06 April 2014

Bahaya asid lemak trans


Asid lemak ‘trans’ terhasil daripada minyak tumbuhan yang ditambah hidrogen melalui proses hidrogenasi untuk menjadikannya pepejal seperti marjerin. Tujuan proses ini dilakukan untuk menambah kestabilan makanan dan melambatkan tempoh makanan itu menjadi rosak. Malangnya proses ini menyebabkan terhasilnya asid lemak trans ini.

Banyak kajian sains yang menunjukkan pemakanan yang tinggi dengan asid lemak trans meningkatkan paras kolesterol tidak baik atau LDL dan merendahkan paras kolesterol baik atau HDL.

Justeru, ia meningkatkan risiko mendapat masalah penyakit jantung koronari, darah tinggi, strok dan kolesterol berlebihan.

Terdapat sesetengah pakar pemakanan berpendapat bahawa pengambilan asid lemak trans ini lebih buruk daripada pengambilan lemak tepu terus daripada sumber haiwan.

Dalam zaman moden ini, penggunaan asid lemak trans ini amat berleluasa hingga hampir mustahil untuk seseorang mengelak daripada memakannya setiap hari. Hampir semua makanan proses menggunakan asid lemak trans seperti mi segera, biskut, kuih-muih, kek, pastri, kerepek, donut, kentang goreng dan jajan. Kebanyakan makanan ini menggunakan marjerin atau mentega.

Makanan segera seperti burger yang dijual di tepi jalan atau restoran makanan segera juga mengandungi asid lemak trans yang tinggi kerana ia digoreng menggunakan marjerin atau mentega.

Di samping itu, ia menggunakan banyak perasa dan bahan pengawet. Anda patut kurangkan pengambilan makanan seperti ini kerana boleh menyebabkan masalah kolesterol yang tinggi.

Untuk meninggalkan langsung makanan mengandungi asid lemak trans ini adalah agak susah dan hampir mustahil bagi kita yang hidup di zaman moden sekarang. Cara terbaik mengurangkan pengambilannya ke tahap paling seminimum yang mungkin.

Jauhi makanan proses Elakkan dan kurangkan pengambilan makanan proses semaksimum yang mungkin. Janganlah jadikan makanan segera, kerepek sebagai makan ringan dalam tabiat seharian. Makanlah lebih banyak makanan asli seperti ulam-ulaman, nasi, buah-buahan, roti berserat penuh, sayur-sayuran dan protein.

Kurangkan makanan bergoreng atau makanan segera yang digoreng dalam (deep fried). Lebihkanlah pengambilan makanan yang dimasak dengan cara dibakar, kukus dan rebus.

Bacalah pembalut plastik makanan segera yang kita beli dan telitilah pada labelnya serta perhatikan perkataan seperti ‘hydrogenated vegetable oils’ atau ‘partially hydrogenated vegetable oils’ dan sebagainya. Ini adalah asid lemak trans yang terkandung dalam makanan berkenaan.

Terdapat sesetengah pengeluar makanan sudah mula menggunakan minyak yang tidak mengandungi asid lemak trans. Jika boleh gunakanlah marjerin yang tidak mengandungi asid lemak trans atau ‘nonhydrogented’ yang dijual di pasaran. Jagalah pemakanan anak anda dengan tidak menggalakkan pengambilan makanan segera dan kerepek atau jajan yang mengandungi asid lemak trans ini. Makanlah lemak yang sihat dengan banyak makan ikan mengandungi asid lemak Omega 3 yang lebih baik untuk kesihatan.

Sikap pemakanan yang sihat harus dipupuk sejak kecil demi untuk kesihatan yang lebih baik apabila dewasa. Galakkan anak makan buah-buahan yang jauh lebih sihat sebagai snek harian atau sewaktu bersantai bersama keluarga. Dengan mengurangkan makanan yang tinggi dengan asid lemak trans maka kita boleh mengurangkan masalah kolesterol berlebihan. Kolesterol berlebihan sememangnya terbukti dalam kajian sains menjadi punca pelbagai penyakit zaman moden seperti darah tinggi, strok, serangan jantung dan sebagainya. Insya-Allah hidup anda akan lebih sihat dengan mengamalkan pemakanan yang sihat.

0 comments: