30 April 2014

Alahan Bawa Maut


ADA orang menganggap alahan bukan perkara yang sangat membimbangkan, tetapi mereka tidak tahu perkara ini sebenarnya boleh membahayakan nyawa jika tidak dihiraukan atau dipandang remeh.

Apabila seseorang mengalami alahan, perkara yang sering ditanya ialah makan apa semalam? Gejala alahan bukan hanya dicetuskan oleh makanan kerana banyak benda lain boleh menyebabkan berlakunya masalah ini. Selain makanan, ada orang yang alah pada logam, nikel, minyak wangi, getah, gigitan serangga, ubat dan senaman.

Kes Azlina Saian, 34, yang meninggal dunia selepas digigit serangga, adalah contoh yang menunjukkan alahan tidak boleh dianggap masalah ringan kerana ia boleh membawa maut jika lewat mendapat rawatan.

Ada pendapat mengatakan, sebenarnya hampir semua orang mengalami alahan terhadap bahan tertentu tetapi tidak menyedarinya. Ia mungkin disebabkan reaksi alahan yang sedikit dan tidak mendatangkan masalah besar kepada individu berkenaan.

Alahan yang sedikit boleh diatasi dengan cara menghindari faktor penyebab atau alergen, tetapi individu yang mengalami alahan melampau (akut atau dipanggil anafilaksis) perlu lebih berwaspada.

Tindak balas badan individu yang mengalami alahan melampau berlaku dengan cepat. Apabila alergen memasuki aliran darah, badan membebaskan sejenis bahan kimia yang dikenali sebagai histamin untuk menghapuskan alergen berkenaan.

Bagaimanapun, bagi individu dalam kumpulan ini, badan mereka menghasilkan terlalu banyak histamin sehingga menyebabkan gejala gangguan saluran pernafasan (lelah, bronkitis, asma); kulit menjadi gatal, tumbuh ruam dan ekzema.

Baca Lagi...

26 April 2014

Tanda-Tanda penyakit Resdung

Resdung merupakan antara penyakit yang biasa di kalangan masyarakat kita. Resdung juga dikenali sebagai penyakit sinusitis. Tapi yang menjadi masalah penyakit resdung ini sering dipandang remeh oleh masyarakat malah ramai dikalangan kita yang tidak menyedari menghidap penyakit resdung. Lebih teruk membiarkan penyakit itu bersarang tanpa mencari rawatan resdung yang sepatutnya.

Kebiasaannya, penghidap penyakit resdung mempunyai masalah seperti kerap bersin, dengkuran yang kronik, batuk, gata-gatal hidung, mata, telinga dan muka, tidak sedap badan, letih dan berasa sakit kepala, manakala pada tahap yang kronik, penyakit resdung boleh memberi kesan kepada telinga sehingga menyebabkan seseorang itu pekak malah boleh menghilangkan deria bau.

Apa yang lebih menakutkan, jika dibiarkan tanpa sebarang rawatan, resdung sebenarnya boleh mengundang maut akibat masalah komplikasi pada otak.

Resdung merupakan penyakit yang berpunca oleh jangkitan bakteria ke atas hidung dan rongga-rongga di bahagian dalaman tulang muka yang bersambung ke hidung melalui saluran-saluran sangat kecil dipanggil sinus.

Baca Lagi...

14 April 2014

Tip turun berat badan


KEPELBAGAIAN dan kelazatan makanan di negara ini sukar ditolak sesiapapun. Jika tidak pandai mengawal gaya pemakanan, anda mungkin berisiko tinggi menghadapi masalah berat badan akibat makan terlalu banyak dan tidak mengambil langkah berjaga-jaga.

Berat badan berlebihan adalah hasil daripada pengambilan kalori yang berlebihan daripada kadar tenaga keperluan harian di dalam badan. Rutin harian yang hanya duduk di pejabat dan kurang melakukan aktiviti fizikal seperti bersenam menguatkan lagi faktor pertambahan berat badan. Sebaiknya, elakkan makan makanan yang banyak lemak dan berminyak di samping mengamal–kan pemakanan seimbang. 

Ini kerana, berat badan yang berlebihan atau obesiti tanpa disedari akan meningkatkan risiko kesihatan dan masalah lain seperti penyakit angin ahmar (strok), tekanan darah tinggi, sesak nafas, kencing manis, rasa rendah diri dan radang sendi tulang.

Bagi mereka yang mahu menurunkan berat badan, ia sebenarnya boleh dilakukan dalam tempoh cepat menggunakan cara betul agar tiada kesan sampingan yang memudaratkan. Berikut tip yang ingin saya kongsi bersama supaya dapat membantu anda mengurangkan berat badan agar tampil lebih berkeyakinan.

Baca Lagi...

07 April 2014

Kenali amaran awal sepsis


Sepsis, juga dikenali sebagai sindrom tindak balas keradangan sistemik (SIRS) adalah sejenis penyakit yang menyebabkan tubuh memberikan tindak balas melampau terhadap bakteria atau sebarang jangkitan kuman.

Sepsis yang sering disalah erti sebagai keracunan darah, adalah satu punca utama kematian di seluruh dunia. Ia suatu sindrom kompleks yang sukar untuk didefinisikan, didiagnosis dan dirawat. 

Jika melarat, ia boleh menyebabkan pesakit mengalami sepsis serius dan kejutan septik, di samping mengalami kegagalan pelbagai organ penting yang akhirnya membawa maut. Satu pertiga hingga separuh daripada pesakit yang mengalami sepsis menghadapi risiko kematian

Pensyarah kanan dan Pakar Perunding Anaestesiologi dan Rawatan Rapi, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia dan Hospital Serdang, Dr Noor Airini Ibrahim, berkata sepsis adalah penyakit yang berleluasa di negara maju dan membangun, tetapi malangnya paling kurang diiktiraf berbanding penyakit lain.

Menurutnya, pada peringkat global, dianggarkan kira-kira 20 hingga 30 juta pesakit terjejas akibat sepsis setiap tahun. Di negara membangun, sepsis menyebabkan 60 hingga 80 peratus kematian setiap tahun dalam kalangan pesakit bawah umur.

“Daripada jumlah itu, lebih enam juta kematian bayi baru lahir dan kanak-kanak berlaku setiap tahun. Terdapat lebih daripada 100,000 kes sepsis dalam kalangan ibu. Malah, setiap jam kira-kira 1,000 orang mati akibat sepsis di seluruh dunia. 

“Kematian disebabkan sepsis lebih tinggi berbanding bilangan kematian disebabkan kanser prostat, kanser payudara serta HIV dan Aids apabila ia digabungkan. Pakar perubatan percaya sepsis bertanggungjawab menyebabkan majoriti kematian yang berkaitan dengan HIV dan Aids, malaria, jangkitan paru-paru serta jangkitan lain diperoleh sama ada daripada masyarakat atau persekitaran penjagaan kesihatan serta kecederaan traumatik,” katanya. 

Malah, begitu seriusnya penyakit berkenaan hingga mulai tahun lalu, 13 September dipilih sebagai Hari Sepsis Sedunia bagi menyebarkan kesedaran mengenai sepsis di seluruh dunia. 

Menurut Dr Noor Airini, pesakit yang berjaya dirawat berhadapan dengan dua kali ganda risiko kematian dalam masa lima tahun yang berikutnya, berbanding pesakit hospital yang lain dan mereka juga sering mengalami masalah kesihatan fizikal, kognitif dan efektif yang berpanjangan. 

Menurutnya, meskipun kita kini berada dalam era perkembangan perubatan serba moden, insiden sepsis tetap meningkat secara mendadak disebabkan pelbagai faktor, antaranya usia penduduk yang semakin meningkat, peningkatan penggunaan intervensi berisiko tinggi dalam kalangan semua kumpulan umur dan perkembangan kuman jenis kalis antibiotik menyebabkan bentuk jangkitan yang lebih memudaratkan. 

Di Amerika Syarikat, kemasukan ke wad disebabkan sepsis meningkat lebih daripada dua kali ganda dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini dan mengatasi kemasukan wad disebabkan serangan jantung

Katanya, kajian di peringkat antarabangsa dan kebangsaan menunjukkan 20 hingga 40 peratus daripada pesakit sepsis yang memerlukan rawatan di unit rawatan rapi mendapat jangkitan di luar hospital. 

“Lazimnya, sepsis sangat sukar dikenal pasti di peringkat awal kerana gejala klinikal dan kaedah makmal yang digunakan seperti suhu badan yang tinggi, kiraan nadi, kadar pernafasan atau jumlah sel darah putih yang meningkat tidak spesifik. 

“Dalam kalangan kanak-kanak, tanda dan gejala sepsis mungkin tidak ketara dan kemerosotan kesihatan pesakit berlaku dengan cepat. Sepsis kurang diiktiraf dan kurang difahami kerana pelbagai faktor seperti kecelaruan definisi, kekurangan alat diagnostik, pelaksanaan garis panduan klinikal yang tidak konsisten untuk rawatan sepsis dan kekurangan dokumentasi sepsis sebagai punca kematian di dalam sijil kematian,” katanya. 

Menurut Dr Noor Airini, walaupun pesakit sepsis menghadapi risiko kematian lima kali ganda lebih tinggi berbanding pesakit yang mengalami serangan jantung atau strok, penyakit itu masih tidak diiktiraf atau diberikan rawatan kritikal segera. 

Berikutan gejala sepsis kurang diberikan perhatian, ia sebenarnya membawa ancaman lebih berbahaya. Jika diagnosis dibuat dan rawatan diberikan dalam jam pertama, kadar jangka hayat pesakit dapat diselamatkan adalah 80 peratus. Namun, selepas enam jam tanpa rawatan bersesuaian, kadar mampu diselamatkan menurun sehingga 30 peratus saja. 

“Sehubungan itu, amat penting untuk pesakit dan petugas kesihatan mengenal pasti tanda awal sepsis supaya rawatan betul dapat diberikan dalam tempoh satu jam pertama justeru, kematian akibat sepsis boleh dikurangkan sehingga separuh. 

“Cabaran paling getir adalah untuk memastikan gejala awal sepsis dapat dikenal pasti. Antara tanda awal sepsis termasuk kadar degupan jantung dan pernafasan yang deras, kesukaran bernafas, tekanan darah rendah, perubahan dalam tingkah laku seperti kekeliruan dan mengantuk, demam atau kesejukan serta perubahan pada warna kulit. 

“Semua pihak seharusnya mampu mengenal pasti tanda amaran awal sepsis seperti dalam kalangan kakitangan hospital, pekerja kesihatan yang mengendalikan pesakit di peringkat awal, doktor keluarga, jururawat masyarakat dan paramedik,” katanya. 

Menurutnya, permulaan intervensi asas dan mudah yang segera serta menepati masa seperti memberi ubat antimikrobial, cecair intravena dan rawatan lain untuk memulihkan peredaran darah boleh mengurangkan separuh daripada risiko kematian

Pesakit yang disyaki menghidap sepsis perlu segera dirujuk ke pusat kesihatan bersesuaian. Rawatan sepsis awal menjimatkan kos serta mengurangkan masa pesakit ditempatkan di hospital dan unit rawatan rapi.

Baca Lagi...

06 April 2014

Bahaya asid lemak trans


Asid lemak ‘trans’ terhasil daripada minyak tumbuhan yang ditambah hidrogen melalui proses hidrogenasi untuk menjadikannya pepejal seperti marjerin. Tujuan proses ini dilakukan untuk menambah kestabilan makanan dan melambatkan tempoh makanan itu menjadi rosak. Malangnya proses ini menyebabkan terhasilnya asid lemak trans ini.

Banyak kajian sains yang menunjukkan pemakanan yang tinggi dengan asid lemak trans meningkatkan paras kolesterol tidak baik atau LDL dan merendahkan paras kolesterol baik atau HDL.

Justeru, ia meningkatkan risiko mendapat masalah penyakit jantung koronari, darah tinggi, strok dan kolesterol berlebihan.

Terdapat sesetengah pakar pemakanan berpendapat bahawa pengambilan asid lemak trans ini lebih buruk daripada pengambilan lemak tepu terus daripada sumber haiwan.

Dalam zaman moden ini, penggunaan asid lemak trans ini amat berleluasa hingga hampir mustahil untuk seseorang mengelak daripada memakannya setiap hari. Hampir semua makanan proses menggunakan asid lemak trans seperti mi segera, biskut, kuih-muih, kek, pastri, kerepek, donut, kentang goreng dan jajan. Kebanyakan makanan ini menggunakan marjerin atau mentega.

Makanan segera seperti burger yang dijual di tepi jalan atau restoran makanan segera juga mengandungi asid lemak trans yang tinggi kerana ia digoreng menggunakan marjerin atau mentega.

Di samping itu, ia menggunakan banyak perasa dan bahan pengawet. Anda patut kurangkan pengambilan makanan seperti ini kerana boleh menyebabkan masalah kolesterol yang tinggi.

Untuk meninggalkan langsung makanan mengandungi asid lemak trans ini adalah agak susah dan hampir mustahil bagi kita yang hidup di zaman moden sekarang. Cara terbaik mengurangkan pengambilannya ke tahap paling seminimum yang mungkin.

Jauhi makanan proses Elakkan dan kurangkan pengambilan makanan proses semaksimum yang mungkin. Janganlah jadikan makanan segera, kerepek sebagai makan ringan dalam tabiat seharian. Makanlah lebih banyak makanan asli seperti ulam-ulaman, nasi, buah-buahan, roti berserat penuh, sayur-sayuran dan protein.

Kurangkan makanan bergoreng atau makanan segera yang digoreng dalam (deep fried). Lebihkanlah pengambilan makanan yang dimasak dengan cara dibakar, kukus dan rebus.

Bacalah pembalut plastik makanan segera yang kita beli dan telitilah pada labelnya serta perhatikan perkataan seperti ‘hydrogenated vegetable oils’ atau ‘partially hydrogenated vegetable oils’ dan sebagainya. Ini adalah asid lemak trans yang terkandung dalam makanan berkenaan.

Terdapat sesetengah pengeluar makanan sudah mula menggunakan minyak yang tidak mengandungi asid lemak trans. Jika boleh gunakanlah marjerin yang tidak mengandungi asid lemak trans atau ‘nonhydrogented’ yang dijual di pasaran. Jagalah pemakanan anak anda dengan tidak menggalakkan pengambilan makanan segera dan kerepek atau jajan yang mengandungi asid lemak trans ini. Makanlah lemak yang sihat dengan banyak makan ikan mengandungi asid lemak Omega 3 yang lebih baik untuk kesihatan.

Sikap pemakanan yang sihat harus dipupuk sejak kecil demi untuk kesihatan yang lebih baik apabila dewasa. Galakkan anak makan buah-buahan yang jauh lebih sihat sebagai snek harian atau sewaktu bersantai bersama keluarga. Dengan mengurangkan makanan yang tinggi dengan asid lemak trans maka kita boleh mengurangkan masalah kolesterol berlebihan. Kolesterol berlebihan sememangnya terbukti dalam kajian sains menjadi punca pelbagai penyakit zaman moden seperti darah tinggi, strok, serangan jantung dan sebagainya. Insya-Allah hidup anda akan lebih sihat dengan mengamalkan pemakanan yang sihat.

Baca Lagi...

05 April 2014

Awas ancaman serius talasemia


APA sebenarnya talasemia? Sering kali kita mendengar perkataan itu disebut, namun adakah kita faham apa sebenarnya penyakit itu?

Perunding Hematologi Hospital Pakar Ampang Puteri, Dr. Goh Kim Yen berkata, talasemia adalah penyakit keturunan yang berlaku pada sel darah merah.

“Ia merupakan keadaan yang diwariskan oleh ibu bapa kepada anak. Ini berlaku akibat kecacatan gen yang menyebabkan hemoglobin dalam sel darah merah menjadi tidak normal,” katanya.

Menurutnya, mereka yang mempunyai penyakit talasemia tidak dapat menghasilkan hemoglobin yang mencukupi dalam darah.

Hemoglobin katanya, adalah bahagian sel darah merah yang mengangkut oksigen daripada paru-paru ke seluruh tubuh.

Akibat kekurangan sel darah merah yang normal, pesakit akan kelihatan pucat kerana paras hemoglobin (Hb) yang rendah dan menyebabkan berlaku anemia.

“Kekurangan sel darah merah yang membekalkan oksigen akan mengakibatkan pesakit talasemia berasa lesu, tidak bermaya dan mungkin sesak nafas sekiranya paras hemoglobin semakin menurun,” katanya.

Penghidap talasemia tidak mampu membekalkan seluruh sel tubuh mereka dengan bekalan oksigen yang mencukupi akibat kekurangan hemoglobin dalam sel darah merah. Tisu yang tiada oksigen gagal berfungsi dengan baik lalu tubuh menjadi lemah, gagal berkembang dan mudah terdedah kepada pelbagai jenis penyakit seperti diabetes, sakit jantung dan sebagainya.

Jelas beliau lagi, pesakit talasemia biasanya mempunyai paras hemoglobin yang rendah iaitu kurang daripada sekitar 4 atau 5g/dl.

Jenis talasemia

Talasemia terbahagi kepada minor dan major. Talasemia minor merujuk kepada mereka yang mempunyai kecacatan gen talasemia tetapi tidak menunjukkan tanda.

tanda talasemia atau dipanggil pembawa.

Manakala talasemia major pula merujuk kepada mereka yang mempunyai baka talasemia sepenuhnya dan menunjukkan tanda-tanda talasemia (pesakit).

Terdapat dua kategori talasemia berdasarkan molekul globin pada sel darah merah iaitu alpha dan beta (mengikut rantaian).

Talasemia alpha berlaku apabila satu atau lebih daripada empat gen yang diperlukan untuk membentuk rantaian globin alpha hemoglobin tidak bersesuaian atau tidak wujud. Jika hanya dua gen terlibat, individu tersebut hanya pembawa. Anemia peringkat sederhana dan teruk terjadi apabila lebih daripada dua gen terjejas. Paling membimbangkan apabila empat gen terjejas menyebabkan ibu hamil yang mengidap talasemia menghadapi risiko keguguran atau jika bayi lahir menyebabkan kematian.

Talasemia beta berlaku apabila salah satu atau kedua-dua gen yang diperlukan untuk membentuk rantaian globin beta hemoglobin tidak serasi.
Jika kedua-dua gen terjejas, anemia boleh terjadi secara sederhana hinggalah ke peringkat teruk. Talasemia peringkat teruk ini juga dikenali sebagai anemia Cooley.

Tanda dan gejala talasemia

Menurut Dr Goh, biasanya anak-anak pembawa talasemia kelihatan normal sewaktu dilahirkan dan status pembawa cuma dikesan apabila pemeriksaan darah dijalankan. Untuk mereka yang mengidapi talasemia major, penyakit itu biasa dikesan apabila seseorang bayi mencapai lingkungan usia enam bulan sehingga setahun. Simptom yang biasa menarik perhatian ibu bapa untuk membawa anak mereka berjumpa dengan doktor adalah masalah pucat atau lambat dari segi tumbesaran.

Bagaimanapun, mereka mulai mengalami masalah anemia yang serius apabila mencapai usia di antara 13 hingga 18 bulan. Tubuh mereka akan pucat, lemah dan mudah menghidap sebarang penyakit.

Anemia yang serius boleh menyebabkan masalah jantung dan sukar bernafas.

Perut mereka juga akan membuncit disebabkan pembengkakan hati dan limpa. Pembentukan tulang muka, pipi dan rahang juga tidak normal.

Selain itu, pertumbuhan mereka juga terbantut termasuk organ kelamin tidak akan berkembang. Bagi pesakit talasemia perempuan, payu dara mereka tidak membesar, pertumbuhan bulu badan terjejas dan mereka juga tidak mengalami haid.

Lazimnya pesakit talasemia meninggal dunia pada usia yang muda iaitu sekitar belasan tahun dan ada yang mencapai hingga usia 30 tahun.

Rawatan penyakit talasemia

“Pesakit perlu menjalani transfusi darah berterusan setiap bulan,” kata Dr. Goh.

Bagaimanapun transfusi darah berterusan akan menyebabkan pengumpulan zat besi di dalam organ penting seperti hati, jantung dan kelenjar endokrin yang akhirnya merosakkan fungsi organ-organ tersebut.

Jika ia berlaku di bahagian pituitari (otak), pesakit akan mengalami masalah tumbesaran termasuk organ kelamin yang tidak berkembang.

“Jika zat besi berkumpul di bahagian jantung, pesakit mengalami sesak nafas dan lemah jantung, manakala jika ia berkumpul di bahagian pankreas pesakit akan mendapat diabetes,” katanya.

Selain itu kata beliau, zat besi yang terkumpul di bahagian kulit pula akan menyebabkan ia berubah warna gelap.

Jelas Dr. Goh lagi, rawatan penyingkiran zat besi berlebihan perlu dilakukan dengan suntikan ubat Desferrioxamine menggunakan alat khas. Bagaimanapun proses itu menyakitkan kerana ia mengambil masa yang lama sekitar lapan jam.

“Bayangkan jika kanak-kanak terpaksa melalui proses ini, alat tersebut akan dipasang kepada mereka setiap malam selama beberapa hari,” katanya.

Selain itu terdapat rawatan pengkelatan besi (nyah besi) terkini iaitu melalui tablet yang dipanggil Exjade.

Rawatan tersebut lebih mudah digunakan kerana ia berbentuk tablet dan hanya perlu direndam dalam air sebelum diminum. Bagaimanapun, harganya agak mahal dan sehingga kini belum digunakan sepenuhnya di kebanyakan hospital.

Talasemia juga boleh dipulihkan melalui pemindahan sum-sum tulang sekiranya ada penderma yang sesuai di kalangan ahli keluarga.

Paling berkesan kata beliau, pemindahan stem sel yang terdapat pada tali pusat melalui teknologi terkini. Ia juga boleh dilakukan di kalangan ahli keluarga. Proses pemindahan stem sel itu perlu dilakukan kepada pesakit talasemia ketika masih bayi atau berumur lima tahun ke bawah sebelum sebarang masalah kesihatan terganggu.
Baca Lagi...

04 April 2014

Cara atasi alahan


Wanita hamil biasanya me­ngalami alahan dalam trimester pertama (tiga bulan pertama) dan sering dikaitkan dengan muntah, pening kepala dan perut berasa sebu serta tidak selesa.

Keadaan ini berlaku terutamanya ketika bangun tidur di mana seseorang wanita itu mungkin berasa pening dan loya. Namun ada juga wanita yang me­ngalami gejala ini sepanjang hari. 
Namun, apabila kandungan memasuki trimester kedua (empat hing­ga enam bulan), alahan akan hilang secara beransur-ansur. Tetapi dalam kes yang teruk, ada wanita terpaksa bertahan dengan masalah alahan ini sepanjang kehamilan sehinggalah dia melahirkan anak. 

Alahan ketika me­ngandung ini membuat­kan ramai wanita terpaksa menukar perancangan harian supaya masalah itu tidak menjejaskan rutin atau tugas mereka. Keadaan alahan setiap wanita tidak sama, kerana ada yang diduga dengan alahan teruk sehingga terpaksa mengambil cuti dan berehat secukupnya.

Sebenarnya alahan untuk jangka masa pendek adalah perkara biasa dan ia tidak akan menjejaskan kesihatan ibu mahupun anak dalam kandungan. Namun jika ia berlarutan sehingga muntah setiap kali makan, bayi berkemungkinan kekurangan nutrisi untuk perkembangannya dan kesihatan si ibu juga boleh terjejas.

Jika ini berlaku, si ibu akan mengalami masalah kekurangan air dalam badan. Antara gejala yang boleh dilihat ialah pening, dahaga dan air kencing sedikit daripada biasa. Segeralah dapatkan rawatan sekiranya perkara ini berlaku pada anda. 


Makanan 

Apabila bangun tidur pada waktu pagi, makanlah sedikit biskut dan rehat selama 15 minit, kemudian barulah bangun. 

Bangun secara perlahan-lahan dan ja­ngan terus baring selepas makan. 

Makan sedikit tetapi kerap supaya perut tidak kosong contohnya setiap dua jam walaupun tidak lapar. 

Makan apa saja yang diingini tetapi elakkan mengambil makanan pedas, berlemak atau bergoreng. 

Jika tidak tahan de­ngan bau yang kuat ketika memasak, buka tingkap dan kipas. Lebih baik jika individu lain yang memasak. 

Makan makanan yang sudah sejuk berbanding makanan panas kerana ia kurang bau. 

Petua menghidu bau limau nipis, limau kasturi atau halia boleh meredakan perut yang berasa sebu atau tidak selesa. 

Elakkan diri daripada mengambil kafein atau merokok. 

Minuman 

Minum air dengan kerap sehingga 12 gelas sehari. 

Elakkan minum ketika makan, sebelum dan selepas makan. 

Pengambilan air halia boleh mengurangkan rasa mual. 

Rutin harian 

Pastikan waktu rehat cukup kerana alahan akan bertambah buruk apabila kepenatan. Tidur sekejap di siang hari kerana biasanya pada trimester pertama, wanita mengandung kerap berasa letih dan mengantuk. 

Dapatkan bantuan untuk mengemas rumah dan menjaga anak yang lain jika ada. Pastikan peruntukkan masa untuk berehat. 

Elakkan berada di tempat panas kerana alahan akan bertambah teruk. 

Bergerak dengan perlahan-lahan dan elakkan pergerakan pantas. 

Dapatkan sokongan daripada individu yang rapat antaranya suami, ibu bapa ataupun rakan.

Baca Lagi...

Risiko penghidap diabetes mati awal


KENCING manis atau diabetes dipercayai meningkatkan risiko kematian yang dikaitkan dengan saluran darah seperti kanser payu dara dan radang paru-paru.

Kes yang pernah dirujuk kepada sebuah pusat kesihatan di New York membuktikan penghidap diabetes yang berusia 50 tahun meninggal dunia enam tahun lebih awal berbanding individu yang tidak menghidap penyakit itu.

Kajian yang dijalankan untuk menyukat tahap diabetes itu mendapati penyakit tersebut turut meningkatkan risiko kematian pramatang yang disebabkan kegagalan fungsi sistem saluran darah.

Ujar seorang penyelidik dari Universiti Cambridge di Britain, Dr. John Danesh, diabetes semakin mengancam kesihatan masyarakat dunia.

"Ketika kebanyakan orang beranggapan masalah jantung menjadi punca utama kematian, diabetes pula mengejutkan kita apabila muncul sebagai pemangkin utama kepada penyakit lain di dalam tubuh manusia," katanya.

Tambahnya, perokok jangka panjang juga menjadi penyebab pengurangan jangka hayat manusia selama 10 tahun berbanding individu yang tidak merokok.

Diabetes tersenarai sebagai tujuh penyakit utama penyebab kematian di Amerika dengan 26 juta rakyatnya menghidap penyakit itu.

Diabetes terjadi apabila kadar insulin dalam badan dihasilkan terlalu sedikit atau langsung tidak boleh digunakan untuk menghasilkan gula dalam darah.

Selain itu, diabetes dikaitkan dengan obesiti melampau yang menyebabkan risikonya bertambah dua kali ganda untuk pesakit diserang lemah jantung atau strok.

Namun, mereka juga mendapati 25 peratus pesakit diabetes lebih berisiko menderita kanser dan maut akibat kehadiran pelbagai penyakit lain termasuk jangkitan, komplikasi jantung dan buah pinggang selain kemalangan.

Dalam kes jangkitan penyakit berbahaya, diabetes melemahkan sistem imunisasi badan pesakit sekali gus memudahkan peluang virus menyerang sistem tubuh.

Diabetes juga boleh menyebabkan masalah penglihatan dan kegagalan sistem saraf pada kaki seterusnya mendorong seseorang itu terlibat dalam kemalangan.

Baca Lagi...

03 April 2014

Wanita lebih cenderung stres


Fakta menakutkan bagi wanita apabila golongan ini lebih berisiko diserang tekanan perasaan berbanding lelaki. Ini kerana mereka lebih beremosi, manakala lelaki dilindungi sikap ego mereka.

Tekanan pada peringkat awal sukar dikenal pasti kerana ia hanya berlaku sedikit demi sedikit hingga mengganggu sistem dalaman dan pemikiran seseorang.

Jika penyakit ini tidak dirawat pada peringkat awal, ia berkemungkinan merebak dan menjadi lebih besar serta berbahaya kepada diri, keluarga dan orang di sekitar mereka.

Perunding Psikologi Pantai Hospital Kuala Lumpur (PHKL), Dr Khairi Rahman berkata, tekanan adalah perubahan fisiologi yang boleh dilihat secara ketara dalam diri seseorang.

Ia terhasil apabila seseorang itu berasa keperluan melebihi keupayaan mereka.

Perkara ini membuatkan seseorang sering berfikir dan mahu mencapai sesuatu yang diinginkan itu dan jika tidak memperolehnya, mereka akan mengalami tekanan perasaan.

“Semua orang mengalami tekanan sama ada dalam keadaan sedikit mahupun banyak, bergantung kepada situasi di sekeliling mereka.

“Lelaki dan perempuan masing-masing mempunyai tekanan tersendiri iaitu di tempat kerja atau di rumah.

“Tekanan kerja setiap hari dan masalah kewangan, keluarga menjadi punca kepada masalah ini yang perlu ditangani dengan segera,” katanya.

Menurutnya, ketika berlaku tekanan, badan akan mengeluarkan hormon rangsangan yang dipanggil adrenalin ke dalam saluran darah.

Hormon ini bersama hormon lain akan menyebabkan perubahan ketara dalam tubuh sebelum tekanan berlaku.

“Antara perubahan yang akan berlaku kepada seseorang ialah denyutan jantung menjadi laju daripada biasa dan tekanan darah meningkat dengan cepat.

“Selain itu, kadar gula, lemak dan kolesterol dalam darah akan bertambah kerana diri tidak boleh mengawal perasaan dan pemakanan yang turut berubah,” katanya.

Tekanan akan menyebabkan gejala seperti insomnia (susah tidur), kemurungan, susah hati akan berlaku.

Justeru, apabila tertekan, kita memerlukan seorang teman untuk meluahkan perasaan bagi mengurangkan tekanan.

Dr Khairi berkata, antara faktor menyebabkan tekanan ialah emosi tidak stabil berpunca daripada masalah keluarga seperti perceraian, pergaduhan antara keluarga, campur tangan pihak ketiga dalam hubungan suami isteri.

Jika ini terjadi, hubungan seseorang dengan pasangannya terganggu dan akan menyebabkan perceraian yang bukan saja mengganggu masalah kerja di pejabat, malah menyebabkan tekanan besar kepada individu.

Tekanan perasaan juga berlaku kerana masalah penderaan fizikal dan mental oleh pasangan atau orang lain.

Misalnya kepada kanak-kanak yang pernah didera oleh penjaga sejak kecil.

Ini menyebabkan mereka berada dalam ketakutan dan trauma.

Perkara ini akan terbawa-bawa sehingga dewasa dan akhirnya membuatkan mereka tertekan.

Jika tidak ditangani, ia boleh merebak dan membawa penyakit mental.

“Kemurungan juga boleh berlaku jika seseorang berasa terlalu tertekan.

Ia boleh dielak apabila selalu berbincang dengan rakan sekerja dan majikan.

Kerjasama di antara dua pihak ini boleh menyelesaikan masalah dan mengelak tekanan berlaku.

“Manakala bagi pelajar sekolah, mereka akan mengalami tekanan ketika mahu menduduki peperiksaan.

Ini boleh ditangani jika membuat persediaan awal dengan bimbingan guru dan ibu bapa.

“Ahli sukan juga mengalami tekanan kerana masyarakat mahukan kemenangan.

Jika tidak menang, mereka akan dihamburkan dengan kata-kata kurang baik,” katanya.

Menurutnya, kehilangan kerja atau jawatan juga menyebabkan tekanan besar kerana kebanyakan kita mempunyai tanggungan keluarga.

Jika tiada kerja, ahli keluarga akan memberi tekanan untuk mendapatkan wang belanja.

Mereka yang sentiasa hidup dalam keadaan mewah mudah tertekan kerana keperluan itu tidak dapat dipenuhi.

Masalah antara keluarga membuatkan hubungan kekeluargaan retak dan jauh.

Hal ini akan menyebabkan individu disisihkan dan berlaku pertengkaran di antara mereka.

Jika berlarutan, ia boleh menyebabkan tekanan berpanjangan.

Konflik antara keluarga dikategorikan sebagai pergaduhan antara dua individu atau perceraian suami isteri.

“Kehilangan atau kematian orang tersayang menyumbang faktor seseorang menjadi tertekan dan akhirnya menghidap penyakit mental.

“Kebiasaannya kehilangan orang tersayang mengambil masa lama iaitu kira-kira enam bulan untuk pulih.

Jika tidak ditangani dalam tempoh ini, ia akan menjadi lebih parah iaitu tekanan jiwa.

“Selain itu, pengambilan dadah dan alkohol yang berlebihan akan menyebabkan seseorang berada di luar kawalan dan tertekan.

Perkara ini perlu ditangani kerana boleh menyebabkan keruntuhan kekeluargaan dan masyarakat berpecah,” katanya.

Baca Lagi...

02 April 2014

Bahaya radang paru-paru atau pneumonia


PNEUMONIA merupakan jangkitan pada bahagian paru-paru yang boleh membuatkan anda berasa lemah dan tidak sihat.

Selalunya pesakit akan batuk berkahak yang berpanjangan dan teruk, demam panas dan kadang-kadang mengalami kesukaran untuk bernafas.

Bagi kebanyakan pesakit, pneumonia boleh dirawat dirumah dan akan hilang dalam tempoh tiga hingga enam hari.

Namun, bagi warga tua, kanak-kanak dan pesakit yang mempunyai penyakit lain yang boleh memudaratkan keadaan pneumonia berkemungkinan akan terjejas teruk malah boleh membawa maut jika tidak mendapatkan rawatan yang betul dan segera.

Menurut statistik, 450 juta orang di seluruh dunia iaitu tujuh peratus daripada populasi dunia menghidap pneumonia dalam setahun. Hampir 4 juta daripadanya maut.

Menurut Pakar Perunding Perubatan Dada, Pusat Perubatan Tropicana (TMC), Dr. Mohammed Fauzi Abdul Rani, walaupun jumlah mereka yang berjaya pulih semakin ramai berbanding dulu terutamanya di negara membangun, statistik tersebut masih amat menakutkan.

“Antara komplikasi yang berlaku kepada kes-kes radang paru-paru yang tidak dirawat sepenuhnya ialah kewujudan nanah di bahagian paru-paru, kebocoran paru-paru, Sindrom Distres Pernafasan Akut dan akhirnya maut.

“Pesakit yang berpotensi mengalami komplikasi tersebut ialah warga tua, pesakit yang mengalami masalah kesihatan lain dan kanak-kanak.

“Contohnya pesakit itu berkemungkinan masuk hospital kerana penyakit jantung tetapi kemudian mengalami pneumonia lalu meninggal dunia kerana badan mereka sedia ada lemah," ujarnya ketika ditemui di TMC, baru-baru ini.

Ujar Dr. Fauzi, bagi mengelak komplikasi penyakit yang serius, pesakit perlu segera bertemu dengan doktor jika demam dan batuk berpanjangan atau jika masih belum pulih walau sudah mengambil ubat dari klinik.

Rawatan pantas perlu diberikan jika pesakit mengalami kesukaran bernafas dan gejala yang teruk.

Rawatan

Kebanyakan pesakit, rawatannya ialah mengambil oral antibiotik, rehat yang mencukupi, analgesia dan air yang mencukupi.

“Namun bagi yang mempunyai masalah kesihatan yang lain, berumur atau sukar bernafas, mereka memerlukan rawatan di hospital dengan segera.

“Rawatannya ialah antibiotik melalui intravena, terapi oksigen dan air yang mencukupi serta mengubati sistem organ lain yang terjejas.

“Melalui rawatan yang sesuai, pesakit akan pulih tiga hingga enam hari tetapi ada keadaan yang berlarutan selama berminggu-minggu untuk hilang sepenuhnya.

“Warga tua atau pesakit yang mengalami masalah paru-paru selalunya mengambil masa tiga bulan untuk pulih seperti biasa," terangnya.

Baca Lagi...

01 April 2014

By 11:34

ADAKAH anda bangun tidur sebelum matahari terbit dan pulang ke rumah setelah terbenamnya matahari? Atau adakah anda sering bergegas dari satu mesyuarat ke mesyuarat yang lain setiap hari? Mungkin anda pernah mengalami situasi tersebut malah sering berulang.

Sebaik-baiknya, pencegahan terhadap penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti diabetes, penyakit jantung, kanser dan sebagainya, harus dimulakan sejak kecil, namun masih belum terlambat untuk dimulakan sekarang. Jangan lagi bertangguh atau menunggu sehingga anda mengalami sakit dada baru anda mengambil berat tentang kesihatan. Mula amalkan pemakanan sihat dan kehidupan aktif sekarang.

Langkah 1 - Amalkan pemakanan sihat

Sarapan - Kajian saintifik membuktikan jika anda memulakan hari dengan sarapan yang seimbang, anda boleh fokus, meningkatkan tahap tumpuan, kepintaran dan daya ingatan.

Makan tengah hari - Jangan sesekali tinggalkan makan tengahari tidak kira sibuk manapun anda. Namun begitu, elakkan makan terlalu kenyang yang boleh menyebabkan anda berasa kembung, mengantuk dan tidak produktif.

Makan Malam - Sentiasa ingat untuk mengambil makanan yang seimbang, pelbagai dan tidak makan berlebihan. Pulang awal ke rumah untuk makan makanan yang dimasak di rumah dengan ahli keluarga.

Langkah 2 - Pilih makanan dengan bijak

>> Sentiasa memilih makanan yang disediakan dengan cara sihat seperti mengukus, membakar atau sup berbanding makanan bergoreng.

>> Pilih makanan rendah lemak, gula dan garam.

>> Pastikan ada buah-buahan dan sayuran dalam sajian harian anda

>> Elakkan mengambil terlalu banyak kuah, kerana ia biasanya tinggi lemak dan garam.


>> Pilih makanan tinggi serat.

>> Minum banyak air kosong dan elakkan minuman manis dan bergas.

Langkah 3 - Jadi lebih aktif dengan bersenam.

Langkah 4 - Pantau kesihatan anda

Rancang jadual pemeriksaan kesihatan anda secara berkala iaitu bulanan, suku tahun atau tahunan kerana anda perlu sentiasa mengetahui kedudukan tahap kesihatan anda. Anda juga boleh melakukan pemantauan diri sendiri seperti mengukur ketinggian dan berat badan supaya sentiasa dalam keadaan normal.

Baca Lagi...