30 Disember 2010

Probiotik bantu cegah penyakit

PERANAN usus bukan sekadar sebagai tempat salur laluan makanan sebelum dikumuhkan, malah ia berperanan sebagai barisan pertahanan penting tubuh terhadap bakteria berbahaya.

Kesihatan usus akan mempengaruhi penyerapan zat daripada makanan dan ini tentunya memberi kesan kepada kesihatan tubuh yang juga mempengaruhi kekuatan sistem ketahanan badan.

Kebanyakan masalah lazim berkaitan dengan saluran gastrousus sebenarnya bermula dengan ketidakseimbangan mikroflora usus, iaitu akibat gangguan mikro-organisma berbahaya.

Menurut Penyelidik Kanan, Institut Penyelidikan Mikrobilogi Yakult, Dr. Takuya Takahashi, probiotik merupakan bakteria yang bertindak membantu mengekalkan kesihatan dan ia bukan saja membantu fungsi pencernaan serta mengurangkan kehadiran organisma berbahaya.

''Penggunaan probiotik terbukti mampu mencegah atau merawat penyakit,'' ujarnya.

Terang beliau lagi, penyelidikan mendapati probiotik juga boleh membantu menguatkan sistem imunisasi badan untuk melawan alahan, tekanan, pendedahan kepada bahan toksik dan penyakit lain.

Secara umumnya, probiotik melekat pada dinding dan menghuni saluran gastrousus. Ia berperanan memperbaiki masalah usus seperti kembung, cirit-birit dan sembelit yang disebabkan mikroflora usus yang tidak seimbang dengan mengeluarkan anti infektif protein untuk melawan patogen.

Selain itu, probiotik juga berupaya menghalang atau mengawal pertumbuhan patogen usus.

Ia penting kerana pertumbuhan patogen usus boleh menyebabkan alergi, kembung perut, cirit-birit dan gastritis.

Ia terbukti melalui kajian pada Ogos lalu dengan kerjasama Institut Taun dan Penyakit Enterik India, membabitkan 3,585 kanak-kanak yang berusia setahun hingga lima tahun.

Daripada kajian itu, kanak-kanak yang meminum susu kultur Yakult yang mengandungi Lactobacillus casei strain Shirota mampu mengurangkan kadar penyakit terutama cirit birit.

Malah terang Dr. Takahashi lagi, ada kajian yang menyokong pengambilan probiotik kerana ia mungkin membantu mengelak kejadian seperti masalah keradangan usus di kalangan orang dewasa, manakala kanak-kanak juga tidak terlepas daripada mengalami masalah gangguan penghadaman seperti intoleransi laktosa, sembelit, cirit-birit dan juga kembung perut.

''Sistem pertahanan badan yang lemah akan menyebabkan anak-anak mudah jatuh sakit. Senario begini yang kerap bukan sahaja merisaukan ibu bapa tetapi mungkin menjejaskan tumbesaran dan prestasi kognitif anak-anak,'' terangnya.

Probiotik juga membantu merangsang pertumbuhan bakteria baik dalam saluran usus.

''Ia mampu menghasilkan bahan anti mikrobial, reuterin dan asid organik yang mewujudkan persekitaran yang merencatkan pertumbuhan bakteria berbahaya," jelasnya.



Baca Lagi...

26 Disember 2010

Sakit perut tanda kanser usus

PERNAHKAH anda mengalami gastritis? Mungkin ramai pembaca di luar sana tidak mengetahui apa itu gastritis kerana ia merupakan nama saintifik bagi penyakit angin atau sakit perut.

Gastritis atau angin bukanlah satu penyakit. Tetapi satu keadaan di mana berlaku inflamasi dalam lapisan perut.

Tetapi merupakan tanda-tanda awal kanser perut.

Menurut Pakar Bedah dan Runding Gastrointestinal, Pusat Perubatan Sunway, Dr. Ramesh Gurunathan, sekiranya mereka yang mengalami sakit perut berlarutan atau kerap mengalaminya, dinasihatkan agar mendapatkan rawatan doktor atau melakukan ujian endoskopi.

Malah tambah beliau, sekiranya ia tidak dirawat dengan segera ia boleh membawa maut.

''Keadaan ini (angin) disebabkan oleh bakteria yang dikenali sebagai helicobacter pylori iaitu sejenis bakteria yang boleh dirawat dengan antibiotik.

''Tetapi sekiranya ia (bakteria tersebut) tidak dirawat dengan segera, ia boleh membawa maut di mana bakteria tersebut akan bertukar menjadi sel-sel kanser.

''Untuk itu, sekiranya pesakit mengalami sakit perut yang kerap ataupun berlarutan, selain diberikan ubat oleh doktor, mereka juga berhak untuk melakukan ujian endoskopi untuk mengetahui penyakit sebenar,'' ujarnya ketika ditemui di pejabatnya, baru-baru ini.

Jelas beliau lagi, di Malaysia, kanser perut merupakan penyakit yang ketujuh tertinggi di kalangan kaum lelaki manakala bagi wanita pula ia merupakan penyakit yang ke-10.

Sebanyak 50 peratus daripada penduduk dunia sememangnya dijangkiti dengan bakteria helicobacter pylori dan 90 peratus masyarakat setempat akan mengalami sakit perut atau angin.

Mengikut statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan, antara tahun 1997 hingga 2007, di Malaysia terdapat 13,539 kes dan setiap tahun lebih daripada 100 orang akan meninggal.

Jika dilihat tahun-tahun sebelum ini, terdapat 800 kes baru yang dikesan tetapi bermula daripada tahun 2000 jumlah tersebut telah meningkat sehingga 1,000 kes.

Peningkatan angka tersebut menurut Dr. Ramesh kerana di Malaysia sendiri kurang pendedahan diberikan kepada masyarakat mengenai kanser perut.

Berbicara dengan lebih lanjut mengenai kanser perut, jelas Dr. Ramesh lagi, secara amnya, inflamasi terjadi akibat jangkitan bakterium yang sama dengan ulser perut dan faktor-faktor lain yang menyumbang kepada gastritis termasuklah kecederaan traumatik dan penggunaan pil penahan sakit secara kerap.

Bagaimanapun ujar beliau lagi, gastritis juga boleh menyebabkan pendarahan di dalam perut tetapi ia jarang berlaku melainkan jika terdapat ulser.

Pendarahan di dalam perut akan menyebabkan pesakit muntah darah atau membuang najis yang hitam seakan tar di mana ia memerlukan penjagaan perubatan dengan segera.

Kanser perut, selain disebabkan oleh bakteria helicobacter pylori, ulas Dr. Ramesh, para penyelidik percaya bahawa amalan memakan makanan yang diawet, termasuklah makanan yang dikeringkan, disalai atau dijeruk juga menjadi punca kanser perut.

Tambahnya, negara Jepun adalah negara yang mempunyai kadar pesakit kanser perut yang tertinggi di dunia.

Beliau memberitahu, kelambatan diagnosis kanser perut merupakan masalah utama yang dihadapi oleh pakar perubatan dalam menangani kes kanser di Malaysia.

Ini disebabkan gejala kanser perut hanya timbul setelah ketumbuhan tersebut di tahap yang kronik dan terlalu lewat.

Bagaimanapun, kanser perut yang dikesan di peringkat awal (early gastric cancer) berpotensi untuk sembuh berbanding kanser perut peringkat lewat.

Untuk itu, Dr. Ramesh turut menasihatkan agar mengamalkan pemakanan yang seimbang dan sihat dalam menentukan tahap kesihatan masing-masing.

''Gaya hidup yang sihat dan amalan melakukan pemeriksaan usus dan perut sekali setahun merupakan langkah pencegahan yang paling efektif bagi mengelakkan nyawa daripada diragut penyakit itu,'' katanya.


Baca Lagi...

25 Disember 2010

Sembelit

Sembelit ialah apabila kekerapan untuk membuang air besar berkurangan dan kesukaran untuk membuang najis. Sembelit merupakan satu gejala, bukannya satu penyakit. Setiap orang pernah mengalami sembelit dalam kehidupan mereka dan selalunya ia disebabkan oleh amalan pemakanan yang tidak baik.

Tanda dan Gejala

Biasanya gejala-gejala sembelit adalah seperti berikut. Walau bagaimanapun, setiap orang mungkin akan mengalami gelaja-gejala yang berlainan. Gejala-gejala tersebut:

    * Tidak membuang air besar beberapa hari, atau membuang najis yang keras dan kering.
    * Perut kembung, kejang atau sakit.
    * Kurang selera makan.
    * Gigi mengetap, kaki tersilang, punggung dikepit bersama, muka menjadi kemerahan apabila kanak-kanak cuba untuk menahan pembuangan najis untuk elakkan ketidakselesaan.
    * Sedikit cecair atau calitan najis lembut pada seluar dalam kanak-kanak.

Sebab-Sebab

Ketika makanan bergerak menerusi kolon, kolon akan menyerap air daripada makanan semasa ia membentuk bahan buangan atau najis. Pengecutan otot pada kolon kemudiannya akan menolak najis ke rektum (bahagian akhir pada usus besar). Setelah najis sampai ke rektum, ia telah menjadi keras kerana kebanyakan air telah diserap.

Sembelit berlaku apabila kolon menyerap telalu banyak air atau jika otot kolon mengecut secara perlahan atau lembab menyebabkan najis bergerak ke arah kolon secara terlalu perlahan. Akibatnya, najis akan menjadi keras dan kering. Sebab-sebab biasa berlakunya sembelit ialah:

    * Kurang serat dalam diet.
    * Kurang aktiviti fizikal (terutamanya di kalangan warga tua).
    * Pengubatan.
    * Susu.
    * Sindrom gangguan semasa pembuangan air besar (Irritable bowel syndrome).
    * Perubahan dalam kehidupan yang rutin seperti mengandung, penuaan dan pengembaraan.
    * Penyalahgunaan julap.
    * Menahan untuk membuang air besar.
    * Kekurangan air.
    * Penyakit atau keadaan tertentu seperti strok.
    * Masalah dengan kolon dan rektum.
    * Masalah dengan fungsi usus (sembelit kronik yang secara tiba-tiba dan tanpa sebab.

Komplikasi

Sembelit yang berpanjangan dan serius mungkin boleh menyebabkan buasir yang disebabkan oleh menahan untuk membuang air besar atau Anal Fissures (koyakan pada kulit di sekeliling anus). Ia berlaku disebabkan oleh najis yang keras meregangkan otot Sphincter. Kesannya, pendarahan rektum mungkin berlaku, di mana darah kelihatan di permukaan najis.

Kadang kala, regangan menyebabkan rektum terkeluar (terjatuh) dan ini boleh menjurus kepada pengeluaran mukus dari dubur. Rektum yang terkeluar dengan teruk dan kronik memerlukan pembedahan untuk menguatkan dan mengetatkan otot spinchcter dubur atau untuk membaiki lapisan yang terkeluar (terjatuh).

Sembelit juga boleh disebabkan oleh najis yang keras memenuhi ruang usus dan rektum secara amat ketat yang mana penolakan najis keluar secara normal tidak mampu membawa najis keluar. Ini merupakan Fecal Impaction yang biasa berlaku di kalangan kanak-kanak dan orang dewasa. Impak ini boleh dilembutkan dengan penggunaan minyak mineral yang diminum atau disuntik menerusi dubur. Selepas melembutkan impaksi, doktor mungkin akan memecahkan dan membuang bahagian najis yang keras dengan memasukkan jari.

Rawatan

Perkara utama dalam merawat sembelit ialah untuk memastikan kita memakan serat dan meminum air dengan cukup. Ini akan membantu najis bergerak menerusi usus dengan meningkatkan ketebalan najis dan menjadikannya lebih lembut.

Berbincang dengan doktor keluarga anda sekiranya:

    * Sembelit masih baru dan jarang berlaku kepada anda.
    * Anda mengalami sembelit selama 3 minggu atau lebih.
    * Anda dalam kesakitan.
    * Anda mendapati najis anda berdarah.

Pencegahan

Dalam banyak kes, tips mudah berikut akan membantu:

    * Makan pelbagai jenis makanan. Makan banyak kekacang, bijirin penuh, buahan segar dan sayuran.
    * Minum banyak air.
    * Lakukan senaman secara berkala.
    * Jangan menahan untuk membuang air besar.
    * Ketahuilah yang tabiat membuang air besar yang normal adalah berbeza mengikut individu.
    * Sekiranya tabiat membuang air besar anda berubah, dapatkan pemeriksaan doktor anda.


Baca Lagi...

24 Disember 2010

Bersenam bukan cara kuruskan badan

LONDON - Satu kajian menunjukkan bahawa bersenam bukannya cara terbaik untuk menurunkan berat badan, lapor sebuah akhbar semalam.

Kajian itu menyatakan penurunan bilangan kanak-kanak yang berjalan ke sekolah dan peningkatkan bilangan orang menonton televisyen didapati bukan penyumbang kepada berat badan.

Menurut kajian itu, kanak-kanak yang pergi ke sekolah dengan menaiki kereta akan menghabiskan masa untuk berlari di taman permainan.

Menurut seorang pakar dari Universiti Aberdeen, Profesor John Speakman, pada tahun 1950an, tidak ada seorang pun yang membeli sebuah basikal senaman dan mengayuhnya di dalam garaj.

Namun, katanya, ketika ini ramai orang yang menggunakan basikal senaman dan mengayuhnya di dalam garaj untuk menguruskan badan.

Justeru, katanya, seseorang manusia kini bukannya tidak aktif jika dibandingkan 20 tahun lalu.

Menurutnya, peningkatan masalah kegemukan sebenarnya disebabkan seseorang itu makan terlalu banyak dan bukannya kurang melakukan senaman. - Agensi



Baca Lagi...

21 Disember 2010

Gout penyakit eksklusif lelaki

GOUT adalah penyakit eksklusif untuk lelaki dan jarang sekali berlaku kepada wanita. Jika ada pun, kemungkinan berlaku hanya selepas wanita mengalami menopaus.

Apabila gout menyerang, kaki akan menjadi bengkak, panas dan amat sakit hingga ada sesetengah pesakit tidak boleh berjalan. Gout kronik berupaya untuk mengganggu kehidupan harian yang normal. Paling digeruni adalah kecacatan sendi dan otot, sama ada kecacatan ringan atau berat.

Kajian menunjukkan bahawa pesakit gout juga berisiko untuk mendapat penyakit sistem kardiovaskular serta berupaya menyebabkan kegagalan ginjal.

Penulis mendapatkan pandangan Pakar Perunding Rheumatik, Dr. Anwar Samhari Mat Arshad dari Hospital Pakar KPJ Pulau Pinang mengenai penyakit yang digelar 'Disease of King' ini.

Bagaimana serangan gout berlaku?

l Akibat pemendapan kristal asid urik dalam rongga sendi. Lama kelamaan akan menyebabkan kristal garam dan mencetuskan rasa sakit sendi teramat sangat. Selalunya bermula dari sendi ibu jari kaki dan menular ke sendi lain.

l Serangan gout berpunca dari peningkatan kadar asid urik dalam darah (hyperuriceamia).

Jenis-jenis gout:

Gout boleh dibahagikan kepada empat peringkat; -asimptomatik (tiada simptom), -akut -simptom gout berlaku secara cepat dan tiba-tiba; biasanya hanya menyerang tisu lembut pada beberapa sendi.

l interkritikal

l kronik -serangan gout boleh berlaku berulang-ulang yang dipanggil polyarticular gout. Pesakit akan berasa amat sakit, kejang dan kaki berubah bentuk. Ada juga yang mungkin menghadapi masalah kaki bengkak, merah, panas dan demam.

Tofus

Pengumpulan asid urik boleh dilihat melalui pembentukan benjolan kecil di permukaan kulit yang dipanggil tofus. Pada keadaan yang lebih serius, tofus yang terlalu besar mungkin pecah dan mengeluarkan bahan seperti kapur. Selain kaki, gout juga boleh berlaku pada anggota badan yang lain seperti buku lali, lutut, tangan dan pergelangan tangan.

Jumlah tofus berkait rapat dengan berat badan dan kadar asid urik di dalam badan manusia. Tofus akan berkurangan apabila kadar asid urik berada di bawah paras empat mg/dl, dan menjadi lebih besar berat jika paras asid urik berlebihan dari 11 mg/dl.

Bagaimanapun, bukan semua sakit sendi disebabkan kristal asid urik kerana pemendapan kalsium pirofosfat dihidrat juga boleh menyebabkan kesakitan pada pergelangan kaki, lutut dan pergelangan tangan - yang dipanggil gout palsu atau pseudogout.

Risiko

l Jantina - lelaki lebih berisiko mendapat gout pada kadar 90 peratus.

l Gaya hidup - Individu yang banyak minum minuman keras terutama bir dikatakan lebih berisiko mendapat gout.

l Obesiti - individu yang mempunyai berat badan lebih 66 kilogram daripada berat badan normal.

l Sesetengah penyakit - tekanan darah tinggi yang tidak dikawal, diabetes, hiperdislipidemia (paras lemak dan kolesterol yang tinggi) dan arteriosklerosis (penyempitan salur darah)

l Individu yang menjalani pembedahan atau mendapat sakit tenat secara tiba-tiba.

l Ubat tertentu - ubat mengawal tekanan darah dan kemoterapi juga dikenal pasti boleh meningkatkan paras asid urik dalam badan.

l Genetik - kajian mendapati satu daripada empat pesakit datang daripada keluarga yang ada masalah gout.

l Umur - gout biasa menyerang pesakit tua tetapi kini banyak kes membabitkan pesakit berumur 30 hingga 50 tahun. Manakala bagi wanita, kebanyakan kes bermula selepas umur putus haid.

Bila sepatutnya mendapatkan rawatan?

Dapatkan rawatan doktor dengan segera apabila sendi berasa panas, bengkak dan sakit kerana jika tidak dirawat masalah ini akan bertambah buruk serta boleh menyebabkan kerosakan sendi.

Rawatan

Buat masa sekarang, tiada rawatan khas untuk menyembuhkan gout tetapi masalah ini boleh dikawal dengan mengambil ubat penahan sakit bukan steroid (NSAIDs) seperti endomethacin, diclofenac atau ubat penahan sakit generasi baru seperti celebrex dan arcoxia.

Individu yang kerap mengalami serangan gout akan dibekalkan dengan ubat allopurinol oleh doktor untuk mengimbangkan paras asid urik dalam badan yang perlu diambil sepanjang hayat.

Beberapa ubat yang dicadangkan bagi rawatan jangka panjang termasuk uricosuric (probenecid dan sulphinpyrazone).

Manakala untuk serangan mendadak, pesakit boleh mengambil ubat antiinflamatori bukan steroid (NSAIDs), colchicine (untuk serangan yang kurang kerap) dan corticosteroids.

Untuk pesakit darah tinggi yang juga mengalami gout, disarankan untuk mengambil ubat darah tinggi yang dipanggil Losartan yang juga berkebolehan untuk menurunkan paras asid urik. Sejenis ubat anti-kolesterol yang dipanggil Lipanthyl juga mempunyai fungsi yang sama.

Diet untuk pesakit gout:

l buah ceri dan strawberi didapati mampu mengurangkan asid urik.

l elakkan makanan tinggi purin iaitu yang berasal dari sumber protein

l hadkan memakan daging kepada satu hidangan sehari

l kurangkan memakan organ dalaman haiwan, sardin dan ikan bilis dan hasil daging.

Makan secara sederhana:

l asparagus, kacang lentil, kacang pea, cendawan, bunga kobis dan bayam.

l minum banyak cecair, terutamanya air, untuk mencairkan dan membantu proses penyingkiran asid urik.

l berhati-hati dengan ubat seperti aspirin, diuretik, vitamin C.


Baca Lagi...

19 Disember 2010

Risiko dengkur

BERDENGKUR sering dianggap tabiat melucukan dan terlalu lazim dalam kalangan masyarakat, namun tahukah berdengkur sebenarnya gambaran awal seseorang itu bukan saja berhadapan masalah dengan pasangan dan kualiti kehidupan tetapi juga masalah kesihatan yang serius.

Tabiat berdengkur berlaku apabila seseorang mengeluarkan bunyi bising semasa bernafas sewaktu tidur. Ia disebabkan saluran pernafasan separa tersumbat di bahagian hidung atau kerongkong, menyebabkan getaran lelangit lembut dan otot kerongkong yang menghasilkan bunyi. Terminologi perubatan untuk masalah ini disebut ‘steator’.

Masalah ini biasanya dikesan menerusi diagnosis pakar perubatan dari segi sejarah pesakit atau pasangan tidur yang kerap mempunyai masalah untuk lelap akibat terganggu.

Pesakit berdengkur juga boleh mengalami gejala mengantuk pada waktu siang, sakit kepala, keletihan, kelesuan, perasaan cepat marah, kerap bangun malam, masalah penumpuan dan kurang daya ingatan. Paling membahayakan sekiranya pesakit senang tertidur semasa memandu terutama ketika perjalanan jauh atau sedang menunggu di simpang lampu trafik.

Menurut Pakar Bedah Otorinolaringologi Hospital Columbia Asia, Bukit Rimau, Dr Mazita Ami, punca berdengkur disebabkan saluran pernafasan separa tersumbat sewaktu tidur terutama sewaktu tidur nyenyak dan ia boleh dipengaruhi pengambilan alkohol atau ubat-ubatan sebelum tidur.

“Saluran pernafasan tersumbat boleh berlaku pada bahagian hidung atau kerongkong atau kedua-duanya sekali. Oleh itu kehadiran tisu tonsil atau adenoid yang besar, polip hidung, tulang hidung yang bengkok dan pesakit yang berlebihan berat badan dan mempunyai leher pendek dan besar akan meningkatkan risiko masalah berdengkur,” katanya.
Masalah berdengkur boleh dikaitkan dengan masalah tidur serius dikenali ‘sleep apnea’. Ia berlaku apabila pesakit berhenti bernafas lebih daripada 10 saat sewaktu tidur (apnea). Apnea pula boleh berlaku berulang kali sewaktu tidur dan menyebabkan pengurangan kandungan oksigen dalam darah pesakit.

Jelasnya, ‘sleep apnea’ yang tidak dirawat boleh membawa masalah darah tinggi, sakit jantung, angin ahmar, glaukoma dan sebagainya. Kerana itulah juga masalah berdengkur lazimnya dialami pesakit lelaki dalam lingkungan usia 30 hingga 60 tahun terutama yang mempunyai masalah berat badan berlebihan.

Adalah penting bagi pesakit mendapat nasihat pakar untuk mengetahui sekiranya mereka mempunyai masalah ‘sleep apnea’. Masalah ini mempunyai beberapa tahap serius mengikut hasil kajian tidur yang dijalankan ke atas pesakit di makmal tidur di hospital atau di rumah pesakit sendiri.

Menerusi kajian ini, pakar akan dapat mengesan kekerapan ‘apnea’ semasa tidur kerana semakin kerap berlaku ‘apnea’, semakin serius tahap penyakit itu dan kesannya kepada kesihatan pesakit.

Rawatan untuk masalah berdengkur bergantung kepada punca yang dikenal pasti. Pembedahan boleh dilakukan untuk merawat masalah saluran pernafasan sempit seperti tisu tonsil yang besar, polip hidung dan sebagainya. Sekiranya berkaitan dengan ‘sleep apnea’, rawatan ‘continuous airway pressure’ adalah antara yang berkesan.

Pesakit yang obes juga dinasihat untuk mengurangkan berat badan.

Tegasnya, berdengkur bukan masalah lazim yang patut diterima bila umur meningkat. Ia boleh membawa masalah ‘sleep apnea’ yang serius dan memudaratkan kesihatan pesakit. Mereka yang mengalami masalah tidur bersama gejala mengantuk waktu siang, sakit kepala, keletihan dan masalah emosi perlu mendapatkan nasihat pakar perubatan.

Info
Langkah pencegahan dengkur

# Mengurangkan berat badan sekiranya mengalami masalah berat badan berlebihan.
# Elak pengambilan alkohol atau ubat yang memberi kesan mengantuk sebelum tidur.
# Memilih posisi tidur secara mengiring.
# Mengamalkan jadual tidur yang tetap setiap hari.
# Mendapatkan rawatan bagi hidung tersumbat atau ruang kerongkong yang sempit.


Baca Lagi...

17 Disember 2010

Jantung berlubang

Pengenalan
 
Terdapat kelainan pada jantung kongenital yang disebabkan oleh dinding jantung tidak terbentuk secara normal sebelum kelahiran.
 
Pengaruh / kesan jangkitan pada janin dalam tiga bulan pertama

kelahiran
  
Jenis-jenis penyakit
  
ASD (Astrial Septal Defect)

satu keadaan dimana terdapat satu lubang antara atria, menyebabkan oksigen dari bahagian kiri jantung masuk semula ke bahagian kanan. Oleh itu bilik jantung bahagian kanan terpaksa mengepam dengan lebih kuat yang mengakibatkan ia bengkak. Apabila pengaliran darah ke paru-paru menjadi bengkak, tekanannya meningkat dan merosakkan paru-paru. Ia juga dikenali sebagai sakit jantung tidak biru (acyanostic congenital heart diseases).
  
VSD (Ventricular Septal Defect)

Dikenali  juga sebagai sakit jantung biru (cynostic congenital
heart disease).

Biasanya berlaku dikalangan kanak-kanak

Sejumlah darah yang mengandungi oksigen dari bahagian kiri dipaksa masuk ke bahagian kanan melalui dinding penyekat, apabila terdapat lubang pada dinding tersebut. Darah yang berlebihan ini kemudiannya dip am semula ke dalam paru-paru yang boleh menyebabkan kerosakkannya.

Punca penyakit / Faktor risiko
  
  - Keturunan /genetic (10%)
  - Penyakit down sindrom
  - Persekitaran (3%)
  - Jangkitan kuman virus Rubella (German measles) semasa kehamilan
  - Ibu yang menghidap kencing manis
  - Ubat-ubatan
  - Alkohol
  
Tanda-tanda / Simptom
  
Pernafasan dan pergerakan nadi yang laju

Berat badan yang tidak bertambah mengikut tumbesaran Saiz lubang

- Kecil 

- kanak – kanak yang tidak sihat dan tidak membesar seperti biasa – kelainan pada degupan jantung

- Sederhana – berat badan tidak bertambah, tidak menyusu, banyak
berpeluh dan bernafas kencang.

- Besar – keadaan sama dengan sederhana tapi lebih merbahaya. Ia dapat dikesan ketika bayi berumur 2 minggu ke atas.

- Biasanya lubang-lubang kecil dan sederhana akan tertutup dengan sendirinya.
  
Komplikasi

Pesakit mungkin mendapat jangkitan ‘Bacterial Endocarditis’ yang akan
memasuki pembuluh darah hingga kebahagian jantung dan injap jantung.

Rawatan / Pengesanan
  
- Analisis potensi penyakit
- Analisis ‘Nosodes’.


Baca Lagi...

Fibromyalgia sakit tiada punca

SAKIT ini hanya pada fikiran awak saja, jangan kisah sangat,” kata seorang doktor kepada Mary Gaspar, 54, yang berjumpa dengannya kerana rasa sakit yang berterusan.

Mary bertugas di sebuah bank sebelum mengalami rasa sakit itu sejak 2005, yang puncanya tidak diketahui.

“Lama kemudian, baru saya diberitahu yang saya menghidap Fibromyalgia atau ringkasnya FM. Ini menyebabkan saya kemurungan.

“Saya tidak dapat berjalan, tidak dapat tidur. Semua ini menyebabkan saya menangis siang dan malam,” jelas Mary.

Pakar Perunding Anestesiologi di Hospital Selayang, Dr. Mary Suma Cardosa berkata, sebenarnya rasa sakit mereka itu memang benar. Namun, dengan bantuan ia dapat diuruskan.

Dia yang juga bakal Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) berkata demikian ketika mengumumkan hasil Tinjauan Kesedaran, Kebimbangan dan Trend Fibromyalgia di Asia Tenggara (SEAFACTS), baru-baru ini.

Sidang akhbar itu dianjurkan oleh Pfizer Inc. dan ia membantu membuka mata banyak pihak yang masih tidak sedar akan penyakit ini.

Apa yang menyebabkan Fibromyalgia atau sindrom FM ini?

Profesor Ramani Vijayan, Presiden Persatuan Malaysia Bagi Kajian Kesakitan, berkata, “Tiada kata putus saintifik akan punca penyakit ini. Ia boleh berlaku pada individu dengan kepincangan tertentu. Ia juga mungkin berpunca daripada faktor biologi seperti genetik, usia, trauma, jantina atau kecederaan pada tisu.

“Kemurungan, rasa cemas, kepercayaan seseorang akan rasa sakit dan strategi menahan sakit turut sama penting.

“Dua hingga lima peratus daripada orang terjejas kerana rasa sakit kronik ini. Ia biasa berlaku di kalangan wanita berusia lingkungan usia muda hingga pertengahan. Ia dicirikan oleh kesakitan otot skeletal dan rasa lembut di bahagian atas, bawah, kiri dan kanan tubuh,” tambah Ramani.

Katanya, mereka yang menghidap FM sebenarnya mengalami kecacatan signifikan dan kualiti kehidupan yang lebih rendah.

Kumpulan usia yang paling terdedah kepada masalah ini ialah mereka yang berusia antara 30 dan 65 tahun.

Simptom Fibromyalgia ialah kekakuan, kejang otot, kelesuan dan kemurungan.

Bagaimanapun, sehingga kini masih belum ada kes FM yang direkodkan dalam kalangan kanak-kanak dan mereka di bawah usia 20 tahun.

Sementara itu kata Dr. Mary Cardosa, menurut keputusan kajian, satu daripada lima pesakit FM di Malaysia mendapati kualiti kehidupan mereka telah merosot selain tidak dapat meneruskan pelbagai kegiatan.

“Tiga suku daripada pengamal perubatan am dan hampir kesemua doktor pakar yang ditinjau bersetuju bahawa fibromyalgia masih kurang difahami oleh pakar perubatan,” katanya.

Kebanyakan pesakit FM terpaksa menunggu antara 3.3 dan 15.4 bulan, bersama purata pertemuan dengan dua orang pakar perubatan sebelum mendapat diagnosis yang tepat.

Pesakit yang mengalami FM bergantung sepenuhnya kepada ubat-ubatan sehingga mereka berasa lebih sihat atau mampu belajar menguruskan penyakit ini.

Malangnya, tiada ujian makmal yang boleh didapati untuk mendiagnosis simptom FM. Lebih kurang 40 juta orang di seluruh dunia mengalami sakit kronik ini.

“Sejumlah 506 orang mengambil bahagian dalam kajian ini di Asia Tenggara. Sejumlah 941 pakar perubatan juga ditanya mengenai kefahaman mereka tentang Fibromyalgia. Hasil tinjauan ini membuktikan penyakit ini kurang difahami oleh banyak pihak.

“Kajian juga menunjukkan penghidap penyakit juga mengalami masalah lain dalam kehidupan mereka seperti masalah kewangan, termasuk kurang kemampuan untuk bekerja,” katanya.

Setakat ini, Pregabalin merupakan ubat preskripsi pertama yang yang menerima kelulusan FDA Amerika Syarikat bagi Fibromyalgia. Ubat ini berkesan, ia mengurangkan simptom kesakitan, gangguan tidur dan keletihan.

Buat masa ini tiada jalan singkat untuk mengatasi kesakitan yang dialami oleh mereka yang menghidap FM. Ubat-ubatan sahaja tidak akan menghilangkan rasa sakit yang meruncing itu tetapi akan melegakannya apabila ia diambil bersama sesi senaman selepas mempunyai pengetahuan yang secukupnya tentang penyakit ini.

“Selain itu, kumpulan sokongan FM juga merupakan satu lagi pilihan untuk mempercepat faktor ketahui penyakit anda. Memaklumkan para pesakit dan anggota keluarga mereka akan hipersensitiviti terhadap rasa sakit oleh mereka dengan FM, adalah penting. Ia akan membantu pesakit berasa lebih lega dan juga mencuba penawar lain,” demikian syor Dr. Mary. - Bernama



 
Baca Lagi...

15 Disember 2010

Ulser Mulut

Pernahkah anda melihat satu tompokan putih semasa anda memeriksa mulut dan ia menyakitkan bahagian dalam mulut anda? Tompokan inilah yng dinamakan ulser mulut. Kebiasaannya, ibu-ibu akan menasihatkan supaya anda meletak secubit garam pada bahagian yang terkena ulser itu supaya ia cepat sembuh. Ulser mulut merupakan sejenis kudis yang terdapat di dalam bahagian lembut mulut kita. Selain bahagian dalam pipi, lidah juga boleh dijangkiti ulser. Rasa sakit akibat ulser ini akan menyebabkan anda berasa hilang selera untuk mengambil makanan atau minuman panas. Ia juga akan menyukarkan pertuturan anda.

Tindak balas terhadap jangkitan bakteria, virus atau fungus menyebabkan berlakunya ulser mulut. Ulser mulut ini boleh dialami oleh sesiapa sahaja tanpa mengira usia. Selain daripada jangkitan bakteria taua fungus, ulser juga boleh terjadi akibat daripada kecederaan fizikal seperti tergigit bibir atau lidah, terkena dawai ortondik dan sebagainya.

Kekurangan zat makanan, tekanan, kurang rehat atau tidur dan keadaan mulut yang kotor turut boleh meyumbangkan ke arah penyakit ulser mulut.

Ulser boleh dirawat dengan meletakkan garam ke atas tompokan putih tersebut. Namun harus diingat bahawa cara ini amat menyakitkan. Selain itu, anda juga boleh mendapatkan rawatan dengan sejenis krim atau gel yang terdapat di farmasi. Rasa sakit kerana ulser boleh juga diredakan berkumur-kumur dengan air garam suam atau ubt kumur antibakteria. Ulser mulut yang tidak serius kurang merasa sakit dan akan sembuh dalam tempoh satu hungga dua minggu selepas mendapat rawatan.

Cara yang paling baik untuk menghindarkan daripada terkena ulser mulut ialah:

a) Banyak minum air suam
b) Berehat dan tidur dengan cukup
c) Amalkan tabiat menjaga kebersihan mulut dan gigi supaya ia berada dalam keadaan yang baik.
d) Mengambil makanan yang berkhasiat dan seimbang. Pastikan vitamin B12 dan C cukup diambil.

Jika ulser mulut tidak sembuh dan semakin merebak, anda hendaklah berjumpa dengan doktor gigi dengan segera. Ini kerana ulser mulut yang lamabat sembuh mungkin petanda awal barah mulut.


Baca Lagi...

Mengatasi kegemukan

MASALAH kegemukan atau obesiti bukan perkara yang boleh dianggap remeh kerana disifatkan sebagai ‘virus’ yang semakin menular dalam masyarakat, sementelah pula ia boleh mengundang pelbagai penyakit, sekali gus memberi tekanan emosi dan menimbulkan kegelisahan.

Kanak-kanak bersaiz badan ‘besar’ ketika kecil dikatakan comel dan montel, tetapi hakikatnya apabila mereka meningkat usia dan tidak diberi pemantauan daripada aspek pemakanan akan menjadikan ia diselubungi penyakit.

Fakta berkenaan wujud kebenarannya apabila baru-baru ini kita dikejutkan dengan kenyataan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai bahawa seramai 16.2 juta atau 60 peratus rakyat di negara ini dikesan mengalami masalah kegemukan seawal usia kanak-kanak.

Persoalan berkaitan obesiti bukan saja membimbangkan remaja, malah orang dewasa turut berdepan nasib sama.

Ia tidak seharusnya diambil mudah, sebaliknya perlu diatasi dengan cara terbaik termasuk melakukan diet bersesuaian.

Pengamalan diet juga berbeza dan tidak boleh dilakukan secara membuta-tuli tanpa nasihat doktor, terutama pakar pemakanan kerana mampu mengundang keadaan lebih buruk atau penyakit anoreksia yang banyak dialami wanita.

Apabila kegemukan dialami seseorang, persepsi terhadap dirinya juga berubah, termasuk hilang daya tarikan, malah menjadi bahan cemuhan di kalangan rakan berikutan saiz badan lebih besar dan mungkin juga tabiat pemakanan dilihat melampau.

Kebiasaannya, seseorang bersaiz badan besar sebegini sering disebabkan amalan pemakanan kurang sihat, tetapi terdapat faktor lain seperti genetik dan keturunan, sekali gus menyebabkan obesiti bersarang pada dirinya.

Menurut Liow, daripada 16.2 juta rakyat berkenaan, 8.1 juta daripadanya atau 30 peratus mengalami masalah berat badan, manakala 30 peratus lagi mengalami masalah kegemukan berlebihan.

“Masalah berat badan dan obesiti ini menyebabkan penyakit kronik seperti jantung, darah tinggi, barah buah pinggang dan diabetes. Penyakit ini boleh dicegah dari semasa ke semasa, tetapi kita dapati trend penyakit ini semakin meningkat.

“Masalah ini disebabkan gaya hidup rakyat dan kita tiada pilihan melainkan perlu mengadakan pelbagai kempen dan program kesedaran bagi membolehkan rakyat mempunyai pengetahuan dan kemahiran untuk mengelak penyakit kronik berkenaan,” katanya.

Nasib dialami seorang lelaki dikenali sebagai M Balagi, 43, dari Bandar Baru Air Itam, Georgetown, Pulau Pinang seperti dilaporkan media baru-baru ini mampu membuka mata.

Balagi yang mengalami masalah berat badan mencecah 300 kilogram (kg) mendakwa makan nasi dengan sayur sebagai sarapan, diikuti nasi bersama lauk (tengah hari), roti (minum petang) dan capati serta tosai (malam) setiap hari.

Dia memberi alasan masalah berkenaan bermula apabila dibuang kerja sebagai pengawal keselamatan menyebabkan dia mengalami kemurungan selain selera makan bertambah berikutan bekas majikannya didakwa gagal melunaskan sejumlah pampasan.

Pada ketika itu, berat badannya sekadar 126kg, tetapi disebabkan dilanda masalah, berat badannya meningkat 174kg dan akhirnya, Balagi terpaksa diangkat 10 lelaki untuk dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) pada Oktober lalu selepas terjatuh di rumahnya.

Difahamkan, dia menerima rawatan lanjut dan berat badannya mulai menurun selepas didedahkan dengan amalan pemakanan sihat sepanjang berada di HPP.

“Saya merayu mana-mana doktor pakar yang sanggup membantu untuk mengurangkan berat badan saya kerana saya tidak ingin meneruskan hidup begini selain perlu menolong ibu saya yang tua,” katanya.

Apa yang berlaku itu adalah sebahagian daripada rona kehidupan dan usaha Kementerian Kesihatan menempatkan 300 pakar pemakanan di klinik kesihatan kerajaan bagi memberi khidmat kaunseling kepada rakyat yang berdepan masalah kegemukan atau obesiti adalah langkah terbaik.

Dalam merealisasikan usaha berkenaan, 51 pakar pemakanan akan ditempatkan di klinik kesihatan terpilih, termasuk Klinik 1Malaysia tahun ini.

Ia diharap mampu mengubah cara hidup rakyat untuk menjalani kehidupan lebih sihat, terutama mengenai cara pengambilan makanan.

Malah, penubuhan Majlis Cegah Obesiti Malaysia (MCOM) membabitkan 13 pertubuhan profesional dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk menangani masalah kegemukan adalah langkah proaktif dalam memastikan keadaan ini mampu ditangani dengan baik serta meningkatkan kesedaran.

MCOM juga memberi jaminan kepada Kementerian Kesihatan bahawa majlis itu akan bekerja rapat dengan kerajaan dalam usaha menjayakan misi penjagaan kesihatan di negara ini.

Pertubuhan itu buat permulaan akan menumpukan kepada empat bidang iaitu penyelidikan dalam mencegah kegemukan dan obesiti, melobi mengenai kebimbangan kegemukan dan obesiti dalam polisi serta undang-undang yang akan dipinda kerajaan.

Berdasarkan kajian pakar kesihatan mendapati masalah obesiti dipengaruhi pelbagai sebab antaranya faktor genetik, pemakanan berlebihan atau melampau, kurang bersukan, emosi dan faktor persekitaran.

Kegemukan boleh diturunkan daripada generasi ke generasi kerana jika ibu bapa gemuk, mereka cenderung memiliki anak-anak yang memiliki saiz badan sama.

Mereka yang terdiri daripada golongan gemuk ini sentiasa berada dalam keadaan lapar atau bersifat responsif terhadap makanan menyebabkan sukar untuk keluar daripada perangkap kegemukan jika individu terbabit tidak memiliki kawalan diri dan motivasi yang kuat untuk mengurangkan berat badan.

Kurang aktif bersukan juga mampu menjadi penyumbang kepada kegemukan. Jadi, aktiviti sukan sangat penting dalam penurunan berat badan, bukan saja kerana dapat membakar kalori, malah membantu mengatur fungsi metabolisme secara normal.

Faktor emosi memainkan peranan kerana jika terganggu, kebiasaannya keseluruhan hidup kita akan terganggu, sekali gus mempengaruhi kadar pemakanan kerana dianggap satu cara terbaik meredakan tekanan.

Risikonya, apabila seseorang berdepan isu kegemukan atau obesiti, mereka akan menghadapi pelbagai masalah seperti penyakit kardioviskular (berkaitan jantung), strok, tekanan darah tinggi dan diabetes yang dianggap musuh manusia.

Bagaimanapun, mereka yang dibelenggu masalah berkenaan tidak harus cepat berputus asa kerana banyak kaedah atau cara bersesuaian untuk menanganinya. Apa yang penting, seseorang itu perlu menjaga kesihatan untuk menjamin kehidupan lebih sihat. Pakar pemakanan, Dr Che Ridzuan Hashim Rozaini berkata, terdapat lima petua mengekalkan kesihatan sempurna iaitu menerusi pengambilan makanan seimbang, minum air secukupnya, melakukan riadah, tidak merokok dan cukup rehat.

Menurutnya, pemakanan sihat penting bagi menentukan sejauh mana tahap kesihatan sama ada pada tahap memuaskan atau sebaliknya dan pengambilan makanan seimbang perlu diamalkan mengikut diet piramid makanan.

“Jangan mengambil makanan berlemak kerana boleh menyebabkan kegemukan atau obesiti. Ia akan meningkatkan risiko serangan penyakit jantung, darah tinggi dan kencing manis.

“Minum air cukup iaitu sekurang-kurangnya enam hingga lapan gelas air kosong sehari. Air penting untuk melancarkan peredaran darah dan membersihkan kotoran dalam badan,” katanya.

Beliau berkata, bersenam adalah aktiviti paling penting dalam mengekalkan kesihatan kerana ia membuatkan kita cergas dan sihat, selain menurunkan berat badan serta merendahkan kandungan lemak di samping mampu menguat dan menyihatkan jantung.

Selain itu, kita juga boleh melakukan aktiviti lain membabitkan pergerakan anggota fizikal seperti berjalan kaki, mengemas rumah dan menaiki tangga menggantikan penggunaan lif.

“Elakkan merokok kerana berisiko tinggi diserang penyakit kronik seperti sakit jantung, angin ahmar dan kanser paru-paru.

“Walaupun terlalu sibuk pastikan anda mengambil rehat mencukupi dengan tidur lapan jam sehari. Rehat yang cukup mengurangkan tekanan selain mengembalikan semula tenaga yang hilang,” katanya.

Ironinya, masalah kegemukan atau obesiti ada kaitan dengan pelbagai perkara dan semua ini perlu ditangani dengan bijak, tetapi tegas dan berhemah.



Baca Lagi...

14 Disember 2010

Pencetus strok

PERNAHKAH anda berdepan situasi jantung tiba-tiba berdegup kencang, berpeluh, dada merasa seperti dihimpit, pening, loya, hendak pitam, sukar bernafas dan letih tidak semena-mena. Jika ini terjadi anda mungkin mengalami masalah Fribilasi Atrial (Atrial Fribillation) atau keadaan di mana jantung berdegup secara tidak sekata iaitu terlalu pantas atau terlalu perlahan.

Apa yang menakutkan, tiada tanda-tanda jelas yang boleh mengesan awal masalah Aritmia atau rentak jantung tidak sekata ini. Malah orang yang mengalaminya punya lima kali ganda kemungkinan diserang angin ahmar berbanding mereka yang tidak mengalaminya. Angin ahmar atau istilahnya serangan otak, yang dikaitkan dengan masalah FA adalah lebih serius dan dikaitkan dengan lebih banyak kehilangan upaya diri berbanding angin ahmar yang bukan disebabkan FA.

Menurut Pakar Runding Kardiologi dan Presiden Majlis Stroke Malaysia, Dr Razali Omar FA berlaku apabila isyarat elektrik gagal diterima menyebabkan ruang atas jantung (Atria) berdenyut pantas dan tidak sekata. Ini menyebabkan darah memenuhi ruang ini. Memandangkan degup yang tidak sekata tadi ia gagal mengepam semua darah ke bahagian bawah jantung (Ventrikel), menyebabkan jantung gagal berdegup dengan efektif.

“Orang yang mengalami FA, punya lima kali ganda lebih mungkin menghidap angin ahmar berbanding mereka tanpa FA,” katanya ketika pembentangan kertas kerja mengenai Angin Ahmar yang dikaitkan Fribilasi Atrial sempena kempen mencegah 1 Misi 1 Juta - Mendalami Punca Strok.

Mengikut kajian, 15 juta kalangan dewasa Amerika Syarikat menderita serangan angin ahmar setiap tahun, 5 juta mati akibatnya manakala 5 juta lagi hilang upaya diri secara kekal. Keadaan ini bukan saja memberikan kesan buruk kepada keadaan kewangan negara tetapi juga membabitkan hal penjagaan.

Menurut Pakar Runding Neurologi dan Presiden Majlis Neurosains Malaysia, Dr Hamidon Basri, kajian terbaru juga menunjukkan sejumlah 5.7 juta kes angin ahmar berlaku di negara membangun seperti Malaysia disebabkan meningkatnya beban akibat kerancakan perkembangan ekonomi dan transisi epidimiologi.
“Di Malaysia, 10,000 kes baru dikesan setiap tahun di mana 50 peratus daripadanya memerlukan penjagaan sepenuh masa akibat hilang upaya diri kekal,” katanya pada majlis anjuran bersama Boehringer Ingelheim, Majlis Strok Malaysia dan Majlis Neurosains Malaysia baru-baru ini.

Jenis angin ahmar terbahagi kepada dua kategori utama iaitu Iskemia dan pendarahan. Iskemia biasanya diakibatkan oleh bekuan darah yang melekat pada salur darah (trombosis), atau oleh bekuan darah yang bebas (embolisme). Pendarahan pula boleh berbentuk pendarahan dalam otak atau di bawah membran tengah antara tiga membran di dalam otak. Hampir 80 peratus daripada semua angin ahmar diakibatkan oleh Iskemia.

Beza usia bagi mereka yang mengalami serangan otak di rantau Asia dengan bangsa kulit putih juga mengejutkan iaitu mengikut kajian, orang Asia mengalami masalah ini 10 tahun lebih awal berbanding orang kulit putih.

“Keadaan ini amat membimbangkan, ketika ia melanda populasi kulit putih pada usia lanjut, sebaliknya di Asia ia dialami peringkat umur yang masih muda dan produktif serta punya tanggungan keluarga,” katanya menambah satu lagi faktor meningkatnya jumlah angin ahmar akibat tabiat melengah-lengahkan rawatan kerana serangan tidak serius dan lebih selesa berjumpa bomoh mahupun berubat sendiri.

Bila serangan lebih serius berlaku, semuanya sudah terlambat kerana pesakit hanya punya masa tiga hingga empat jam untuk mendapatkan rawatan yang sewajarnya. Selain itu faktor tidak tahu tanda awal, tinggal sendirian, jauh dari hospital, kesesakan lalu lintas dan hospital tanpa kemudahan yang lengkap menjadi antara penghalang.

75 peratus pesakit datang lewat ke hospital, 65 peratus tidak tahu mengenai tanda awal, 78 peratus bergantung pada keluarga seperti tunggu anak balik, dapatkan pendapat lain dan sebagainya. Angin ahmar mengambil masa yang lama untuk menyerang untuk itu, pencegahan harus bermula dari peringkat awal seperti melakukan aktiviti fizikal, selain mengamalkan gaya hidup yang sihat.

Info: Kenali angin ahmar dengan F.A.S.T

# Face - cuba senyum, jika sebelah muka seakan bengkok atau jatuh individu ini mungkin mengalami angin ahmar
# Arms - angkat kedua belah tangan, jika ada kesukaran dengan salah satu, ia mungkin satu petanda.
# Speech - cuba bercakap. Jika sebutannya tidak jelas atau tidak boleh bercakap, ia juga satu tanda
# Time - sekiranya mana-mana satu simptom ini muncul, hubungi 911 segera bagi memastikan pesakit tiba di hospital dengan pantas.

Cegah Angin Ahmar dengan:

# Kawal kencing manis
# Kawal tekanan darah
# Kawal tahap kolesterol
# Berhenti merokok
# Bersenam. 



 
Baca Lagi...

06 Disember 2010

Kanser buah pinggang : lebih ramai mangsa lelaki

KEHADIRAN kanser buah pinggang jarang disedari. Apabila sudah sampai ke peringkat serius iaitu kanser berada di peringkat keempat barulah ia berjaya dikesan.

Keadaan ini mungkin disebabkan kanser buah pinggang tidak begitu 'menyerlah' seperti kanser payudara yang sering mendapat perhatian ramai hingga menyebabkan ada individu yang tidak begitu mengendahkan penyakit itu.

Disebabkan kurang mengambil berat mengenai tahap kesihatan diri, kebanyakan pesakit hanya berserah dan tidak melakukan pemeriksaan lanjutan bagi mengawal penularan sel barah berkenaan.

Perunding Onkologi Klinikal, Pusat Perubatan Antarabangsa Wijaya, Datuk Dr Mohd Ibrahim A Wahid, berkata walaupun kanser itu nampak tidak gah di mata umum, ia perlu dipandang serius kerana ia tetap membahayakan nyawa penghidapnya.

Menurutnya, kanser buah pinggang peringkat serius itu juga dikenali sebagai sel renal karsinoma (RCC).

Antara petanda yang menunjukkan individu berkenaan mengalami RCC ialah kencing berdarah (hematuria), sakit pada bahagian rusuk, sakit belakang, terdapat ketulan pada bahagian rusuk dan abdomen, hilang selera makan, berat badan menurun, demam, kelesuan melampau serta tekanan darah meningkat.

Bagaimanapun, katanya, di Malaysia kadar penghidap RCC masih rendah, tetapi ia tetap perlu ditangani secara serius dan menyeluruh.

Ini kerana ia boleh dikatakan sejenis kanser buah pinggang yang paling biasa ditangani iaitu 85 peratus daripada kes yang dilaporkan menyerang golongan lelaki dewasa.

"Tapi ia tidak bermakna wanita tidak akan mengalaminya, cuma kebanyakan kes dilaporkan membabitkan golongan lelaki berusia 60 tahun hingga 70 tahun.

"Paling penting jangan hanya melihat pada angka yang dilaporkan kerana ia boleh menjadi lebih tinggi berdasarkan kes yang tidak dilaporkan akibat kurangnya kesedaran mengenai cara rawatannya," katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Dianggarkan 100,000 pesakit meninggal dunia akibat menghidap RCC di seluruh dunia saban tahun. Ia antara tujuh kanser yang biasa menyerang serta penyebab berkaitan kanser yang mengakibatkan kematian di kalangan lelaki di seluruh dunia.

Dr Mohd Ibrahim berkata, pembedahan adalah rawatan paling biasa dilakukan bagi kanser buah pinggang. Lazimnya, pakar bedah akan mengeluarkan keseluruhan buah pinggang bersama-sama dengan kelenjar adrenal dan tisu di sekeliling buah pinggang.

Ia bertujuan untuk mengelakkan kanser yang dihidapi kembali menyerang, tetapi ia tetap tidak dapat menjamin keberkesanan proses itu kerana 33 peratus pesakit akan menghidap kembali kanser berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, proses pembedahan hanya dilakukan untuk pesakit yang menghidap kanser buah pinggang untuk tahap satu hingga tiga saja.

"Untuk mereka yang menghidap RCC, ia memerlukan bentuk rawatan lain selain daripada pembedahan. "Ini kerana sel barah yang dihidapi sudah merebak kepada organ lain dalam badan dan ia boleh membahayakan diri sekiranya melakukan pembedahan.

"Apa yang diperlukan adalah cara untuk mengekang penularan sel barah berkenaan dan memperlahankan perkembangan sel barah daripada merebak kepada organ lain dalam badan," katanya.

Di samping itu, katanya, dalam senario pesakit tempatan masyarakat Cina lebih ramai menghidap kanser ini berbanding Melayu dan India. Tidak dapat dipastikan punca ia berlaku kerana penyebab kehadiran kanser ini tidak bergantung kepada bangsa seseorang.

"Saya tidak dapat memastikan dengan tepat kenapa kaum Cina lebih terdedah kepada RCC kerana faktor penyebab berlakunya kanser adalah sama bagi semua golongan.

"Kebiasaannya mereka yang mempunyai tabiat suka merokok, mengamalkan gaya hidup tidak sihat, kegemukan, tekanan darah tinggi serta menghidap penyakit buah pinggang adalah golongan paling terdedah kepada kemungkinan mendapat RCC," katanya.

Bagaimanapun, kini terdapat sinar harapan baru kepada RCC dalam usaha mencari rawatan pilihan terbaik yang boleh dijalankan selain berhadapan dengan pembedahan.

Syarikat farmaseutikal Pfizer Malaysia misalnya, cuba mengetengahkan bentuk rawatan terbaru untuk penghidap RCC menggunakan Torisel (temsirolimus).

Penggunaan ubatan ini bagaimanapun mempunyai kesan sampingan terhadap penggunanya antaranya ruam, keletihan, sakit mulut, mual, bengkak badan, kurang selera makan, kenaikan tekanan gula dalam darah serta kolesterol tinggi.

Sementara itu, menurut Perunding Perubatan Onkologi, Pusat Perubatan Sunway dan Hospital Pantai Kuala Lumpur, Dr Christina Ng Van Tze, berkata ia antara pilihan yang boleh diberikan kepada pesakit bagi merawat RCC.

"Bukan bermakna penggunaan ubatan ini dapat menyembuhkan RCC, tetapi peluang untuk memperlahankan perkembangan sel barah berkenaan amat tinggi.

"Ini memberi peluang kepada pesakit mengurangkan kesakitan yang dialami dan hidup lebih bermakna tanpa perlu bersikap tunggu dan lihat. Mereka juga diharapkan dapat menjalani kehidupan secara lebih positif," katanya.


 
Baca Lagi...

05 Disember 2010

Perit sembelit

Bersenam, kerap minum, pengambilan serat mampu kurangkan gangguan usus. SEMBELIT bukan sekadar satu masalah kesihatan sebaliknya 'gangguan' yang boleh menjejaskan mood serta rutin harian. Bayangkan, desakan ke tandas, terbantut apabila 'hajat' anda gagal dilepaskan kerana kesukaran membuang air besar.

Hakikatnya, sembelit memberi maksud berbeza. Kebiasaannya, masyarakat memahaminya sebagai aktiviti pengosongan usus yang jarang berlaku manakala sesetengah lain pula berdepan masalah seperti najis yang keras dan kecil, sukar buang air besar atau rasa tidak puas selepas buang air besar.

Apakah punca masalah ini? Setiap jenis sembelit yang disebutkan tadi mungkin berbeza dan pendekatan bagi tujuan rawatan juga perlu sesuai dengan jenis sembelit yang tertentu. Apapun ia banyak dipengaruhi dengan amalan gaya hidup seseorang individu itu.

Malah, kekerapan individu membuang air besar dalam sehari juga berbeza. Mungkin dua hingga tiga kali sehari atau sekali dalam tiga hari. Namun, individu itu dikatakan mengalami sembelit jika membuang air besar hanya dua kali seminggu atau kurang. Ia turut dikaitkan perbuatan meneran ketika membuang air besar. Sembelit juga bukan hanya dialami si kecil, tetapi turut dianggap biasa bagi wanita serta warga emas melebihi 65 tahun.

Apabila kita sering mengalami sembelit, ada beberapa cara untuk mengatasinya. Apa yang penting adalah berusaha supaya najis dapat keluar dengan lancar. Untuk keluar dengan lancar, najis harus lembik dan tidak keras.

Perkara asas adalah banyakkan pengambilan serat sebanyak 20-35 gram sehari, banyak minum air serta bersenam.
Berikut adalah beberapa jenis sembelit:

# Sembelit sekali-sekala - adalah jenis sembelit yang paling lazim dialami termasuk warga tua, wanita hamil, pengembara, pesakit yang mengambil ubatan tertentu atau yang pernah menjalani pembedahan. Ia lebih mudah dirawat dengan mengubah gaya hidup dan pengambilan julap.

# Sembelit Akut - sembelit bersifat sementara, berlaku secara tiba-tiba akibat kesan daripada sebab tertentu. Keadaan ini boleh berulang.

# Sembelit Hypotonic atau sembelit atonic - berlaku apabila otot abdomen jadi lemah tidak mampu menolak pergerakan usus seperti sepatutnya. Masalah ini disebabkan gaya hidup tidak sihat, kurang pengambilan serat dan kurang cairan dalam tubuh.

# Sembelit ‘Fungsian tiada kaitan dengan fizikal, hormon atau kimia dalam tubuh tetapi ia sebaliknya berkemungkinan disebabkan faktor psikologi akibat pemakanan dan gaya hidup tidak sihat.

# Sembelit Rektum - Apabila individu terlalu sibuk atau leka dengan gesaan mengosongkan usus, dia sebenarnya melatih rektum untuk menjadi tidak sensitif. Akibatnya rektum tidak menghantar isyarat pada otak walaupun ia penuh. Bahan fekal yang kering dan kesat menjadikan lebih sukar untuk digerakkan.

Sembelit tidak harus diambil ringan dan harus dirawat pada peringkat awal sebaik punca masalahnya diketahui selepas berbincang dengan doktor anda.

INFO: Punca sembelit

# Kurang serat, gemarkan makanan berlemak dan bergula
# Kurang minum air
# -Kerap menahan diri daripada buang air besar
# Kurang bersenam atau melakukan pergerakan (selepas kemalangan)
# Faktor emosional seperti tekanan perasaan
# Berkaitan hormon seperti hamil dan kedatangan haid
# Kesan ubat-ubatan seperti ubat batuk (codein), ubat gastrik (aluminium/kalsium), penenang
# Pengambilan makanan tambahan seperti zat besi
# Otot perut dan usus semakin lemah (warga tua)

Gejala-gejala

# Najis lebih kering, keras dan sukar membuang air besar
# Meneran semasa membuang air besar
# Sakit semasa pergerakan usus
# Kekejangan di bahagian abdomen.

Tip cegah sembelit:

# Jangan menangguh buang air besar
# Minum sekurang-kurangnya lapan gelas cecair sehari. Ini seperti putih dan jus buah-buahan.
# Amalkan tabiat buang air besar secara rutin, dengan waktu yang tetap misalnya ketika mandi pagi.
# Bersenam atau aktif bergerak.


 
Baca Lagi...

04 Disember 2010

Khasiat yang tidak diketahui

RAMAI yang beranggapan viagra merupakan ‘talian hayat’ bagi menyelesaikan masalah seksual kaum lelaki. Bagaimanapun, selepas membaca artikel ini, mungkin persepsi itu berubah. Tidak ramai orang mengetahui bahawa buah mangga juga mempunyai ‘kehebatan’ yang setanding viagra.

Kenapa? Mungkin sebelum ini, ramai yang sekadar menikmati keenakan mangga tanpa menyedari khasiat yang terdapat di dalamnya. Sebenarnya, buah berwarna kuning keemasan itu boleh membantu seseorang memperbaiki aspek kesihatan yang berkaitan dengan fungsi seksual.

Rahsia tersebut didedahkan oleh Pakar Diet Klinikal Pusat Perubahan Gaya Hidup, Pusat Perubatan Prince Court Kuala Lumpur, Tan Yen Sing yang membuat pembentangan dalam sebuah kempen kemasyarakatan, Kesihatan itu Kekayaan, yang telah dilancarkan syarikat MBG Fruits baru-baru ini.

Selain baik untuk kesihatan seksual, mangga juga baik untuk mencegah kanser, menjaga kesihatan penglihatan, membantu penghadaman, menjaga kesihatan kulit, menambah berat badan menguatkan daya ingatan dan bagus untuk mereka yang menghidap anemia.

“Pengambilan buah-buahan dapat membantu mencegah dan mengatasi masalah penyakit yang mungkin menjadi igauan ngeri sesetengah individu seperti kanser.

“Pada tahun 2005, 17.5 juta orang meninggal dunia akibat penyakit kardiovaskular. Angka ini mencerminkan 30 peratus daripada kematian global,” katanya.

HANSEN (kanan) dan Jojo menjaga kesihatan mereka dengan pengambilan buah-buahan yang kerap.

Tambahnya, kajian menunjukkan bahawa pengambilan lebih daripada lima hidangan buah-buahan dan sayur-sayuran sehari dikaitkan dengan pengurangan 17 peratus penyakit jantung koronari.

Manfaat kesihatan

Banyak hasil penyelidikan menarik mengenai manfaat dan khasiat buah-buahan kepada kesihatan telah dibentangkan sempena kempen tersebut.

“Epal misalnya, boleh mencegah dementia (penyakit penyusutan memori) dan percaya atau tidak, ia boleh mencegah kenaikan berat badan. Khasiatnya mampu untuk menurunkan paras kolesterol, menentang kanser dan bertindak sebagai agen antioksida.

“Pektin yang terkandung di dalam epal membantu mencegah peningkatan kolesterol di dinding salur darah. Makanlah epal bersama kulitnya kerana 50 peratus vitamin C terkandung di bawah kulitnya,” jelas Yen Sing.

Bagi mereka yang mengalami kemurungan dan sukar untuk tidur pula, Yen Sing menyarankan pengambilan pisang kerana ia kaya dengan potasium yang boleh membantu membaiki mood.

Pisang turut bertindak sebagai agen antioksida, mengawal tekanan darah, meningkatkan daya tumpuan dan menguatkan ingatan. Buah tropika kegemaran masyarakat Malaysia itu juga dikenal pasti mampu meningkatkan tenaga, menjaga kesihatan jantung, mengurangkan risiko kanser, menentang ulser peptik selain melegakan cirit-birit dan juga sembelit.

Ramai yang saling menasihati, baik kepada rakan-rakan mahupun anak-anak yang sedang belajar, bahawa pengambilan kismis amat bagus untuk menguatkan daya ingatan.

Anggur yang diproses mengikut teknik pengeringan itu sebenarnya mempunyai khasiat yang lebih daripada sekadar penguat memori.

Yen Sing mendedahkan rahsia buah pisang kaki yang membantu masalah sembelit dan cirit-birit.

Kismis mampu membantu mengurangkan risiko kanser, strok, penyakit jantung, antipenuaan, antioksida dan antiradang. Si ‘manis yang berkedut’ itu juga menjaga kesihatan kulit, mata dan sistem kardiovaskular. Lebih istimewa, ia juga baik untuk merawat gastrik, saluran kencing dan menentang penyakit gusi.

Bekal tenaga

“Kismis mengandungi 35 peratus fruktosa dan 35 peratus glukosa yang merupakan gula semula jadi yang mudah dihadam untuk membekalkan tenaga dengan lebih cepat.

“Oleh yang demikian, pengambilan serat melalui buah-buahan dan sayur-sayuran penting tetapi ramai yang tidak menyedarinya lantaran tidak mempunyai pengetahuan mengenainya,” katanya.

Seseorang itu memerlukan 20 gram hingga 35 gram serat setiap hari. Namun, bagaimanakah caranya untuk menentukan keperluan serat yang perlu diambil?

Bagi yang berumur dua tahun ke atas iaitu tiga hingga 18 tahun, pakar mencadangkan pengambilan serat sebanyak 5 gram sehari dicampur dengan usia. Sebagai contoh, kanak-kanak lelaki berusia lima tahun memerlukan jumlah serat sebanyak 10 gram sehari.

“Ambillah lima hidangan buah-buahan dan sayur-sayuran setiap hari. Mulakan dengan mengambil pisang bersama oat untuk sarapan pagi, dua biji kiwi pada waktu tengah hari, yogurt rendah lemak bersama kismis waktu minum teh, sebiji epal pada waktu makan malam dan mangga untuk hidangan pencuci mulut.

EPAL bukan sahaja kaya dengan vitamin C malah mampu mencegah kenaikan berat badan dan seterusnya mengelakkan gejala obesiti. - Gambar hiasan

“Jagalah berat badan dan kesihatan anda melalui pemakanan yang sihat. Jangan bergantung pada ubat diuretik dan laksatif (julap) kerana ia tidak membantu mengurangkan berat badan malah penggunaan yang kerap boleh membahayakan kesihatan,” ujarnya.

Bukan alasan

Turut tidak ketinggalan berkongsi rahsia pemakanan ialah selebriti dan aktivis kesihatan dan kesejahteraan, Jojo Struys dan Hansen Lee.

“Jadual waktu yang sibuk bukan alasan untuk kita tidak mengambil makanan sihat dan tepat pada waktunya. Kita adalah apa yang kita makan. Jika kita makan makanan yang tidak baik untuk kesihatan, maka tidak mustahil kita juga akan sakit.

“Jangan sekali-kali meninggalkan waktu makan. Apa yang penting adalah dengan mengurangkan pengambilan sesuatu hidangan dan tidak terlebih makan,” pesan Jojo.

Dalam pada itu, Hansen pula menasihatkan orang ramai betapa pentingnya pengambilan sarapan pagi kerana ia penting untuk permulaan hari.

“Tidak perlu bersusah payah memasak menyediakan sarapan pagi, cukup sekadar menjamah semangkuk bijirin oat bersama madu dan kismis serta susu,” ujarnya.



 
Baca Lagi...

02 Disember 2010

Harapan pesakit neurovaskular

JARI tangan Pakar Bedah Saraf terkemuka dunia, Profesor Dr. Micheal K. Morgan memegang lembut alat bedah ketika melakukan pembedahan neurovaskular pesakit yang disahkan mengalami Arteriovenous Malformation atau Malformasi arterio vena (AVM).

Suasana di bilik bedah itu senyap seketika apabila Dr. Morgan memulakan torehan kepala seorang pemuda. Hanya sesekali bunyi alat penyedut cecair memecah kesunyian. Bau hanyir darah seperti tidak mengganggu langsung pasukan pembedahan Dr. Morgan yang dibantu oleh Perunding Pakar Bedah Saraf dari Gleneagles Kuala Lumpur, Dr. Jagdeep Singh (terdapat 20 orang dalam pasukan pembedahan termasuk jururawat dan pakar anestisia).

Dengan penuh teliti umpama melukis sesuatu, perhatian dua pakar tersebut tertumpu pada mikroskop digital. Torehan itu mendedahkan selaput otak yang berwarna putih kemerah-merahan.

Kemudian, seorang petugas membersihkan kawasan itu supaya saraf otak lebih jelas kelihatan. Bahagian itu dicuci sebelum proses pembedahan dimulakan.

Empat tahun lalu, pemuda yang berusia 22 tahun itu mengalami sakit kepala yang teruk. Dia menyangkakan sakit kepala itu hanya perkara normal seperti yang dialaminya sebelum ini.

Pemuda itu telah menjalani ujian imbasan (CT Scan) otak dan ujian imbasan resonan bermagnet (MRI) pada 2006. Akhirnya, penderitaan sakit kepalanya terjawab apabila dia didiagnosis mengalami AVM.

Kehadiran Dr. Morgan tahun ini ternyata membawa tuah kepada pemuda itu apabila Dr. Morgan telah menjalinkan kerjasama dengan Gleneagles bagi memulakan rawatan neurosurgeri bertahap tinggi di Malaysia.

Pesakit neurovaskular itu kini mempunyai harapan.

Pendarahan

Kebanyakan masyarakat pada hari ini sering mengaitkan sakit kepala dengan penyakit “migrain”. Namun, hakikatnya tidak ramai yang mengetahui tentang penyakit AVM. Penyakit itu boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, tanpa mengira usia tua mahupun muda. Mungkin anda sedang mengidap penyakit AVM dan bukan sakit kepala biasa.

Pada 21 November lalu, Dr. Morgan telah mengendalikan dua prosedur pembedahan secara langsung yang membabitkan AVM dan pembedahan aneurisme.

Jika diperhatikan, kedua-dua kes itu mempunyai simptom yang sama iaitu sakit kepala yang teruk, mual, muntah dan kejang di bahagian leher.

Menurut Dr. Morgan, AVM merupakan pengumpulan saluran darah secara tidak normal di otak. Keadaan ini disusuli dengan pendarahan dalam otak atau sawan.

“Kebiasaannya rawatan untuk AVM sangat kompleks dan boleh membabitkan pelbagai kaedah. Diagnosis terhadap AVM boleh dilakukan dengan menjalankan prosedur angiogram dan imbasan MRI,” ujarnya.

Jika dibiarkan tanpa rawatan, pendarahan dalam otak yang berulang boleh mengancam nyawa. Pilihan rawatan bagi AVM adalah termasuk pembedahan atau terapi radiasi.

Tambah Dr. Morgan, embolisasi iaitu pemotongan peredaran darah ke AVM boleh digunakan sebagai tambahan kepada kaedah rawatan AVM.

“Dalam kes tertentu pesakit akan memerlukan kombinasi kaedah pembedahan, terapi radiasi atau embolisasi,” ujarnya.

AVM adalah gumpalan saluran darah yang tidak normal dan tidak mempunyai kapilari di antara arteri dan vena. Ini menyebabkan pertukaran tekanan yang tidak terurus secara berkala di antara arteri dan vena. Menurut Pakar Bedah saraf Hospital Kuala Lumpur, Dr Ramesh Narenthiranathan, tekanan yang tinggi dari arteri menyebabkan pengembangan salur vena yang tidak terkawal dan tidak normal.

“Pengembangan ini, jika tidak dibendung, akan menipis dan akhirnya pecah disebabkan tekanan darah yang tinggi. Pandangan dan nasihat pakar bedah otak adalah perlu bagi memastikan rawatan yang paling sesuai dan berkesan bagi merawat penyakit ini,” ujar beliau.

Dr. Ramesh menjelaskan AVM boleh berlaku di mana sahaja di dalam bahagian otak kita, sama ada besar mahupun kecil. Apabila pendarahan berlaku, pendarahan ini adalah sedikit jika dibandingkan dengan pendarahan yang berpunca akibat daripada pendarahan ‘‘hypertensive”. Ramai pesakit mengalami kesakitan yang amat sangat namun, tidak ramai yang menyedari bahawa mereka sebenarnya pengidap penyakit AVM. Antara tanda-tandanya ialah kesakitan di bahagian sebelah kiri mahupun kanan kepala dan apabila perkara ini berlaku, pesakit perlulah menjalani rawatan imbasan CT atau MRI.



 
Baca Lagi...