dipastikan puncanya secara tepat. Ia adalah sejenis penyakit iaitu sel-sel daripada sistem imun badan pesakit sendiri menyerang lapisan luar saraf iaitu "myelin" yang mustahak untuk penghantaran dorongan mengakibatkan saraf itu itu tidak berfungsi dengan baik. Serangan ini boleh terjadi kepada saraf mata, otak atau saraf tunjang dan serangan ini adalah berulang-ulang. Pada mulanya, pesakit boleh sembuh dengan sepenuhnya daripada serangan sistem imun ini tetapi lama kelamaan badan pesakit tidak dapat berbuat demikian dan pesakit ditinggalkan dengan kecacatan atau disabiliti seperti masalah berjalan, melihat atau kebas-kebas anggota badan.

"Jika seseorang doktor mengesan kelainan pada pesakit mungkin simptom yang berulang, adalah wajar beliau merujuk pesakit ini kepada pakar neurologi. Setiap anggota masyarakat mendapat kesedaran mengenai wujudnya penyakit ini dan betapa pentingnya didiagnosakan dengan tepat dan awal serta meneriam rawatan yang optima.

''Kini terdapat ubat-ubatan yang baru yang walaupun tidak dapat menyembuhkan penyakit ini dapat mengawalnya supaya risiko serangan berulang keatas system saraf dapat dielakkan dan dengan itu risiko kecacatan seperti lumpuh kaki mahupun kurang penglihatan dapat di kurangkan. Memang tidak dapat dinafikan kos ubatan ini adalah tinggi dan setiap pesakit perlulah diperiksa sama ada sesuai dimulakan ubat ini atau tidak," jelasnya.


Kesan stres terhadap daya kerja

PELBAGAI kejadian dan tragedi yang melibatkan tekanan atau stres dan kemurungan teruk sebenarnya boleh dielak dan diatasi, jika orang ramai mengambil berat mengenainya. Malah, ia boleh menjadi penyakit yang serius andai tidak diurus dan dikawal dengan baik.

Walaupun stres dikategorikan penyakit yang serius tetapi sayangnya ia tidak diambil berat.

Ini mungkin kerana masyarakat beranggapan bahawa stres hanya memberikan kesan seketika tanpa menyedari bahawa stres juga boleh menjejaskan seluruh badan dan minda.

"Ia boleh menjejaskan tingkah laku, fikiran, emosi, perhubungan dengan orang lain di pejabat dan rumah," ujar Pakar Perunding Psikiatri Hospital Gleneagles Kuala Lumpur, Dr. Nor Hamidah Mohd. Salleh ketika menyampaikan ceramah dalam Bengkel Stres Kehidupan anjuran Hospital Gleneagles.

Dr. Nor Hamidah memberitahu, wanita mempunyai risiko yang lebih tinggi mengalami stres dan kemurungan berbanding lelaki. Tidak ada sebab tertentu yang mengatakan punca mengapa wanita lebih berisiko tinggi berbanding lelaki.

Bagaimanapun, ia mungkin kerana wanita lebih mudah meluahkan perasaan dan dengan cara begini mereka cepat mendapatkan rawatan.

Lelaki biasanya tidak mudah meluahkan perasaan dan ini mungkin kerana anak lelaki dididik supaya menjadi 'lelaki sejati', iaitu tidak boleh menangis dan sebagainya.

Banyak kes yang dirawat di hospital melibatkan pesakit yang tidak membiasakan diri menyelesaikan masalah dari peringkat awal lagi.

Kadang-kadang masalah di tempat kerja juga memberi kesan terhadap institusi kekeluargaan sehingga memporak-perandakan perkahwinan itu sendiri.

Bagi penghidap stres, mereka bimbang, masyarakat akan memandang serong terhadap mereka dan tidak mahu dilabel kurang siuman.

Ujar Dr. Nor Hamidah, sebab itu masyarakat juga perlu prihatin dan sedar betapa stres dan kemurungan yang tidak dirawat dengan baik boleh memberi kesan kepada produktiviti kerja.

Ramai wanita stres?

Menurut Dr. Nor Hamidah, dalam satu kajian yang pernah dijalankan oleh Universiti Arizona terhadap 166 pasangan berkahwin mendapati, wanita melalui episod stres yang tinggi berbanding lelaki.

Bercerita mengenai punca masalah yang semakin meningkat itu katanya, desakan hidup dan persekitaran sebenarnya menjadi penyebab utama.

Kebanyakan wanita pada peringkat umur 35 hingga 45 tahun mengalami emosi yang stabil kerana ramai yang mula bijak menguruskan kewangan sementara anak-anak pula sudah membesar. Berbeza dengan wanita yang baru mendirikan rumah tangga atau mempunyai anak, mereka belum bijak menguruskan hal rumah dan kerja. Bagi wanita yang berumur 45 tahun ke atas, mereka pula berhadapan dengan perubahan hormon akibat menopaus.

Pendek kata wanita dwi kerjaya berhadapan dengan pelbagai cabaran iaitu penjagaan anak-anak, menjaga ibu bapa, beban kerja rumah, masalah dalam perkahwinan dan prestasi kerja.

Bijak

Namun seandainya seseorang bijak melalui setiap stres yang dialami, mereka mampu menjalani hidup dengan lebih berkualiti.

Jelas Dr. Nor Hamidah, kesihatan mental sama pentingnya dengan kesihatan fizikal.

"Mengambil berat tentang kesihatan mental membantu kita untuk merasa lebih sihat secara fizikal. Begitu juga sebaliknya kerana kedua-dua perkara ini saling berkait," katanya.

Dr. Nor Hamidah turut menasihatkan mereka yang mengalami masalah supaya ambil masa untuk rehat dan berani untuk berbincang mengenainya bersama saudara atau teman terdekat.

"Anda sendiri mungkin sedar dengan perbezaan diri apabila mengalami masalah mental seperti kemurungan. Malah rakan-rakan terdekat juga pasti akan sedar mengenainya. Seandainya ada yang menasihati anda agar bertemu pakar untuk mendapatkan rawatan, jangan tunggu lagi," katanya.

Dr. Nor Hamidah memberitahu, kerja, keluarga dan kawan-kawan memberi kesan kepada kesihatan mental dari sudut kebaikan dan keburukan. Justeru katanya, setiap individu perlu pandai mengimbangi kerjaya dan kehidupan mereka agar sihat mental dan fizikal.

Pengurusan stres di pejabat

Justeru itu, setiap organisasi perlu ada pengurusan stres di tempat kerja agar tidak menganggu produktiviti pekerja.

"Kita lihat banyak kejayaan menerusi perlaksanaan pengurusan kerja di pejabat. Kajian syarikat McDonnel Douglas pada tahun 1989 menunjukkan pengurusan stres di pejabat menurunkan 35 peratus kos penjagaan kesihatan pekerja. Pada tahun 1995, Perkhidmatan Salah Tingkahlaku dan Kesihatan Mental mendapati pengurusan stres di tempat kerja telah menurunkan 35 peratus masalahstres pekerja dan meningkatkan produktiviti sebanyak 14 peratus," ujarnya.

Mengulas lanjut tentang pengurusan ini, setiap organisasi perlu merujuk pekerja yang stres kepada pakar psikiatri, psikologi atau kaunselor.

Kebiasaannya, pekerja yang berhadapan dengan stres akan diberi cuti sakit sehingga seminggu. Jika kes serius berlaku, rawatan boleh dilanjutkan sehingga tiga bulan.

Ini penting untuk mengurangkan berlakunya darah tinggi - lelah - masalah kulit yang semakin teruk seperti jerawat, psoriasis, ekzema - serangan jantung - sinus/resdung - hilangan fungsi seksual dan pembiakan - strok - masalah berat badan - gangguan tidur - cirit-birit atau sembelit - migrain - gangguan kebimbangan - ulser perut - sakit kepala - kemurungan.



11 Mei 2011

Senaman kawal kencing manis

“ADAKAH senaman hujung minggu selama dua setengah jam memberi kesan sama dengan bersenam 30 minit sehari yang dilakukan lima hari berturut-turut? Walaupun hanya bersenam satu atau dua kali, jumlah waktunya sama. Jadi, sepatutnya kesannya juga sama, bukan?” soal seorang teman.

Jawapannya: Tidak. Ini jawapan yang diberikan Ketua Jabatan dan Perunding Perubatan Kanan, Jabatan Perubatan Hospital Taiping, Dr Letchuman Ramanathan. Tidak kira perkara apa pun sama ada soal makan, amal ibadat mahu pun penjagaan kesihatan, yang penting ialah konsisten atau istiqamah; iaitu ia dilakukan secara berterusan; apatah lagi bagi mereka yang menghidap penyakit gaya hidup termasuklah kencing manis.

Kencing manis kini ancaman besar kepada penduduk dunia terutama di Asia; dengan gaya hidup kita hari ini dan semua orang berpeluang mendapat kencing manis kerana risikonya bertambah dengan peningkatan umur. Kajian Kesihatan dan Morbiditi 2006 mendapati 14.9 peratus rakyat negara kita yang berumur 30 tahun ke atas menghidap kencing manis berbanding hanya 8.3 peratus pada 1996.

Antara kaedah terbaik mengawal kencing manis ialah bersenam dan menjaga pemakanan. Ramai pakar kesihatan bersetuju senaman perlu dijadikan preskripsi iaitu ia perlu diambil (dilakukan) setiap hari; bukan untuk pesakit saja bahkan semua orang. Ini kerana senaman boleh mengurangkan risiko kencing manis sebanyak 66 peratus.

Jadi, kenapa perlu bersenam setiap hari dan tidak boleh ‘dikumpul’ untuk dilakukan pada hujung minggu? Menurut Dr Letchuman, kencing manis jenis 2 yang dihidapi 90 peratus pesakit disebabkan badan mungkin tidak menghasilkan cukup insulin (yang bertindak sebagai pengangkut gula dari dalam darah masuk ke sel) atau badan hilang sensitiviti terhadap insulin (keadaan ini dipanggil kerintangan terhadap insulin) dan mengakibatkan insulin tidak diguna dengan sebaik-baiknya. Kesannya, makin banyak gula terkumpul dalam darah.

“Bersenam mempunyai kesan legasi iaitu ia mampu mengurangkan kerintangan terhadap insulin dan kesan ini boleh berlanjutan sehingga 48 jam. Jadi, sensitiviti badan terhadap insulin meningkat dan boleh menggunakan insulin untuk mengangkut gula dari darah masuk ke dalam sel. Jadi, jumlah gula dalam darah akan menurun.

“Jika kita bersenam setiap hari, kesan legasi ini akan berterusan dan membolehkan paras gula darah sentiasa berada dalam julat normal. Inilah sebabnya kita tidak boleh tunggu hingga hujung minggu saja untuk bersenam. Setiap orang sepatutnya bersenam 30 minit sehari; lima hari seminggu atau jumlah terkumpul 150 minit seminggu jika ia dilakukan selang sehari,” katanya.

Menurutnya, perubahan gaya hidup dengan menjaga pemakanan dan bersenam boleh melengahkan kemunculan penyakit kencing manis terutama bagi golongan berisiko tinggi iaitu yang mempunyai ibu dan ayah penghidap kencing manis serta mempunyai masalah berat badan berlebihan.

“Peningkatan harga gula bukanlah perkara buruk, ia mempunyai manfaat tersirat. Ia secara tidak langsung menyedarkan kita semua untuk mengurangkan penggunaan gula dalam semua makanan dan minuman yang sekali gus membantu memudahkan kawalan penyakit.

“Sebenarnya kita tidak memerlukan gula. Ia hanyalah untuk memuaskan selera lidah. Badan masih boleh mendapatkan gula daripada sumber karbohidrat seperti nasi, mi, bihun, pasta, kentang, ubi dan semua makanan berkanji. Lebih lama badan terdedah kepada gula, makin banyak kerosakan yang berlaku pada tisu,” katanya pada bengkel Kawalan Glisemik dan Pengurangan Risiko Kardiovaskular anjuran GlaxoSmithKline (GSK) sempena Hari Diabetes Sedunia yang disambut pada 14 November setiap tahun.

Senaman membantu usaha mengawal kencing manis dengan:

Memperbaiki keupayaan badan menggunakan insulin;

Membakar lebihan lemak, sekali gus membantu mengurangkan berat badan. Pengurangan lemak badan akan meningkatkan sensitiviti badan terhadap insulin;

Memperbaiki kekuatan otot;

Meningkatkan ketumpatan dan kekuatan tulang;

Merendahkan tekanan darah;

Memperbaiki dan melancarkan aliran darah;

Mengurangkan paras kolesterol buruk dan meningkatkan kolesterol baik, sekali gus memberi perlindungan daripada penyakit jantung;

Mengurangkan tekanan dan merangsang penghasilan hormon yang membuat kita berasa tenang dan seronok.

Dr Letchuman mengakui kencing manis adalah antara penyakit yang sukar dikawal di negara kita. Ada banyak faktor yang menyumbang kepada masalah ini seperti:

Pengambilan makanan yang berlebihan dan kurang bersenam;

Penyakit lewat dikesan. ramai tidak sedar mereka menghidap kencing manis kerana gejala awalnya tidak jelas. Ini menyebabkan 50 peratus pesakit lewat mendapatkan rawatan;

Pesakit bertindak merawat diri sendiri dengan mencuba pelbagai jenis ubat, rawatan alternatif dan persediaan tradisional;

Pesakit tidak mematuhi jadual pengambilan ubat; keberatan menjalani rawatan atau bimbang terhadap penggunaan insulin. Salah anggapan terhadap insulin menyebabkan ramai mencuba rawatan alternatif sedangkan insulin boleh membantu memperlahankan perkembangan penyakit;

Bimbang kesan sampingan ubat seperti dilihat pada pesakit lain. Pesakit tidak perlu gusar kerana ubat untuk setiap individu berbeza mengikut tahap penyakit masing-masing. Jika ada kesan sampingan, berbincanglah dengan doktor supaya tindakan sewajarnya boleh diambil.

Senaman apakah yang baik untuk pesakit kencing manis? Pesakit boleh melakukan semua jenis senaman aerobik mengikut kemampuan mereka. Senaman yang paling mudah ialah berjalan kerana ia boleh dilakukan bila-bila masa dan di mana-mana saja hatta di dalam rumah.

Bagaimanapun, jika anda tidak pernah bersenam, dapatkan nasihat doktor mengenai senaman yang sesuai untuk anda dan dalam keadaan bagaimana anda tidak boleh bersenam atau perlu berhenti bersenam.

“Apabila doktor kata anda perlukan suntikan insulin, jangan panik dan takut. Suntikan insulin bukan bermakna penyakit anda sudah sampai ke peringkat akhir. Ia boleh memperlahankan atau melengahkan perkembangan penyakit.

“Jika doktor mencadangkan anda mengambil suntikan insulin, cuba untuk seminggu dan lihat perubahan yang berlaku pada anda. Jika suka boleh teruskan dan jika tidak, boleh kembali kepada ubat.

“Berdasarkan pengalaman, kebanyakan pesakit berkata kualiti hidup mereka lebih baik selepas mengambil suntikan insulin. Mereka juga tidak lagi kerap bangun malam untuk membuang air kecil,” katanya.

Mengawal kencing manis bukan saja membuatkan anda lebih selesa, juga mengurangkan risiko mendapat:

Penyakit jantung;

Strok;

Penyakit mata yang boleh menyebabkan kehilangan penglihatan atau kebutaan;

Kerosakan saraf pada tangan, kaki atau bahagian lain badan. Ia juga antara punca utama kaki pesakit dipotong kerana apabila saraf rosak, pesakit hilang sensitiviti terhadap rasa sakit. Malah ia juga kerap mengakibatkan pesakit lelaki mati pucuk atau erektil disfungsi.

Kegagalan buah pinggang;

Penyakit gusi yang menyebabkan kehilangan gigi;

Pengarah Yayasan Jantung Malaysia, Datuk Dr Khoo Kah Lin; berkata kencing manis yang bertambah teruk boleh memberi kesan buruk kepada salur darah yang menyebabkan pelbagai penyakit. Jika salur darah besar yang terbabit; ia boleh mengakibatkan strok, serangan jantung dan masalah pada kaki (antara penyebab kaki pesakit terpaksa dipotong).

Kerosakan salur darah halus akibat kencing manis biasanya berlaku pada mata (retinopati diabetes atau kebutaan), kegagalan buah pinggang dan saraf pada kaki.

“Serangan jantung adalah pembunuh utama di kalangan pesakit kencing manis. Pesakit kencing manis mempunyai risiko meninggal dunia dua hingga tiga kali lebih tinggi akibat serangan jantung berbanding orang normal. Oleh kerana ramai pesakit lewat berjumpa doktor, biasanya ketika kencing manis dikesan, mereka sudah mengalami pelbagai masalah salur darah yang meningkatkan risiko mendapat serangan jantung.

“Selain pengambilan ubat, saya selalu beri preskripsi diet kepada pesakit kencing manis iaitu isikan separuh pinggan dengan sayur-sayuran, satu perempat untuk sumber karbohidrat (contohnya nasi, mi, roti) dan satu perempat lagi untuk sumber protein sama ada ikan, ayam atau daging,” katanya.


10 Mei 2011

Makan cara sihat ikut sunah

KITA berpantang dan mengawal tabiat makan apabila diserang penyakit. Lebih teruk jika doktor hanya membenarkan kita makan dalam kuantiti sedikit atau makanan tertentu.

Hakikatnya, amalan mengawal tabiat pemakanan selepas jatuh sakit adalah tindakan salah. Kita patut mengawal pemakanan seawal usia remaja, bukan apabila memasuki fasa 40-an.

Tabiat pemakanan yang boleh diteladani ialah mengikut sunah Rasulullah s.a.w. Jika dikaji, amalan pemakanan baginda amat bertepatan dengan al-Quran bermaksud: “... makan dan minumlah, dan janganlah berlebih-lebihan...” (Surah al-A’raf, ayat 31).

Petua menjaga kesihatan cara Rasulullah turut mengambil kira sistem tubuh manusia. Sebagai mesin, ia memerlukan bahan bakar iaitu makanan untuk membolehkannya melaksanakan kerja, tetapi kuantiti makanan yang masuk ke perut mesti dikawal.


Sebenarnya, menjaga dan mengawal perut daripada makan terlalu banyak adalah kaedah pencegahan penyakit yang berkesan. Sebab itu ramai ilmuwan perubatan dan tabib zaman lampau sering bermadah ‘lapar itu ubat’.

Mengambil makanan dalam kuantiti banyak adalah amalan buruk kerana ia memberatkan organ dan sistem pencernaan sehingga ia lemah dan tidak mampu mencerna secara teratur dan berkesan.

Makanan dalam jumlah yang banyak menyebabkan pelbagai penyakit. Justeru, kaedah rawatan dan pencegahan penyakit yang terbaik sepatutnya bermula dari perut - pastikan kuantiti dan jenis makanan yang masuk ke perut terkawal.

Nabi Muhammad ada menyebut ‘perut adalah tempat bermula pelbagai penyakit’. Selain kuantiti makanan, petua kesihatan Nabi turut mengambil kira isi padu makanan.

Baginda lebih mengutamakan makanan lembut, terutama jika baru sembuh atau melalui proses pemulihan. Dalam satu hadis daripada Siti Aisyah r.a, beliau berkata: “Jika Rasulullah diberitahu si fulan sakit dan tidak ada nafsu makan, baginda bersabda: Berikanlah kepadanya ‘talbiinah’! Kata baginda lagi, Demi Allah, ia mencuci perut seseorang seperti kamu membersihkan mukamu daripada kotoran!”

Talbiinah ialah sejenis makanan masyarakat Arab menyerupai bubur atau susu. Ia lembut dan tidak membebankan perut. Bagi kita di sini, mungkin oat dicampur susu sesuai sebagai makanan yang lembut dan tidak membebankan perut serta fungsi pencernaan.

Makanan ini juga kaya serat dan banyak membantu proses penghadaman.

Disiplin pemakanan yang diamalkan Rasulullah biasanya mengelak makanan itu mendatangkan penyakit kepada individu yang sihat, manakala bagi mereka yang mengalami masalah kesihatan, ia mengelak penyakit menjadi semakin serius.

Contoh peristiwa Nabi Muhammad s.a.w mengajar pemilihan makanan ketika sakit ialah sebagaimana hadis riwayat Ibnu Maajah dari Ummul Mundzir Qois al Anshoriyah, katanya:

“Suatu hari Rasulullah berkunjung ke rumah kami bersama Ali k.a yang ketika itu baru sembuh daripada sakit. Kami mempunyai buah daliah (sejenis buah-buahan di tanah suci), lalu Rasulullah mengambil dan memakannya dan Ali juga memakannya.

“Baginda berkata kepada Ali: Engkau baru saja sembuh daripada sakit.

“Lalu Ali berhenti memakannya. Kemudian saya buatkan masakan dari gandum dan saya berikan kepada mereka berdua, maka Rasulullah s.a.w bersabda: Ali, nah, ini lebih sesuai bagimu!”

Larangan Rasulullah kepada Ali yang baharu sembuh daripada sakit agar tidak memakan daliah sebagaimana dalam hadis di atas adalah kaedah pencegahan atau berpantang. Buah-buahan yang sifatnya mudah terurai mungkin memberi mudarat bagi mereka yang baru sembuh.

Ketika baru pulih daripada sakit, perut belum cukup kuat kerana ia sibuk bekerja menghakis sisa penyakit dari dalam perut dan badan.

Sebaliknya, Rasulullah menggalakkan Ali mengambil masakan daripada gandum kerana air daripada gandum itu dapat menguatkan tubuh.

Namun, baginda membenarkan pengambilan makanan yang tidak sesuai, tetapi dalam kuantiti sedikit sekadar menghilangkan keinginan.

Perkara menarik mengenai kaedah makanan seimbang yang diajarkan Rasulullah ialah baginda tidak membataskan pada satu jenis makanan saja. Contohnya, baginda menyeimbangkan makanan bersifat panas dengan sejuk.

Dari segi komposisi makanan, baginda tidak pernah mengambil susu dan ikan atau susu dan telur atau daging dan susu atau antara makanan yang kedua-duanya mempunyai sifat panas atau sifat dingin serentak.

Baginda juga tidak mengambil dua jenis makanan yang mempunyai sifat cepat dicernakan dan lambat dicernakan, serentak.

Rasulullah tidak mengambil makanan yang masih dalam keadaan panas atau makanan yang disimpan semalaman, makanan awet atau diasinkan seperti acar kerana semua itu memudaratkan kesihatan.

Kita juga patut mengelak mengambil makanan segera dan minuman berkarbonat, walaupun sedap, tetapi memudaratkan apatah lagi mengandungi perasa tiruan dan sintetik.

Rasulullah gemar makanan yang mengandungi unsur manis semula jadi dan madu malah baginda suka mengambil buah-buahan sebagai makanan tambahan.

Mengenai madu, Nabi mempunyai disiplin pengambilan madu yang baik untuk dicontohi, iaitu mengambilnya pada waktu pagi sebelum sarapan.

Madu dicampurkan dengan air dingin sebelum diminum. Ini bertujuan mencairkan lendir dan membersihkan sistem pencernaan.

Selain jenis dan kuantiti makanan, satu aspek lain penjagaan kesihatan Rasulullah s.a.w ialah cara baginda duduk ketika makan, iaitu dalam posisi ‘mutawarikan’, iaitu meletakkan pinggul pada kedua-dua tumit dan menempatkan telapak kaki kiri di atas punggung kaki kanan.

Postur badan penting dalam menentukan kebaikan ketika pengambilan makanan. Contohnya, baginda melarang

makan sambil bersandar sebagaimana sabdanya bermaksud: “Saya tidak makan sambil bersandar.”

Baginda juga melarang minum sambil berdiri, kecuali jika dalam keadaan terpaksa. Baginda mempunyai disiplin khusus dari segi minuman.

Berdasarkan petunjuk Nabi s.a.w, makruh minum selepas melakukan olahraga atau sebaik selesai melakukan sesuatu kerja berat atau sebaik habis makan atau sebelum makan. Semua itu tidak baik untuk kesihatan. Sebaliknya, biarkan beberapa detik berlalu apabila selesai aktiviti berat atau makan, kemudian minum.

Rasulullah s.a.w mempunyai petua unik ketika minum. Dalam satu hadis dari Anas bin Malik bermaksud: “Rasulullah minum dengan tiga kali nafas. Baginda berkata: Hal itu lebih melegakan dan lebih menyihatkan.”

Maksud bernafas tiga kali ketika minum ialah dengan menjauhkan bekas atau cawan dari mulut, lalu bernafas atau seolah-olah menghisap air yang sedang diminum. Larangan bernafas di dalam gelas ketika minum ditemui dalam hadis bermaksud:

“Jika seseorang di antara kalian minum maka janganlah bernafas di dalam gelas minuman, tetapi hendaklah direnggangkannya dari bibir.”

Dan, pasti yang paling penting dan mungkin dilupakan kita apabila makan atau minum ialah membaca ‘basmalah’ (membaca Bismillah) dan mengucapkan ‘hamdalah’ (Alhamdulillah) apabila selesai. Ia banyak keberkatan dari segi kesihatan.

Rahsia besar Rasulullah s.a.w yang patut menjadi teladan ialah baginda tidak pernah mencela makanan yang tidak disukainya atau kurang enak. Ini terkandung di dalam hadis bermaksud:

“Anas berkata: Rasulullah tidak pernah mencela makanan. Jika berselera dimakannya, dan jika tidak maka ditinggalkannya.”

Justeru, semua orang tidak wajar menunggu hari tua atau berusia lewat 40-an untuk memulakan amalan pemakanan sihat. Mulakanlah sekarang!

Kepentingan menjaga pemakanan dapat difahami daripada hadis Nabi saw yang diriwayatkan at-Turmudzi dari Abdullah al-Ashory, Rasulullah saw bersabda bermaksud:

“Sesiapa dalam keadaan badan sihat, aman dalam penghidupan dan ia memiliki makanan sehari-hari yang cukup, maka seolah-olah dunia ini miliknya.” 



09 Mei 2011

Tip menu sihat makan di restoran

Pilih menu secara berhati-hati

Berikan tumpuan kepada senarai maklumat menu itu. Label-label seperti goreng, rangup, penuh keju, Alfredo, au gratin atau sos krim biasanya tinggi jumlah kalori dan sodium serta lemak tepu.

Pilih hidangan yang mempunyai banyak sayur-sayuran dan ambil ayam atau daging yang kurang bahagian lemak.

Minum banyak air

Minuman berkarbonat memang sesuai dinikmati bersama makanan ringan tetapi ia mengandungi kalori tersembunyi. Saiz minuman berkarbonat biasa 32 auns mempunyai 425 kalori, jumlah yang amat tinggi dalam pengambilan kalori seharian.

Jika tidak gemar minum air kosong, cuba tambahkan dengan titisan lemon
atau menukarkannya dengan teh kurang atau tanpa gula.

‘Ubah’ makanan anda

Apabila memilih menu, berhati-hati dengan kuah salad, mentega, keju dan krim masam yang kaya dengan kalori dan lemak. Ketika memesan burger ayam, mintalah tanpa mayonis dan tukarkannya dengan sos mustard (jika ada).

Makan secara berhemah

Berikan perhatian terhadap makanan anda dan nikmati satu demi satu. Kunyah perlahan-lahan dan jangan makan secara tergesa-gesa. Makan secara berhemah juga bermaksud berhenti sebelum kenyang.

Tubuh kita memerlukan masa untuk mengenalpasti apa yang kita makan. Makan secara tenang dapat memudahkan penghadaman dan membuatkan kita rasa lebih kenyang.

Saiz besar

Satu hidangan biasa makanan segera secara puratanya mengandungi lebih 1,000 kalori, jadi pilihlah hidangan kecil dan pilih salad berbanding kentang goreng.

Andainya masih ingin menikmati kentang goreng, kurangkan kandungan garamnya dan jangan minta saiz besar. Satu saiz hidangan biasa sebenarnya boleh dijadikan dua hidangan. Makan separuh dan sebahagian lagi dibawa pulang atau dikongsi bersama pasangan.



04 Mei 2011

ED simptom awal sakit jantung

MATI pucuk atau istilah perubatannya dysfunctional erection (ED) keadaan di mana seseorang lelaki tidak mampu dan sukar mencapai atau mempertahankan ejakulasi dalam tempoh lama.

Keadaan itu menyebabkan mereka tidak puas dan tertekan dengan kehidupan seksual.

Laporan terkini yang dikeluarkan Pfizer menunjukkan lebih 150 juta lelaki di seluruh dunia mengalami ED.

Jumlah itu mampu bertambah dua kali ganda menjelang 2025.

Manakala di Asia, bilangannya dijangka mencecah kira-kira 200 juta lelaki pada tahun sama.

Di Malaysia pula, kaji selidik Kesihatan Seksual dan Kesihatan Keseluruhan Asia Pasifik (AP SHOW) yang turut dijalankan Pfizer membuktikan 62 peratus lelaki tidak berpuas hati dengan kehidupan seksual.

Sementara 40 peratus lagi mengalami ketegangan separuh matang atau suboptimal erction.

Pengarah Perubatan Pfizer, Dr. Vicknesh Wellupillai berkata, ED adalah simptom awal bagi penyakit kardiovaskular dan lazimnya ia berlaku seiring dengan kencing manis, hipertensi, kolestrol tinggi dan penyakit jantung.

Justeru tegasnya, ia perlu dirawat secepat mungkin bagi mengelak bertukar menjadi penyakit kardiovaskular dalam jangkamasa kira-kira tiga tahun.

Bagaimanapun, jelasnya, kebanyakan penghidap ED tidak mendapatkan khidmat nasihat pakar atau mendapatkan rawatan. Mereka membiarkan masalah itu berlaku kerana kebimbangan dari segi psikologi.

Menurut Vicknesh, menyedari hakikat itu dan bahaya ED, Pfizer Malaysia dan pusat gimnasium, Celebrity Fitness bekerjasama menganjurkan kempen Make A Stand bertujuan memberi kesedaran serta pendedahan mengenai ED.

Katanya, melalui kempen itu, golongan lelaki akan ditawarkan maklumat terperinci berhubung ED, cara mengesannya lebih awal dan keperluan mendapatkan nasihat doktor jika mengalami gejala berkenaan atau suboptimal erection.

Vicknesh memberitahu, Make A Stand akan diadakan di cawangan terpilih Celebrity Fitness di seluruh negara.

Proses pemeriksaan dan khidmat nasihat akan dilakukan dalam bilik persalinan lelaki pusat kecergasan tersebut serta dilengkapi modul yang mudah difahami peserta.

"Kempen ini dianjurkan secara tertutup di bilik persalinan bagi menggalakkan seseorang yang mempunyai gejala ED lebih terbuka dan tidak segan berbincang dengan pakar yang mengendalikannya.

"Selain itu, keadaan tertutup ini membolehkan peserta membezakan peringkat ereksi berlainan melalui ujian sentuhan mudah yang akan menunjukkan di mana kedudukan mereka di dalam Skor Kesukaran Ereksi (EHS).

"Ujian EHS adalah kaedah mudah dan mampu mengukur secara tepat tahap ketegangan dengan skala satu hingga empat bagi memudahkan penentuan jenis rawatan atau senaman yang sesuai," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Pelancaran Kempen Make A Stand di Celebrity Fitness, Bangsar Village II, Bangsar, baru-baru ini.

Sementara itu, Tara berkata, rutin senaman yang konsisten bukan sahaja mampu membantu mengurangkan berat dan tekanan darah tetapi juga menyihatkan jantung.

"Di kalangan lelaki, senaman juga mempu mengurangkan risiko komplikasi apa sahaja penyakit yang mana puncanya dikaitkan dengan kehidupan tidak aktif," katanya.



03 Mei 2011

Ibu hamil lemah daya imun tubuh

BERPANTANG ketika hamil? Mungkin ada beranggapan ia hanya menyusahkan atau tidak masuk akal tetapi tahukah anda, sesetengah orang terpaksa berpantang sepanjang hayatnya terutama ketika hamil; dan golongan dimaksudkan ialah mereka yang ada masalah alahan.

Berpantang makan adalah perkara biasa bagi mereka tetapi keperluan ini meningkat ketika hamil bagi mengelakkan masalah alahan diwarisi anak.

Meskipun tiada kajian yang membuktikan wujudnya kaitan langsung antara pemakanan ibu dengan risiko alahan pada janin, pakar perubatan menasihatkan supaya mereka lebih berhati- hati; setidak-tidaknya ia dapat mengelakkan masalah pada diri sendiri.

Alahan boleh berlaku kepada sesiapa pada bila-bila masa tanpa mengira usia. Kajian mendapati ramai orang dewasa alah terhadap makanan, ubat-ubatan, gigitan serangga dan senaman. Kebanyakan kanak-kanak pula mengalami alahan terhadap makanan.
Click Here


Sesetengah pakar berpendapat hampir semua orang alah terhadap bahan tertentu tetapi tidak menyedarinya, mungkin disebabkan reaksi alahan yang sedikit dan tidak mendatangkan masalah besar.


Alahan ialah tindak balas sistem imun. Ia berlaku apabila badan tersilap tafsir bahan di dalam makanan (biasanya protein) sebagai benda asing berbahaya dan perlu dihapuskan. Badan menghasilkan antibodi dipanggil imunoglobulin E atau IgE untuk ‘membunuh’ protein itu dan tindak balas ini menyebabkan pelbagai gejala.

Menurut Perunding Obstetrik dan Ginekologi Hospital Assunta di Petaling Jaya, Dr Liew Fah Onn, gejala alahan boleh dibahagikan kepada tiga iaitu alahan sedikit, sederhana dan teruk (anafilaksis). Bagi alahan yang sedikit, seseorang itu mengalami gejala setempat (tidak merebak) seperti:

# Ruam

# Gatal

# Mata berair

# Hidung tersumbat

Alahan sederhana bermakna gejala merebak ke lain bahagian badan dan seseorang itu boleh mengalami:

# Gatal

# Kesukaran bernafas

Alahan teruk atau melampau (anafilaksis) adalah tindak balas mendadak terhadap alergen yang membabitkan seluruh badan. Gejala alahan boleh bermula dengan gatal pada mata atau muka, dan dalam masa beberapa minit ia menjadi serius.

Tindak balas badan individu yang mengalami alahan teruk, berlaku dengan cepat. Apabila alergen memasuki aliran darah, badan melepaskan sejenis bahan kimia iaitu histamin untuk menghapuskannya. Bagi individu yang mengalami anafilaksis, badan mereka menghasilkan terlalu banyak histamin sehingga menyebabkan pelbagai gejala yang boleh mengancam nyawa pesakit. Antara gejala anafilaksis ialah:

# Gejala gangguan saluran pernafasan (lelah, bronkitis, asma) - yang menyebabkan kesukaran bernafas atau menelan

# Kulit menjadi gatal, tumbuh ruam dan ekzema

# Sakit perut

# Muntah

# Cirit-birit

# Pening atau berasa keliru

Katanya, ada banyak faktor yang boleh merangsang gejala alahan dan antara pencetus masalah yang biasa ialah:

# Alergen udara seperti debunga, kutu rumah, kulapuk dan bulu serta sel mati daripada haiwan

# Sesetengah makanan terutama yang kaya protein seperti kacang, gandum, soya, ikan, makanan laut dan susu

# Sengatan serangga seperti lebah dan tebuan

# Sesetengah ubat seperti penisilin atau antibiotik berasaskan penisilin

# Susu getah atau alat yang dibuat daripada getah


Adakah kehamilan meningkatkan risiko alahan?

Menurut Perunding Obstetrik dan Ginekologi Hospital Assunta di Petaling Jaya, Dr Liew Fah Onn, kehamilan adalah tempoh berlakunya banyak perubahan dalam badan wanita. Hormon mempunyai kesan besar terhadap sistem imun atau daya ketahanan badan yang akan turut mempengaruhi masalah alahan.

“Hormon yang dihasilkan ketika mengandung membawa kesan yang lebih kurang sama seperti steroid dan ia akan memperlahankan alahan. Ketika hamil, daya ketahanan wanita akan dikurangkan untuk mengelakkan penolakan janin yang dianggap oleh sistem imun sebagai benda asing. Peningkatan ketolerenan sistem imun menerbitkan keadaan ‘kurang waspada’ terhadap bahan asing.

“Perubahan ini membuatkan potensi untuk berlaku alahan ketika hamil juga meningkat. Contohnya, serangan asma boleh berlaku lebih kerap; atau serangan kali pertama terjadi ketika hamil. Bagaimanapun, keadaan sebaliknya juga boleh berlaku; penyakit asma bertambah baik dan lebih senang dikawal,” katanya.


Bagi wanita yang ada masalah alahan, apa kemungkinan akan terjadi?

“Kawalan asma yang baik ketika hamil sangat penting bagi mengekalkan bekalan oksigen mencukupi kepada janin yang sedang membesar. Kelahiran pramatang (tidak cukup bulan) dan tidak cukup berat mungkin disebabkan kawalan asma yang tidak baik.

“Kebanyakan ubat untuk asma boleh diambil ketika mengandung dan tiada bukti ia boleh meningkatkan risiko atau membahayakan janin. Bagaimanapun doktor menyarankan pesakit asma yang hamil mengambil ubat pada dos paling rendah - cukup untuk mengawal gejala saja,” katanya lagi.

Alahan hidung biasanya berlaku pada trimester pertama atau tiga bulan pertama kehamilan. Wanita hamil lebih mudah mengalami masalah hidung tersumbat, gatal dan hidung berair. Usah bimbang kerana keadaan ini biasanya disebabkan perubahan hormon.

Urtikaria (gegatal) dan ruam alahan juga antara masalah biasa yang dialami ketika hamil. Salah satu ruam yang paling kerap dikesan ialah sindrom urtikaria pruritik papul dan plak kehamilan (Sindrom PUPPP) - juga dikenali sebagai letusan polimorfik kehamilan. Wanita akan mengalami letusan rasa gatal terutama pada bahagian bawah abdomen dan atas paha.

Selepas bersalin, ruam ini akan hilang sendiri tetapi ia boleh menyebabkan rasa sangat rimas khususnya pada beberapa bulan terakhir kehamilan. Sebaliknya masalah ekzema biasanya mengurang dan ini mungkin disebabkan peningkatan penghasilan hormon mirip streoid.


Pencegahan alahan pada bayi dalam kandungan

“Jika ibu ada masalah alahan, bayi dalam kandungan mempunyai 30 peratus peluang untuk mewarisi alahan berkenaan. Jika kedua-dua ibu bapa ada alahan, risiko untuk bayi mendapat masalah yang sama melonjak kepada 60 peratus. Bagi kes asma contohnya, jika ibu dan bapa ada alahan yang sama contohnya asma, kemungkinan besar (80 peratus) bayi juga akan alami alahan.

“Merokok ketika mengandung dan makan makanan yang boleh merangsang alahan terutama pada beberapa bulan terakhir kehamilan dipercayai boleh menjadi faktor penggalak kepada janin untuk mendapat masalah ini. Merokok pada awal kehamilan adalah pencetus utama untuk bayi mendapat alahan dan risiko ini meningkat jika ibu dan bapanya perokok,” katanya.

Ramai yang bertanya, adakah makanan turut meningkatkan risiko janin mewarisi alahan. Sehingga kini, tidak cukup bukti untuk mengatakan demikian. Pemakanan yang kurang mengandungi alergen mungkin ada kelemahan kerana ibu dan anak boleh mengalami masalah kurang zat. Garis panduan pemakanan Amerika Syarikat dan Eropah menyarankan pemakanan seimbang tanpa sebarang pengecualian ketika hamil dan menyusukan anak.

Janin akan terdedah kepada peredaran antigen ibu melalui air ketuban dan uri. Kita tahu bayi yang belum lahir akan mula menghasilkan antibodi IgE untuk melawan alahan ketika kehamilan masuk minggu ke-20.

Pemindahan alergen yang biasa seperti B-laktoglobulin dalam susu lembu, ovalbumin (telur) dan lain-lain alergen berlaku sebelum 26 minggu kehamilan.

Pengukuran IgE total pada darah tali pusat ketika bayi dilahirkan tidak boleh dijadikan petanda kepada kemungkinan alahan kerana ia tidak tepat.

Bersalin secara normal boleh mengurangkan risiko alahan pada bayi. Pembedahan Caesarean akan meningkatkan risiko alahan pada bayi terutama jika ibunya juga ada masalah ini.

Pengambilan banyak lemak tepu sepanjang tempoh penyusuan badan juga menjadi salah satu faktor untuk alahan. Wanita yang menyusukan anak seharusnya mendapat banyak Omega 3 dan minyak ikan politaktepu; bukannya protein ikan kerana pengambilan makanan yang kaya protein boleh mencetuskan gejala alahan.

Selain itu, pendedahan ketika hamil terhadap bahan organik meruap (VOC) yang ada dalam asap, permaidani baru dan selepas rumah siap diubahsuai juga boleh meningkatkan risiko alahan pada anak-anak.


Mengurangkan risiko alahan pada kanak-kanak

# Kaedah terbaik ialah memberikan penyusuan badan secara eksklusif sekurang-kurangnya selama enam bulan. Wanita menyusukan anak perlu mengelakkan semua makanan yang boleh menyebabkan alahan kerana unsur makanan ini akan terus masuk ke dalam susu badan dan boleh menyebabkan kepekaan alahan bayi meningkat.

# Jangan gunakan krim mengandungi kacang (Arachis) atau ekstrak minyak kacang untuk disapu pada puting.

# Rumah yang terlalu bersih dan bebas daripada haiwan sebenarnya adalah persekitaran yang boleh membuatkan bayi mendapat alahan. Ini berdasarkan hipotesis kebersihan - bayi yang dilahirkan dalam persekitaran kurang bersih lebih berdaya tahan dan jarang mengalami masalah alahan.

“Didapati bayi yang mempunyai ramai adik beradik, terdedah pada pelbagai virus sejak kecil, ibu bapa memelihara ternakan dan minum susu tidak dipasteur, jarang ada masalah alahan. Sebaliknya bayi yang hanya ada satu atau dua adik beradik, tidak terdedah pada persekitaran kotor, haiwan atau diberikan antibiotik sejak kecil lebih mudah mengalami alahan. Malah penghantaran bayi ke pusat jagaan harian juga boleh mengurangkan risiko alahan,” katanya.

# Sehingga kini tiada bukti yang menunjukkan pemberian vaksin akan merangsang atau mencegah alahan. Bagaimanapun suntikan vaksin BCG (untuk tuberkulosis) mempunyai kesan perlindungan kepada alahan tertentu.

# Organisma yang ada secara semula jadi dalam usus seperti Latobacilli GG dan bakteria bifido juga didapati memberi perlindungan kepada masalah alahan. Bakteria usus yang baik ini boleh dipindahkan kepada bayi ketika bersalin secara normal dan pemberian susu badan sejurus selepas melahirkan anak.

Kajian mendapati populasi yang cenderung mengalami alahan mempunyai banyak bakteria clostridia, coliforms dan staphylococcal dalam usus mereka berbanding populasi yang tiada masalah alahan (usus mereka 'kaya' dengan bakteria lactobacilli dan bifido).

# Berhati-hati menggunakan pelembap untuk bayi. Elakkan juga penggunaan sabun yang mengandungi pewangi, linolin dan semua sabun yang diperkaya dengan enzim.

# Beli pakaian dan keperluan lain untuk bayi yang diperbuat daripada kain kapas.


Perkara yang perlu dilakukan wanita hamil:

# Jangan merokok dan elakkan daripada menghidu asap rokok

# Elakkan pengambilan alkohol

# Kalau boleh elakkan makanan yang boleh mendorong kepada alahan seperti kacang, kekacang, bijan, telur dan ikan walaupun tiada bukti kukuh mengatakan sekatan makanan boleh mencegah alahan

# Elakkan pendedahan keterlaluan pada haiwan seperti kucing, anjing, kuda

# Jika menghidap asma, teruskan mengambil ubat pencegah dan pelega asma sepanjang kehamilan

# Elakkan semua ubat yang tiada preskripsi dari doktor dan vitamin yang mengandungi pewarna atau pengawet. Malah rumusan herba juga perlu dielakkan dan berbincanglah dengan doktor sebelum mengambilnya.

# Elakkan sebarang prosedur yang boleh merangsang kepada masalah alahan seperti ujian alahan pada kulit atau imunoterapi untuk mengurangkan kepekaan.

# Mengambil probiotik (Laktobacillus GG) dan makanan tambahan prebiotik

# Bersenam, makan makanan seimbang dan tidur secukupnya


Untuk bayi yang baru dilahirkan:

# Berikan susu badan secara eksklusif selama sekurang-kurangnya enam bulan

# Elakkan memberi susu formula kecuali ada pengesahan klinikal ia susu rendah alergen

# Perlu ada pendedahan terhadap kekotoran biasa bagi kanak-kanak

# Elak memberikan rawatan antibiotik bagi masalah kesihatan yang disebabkan virus kecuali doktor berasa ia benar-benar perlu

# Elakkan menyapukan krim mengandungi minyak kacang, pewangi atau sebarang bahan pengawet

# Elakkan memberi makanan berproses, sebaiknya sediakan sendiri makanan untuk bayi bermula pada umur enam bulan. Elakkan memberi anak anda kacang dan kekacang sehinggalah dia berumur tiga tahun

# Jangan dedahkan dia pada asap dan bau rokok

# Berikan imunisasi (suntikan vaksin) mengikut program vaksinasi kebangsaan