04 Mac 2011

Bantu tubuh sihat

SAYURAN dan buah-buahan sentiasa berada dalam senarai utama kala merancang diet pemakanan seimbang. Ditambah dengan aktiviti senaman secara konsisten, tubuh yang lesu pasti lebih bertenaga dan kulit tidak ketinggalan menerima manfaatnya.

Namun, tidak ramai pula yang gemar mengambil sayur atau buah dalam hidangan mereka. Ramai juga yang hanya mengambilnya pada jumlah paling sedikit dalam seminggu.

Jika tidak suka memakannya secara mentah, mempelbagaikan cara masakan sayur-sayuran pasti dapat membantu, begitu juga dengan menikmati jus daripada buah-buahan.

Selain jus epal, oren, tembikai, belimbing dan sebagainya, manggis kini menjadi salah satu pilihan terbaik untuk tubuh kerana mengandungi pelbagai vitamin serta mineral penting yang dapat membantu mengurangkan masalah kesihatan secara dalaman.

Jika dulu rasanya yang manis dan sedikit masam menjadikan buah eksotik itu sekadar popular di Malaysia dan negara Asia Tenggara, manggis mula diberi perhatian masyarakat Eropah serta Amerika Syarikat. Faktor populariti pada buah itu turut membuatkan saintis Barat mengkaji lebih lanjut mengenai khasiatnya yang disifatkan antara bahan antioksidan terbaik bagi menentang jangkitan kuman, kulat, bakteria, histamina dan barah pada peringkat awal. Sejak 400 tahun lalu, masyarakat Asia Tenggara menggunakan manggis untuk mengubati kesan luka, radang, cirit-birit dan masalah kulit dengan merebus kulitnya yang dipanggil perikarp lalu diminum seperti air teh (perlu ditapis dulu). Wujud lebih daripada 40 jenis antioksidan berkuasa tinggi dalam buah ajaib itu yang memberi manfaat kepada badan manusia serta berupaya menentang radikal bebas.

"Terdapat kira-kira 200 xanthone yang diketahui dalam dunia perubatan dan lebih 40 daripada xanthone itu ada dalam kulit buah manggis. Xanthone adalah sebatian polifenolik (antioksidan) yang terhasil secara semula jadi, sekali gus menjadikan buah manggis sangat unik berbanding mana-mana jenis buah lain.

"Pakar sains di seluruh dunia telah menemui banyak ciri perubatan penting daripada xanthone termasuk ciri-ciri antipenuaan, antiradang (menyokong rawan dan fungsi sendi), antibakteria, keupayaan menurunkan kolesterol, mengurangkan masalah kulit termasuk akne, menjaga kesihatan mata, antikanser termasuk kanser payudara dan prostat, mengurangkan kemungkinan tumor, menjaga kesihatan sistem kardiovaskular, hipertensi, gastrousus, kencing manis, migrain dan sebagainya.




0 comments: