30 Mac 2011

Pilih diet rendah protein

ADAKAH anda tahu risiko kardiovaskular boleh bermula walaupun fungsi buah pinggang mengalami sedikit kerosakan? Dan adakah anda sedar penyakit kardiovaskular menyumbang lebih daripada 50 peratus kematian di kalangan penghidap penyakit buah pinggang kronik?

Mereka yang menghidap kegagalan buah pinggang peringkat akhir mempunyai 10 hingga 30 kali risiko kematian lebih tinggi akibat strok, serangan jantung atau penyakit kardiovaskular yang lain dibandingkan dengan golongan dewasa yang sihat.

Anda mungkin tertanya, apakah kaitan maklumat ini dengan diri sendiri? Banyak, jika anda mempunyai tanda-tanda penyakit buah pinggang atau jantung, sama ada anda sedar atau tidak.

Kajian di Amerika Syarikat (AS) menunjukkan 10 peratus daripada golongan dewasa mempunyai masalah kerosakan buah pinggang dan mereka juga tidak tahu mengenainya. Ujian saringan mudah di mana-mana klinik atau hospital dapat menunjukkan jika anda salah seorang daripada mereka.

Ini kerana pencegahan awal sakit buah pinggang menjadi lebih kronik dapat menyelamatkan jantung anda.

Menurut Pakar Perunding Nefrologi Pusat Perubatan Tropicana, Kota Damansara Selangor, Dr. Soehardy Zainudin, sakit buah pinggang kronik ialah keadaan kedua-dua buah pinggang pesakit mengalami kerosakan.

Ia berlaku apabila buah pinggang rosak teruk disebabkan oleh penyakit kronik dan tidak lagi boleh menapis bahan-bahan yang tidak diperlukan oleh tubuh.

Lazimnya, kata Dr. Soehardy, penyakit berkembang secara perlahan-lahan dengan menunjukkan tanda-tanda atau gejala yang tidak ketara pada peringkat awalnya.

''Malah, kebanyakan penghidap langsung tidak menyedari masalah tersebut sehinggalah fungsi buah pinggang mereka merosot ke tahap kurang daripada 25 peratus berbanding keadaan normal.

''Apabila seseorang itu menghidap penyakit buah pinggang yang kronik, mereka akan sakit teruk beberapa bulan lamanya dan mengalami anemia (pendarahan berlebihan). Buah pinggang terus mengeluarkan air kencing namun gagal menyingkirkan bahan kotoran mahupun menyerap bahan-bahan yang berguna,'' jelas beliau.

Tambahnya, tekanan darah tinggi dan diabetes merupakan antara penyebab utama yang mencetuskan kegagalan buah pinggang kronik .

Pada sakit buah pinggang peringkat akhir di negara ini, statistik bersamaan dengan kira-kira 100 orang dalam sejuta penduduk.

Mengulas lebih lanjut, Dr. Soehardy memberitahu setiap tahun ada lebih empat hingga lima ribu pesakit baru.

"Pada tahun lepas sahaja terdapat 25 ribu pesakit yang menjalani rawatan dialisis. Ramai yang tidak tahu kegagalan buah pinggang boleh berlaku secara tiba-tiba atau akut. Keadaan ini selalunya terjadi selepas prosedur pembedahan yang rumit atau kecederaan teruk, ubat-ubatan tertentu seperti penahan sakit atau apabila pembuluh darah yang menghala ke arah buah pinggang tersekat," ujarnya.

Rawatan

Dalam pada itu, rawatan bergantung kepada tahap penyakit tersebut dengan matlamat untuk menghentikan atau melengahkan tahap perkembangannya.

Ketika ini, seseorang yang mengalami sakit buah pinggang kronik sama ada memerlukan penapis tiruan (dialisis) ataupun pemindahan buah pinggang untuk meneruskan hidupnya.

Diet rendah protein

Ramai yang tidak menyedari kos terapi penggantian buah pinggang seperti dialisis dan transplan yang jauh lebih tinggi, sehingga 10 kali ganda berbanding pengurusan penyakit buah pinggang yang efektif menerusi terapi pemakanan buah pinggang .

Bagi mengelakkan pengumpulan bahan buangan terjadi, kata Dr. Soehardy, seseorang itu hendaklah mengehadkan pengambilan protein di dalam makanan kerana protein akan menghasilkan bahan buangan (seperti urea) di dalam air kencing.

Pada masa yang sama, pengambilan fosfat dalam diet mestilah dikurangkan.

Dengan mengurangkan pengambilan protein untuk menghalang pengumpulan bahan buangan di dalam badan, jumlah asid amino juga akan turut berkurangan.

Kini, para pesakit berkenaan mempunyai pilihan termasuk pengurusan makanan yang bijak.

''Ini sekali gus membolehkan pesakit menikmati kualiti hidup yang lebih baik dan paling penting, menangguhkan kegagalan buah pinggang kronik memasuki tahap akhir, dari tempoh tiga ke lima tahun. Selain itu, setiap pesakit perlu menjalankan gaya hidup sihat termasuk tidak merokok, jangan minum alkohol dan melakukan banyak aktiviti fizikal,'' kata Dr. Soehardy.





Baca Lagi...

27 Mac 2011

Sayangi jantung anda

PADA dasarnya, penyakit jantung adalah pembunuh senyap di kalangan wanita yang boleh diibaratkan sebagai bom jangka yang menunggu masa untuk meletup. Menurut data yang dikeluarkan oleh Pemantauan Penyakit Tidak Berjangkit (NCD) Malaysia 2005/2006, faktor risiko NCD yang jelas, seperti hiperkolesterolemia, kenaikan glukosa darah, obesiti (kegemukan) dan sebagainya adalah lebih tinggi di kalangan wanita berusia 25 hingga 64 tahun berbanding lelaki dalam kumpulan usia yang sama.

Menurut Pakar Perunding Kardiologi, Datuk Dr. Khoo Kah Lin, yang juga Pengarah Yayasan Jantung Malaysia (YJM), penyakit jantung adalah pembunuh nombor satu di kalangan wanita di Malaysia dan di seluruh dunia sejak berpuluh-puluh tahun lamanya.

"Penyakit jantung sentiasa dianggap sebagai penyakit lelaki kerana kaum lelaki mendapat penyakit ini 10 tahun sebelum wanita.

"Wanita dilindungi daripada penyakit jantung oleh tahap estrogen yang tinggi. Bagaimanapun, ini tidak bermakna wanita 'imun' atau lali kepada penyakit ini,” jelasnya.

Tambah Dr. Kah Lin, tahap estrogen turun apabila wanita sudah menopaus atau putus haid. Tahap trigliserida dan LDL (kolesterol jahat) di kalangan wanita yang berumur juga naik, bukan sahaja disebabkan menopaus tetapi juga disebabkan kenaikan berat badan dan penuaan. Semua ini menaikkan risiko penyakit jantung di kalangan wanita.

Jadi, sebelum putus haid, risiko wanita mendapat sakit jantung adalah lebih rendah berbanding lelaki.

Namun, keadaan berubah apabila putus haid. Risiko wanita mendapat penyakit jantung kini setara dengan lelaki.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kesedaran umum terhadap kesihatan wanita, khususnya berkaitan kanser payu dara dan kanser serviks (pangkal rahim), telah meningkat.

Kini wanita lebih menyedari tentang penyakit ini dan tahu cara untuk mengambil langkah pencegahan yang perlu untuk menjaga kesihatan mereka.

Tetapi mengapa penyakit pembunuh nombor satu di kalangan wanita ini tidak mendapat perhatian yang sewajarnya?

Inilah yang mendorong Kah Lin berusaha meningkatkan kesedaran di kalangan wanita, khususnya mereka yang berisiko tinggi. Baru-baru ini, Kah Lin sempat ditemuramah tentang usahanya meningkatkan kesedaran sakit jantung di kalangan wanita dan risiko yang dihadapi golongan ini.

Soalan

Walaupun mempunyai jadual tugas yang sibuk, Datuk tetap memainkan peranan aktif untuk menggerakkan kempen Go Red for Women di Malaysia sempena Hari Wanita Antarabangsa pada 8 Mac. Mengapa?

Jawapan

Sebagai ahli Persekutuan Jantung Dunia, YJM ingin memainkan peranan dalam usaha menonjolkan penularan penyakit jantung di kalangan wanita. Sebagai seorang pakar kardiologi, saya berpendapat bahawa kesihatan jantung di kalangan wanita patut diberi lebih perhatian.

Wanita menjaga semua orang di keliling mereka, tetapi mereka sering mengabaikan diri mereka sendiri dalam proses menjaga orang lain.

Kempen antarabangsa Go Red for Women bertujuan untuk mengurangkan penyakit kardiovaskular (CVD) di kalangan wanita dengan meningkatkan kesedaran global dan komitmen kepada CVD di kalangan wanita.

Soalan

Bukankah penyakit jantung lebih kerap menyerang lelaki daripada wanita?

Jawapan

Pada umumnya, penyakit jantung memang dianggap menyerang kebanyakan lelaki, malah pakar penjagaan kesihatan profesional sendiri memberi lebih tumpuan kepada lelaki daripada wanita.

Salah tanggapan inilah sebenarnya yang menyebabkan kita perlu mendidik orang ramai amnya dan wanita Malaysia khususnya, tentang serangan penyakit jantung di kalangan wanita.

Seorang dalam setiap empat wanita Malaysia mati akibat penyakit jantung yang juga merupakan punca utama kematian di kalangan wanita. Kematian akibat sakit jantung adalah 2.5 kali lebih tinggi daripada kematian akibat semua penyakit kanser. Malah, dari tahun 1990 hingga 2005, penyakit jantung di kalangan wanita meningkat sehingga 135 peratus.

Soalan

Mengapa kadar kematian wanita yang disahkan sakit jantung begitu tinggi?

Jawapan

Biasanya saiz wanita adalah lebih kecil berbanding dengan lelaki. Ini menyukarkan rawatan, terutamanya apabila menggunakan kaedah angioplasti dan pembedahan bypass kerana saluran darah adalah lebih kecil.

Soalan

Apakah punca utama penyakit jantung di kalangan wanita?

Jawapan

Faktor risiko penyakit jantung adalah sama di kalangan lelaki dan wanita. Faktor yang paling tinggi menyumbang kepada penyakit jantung ini adalah Diabetes Mellitus, yang turut dikenali dengan risiko bersamaan kardiovaskular.

Ini bermakna, sekiranya anda merupakan pesakit diabetes, besar kemungkinan anda mempunyai penyakit jantung. Selain itu, obesiti, kolesterol tinggi, hipertensi, pengambilan lemak secara berlebihan, kurang bersenam, dan merokok turut menjadi faktor penyumbang kepada penyakit jantung.

Tambahan pula, risiko CVD di kalangan wanita menjadi lebih tinggi apabila usia mereka meningkat, disebabkan perubahan fisiologi yang dikaitkan dengan usia pertengahan dan menopaus, iaitu perlindungan semula jadi mereka daripada penyakit jantung.

Estrogen berkurangan apabila putus haid. Namun, wanita lebih muda juga perlu menjaga kesihatan jantung mereka.

Soalan

Saya dapat tahu kesedaran terhadap gejala awal serangan jantung boleh menyelamatkan nyawa. Apakah gejala jelas yang menandakan serangan jantung di kalangan wanita?

Jawapan

Faktor risiko di kalangan wanita adalah sama seperti lelaki, tetapi wanita yang mengalami serangan jantung mungkin tidak menunjukkan tanda amaran seperti lelaki. Angina atau lebih dikenali sebagai sakit dada, adalah tanda amaran awal serangan jantung.

Anda akan rasa himpitan dalam dada secara mendadak yang kemudian merebak ke lengan.

Ini adalah kerana jantung anda tidak mendapat cukup oksigen disebabkan pengumpulan plak dalam arteri jantung. Selain daripada itu, anda akan merasa sakit di bahagian rahang, bahagian depan leher dan juga lengan, terutamanya lengan kiri, kadang-kala sakit pada kedua-dua lengan dalaman. Gejala-gejala yang lain termasuk sukar bernafas dan keletihan.

Soalan

Seperti yang sering dikatakan, pencegahan adalah lebih baik daripada mengubati. Jadi, soalan penting ialah bagaimana saya, sebagai seorang wanita, boleh mencegah serangan jantung?

Jawapan

Mengekalkan berat badan yang sihat adalah cara yang berkesan untuk menjaga kesihatan jantung. Amalkan gaya hidup sihat dengan bersenam secara sederhana setiap hari selama 30 minit. Makan secara sederhana dan ambil makanan yang sihat untuk jantung.

Pilih makanan serat tinggi dan rendah lemak dan kurangkan pengambilan garam. Satu lagi langkah pencegahan yang mudah tetapi sangat berkesan ialah berhenti merokok, kerana merokok merosakkan jantung dan saluran darah.

Kawal tekanan darah dan tahap kolesterol andadan ketahui sejarah keluarga anda sama ada terdapat anggota keluarga yang menghidap diabetes, tekanan darah tinggi dan sakit jantung dalam usia muda (bawah usia 55 tahun bagi lelaki dan bawah usia 65 tahun bagi wanita).

Ini seharusnya memberi isyarat amaran awal untuk anda memberi lebih perhatian kepada kesihatan jantung anda.



Baca Lagi...

26 Mac 2011

Jejas fungsi usus

ANDA menghidap sakit abdomen berulang dengan sembelit atau cirit-birit berterusan untuk tempoh beberapa tahun lamanya?

Jika jawapan ya, itu bermakna anda berhadapan dengan sindrom usus rengsa (Irritable Bowel Syndrome) yang sering diringkaskan sebagai IBS.

Walaupun sindrom itu bukan bersifat kritikal namun IBS sememangnya mengganggu aktiviti harian sehingga ada yang terpaksa mengambil cuti sakit kerana sakit perut atau cirit-birit berterusan.

Simptom-simptom biasa IBS adalah sakit di bahagian abdomen yang kebiasaannya dilegakan selepas buang angin atau buang air besar. Simptom lain najis bercampur mukus, cirit-birit yang biasanya pada waktu pagi dan sembelit.

''Pesakit juga akan mengalami sakit perut yang memulas-mulas," kata Pakar Perubatan dan Gastroenterologi, Pusat Perubatan Kelana Jaya (KJMC), Dr. Abdul Malik Jamal Buhari.

IBS menurut beliau adalah gangguan fungsi usus dan bukannya struktur usus seperti sekatan, tersumbat, ketumbuhan atau tumor.

Kembung perut

Seseorang yang kerap mengalami masalah kembung perut juga sering dikaitkan IBS malah katanya, sindrom tersebut melibatkan beberapa gejala gastro usus atau organ pencernaan yang penting.

''Ia tidak sama dengan kanser kolon dan orang ramai perlu faham IBS tidak menyebabkan penyakit tersebut,'' katanya.

Dr. Abdul Malik menjelaskan, rengsa perut, sembelit atau cirit-birit yang dialami pesakit mungkin berpanjangan untuk beberapa hari, minggu atau berbulan-bulan. Setiap simptom, katanya, berbeza untuk setiap individu.

Walaupun gejala utama mungkin lebih ketara berbanding gejala lain namun simptom paling biasa adalah cirit-birit dan sembelit.

''Spektrum kesakitan pula mungkin berbeza daripada kesakitan ringan sehingga kepada sangat teruk. Kehadiran gejala itu kebiasaannya pada waktu malam ketika hendak tidur,'' katanya.

Berpunca daripada stres?

Ditanya sama ada IBS turut berpunca akibat stres, Dr. Abdul Malik memberitahu, setiap orang akan mengalami stres dalam kehidupan. Tidak dinafikan stres yang keterlaluan akan menimbulkan rasa bimbang berterusan dan tidak mustahil menjadi punca sesuatu penyakit.

"Seperti penyakit-penyakit lain, anda yang mengalami gejala gastro usus memerlukan perhatian kerana keadaan yang dialami mungkin IBS

''Belajarlah untuk bertenang. Anda tidak dapat mengelak daripada stres tetapi anda boleh membantu tubuh anda menyesuaikan diri untuk menerima keadaan tersebut,'' katanya.

Sehubungan itu, tegas Dr. Abdul Malik, stres hanya salah satu faktor yang mendorong IBS tetapi bukan semua kes berpunca daripada stres.

Secara spesifik, belum ada kajian yang menunjukkan faktor utama penyebab IBS.

Anda dinasihatkan menemui pakar gastroenterologi untuk menjalani beberapa ujian lanjut bagi melihat kemungkinan masalah kesihatan lain sebelum didiagnosis IBS.

Rawatan baru

Penyelidikan profesor mikrobiologi dari Michigan State University, Dr. Linda Mansfield tentang rawatan baru pastinya khabar gembira buat mereka yang menderita IBS.

Tetapi sanggupkah anda menelan telur cacing?

Mingguan Malaysia pernah menyiarkan hasil penyelidikan tersebut yang bertajuk

"Telur cacing ubati IBS"

Mansfield memberitahu Lansing State Journal, penyakit tersebut sememangnya meletihkan seseorang.

Beliau mengkaji penggunaan parasit usus seperti benang yang dipanggil cacing cambuk untuk merawat IBS yang boleh menyebabkan pendarahan usus.

"Ada pesakit yang mengalami 256 kali cirit- birit setahun. Sesetengah daripada mereka tidak dapat keluar bekerja," tambahnya.

IBS semakin kerap berlaku di negara-negara perindustrian dan jumlah pengidap di negara membangun juga bertambah.

Saintis mempunyai beberapa penjelasan termasuk diet yang tinggi lemak, makanan diproses dan tahap kebersihan yang tinggi sebagai punca IBS.

"Sistem imun sebenarnya memerlukan jangkitan dalam keadaan tertentu untuk berkembang dengan sempurna. Oleh itu, terdedah kepada debu, kekotoran, bakteria mahu pun cacing ada kebaikannya.

"Hidup dalam persekitaran yang terlalu bersih menyebabkan kita mengalihkan benda-benda yang membantu 'mengajar' sistem imun kita," ujar beliau.





Baca Lagi...

22 Mac 2011

Kahak litupi paru-paru

PADA malam itu anak perempuan Hanisah, Mia yang baru berusia enam bulan setengah tidak lena tidur. Sekejap-sekejap dia terjaga dan terbatuk.

Keesokan paginya selepas memandikan Mia, Hanisah menyusukan anaknya seperti biasa. Tetapi Mia kelihatan gelisah seakan-akan sukar untuk bernafas.

Mia menolak susu yang diberi Hanisah. Hanisah mula risau. Dia kemudian membawa anaknya ke hospital dan berjumpa doktor pakar.

Mia didiagnosis penyakit bronkiul akut. Nasib baik Hanisah cepat bertindak sementelah kahak telah berkumpul di hidung dan paru-paru Mia.

Keadaan lebih teruk berlaku pada Chacha. Bayi lelaki berusia lima bulan itu tidak tidur sepanjang malam. Nafasnya mengah dan dadanya berombak-ombak.

Kepalanya panas, batuknya kerap dan kadangkala tidak putus. Sesekali berbunyi nafas berdehit.

Muntah

Ubat demam dan antibiotik yang dibekalkan sebuah klinik tidak dapat ditelan Chacha. Semuanya dimuntahkan semula.

Chacha kemudian dibawa ke hospital. Doktor memberitahu Chacha dijangkiti penyakit bronkiul akut pada tahap yang teruk.

Dia dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) dan diberikan bantuan pernafasan.

Lima hari Chacha berada di ICU dan tidak sedarkan diri. Setiap hari dia diberi Nebulizer (ubat cairkan kahak) sebelum kahaknya disedut menggunakan pam penyedut melalui hidung dan mulut.

Selepas seminggu, Chacha dapat bernafas seperti biasa dan dipindahkan ke wad biasa.

Namun, batuknya masih teruk dan berkahak. Selepas dua minggu, barulah Chacha dibenarkan pulang ke rumah.

“Penyakit bronkiul akut terjadi disebabkan jangkitan beberapa jenis virus pada paru-paru. Paling kerap ia disebabkan oleh virus sinsitium pernafasan (RSV).

“Virus itu menyebabkan paru-paru berkahak dan saluran pernafasan menjadi sempit.

“Ia biasanya menyerang kanak-kanak yang berusia di bawah dua tahun,” kata Pakar Kanak-Kanak, Hospital Pakar Al-Islam, Kuala Lumpur, Dr. Noor Aziah Mohd. Saari kepada Jurnal.

Ujarnya, jangkitan virus tersebut disebabkan oleh beberapa faktor.

Anak yang dihantar ke pusat penjagaan kanak-kanak memang lebih kerap mendapat jangkitan respiratori melalui batuk dan selesema secara tidak langsung daripada kanak-kanak lain.

“Ini kerana mereka terdedah kepada lebih ramai kanak-kanak daripada pelbagai peringkat umur dan latar belakang.

“Cara yang paling baik untuk mencegahnya ialah dengan mengasingkan kanak-kanak yang menghidap demam dan batuk di bilik berasingan dan dijaga oleh penjaga yang berlainan.

“Penyusuan susu ibu secara eksklusif juga lebih menguatkan antibodi seseorang bayi daripada dijangkiti pada usia yang sangat muda,” katanya yang berpengalaman selama 19 tahun dalam bidang perubatan kanak-kanak.

Berulang

Jelasnya, bronkiul akut juga sangat berkait rapat dengan persekitaran yang berhabuk, selain pendedahan kepada asap rokok serta binatang peliharaan di dalam rumah seperti kucing dan hamster.

Malah, pendedahan kepada asap rokok semasa di dalam kandungan mendedahkan bayi kepada risiko bronkiul akut dan asma.

Aziah memberitahu, penyebab penyakit ini adalah virus, jadi pengambilan antibiotik tidak berkesan kecuali jika terdapat jangkitan bakteria.

Namun, antivirus tidak digunakan secara meluas memandangkan ia mempunyai kesan sampingan.

Ditanya sama ada penyakit tersebut boleh berulang, Aziah memberitahu, bronkiul akut boleh berulang disebabkan radang yang menyerang paru-paru.

“Jika simptomnya berterusan selama lebih tiga bulan, keadaan mungkin menjadi kronik. Lebih lazim lagi, bronkiul akut sering berlaku pada kanak-kanak yang mempunyai sejarah alergi atau asma dalam keluarga.

“Dengan itu, simptom berpanjangan mungkin berkait rapat dengan masalah asma penghidap bronkiul akut.

“Penyakit ini boleh pulih sepenuhnya kalau dirawat pada peringkat awal terutama jika kanak-kanak itu tidak mempunyai sejarah asma atau alergi dalam keluarganya,” katanya.

Ulas Aziah lagi, bronkiul akut juga boleh menjadi lebih rumit jika berlaku jangkitan radang paru-paru disebabkan bakteria.

“Dalam keadaan yang lebih parah lagi, ia boleh mengakibatkan kegagalan respiratori akut, iaitu keadaan paru-paru tidak dapat berfungsi dengan baik dan paras oksigen dalam darah turun ke tahap yang berbahaya.

“Dalam keadaan ini, bantuan dengan mesin pernafasan adalah perlu,” katanya.




Baca Lagi...

21 Mac 2011

Kenapa rambut gugur?

RAMBUT bukan sekadar pelengkap gaya, malah sangat penting untuk meningkatkan keyakinan seseorang. Justeru, keguguran rambut adalah perkara yang membimbangkan, apatah lagi jika ia berlaku kepada golongan muda, khususnya wanita.

Ada yang berpendapat, jika masalah keguguran rambut berlaku pada lelaki, mereka boleh memilih untuk membotakkan kepala, namun hakikatnya bukan semua orang sesuai dengan gaya ini.

Malah ada kajian menunjukkan lelaki botak mempunyai peluang lebih rendah untuk diterima bekerja berbanding yang mempunyai rambut.

Berdasarkan laporan Persatuan Dermatologi Malaysia, jenis masalah keguguran rambut paling kerap dialami ialah alopecia androgenetik yang berlaku pada 30 peratus lelaki berusia 30 tahun, 50 peratus lelaki pada usia 50 tahun dan 50 peratus wanita menjelang usia 60 tahun.

Meskipun faktor genetik dipercayai memainkan peranan utama dalam perkembangan alopecia androgenetik, gaya hidup dan faktor luaran lain mungkin turut menyumbang kepada masalah ini.

Meskipun faktor genetik dipercayai punca utama perkembangan alopecia androgenetik, gaya hidup dan faktor luaran lain mungkin turut menyumbang kepada masalah ini.

Kini ada ujian genetik dapat memastikan punca sebenar seseorang itu mengalami masalah keguguran rambut. Ini dapat melenyapkan beban psikologi dan kewangan dalam mencari cara penjagaan rambut gugur yang betul untuk menghindari masalah keguguran dan penipisan rambut.

Ujian genetik ini mudah dan tidak menyakitkan tetapi pengambilan sampel tisu pipi mesti dilakukan dalam persekitaran terkawal oleh pakar trikologi yang diiktiraf.

Sampel ini akan dihantar ke makmal di Amerika Syarikat untuk analisis genetik dan keputusannya dapat diketahui dalam dua minggu.

Menurut Ketua Trikologi Svenson Asia dan Timbalan Presiden Persatuan Trikologi Asia, Teo Kim Teik, pada masa kini diagnosis keguguran rambut hanya berdasarkan pemerhatian terhadap proses kehilangan rambut.

“Meskipun seseorang profesional rambut boleh mengesan tanda awal keguguran rambut, ujian genetik memberikan diagnosis tepat sebelum sebarang tanda awal dapat dilihat.

“Sebenarnya seseorang kehilangan lebih kurang 50 peratus rambutnya apabila tanda keguguran rambut mula kelihatan.
“Ujian genetik untuk keguguran rambut yang dikenali sebagai ujian litmus dapat mengenal pasti secara tepat mereka yang bakal mengalami alopecia androgenetik atau biasanya dirujuk sebagai keguguran rambut akibat keturunan, sebelum tanda keguguran rambut dikesan.

“Ujian ini dapat menentukan ciri awal genetik terhadap keguguran rambut di kalangan lelaki dan wanita berusia 18 tahun ke atas.

“Diagnosis genetik yang tepat akan memudahkan ahli trikologi terlatih merangka program rawatan pencegahan,” katanya pada pelancaran ujian genetik Svenson dengan kerjasama HairDX, syarikat FarmaGenomik di Amerika Syarikat yang pakar dalam analisis genetik dan terapi rambut.

Ini kerana rawatan keguguran rambut berpeluang lebih cerah untuk berjaya seandainya masalah dikesan dan dirawat pada peringkat awal untuk menghalang proses trikologi yang mengakibatkan rambut gugur.

Ujian genetik untuk keguguran rambut boleh didapati di semua pusat Svenson di Malaysia pada harga RM250 (boleh ditukar untuk dua kali rawatan).

Mereka yang bimbang mengalami masalah alopecia androgenetik dinasihatkan bertemu pakar trikologi sebelum melakukan ujian genetik.




Baca Lagi...

19 Mac 2011

Diet sesuai

ADA pelbagai alasan mengapa seseorang individu mengamalkan diet. Masalah berat badan yang tidak setimpal ketinggian, inginkan keadaan fizikal terbaik atau memastikan badan sentiasa sihat adalah antara alasannya.

Namun, memadaikah diet itu dimulakan dengan hanya berbekalkan pengetahuan atau mengikut rakan-rakan? Jika itulah yang anda lakukan, ini bermakna anda berkemungkinan gagal kerana mengamalkan diet yang tidak berkesan.

Hakikatnya kebanyakan diet untuk kurus masa kini mempunyai struktur yang tegar kerana lebih cenderung memaksa untuk menyesuaikan diri dengan pelan diet yang disesuai mengikut individu, demikian jelas Pakar Diet dan Khidmat Pemakanan, Hospital Columbia Asia, Cheras, Cindy Chua Shiu Sinn kepada Berita Minggu, baru-baru ini.

Ciri-ciri utama pelan diet untuk kurus menjanjikan perubahan yang pantas (berat badan); mempromosi makanan ‘ajaib’ dan fokus pada penyelenggaraan berat badan baru untuk jangka panjang.

“Bagi diet yang menetapkan jumlah 1000 kalori sehari, tubuh akan mengalami masalah kekurangan nutrisi penting yang memperlahankan metabolisme, kehilangan otot dan membahayakan sistem kekebalan tubuh selain mengalami lemah tubuh dan muntah,” katanya.

Chua berkata, pengiklan yang menjanjikan anda akan kehilangan 4.5 kilogram dalam seminggu kedengaran agak mustahil untuk dicapai ini kerana jika berat badan susut mendadak ia disebabkan badan kehilangan air atau kehilangan massa otot dan bukan dari pembakaran lemak.

Beberapa kajian turut menunjukkan diet pepejal mempunyai kesan lebih besar mengurangkan pengambilan makanan dan tenaga. Diet cecair biasanya diet seimbang yang mengandungi protin dan sejumlah kecil mengandungi karbohidrat dan lemak.

“Namun, walaupun diet cecair senang diikuti dan boleh membantu mengurangkan berat badan dalam jangka pendek, kebanyakan individu akan kembali berhadapan masalah berat badan sebaik berhenti mengambil diet cecair itu.

“Diet sebegini tidak mengajar individu membuat pilihan makanan cara sihat sedangkan ia adalah kemahiran penting mengekalkan berat badan yang baru dicapai. Menerusi diet makanan pepejal, individu boleh menikmati makanan dalam bentuk semula jadi. Tetapi bukan semua diet makanan pepejal mengajar bagaimana memilih makanan yang diperlukan dan kemahiran untuk mengekalkan penurunan berat badan.

“Langkah yang perlu ada sebagai persiapan sebelum menurunkan berat badan ialah tetapkan satu sasaran yang realistik dan boleh dicapai; pilih pelan pemakanan yang sesuai selain mengajar anda memilih dan menyiapkan makanan sihat dan bagaimana mengekalkan berat badan baru; selepas berjaya menurunkan berat badan amalkan gaya hidup yang sihat seperti diet berkhasiat selain rutin aktiviti fizikal bagi mengekalkan berat badan,” katanya.

Bagaimanapun, peringatan Cindy, sesiapa pun boleh mengamalkan diet kecuali kanak-kanak, wanita hamil, remaja serta orang sakit. Kajian menunjukkan kanak-kanak masa kini mudah belajar mengenai kesan buruk akibat amalan pemakanan tidak sihat terhadap berat badan.

“Remaja tidak sepatutnya mengamalkan diet, malangnya diet dalam dunia remaja makin menjadi popular di kalangan masyarakat masa kini. Pada umumnya remaja yang diet mungkin tidak mampu untuk mendapat jenis khasiat yang tepat.
Akibatnya tumbesaran remaja akan terjejas dan mereka akan mengalami masalah kesihatan yang lain. Ramai remaja tidak tahu amalan diet yang sihat, akibatnya ramai remaja yang tidak mempunyai masalah berat badan mula berhadapan masalah itu sebaik mula diet.”

Diet secara mendadak juga, katanya, tidak baik untuk tubuh kerana akan kehilangan beberapa peratus tisu otot menyebabkan tubuh tidak dapat membakar lemak jika dibandingkan dengan jumlah lemak yang mampu dibakar tubuh sebelum diet. Ketika diet secara mendadak tubuh akan mengalami tempoh separa kelaparan. Ini akan menurunkan metabolisma badan anda dan mengorbankan tisu otot sebagai sumber tenaga.

“Persoalan sama ada wajarkan proses nyah toksin dilakukan sebelum memulakan diet masih tiada jawapan yang pasti. Ini kerana terdapat perbezaan pendapat di antara pengamal perubatan barat dengan pengamal kesihatan alternatif mengenai keberkesanannya,” Jika tenaga yang keluar melebihi tenaga yang masuk anda akan kehilangan berat badan. Amat penting untuk berfikiran positif dan realistik," katanya.


Info

Diet

# Jenis diet untuk kurus termasuk diet pakej makanan, diet menu tetap, diet formula, diet jenis boleh diganti. Diet yo-yo tidak akan membantu mencapai berat badan yang ideal dan sihat kerana berat badan akan naik dan turun selepas diet. Malah diet yo-yo menyebabkan penyakit fizikal dan kemurungan.

# Mereka yang mengalami masalah berat badan sesuai mengamalkan diet KECUALI kanak-kanak, wanita hamil, remaja serta orang sakit. Remaja yang diet boleh berdepan masalah kekurangan zat makanan yang diperlukan badan selain menjejaskan tumbesaran mereka.

Tip

# Sebelum menurunkan berat badan, tetapkan sasaran yang realistik dan boleh dicapai

# Pilih pelan pemakanan yang sesuai selain mengajar anda memilih dan menyiapkan makanan sihat dan bagaimana mengekalkan berat badan baru

# Selepas berjaya menurunkan berat badan amalkan gaya hidup yang sihat seperti diet berkhasiat selain rutin aktiviti fizikal bagi mengekalkan berat badan.




Baca Lagi...

15 Mac 2011

Kaitan sakit ginjal, jantung

10 Mac, adalah Hari Ginjal Sedunia. Malangnya, tidak ramai yang menyedari tarikh yang menjadi sebahagian kempen kesedaran peri pentingnya organ utama itu kecuali individu itu adalah penghidap atau mempunyai rakan atau ahli keluarga yang menghidap penyakit ginjal atau buah pinggang berkenaan.

Namun berbanding penyakit kronik lain, hakikatnya masih ada harapan bagi pesakit ginjal atau buah pinggang ini untuk meneruskan kehidupan. Ini kerana, apabila seseorang itu mengalami kegagalan buah pinggang, pilihan rawatan yang boleh dijalani termasuk haemodialisis, peritoneal dialisis dan pemindahan ginjal.

Bagaimanapun, majoriti kes menyaksikan pesakit memilih untuk menjalani haemodialisis kerana pusat dialisis seumpamanya mudah didapati selain kos rawatannya yang tidak terlalu tinggi.
Sebelum ini, rawatan haemodialisis yang standard adalah empat jam tiga kali seminggu, bagaimanapun keadaan pesakit kini lebih berbeza kerana ada yang turut menghidap penyakit sampingan seperti masalah jantung.

Malah, bagi pesakit yang menerima rawatan dialisis, kegagalan fungsi buah pinggang turut menjadi penyebab utama penyakit jantung jika dialisis yang diterima tidak mencukupi. Atas kesedaran serta kaitan antara ginjal dan jantung, sambutan Hari Ginjal Sedunia tahun ini bertemakan ‘Lindungi Ginjal, Selamatkan Jantung.’

Perlu diingat, kehadiran penyakit jantung itu hanya merumitkan lagi proses rawatan dialisis kerana haemodialisis (HD) konvensional tidak lagi selamat atau sesuai. HD boleh menyebabkan sakit dada, tekanan darah rendah atau serangan jantung sama seperti kesan apabila berlari menaiki tangga.

Di sinilah, keperluan perlu diubahsuai mengikut kesesuaian dan apakah pilihan dialisis yang ada bagi pesakit jantung disebabkan oleh kekurangan dialisis.
Ketua Jabatan Nefrologi dan Khidmat Pemindahan Ginjal Pusat Perubatan Prince Court, Datuk Dr Tan Si Yen, berkata HD konvensional sudah mencapai tahap maju dan selamat namun masih tidak sesuai untuk pesakit jantung kerana rawatan ini yang dijalankan ke atas pesakit jantung akan memberi kesan tekanan rendah atau serangan jantung.

“Atas dasar itu HD konvensional diubahsuai bagi memastikan dialisis yang diterima mencukupi bagi mengurangkan risiko sakit jantung dan mengelakkan tekanan berlebihan pada jantung, ini boleh dilakukan dengan menjadikan rawatan dialisis lebih menyerupai fungsi buah pinggang sebenar,” katanya, ketika ditemui baru-baru ini.

Hemodiafiltrasi (HDF) adalah alternatif kepada kaedah konvensional dengan penambahan sejenis komponen penapis khusus. Penapis khas yang berfungsi seperti ginjal ini membolehkan rawatan HDF lebih diterima jantung. Biarpun cukup popular di negara maju, kosnya yang tinggi sukar didapati di negara membangun.

Dengan kos dua kali ganda lebih tinggi berbanding HD konvensional, ia turut memerlukan mesin hemodialisis yang lebih berteknologi tinggi di samping perlu menggunakan bekalan air osmosis berbalik (RO Water) berkualiti tinggi.

Alternatif lain adalah HD nokturnal (dialisis waktu malam) harian yang mana pesakit akan menjalani dialisis selama lapan jam sepanjang malam selama enam hari. Dengan tempoh dialisis lebih panjang, kadar aliran darah boleh menjadi serendah 150 mililiter seminit dan kadar aliran cecair lebih rendah yang boleh mengurangkan tekanan ke atas jantung.

Jelas Dr Tan, kestabilan tekanan darah adalah salah satu elemen penting HD nokturnal terutama kepada pesakit yang mengalami masalah jantung.

“Tempoh dialisis yang lebih lama menjadikannya lebih efektif dan kebanyakan pesakit tidak perlu lagi mengambil ubat antihipertensi, ubat menurunkan kolesterol dan bagi mengawal tahap haemoglobin kerana hanya dos rendah erythropoietin diperlukan. Pesakit juga mendapat manfaat dari segi nutrisi kerana rawatan dialisis ini lebih berkesan.

“Malah, risiko kemasukan wad akibat jangkitan mahupun komplikasi penyakit jantung juga berkurangan. Aktiviti harian pesakit juga tidak lagi terganggu terutama pesakit yang bekerja mahupun yang masih belajar. Dengan itu kualiti hidup pesakit dapat diperbaiki seiring dengan meningkatnya mutu perawatan klinikal,” katanya.

Walau bagaimanapun, faktor kekangan utama adalah kos dan kekurangan peralatan berkaitan. Selain kos perubatan ia juga perlu ekonomikal dari segi logistik memandangkan pesakit perlu bermalam di hospital.

“Justeru, sebagai hospital pertama di Malaysia yang memiliki peralatan ini biarpun jumlah penggunanya masih kecil, kami percaya ia menjadi batu loncatan kepada pelbagai lagi rawatan dialisis yang boleh ditawarkan kepada lebih ramai lagi pesakit warga tempatan.” katanya.

Masih tunggu derma buah pinggang

REMAJA comel, Chin Xian Tong, 14, terpaksa akur dengan nasib yang tersurat baginya sejak disahkan mengidap masalah kegagalan ginjal dan jantung beberapa tahun lalu.

Bukan saja tidak dapat menjalani kehidupan normal yang aktif seperti remaja lain, hampir setiap malam dia terpaksa menjadi penginap setia Pusat Perubatan Prince Court, Jalan Kia Peng, di ibu negara, bagi menjalani rawatan dialisis nokturnal untuk memastikan kelangsungan hidupnya.

Alah bisa tegal biasa, sejak lima bulan lalu, pelajar Sekolah Menengah Puteri Ampang ini akan dihantar bapa, nenek atau kadangkala datang sendiri untuk menjalani rawatan dialisis nokturnal yang bermula dari jam 10 malam hingga 6 pagi keesokan harinya.

“Biasanya sebelum ke hospital saya akan pastikan semua kerja rumah dan tugasan yang perlu disiapkan lebih awal di rumah. Hanya itu saja masa yang ada untuk bermain dengan adik lelaki, bersembang dan meluahkan perasaan dengan anggota keluarga,” katanya yang sebelum ini mendapatkan rawatan di beberapa hospital lain.

Selepas lima bulan mendapat rawatan di situ, anak sulung dua beradik ini mengakui keadaan kesihatannya secara keseluruhan bertambah baik. Malah aktiviti persekolahan juga menjadi lebih teratur berbanding sebelumnya.

“Dulu saya tidak dapat menumpukan perhatian dan sering ketinggalan dalam sukatan pembelajaran kerana sesi rawatan dialisis yang dijalankan tidak menentu dan sering bertembung dengan waktu persekolahan.

“Kini bukan saja waktu persekolahan terurus, malah saya merasa lebih sihat, segar dan berat badan juga semakin bertambah,” jelasnya yang hanya boleh minum 1.5 liter air dan mengelak makan durian, anggur, belimbing dan kentang.

Chin juga berterima kasih kepada ibu bapa, keluarga, rakan-rakan dan guru-guru di sekolah yang sangat memahami keadaan dirinya selain sering mendorongnya agar tidak mudah patah semangat.

“Apa yang perlu saya buat ialah menjaga semua aspek kesihatan, dengan mendisiplinkan diri dan berharap apabila tiba masanya nanti, ada organ yang sesuai supaya saya tidak perlu bergantung kepada mesin dialisis lagi,” katanya yang bercita-cita menjadi chef profesional satu hari nanti.

Di sebalik harapannya, Chin juga amat optimis apabila enggan menjadikan penyakitnya sebagai halangan meneruskan kehidupan.

“Tidak adil untuk merungut dan menyesali keadaan diri ini. Mungkin ada sebabnya di atas apa yang berlaku. Apa yang penting, sebagai peringatan kepada semua, hargailah kesihatan diri dan organ utama kita,” katanya.

Info: Rawatan haemodialisis waktu malam

    * pesakit perlu menginap di hospital dari jam 10 malam hingga 6 pagi
    * pesakit juga boleh terus membuka sambungan mesin jika mahu ke tandas dan menyambung semula sebaik selesai.
    * pesakit yang punya masalah tidur sebelum ini mengakui tidur lebih nyenyak dan berkualiti selepas menggunakannya.



Baca Lagi...

09 Mac 2011

Risiko penghidap diabetes mati awal

KENCING manis atau diabetes dipercayai meningkatkan risiko kematian yang dikaitkan dengan saluran darah seperti kanser payu dara dan radang paru-paru.

Kes yang pernah dirujuk kepada sebuah pusat kesihatan di New York membuktikan penghidap diabetes yang berusia 50 tahun meninggal dunia enam tahun lebih awal berbanding individu yang tidak menghidap penyakit itu.

Kajian yang dijalankan untuk menyukat tahap diabetes itu mendapati penyakit tersebut turut meningkatkan risiko kematian pramatang yang disebabkan kegagalan fungsi sistem saluran darah.

Ujar seorang penyelidik dari Universiti Cambridge di Britain, Dr. John Danesh, diabetes semakin mengancam kesihatan masyarakat dunia.

"Ketika kebanyakan orang beranggapan masalah jantung menjadi punca utama kematian, diabetes pula mengejutkan kita apabila muncul sebagai pemangkin utama kepada penyakit lain di dalam tubuh manusia," katanya.

Tambahnya, perokok jangka panjang juga menjadi penyebab pengurangan jangka hayat manusia selama 10 tahun berbanding individu yang tidak merokok.

Diabetes tersenarai sebagai tujuh penyakit utama penyebab kematian di Amerika dengan 26 juta rakyatnya menghidap penyakit itu.

Diabetes terjadi apabila kadar insulin dalam badan dihasilkan terlalu sedikit atau langsung tidak boleh digunakan untuk menghasilkan gula dalam darah.

Selain itu, diabetes dikaitkan dengan obesiti melampau yang menyebabkan risikonya bertambah dua kali ganda untuk pesakit diserang lemah jantung atau strok.

Namun, mereka juga mendapati 25 peratus pesakit diabetes lebih berisiko menderita kanser dan maut akibat kehadiran pelbagai penyakit lain termasuk jangkitan, komplikasi jantung dan buah pinggang selain kemalangan.

Dalam kes jangkitan penyakit berbahaya, diabetes melemahkan sistem imunisasi badan pesakit sekali gus memudahkan peluang virus menyerang sistem tubuh.

Diabetes juga boleh menyebabkan masalah penglihatan dan kegagalan sistem saraf pada kaki seterusnya mendorong seseorang itu terlibat dalam kemalangan.




Baca Lagi...

06 Mac 2011

'Terkucil' tidak kira usia

Soalan umum untuk lelaki dan wanita dewasa. Adakah anda mengalami:

* rasa seperti selalu ingin membuang air kencing atau tiba-tiba terkencing (kebocoran)

* kesukaran membuang air kecil

* kencing tak lawas

* sakit di kawasan pelvik

* kerap bangun malam untuk membuang air kecil (nokturia)

* sukar mengawal air kencing atau

* hematuria (kehadiran sel darah merah pada air kencing)

Jika jawapannya ya, anda perlu bertemu doktor untuk mendapatkan rawatan dan rundingan segera kerana berkemungkinan mengalami gangguan kencing yang disebabkan beberapa perkara.

Terkencing atau juga disebut terkucil mungkin masalah biasa bagi mereka yang berusia. Bagaimana pula jika orang muda atau pertengahan umur yang mengalaminya?

Punca

Pakar Urologi, Dr. Cyril Natarajan berkata, satu kajian yang dibuat pada 2005 menunjukkan hampir 46 peratus lelaki dan wanita Asia berumur antara 40 hingga 50 tahun mempunyai simptom-simptom seperti di atas.

Di Malaysia katanya, keadaan ini merupakan masalah kesihatan yang sering dialami tidak kira jantina.

"Sebenarnya ia boleh menyerang tidak kira usia, namun peningkatan umur mempunyai kaitan dengan masalah ini," kata Dr. Natarajan dalam satu sidang media yang dianjurkan oleh Sanaxeen.

Menurut beliau, kesedaran mengenai gangguan buang air kecil masih rendah di kalangan rakyat Malaysia, walaupun data menunjukkan 30 peratus wanita negara ini menderita masalah ini.

Mereka yang mengalami masalah ini juga katanya jarang mendapatkan pandangan dan nasihat pakar yang berkaitan dan membiarkan sahaja ia sehingga terlewat.

Menurut beliau, fungsi urinari yang sihat bergantung kepada rangkaian neuro otot kompleks yang terdapat pada saluran urinari bawah.

Kelemahan di bahagian pundi kencing dan uretra akan menyumbang kepada LUTS (Simptom Gangguan Salur Bawah Perkumuhan).

Masalah kawalan air kencing

* sukar mengawal pengeluaran air kencing dan berlaku 'kebocoran' melibatkan masalah sosial dan kebersihan

* terpaksa bergegas membuang air kecil

* disebabkan batuk, bersin atau ketawa kuat.

Ia berlaku disebabkan aliran darah yang tidak betul di kawasan berkaitan, jangkitan kuman atau keradangan dan juga pengecutan otot secara umum.

* Ia juga disebabkan masalah pundi kencing terlalu aktif (OAB).

Bagaimana ia berlaku?

Bagi wanita, masalah di bahagian organ pelvik (pengecutan) atau juga disebut rahim jatuh menyumbang kepada gangguan kawalan kencing.

"Ia disebabkan salah satu simptom sama ada di bahagian dinding vagina dalam atau luar atau hujung vagina dan juga boleh berlaku selepas pembedahan membuang rahim (histerektomi)," kata beliau.

Namun di kalangan lelaki pula, 20 hingga 30 peratus daripada mereka yang mengalami masalah ini berkaitan dengan masalah prostat seperti hyperplasia prostatik benigna (BPH).

Kata Dr. Natarajan, pembesaran kelenjar prostat akan menekan salur kencing menyebabkan lelaki tersebut sukar untuk mengosongkan pundi kencing dengan sepenuhnya.

Ini menyebabkan saki-baki air kencing kekal di dalam pundi dan pesakit terpaksa berulang alik ke tandas dengan kerap.

Rawatan tanpa pembedahan

Selain pembedahan, masalah kawalan pundi kencing kata Dr. Natarajan boleh dirawat secara perlahan melalui gaya hidup yang sihat.

"Hentikan merokok atau mengambil minuman keras (bagi mereka yang berbuat demikian). Amalkan diet yang seimbang, elakkan atau kurangkan minuman berkafein dan bersenam mampu membantu mengatasi masalah ini," kata beliau.

Menurutnya, rawatan awal lebih baik kerana pesakit boleh mengawalnya dengan lebih mudah. Pesakit juga katanya boleh mengamalkan jadual membuang air kecil mengikut tempoh tertentu bagi melaraskan kembali keadaan tersebut.

Terdapat juga rawatan perubatan yang mampu membantu seperti ubat yang mengandungi antikolinergik, antikemurungan trisilik, serotonin, hormon antidiuritik dan terapi estrogen setempat. Selain itu perubatan alternatif seperti ekstrak debunga juga boleh membantu.

Mengenai Sanaxeen

Mengandungi komponen biologikal seperti mineral, unsur surih, asid amino, asid nukleik dan enzim yang membantu menyeimbang nutrien sel pertumbuhan semula. Ia membantu mengekalkan kesihatan prostat dan pundi kencing. Jenama ini diyakini secara klinikal melebihi 50 tahun dalam membantu mengurangkan simptom pesakit LUTS.



Baca Lagi...

04 Mac 2011

Khasiat madu lebah

Al Quran sebagai mukjizat diakui banyak membongkar rahsia-rahsia saintifik jauh lebih awal daripada “scientific findings” daripada experiment yang dilakukan para saintis moden. Antara mukjizat al Quran yang baru dapat dibuktikan oleh para pakar adalah tentang khasiat MADU LEBAH.

Khasiat madu lebah telah disebutkan dalam Al-Quran, surat An Nahl ayat 68-69 di mana Allah berfirman:

“Dan Tuhanmu mewahyukan kepada lebah; “…kemudian makanlah dari tiap-tiap (macam) buah-buahan dan tempuhlah jalan Tuhanmu yang telah dimudahkan (bagimu)”. Dari perut lebah itu keluar minuman (madu) yang bermacam-macam warnanya, di dalamnya terdapat PENAWAR yang menyembuhkan manusia. Sesungguhnya pada yang demikian terdapat tanda-tanda bagi orang yang memikirkan”

Dalam ayat ini secara jelas disebutkan bahawa madu adalah ubat atau penawar yang dapat menyembuhkan pelbagai penyakit yang dihadapi oleh manusia. Madu dari sudut saintifiknya mengandungi glukosa dan fruktosa serta sejumlah mineral seperti magnesium, kalium, potasium, sodium, klorin, sulfur, besi dan fosfat. Madu juga mengandungi vitamin B1, B2, C, B6 dan B3 yang komposisinya berubah-ubah sesuai dengan kualiti madu bunga dan serbuk sari yang dikonsumsikan oleh lebah. Di samping itu, dalam madu juga terdapat tembaga, yodium dan seng dalam jumlah yang kecil, juga beberapa jenis hormon.

Antara penemuan saintifik tentang khasiat madu dapat disimpulkan seperti dibawah:

1. Kaya bahan anti oksidan yang menghalang free radicals daripada bertindak ke atas sel-sel yang boleh menyebabkan kanser (BBC, University of Zagreb, Croatia);

2. Antara sumber tenaga asli bagi tubuh yang terbaik e.g. Meningkatkan kekuatan otot dan stamina badan (British Honey Importers and Packers Association)

3. Pembunuh kuman daripada jenis bacteria, fungus dan protozoa (University of Waikato, New Zealand);

4. Mampu menyembuh ulser dan luka dengan lebih cepat dan berkesan (University of Waikato, New Zealand);

5. Boleh merawat penyakit mata (Fotidar MR, Fotidar SN);

6. Mampu menjadi antibiotic yang lebih berkesan (University of Cardiff, Wales). Kesimpulannya, Al Quran adalah suatu mukjizat yang akan terus membongkar hakikat di sebalik pencipta di alam cakerawala ini. Ini juga menyingkap betapa segala penciptaan yang wujud di bumi ini diciptakan oleh ALLAH dengan fungsinya yang tersendiri. Tiada satupun objek atau kejadian yang dicipta secara sia-sia. Walaubagaimanapun hanya orang-orang yang berfikir dapat memahami rahsia di sebalik penciptaan yang pelbagai sebagaimana yang difirmankan oleh Allah:

“Dan mereka-mereka (yang beriman) sentiasa mengingati Allah sama ada dalam keadaan berdiri, duduk atau berbaring. Dan mereka yang berfikir tentang segala penciptaaNya sama ada di langit-langit ataupun di bumi. Mereka berdoa: Wahai Tuhan kami, tidak satupun (objek & kejadian di langit dan Di bumi) yang Engkau ciptakan secara sia-sia. Maha Suci Engkau, selamatkan kami dari NERAKA”. (Surah Ali Imran: 191).

Kepada mereka yang berminat untuk membeli madu sila berhubung melalui : http://www.facebook.com/mdjohary



Baca Lagi...

Bantu tubuh sihat

SAYURAN dan buah-buahan sentiasa berada dalam senarai utama kala merancang diet pemakanan seimbang. Ditambah dengan aktiviti senaman secara konsisten, tubuh yang lesu pasti lebih bertenaga dan kulit tidak ketinggalan menerima manfaatnya.

Namun, tidak ramai pula yang gemar mengambil sayur atau buah dalam hidangan mereka. Ramai juga yang hanya mengambilnya pada jumlah paling sedikit dalam seminggu.

Jika tidak suka memakannya secara mentah, mempelbagaikan cara masakan sayur-sayuran pasti dapat membantu, begitu juga dengan menikmati jus daripada buah-buahan.

Selain jus epal, oren, tembikai, belimbing dan sebagainya, manggis kini menjadi salah satu pilihan terbaik untuk tubuh kerana mengandungi pelbagai vitamin serta mineral penting yang dapat membantu mengurangkan masalah kesihatan secara dalaman.

Jika dulu rasanya yang manis dan sedikit masam menjadikan buah eksotik itu sekadar popular di Malaysia dan negara Asia Tenggara, manggis mula diberi perhatian masyarakat Eropah serta Amerika Syarikat. Faktor populariti pada buah itu turut membuatkan saintis Barat mengkaji lebih lanjut mengenai khasiatnya yang disifatkan antara bahan antioksidan terbaik bagi menentang jangkitan kuman, kulat, bakteria, histamina dan barah pada peringkat awal. Sejak 400 tahun lalu, masyarakat Asia Tenggara menggunakan manggis untuk mengubati kesan luka, radang, cirit-birit dan masalah kulit dengan merebus kulitnya yang dipanggil perikarp lalu diminum seperti air teh (perlu ditapis dulu). Wujud lebih daripada 40 jenis antioksidan berkuasa tinggi dalam buah ajaib itu yang memberi manfaat kepada badan manusia serta berupaya menentang radikal bebas.

"Terdapat kira-kira 200 xanthone yang diketahui dalam dunia perubatan dan lebih 40 daripada xanthone itu ada dalam kulit buah manggis. Xanthone adalah sebatian polifenolik (antioksidan) yang terhasil secara semula jadi, sekali gus menjadikan buah manggis sangat unik berbanding mana-mana jenis buah lain.

"Pakar sains di seluruh dunia telah menemui banyak ciri perubatan penting daripada xanthone termasuk ciri-ciri antipenuaan, antiradang (menyokong rawan dan fungsi sendi), antibakteria, keupayaan menurunkan kolesterol, mengurangkan masalah kulit termasuk akne, menjaga kesihatan mata, antikanser termasuk kanser payudara dan prostat, mengurangkan kemungkinan tumor, menjaga kesihatan sistem kardiovaskular, hipertensi, gastrousus, kencing manis, migrain dan sebagainya.




Baca Lagi...

03 Mac 2011

Maut seawal 24 jam

ANDA bangun pagi dan mengalami lenguh tengkuk, selesema selain ruam pada permukaan kulit. Anda panik dan segera ke klinik, apatah lagi selepas menyedari berada di kawasan yang dikunjungi ramai, malam tadi.

Doktor kemudian mengesahkan anda mengalami penyakit meningokokal akibat bakteria meningitis bakteria. Namun apakah sebenarnya penyakit ini? Ia adalah jangkitan pada membran yang menyelaputi otak dan tulang belakang dan sepsis - sejenis jangkitan saluran darah.

Hakikatnya, di sebalik nama meningokokal yang sememangnya jarang didengari, kesannya juga amat menggerunkan - jangkitannya boleh membawa maut dalam tempoh 24 - 48 jam!

Malah, hampir semua, termasuk mereka yang sihat juga berisiko menghidapnya kerana bakteria ini mudah tersebar di kawasan atau persekitaran sesak dengan pelancong, menunaikan ibadat umrah atau haji selain mereka yang mengunjungi pusat hiburan dan konsert.

Statistik Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pula menunjukkan dianggarkan 500,000 kes penyakit meningokokal berlaku dengan sekitar 50,000 kematian, setiap tahun. Ini menjadikan secara purata, satu daripada tujuh pesakit yang menghidap penyakit meningokokal maut akibatnya!

Lebih menakutkan, ada pesakit yang terselamat pula menderita kesan sampingan serius akibat meningokokal, termasuk kehilangan anggota badan yang terpaksa dipotong.
Sifatnya sukar diramal kerana kumpulan bakteria yang dominan yang menyebabkan penyakit ini berbeza mengikut negara dan rantau serta berubah mengikut masa. Inilah sebabnya WHO menyatakan bahawa salah satu dari cara yang berkesan untuk mencegah penyakit meningokokal adalah dengan vaksin yang memberikan perlindungan terhadap sebanyak mana kumpulan bakteria yang boleh.

Kebanyakan kes penyakit meningokokal berlaku pada individu yang sihat tanpa sebarang amaran awal. Walaupun dengan perubahan kecil dalam gaya hidup seperti kunjungan ke kelab-kelab malam, melancong merokok, memasuki kolej atau tugasan ketenteraan boleh meningkatkan kemungkinan menjadi pembawa bakteria meningokokal atau meningokokus dan mendedahkan seseorang kepada penyakit itu.

Perunding Kanan Mikrobiologi, Universiti Sains Islam Malaysia, Profesor Datin Dr Che Ilina Che Isahak, berkata, memandangkan sifatnya yang sukar diramal menyaksikan WHO menegaskan bahawa salah satu cara berkesan untuk mencegah penyakit meningokokal adalah dengan memilih satu vaksin yang mampu memberikan perlindungan maksimum.

“Ringkasnya, perlindungan itu sebagai perlindungan kepada sebanyak mungkin kumpulan bakteria seperti Vaksin Konjugat kuadrivalen bagi membantu mencegah penyakit meningokokal,” katanya.

Menurut Prof Ilina, 26,000 rakyat Malaysia mengerjakan haji saban tahun ditambah pula lebih 80,000 rakyat Malaysia yang mengerjakan umrah sepanjang tahun menjadikan kelompok ini antara yang paling berisiko kerana dalam keadaan bersesak bagi satu jangkamasa berlanjutan, sekali gus membolehkan bakteria merebak dari individu ke individu.

Keadaan lebih berisiko ketika musim haji apabila lebih 2 juta jemaah dari seluruh dunia akan berkumpul di Makkah.

“Merebaknya wabak penyakit meningokokal yang berleluasa di kalangan jemaah menyebabkan pihak berkuasa Arab Saudi memperkenalkan pelalian mandatori di mana semua jemaah mesti diberikan vaksin kuadrivalen mengingokokal,” katanya.

Ancaman penyakit itu menyaksikan syarikat Novartis Corporation (Malaysia) Sdn Bhd melancarkan vaksin Menveo, baru-baru ini, bagi melindungi manusia daripada empat kumpulan bakteria meningokokus yang boleh dicegah oleh vaksin. Ia boleh digunakan remaja berusia 11 tahun hinggalah orang dewasa.

Menurut Pengarah Perubatan Novartis Corporation, Dr Adelina Cheong, vaksin itu penting kerana gejala awal penyakit meningokokal mungkin tidak begitu tepat.

“Ia sukar diramal dan seakan-akan selsema yang menyebabkan pengamal perubatan profesional payah memberikan diagnosis awal. Gejala atau simptom lazim seperti lenguh tengkuk dan ruam pada permukaan kulit (bintik-bintik merah atau ungu pada kulit) tidak muncul sehingga penyakit itu semakin runcing iaitu 13 hingga 22 jam selepas gejala pertama muncul.

INFO: Ancaman meningokokal

# WHO dan beberapa kerajaan pusat mengesyorkan penggunaan pelalian meningokokal untuk mereka yang dianggap berisiko tinggi untuk mengidap penyakit meningokokal seperti remaja, pelancong yang pernah ke lokasi penyakit ini boleh merebak, anggota tentera dan jemaah yang mengerjakan haji atau umrah.

# Bayi paling mudah terdedah

# Dianggarkan lebih kurang enam peratus kanak-kanak berusia 12 bulan ke bawah yang menghidap penyakit meningokokal, maut.

# Satu daripada lima bekas pesakit meningokokal menderita kesan sampingan serius dan kekal termasuk anggota badan dipotong, sawan, lumpuh, hilang pendengaran.




Baca Lagi...

02 Mac 2011

Catat gejala sakit

DULU setiap kali ke klinik, bapa saudara penulis merungut kerana doktor bertanya bermacam soalan mengenai gejala dialaminya. Pada pendapatnya ketika itu, doktor sepatutnya tahu masalah kesihatan pesakit tanpa perlu bertanya banyak dan boleh memberi ubat ‘mujarab’ berdasarkan kepakaran mereka.

Adakah ia benar? Tidak. Doktor tidak mungkin dapat membuat diagnosis atau mengenal pasti penyakit dengan tepat hanya berdasarkan pemerhatiannya.

Kerjasama pesakit diperlukan untuk memberi maklumat mengenai gangguan kesihatan dialami untuk membantu doktor membuat penilaian sebaik mungkin supaya anda membawa pulang ubat sewajarnya.

Menyenaraikan gejala sebagai persediaan berjumpa doktor adalah amalan yang digalakkan mana-mana pengamal kesihatan. Ia memudahkan tugas doktor kerana kadangkala apabila berada di klinik, pesakit terlupa memberitahu gejala penting yang dianggap masalah biasa, kata Penasihat Kesihatan Keluarga, Dr Abdul Rasid Mohamed Ali.

Mungkin tidak ramai melihat membuat persiapan untuk berjumpa doktor itu satu keperluan. Caranya mudah iaitu beli satu buku nota kecil untuk dituliskan semua aduan (gejala yang dialami). Beri keutamaan kepada gejala besar dan nyata.

Antara perkara penting lain yang perlu dicatat ialah bila ia bermula, berapa lama anda mengalami gejala berkenaan dan kekerapannya berlaku. Walaupun doktor akan tanya soalan ini, tetapi lebih baik jika pesakit mencatatkannya kerana ketika berjumpa doktor, kita mungkin lupa sesetengah gejala penting.

Menurut Dr Abdul Rasid, beberapa perkara penting perlu diketahui pesakit apabila berjumpa doktor iaitu:

# Memberi biodata diri dan keluarga terdekat sangat penting, terutama nama, nombor Mykad, jantina, tarikh lahir, alamat rumah diduduki sekarang dan nombor telefon. Pastikan maklumat dicatat itu adalah maklumat kita.

Pastikan juga pihak hospital boleh menghubungi anda dalam keadaan tertentu, contohnya untuk memberitahu keputusan ujian kesihatan yang tidak normal. Jika biodata tidak lengkap, pihak hospital tidak dapat menghubungi pesakit.

Jika ada perubahan alamat, maklumkan pihak hospital dan kemas kini semua maklumat anda walaupun anda ‘pengunjung tetap’ klinik atau hospital. Walaupun pihak hospital yang sepatutnya mendapatkan maklumat ini, pesakit juga perlu bertanggungjawab memastikan maklumat dirinya adalah betul dan terkini.

Jangan beri alamat seperti dalam Mykad; kecuali anda memang tinggal di situ. Ini penting dalam kes berlakunya jangkitan penyakit tertentu, contohnya denggi, kerana pihak hospital perlu memaklumkan pihak berkuasa tempatan supaya penyemburan asap membunuh nyamuk aedes dapat dilakukan segera sebelum ia memindahkan penyakit kepada orang lain.

# Beli buku nota kecil atau buku 555 untuk dijadikan diari rawatan. Ia bertujuan mencatat tarikh, masalah kesihatan dialami dan jenis ubat diambil. Anda juga boleh meminta doktor menulis keputusan pemeriksaan kesihatan asas seperti tekanan darah, paras gula darah, jenis dan dos ubat yang diberi serta tahap penyakit.

Maklumat ini sangat berguna bagi penghidap pesakit kronik, terutama dalam kecemasan. Ia boleh digunakan oleh doktor lain yang merawat pesakit berkenaan. Jadi doktor tidak perlu lagi menghubungi klinik atau hospital terdahulu kerana dalam kebanyakan kes, ia tidak dapat atau sukar dilakukan. Daripada diari ini juga, doktor juga boleh tahu ubat yang menyebabkan alahan pada pesakit.

# Aduan utama pesakit — Lebih baik catat atau senaraikan masalah atau gejala dialami.

# Mesti ingat sejarah kesihatan — Ini termasuk masalah kesihatan yang sedang atau pernah dialami, pembedahan atau rawatan diterima. Beritahu juga sejarah penyakit keluarga (darah tinggi, jantung, asma, kanser). Untuk wanita, maklumkan mengenai sejarah sakit puan dialaminya.

# Sejarah pengambilan ubat. Oleh kerana kita biasanya lupa nama ubat, jadi lebih baik jika anda catat juga jenama dan nama saintifik ubat dalam buku nota tadi atau bawa botol ubat apabila berjumpa doktor. Paling penting, tulis nama ubat yang pernah diambil dan menyebabkan gejala alahan atau tidak sesuai dengan anda. Walaupun anda mungkin pernah memberitahu perkara ini kepada doktor yang merawat, maklumkan atau ingatkan sekali lagi kerana selepas berjumpa ramai pesakit, ada kemungkinan doktor terlupa atau terlepas pandang.

# Sejarah sosial — Adakah anda merokok, mengambil dadah atau aktif dalam aktiviti lasak, angkat berat (sakit belakang).

# Sejarah persekitaran — Masalah kesihatan anda mungkin ada kaitan dengan persekitaran tempat tinggal atau kerja. Kini ada banyak masalah kesihatan yang berkait rapat dengan jenis pekerjaan atau persekitaran tempat kerja, contohnya sindrom Terowong Karpal kerap berlaku pada individu yang kerjanya memberi banyak tekanan pada pergelangan tangan seperti tukang jahit atau mereka yang menggunakan komputer sepanjang hari.

# Jika anda sakit, jadilah pesakit dan jangan berlagak jadi doktor walaupun anda seorang doktor. Ini kerana doktor tidak boleh merawat diri sendiri. Beritahu doktor gejala yang dialami saja dan usah berlagak pandai menyebut nama penyakit kecuali disahkan melalui pemeriksaan atau ujian kesihatan.

Ini kerana ada banyak kes pesakit memberitahu doktor dia mengalami masalah tertentu (berdasarkan agakannya) dan doktor memberi ubat mengikut nama masalah kesihatan yang disebut pesakit tanpa membuat pemeriksaan terlebih dulu. Akibatnya, masalah kesihatan pesakit berlarutan hinggalah diagnosis betul dilakukan.

“Pernah berlaku satu kes seorang pesakit dengan yakin memaklumkan doktor dia menghidap gastrik walaupun gejala dialami tidak hilang selepas beberapa kali mengambil ubat. Percaya dengan kata-kata pesakit, doktor terus memberinya ubat gastrik.

“Apabila sakitnya tidak hilang, pesakit tadi berjumpa doktor lain dan kali ini doktor berkenaan tegas mengatakan dia perlu lakukan pemeriksaan terlebih dulu. Hasil pemeriksaan didapati pesakit itu sebenarnya sakit jantung! Ini bermakna apabila menjadi pesakit, anda perlu dengar dan patuh pada arahan doktor yang merawat anda,” katanya.

# Jangan minta benda yang tidak patut kita dapat. Ini termasuk ubat antibiotik atau ujian tertentu seperti sinar-X, imbasan CT atau pengimejan magnetik resonans (MRI). Jika anda benar-benar perlukannya, doktor akan cadangkan. Usah pandai-pandai meminta ujian tertentu kerana ia membuatkan pesakit mendapat rawatan atau pemeriksaan yang tidak perlu.

Kesannya, kos perubatan meningkat dan membebankan pesakit, khususnya yang berpendapatan rendah dan sederhana. Memang diakui ada segelintir doktor mencadangkan pelbagai ujian tetapi anda boleh mendapatkan pandangan kedua (berjumpa doktor lain) untuk pengesahan sama ada ia benar-benar perlu.

# Bawa ahli keluarga atau kawan untuk menemani anda berjumpa doktor. Mereka boleh memberitahu doktor tanda atau gejala yang tidak disedari pesakit dan menjadi saksi, terutama apabila wanita perlu menjalani pemeriksaan sensitif.

Mereka juga boleh mendengar penerangan doktor dan bertanya soalan supaya masalah pesakit dapat difahami dengan lebih jelas, khususnya daripada segi pengurusan penyakit dan pengambilan ubat.

Malah, kehadiran ahli keluarga atau kawan juga penting bagi sesetengah keadaan, contohnya pesakit buah pinggang yang menjalani dialisis kerana pesakit biasanya berasa lemah dan pening selepas dialisis selesai.

# Pesakit perlu sabar, tenang dan berterus terang ketika berjumpa doktor. Usah menangis atau terlalu mengikutkan perasaan kerana ia menyukarkan doktor memberi rawatan.

# Tanya doktor apa lagi yang mereka ingin tahu.

Soalan yang perlu ditanya pada doktor:
# Apa penyakit yang anda hidapi?
# Apa ubat atau rawatan yang anda perlukan?
# Adakah pilihan rawatan?
# Jangka masa rawatan, penyembuhan atau berapa lama anda perlu mengambil ubat?
# Minta untuk dirujukkan kepada pakar atau doktor berkaitan
# Risiko dan prognosis (ramalan penyembuhan penyakit selepas rawatan)
# Cara pencegahan
# Kesan penyakit kepada orang persekitaran, terutama keluarga
# Adakah rawatan termasuk dalam perlindungan insurans?
# Minta ringkasan laporan.



Baca Lagi...