07 April 2014

Kenali amaran awal sepsis


Sepsis, juga dikenali sebagai sindrom tindak balas keradangan sistemik (SIRS) adalah sejenis penyakit yang menyebabkan tubuh memberikan tindak balas melampau terhadap bakteria atau sebarang jangkitan kuman.

Sepsis yang sering disalah erti sebagai keracunan darah, adalah satu punca utama kematian di seluruh dunia. Ia suatu sindrom kompleks yang sukar untuk didefinisikan, didiagnosis dan dirawat. 

Jika melarat, ia boleh menyebabkan pesakit mengalami sepsis serius dan kejutan septik, di samping mengalami kegagalan pelbagai organ penting yang akhirnya membawa maut. Satu pertiga hingga separuh daripada pesakit yang mengalami sepsis menghadapi risiko kematian

Pensyarah kanan dan Pakar Perunding Anaestesiologi dan Rawatan Rapi, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia dan Hospital Serdang, Dr Noor Airini Ibrahim, berkata sepsis adalah penyakit yang berleluasa di negara maju dan membangun, tetapi malangnya paling kurang diiktiraf berbanding penyakit lain.

Menurutnya, pada peringkat global, dianggarkan kira-kira 20 hingga 30 juta pesakit terjejas akibat sepsis setiap tahun. Di negara membangun, sepsis menyebabkan 60 hingga 80 peratus kematian setiap tahun dalam kalangan pesakit bawah umur.

“Daripada jumlah itu, lebih enam juta kematian bayi baru lahir dan kanak-kanak berlaku setiap tahun. Terdapat lebih daripada 100,000 kes sepsis dalam kalangan ibu. Malah, setiap jam kira-kira 1,000 orang mati akibat sepsis di seluruh dunia. 

“Kematian disebabkan sepsis lebih tinggi berbanding bilangan kematian disebabkan kanser prostat, kanser payudara serta HIV dan Aids apabila ia digabungkan. Pakar perubatan percaya sepsis bertanggungjawab menyebabkan majoriti kematian yang berkaitan dengan HIV dan Aids, malaria, jangkitan paru-paru serta jangkitan lain diperoleh sama ada daripada masyarakat atau persekitaran penjagaan kesihatan serta kecederaan traumatik,” katanya. 

Malah, begitu seriusnya penyakit berkenaan hingga mulai tahun lalu, 13 September dipilih sebagai Hari Sepsis Sedunia bagi menyebarkan kesedaran mengenai sepsis di seluruh dunia. 

Menurut Dr Noor Airini, pesakit yang berjaya dirawat berhadapan dengan dua kali ganda risiko kematian dalam masa lima tahun yang berikutnya, berbanding pesakit hospital yang lain dan mereka juga sering mengalami masalah kesihatan fizikal, kognitif dan efektif yang berpanjangan. 

Menurutnya, meskipun kita kini berada dalam era perkembangan perubatan serba moden, insiden sepsis tetap meningkat secara mendadak disebabkan pelbagai faktor, antaranya usia penduduk yang semakin meningkat, peningkatan penggunaan intervensi berisiko tinggi dalam kalangan semua kumpulan umur dan perkembangan kuman jenis kalis antibiotik menyebabkan bentuk jangkitan yang lebih memudaratkan. 

Di Amerika Syarikat, kemasukan ke wad disebabkan sepsis meningkat lebih daripada dua kali ganda dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini dan mengatasi kemasukan wad disebabkan serangan jantung

Katanya, kajian di peringkat antarabangsa dan kebangsaan menunjukkan 20 hingga 40 peratus daripada pesakit sepsis yang memerlukan rawatan di unit rawatan rapi mendapat jangkitan di luar hospital. 

“Lazimnya, sepsis sangat sukar dikenal pasti di peringkat awal kerana gejala klinikal dan kaedah makmal yang digunakan seperti suhu badan yang tinggi, kiraan nadi, kadar pernafasan atau jumlah sel darah putih yang meningkat tidak spesifik. 

“Dalam kalangan kanak-kanak, tanda dan gejala sepsis mungkin tidak ketara dan kemerosotan kesihatan pesakit berlaku dengan cepat. Sepsis kurang diiktiraf dan kurang difahami kerana pelbagai faktor seperti kecelaruan definisi, kekurangan alat diagnostik, pelaksanaan garis panduan klinikal yang tidak konsisten untuk rawatan sepsis dan kekurangan dokumentasi sepsis sebagai punca kematian di dalam sijil kematian,” katanya. 

Menurut Dr Noor Airini, walaupun pesakit sepsis menghadapi risiko kematian lima kali ganda lebih tinggi berbanding pesakit yang mengalami serangan jantung atau strok, penyakit itu masih tidak diiktiraf atau diberikan rawatan kritikal segera. 

Berikutan gejala sepsis kurang diberikan perhatian, ia sebenarnya membawa ancaman lebih berbahaya. Jika diagnosis dibuat dan rawatan diberikan dalam jam pertama, kadar jangka hayat pesakit dapat diselamatkan adalah 80 peratus. Namun, selepas enam jam tanpa rawatan bersesuaian, kadar mampu diselamatkan menurun sehingga 30 peratus saja. 

“Sehubungan itu, amat penting untuk pesakit dan petugas kesihatan mengenal pasti tanda awal sepsis supaya rawatan betul dapat diberikan dalam tempoh satu jam pertama justeru, kematian akibat sepsis boleh dikurangkan sehingga separuh. 

“Cabaran paling getir adalah untuk memastikan gejala awal sepsis dapat dikenal pasti. Antara tanda awal sepsis termasuk kadar degupan jantung dan pernafasan yang deras, kesukaran bernafas, tekanan darah rendah, perubahan dalam tingkah laku seperti kekeliruan dan mengantuk, demam atau kesejukan serta perubahan pada warna kulit. 

“Semua pihak seharusnya mampu mengenal pasti tanda amaran awal sepsis seperti dalam kalangan kakitangan hospital, pekerja kesihatan yang mengendalikan pesakit di peringkat awal, doktor keluarga, jururawat masyarakat dan paramedik,” katanya. 

Menurutnya, permulaan intervensi asas dan mudah yang segera serta menepati masa seperti memberi ubat antimikrobial, cecair intravena dan rawatan lain untuk memulihkan peredaran darah boleh mengurangkan separuh daripada risiko kematian

Pesakit yang disyaki menghidap sepsis perlu segera dirujuk ke pusat kesihatan bersesuaian. Rawatan sepsis awal menjimatkan kos serta mengurangkan masa pesakit ditempatkan di hospital dan unit rawatan rapi.

0 comments: