16 Februari 2011

Cara kawal sakit gout

BIASANYA apabila menghidap satu-satu penyakit, antara nasihat ‘wajib’ yang diberi doktor ialah jaga makan dan mula bersenam. Namun ramai menganggap nasihat untuk ‘jaga makan’ itu sebagai berpantang, membuatkan sesetengah pesakit menjauhi terus kumpulan makanan yang dirasakan boleh merangsang penyakit mereka.

Memang diakui berpantang itu susah dan hanya orang yang benar-benar teguh semangat mampu melakukannya, apatah lagi untuk jangka masa panjang.

Ini sebabnya pakar perubatan menyarankan kita ‘jaga makan’ dengan mengamalkan pemakanan secara bersederhana, melebihkan sayur-sayuran dan buah-buahan serta minum banyak air kosong.

Nasihat dan panduan ini juga diberi kepada pesakit gout bagi mengelak serangan berulang. Ini kerana pemakanan mengandungi banyak sumber tumbuh-tumbuhan dapat membantu mengurangkan penghasilan asid urik dalam badan dan secara tidak langsung mengurangkan kekerapan mendapat serangan gout.


Gout disebabkan pengumpulan asid urik dalam darah; yang terhasil daripada proses pemecahan makanan. Buah pinggang akan menapis darah dan menyingkirkan asid urik melalui air kencing.


Bagaimanapun bagi pesakit gout, asid urik tidak dapat disingkirkan sepenuhnya dan lama kelamaan paras asid urik dalam darah akan meningkat. Asid urik ini kemudian akan mendap di sendi, terutama pada sendi besar. Biasanya mendapan berlaku pada sendi ibu jari tetapi ia juga boleh berkumpul di sendi lain seperti belakang kaki, buku lali, lutut, pergelangan tangan, siku dan jari.

Asid urik boleh menyebabkan keradangan pada sendi dan ketika inilah serangan gout berlaku. Pesakit akan berasa sakit sehingga tidak boleh menggerakkan sendi terbabit. Malah ada pesakit terpaksa mengambil cuti sakit setiap kali mengalami serangan gout.

Gout adalah satu daripada penyakit sendi dan serangan pertama biasanya berlaku dalam lingkungan umur 40 hingga 50 tahun. Bagaimanapun, gout boleh menyerang semua peringkat umur, termasuk remaja.

Gout juga boleh disebabkan oleh gemuk, tekanan, kerosakan buah pinggang, penghasilan terlalu banyak asid urik, terlalu sedikit penyingkiran asid urik, kesan sampingan ubat diuretik dan akibat penyakit lain seperti tekan darah tinggi serta kebuluran.

Serangan berlaku secara mengejut dan cepat, tidak seperti artritis lain yang menyerang perlahan-lahan. Sendi terbabit terasa sangat sakit sehingga jika ditindih dengan kain nipis pun dirasa boleh menambah kesakitan.

Serangan gout berlaku pada satu sendi dan tanpa rawatan, setiap serangan boleh berlanjutan antara satu hingga dua minggu. Manakala serangan kedua biasanya mengambil masa lama (bulan atau tahun) untuk berlaku dan serangan ini boleh berulang dari semasa ke semasa pada sendi sama.

Dianggarkan 60 peratus pesakit mengalami serangan kedua dalam masa setahun dan 78 peratus mendapat serangan kedua dalam masa dua tahun. Hanya tujuh peratus pesakit tidak mengalami serangan berulang dalam tempoh 10 tahun.

Serangan gout boleh dicetuskan oleh beberapa faktor seperti pengambilan minuman beralkohol berlebihan, terlalu banyak makan terutama makanan yang kaya purin, kecederaan kecil pada sendi, tidak cukup minum air, badan mengalami kekurangan air disebabkan pengambilan sesetengah jenis ubat dan mengamalkan diet melampau.

Jika tidak diberi rawatan, serangan boleh berlaku dengan lebih kerap, lama dan mungkin membabitkan sendi lain. Satu perkara penting yang perlu diketahui ialah, serangan gout yang terlalu kerap boleh merosakkan sendi dan kerosakan ini adalah kekal, tidak boleh dipulihkan dan akan menyebabkan pesakit menjadi cacat.

Untuk mengelak kesakitan dan kecacatan inilah, selain pengambilan ubat, pesakit gout diingatkan berulang kali untuk minum banyak air sekurang-kurangnya dua hingga tiga liter air masak sehari.

Apabila mendengar saranan ini, ramai pesakit gout, terutama yang sudah berumur, berasa kurang senang kerana ia akan membuatkan mereka kerap buang air kecil dan perkara ini dianggap sangat menyusahkan.

Sebenarnya ini antara kaedah kawalan dan pengurusan penyakit gout. Apabila pesakit minum banyak, air kencing akan menjadi cair dan setiap kali mereka berulang ke tandas, sebahagian daripada asid urik dikeluarkan daripada badan.

Antara langkah lain yang perlu dilakukan pesakit ialah:

# Kawal makan dengan mengehadkan pengambilan protein daripada sumber haiwan — sesetengah pesakit beranggapan tidak mengapa makan ikut selera kerana ubat gout yang ada sekarang berkesan dan boleh menghilangkan kesakitan akibat keradangan dalam masa beberapa jam. Betul, tetapi kawalan penyakit gout lebih berkesan dengan menjaga pemakanan.

Ini bukan bermakna pesakit perlu berpantang, tetapi mengurangkan pengambilan jenis makanan yang kaya purin kerana ia boleh meningkatkan paras asid urik seperti organ dalaman (otak, hati, buah pinggang, limpa, jantung), daging angsa, ikan bilis, sardin, ikan kembung dan makanan laut bercengkerang.

Kajian menunjukkan diet bebas purin hanya dapat mengurangkan 15 hingga 20 peratus paras asid urik. Jadi anda masih boleh makan makanan kegemaran, tetapi pada kuantiti kecil.

Sebaliknya gantikan dengan sumber protein daripada tumbuh-tumbuhan seperti kacang dan kekacang. Ia juga dapat membantu pesakit mengurangkan pengambilan lemak yang boleh mengakibatkan pertambahan berat badan. Lemak tepu juga dikenal pasti antara penyumbang tidak langsung kepada masalah gout.

# Kawal berat badan. Kegemukan boleh menjejaskan keupayaan badan untuk menyingkirkan asid urik. Jika anda mempunyai masalah berat badan berlebihan, mulakan bersenam dan kawal pengambilan makanan supaya berat badan dapat dikurangkan secara perlahan-lahan. Diet keterlaluan dan mendadak boleh menyebabkan serangan gout.

# Jika anda minum minuman beralkohol, hadkan kepada segelas wain atau satu tin bir saja sehari. Alkohol boleh meningkatkan paras asid urik dalam darah dan meninggikan risiko mendapat keradangan (serangan gout). Jika anda mengalami serangan, jangan minum minuman beralkohol.

# Minum banyak air iaitu sekurang-kurangnya dua liter sehari. Tidak mengapa jika anda terpaksa berulang ke tandas banyak kali kerana ia petanda baik. Semakin kerap anda ke tandas, semakin banyak asid urik dibuang.

# Pilih produk tenusu rendah lemak atau bebas lemak. Ada kajian menunjukkan pengambilan produk tenusu rendah lemak dapat membantu mengurangkan risiko gout.

# Ambil karbohidrat kompleks — sasarkan untuk makan lebih banyak bijirin, sayur dan buah. Kurangkan makanan mengandungi karbohidrat yang diproses seperti roti putih dan kek.

# Hadkan pengambilan gula — terlalu banyak gula akan membuatkan kita kurang makan buah, sayur dan bijirin. Makanan yang banyak gula juga banyak kalori yang akan membuatkan anda lebih senang mengalami pertambahan berat badan.



0 comments: