18 Februari 2011

Sengsara akibat alergi teruk

JAM menunjukkan pukul 3 pagi, kedengaran si kecil, Hasya Farhani Izudin batuk tidak henti-henti walaupun pada mulanya diulit lena.

Hasya Farhani yang baru berusia empat tahun bukan sahaja batuk pada waktu malam, malah dia juga akan batuk selepas bermain atau ketika seronok ketawa kerana menonton kartun kegemarannya.

Mungkin anak anda juga mengalami keadaan yang sama seperti Hasya Farhani. Ketahuilah, ia bukan batuk biasa yang pernah anda alami kerana tanda-tanda tersebut menunjukkan anak anda menghidap asma.

Asma adalah sejenis penyakit kronik akibat keradangan pada saluran pernafasan yang menyebabkan seseorang itu mengalami kesukaran bernafas, rasa ketat di dada, batuk dan nafas berdehit.

Jika apa yang dialami oleh Hasya Farhani berlaku pada anak anda, segeralah berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan rawatan kerana asma yang tidak dirawat boleh membawa maut

Di Amerika Syarikat, seramai 22.2 juta rakyatnya menghidap asma pada tahun 2005 dan daripada jumlah tersebut 6.5 juta terdiri daripada golongan berusia 18 tahun ke bawah.

PEMERIKSAAN kesihatan secara berkala ke atas anak asma perlu dilakukan bagi mengelakkan serangan asma menjadi lebih teruk.

Simptom asma

Satu kajian yang dilakukan pada tahun yang sama di Malaysia pula mendedahkan penyakit tersebut tersebar luas di beberapa tempat dan Lembah Klang mencatatkan kadar yang paling tinggi iaitu sebanyak 13.9 peratus melibatkan dalam kalangan mereka yang berusia 13 dan 14 tahun.

Ia juga menunjukkan peningkatan penghidap asma berdasarkan kemasukan pesakit ke hospital dan jumlahnya meningkat 20 kali ganda dalam tempoh 10 tahun.

“Tanda-tanda asma ini hadir dengan cara yang berbeza. Ada yang batuk pada waktu malam, batuk kerana cuaca sejuk, batuk ketika bermain, ketawa dan menangis, mengalami kesukaran bernafas atau bernafas dengan laju dan nafas yang berdehit.

“Kadangkala penyebabnya tidak sama antara individu. Jadi ibu bapa perlu lihat reaksi anak masing-masing terhadap alergi. Asma tidak berpunca daripada satu simptom sahaja,” kata Dr. Azam Mohd. Nor yang merupakan Perunding Pediatrik di Hospital Pantai Kuala Lumpur.

Katanya, seseorang itu boleh mengalami serangan asma ringan, sederhana dan teruk. Ia kadangkala boleh menyerang dengan kerap dan tiada pada tempoh yang lama.

Menurutnya, terdapat beberapa faktor risiko yang menyumbang kepada pembentukan asma iaitu sejarah keluarga, terdedah kepada antigen seperti hama, habuk dan persekitaran berhabuk atau berasap.

“Kanak-kanak yang mempunyai ibu atau bapa menghidap asma, kebarangkalian mereka mewarisi penyakit tersebut ialah sebanyak 30 peratus.

“Bayi pramatang juga kadangkala menghidap asma kerana memiliki paru-paru tidak matang. Banyak faktor penyebab asma, terlalu pembersih pun boleh jadi sebab kerana badan tidak dapat menahan bakteria walau sedikitpun sehingga badan tidak dapat membina imuniti,” ujarnya.

Terdapat beberapa faktor pencetus yang boleh mengundang asma iaitu demam dan selesema, perubahan cuaca, keadaan udara yang tidak bersih seperti hama, kulat, kucing dan anjing.

“Jangan sekali-kali memandang rendah aspek emosi kerana keadaan emosi seperti stres, sedih, takut, panik boleh menyebabkan seseorang itu mendapat serangan asma.

“Selain itu, senaman, sesetengah makanan dan ubat-ubatan serta pendedahan kepada asap rokok juga boleh mencetuskan asma,” jelasnya.

MENGHIDAP asma bukan penghalang untuk anak anda bersenam dan bersukan.

Mengawal serangan asma

Bagi mengelakkan serangan asma, sesebuah keluarga itu perlu memastikan kelembapan di rumah berada pada tahap yang rendah, udara di dalam rumah bersih dan gunakan pendingin hawa.

“Jangan kerap dedahkan anak anda kepada udara yang sejuk dan lembap selain menyediakan rumah yang ‘mesra asma’ iaitu elakkan penggunaan karpet dan elakkan pemberian mainan lembut kepada anak-anak.

“Seseorang yang menghidapi asma selama-lamanya mempunyai asma. Ia satu penyakit yang tidak boleh sembuh tetapi boleh dikawal. Rawatannya mengambil masa yang lama iaitu enam bulan sehingga tiga tahun,” katanya.

Tambahnya, asma yang tidak dikawal dan dirawat boleh menyebabkan kematian, jangkitan pada paru-paru, pneumonia dan jangkitan pada sistem pernafasan.

Bagi memastikan anak anda kekal sihat tanpa asma, Azam menasihatkan ibu bapa supaya membawa anak-anak melakukan pemeriksaan kesihatan secara rutin, pastikan anak-anak bersenam dan mengekalkan berat badan sihat.

“Bagi ibu yang baru melahirkan anak, pemberian susu ibu kepada bayi boleh membantu mencegah asma. Selain itu, jauhkan anak-anak daripada perkara yang boleh menyebabkan asma seperti asap rokok dan galakkan mereka untuk menjadi lebih aktif.

JANGAN ambil mudah masalah batuk anak anda.

“Penjagaan diet yang sihat juga dapat membantu mengawal asma seperti pengambilan buah-buahan segar, sayuran hijau, minyak ikan, minyak zaitun tulen, bawang putih dan bawang serta kurangkan pengambilan garam,” ujarnya.

Katanya, ada sesetengah petua melarang penghidap asma mengambil buah-buahan sitrus, anggur, minuman berais, minuman berkarbonat dan sebagainya, tetapi baginya ia boleh diambil namun dalam kadar yang sederhana.

Antara makanan lain yang boleh menyebabkan asma ialah susu, produk tenusu, makanan yang menghasilkan mukus seperti coklat, tepung halus, gula, makanan kandungan garam tinggi dan makanan segera.



0 comments: