30 November 2009

Serangan resdung


MEMANG rimas jika kita sering mengalami gejala selesema seperti hidung tersumbat, sakit pada pipi, sekitar mata dan kepala, terutama pada waktu pagi. Manakala tekak pula terasa bagai dipenuhi kahak. Jika anda mengalami gejala ini hampir setiap hari, ia mungkin menandakan anda mengalami masalah sinusitis.

Sinusitis ialah keradangan pada lapisan membran dalam mana-mana ruang sinus. Sinusitis juga menyebabkan kita menjadi sangat sensitif kepada bahan yang boleh menyebabkan alahan, termasuk perubahan cuaca (sejuk), pencemaran alam sekitar dan jangkitan bakteria.

Pada tulang tengkorak kita ada beberapa lubang berisi udara dan diselaputi mukus serta membuka ke dalam kaviti (ruang) hidung. Ruang ini dipanggil sinus.

Sinusitis adalah masalah yang sangat lazim di seluruh dunia. Jika dibuat imbasan pada 10 orang normal, 80 peratus didapati ada mengalami masalah sinusitis ringan yang tidak perlu apa-apa rawatan.





Baca Lagi...

26 November 2009

Kuku mudah dijangkiti kulat


SELAIN muka, anggota badan yang selalu menjadi perhatian orang ialah kebersihan tangan, khususnya kuku.Kuku boleh menjadi lambang keprihatinan seseorang menjaga kebersihan dan kesihatan secara keseluruhan.

Kuku kita dihasilkan daripada sejenis protein dipanggil keratin. Walaupun kuku boleh dikatakan antara tisu terkuat dalam badan, ia mudah mengalami masalah dan menjadi lemah, pecah atau tumbuh terlalu perlahan.

Masalah kuku biasanya disebabkan jangkitan kulat dan lama kelamaan ia boleh rosak dan tertanggal.

Selain itu kekurangan zat, terdedah kepada bahan kimia, kesan sampingan penyakit dan terlalu kerap melakukan rawatan kuku sehingga ia hilang kelembapan semula jadi juga boleh mendatangkan masalah pada kuku.

Kuku juga mudah dijangkiti fungus atau kulat, terutama pada kaki yang sering memakai kasut. Persekitaran gelap, lembap dan hangat adalah ciri utama menggalakkan pembiakan kulat.






Baca Lagi...

25 November 2009

Hipotiroidisme penyakit rahsia



Bagaimana jutaan orang di seluruh dunia boleh menderitai penyakit hipotiroidisme sedangkan dalam masa yang sama, mereka langsung tidak menyedarinya? Itulah hakikatnya. Hipotiroidisme merupakan sejenis gangguan tiroid yang paling kerap ditemui, yang terjadi apabila aktiviti kelenjar tiroid kurang berbanding normal.

Sebelum itu, mari kita berkenalan terlebih dahulu dengan tiroid iaitu sejenis kelenjar endokrin berbentuk rama-rama yang terletak pada pangkal leher, bawah sedikit daripada halkum anda.

Kelenjar tiroid terdiri daripada dua lobus, satu pada setiap sisi trakea yang disambungkan oleh satu ismus atau segenting. Ia merembeskan hormon tiroid yang diperlukan bagi proses metabolik dan mental yang normal, juga perkembangan fizikal anda.

Terdapat dua jenis hormon tiroid iaitu triiodotironin (T3) dan tiroksina (T4). Keseluruhan aspek metabolisme anda – dari degupan jantung membawalah ke berapa cepat kalori dibakar, semuanya mempunyai kaitan langsung dengan hormon yang berperanan besar terhadap fungsi tubuh ini.






Baca Lagi...

24 November 2009

Punca Penyakit Jantung - Benarkah Kolesterol?


Saban hari kita diingatkan mengenai bahaya kolesterol, antaranya ia merupakan punca penyakit jantung. Statistik menunjukkan bahawa penyakit jantung adalah pembunuh nombor satu di Malaysia. Bilangan kematian akibat penyakit jantung di hospital Kerajaan pada tahun 2005 adalah 5,247 orang. Seperti saya, anda juga tentu percaya bahawa kolesterollah punca penyakit jantung.


Kita semua tahu yang kolesterol HDL adalah baik dan kolesterol LDL tidak baik. Kita juga tahu bahawa kolesterol LDL akan terkumpul di dinding arteri dan menyebabkan penyempitan pembuluh darah. Kolesterol HDL datang untuk membersihkan dinding arteri dari kolesterol LDL. Kita juga diberitahu semakin rendah nisbah antara jumlah kolesterol berbanding kolesterol HDL, semakin rendah risiko kita mendapat penyakit jantung.

Tahukah anda bahawa kolesterol LDL sebenarnya bukan tidak baik. Kolesterol LDL dalam keadaan asal adalah baik. Badan kita memerlukannya untuk membina membran sel, bahagian sel yang lain dan berbagai-bagai hormon. Sekiranya kita tidak mendapat cukup kolesterol LDL dari makanan, badan kita sendiri akan membuat kolesterol tersebut. Yang menjadi masalah adalah kehadiran radikal bebas, yang menukar bentuk (mengoksida) kolesterol LDL dan menjadikannya tidak baik. Bekalan anti-oksidan yang cukup akan menyelesaikan masalah tersebut. Anda tidak memerlukan ubat yang mahal untuk menurunkan paras kolesterol LDL dalam tubuh anda.








Baca Lagi...

23 November 2009

Rawatan pilihan tekanan darah tinggi


MASALAH tekanan darah tinggi atau hipertensi merupakan satu masalah kesihatan global dengan anggaran satu pertiga penduduk dewasa dunia melebihi umur 30 tahun menghidap penyakit tersebut.

Di Malaysia, mungkin lebih enam juta golongan dewasa, terutamanya lelaki menghidap tekanan darah tinggi yang boleh berpunca daripada pelbagai faktor.

Terdapat faktor yang tidak boleh diubah seperti warisan genetik tetapi ada juga yang boleh diubah seperti kekerapan bersenam, merokok dan amalan pemakanan.

Tekanan darah tinggi juga menjadi antara punca utama kepada serangan jantung, strok, kegagalan buah pinggang dan juga kebutaan.

Walaupun mudah dikesan, masalah tekanan darah tinggi masih sukar dikesan berikutan tidak ramai yang mengambil berat mengenainya dan tidak memikirkan mereka menghadapi risiko menghidapinya.




Baca Lagi...

21 November 2009

Diet kawal diabetes


Sebelum ini, bahaya kepada penghidap penyakit kencing manis dan juga risiko kesihatan terhadap mereka yang berada di peringkat pra kencing manis telah dihuraikan. Telah dinyatakan bahawa bukan penyakit itu yang harus dirisaukan tetapi akibat daripada tidak membetulkan ketidakseimbangan atau kerosakan kepada toleransi glukosa yang perlu ditangani, sama ada pesakit kencing manis jenis kedua atau pra kencing manis.

Penyakit biasa yang diketahui ada hubungkaitnya dengan kencing manis ialah penuaan pra masa, tekanan darah tinggi, aterosklerosis, kegagalan jantung kogestif, strok, osteoporosis, masalah mata (katarak, glaukoma, retinopati), kepincangan fungsi erektil serta neuropati (kekebasan atau rasa berdenyut di kaki atau tangan).

Anda mungkin tidak berasa sakit sepenuhnya, oleh itu kudis akan berkembang lebih buruk dan anda rentan kepada jangkitan. Kerosakan teruk pada saraf penghidap kencing manis merupakan sebab utama pemotongan paha dan kaki dan kegagalan buah pinggang. Mereka mungkin menanggung risiko lebih tinggi untuk mendapat jangkitan dan kematian akibat jangkitan. Gula darah yang tinggi membuatkan lebih susah untuk badan menentang jangkitan.

Pesakit kencing manis juga menanggung risiko lebih tinggi untuk menghidapi beberapa penyakit lain. Sebaik sahaja penyakit menimpa, mereka menghadapi masalah besar untuk pulih. Oleh itu adalah penting bukan sahaja menumpukan usaha untuk menurunkan paras gula darah, tetapi juga menjaga penentangan insulin. Satu lagi perkara penting yang harus dilakukan ialah mencari jalan bagaimana kita boleh mencegah komplikasi ini daripada berkembang atau menjadi bertambah buruk.






Baca Lagi...

20 November 2009

Makanan segera antara punca penyakit kronik


CARA hidup masyarakat yang semakin gemar makan makanan segera dan bergoreng di restoran-restoran dikenal pasti sebagai antara punca penyakit kronik semakin menjadi-jadi di kalangan penduduk Malaysia sejak kebelakangan ini.

Jika dahulu penyakit jantung, diabetes dan darah tinggi dikaitkan sebagai penyakit orang kaya kerana kemampuan mereka untuk bermewah dengan makanan tetapi hari ini anggapan itu tidak boleh dipakai sepenuhnya.

Pemakanan yang berlebihan daripada keperluan dan pengambilan makanan suplemen yang tidak betul juga antara penyumbang kepada penyakit-penyakit tersebut.

Semua lapisan masyarakat, tidak mengenal usia, bangsa, kaya atau miskin turut menghidap penyakit-penyakit kronik itu hari ini.







Baca Lagi...

19 November 2009

Kekurangan nutrisi punca rambut gugur


Wanita disarankan mengambil asid lemak Omega-3 tiga kali seminggu untuk kesihatan kulit dan rambut. RAMBUT adalah mahkota wanita. Justeru apa terjadi jika anda kehilangan mahkota itu?

Masalah keguguran rambut lebih kerap dikaitkan dengan lelaki kerana hormon testosterone. Secara genetik, 70 peratus lelaki sensitif dengan hormon ini dan seawal usia 18 tahun, folikel rambut yang sensitif akan semakin lemah dan menyebabkan rambut yang tumbuh semakin sedikit dan seterusnya langsung tiada.

Wanita juga sebenarnya berhadapan masalah sama. Banyak faktor boleh dikaitkan dengan masalah kekurangan rambut. Satu daripadanya menurut Pakar Nutrisi Persatuan Penyelidikan Miami, Doug Kalman, kekurangan beberapa jenis nutrisi cenderung menyebabkan rambut kering, suram dan putus.





 
Baca Lagi...

18 November 2009

Kolesterol: Kenali Musuh Kesihatan Anda



Kolesterol merupakan suatu bahan melekit dan lembut yang wujud secara semulajadi di dalam aliran darah dan sel-sel tubuh anda.Tahukah anda,kolesterol sangat penting dan diperlukan oleh tubuh untuk menghasilkan sel-sel membran, hempedu, sesetengah hormon dan vitamin D. Namun bukan semua kolesterol baik untuk kesihatandan diperlukan oleh tubuh anda.

Organ hati bertanggungjawab menghasilkan sebahagian besar kolesterol yang diperlukan. Kolesterol juga diperolehi dari sumber luaran, terutamanya dari makanan berasaskan haiwan.

Sesetengah makanan yang tidak berasaskan haiwan juga mungkin mengandungi lemak trans yang boleh menyebabkan tubuh anda menghasilkan lebih banyak kolesterol.

Kolesterol dan lemak-lemak lain (yang juga dikenali sebagai lipid) tidak larut di dalam darah. Ia terpaksa dihantar dari satu sel ke satu sel menggunakan pengangkut khas yang dipanggil sebagai lipoprotin.




 

Baca Lagi...

17 November 2009

Faktor genetik punca alahan


Alahan merujuk kepada tindakan imuniti berlebihan terhadap bahan yang lazimnya tidak berbahaya. Badan kita mempunyai sistem imuniti yang melindungi daripada bahan yang berbahaya. Sistem imuniti yang sihat hanya akan memberi reaksi kepada bahan yang berbahaya seperti kuman atau mikro organisma lain.

Bagaimanapun, kadang kala sistem imun tubuh mengenal bahan yang tidak berbahaya seperti habuk, debu bunga dan juga makanan sebagai bahan yang berbahaya dan secara langsung menyebabkan tindak balas berlaku. Tindak balas ini yang menghasilkan simptom alahan.

Apakah yang menyebabkan alahan?

Walaupun banyak faktor sekeliling yang boleh menyebabkan alahan, kebanyakannya ditentukan oleh faktor genetik. Jika keluarga mempunyai masalah alahan, kemungkinan besar anak mereka juga mempunyai masalah sama.




 

Baca Lagi...

16 November 2009

Penawar Resdung



ADAKAH hidung anda sering gatal-gatal, kerap bersin, berhingus dan berkahak terutama pada waktu pagi serta mata sering berair? Jika ya, segeralah berjumpa dengan doktor untuk pemeriksaan yang lebih teliti kerana anda mungkin menghadapi masalah resdung atau sinusitis. Walaupun ia boleh dirawat, pengesanan penyakit pada peringkat awal akan memudahkan lagi proses pengubatan.   Lagipun, resdung pada peringkat parah bukan sahaja memerlukan pembedahan, malah ia mungkin membawa kepada penyakit lain yang lebih serius seperti barah.

Pakar Telinga, Hidung dan Tekak (ENT), Dr. Isa Rejab berkata, masalah resdung berpunca daripada alahan terhadap habuk, kutu dan pijat atau makanan tertentu. Katanya, kegagalan merawat alahan itu akan membawa kepada gejala resdung dan penyakit-penyakit lain yang lebih merbahaya di dalam rongga sinus. Resdung bukan penyakit tetapi gejala penyakit yang mesti diselidiki dengan tepat untuk mengetahui penyebab bagi rawatan yang sepatutnya.

Berdasarkan ujian ke atas daging yang dikeluarkan daripada rongga sinus beberapa pesakit resdung, ada yang disahkan penyakit TB, kanser, kulat, virus dan bakteria,''katanya semasa menyampaikan ceramah di Kuala Lumpur, baru-baru ini.




 

Baca Lagi...

13 November 2009

Mengekalkan sistem imun yang sihat



MENDAPAT demam selesema lagi? Sentiasa berasa letih? Jawapannya mungkin bergantung pada tindakan merangsang sistem imun anda.

Sistem imun adalah organisasi kompleks yang menjadi kurang efisien apabila kita berumur. Ia merupakan mekanisme pertahanan yang berkuasa terhadap “penyerang asing” yang boleh menyebabkan jangkitan seperti virus, bakteria atau kulat. Penyerang ini mungkin juga sel tubuh anda sendiri, membesar secara tidak normal.

Sistem ini tidak rehat sepenuhnya. Ia berjaga 24 jam sehari dan selama bertahun-tahun, mula menjadi lemah kecuali ia dirangsang. Ia terdiri daripada berbilion- bilion sel darah putih (sel pertahanan tubuh) yang keluar masuk dari timus, nodus limfa, hati dan limpa. Sel-sel ini juga beredar dalam aliran darah dan saluran limfa ke mana-mana lokasi yang diperlukan untuk menentang penyerang asing.




Baca Lagi...

12 November 2009

Makanan punca alahan


PERKATAAN alergi berasal dari perkataan Greek allon argon yang bermaksud tindak balas berlainan dan bila berlaku terhadap seseorang dikatakan alergik.

Istilah alergi makanan atau alahan makanan merujuk kepada tindak balas keimunan yang advers (kurang baik) terhadap komponen tertentu dalam sesuatu makanan, biasanya protein tertentu di dalam komponen makanan tertentu.

Asalnya ia tidak berbahaya dan boleh diterima badan tetapi protein ini kemudiannya dianggap penceroboh berbahaya kerana mencetuskan tindak balas keterlaluan. Masalah alergi makanan hendaklah dibezakan daripada reaksi luar jangkaan yang tidak berdasarkan mekanisma imun seperti nyahtoleran yang disebabkan kekurangan enzim penghadaman, kesan farmakologikal makanan dan reaksi toksik.




Baca Lagi...

11 November 2009

Apa itu kolesterol


Kolesterol, salah satu bahan yang menjadi punca utama kepada masalah peyakit jantung. Apabila kandungannya tinggi di dalam darah, ia berpotensi melekat pada dinding salur darah. Ini akan membuatkan salur darah mengecil dan akhirnya boleh tersumbat. Proses ini dikenali sebagai atherosclerosis. Sekiranya berlaku pada arteri yang ke jantung, kesannya adalah penyakit jantung.

Apabila berlaku di otak, kesannya adalah strok. Selain dari jantung, kolesterol juga dikaitkan dengan masalah pendengaran, pengelihatan dan juga kecerdasan minda seseorang. Semua ini berkaitan dengan atherosclerosis. Gangguan yang menyebabkan penyediaan nutrient dan oksigen yang tidak mencukupi untuk organ-organ tersebut.

Kolesterol, bersifat lembut dan berminyak, tidak berbau. Hadir pada setiap bahagian badan, terutamanya di dalam otak (dengan membentuk 11% dari berat keringnya), sistem saraf, kulit, hati, usus, limpa dan hormon sex. Jadi, manusia memerlukannya di dalam proses biologi. Cuma tak boleh pada jumlah yang terlalu banyak. Menjadi lumrah, setiap unsur pada makanan perlu ada had pengambilannya.

Di dalam badan manusia sendiri, kolesterol dihasilkan oleh hati di antara 800 hingga 1000 mg sehari. Pengambilan dari makanan dikatakan sangat kecil pengaruhnya terhadap peningkatan kepekatan kolesterol badan. Namun, mengikut apa yang disarankan oleh pakar kesihatan Amerika, pengambilan harian perlu dihadkan kepada 300 mg sahaja.





Baca Lagi...

10 November 2009

Jangan remehkan penyakit resdung



RESDUNG agak popular di kalangan rakyat negara ini. Dalam bidang perubatan, resdung juga dikenali sebagai penyakit sinusitis. Namun penyakit ini sering dipandang remeh oleh masyarakat tempatan yang selalunya membiarkan penyakit itu bersarang untuk bertahun lamanya. 

Lazimnya, penghidap resdung akan berhadapan dengan keadaan seperti kerap bersin, dengkuran yang kronik, batuk, gata-gatal hidung, tidak sedap badan, letih dan berasa sakit kepala pada waktu pagi manakala bagi yang sudah kronik pula, resdung boleh memberi kesan kepada telinga sehingga menyebabkan seseorang itu pekak. 

Lebih menakutkan, sekiranya resdung dibiarkan tanpa sebarang rawatan, ia sebenarnya boleh mengundang maut akibat komplikasi pada otak.



Baca Lagi...

09 November 2009

GOITER - Bengkak kelenjar tiroid

GOITER - Bengkak kelenjar tiroid



TIROID merupakan satu kelenjar kecil berbentuk seakan rama-rama seberat satu auns yang terletak di bawah halkum. Ia menghasilkan sejenis hormon yang berfungsi mengawal hal-hal berkaitan metabolisme - dari kadar degupan jantung ke kelajuan tubuh membakar kalori.

Perkataan goiter berasal daripada perkataan Latin guttur yang bermaksud kerongkong.

Goiter terjadi apabila kelenjar tiroid anda membengkak. Walaupun tidak mendatangkan ketidakselesaan, goiter boleh mengganggu sistem menelan atau pernafasan, kata Pakar Runding Bedah Am dan Laparoskopik, ColumbiaAsia Medical Centre, Seremban, Negeri Sembilan, Dr. Abd. Hamid Mat Sain.


Baca Lagi...

08 November 2009

Mitos keguguran rambut




RAMAI lelaki dan wanita yang terpaksa bertarung dengan masalah kekurangan rambut di kepala sering memikirkan mengapa mereka kehilangan rambut dan bagaimana cara untuk memulihkannya.


Kehilangan rambut atau ketipisan rambut telah menjadi isu yang sensitif dan mengecewakan ramai lelaki dan wanita.


Ramai yang menyalahkan kekurangan nutrien, sistem pengedaran kurang baik, dan penyumbatan folikel rambut lalu menggunakan pelbagai kaedah tradisional untuk menangani masalah ini.


Terdapat banyak mitos dan cerita rawatan ajaib yang dikaitkan dengan kehilangan rambut. Namun, berapa banyakkah daripadanya berasaskan fakta sebenar dan berapa banyak pula rekaan semata-mata?


Pakar-pakar Australia menganggarkan bahawa 30 peratus daripada kalangan wanita dan 40 peratus lelaki akan mengalami kehilangan rambut akibat faktor keturunan menjelang usia 40 tahun.







BACA LAIN-LAIN INFO KESIHATAN


Baca Lagi...

06 November 2009

Tekanan Darah Tinggi - Rendah - Normal

Tekanan Darah Tinggi - Rendah - Normal



Kita selalunya tertipu dengan darah tinggi. Tekanan darah tinggi kebiasaannya tidak menunjukkan sebarang tanda dan gejala. Kita mungkin mengalami tekanan darah tinggi dan pada masa yang sama merasa diri kita sihat. Hanya satu cara untuk mengetahui sama ada kita menghidap darah tinggi atau tidak adalah dengan memeriksa tekanan darah kita secara berkala.

Apa risiko tekanan darah tinggi ? Jika tekanan darah kita kekal tinggi, ia boleh menyebabkan komplikasi seperti serangan jantung, angin ahmar, kegagalan jantung atau kerosakan buah pinggang.
Tekanan darah rendah (hypotension) pula adalah keadaan tekanan darah yang lebih rendah dari tekanan yang diperlukan oleh tubuh, sehingga setiap organ dari badan tidak mendapat aliran darah yang cukup dan menyebabkan timbulnya gejala hipotensi.

Tekanan darah kita yang sememangnya berbeza perlukan perhatian kerana ia membabitkan kawalan utama otak, jantung, buah pinggang dan ransangan di dalam salur darah.
Kebiasaannya orang yang selalu dikaitkan dengan penyakit tekanan darah rendah adalah dari golongan atlit dan pengamal diet.

Mereka jarang terdedah kepada beberapa jenis penyakit seperti: stroke, penyakit jantung, penyakit pada mata atau pengerasan dan penyempitan pada pembuluh darah.
Tanda-tanda awal pesakit darah rendah ialah seperti: cepat lelah, pening kepala ketika posisi badan berubah, sukar untuk berkonsentrasi, mata berkunang-kunang, mual, kulit berasa dingin, pucat dan lembap; pernafasan cepat dan pendek, depresi serta cepat haus.

Baca Lagi...

Sarapan yang membina otot

Sarapan yang membina otot

WALAU bagaimana sibuk dan tergesa-gesa pun rutin pagi anda, cubalah untuk mengambil sarapan yang sihat. Pakar nutrisi menyarankan gandingan tiga biji telur, sepotong buah dan semangkuk bijirin gandum sebagai kombinasi terbaik protein dan karbohidrat.




Jika biasa memulakan pagi dengan bersenam, seseorang perlu mengambil protein dan karbohidrat kira-kira 30 hingga 60 minit sebelum memulakan senaman. Meskipun percaya pada tenaga yang diberikan dalam segelas jus buah dan serbuk minuman zat, makanan berprotein dan karbohidrat diperlukan juga.

Salah satu sebab utama dua sumber itu penting sebelum memulakan senaman adalah supaya otot mendapat nutrisi yang diperlukan sepanjang aktiviti fizikal. Bersenam meningkatkan aliran darah. Maka, apabila nutrisi mencukupi, peredaran darah itu akan membawa segala zat untuk digunakan bahagian tubuh yang memerlukan.

EKSTRA: Karbohidrat dalam jumlah yang sedikit membantu menyimpan tahap glikogen dalam hati dan ini membekalkan otot dan otak dengan 'makanan' yang diperlukan untuk ia berfungsi dengan baik. Sertakan juga buah-buahan atau sayuran dalam sarapan.

Baca Lagi...

05 November 2009

Antibiotik punca masalah

Antibiotik punca masalah

SETIAP tahun, lebih separuh juta kanak-kanak di Amerika Syarikat (AS) menerima kesan sampingan akibat penggunaan ubat-ubatan yang diberikan oleh doktor. Kira-kira lima peratus daripada kanak-kanak itu telah dimasukkan ke wad.

Pengambilan antibiotik dikenal pasti sebagai punca utama kebanyakan masalah. Antibiotik akan menyebabkan masalah serta-merta seperti ruam, sakit perut dan cirit-birit. Lebih menakutkan, masalah itu tidak bersifat sementara, malah, akan menjurus kepada pelbagai masalah lain pada kemudian hari.



Antibiotik yang memasuki tubuh kita akan membunuh bakteria-bakteria baik dalam usus, sedangkan ia sepatutnya melindungi kita daripada kebanyakan masalah kesihatan. Penghapusan bakteria-bakteria yang sihat itu akan mengakibatkan pertumbuhan sejenis kulat, candida secara berlebihan.

Pertumbuhan candida secara berlebihan boleh menjadi punca kepada pelbagai masalah. Antaranya termasuk sakit kepala, jerawat, ekzema, kanser, alahan, ketidakseimbangan hormon dan sembelit. Candida boleh membiak di kawasan berbeza dalam badan pesakit yang berlainan.

Diet yang kaya dengan gula dan karbohidrat pula akan menyebabkan pembiakan candida bertambah besar. Pendek kata, pengambilan antibiotik memusnahkan sistem imunisasi asas badan dan menyumbang kepada masalah lain. – Natural News


Baca Lagi...

03 November 2009

Migrain


Mangsa migrain selalunya tidak mampu menjalankan tugas seharian, malah ada yang tidak boleh makan, minum dan hanya menghabiskan masa di bilik tidur.


Ialah sejenis penyakit kepala yang kronik. Mangsa migrain selalunya tidak mampu menjalankan tugas seharian, malah ada yang tidak boleh makan, minum dan hanya menghabiskan masa di bilik tidur.

Kira-kira 12 peratus daripada golongan dewasa di negara ini menghidap migrain dan sebahagian besar daripada mangsa adalah wanita yang masih didatangi haid. Apabila mengalami migrain, pesakit biasanya mengalami sakit kepala yang teruk.

Punca sebenar penyakit ini masih belum diketahui sehingga kini. Bagaimanapun, pakar perubatan berpendapat faktor genetik atau baka adalah salah satu penyebab migrain.

Di kalangan kanak-kanak dan orang tua, khususnya yang berusia 55 tahun ke atas, sakit kepala yang dialami mungkin bukan disebabkan migrain, sebaliknya berpunca daripada penyakit lain yang lebih serius.

Migrain juga sering dikaitkan dengan pengambilan banyak coklat, keju dan minuman keras. Malah, ada yang mengatakan tekanan perasaan sama ada di rumah ataupun pejabat juga boleh menyebabkan migrain.

Migrain terbahagi kepada dua jenis iaitu migrain yang wujud bersama aura dan migrain tanpa aura. Aura ialah perasaan ataupun fenomena yang subjektif dialami individu sebelum mendapat serangan penyakit.

Pesakit migrain dengan aura mengalami pelbagai gejala seperti pandangan menjadi kabur dan nampak garisan seperti zig-zag ataupun gelombang seperti situasi yang dialami apabila berada di tengah jalan dalam cuaca panas terik.

Kadangkala, penglihatan pesakit juga terhalang dan keadaan menjadi lebih teruk apabila pesakit tidak dapat melihat buat sementara waktu. Keadaan ini dikenali sebagai skotoma.

Pesakit juga ada kalanya mengalami kebas sebelah tangan ataupun lemah anggota badan, terutama kaki dan tangan. Aura selalunya berlaku dalam tempoh beberapa minit hingga satu jam.

Pesakit kadangkala mendapat migrain selepas satu hari mengalami aura. Bagaimanapun, ada juga pesakit yang tidak mengalami aura dan terus mendapat migrain.


Kira-kira 40 peratus migrain dialami di seluruh kepala, 40 peratus bermula pada sebelah kepala dan merebak ke seluruh kepala, manakala 20 peratus lagi bermula pada sebelah kepala dan tidak merebak ke seluruh kepala.

Serangan migrain datang secara berperingkat dan kesakitan mencapai tahap maksimum selepas tempoh beberapa jam. Bagaimanapun, migrain selalunya dialami antara tiga hingga empat jam dan maksimumnya mengambil masa antara tiga hingga empat hari.


Apabila seorang pesakit menemui doktor dan mengatakan mereka mengalami sakit kepala setiap hari, itu tidak bermakna mereka menghidap migrain kerana migrain selalunya menyerang mangsa seminggu sekali ataupun enam bulan sekali.

Pesakit selalunya kelihatan pucat dan berpeluh-peluh serta mengalami komplikasi migrain. Mangsa juga kadangkala mengalami strok sementara.

Dalam keadaan ini, mangsa mengalami lumpuh sebelah badan, tetapi keadaan itu hanya sementara dan akan pulih seperti biasa. Keadaan ini berlaku berikutan pengecutan urat darah dalam otak.


Loya dan muntah-muntah. Kira-kira 70 peratus pesakit berasa loya dan sebahagian daripadanya muntah-muntah.

Penglihatan pesakit menjadi begitu sensitif. Contohnya, mereka mengadu sakit mata apabila melihat cahaya. Keadaan itu dikenali sebagai fotofobia.

Pendengaran turut menjadi sensitif dan keadaan itu dikenali sebagai fonofobia. Dalam keadaan ini, pesakit mendengar lebih kuat dan jelas setiap bunyi di sekelilingnya walaupun ia perlahan.

Kemerah-merahan pada kulit, pada keliling mata ataupun dahi.

Badan berpeluh.

Bercakap dengan suara perlahan. Pesakit tidak bercakap kuat kerana ia lebih menyakitkan.

Kepala terasa pening.

Pesakit terasa persekitaran mereka bergerak-gerak seperti menaiki bot, mabuk laut ataupun vertigo.

Pitam dan boleh menyebabkan pesakit mengalami kecederaan anggota badan.

Apakah pemeriksaan yang dilakukan?

Tiada ujian khusus bagi mengesan migrain. Pakar perubatan akan bertanya mengenai sejarah kesakitan yang dialami pesakit dan imbasan otak hanya dilakukan apabila pesakit tidak menunjukkan sebarang gejala atau tanda menghidap migrain.

Antara faktor yang memungkinkan imbasan otak dijalankan adalah lumpuh separuh badan lebih daripada seminggu, sakit kepala berterusan lebih daripada tiga hari dan bengkak urat saraf.


Rawatan dapat dibahagikan kepada dua kaedah iaitu rawatan serangan dan pencegahan. Melalui rawatan serangan, pesakit dinasihatkan supaya berehat di dalam bilik yang gelap dan sunyi. Mereka diberi ubat seperti Paracetamol dan apabila perlu mereka diberikan Ubat Penahan Sakit dan Radang Bukan Steroid (NSAID).

Sekiranya kesakitan masih berterusan, doktor akan memberi ubat terkini iaitu Sumatriptan sama ada melalui suntikan ataupun ditelan. Kira-kira 80 peratus pesakit menunjukkan tindak balas positif pada ubat itu.

Bagi pesakit yang sering muntah, mereka diberikan ubat Ergotamine yang perlu dimakan sama ada ditelan ataupun dimasukkan ke bawah lidah ataupun melalui suntikan.




Baca Lagi...

Bahaya lebih kolesterol dalam badan



RAMAI sedar mengenai nilai pemakanan makanan yang mereka nikmati. Malah, soalan pertama yang sering ditanya adalah, "Berapakah nilai kolesterol yang terkandung dalam makanan ini?" Ini menunjukkan meningkatnya keprihatinan dan pengetahuan pengguna mengenai tentang kandungan yang paling digeruni dalam diet harian kita.

Adakah keprihatinan seumpama ini berasas? Pertama, wujud banyak kekeliruan berhubung kolesterol dalam diet dan kolesterol yang mengalir dalam darah kita. Kekeliruan ini diburukkan lagi apabila nilai kolesterol darah dilihat sebagai petunjuk kadar risiko kepada penyakit jantung koronari. Namun, semuanya semakin nyata apabila perbezaan di antara kolesterol pemakanan dan kolesterol darah mula diterima dan difahami.

Kolesterol pemakanan diperoleh daripada makanan yang berasal daripada binatang seperti daging, makanan laut dan telur. Orang ramai biasanya berpendapat minyak dan lemak kaya dengan kolesterol. Sebenarnya, kolesterol terkandung dalam banyak jenis makanan, termasuk makanan berasaskan tumbuhan seperti kekacang.

Ini kerana tumbuhan dan binatang menghasilkan kolesterol sebagai metabolit penting sepanjang kehidupan mereka dan ia diguna untuk mengekalkan sejumlah fungsi sel dan pembiakan. Di samping kolesterol, tumbuhan juga mengsintesis sejumlah kolesterol
(phystosterols) lain.

Kolesterol bukan satu keperluan pemakanan kerana ia boleh disintesiskan secara tersendiri dalam badan bagi memenuhi keperluan pembentukan membran, garam hempedu, hormon steroid dan vitamin D. Ia larut lipid (lemak) dan memerlukan lemak sebagai agen pembawa. Oleh kerana itu, kebanyakan kolesterol dalam tisu daging dan binatang terkumpul dalam deposit lemaknya. Kerana itu juga, ketika memasak hidangan, lemak dibuang daripada daging.

Walaupun lemak yang dapat dilihat dengan mata kasar pada daging merah dan ayam boleh dibuang, namun, lemak dalam otot akan tetap dimasak. Ini bermakna lemak tersembunyi dan sejumlah kecil kolesterol akan kekal dalam makanan. Telur pula disebut sebagai sumber pekat kolesterol makanan kerana kuning telur yang mengandungi anggaran 220-250mg kolesterol.

Minyak dan Lemak Sayuran

Semua minyak dan lemak berasaskan tumbuhan secara umumnya dikategorikan sebagai bebas kolesterol, satu definisi yang diperkenalkan melalui bahan penerbitan Pentadbiran Makanan dan Dadah Amerika Syarikat. Peralatan analitikal moden mempunyai keupayaan mengesan yang tinggi sehinggakan kebanyakan makanan tumbuhan termasuk minyak dan lemak dapat dibuktikan mengandungi sterol-tumbuhan yang terhasil secara semula jadi.

Sejumlah yang sangat kecil daripada sterol-tumbuhan ini adalah kolesterol. Sekiranya anda bimbang mengenai pengambilan kolesterol yang tinggi, kurangkan atau tinggalkan terus pengambilan lemak haiwan termasuk mentega, lemak lembu, khinzir dan kambing.

Peratusan kolesterol makanan dalam minyak atau lemak paling tepat diukur dengan membandingkannya dengan telur. Sebiji telur bersaiz sederhana akan menyumbang anggaran 220mg kolesterol kepada makanan. Sila rujuk jadual berikut:

Kandungan Kolesterol dalam Minyak dan Lemak Makanan Utama.

Minyak Kelapa (14 mg/kg), Minyak Isirung Sawit (17 mg/kg), Minyak Sawit (18 mg/kg), Minyak Sawit Olein (15 mg/kg), Minyak Kacang Soya (28 mg/kg), Minyak Jagung (25 mg/kg), Minyak Bunga Matahari (27 mg/kg).

Mentega (2,500 mg/kg) Lemak Lembu (1,100 mg/kg) Lemak Khinzir (3,000 mg/kg) 1 kuning telur (220 mg/kg).

Di sesebuah negara seperti Malaysia, purata pengambilan minyak dalam lemak (yang nyata) adalah pada 50g sehari. Oleh kerana itu, sumbangan kolesterol daripada mana-mana minyak dan lemak berasaskan tumbuhan, termasuk minyak sawit dan minyak sawit olein, adalah pada purata hanya 1mg sehari. Realitinya, seseorang itu perlu mengambil hampir 11kg minyak (pengambilan selama 220 hari bersamaan 50g sehari) untuk menyamai kolesterol sebiji kuning telur.

Penyerapan Secara Semula jadi

Syukurnya, jumlah kolesterol makanan yang diambil tidak secara langsung menambah jumlah kolesterol darah bagi kebanyakan orang. Banyak kajian menunjukkan bagi individu normal yang sihat, hanya peratusan kecil kolesterol yang diambil akan diserap oleh tubuh. Bagi setiap pengambil 100mg kolesterol makanan, hanya antara 2 – 3mg yang diserap dan ditambah kepada jumlah kolesterol darah.

Bagaimanapun, bagi individu dengan profil genetik tidak normal atau pesakit jantung, adalah lebih baik sekiranya mereka mengikuti nasihat supaya menghindari makanan berlemak yang kaya dengan kolesterol. Ini kerana mekanisme tubuh mereka akan menerima kolesterol, tetapi tidak dapat memprosesnya secara berkesan untuk mengeluarkan kolesterol berlebihan.



Kolesterol darah

Darah yang berterusan dipam oleh jantung dan mengalir ke seluruh tubuh, membawa banyak nutrien utama dan penting bagi menyenggara dan mengekalkan kehidupan. Fungsi badan, seperti enjin yang terpelihara, memerlukan nutrien ini dalam jumlah yang mencukupi.

Kolesterol adalah satu komponen yang dialirkan oleh darah, diperlukan untuk banyak fungsi sel dan pembiakan. Jumlah kolesterol ini sebaiknya dikekalkan pada paras sebenar yang diperlukan oleh tubuh, dan dibawa oleh partikel protein-lipid yang dikenali sebagai lipoprotein. Peningkatan dalam jumlah kolesterol atau ketidakseimbangan pada pengaliran lipoprotein adalah membahayakan, dan boleh menyumbang kepada risiko besar penyakit jantung.

Pengiraan Kolesterol

Bagi individu sihat, jumlah keseluruhan kolesterol darah yang disarankan adalah kurang daripada 220mg sedeciliter (mg/dL). Kebanyakan doktor berpendapat 220-240 mg/dL sebagai kes `borderline', dan lebih daripada 240mg/dL sebagai hiperkolestromik (paras kolesterol darah berlebih). Bagi individu kategori ini, penurunan paras kolesterol darah memang disarankan, pertamanya melalui corak pemakanan, dan seandainya usaha ini gagal, terapi ubatan digunakan. Oleh kerana lipoprotein mengalirkan lemak dan kolesterol, sains telah mendefinisikan lipoprotein ini, serta komponen kolesterolnya berasaskan fungsi biologikal mereka.

Sejumlah besar kolesterol darah dibawa oleh lipoprotein berdensiti rendah (LDL). Penyelidikan menunjukkan bahawa LDL meningkatkan mendapan kolesterol dan lemak di dinding saluran darah, dan dengan itu meningkatkan risiko penyakit jantung.

Malangnya, manusia hidup dengan LDL. Justeru itu, memang ada keperluan untuk mengehadkan peningkatan kolesterol LDL sepanjang kehidupan manusia dengan memilih pemakanan dan cara hidup yang betul bagi mengurangkan risiko penyakit jantung.

Sama pentingnya juga, lipoprotein berdensiti tinggi (HDL) yang membawa struktur protein dan profil lipid yang berbeza daripada LDL. Ciri yang berbeza ini membolehkan ia melaksanakan fungsi biologikalnya, yang juga bertindak berlawanan berbanding LDL. HDL membawa kolesterol daripada sel kepada hati, yang mana ia diproses dan dibuang. Proses ini dipanggil `pengangkutan kolesterol berbalik' (reverse cholesterol transport), yang amat kritikal dalam mengekalkan keseimbangan kolesterol secara keseluruhan. Ini juga penyebab mengapa seseorang pakar kardiologi mengukur jumlah paras kolesterol - LDL dan HDL – untuk menerangkan mengenai status kesihatan jantung.

Pengambilan Secara Sederhana

Bagi mereka yang bimbang berhubung bilangan kolesterol, mereka dinasihatkan untuk memilih diet berhemat yang rendah lemak dan kolesterol pemakanan. Seperti yang disebut sebelum ini, adalah lebih mudah untuk mengenal pasti makanan yang kaya dengan kolesterol berbanding usaha untuk mengurang atau mengelakkan pengambilannya mengikut keperluan semasa.

Hubungan di antara kolesterol dan lemak dalam diet adalah lebih rumit. Tiada sesiapa yang berani menyarankan agar dihentikan terus pengambilan lemak oleh manusia. Kesederhanaan adalah jawapannya, serta pemilihan kombinasi lemak yang tepat juga penting. Ini kerana pengagihan kolesterol akan berkurangan dengan nyata.

Sebagai contoh, protein tertentu yang terkandung di dalam hati dapat mengenal pasti LDL lipoprotein. Dengan kehadiran asid lemak tepu, fungsi protein ini menjadi kurang berkesan dan hati juga kurang memproses lebihan kolesterol untuk dibuang daripada tubuh manusia.

Akibatnya, paras kolesterol darah, terutama kolesterol LDL, boleh meningkat. Begitu juga, seandainya terlalu banyak kolesterol makanan diserap ke dalam darah yang mengalir, aktiviti protein LDL akan tergendala. Inilah antara punca mengapa lemak tepu binatang dan minyak kelapa boleh meningkatkan kolesterol LDL.

Kaedah yang lebih bermanfaat adalah dengan meningkatkan kolesterol HDL, kerana ia menyebabkan pengangkutan kolesterol secara terbalik dan melindungi daripada penyakit jantung. Mereka yang secara semula jadi mempunyai jumlah kolesterol HDL tinggi memang bernasib baik. Ini bermakna mereka kurang berisiko untuk diserang penyakit jantung.

Amalan senaman dan pemakanan yang baik mungkin membantu meningkatkan kadar HDL, di samping pengambilan kombinasi lemak tertentu. Apa yang diperlukan di sini adalah suatu usaha untuk mengimbangi makanan. Caranya adalah dengan mengenal pasti makanan yang mengandungi lemak tepu, lemak tak tepu dan lemak poli tak tepu yang teradun secara semula jadi.


Baca Lagi...