Asid lemak ‘trans’ terhasil daripada minyak tumbuhan yang ditambah hidrogen melalui proses hidrogenasi untuk menjadikannya pepejal seperti marjerin. Tujuan proses ini dilakukan untuk menambah kestabilan makanan dan melambatkan tempoh makanan itu menjadi rosak. Malangnya proses ini menyebabkan terhasilnya asid lemak trans ini.
Banyak kajian sains yang menunjukkan pemakanan yang tinggi dengan asid lemak trans meningkatkan paras kolesterol tidak baik atau LDL dan merendahkan paras kolesterol baik atau HDL.
Justeru, ia meningkatkan risiko mendapat masalah penyakit jantung koronari, darah tinggi, strok dan kolesterol berlebihan.
Terdapat sesetengah pakar pemakanan berpendapat bahawa pengambilan asid lemak trans ini lebih buruk daripada pengambilan lemak tepu terus daripada sumber haiwan.
Dalam zaman moden ini, penggunaan asid lemak trans ini amat berleluasa hingga hampir mustahil untuk seseorang mengelak daripada memakannya setiap hari. Hampir semua makanan proses menggunakan asid lemak trans seperti mi segera, biskut, kuih-muih, kek, pastri, kerepek, donut, kentang goreng dan jajan. Kebanyakan makanan ini menggunakan marjerin atau mentega.
Makanan segera seperti burger yang dijual di tepi jalan atau restoran makanan segera juga mengandungi asid lemak trans yang tinggi kerana ia digoreng menggunakan marjerin atau mentega.
Di samping itu, ia menggunakan banyak perasa dan bahan pengawet. Anda patut kurangkan pengambilan makanan seperti ini kerana boleh menyebabkan masalah kolesterol yang tinggi.
Untuk meninggalkan langsung makanan mengandungi asid lemak trans ini adalah agak susah dan hampir mustahil bagi kita yang hidup di zaman moden sekarang. Cara terbaik mengurangkan pengambilannya ke tahap paling seminimum yang mungkin.
0 comments:
Catat Ulasan