02 April 2014

Bahaya radang paru-paru atau pneumonia


PNEUMONIA merupakan jangkitan pada bahagian paru-paru yang boleh membuatkan anda berasa lemah dan tidak sihat.

Selalunya pesakit akan batuk berkahak yang berpanjangan dan teruk, demam panas dan kadang-kadang mengalami kesukaran untuk bernafas.

Bagi kebanyakan pesakit, pneumonia boleh dirawat dirumah dan akan hilang dalam tempoh tiga hingga enam hari.

Namun, bagi warga tua, kanak-kanak dan pesakit yang mempunyai penyakit lain yang boleh memudaratkan keadaan pneumonia berkemungkinan akan terjejas teruk malah boleh membawa maut jika tidak mendapatkan rawatan yang betul dan segera.

Menurut statistik, 450 juta orang di seluruh dunia iaitu tujuh peratus daripada populasi dunia menghidap pneumonia dalam setahun. Hampir 4 juta daripadanya maut.

Menurut Pakar Perunding Perubatan Dada, Pusat Perubatan Tropicana (TMC), Dr. Mohammed Fauzi Abdul Rani, walaupun jumlah mereka yang berjaya pulih semakin ramai berbanding dulu terutamanya di negara membangun, statistik tersebut masih amat menakutkan.

“Antara komplikasi yang berlaku kepada kes-kes radang paru-paru yang tidak dirawat sepenuhnya ialah kewujudan nanah di bahagian paru-paru, kebocoran paru-paru, Sindrom Distres Pernafasan Akut dan akhirnya maut.

“Pesakit yang berpotensi mengalami komplikasi tersebut ialah warga tua, pesakit yang mengalami masalah kesihatan lain dan kanak-kanak.

“Contohnya pesakit itu berkemungkinan masuk hospital kerana penyakit jantung tetapi kemudian mengalami pneumonia lalu meninggal dunia kerana badan mereka sedia ada lemah," ujarnya ketika ditemui di TMC, baru-baru ini.

Ujar Dr. Fauzi, bagi mengelak komplikasi penyakit yang serius, pesakit perlu segera bertemu dengan doktor jika demam dan batuk berpanjangan atau jika masih belum pulih walau sudah mengambil ubat dari klinik.

Rawatan pantas perlu diberikan jika pesakit mengalami kesukaran bernafas dan gejala yang teruk.

Rawatan

Kebanyakan pesakit, rawatannya ialah mengambil oral antibiotik, rehat yang mencukupi, analgesia dan air yang mencukupi.

“Namun bagi yang mempunyai masalah kesihatan yang lain, berumur atau sukar bernafas, mereka memerlukan rawatan di hospital dengan segera.

“Rawatannya ialah antibiotik melalui intravena, terapi oksigen dan air yang mencukupi serta mengubati sistem organ lain yang terjejas.

“Melalui rawatan yang sesuai, pesakit akan pulih tiga hingga enam hari tetapi ada keadaan yang berlarutan selama berminggu-minggu untuk hilang sepenuhnya.

“Warga tua atau pesakit yang mengalami masalah paru-paru selalunya mengambil masa tiga bulan untuk pulih seperti biasa," terangnya.

0 comments: