Mendalami punca strok

Posted by BioVCO on 07:00 with No comments
SERANGAN strok atau angin ahmar boleh mengubah kehidupan seseorang untuk sepanjang hayatnya. Ini kerana jika mangsa serangan strok terselamat daripada maut, kebiasaannya akan mengalami lumpuh dan lemah anggota badan sama ada sebelah tubuh atau keseluruhan badan.

Presiden Persatuan Neurosains Malaysia, Prof. Dr. Hamidon Basri berkata, ramai yang mengetahui kewujudan penyakit ini tetapi tidak ramai yang mengetahui sejauhmana ia boleh menyerang dan kekerapan serangannya terhadap mangsa.

''Penyakit strok tidak boleh dipandang mudah, ia mampu merubah kehidupan seseorang dan lazimnya pesakit memerlukan penjagaan yang rapi sepanjang hayatnya,'' katanya

Beliau yang juga seorang pakar runding neurologi, berkata, kira-kira 40,000 rakyat Malaysia diserang strok setiap tahun, tetapi tidak ramai yang sedar bahawa mereka mempunyai risiko besar terhadap penyakit tersebut.

Malah hanya segelintir sahaja yang mengetahui tanda amaran atau maklum tentang apa yang patut dilakukan sekiranya disyaki mengalami strok.

Tegasnya lagi, strok merupakan masalah kesihatan yang diakibatkan oleh salur darah tersumbat dan gangguan bekalan darah ke bahagian-bahagian otak yang mengakibatkan bahagian tersebut tidak mendapat cukup oksigen.

Biasanya penyakit ini menyerang seseorang secara tiba-tiba sehingga boleh menyebabkan kematian atau lumpuh separuh badan.

Strok juga dikenali sebagai 'serangan otak' kerana strok berlaku apabila aliran darah ke otak terganggu.

"Kejadian ini boleh berlaku dalam dua cara yang berbeza, apabila salur darah di dalam otak pecah (dikenali sebagai strok berdarah) atau apabila terdapat salur darah tersekat (yang dikenali sebagai strok iskemia),'' kata Dr. Hamidon lagi.

Menurut beliau, orang ramai juga perlu memahami bahawa strok, khususnya strok iskemia boleh dirawat secara berkesan untuk mengurangkan kerosakan kepada otak.

Jelasnya lagi, serangan strok boleh berlaku secara tiba-tiba dan pesakit tidak mengalami sebarang tanda amaran kedatangan penyakit ini sehinggalah tiba waktunya dia mengalami rasa lemah-lemah dan lumpuh sebelah badan sama ada kiri atau kanan.

''Lemah dan lumpuh akibat strok ini akan menyebabkan mangsa mengalami kesukaran untuk bercakap atau kemungkinan kehilangan terus keupayaan bercakap atau dikenali sebagai aphasia.

''Antara masalah lain ialah kemungkinan berlakunya gangguan pada bahagian otak yang lebih penting peranannya,'' katanya ditemui pada majlis pelancaran Kempen 1 Misi 1 Juta Mendalami Punca Strok.

Menurut Dr. Hamidon lagi, lagi, bukan semua jenis strok akan menyebabkan lumpuh. Ini kerana gangguan saraf berlaku jauh daripada bahagian otak yang mengawal pergerakan.

Katanya lagi, otak sama seperti bahagian tubuh yang lain, harus menerima bekalan berterusan melalui pembuluh darah dan arteri.

''Jika salah satu daripada arteri tersumbat, bahagian otak yang tidak mendapat bekalan darah akan mati kerana tidak mendapat bekalan oksigen," katanya.


Categories: