30 November 2010

Kesan barah

RAMAI yang sudah maklum apa itu barah pangkal rahim, payudara serta kelenjar prostat. Malangnya, tidak ramai yang tahu apakah ujian saringan membabitkan tiga penyakit barah ini yang turut dilakukan di Jabatan Patologi, Hospital Kuala Lumpur.

Bagi barah pangkal rahim misalnya, ada banyak pertanyaan membabitkan masalah pendarahan di faraj yang berlaku selepas hubungan seksual yang dialami wanita, termasuk yang berusia 40-an dan mempunyai ramai anak.

Hakikatnya, ada beberapa sebab mengapa berlakunya pendarahan vagina selepas melakukan hubungan seksual. Ini seperti masalah radang (inflamasi), trauma, ketumbuhan biasa seperti ‘polyp’ dan yang paling membahayakan adalah kanser pangkal rahim.

Oleh itu, ujian saringan perlu dilakukan kalangan wanita dalam usia kumpulan reproduktif dan aktif dalam hubungan seksual. Lazimnya, saringan ini dilakukan ke atas wanita yang berumur antara 20 hingga 65 tahun.

Ujian saringan PAP smear adalah mudah untuk dilakukan dan tidak memerlukan perbelanjaan yang sebegitu tinggi. Seseorang wanita yang berisiko itu hanya perlu menjalani ujian ini dengan membenarkan sampel diambil dari pangkal rahim untuk pemeriksaan.

Sampel ini akan dihantar ke Jabatan Patologi (Unit Sitologi) yang mana sampel ini akan diproses dan diperiksa untuk pengesanan sel-sel yang tidak normal. Kakitangan yang terbabit dalam proses pemeriksaan ini termasuklah Juruteknologi Makmal yang terlatih atau ‘Cytoscreener,’ Pegawai Sains dan Pakar Patologi.

Bagaimanapun, apakah langkah seterusnya jika sel-sel yang tidak normal dikesan dalam pemeriksaan PAP smear anda? Berdasarkan laporan Patologi, jika didapati sel-sel tidak normal ada dalam sampel itu, anda akan dirujuk dengan kadar segera kepada Pakar Ginekologi untuk pemeriksaan selanjutnya.

Kebiasaannya, pemeriksaan kolposkopi akan dilakukan dan contoh tisu akan diambil (tissue biopsy) untuk dihantar ke makmal histopatologi untuk pengesahan. Sampel biopsi ini akan melalui beberapa peringkat pemprosesan di makmal histopatologi sebelum ia boleh diperiksa secara mikroskopi oleh Pakar Patologi.

Laporan histopatologi yang mengesahkan penyakit kanser pangkal rahim akan dimaklumkan kepada pesakit melalui Pakar Ginekologi yang merawat pesakit berkenaan. Pesakit akan diberi rawatan yang selanjutnya sama ada pembedahan, rawatan radioterapi dan, atau kemoterapi.

Bagaimana pula dengan mereka yang mengalami masalah seperti lelehan bukan biasa dari puting payudara? Jika anda mengalami masalah ini anda dinasihatkan untuk berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut.

Ini disebabkan masalah itu adalah antara tanda-tanda kanser payu dara selain daripada ketulan tidak normal pada payu dara atau pun perubahan pada kulit payu dara. Ada beberapa kaedah saringan untuk mengesan peringkat awal kanser payu dara termasuklah Pemeriksaan Sendiri Payudara (PSP), Mammography, Ultrasonography dan Fine Needle Aspiration Cytology (FNAC).

Jika anda mendapati ketulan yang tidak normal pada payu dara anda atau keputusan pemeriksaan mamogram atau ultrasonography yang tidak normal, maka anda perlu berjumpa doktor untuk pemeriksaan selanjutnya.

Ujian pengesahan akan dilakukan ke atas anda sama ada melalui FNAC yang mana pengambilan sampel sel dari bahagian yang tidak normal itu dilakukan dengan menggunakan jarum yang halus dan picagari untuk pemeriksaan oleh Pakar Patologi. Sampel tisu boleh juga diambil dari bahagian yang tidak normal itu untuk pemeriksaan histopatologi.

Sekali lagi di makmal Saitologi/Histopatologi, sampel-sampel ini akan diproses untuk pemeriksaan dan pengesahan oleh Pakar Patologi sama ada pesakit itu mengidap kanser payu dara atau pun tidak. Jika laporan Histopatologi mengesahkan yang anda mengidap kanser barulah rawatan selanjutnya dapat dilakukan sama ada pembedahan, radioterapi atau pun kemoterapi.

Bagi lelaki pula, apakah puncanya masalah seperti kerap kencing termasuk pada waktu malam serta aliran air kencing yang tidak lancar? Lebih membimbangkan, selera makan dan berat badan pula merosot.

Untuk makluman ramai, pesakit yang mengidap penyakit kanser kelenjar prostat juga boleh mengalami gejala ini. Apakah kelenjar prostat ini? Ia adalah organ yang ada pada lelaki, bersaiz kecil atau sebenar kacang walnut yang terletak di belakang alat kemaluan lelaki, di depan usus besar (rectum), di bawah pundi kencing dan mengelilingi saluran kencing (urethra).

Oleh itu, andai ada sebarang bengkak atau pembesaran pada kelenjar prostat, sama ada berpunca daripada kanser atau tidak, pesakit akan mengalami masalah sama ada kencing tidak lawas atau pun ada darah dalam air kencing atau air mani.

Bagaimana mengesan peringkat awal kanser kelenjar prostat? Saringan untuk penyakit kanser kalenjar prostat boleh dilakukan melalui ujian darah dengan mengukur paras protin yang dirembeskan oleh kelenjar prostat iaitu PSA (Prostatic Specific Antigen). Paras PSA dalam darah biasanya tidak normal jika kelenjar prostat diserang kanser.

Selain itu, satu pemeriksaan ringkas dan mudah juga boleh dilakukan untuk mengesan peringkat awal kanser kelenjar prostat iaitu DRE (Digital Rectal Examination) yang mana doktor akan memasukkan jari ke dalam rektum pesakit dan memeriksa kalenjar prostat.

Sampel tisu untuk pemeriksaan oleh Pakar Patologi perlu dilakukan untuk pengesahan sama ada pesakit itu mengidap kanser jika didapati paras PSA dalam darahnya tinggi dan kelenjar prostatnya melalui pemeriksaan DRE tidak normal.

Pemeriksaan dan pengambilan sampel tisu dari pada kelenjar prostat ini dilakukan oleh Pakar Pembedahan Urologi menggunakan teknik Transrectal Ultrasound biopsy (TRUS). Jika laporan Histopatologi mengesahkan anda mengidap kanser kelenjar prostat, barulah rawatan lanjut dapat dilakukan sama ada pembedahan, rawatan hormon atau pun radioterapi.

Apakah komplikasi kanser jika lambat di kesan? Kanser boleh merebak ke bahagian lain anggota badan seperti hati, paru-paru, tulang dan otak dan seterusnya menyebabkan kematian. Oleh itu saringan ini perlu untuk mengesan peringkat awal kanser dan mengelakkan dari berlakunya komplikasi.

Sumber rujukan: Unit Histopatologi, Jabatan Patologi, HKL dan Uronological Society of Australia



Baca Lagi...

29 November 2010

Awas memilih kosmetik

NANI ingin mendapatkan kulit muka yang cerah. Sahabatnya Siti menggunakan sejenis produk pencerah dan mencadangkan kepada Nani agar turut mencuba. Menurut Siti selepas menggunakan produk itu selama tiga minggu hasil yang ketara akan terlihat.

Selepas mencuba selama beberapa minggu kulit Nani menjadi gatal gatal dan kemerahan. Dia alah dengan produk tersebut dan terpaksa berjumpa doktor bagi rawatan alahan.

Namun Nani tidak putus asa. Setelah kulit mukanya pulih semula dia mencuba pula produk yang lain. kali ini kulitnya cerah dan tidak ada sebarang masalah.

Oleh itu Nani terus menggunakan produk itu selama setahun. Selepas setahun Nani bertukar pula ke produk baru yang disyorkan oleh temannya. Nani terpengaruh lantaran melihat kulit temannya yang halus dan licin. Namun selepas dua bulan Nani mendapati kulitnya kusam. Dia juga melihat kesan pigmentasi mula terjadi dan membuatkan hatinya risau.

Nani berjumpa saya kerana dia telah membaca berkenaan produk kecantikan yang beracun bakal mencetus masalah kanser dan pigmentasi kulit jika di gunakan terlalu lama. Dia meminta saya memberi nasihat berkenaan pemilihan produk kecantikan yang sesuai pada kulit. Beliau juga ingin tahu apakah yang dilakukan oleh produk tersebut kepada kulit kita.

Saya mendapati ramai daripada kita mengalami pigmentasi akibat penggunaan bahan kosmetik yang tidak terkawal. Untuk membaik pulih kes seperti ini adalah rumit. Ini kerana ia memerlukan rawatan bersiri termasuklah suntikan vitamin dan transeminic ke dalam kulit bagi mengurangkan angiogenesis pada sel sel melanocyte itu.

Bahan-bahan pencerah boleh didapati daripada alam semulajadi dan juga menerusi proses sintetik.

Berikut dihuraikan serba sedikit mengenai bahan pencerah dalam kosmetik.

Arbutin

Sejenis hidroquinone yang sudah mengalami proses glycosylated. Ini bermakna struktur kimianya adalah sama seperti hydroquinone namun mempunyai molekul glukosa yang melekat padanya. Arbutin terdapat secara semulajadi di dalam buah-buahan seperti kranberi, pear, bluberi dan buah-buahan jenis beri yang lain. Arbutin menghalang tindakan tyrosinase (sejenis enzim yang menggalakkan pembentukan melanin iaitu pigmen pada kulit). Apabila arbutin disapukan kepada kulit ia meresap jauh ke dalam dan menentang pembentukan melanin. Hasilnya kulit menjadi cerah perlahan-lahan.

Asid kojik

Bahan semulajadi yang terhasil daripada sejenis kulat. Ia sering digunakan dalam proses membuat tapai di Jepun. Ia terbentuk dari aspergillus oryzae iaitu spesies kulat yang sering digunakan dalam proses pembuatan sake di negara Matahari Terbit. Pada awalnya kojik digunakan sebagai pengawet bagi bahan makanan dan kosmetik. Penggunaan kojik menyebabkan warna makanan dan kosmetik kekal cantik dan tidak kusam. Kajian saintifik menunjukkan kojik sesuai untuk kulit manusia dan pigmentasi seperti melasma dan bintik-bintik hitam. Oleh kerana sifatnya yang berasid, anda mungkin berasa gatal sedikit di peringkat awal penggunaannya. Ia bertindak menghalang pembentukan melanin melalui proses oksidasi.

Hidroquinon

Hidroquinne merupakan agen penting dalam menangani pigmentasi. Ia mampu menyerang sel-sel melanocyte dan merosakkan DNA dan RNA pada sel tersebut. Ini menjadikan sel-sel itu rosak dan tidak mampu menghasilkan pigmen. Namun begitu sifat hydroquinione yang toksik tidak terhad pada sel melanocyte sahaja. Sekiranya digunakan dalam kuantiti berlebihan ia turut merosakkan sel-sel lain juga. Oleh itu penggunaannya haruslah terhad kepada empat bulan dan mengikut nasihat doktor sahaja. Selepas empat bulan anda harus merehatkan kulit beberapa bulan sebelum menggunakannya semula. Penggunaan hydroquinone membuatkan kulit kita menjadi berubah dari segi sifat semulajadinya. Sel-sel seolah olah menjadi mutant dan berubah dari segi komposisi semulajadinya. Ini mewujudkan keadaan bergantung kepada hydroquinone. Tanpa hydroquinone kulit gelap semula.

Asid azelaic

Bahan semulajadi di dalam pyhtosporum ovale yang merupakan sejenis yis atau kulat. Fungsi asid azelaic adalah bagi membunuh melanocytes melalui sifatnya yang menghalang thioredoxin reductase sejenis enzim dalam mitokondria sel melanocytes.

Azelaic asid turut berguna dalam rawatan jerawat, lentigines, rosacea dan pigmentasi yang disebabkan keradangan.

Retinoids

Retinoids seperti trenitoin dan adapalene adalah derivatif kepada vitamin A. Ia turut menghalang aktiviti tyrosinase menyebabkan pigmentasi tidak terjadi.

Niacinamide

Vitamin B3 yang aktif dan menghalang proses warna terjadi pada sel kulit.

Protein soya

Mengandungi enzyme serine protease yang menghalang pembentukan melanin. Namun kesannya agak lambat. Dengan menyapu sebanyak dua kali sehari ke muka kesan pencerahan dapat dilihat selepas 12 minggu.

Pengelupasan dengan asid buah buahan atau asid lembut

Fungsinya ialah meningkatkan proses pembentukan epidermis baru dan membuang melanin yang lama. Jenis asid yang sering digunakan adalah alfa hydroxyl asid, glycolic asid, trichloroacetik asid.

Aleosin

Sejenis molekul glycoprotein yang terdapat di dalam tumbuhan aloevera. Ia menghalang tyrosinase tanpa menunjukkan sebarang sifat toksik seperti hydroquinone.

Asid tranexamic

Menghalang cahaya UV daripada merosakkan kulit. Ia juga menghalang daripada pembentukan melanosit.


 
Baca Lagi...

26 November 2010

Sentuhan membantu pesakit strok

PANIK dan tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Begitulah reaksi jika ada antara ahli keluarga anda tiba-tiba diserang strok. Insan yang tersayang kini tidak mampu bergerak mahupun menguruskan diri.

Oleh kerana itu, sokongan dan bantuan emosi dari keluarga, kawan-kawan dan petugas kesihatan amatlah mustahak kerana ia boleh membantu proses pemulihan pesakit strok.

Selain itu, kemahiran yang betul dapat membantu pesakit strok pulih dan berasa lebih selesa.

Bagi membantu orang perseorangan mempelajari teknik penjagaan pesakit strok, sebuah pusat dikenali dengan nama Akademi Energy menawarkan kursus yang berkaitan.

Pengasasnya, Datin Ramona Suleiman memberitahu, pengalaman menjaga ibunya yang diserang strok memberi idea kepadanya untuk menganjurkan kursus tersebut.

Kebetulan Pengarah Eksekutif Akademi Energy, Rahatul Baney bersetuju dengan cadangan tersebut. Ini kerana ramai pesakit strok kurang selesa disebabkan penjaga mereka tidak tahu apa sebenarnya keperluan pesakit.

Akademi itu memberi peluang kepada sesiapa sahaja yang ingin mengikuti kursus penjagaan khusus untuk pesakit strok dan diabetes.

"Rupa-rupanya di Malaysia tidak ada kursus yang dijalankan secara profesional tentang penjagaan pesakit strok. Kebanyakan penjaga tidak mempunyai pengalaman. Keadaan ini menyebabkan pesakit tidak selesa," jelasnya Datin Ramona.

Antara perkara yang perlu dititikberatkan penjaga adalah pemeriksaan darah, mengemas katil pesakit, memindahkan pesakit dari kerusi roda ke katil dan senaman seperti fisioterapi.

Berkongsi pengalamannya, Ramona memberitahu tidak mudah menjaga pesakit strok. Apatah lagi jika pesakit mempunyai berat badan yang lebih daripada penjaga mereka.

"Namun, saya yakin jika kita melakukannya dengan teknik yang betul, kita dapat memberi keselesaan kepada pesakit. Mereka akan lebih positif dan bersemangat," jelasnya.

Antara silibus menarik di akademi itu adalah mempelajari senaman yang betul untuk pesakit strok.

Bagi Baney pula, kaedah senaman atau fisioterapi akan menjadi lebih berkesan sekiranya penjaga mempunyai pengetahuan mengenai otot, saraf dan tulang pesakit strok.

"Ini penting untuk diadaptasikan dengan teknik senaman yang memberi keselesaan kepada pesakit strok. Dalam masa yang sama, kita boleh membantu pelancaran aliran darah dalam badan mereka," ujarnya.

Tambah Baney, teknik ini melibatkan sentuhan manusia kerana ia penting dan setiap orang memerlukannya.

Dengan teknik yang betul, katanya, boleh meredakan kesakitan, memberi ketenangan serta mengurangkan tekanan.

Ia berbeza dengan senaman menggunakan mesin, penjaga yang terdiri daripada ahli keluarga pesakit tidak dapat berinteraksi dan bersentuhan. 



 
Baca Lagi...

25 November 2010

Diabetes boleh sebabkan penyakit jantung

Jika anda menghadapi masalah berat badan berlebihan, kurang bersenam, mempunyai ibu bapa berpenyakit kencing manis, kerap membuang air dan sentiasa letih, anda sepatutnya melakukan sesuatu atau berjumpa doktor untuk membuat pemeriksaan.

Ini kerana semua yang disebutkan di atas adalah petanda awal anda bakal menghidap penyakit kencing manis.

Menurut Pakar Perubatan dan Perunding Endokrin, Fakulti Perubatan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Profesor Dr Nor Azmi Kamaruddin, penyakit diabetes tidak boleh dipandang ringan kerana kajian yang dijalankan Kementerian Kesihatan pada 1996 menunjukkan pesakit diabetes berumur 18 tahun ke atas meningkat daripada 8.3 peratus kepada 11.5 peratus pada 2006.

Satu daripada tujuh orang dewasa berumur 30 tahun ke atas pula penghidap diabetes malah lebih memeranjatkan apabila kanak-kanak berusia enam tahun adalah pesakit diabetes termuda di Malaysia.


"Daripada statistik ini sepatutnya seluruh rakyat Malaysia mempunyai tahap kesedaran tinggi mengenai bahaya penyakit ini dan mula mendapatkan rawatan apabila mempunyai tanda seperti kerap buang air, mudah letih serta demam," katanya.

Menurut Dr Nor Azmi, diabetes berlaku apabila badan mengeluarkan terlalu sedikit insulin atau insulin yang dikeluarkan tidak berkesan. Ini akan mengakibatkan paras gula dalam darah tidak normal dan jika dibiarkan menyebabkan komplikasi yang serius.

"Insulin adalah sejenis hormon yang dihasilkan dalam pankreas. Ia berfungsi mengekalkan gula dalam darah pada paras normal dan membantu mengeluarkan glukosa memasuki sel badan. Akibat kandungan insulin yang tidak mencukupi atau tidak berkesan dalam kalangan pesakit diabetes, gula tidak dapat memasuki sel badan dan ia kekal dalam darah menyebabkan paras gula dalam darah meningkat.

"Sebab itu penghidap penyakit kerap kencing dan mengalami rasa letih serta mudah mendapat jangkitan kuman pada buah pinggang, kulit serta paru-paru," katanya.

Terdapat dua jenis diabetes iaitu bergantung pada insulin dan tidak bergantung pada insulin. Diabetes yang bergantung pada insulin sering berlaku kepada kanak-kanak atau remaja.

Rawatan hanya boleh dikawal menerusi suntikan insulin, kawalan pemakanan dan senaman. Biasanya pesakit mempunyai ahli keluarga penghidap diabetes.

Jenis kedua atau tidak bergantung pada insulin selalunya berlaku dalam kalangan orang dewasa berusia 40 tahun ke atas dan mempunyai berat badan berlebihan. Rawatan dilakukan menerusi kawalan makanan, senaman atau gabungan pemakanan, senaman dan ubat. Biasanya berlaku kepada individu yang mempunyai ahli keluarga menghidap diabetes.

Sama ada pesakit menghidap diabetes atau sebaliknya, menurut Dr Nor Azmi, setiap individu perlu membuat pemeriksaan awal ini kerana menerusi ubat-ubatan, diabetes boleh dikawal. Ramai tidak tahu diabetes boleh membawa kepada penyakit jantung yang menyebabkan kematian awal malah kebanyakan penghidap sakit jantung yang meninggal pada usia muda selalunya mempunyai diabetes.

"Hampir 70 peratus kematian disebabkan sakit jantung dan berpunca daripada diabetes. Ini kerana penyakit jantung hanya berlaku apabila usia meningkat 50 tahun ke atas.

"Namun, jika seseorang itu mempunyai diabetes dan sakit jantung dia mempunyai peratusan yang lebih tinggi untuk meninggal dunia pada usia muda. Begitu juga dengan kematian disebabkan penyakit buah pinggang semakin meningkat disebabkan diabetes," katanya.

Katanya, kajian yang dijalankan pada 2008 oleh lima universiti di Malaysia mengenai Sindrom Metabolik di Malaysia dalam kalangan masyarakat Melayu menunjukkan 50 peratus pesakit diabetes berpendapatan bulanan RM500 saja.

"Bayangkan bagaimana pesakit diabetes yang berpendapatan rendah ini menjalani rawatan sedangkan kos untuk rawatan bernilai ribuan ringgit. Ini juga memberi implikasi kepada ekonomi negara kerana rawatan membabitkan penyakit jantung, buah pinggang dan kencing manis memerlukan kos yang besar. Justeru secara tidak langsung, ia akan memberi bebanan kepada ekonomi negara," katanya.

Menurut Dr Nor Azmi, apa yang perlu dilakukan sekarang adalah menukar minda serta persepsi masyarakat supaya penghidap penyakit ini mendapatkan rawatan awal. Jangan tunggu sehingga sudah sampai ke peringkat serius atau apabila kaki sudah perlu dipotong baru berjumpa doktor.

Apabila berada pada tahap ini sukar untuk pakar perubatan merawat atau mengurangkan masalah yang berlaku.

Katanya, berbanding lelaki yang kuat ketahanan badan, wanita lebih mudah mendapat jangkitan penyakit apabila menghidap diabetes. Justeru kebanyakan wanita mudah diserang sakit buah pinggang, jantung dan masalah lain apabila menghidap diabetes.

Bagi wanita yang mendapat diabetes ketika mengandung, menurut Dr Nor Azmi, ini berlaku disebabkan perubahan hormon dan faktor pemakanan. Bagaimanapun, wanita mengandung tidak boleh mengambil mudah perkara ini kerana ia petanda awal kemunculan diabetes apabila mereka berusia 40-an.

"Wanita mengandung yang menghidap diabetes apabila tidak dikawal akan menyebabkan keguguran, terencat pembesaran dan berkemungkinan mengalami masalah jantung berlubang. Malah bayi akan membesar secara tidak normal di dalam kandungan yang akan menyebabkan kesukaran ibu melahirkan anak secara normal," katanya.

Menurut kajian, satu daripada tiga bayi akan mendapat diabetes sekiranya mempunyai ibu penghidap penyakit itu, satu daripada empat bayi akan mendapat kencing manis jika bapanya mempunyai penyakit itu dan sekiranya kedua-duanya mempunyai penyakit berkenaan enam daripada tujuh bayi berkemungkinan mendapatnya.

Cara mencegah dan mengawal diabetes adalah dengan mengawal pemakanan kepada makanan sihat dan berkhasiat. Ambil makanan seimbang mengikut piramid makanan yang disyorkan Kementerian Kesihatan.

"Pada masa sekarang rakyat Malaysia lebih memberi penekanan kepada makan malam dengan mengabaikan sarapan dan mengurangkan makan tengah hari. Corak pemakanan ini salah, sepatutnya individu melebihkan sarapan, mengambil makan tengah hari serta mengurangkan makan malam. Ini kerana makanan yang dimakan pada waktu malam akan bertukar menjadi lemak disebabkan tiada aktiviti fizikal dilakukan. Kebanyakan mereka akan tidur dan menonton televisyen selepas makan malam," katanya.

Diabetes boleh dikawal jika individu mengamalkan cara hidup sihat dengan bersenam setiap hari. Namun, sering kali alasan tidak sempat, banyak kerja atau tiada masa diberikan kebanyakan warga kota. Sekiranya terikat dengan tugasan pejabat sehingga tiada dapat bersenam, sepatutnya individu mengambil peluang membuat pergerakan fizikal dalam tugasan harian. Misalnya menukar amalan dengan menaiki tangga setiap hari, banyak berjalan atau bagi wanita lakukan kerja rumah yang boleh mengeluarkan peluh walaupun kerja itu boleh dilakukan pembantu rumah.

Penjagaan kesihatan awal kepada kanak-kanak sangat membantu mengurangkan obesiti yang menjadi punca kepada masalah ini. Ibu bapa perlu membuang tanggapan anak terlalu kurus tidak cantik dan comel justeru ibu bapa memberi makan secara berlebihan sehingga mengalami masalah berat badan.

"Apa yang penting ibu bapa perlu mengawal pemakanan anak-anak. Biarlah anak itu kurus asalkan dia sihat dan aktif. Jangan kerana mahukan anak yang comel dan besar sehingga membiarkan anak makan apa saja. Pemakanan yang sihat bermula dari rumah. Oleh itu ibu bapa perlu menetapkan apa yang perlu dimakan anak.

"Misalnya menyediakan makanan berkhasiat dengan melebihkan makanan bervitamin dan berprotein seperti sayur-sayuran dan buah-buahan. Memberi air kosong dan mengurangkan air bergula dan berkarbonat. Memberi makanan yang dimasak sendiri untuk mengelak makanan segera, bercoklat, berlemak dan bergula secara berlebihan.

"Sekiranya ibu bapa tidak menjaga pemakanan anak sejak kecil, berkemungkinan mereka akan mendapat obesiti apabila dewasa," katanya.

>Fakta angka

# Kaum India paling ramai mendapat diabetes iaitu 19 peratus diikuti Melayu 12 peratus dan Cina 11 peratus (Kajian pada 2006 oleh Kementerian Kesihatan).

# Kira-kira 70 peratus daripada pesakit jantung yang meninggal adalah penghidap diabetes, ini bermakna enam daripada 10 pesakit jantung adalah penghidap diabetes.

# Kira-kira 40 peratus penghidap diabetes tidak mengalami masalah berat badan, tetapi disebabkan keturunan dan kurang bersenam.

# Kira-kira lima peratus daripada wanita mengandung akan mendapat diabetes.

# Kanak-kanak yang tidak menjaga pemakanan 50 peratus daripadanya akan mengalami masalah berat badan dan satu daripada tiga kanak-kanak akan mendapat diabetes pada usia muda.

# Negeri Sembilan mencatatkan penghidap diabetes tertinggi iaitu 15 peratus manakala terendah Sabah dan Sarawak sebanyak enam peratus.

# Sekiranya masyarakat Malaysia menukar corak pemakanan, diabetes hanya dapat dikurangkan dalam jangka masa 20 tahun lagi.

# Kira-kira 22 peratus pesakit diabetes bukan kakitangan kerajaan, 50 peratus hanya berpendapatan RM500 sebulan saja.


 
Baca Lagi...

24 November 2010

Herba rangsang detoksifikasi

Mungkin saranan yang paling kerap didengar untuk mengekalkan kesihatan adalah makan secara sihat dan seimbang serta kekalkan amalan gaya hidup aktif, iaitu bersenam. Sebenarnya saranan ini masih praktikal, berkesan dan tidak memerlukan kos yang tinggi.

Tabiat pemakanan yang tidak sihat, sama ada pengambilan makanan proses atau segera yang tinggi, makan secara berlebihan mahupun mengabaikan kandungan zat yang diperlukan oleh tubuh. Amalan pemakanan menjadi antara penyumbang terbesar kepada pelbagai masalah kesihatan. Mengawal pengambilan makanan sebenarnya menjadi satu cabaran bagi kita, namun harus diingat bahawa kesederhanaan merupakan kunci penting. Makan secara berlebihan boleh menyebabkan masalah tidak hadam, pedih ulu hati, kembung, ketidakselesaan perut, sembelit, peningkatan berat badan, keletihan dan pelbagai lagi.

Bagaimanapun, detoks sebenarnya bukan hanya tertumpu kepada sistem pencernaan ataupun usus, tetapi hati juga perlu diberi perhatian. Penyingkiran toksin daripada hati juga penting memandangkan ia memainkan peranan penting dalam pelbagai fungsi seperti menapis atau membersihkan darah, menyimpan vitamin, mineral, gula, lemak dan nutrien-nutrien lain, mengawal hormon, berperanan dalam penghadaman lemak dan pelbagai lagi.

Apabila hati terlalu dibebankan, sama ada akibat pemakanan, gaya hidup ataupun faktor persekitaran, maka fungsinya boleh terjejas dan seseorang itu mula mengalami ketidakselesaan. Nafas berbau atau bau badan, masalah kulit, lingkaran hitam bawah mata, kelesuan merupakan antara beberapa contoh lazim. Masalah penghadaman lemak pula boleh menjurus kepada simptom-simptom seperti tidak hadam, refluks, kekurangan vitamin larut lemak, intolerans terhadap makanan berlemak, loya dan muntah, kembung dan juga sembelit.

Memandangkan hati merupakan organ pembersih yang sangat penting, ia tidak terlepas daripada menerima kesan akibat pendedahan kepada bahan berbahaya.

Dalam usaha menyokong fungsi hati, milk thistle merupakan antara herba yang paling banyak dicadangkan dan dengan itu ia dikenali sebagai tonik hati. Penyingkiran toksik daripada hati merupakan proses yang penting sama ada sebagai pencegahan mahupun menyokong rawatan sedia ada. Dengan itu pengambilan milk thistle sesuai untuk merangsang penyingkiran bahan toksik berbahaya atau detoksifikasi hati.

Komponen aktif dalam herba milk thistle seperti silymarin didapati membantu menstabilkan membran sel, dan dengan itu mencegah kimia berbahaya daripada memasuki sel-sel dan menyingkirkannya sebelum ia mendatangkan kerosakan. Selain itu, silibin juga bertindak sebagai anti oksida untuk melawan radikal bebas, meningkatkan aktiviti superokside dismutase dan glutathione peroksidase dalam sel. Ini juga penting kerana glutathion merupakan enzim anti oksida utama tubuh yang memperbaiki detoksifikasi hati dengan melekat pada toksin serta meneutralkan kesan berbahayanya.

Minum air secukupnya, makan secara seimbang yang merangkumi buahan dan sayuran yang berserat tinggi bukan sahaja bermanfaat untuk membantu menyingkirkan bahan kumuh secara normal, tetapi nutriennya juga mampu membantu menyubur dan memulih kesihatan tubuh.

 
Baca Lagi...

23 November 2010

Kenali sakit kepala anda

ADA satu humor perubatan, di mana seorang pemuda yang begitu bimbang akan penyakit yang dideritainya meminta penjelasan daripada doktor yang merawatnya.

``Doktor, saya sakit apa?'' tanya pesakit tersebut.

``Adakah anda pernah mengalaminya sebelum ini?'' soal doktor balik kepada pesakit berkenaan.

``Ya,'' jawabnya.

``Tak apa, anda cuma mengalaminya sekali lagi,'' ujar doktor berkenaan bersahaja.

Pengajaran yang tersembunyi di dalam jenaka ini; ada ketikanya, fakta paling penting tentang gejala penyakit anda adalah sama ada ia berulang.

Keadaan ini sangat bertepatan dengan sakit kepala, sakit yang paling biasa menyerang dari sekian banyak gangguan kesihatan yang dialami manusia.

Berdasarkan laporan Majlis Pendidikan Sakit Kepala Amerika (ACHE), dianggarkan hampir 90 peratus lelaki dan 95 peratus wanita pernah mengalami sekurang-kurangnya rasa sakit kepala seumur hidup mereka terutamanya ketika jatuh sakit, keletihan ataupun tertekan.

Sesetengah orang mengandaikan sakitnya seperti getah yang secara perlahan-lahan mengikat sekeliling kepala manakala yang lainnya pula membayangkan kesakitan mereka bertambah teruk sebaik lampu dinyalakan.

Keadaan-keadaan tersebut merupakan sebahagian deskripsi sakit kepala walaupun berbeza jenisnya - dengan migrain dan ketegangan adalah yang paling biasa daripada lebih 150 jenis kesemuanya.

Dalam pada setiap orang sekali-sekala mendapat sakit kepala, mereka yang menderita sakit kepala kronik boleh dikatakan hidup dalam serba ketakutan, menanti bila pulakah serangan seterusnya akan berlaku.

Pakar-pakar berpendapat, kunci utama merawati sakit kepala adalah dengan cara mengenal pasti jenis sakit kepala anda.

Anda tidak perlu menjadi seorang ahli neurologi untuk mula mengklasifikasinya.

Profesor dan Ketua Jabatan Perubatan Penjagaan Utama, Pusat Perubatan Universiti Malaya, Datin Dr. Chia Yook Chin menghuraikan beberapa gejala sakit kepala yang paling biasa menyerang.

``Sakit kepala (rasa sakit dalam kepala) merupakan masalah kesihatan yang paling lazim berlaku dan paling banyak jenisnya.

``Secara umumnya, ia terbahagi kepada dua yang utama iaitu primer dan sekunder,'' katanya.

Menurutnya, sakit kepala primer tidak disebabkan oleh lain-lain masalah perubatan seperti sakit kepala disebabkan oleh ketegangan, migrain dan yang tertumpu.

Sakit kepala sekunder pula berpunca daripada lain-lain masalah kesihatan seperti jangkitan atau tekanan yang meningkat di dalam tengkorak disebabkan oleh ketumbuhan misalnya.

Sebanyak 90 peratus daripada sakit kepala terdiri daripada jenis primer manakala selebihnya 10 peratus adalah sekunder.

``Sakit kepala disebabkan ketegangan biasanya dirasai di belakang kepala dan leher dan tidak terhad pada sebelah bahagian sahaja.

``Sakit mungkin berlarutan selama beberapa hari hingga berminggu-minggu lamanya dengan masa lega yang singkat di antara serangan,'' kata Dr. Chia.

Walau bagaimanapun, tahap keseriusannya mungkin berubah-ubah dan menyerang pada bila-bila masa.

Kesakitannya sering digambarkan seperti satu ikatan kuat yang menekan, jarang berdenyut dan tidak pernah disertai dengan demam.

Sementara itu, sakit kepala migrain katanya, berlaku apabila saluran darah di kepala menutup terlalu ketat atau membuka terlalu luas.

``Sakit dirasai di sebelah bahagian kepala sahaja pada satu-satu masa tetapi mungkin merebak ke seluruh kepala.

``Sakitnya berdenyut-denyut, selalunya berlaku secara perlahan-lahan dan menjadi lebih teruk selepas satu jam atau lebih,'' katanya.

Beliau berkata, sakit mungkin menyerang sekali dalam masa beberapa hari atau beberapa minggu atau langsung tiada untuk beberapa bulan.

Migrain biasanya boleh berlarutan sekurang-kurangnya dua hingga empat jam atau lebih lama tetapi jarang melebihi satu atau dua hari.

``Jika pesakit berada dalam keadaan tertekan, mengambil alkohol atau sesetengah jenis makanan seperti coklat, sakit mungkin menjadi lebih teruk, sering kali disertai rasa loya dan muntah-muntah.

``Sakit ini juga boleh berlaku semasa haid dan mereka yang mempunyai sejarah keluarga yang menghidap migrain berisiko tinggi,'' katanya sambil menambah tidur dapat melegakan sakit kepala jenis ini.

Sakit kepala yang seterusnya adalah jenis yang tertumpu, lazimnya, di kalangan lelaki pertengahan umur berbeza dengan migrain yang dikatakan tiga kali lebih kerap terjadi di kalangan wanita.

Sakit kepala tertumpu hanya meliputi sebelah bahagian kepala sahaja.

Sakit biasanya terjadi di belakang mata dan biasanya berlaku pada mata yang sama, mungkin berkaitan dengan sebelah bahagian rongga hidung tersumbat dan mata yang berair.

Ia juga menyerang secara tiba-tiba tanpa sebarang amaran dan memuncak dalam tempoh lima hingga 10 minit dan mungkin berlarutan sehingga beberapa jam lamanya.

``Sakit ini boleh menyebabkan seseorang terbangun daripada tidur, beberapa kali sehari untuk beberapa minggu dan kemudian berhenti.

``Ia menyerang pada waktu yang hampir sama setiap hari selama beberapa minggu atau bulan,'' katanya.

Sakit yang biasanya bermula semasa atau selepas demam selesema yang teruk terutamanya jika berlaku pengaliran lendir berlebihan dari kawasan hidung ke dalam farinks, dikategorikan sebagai sakit kepala keradangan sinus.

Sakitnya tertumpu pada satu kawasan tertentu pada muka atau kepala dan menyerang dalam masa yang singkat.

``Seseorang akan mengalami kesakitan yang teruk pada waktu pagi sebelum lendir berpeluang untuk mengalir keluar.

``Sakit menjadi lebih teruk apabila batuk, bersin atau menggerakkan kepala dengan tiba-tiba,'' katanya.

Pengambilan alkohol, perubahan suhu yang mendadak, semasa musim sejuk dan keluar dari bilik yang panas ke kawasan luar yang sejuk hanya akan memburukkan keadaan.

Begitu juga dengan mereka yang mempunyai sejarah demam hay (rinitis alergik) serta alahan, ujar Dr. Chia lagi.

Jenis sakit kepala terakhir adalah arteritis temporal iaitu sakit yang biasanya berlaku di kalangan warga tua berumur lebih 50 tahun.

``Sakit ini berkaitan dengan bahagian kepala dan pelipis yang mudah berasa sakit apabila disentuh dan sakit rahang.

``Penglihatan pesakit terganggu, sakit-sakit pada seluruh badan, kemungkinan berkait dengan demam ringan yang berlaku sekejap-sekejap dan penurunan berat badan pada sesetengah orang,'' katanya.

Tambahnya, sakit kepala jenis ini dianggap sebagai kes kecemasan perubatan di mana pesakit perlu dirawat di hospital dengan segera.

Dr. Chia berkata, kebanyakan sakit kepala akan hilang sendiri atau mengambil ubat penahan sakit seperti acetaminophen, ibuprofen atau aspirin untuk mengurangkan sakit kepala anda.

Bagaimanapun, pesakit hendaklah berjumpa doktor jika tiba-tiba sahaja sakit kepala yang teruk atau paling teruk menyerang terutamanya pada waktu pagi dan tiada gejala-gejala lain yang timbul.

``Lain-lain termasuklah jika sakit kepala anda berlarutan lebih beberapa hari atau menjadi bertambah teruk dari hari ke hari.

``Sekiranya ia berkait dengan masalah penglihatan, pertuturan tidak jelas, sukar mengerakkan tangan dan kaki, mereka juga perlu berjumpa doktor segera,'' katanya.

Anda juga perlu menghubungi doktor jika:

* Sakit kepala yang dikaitkan dengan kecederaan kepala

* Sakit kepala yang dikaitkan dengan demam dan leher berasa tegang

* Sakit kepala yang sering berlaku dan tidak diketahui penyebabnya seperti alahan atau sinusitis yang kronik

* Terdapat perubahan ciri-ciri sakit kepala daripada yang biasa anda alami

* Anda berasa mungkin anda menghidap arteritis temporal.

Baca Lagi...

22 November 2010

Penyakit artritis gout

PENYAKIT artritis gout adalah penyakit yang agak kerap didiagnos oleh para doktor. Namun sebenarnya, penyakit ini mempunyai implikasi dan komplikasi tersendiri. Ia melibatkan pemendapan asid urik di dalam bahagian ekstraselular.

Penyakit artritis gout adalah sebahagian daripada spektrum penyakit gout yang terdiri daripada artritis inflamasi akut, gout tophaceous kronik dan batu karang gout di dalam buah pinggang.

Penyakit artritis gout akut

Serangan artritis gout biasanya berlaku secara tiba-tiba dan menyebabkan sendi yang terlibat itu membengkak dan sakit sehingga menyebabkan seseorang pesakit itu sukar untuk berdiri ataupun berjalan. Kesan ini menjadi maksimum setelah beberapa jam dan hanya hilang setelah berminggu-minggu lamanya.

Sebanyak 80 peratus daripada serangan artritis gout berlaku di sendi ibu jari kaki atau secara tepatnya sendi metatarsal pertama. Sendi kedua adalah sendi lutut. Namun, sendi-sendi lain juga boleh terlibat dan menyukarkan diagnosis.

Para pesakit artritis gout akut boleh mengalami demam dan ujian darah yang tidak normal. Ujian darah boleh menunjukkan radang yang aktif. Cecair sendi akan menunjukkan kristal-kristal gout apabila diteliti melalui mikroskop polaraiz.

Ujian serum asid urik boleh menunjukkan tahap yang normal walaupun semasa serangan gout. Ujian sinar-X kadangkala menunjukkan hakisan tulang di sekitar sendi. Namun ini hanya boleh dilihat di dalam pesakit-pesakit yang tidak dirawat ataupun yang teruk.

Dua puluh peratus daripada pesakit yang mengalami serangan satu sendi boleh juga mengalami penglibatan sendi-sendi lain secara serentak. Ini dikenali sebagai penglibatan poliartikular.

Namun, penglibatan poliartikular ini lebih biasa dialami oleh pesakit-pesakit leukemia, limfoma dan yang mengambil ubat ciclosporin. Pemendapan kristal gout di kulit atau “tophi” juga boleh berlaku.

Faktor-faktor yang boleh menyebabkan serangan sendi akut adalah trauma, pembedahan, kebuluran, diet yang keterlaluan, pengambilan alkohol dan pengambilan ubat-ubatan yang boleh mempengaruhi tahap asid urik di dalam darah contohnya, diuretik.

Antara 12 hingga 43 peratus pesakit gout mempunyai tahap asid urik yang normal ataupun rendah tatkala serangan berlaku. Apabila sesuatu episod serangan gout itu telah reda, bahagian kulit pada sendi yang terlibat akan mengelupas.

Tempoh interkritikal gout dan serangan gout berulang

Tempoh interkritikal gout bermaksud tempoh antara serangan. Tempoh ini berbeza-beza bagi setiap individu. Ia akan menjadi pendek jika seseorang itu tidak diubati dan jika berlanjutan kerosakan sendi boleh menyebabkan tempoh ini menjadi lebih singkat. Keadaan ini diikuti oleh kejadian tophi dan kecacatan sendi yang kekal.

Gout tophacoeus kronik

Kejadian tophi boleh berlaku di cuping telinga, kulit, sendi-sendi mahupun tulang. Biasanya tophi tidak menyakitkan namun jika inflamasi berlaku pada sendi yang berdekatan keadaan sebaliknya berlaku.

Sinar-X sendi akan menunjukkan hakisan di kawasan berhampiran sendi. Tempoh berlakunya serangan gout pertama sehingga pemendapan tophi adalah lima hingga 40 tahun, berbeza daripada individu kepada individu.

Komplikasi buah pinggang hiperuresemia kronik

Terbahagi kepada batu karang asid urik dan urate nephropathi yang kronik.

Batu karang asid urik adalah komplikasi utama gout meliputi 20 peratus pesakit gout. Batu karang ini terdiri daripada 80 peratus asid urik dan selebihnya kalsium oksalat ataupun kalsium fosfat.

Terdapat tiga faktor bagi penghasilan batu karang asid urik iaitu: Pertambahan pengeluaran asid urik, pengurangan isi padu air kencing dan urin yang lebih asidik.

Urate nephropathi kronik pula melibatkan kerosakan buah pinggang yang melibatkan pemendapan asid urik di dalam bahagian medulari interstium buah pinggang ataupun bahagian tengah buah pinggang. Pemendapan ini mendatangkan inflamasi, fibrosis ginjal dan kerosakan kekal.

Bagaimanapun, kerosakan buah pinggang pesakit gout turut berkaitan dengan penyakit diabetis, darah tinggi, kegemukan dan aterosklerosis. Di dalam individu-individu sedemikian kerosakan buah pinggang disebabkan oleh pelbagai faktor.

Rawatan

Pengurangan risiko komorbid

Risiko komorbid bermaksud penyakit atau keadaan yang boleh memburukkan sesuatu penyakit. Bagi gout ia melibatkan penyakit darah tinggi, diabetes, kegemukan, diet, aterosklerosis dan pengambilan alkohol.

Penambahan berat badan sebanyak 30 paun boleh meninggikan risiko gout sebanyak dua kali ganda. Indeks jisim tubuh (BMI) 25 ke atas juga berkaitan dengan perkara ini. Pengurangan berat badan mengurangkan risiko ini.

Di dalam badan manusia purin ditukar kepada asid urik. Bahan-bahan ini ada di dalam makanan kekacang, organ-organ dalaman, daging merah dan ikan. Jika pengambilan purin dikurangkan, rembesan asid urik melalui air kencing akan dikurangkan sebanyak 200mg ke 400mg/sehari. Namun, ini akan menyebabkan makanan tersebut menjadi sukar dimakan. Oleh itu, aspek ini agak sukar dilaksanakan.

Justeru, seseorang pesakit gout perlu mengurangkan daging merah dan ikan serta menambah bahan-bahan tenusu yang kurang lemak yang terbukti merendahkan tahap asid urik di dalam badan.

Pengambilan alkohol juga merupakan risiko kepada gout. Meminum dua atau lebih bir akan menambahkan risiko 2.5 untuk mendapat serangan gout.

Bagi pesakit darah tinggi, penggunaan diuretik meninggikan tahap asid urik di dalam badan. Ubat losartan pula menurunkan tahap asid urik kerana ia menambahkan rembesan asid urik di dalam air kencing.

Namun ini tidak bermaksud ubat diuretik tidak sesuai sebagai ubat darah tinggi kerana ia murah dan terbukti baik untuk sistem kardiovaskular. Oleh itu, rawatan seseorang pesakit gout adalah berlainan daripada individu kepada individu yang lain.

Penggunaan ubat perendah tahap asid urik

Prinsip terapi termasuk menambahkan rembesan asid urik di dalam air kencing (agen urikosurik) dan mengurangkan pembentukan asid urik (inhibitor xanthin oksidase). Ubat-ubat ini akan mengurangkan tahap asid urik dan seterusnya mengelakkan kerosakan sendi dan tulang.

Bagaimanapun, bukan semua orang yang mempunyai tahap asid urik tinggi perlu diubati. Indikasi-indikasinya adalah: serangan gout akut sekurang-kurangnya tiga kali setahun, pemeriksaan klinikal dan bukti sinar–x kerosakan yang disebabkan oleh gout, pemendapan tophi, kerosakan buah pinggang gout dan batu karang asid urik.

Tahap asid urik yang dikehendaki adalah 5 hingga 6mg/dL (297 hingga 357mol/L). Ubat-ubat perendah asid urik hanya boleh dimulakan dua minggu setelah kesakitan hilang. Akan tetapi jika seseorang pesakit itu mengalami serangan semula semasa memakan ubat-ubat ini, beliau tidak sepatutnya berhenti memakan ubat.

Ubat-ubat yang mengurangkan kekerapan serangan

Ubat colchicine bertindak dengan mengurangkan aspek inflamasi synovium sendi. Dos permulaan biasanya dua kali sehari tetapi bagi serangan yang akut dos ini biasanya dikerapkan. Malangnya, ia boleh menimbulkan cirit-birit dan muntah-

muntah.

Jika seseorang itu tidak tahan dengan colchicine, maka ubat-ubat penahan sakit (NSAIDS) boleh digunakan. Akan tetapi, ubat-ubat ini boleh menimbulkan gastritis dan ulser serta masalah ginjal. Oleh itu, penggunaannya terhad.

Ubat-ubatan baru

Ubat-ubat yang baru adalah ubat yang dinamakan febuxostat dan uricase (masih dalam penyelidikan).

Terapi pesakit buah pinggang

Rawatan di dalam aspek ini agak sukar kerana agen urikosurik tidak berkesan dan allopurinol perlu dikurangkan dari segi dosnya. Penggunaan colchicine juga sukar kerana ia mendatangkan kesan-kesan sampingan serius.

Peranan pembedahan

Pembedahan bertujuan membetulkan sendi dan mengeluarkan tophi yang menyebabkan kesakitan. Namun, sebelum pembedahan boleh dijalankan, tahap asid urik mesti dikurangkan.

Rawatan gout sepatutnya berpanjangan dan tidak hanya pada ketika sakit.



Baca Lagi...

19 November 2010

Himpitan saraf

KEBAS di bahagian kaki atau belakang paha yang kadang kala melibatkan kawasan pinggul sering sahaja dianggap remeh oleh kebanyakan daripada kita. Dengan hanya menyapu salap panas atau mengurut, kesakitan dan rasa kebas tersebut hilang seketika, namun ia menyerang kembali tanpa mengira waktu.

Dalam istilah perubatan, kebas atau paresthesia merupakan satu keadaan di mana kawasan pada bahagian anggota badan seperti kaki dan tangan tidak boleh merasa.

Menurut Pakar Perunding Neurosurgeri (Bedah Otak dan Saraf) Hospital Kuala Lumpur, Dr. Azmi Alias, keadaan tersebut boleh menjadi lebih teruk sekiranya dibiarkan berlanjutan.

Tekanan terhadap saraf

“Kebas atau rasa mencucuk di bahagian aras pinggang hingga ke bawah merupakan antara simptom awal terhadap abnormaliti keadaan saraf tunjang di dalam tulang belakang,” katanya.

Azmi menjelaskan, gejala tersebut boleh berlaku akibat penyakit berkaitan saraf tunjang dan akar saraf yang secara umumnya dibahagikan kepada tiga kumpulan iaitu Extradural (25 peratus), Intradural extramedullary (50 peratus) dan Intradural intramedullary (25 peratus), berdasarkan kepada kedudukannya dengan selaput saraf tunjang atau dikenali sebagai Dura Matter.

Tekanan terhadap saraf tunjang boleh menyebabkan pesakit mengalami gejala seperti lemah anggota kaki, hilang keseimbangan semasa berjalan, kebas, hilang kawalan autonomik terhadap pundi kencing dan kesukaran untuk membuang air besar.

“Tekanan terhadap akar saraf pula menyebabkan pesakit berasa sakit di bahagian belakang dan kadangkala renjatan yang menular ke sebelah bahagian peha dan betis,” jelasnya.

Bagi kategori Extradural, ia berlaku akibat penyakit di luar selaput saraf tunjang seperti Spondylosis, cakera (disk) tulang belakang terkeluar (PID), keretakan tulang belakang akibat kemalangan serta ketumbuhan.

“Bagi kategori ini, himpitan terjadi di kawasan luar saraf tunjang. Ini secara tidak langsung akan mengganggu bahagian saraf yang mengawal deria sentuh serta saraf motor,” ujarnya.

Bagi kategori kedua iaitu Intradural Extramedullary, ia berlaku akibat penyakit di dalam selaput dura tetapi di luar saraf tunjang seperti ketumbuhan Meningioma dan Schwannoma.

Bagi kategori ketiga pula, penyakit tersebut melibatkan saraf tunjang itu sendiri seperti ketumbuhan Ependymoma dan Astrocytoma, jangkitan saraf, penyakit vascular, syringomyelia dan demyelination.

Serang tidak kira masa

Menurut Azmi, gejala seperti kebas, rasa mencucuk pada mana-mana anggota tubuh terutama bahagian kaki perlu diambil perhatian oleh orang ramai.

“Malah, lemah anggota tangan atau kaki serta hilang kawalan pundi kencing dan sembelit memberi petanda terdapat masalah berkaitan saraf,” katanya.


Bukan sekadar itu, rasa kebas atau sakit akan timbul dan menjadi lebih teruk apabila melakukan kerja-kerja harian seperti membongkok, mengangkat barang atau keadaan posisi tubuh yang salah.

Tidak terhad di kawasan pinggul dan belakang paha, kesakitan turut merebak di anggota tubuh yang lain atau radiculopathy turut mengganggu keselesaan pesakit.

“Ada keadaan tertentu, pesakit boleh menjadi lumpuh akibat himpitan pada saraf ini,” jelasnya.

Di samping itu juga, kebas pada anggota kaki ini menyerang tidak kira masa. Malah, dalam keadaan tubuh sedang berehat, kebas ini masih terasa.

“Walau bagaimanapun terdapat juga beberapa penyakit lain yang boleh menyebabkan gejala kebas seperti arteriosclerosis di mana salur darah di bahagian kaki menjadi lebih sempit menyebabkan pesakit mengalami gejala intermittent claudication termasuk sakit atau kebas di bahagian kaki dan hanya boleh berjalan sehingga beberapa meter sahaja.

Tambahnya lagi, penghidap penyakit kencing manis juga boleh mengalami gejala kebas di hujung jari tangan dan kaki.

Penggantian cakera

Mengenai rawatan, Azmi menjelaskan ia bergantung kepada jenis penyakit dan kerosakan yang berlaku sehingga menghimpit saraf tunjang dan ekor saraf.

“Sekiranya ia melibatkan kehadiran tumor, pembedahan perlu dilakukan bagi membuangnya. Sekiranya ia melibatkan cakera tulang belakang yang terkeluar, pembedahan bagi mengeluarkan bahagian cakera tersebut dan penggantian cakera boleh dilakukan,” katanya.

Tambahnya, ubat penahan sakit dan teknik Traction atau regangan tulang belakang turut dilakukan dalam sesetengah kes PID yang boleh mengurangkan tekanan terhadap akar saraf.

Dalam pada itu, Azmi menjelaskan pesakit perlu berjumpa doktor dan untuk menjalani pemeriksaan fizikal bagi mengetahui keadaan saraf dan kawasan yang terlibat.

“Untuk pemeriksaan tersebut, salah satu caranya ialah penggunaan peta titik saraf sebagai rujukan dan dari situ, pakar dapat mengetahui bahagian sebenar tubuh yang bermasalah,” katanya sambil menunjukkan gambarajah tersebut.

Lanjutan daripada pemeriksaan fizikal, pesakit perlu menjalani ujian imbasan MRI (Magnetic Resonance Imaging) di bahagian tulang belakang bagi meneliti secara terperinci struktur saraf tunjang, akar saraf dan anatomi tisu sekelilingnya dengan lebih jelas.

Selain daripada itu, ujian X-ray dan CT Scan juga boleh dilakukan bagi mengetahui keadaan tulang belakang yang secara semulajadi berfungsi melindungi saraf tunjang pesakit.


Baca Lagi...

Buah pinggang rosak secara perlahan

SUDAH acap kali rasanya isu penyakit buah pinggang dibicarakan. Setiap kali perkara ini dibincangkan, inti pati sama diulang kembali.

Namun, ia belum dapat meningkatkan kesedaran masyarakat kerana bilangan pesakit di negara ini terus bertambah.

Hari ini, dianggarkan seramai 13,000 pesakit buah pinggang terpaksa bergantung kepada mesin hemodialisis untuk terus hidup dan pada masa sama senarai pesakit baru terus mencanak naik, dengan jumlah kasar 2,500 kes setiap tahun.

Kegagalan buah pinggang atau ginjal berlaku tanpa disedari. Ia juga jarang menunjukkan sebarang gejala hinggalah buah pinggang tidak boleh berfungsi lagi. Pada ketika ini baru timbul pelbagai gejala tidak menyenangkan seperti kerap kencing pada tengah malam, cepat letih, kurang selera makan, kaki bengkak atau kencing berdarah.

Hanya pada peringkat inilah kebanyakan pesakit mula terasa ada sesuatu yang “tidak kena” dengan badan mereka. Apabila diperiksa, baru diketahui buah pinggang “organ penting untuk membersihkan darah” sudah rosak sepenuhnya.

Walaupun sudah terlewat, pesakit seharusnya tidak putus harap kerana banyak peralatan perubatan dapat membantu mereka meneruskan kehidupan sempurna seperti orang lain.

Namun sebelum terkena, lebih baik kita mengambil langkah berjaga-jaga. Kurang kepekaan terhadap kesihatan diri dan tidak berminat mengetahui penyakit ‘lazim’ dalam masyarakat menyebabkan masalah kegagalan buah pinggang semakin bertambah bilangannya.

Buah pinggang adalah organ berbentuk kacang lima, setiap orang ada dua buah pinggang dan berat setiap satu kira-kira 150 gram.

Dalam buah pinggang yang kecil ini berlaku proses penapisan darah untuk membuang semua bahan toksin melalui air kencing. Darah bersih akan dialirkan balik ke dalam badan.

Secara umumnya buah pinggang ada empat tugas utama, iaitu membuang cecair berlebihan dari badan; menuras darah (mengambil balik khasiat yang diperlukan dan membuang bahan tidak berguna); mengawal tekanan darah, kiraan sel darah merah dan jumlah mineral dalam badan serta mengekalkan tulang yang sihat.

Banyak perkara boleh menyebabkan kerosakan buah pinggang, tetapi paling utama ialah kencing manis (diabetes mellitus) dan tekanan darah tinggi (hipertensi).

http://www.thelifetree.com/images/kidney01.jpgKetua Jabatan Nefrologi Hospital Kuala Lumpur (HKL), Datuk Dr Zaki Morad Mohd Zaher, berkata satu pertiga daripada kes kegagalan buah pinggang disebabkan masalah kencing manis tidak terkawal.

Selain itu, penyakit darah yang merosakkan bahagian penuras buah pinggang dipanggil Glomerulonefritis, Sistemik Lupus Eritematosus (SLE), kehadiran batu karang dan jangkitan salur kencing juga boleh menyebabkan kegagalan ginjal.

Malah, individu yang ada sejarah keluarga mengalami penyakit buah pinggang perlu berhati-hati kerana mereka juga berisiko tinggi untuk mendapat penyakit sama.

Justeru, kata Dr Zaki, setiap orang perlu mengambil berat kesihatan diri dengan menjalani pemeriksaan kesihatan.

Kaedah ini boleh membolehkan kita mengesan masalah pada buah pinggang dan melengahkan ia daripada mengalami kerosakan teruk.

Tanda kerosakan buah pinggang

Proses kerosakan buah pinggang berlaku secara perlahan-lahan dan mengambil masa lama. Ia lebih kerap berlaku di kalangan berumur (tiga kali ganda berbanding golongan muda). Justeru, gejalanya sering tidak disedari hinggalah buah pinggang gagal berfungsi. Ramai tidak sedar perkara ini hinggalah mereka menjalani pemeriksaan kesihatan.

Antara tanda yang perlu diperhatikan ialah:

* Rasa tidak selesa atau terbakar (sakit) ketika buang air kecil.

* Air kencing bercampur darah.

* Berlaku perubahan jadual membuang air kecil. Biasanya ia menjadi lebih kerap.

* Sakit belakang.

* Kerap buang air kecil pada tengah malam.

* Kaki membengkak, khususnya di pergelangan kaki.

* Sekelip mata menjadi sembap dan ia berlarutan. Tanda ini lebih jelas pada waktu pagi.

Semua tanda di atas timbul berikutan buah pinggang tidak lagi mampu menyingkirkan bahan toksik dalam darah.

Bahan toksik ini lama kelamaan meracuni tubuh pesakit dan menimbulkan pelbagai komplikasi kesihatan.

Walaupun teknologi perubatan semakin canggih, kegagalan buah pinggang tiada ubatnya.

Perkara ini sering disalah anggap kebanyakan masyarakat kita. Untuk terus hidup, kata Dr Zaki, pesakit boleh menjalani dua jenis rawatan iaitu pemindahan buah pinggang atau dialisis darah.

Cara pertama (pemindahan buah pinggang) memerlukan belanja antara RM50,000 hingga RM100,000 tetapi masalah utama dihadapi pesakit ialah mendapatkan penderma buah pinggang.

Pembedahan boleh dilakukan segera jika ada ahli keluarga atau saudara mara sudi menjadi penderma atau daripada penderma lain (yang tiada kaitan darah) dan ia boleh dilakukan di HKL, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) atau Hospital Selayang.

Bagaimanapun, perkara ini bukan mudah kerana bilangan orang yang rela menjadi penderma sungguh terhad.

Cara kedua dan lebih popular ialah dialisis darah, tiga kali seminggu. Walaupun kedengaran leceh, kaedah ini membolehkan pesakit menjalani kehidupan normal seperti orang lain.

Malah, mereka masih boleh terus menyumbang kepada produktiviti negara.

Perbelanjaan rawatan penyakit buah pinggang bukan murah. Seseorang memerlukan kira-kira RM3,000 sebulan jika menjalani dialisis di hospital swasta.

Secara umumnya pesakit membelanjakan RM23,000 setahun untuk dialisis saja. Itu belum termasuk kos ubat.

“Untungnya Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan Malaysia (NKF) ada 18 pusat hemodialisis di seluruh negara dengan bayaran yang jauh lebih murah (RM65 setiap sesi) bagi membantu meringankan beban pesakit. Justeru, kita perlu kerap menjalani pemeriksaan kesihatan supaya kegagalan buah pinggang dapat dikesan dan diberikan rawatan awal supaya kerosakan kekal tidak berlaku,” katanya.

Jika buah pinggang didapati rosak, jangan berputus asa. Masa depan masih ada. Pelancaran Kumpulan Sokongan Pesakit Buah Pinggang baru-baru ini membolehkan anda (pesakit, ahli keluarga atau individu perseorangan) mendapatkan maklumat, khidmat nasihat atau sokongan daripada pasukan perubatan dengan menghubungi talian 03-79549048 atau melayari laman web www.nkf.org.my.

Kaedah mencegah penyakit ginjal

* Jalani pemeriksaan ginjal.

*Amalkan pemakanan seimbang.

*Minum banyak air, sekurang-kurangnya dua liter sehari.

*Jangan merokok, lebih baik berhenti terus.

*Makan ubat selepas mendapat nasihat doktor. Elakkan ubat yang tidak perlu kerana ia boleh memberi kesan dan merosakkan buah pinggang.

*Kekalkan berat badan seimbang.

*Bersenam sekurang-kurangnya 30 minit setiap hari.


 
Baca Lagi...

16 November 2010

Menangani asma

MENGHIDAP lelah atau asma bukanlah penamat bagi pesakit menikmati kehidupan aktif, cergas, bebas dan sihat terutama bagi pesakit yang mengalaminya sejak kecil lagi. Persepsi begini timbul akibat salah faham mengenai kaedah rawatan dan pencegahan yang tepat oleh ibu bapa dalam usaha untuk mencapai kawalan terhadapnya.

Asma adalah penyakit kronik paru-paru yang membabitkan masalah pernafasan yang berulang-ulang dan gejala seperti sesak nafas, pernafasan termengah-mengah, sesak dada dan batuk. Apabila asma tidak dikawal, saluran udara paru-paru menjadi tebal dan meradang menyebabkan ia sensitif terhadap pertukaran persekitaran dan cenderung kepada serangan asma.

Ramai orang dewasa dan kanak-kanak menghidap penyakit ini, malah menurut Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) hampir 300 juta masyarakat dunia dari semua peringkat umur dan latar belakang menghidap asma. Dianggarkan angka ini akan meningkat sebanyak 100 juta menjelang 2025. Malah, WHO menganggarkan kematian akibat asma akan meningkat sebanyak 20 peratus dalam masa 10 tahun jika langkah serius tidak diambil.

Hasil kajian terbaru juga menunjukkan Asia Pasifik mencatatkan tahap ketidakhadiran ke sekolah yang lebih tinggi akibat kawalan asma yang kurang memuaskan berbanding Amerika Syarikat atau Eropah.

Di Malaysia, 52 peratus daripada kanak-kanak tidak hadir ke sekolah akibat asma mereka yang disebabkan masalah seperti kegiatan fizikal, sosial dan mengalami gangguan tidur. Lebih mengejutkan, 67 peratus daripada kanak-kanak terbabit tidak menerima sebarang rawatan.

Menurut Pengerusi Majlis Asma Malaysia, Dr Norzila Mohamed Zainudin, penyakit asma semasa kecil adalah satu penyakit respiratori kronik paling lazim kerana dianggarkan seorang bagi setiap 10 kanak-kanak di Malaysia menghidap asma.

“Statistik ini amat merisaukan terutama kesan penyakit ini terhadap pertumbuhan kanak-kanak dan perkembangan mereka.

“Bagaimanapun dengan rawatan yang tepat dan pencegahan, kawalan terhadap asma boleh dicapai. Malangnya, kerana kekurangan pemahaman, ramai ibu bapa dan guru salah faham mengenai penyakit ini mengakibatkan kanak-kanak terhalang dari menyertai kegiatan semasa kecil yang normal seperti menginap di rumah rakan dan kegiatan fizikal walhal asma boleh dirawat secara efektif dan kebanyakan pesakit mampu mengawalnya dengan baik,” katanya pada majlis perasmian Kempen Asma di Sekolah bersempena Hari Asma Sedunia di Sekolah Cempaka Damansara, baru-baru ini.

Bersempena kempen itu juga, Pek Asma Sekolah (Breathe Asthma Kit) diperkenalkan khusus untuk pelajar, ibu bapa dan guru. Pek ini mengandungi maklumat berguna mengenai asma, penyebab tercetusnya asma dan pilihan rawatan, serta maklumat bantuan kecemasan tatkala diserang asma.

Dr Norzila berkata, sasaran merawat asma adalah untuk mencapai dan mengekalkan kawalan terhadap penyakit ini. Apa yang dimaksudkan dengan mengawal asma ialah pesakit tidak atau menggunakan sedikit saja ubatan penahan (reliever) dua kali atau kurang dalam seminggu; tidak terjaga malam akibat lelah; kurang mengalami simptom asma atau tiada langsung; aktiviti fizikal yang normal dan tidak terbatas; asma tidak bertambah teruk dan fungsi paru-paru hampir normal.

“Kempen asma di sekolah adalah pentas paling berkesan mendidik guru dan kakitangan sekolah bagaimana mereka boleh membantu pelajar yang menghidap asma untuk mempertingkatkan pengurusan penyakit mereka sekali gus mengubah persepsi yang salah terhadap asma.

“Kami percaya pemahaman mengenai asma amat penting untuk memberikan yang bermutu kepada kanak-kanak. Kempen asma di sekolah ini misalnya, akan menyumbang kepada perkembangan persekitaran sekolah yang lebih sihat untuk pelajar selain meningkatkan kawalan penyakit asma dan mengurangkan pesakit asma yang memasuki hospital yang dijangka mencecah 50 peratus menjelang 2015.”

Info

Gejala asma:

* Batuk (pada waktu malam atau ketika cuaca sejuk)
* Susah bernafas (sesak nafas)
* Nafas berbunyi
* Dada berasa ketat dan tegang

Cegah serangan asma:

* Peka penyebab utama asma anda
* Pastikan kediaman bebas habuk, bulu haiwan dan hama
* Jauhi perokok
* Ambil ubat pencegah sekerap mungkin
* Kerap bersenam untuk meningkatkan fungsi jantung dan paru-paru
Baca Lagi...

Diabetes ibu segala penyakit

Dihidapi dua orang setiap 10 saat di seluruh dunia sebabkan komplikasi termasuk jantung, buta, strok

Faktanya - setiap 10 saat, dua orang disahkan menghidap diabetes di seluruh dunia manakala empat juta lain maut akibatnya setiap tahun. Tidak cukup dengan itu, diabetes juga berada di tangga keempat penyakit membawa maut.

Menggerunkan bukan? Hakikatnya, di Malaysia sendiri, kira-kira 1.2 juta rakyatnya disahkan penghidap diabetes atau kencing manis. Malangnya, apa yang menyedihkan, separuh daripada jumlah itu tidak menyedari mereka menghidap diabetes sehinggalah dirawat kerana berdepan salah satu komplikasi diabetes.

Setiausaha Am Persatuan Diabetes Malaysia, Datuk Rahimah Ahmad berkata, faktor Malaysia yang diketahui kaya pelbagai jenis hidangan yang lazat, sedikit sebanyak menjadikan ramai leka dengan kandungan gula dan kalori makanan yang diambil.

“Faktor ini digabung pula dengan gaya kehidupan moden kurang aktif yang menyumbang kepada peningkatan kes diabetes yang ketara di negara ini,” katanya ketika merasmikan acara kempen kesedaran diabetes kepada orang awam anjuran persatuan itu, baru-baru ini.
Mengetahui kadar gula dalam darah membantu mengurus diabetes.

Selain penyakit maut, diabetes juga kerap dirujuk sebagai ibu segala penyakit kerana memungkinkan pesakitnya berdepan pelbagai komplikasi kesihatan seperti masalah jantung termasuk kegagalan fungsi jantung. Malah, risiko serangan angin ahmar sememangnya lebih tinggi di kalangan pesakit diabetes berbanding bukan penghidap penyakit itu.

Bukan itu saja, pesakit diabetes juga berisiko hingga empat kali ganda terhadap penyakit jantung atau yang berkaitan kardiovaskular.

Pensyarah Perubatan dan Pakar Runding Kanan Endokrinologi, Hospital Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Datuk Dr Mafauzy Mohamed, pula menegaskan, diabetes adalah penyakit seumur hidup yang setakat ini tidak boleh disembuhkan.

Namun, usaha mengawal pemakanan, melakukan senaman dan mengambil ubat-ubatan mengikut keperluan adalah kaedah pengurusan diabetes yang baik.
Gengran antara komplikasi akibat diabetes.

“Diabetes yang tidak dikawal dengan baik boleh memendekkan hayat seseorang sehingga 10 tahun,” katanya.

Biarpun diabetes dikenali sebagai penyakit orang dewasa, namun kebelakangan ini diabetes Jenis Dua terbukti semakin meningkat di kalangan kanak-kanak dan remaja. Ia dikaitkan dengan masalah terlalu gemuk atau obesiti, kurang bersenam dan diet tidak sihat.

“Gaya hidup dan pemakanan menjadi punca kegemukan yang membawa kepada diabetes. Malah hari ini, tidak menghairankan jika anda mengenali seorang pesakit diabetes yang hanya berusia 12 atau 10 tahun,” katanya.

Jelas Dr Mafauzy, berdasarkan Kajian Morbiditi dan Mortaliti Kebangsaan pada 2006, menyenaraikan Negeri Sembilan dan Melaka sebagai negeri yang mencatatkan kadar peratusan pesakit diabetes tertinggi di Malaysia manakala kadar diabetes terendah adalah di Sabah.

“Faktor genetik sememangnya penyumbang besar masalah diabetes. Di Malaysia, majoriti pesakit diabetes berketurunan India diikuti Melayu dan Cina.

“Namun perlu diingat, jika seseorang itu lahir dalam keluarga yang ada sejarah penyakit itu maka risiko untuknya menghidap diabetes sangat tinggi. Oleh itu, langkah pencegahan yang boleh diamalkan adalah pemakanan sihat dan lakukan senaman,” katanya.

Dr Mafauzy berkata, tidak ramai yang tahu, tetapi hakikatnya hampir 90 peratus pesakit diabetes di seluruh dunia adalah daripada Jenis Dua. Selain faktor genetik, diabetes jenis ini turut dikaitkan dengan obesiti dan tidak aktif secara fizikal.

Diabetes Jenis Dua ini juga satu masalah kronik yang menjejaskan kaedah tubuh menangani glukos. Ini disebabkan diabetes jenis ini menyebabkan tubuh menolak kesan insulin atau tubuh tidak menghasilkan kadar insulin mencukupi bagi mengekalkan tahap glukos normal.

Diabetes Jenis Dua juga tidak memerlukan insulin sepanjang hayat tetapi anda boleh mengawal glukos dalam darah dengan diet, bersenam atau kombinasi pengambilan ubat-ubatan atau di kalangan sesetengah pesakit mungkin perlu mengambil sedikit insulin.

“Ada kala pesakit menunggu simptom datang sebelum mendapat rawatan. Namun, ada kala mereka langsung tidak sedar simptom yang ditunjukkan tubuh mereka. Ia menyebabkan mereka hanya tahu diserang diabetes secara tidak sengaja selepas terjadinya komplikasi kesihatan,” katanya.

Kadang kala, jika ada simptom pun, ia sangat minimum. Secara umum simptom diabetes adalah kerap membuang air kecil (polyuria), kerap dahaga (polydipsia), kerap lapar (polyphagia) dan hilang berat badan tanpa sebab yang khusus, rasa kebas yang ekstrim, rasa sakit pada kaki (disesthesias) dan penglihatan kabur.

Bagi jangka masa yang lama, diabetes menyebakan komplikasi pada jantung, salur darah, mata, ginjal juga saraf. Retinopati misalnya adalah sebab utama buta dan ia terjadi kerana jangka masa panjang. Retinopati menyebabkan kerosakan pada salur darah kecil di retina.

Secara umum tanpa pengurusan diabetes yang baik, selepas 15 tahun menghidap diabetes, dua peratus pesakit menjadi buta manakala 10 peratus berhadapan dengan masalah penglihatan.

Secara lebih teknikal pula, komplikasi diabetes terbahagi kepada komplikasi mikrovaskular (membabitkan salur darah kecil) seperti buah pinggang (nephropathy), saraf rosak (neuropathy), penglihatan terjejas (retinopati, katarak atau glaukoma).

Manakala komplikasi makrovaskular (membabitkan salur darah besar) menyebabkan masalah seperti jantung, angin ahmar, gangrene dan akhirnya kaki dipotong (amputasi) selain masalah metabolik, mati pucuk dan masalah waktu hamil.

INFO: Faktor Risiko Diabetes Jenis Dua

# Usia dan bangsa - semakin anda berusia semakin tinggi risiko diserang diabetes. Apatah lagi jika anda dari keturunan kulit hitam, Asia Selatan dan kaukasian. Dalam satu kajian di United Kingdom didapati mereka yang berketurunan kulit hitam dan Asia Selatan (India, Pakistan, Bangladesh) adalah lima kali lebih berisiko diserang diabetes berbanding mereka yang berkulit putih.

# Genetik - jika ada lahir dalam keluarga yang memiliki sejarah diabetis. Risiko anda lebih tinggi jika ahli keluarga itu adalah emak atau ayah malah bapa saudara sama ada sebelah ibu atau ayah.

# Obesiti - kebanyakan mereka yang menghidap diabetes Jenis Dua adalah obes. Lebih gemuk seseorang itu lebih tinggi risikonya. Apatah lagi jika tidak aktif bersenam.

# Diabetes waktu hamil - wanita yang diserang diabetes waktu hamil berisiko untuk menghidap diabetes.



 
Baca Lagi...