Fakta menakutkan bagi wanita apabila golongan ini lebih berisiko diserang tekanan perasaan berbanding lelaki. Ini kerana mereka lebih beremosi, manakala lelaki dilindungi sikap ego mereka.
Tekanan pada peringkat awal sukar dikenal pasti kerana ia hanya berlaku sedikit demi sedikit hingga mengganggu sistem dalaman dan pemikiran seseorang.
Jika penyakit ini tidak dirawat pada peringkat awal, ia berkemungkinan merebak dan menjadi lebih besar serta berbahaya kepada diri, keluarga dan orang di sekitar mereka.
Perunding Psikologi Pantai Hospital Kuala Lumpur (PHKL), Dr Khairi Rahman berkata, tekanan adalah perubahan fisiologi yang boleh dilihat secara ketara dalam diri seseorang.
Ia terhasil apabila seseorang itu berasa keperluan melebihi keupayaan mereka.
Perkara ini membuatkan seseorang sering berfikir dan mahu mencapai sesuatu yang diinginkan itu dan jika tidak memperolehnya, mereka akan mengalami tekanan perasaan.
“Semua orang mengalami tekanan sama ada dalam keadaan sedikit mahupun banyak, bergantung kepada situasi di sekeliling mereka.
“Lelaki dan perempuan masing-masing mempunyai tekanan tersendiri iaitu di tempat kerja atau di rumah.
“Tekanan kerja setiap hari dan masalah kewangan, keluarga menjadi punca kepada masalah ini yang perlu ditangani dengan segera,” katanya.
Menurutnya, ketika berlaku tekanan, badan akan mengeluarkan hormon rangsangan yang dipanggil adrenalin ke dalam saluran darah.
Hormon ini bersama hormon lain akan menyebabkan perubahan ketara dalam tubuh sebelum tekanan berlaku.
“Antara perubahan yang akan berlaku kepada seseorang ialah denyutan jantung menjadi laju daripada biasa dan tekanan darah meningkat dengan cepat.
“Selain itu, kadar gula, lemak dan kolesterol dalam darah akan bertambah kerana diri tidak boleh mengawal perasaan dan pemakanan yang turut berubah,” katanya.
Tekanan akan menyebabkan gejala seperti insomnia (susah tidur), kemurungan, susah hati akan berlaku.
Justeru, apabila tertekan, kita memerlukan seorang teman untuk meluahkan perasaan bagi mengurangkan tekanan.
Dr Khairi berkata, antara faktor menyebabkan tekanan ialah emosi tidak stabil berpunca daripada masalah keluarga seperti perceraian, pergaduhan antara keluarga, campur tangan pihak ketiga dalam hubungan suami isteri.
Jika ini terjadi, hubungan seseorang dengan pasangannya terganggu dan akan menyebabkan perceraian yang bukan saja mengganggu masalah kerja di pejabat, malah menyebabkan tekanan besar kepada individu.
Tekanan perasaan juga berlaku kerana masalah penderaan fizikal dan mental oleh pasangan atau orang lain.
Misalnya kepada kanak-kanak yang pernah didera oleh penjaga sejak kecil.
Ini menyebabkan mereka berada dalam ketakutan dan trauma.
Perkara ini akan terbawa-bawa sehingga dewasa dan akhirnya membuatkan mereka tertekan.
Jika tidak ditangani, ia boleh merebak dan membawa penyakit mental.
“Kemurungan juga boleh berlaku jika seseorang berasa terlalu tertekan.
Ia boleh dielak apabila selalu berbincang dengan rakan sekerja dan majikan.
Kerjasama di antara dua pihak ini boleh menyelesaikan masalah dan mengelak tekanan berlaku.
“Manakala bagi pelajar sekolah, mereka akan mengalami tekanan ketika mahu menduduki peperiksaan.
Ini boleh ditangani jika membuat persediaan awal dengan bimbingan guru dan ibu bapa.
“Ahli sukan juga mengalami tekanan kerana masyarakat mahukan kemenangan.
Jika tidak menang, mereka akan dihamburkan dengan kata-kata kurang baik,” katanya.
Menurutnya, kehilangan kerja atau jawatan juga menyebabkan tekanan besar kerana kebanyakan kita mempunyai tanggungan keluarga.
Jika tiada kerja, ahli keluarga akan memberi tekanan untuk mendapatkan wang belanja.
Mereka yang sentiasa hidup dalam keadaan mewah mudah tertekan kerana keperluan itu tidak dapat dipenuhi.
Masalah antara keluarga membuatkan hubungan kekeluargaan retak dan jauh.
Hal ini akan menyebabkan individu disisihkan dan berlaku pertengkaran di antara mereka.
Jika berlarutan, ia boleh menyebabkan tekanan berpanjangan.
Konflik antara keluarga dikategorikan sebagai pergaduhan antara dua individu atau perceraian suami isteri.
“Kehilangan atau kematian orang tersayang menyumbang faktor seseorang menjadi tertekan dan akhirnya menghidap penyakit mental.
“Kebiasaannya kehilangan orang tersayang mengambil masa lama iaitu kira-kira enam bulan untuk pulih.
Jika tidak ditangani dalam tempoh ini, ia akan menjadi lebih parah iaitu tekanan jiwa.
“Selain itu, pengambilan dadah dan alkohol yang berlebihan akan menyebabkan seseorang berada di luar kawalan dan tertekan.
Perkara ini perlu ditangani kerana boleh menyebabkan keruntuhan kekeluargaan dan masyarakat berpecah,” katanya.
0 comments:
Catat Ulasan