28 Jun 2013

Kekurangan vitamin D

Kekurangan vitamin D tidak hanya berlaku pada wanita kerana ia turut membabitkan lelaki dan kanak-kanak. Kira-kira 50 peratus kanak-kanak di Eropah dan Amerika Utara berisiko tinggi mendapat pelbagai penyakit yang disebabkan kekurangan vitamin D. Dianggarkan 40 hingga 100 peratus lelaki warga emas di Eropah juga kekurangan vitamin D, bergantung kepada kedudukan negara dari garisan Khatulistiwa.

Kira-kira 30 hingga 50 peratus kanak-kanak di Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, Turki, India dan Lubnan mengalami kekurangan vitamin D yang agak teruk. Kajian yang dilakukan ke atas kanak-kanak prasekolah di Mexico juga mendapati 54 peratus mengalami masalah serupa.

Di Malaysia, kajian ke atas kanak-kanak sekolah berumur lima hingga 12 tahun di lima sekolah di Kuala Lumpur pada 2011 yang dilaporkan dalam Jurnal Kesihatan Awam BMC mendapati 35 peratus daripada kanak-kanak mengalami kekurangan vitamin D yang serius dan paras vitamin D pada 37 peratus golongan muda itu terlalu rendah untuk menyokong kesihatan yang baik. 

Peranan atau fungsi vitamin D bukan hanya untuk kesihatan tulang. 

Ia mempunyai peranan lebih besar yang merangkumi kesihatan badan secara keseluruhan. Penyelidik mengesahkan vitamin D menjadi komponen pelengkap kepada kesihatan dan pengekalan sel badan. 

Kajian terbaru mengesahkan bahawa vitamin D memainkan peranan penting dalam:

Metabolisma sel
Kesihatan jantung
Sebagai sokongan kepada sistem saraf
Mengurangkan keradangan sistemik (yang membabitkan seluruh badan)

Malah penyelidik di Universiti California kini berasa lebih pasti bahawa kekurangan vitamin D mungkin menjadi punca kepada pelbagai jenis kanser. Malangnya kekurangan vitamin D ini adalah masalah yang sering disalah diagnos dan tidak disedari.

Kekurangan vitamin D yang sedikit biasanya tidak menimbulkan sebarang gejala. 

Bagaimanapun, ia boleh meningkatkan risiko sepanjang hayat kepada seseorang untuk mendapat pelbagai penyakit antaranya kanser, penyakit jantung, osteoporosis, kencing manis, sklerosis pelbagai dan gangguan autoimun.

Malah kata MacWilliam lagi, Malaysia yang terletak hanya tiga darjah di atas garisan Khatulistiwa yang kaya dengan sumber vitamin D percuma mula mencatatkan kes penyakit riket (penyakit kanak-kanak iaitu tulang tidak menjadi keras dan cacat) akibat kekurangan vitamin D.

Kekurangan vitamin D yang teruk boleh menyebabkan berlakunya kehilangan mineral pada tulang. Individu yang ada masalah ini akan mula mengalami pelbagai gejala seperti sakit pada tulang, keletihan melampau, lebih mudah mengalami keretakan tulang, tulang menjadi lembut, osteoporosis (tulang rapuh), masalah tulang belakang, otot lemah dan mudah kejang, peningkatan tahap kolesterol dan tekanan darah.


0 comments: