06 November 2010

Telefon bimbit beri kesan kepada kulit

Awas jika anda sememangnya menghidap masalah alahan kulit dan pada masa sama, adalah pengguna setia telefon bimbit.

Penyelidikan terbaru saintis Jepun mendakwa radiasi telefon bimbit boleh memberi kesan alahan kepada mereka yang menghidap masalah seperti eczema atau dermatitis, lapor sebuah akhbar Britain kelmarin.

Dr Hajime Kimata kali pertama membuat penemuan itu dua tahun lalu tetapi melakukan penyelidikan lanjut, baru-baru ini.

Menerusi kajian itu, dia mendapati darah beberapa pengguna telefon bimbit itu mempunyai paras bahan kimia yang tinggi dan dihasilkan sistem daya tahan badan sebagai kesan reaksi alahan.

Kajiannya itu sekali gus mengesahkan kaitan alahan kulit dengan telefon bimbit biarpun penyelidikan mengenai kesan sebenar alat komunikasi itu, termasuk kesannya kepada kesihatan pengguna, sedang dilakukan.

Pakar kesihatan Britain sebelum ini menolak kaitan telefon bimbit boleh menjejaskan kesihatan.

Namun, kajian membandingkan pengguna telefon di bandar dan pedalaman bulan lalu, menunjukkan mereka di kawasan kampung lebih berisiko mengalami masalah ketumbuhan otak disebabkan pancaran lebih tinggi diperlukan berbanding di bandar yang banyak stesen pemancarnya.

Malah, saintis turut menasihati agar kanak-kanak tidak menggunakan telefon bimbit, kecuali bagi kes kecemasan.

Pakar alahan Britain menganggap kajian Dr Kimata itu menarik biarpun tiada sebarang penjelasan saintifik bagaimana radiasi itu boleh meningkatkan reaksi alahan kulit berkenaan. – Agensi



 

0 comments: