19 Februari 2011

Ketuat segera rawat sebelum parah

By 06:29
KETUAT atau `warts' merupakan sejenis penyakit kulit yang kerap terjadi menyebabkan kita memandang remeh kesan penyakit tersebut terhadap kehidupan seharian kita.

Sedangkan ketuat sekiranya dibiarkan berlarutan boleh merebak ke lain-lain bahagian badan serta menjangkiti orang yang dekat dengan kita.

Menurut pakar Perubatan dan Penyakit Kulit, Klinik Perubatan dan Kulit Cheras, Dr. Saadiah Sulaiman, ketuat adalah disebabkan oleh virus Human Papilloma (HPV).

Mana-mana bahagian kulit boleh dijangkiti terutama di tangan, jari dan kaki. Bahagian yang dijangkiti akan mula menimbul, keras manakala permukaannya menjadi kasar.

``Jangkitan boleh merebak ke lain-lain anggota badan atau individu yang lain melalui sentuhan.`' katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Dr. Saadiah menambah, mereka yang mempunyai masalah kurang daya tahan diri seperti menghidap HIV atau sistem pertahanan kulit yang lemah seperti golongan yang mengalami masalah ekzema lebih mudah dijangkiti ketuat.

Begitu juga mereka yang sering terdedah kepada kotoran.

JENIS-JENIS KETUAT

Menurut Dr. Saadiah, terdapat lebih 150 jenis ketuat dan ia bergantung kepada kawasan di mana ketuat itu wujud.

KETUAT BIASA (COMMON WARTS)

Ketuat jenis ini kebiasaannya terjadi di bahagian tangan. Bahagian yang dijangkiti akan membonjol keluar, bulat dan mempunyai permukaan yang kasar dan keras. Ia berwarna seperti kulit atau gelap sedikit.

KETUAT KAKI (PLANTAR WARTS)

Ketuat jenis ini akan menimbulkan kesakitan kepada individu apabila berat badan menekan kawasan yang dijangkiti terutama apabila berjalan atau berlari.

Lazimnya terdapat bintik hitam disebabkan oleh pendarahan kecil di permukaannya. Penggunaan alas berbentuk bulat seperti donut pada bahagian tersebut akan membantu mengurangkan kesakitan.

KETUAT FILIFORM (FILIFORM WARTS)

Ketuat jenis ini berbentuk unjuran panjang seperti jari dan boleh berlaku di sekeliling kelopak mata, muka dan leher.

KETUAT PLANAR

Ketuat jenis ini kelihatan seperti biji-biji leper di permukaan kulit dan warnanya seperti warna kulit dan ia terjadi pada permukaan kulit yang lembut.

KETUAT KELAMIN (GENITAL WARTS)

Ketuat jenis ini adalah lembut, lembap, tidak sakit. Ia berwarna merah jambu atau keperangan dan boleh tumbuh di atas kemaluan, bibir faraj, kawasan dubur (anal warts) dan kadangkala ia muncul di faraj wanita

``Bagi wanita, ketuat kelamin berpotensi menyebabkan kanser, terutamanya barah pangkal rahim,'' tambah Dr. Saadiah.

Oleh kerana lazimnya penyakit ini tidak ada gejala, kaum maka wanita dinasihatkan menjalankan ujian `pap smear' secara berkala terutama mereka yang menjangkau umur 40-an.

Bagi wanita mengandung, rawatan perlu dijalankan dengan segera kerana risiko virus HPV menjangkiti bayi adalah tinggi semasa melahirkan anak terutamanya apabila bayi tersebut dilahirkan secara normal. Ini kerana bayi dilahirkan akan melalui kawasan yang

dijangkiti dan mendedahkannya kepada jangkitan.

KAEDAH RAWATAN

Salap asid SALISILIK

Ubat ini perlu disapukan di bahagian yang dijangkiti. Setelah ketuat tersebut kering, ia akan dikikis. Keruping perlu dibuang secara berhati-hati kerana sekiranya terkena mana-mana bahagian kulit yang sihat, virus boleh tersebar.

TERAPI CRYO

Nitrogen cecair akan dikenakan pada ketuat dan apabila kering ketuat tersebut akan jatuh ataupun mengecut. Namun begitu, rawatan ini selalunya perlu dijalankan berulang-kali.

PODOPHYLLIN

Merupakan satu teknik rawatan yang menggunakan sejenis tumbuhan. Ubat ini disapu di bahagian yang dijangkiti bagi memusnahkan tisu di tempat yang dijangkiti di permukaan kulit.

INTERFERON & ASID TRICHLORACETIC (TCA)

Ubat Interferon akan disuntik secara langsung kepada kawasan yang dijangkiti manakala TCA akan disapu di permukaan ketuat.

PEMBEDAHAN

Kaedah ini akan diambil bergantung kepada kesesuaian tempat dan jenis bentuk penyakit. Ketuat akan dibuang terus termasuk akar dan lain-lain tisu yang dijangkiti oleh virus tersebut.

PENCEGAHAN

Bagi sesetengah orang, ketuat boleh hilang dengan sendirinya dalam masa 6 hingga 2 tahun. Namun begitu ini tidak bermakna ketuat tidak akan terjadi semula.

Kebersihan diri memainkan peranan dan memastikan kulit sentiasa sihat.

``Jangan sesekali cuba membuang ketuat dengan memotongnya sendiri

kerana ia boleh menyebabkan jangkitan kuman yang lain dan kadangkala menyebabkan ketuat terjadi dengan lebih teruk,'' ujar Dr. Saadiah.

Bagi mereka yang mengidapi penyakit ini, adalah dinasihatkan supaya jangan tunggu terlalu lama untuk mendapatkan rawatan.

``Kes yang paling teruk saya lihat ialah ketuat di kawasan dubur. Ketuat pesakit ini telah menjadi besar, sebesar sebiji bola tenis,'' tambahnya lagi.

Bagi pesakit ini, Dr. Saadiah mengatakan satu pembedahan telah dibuat bagi membuat ketuat tersebut di samping rawatan susulan dengan rawatan cryo.



0 comments: