Perkongsian Info dan maklumat Kesihatan.

05 Januari 2010

Psoriasis Kulit merekah, bersisik



APABILA melihat orang yang mempunyai kulit bertompok merah, bersisik, kadangkala merekah dan berdarah, ramai cuba menjauhkan diri kerana bimbang dijangkiti, tanpa menyedari tindakan itu hanya membuatkan pesakit berasa lebih rendah diri.

Tanda disebut di atas adalah sebahagian daripada ciri penyakit kulit dipanggil psoriasis. Jika anda berselisih dengan orang yang ada ciri seperti ini, jangan takut kerana ia tidak berjangkit.

Psoriasis adalah penyakit kulit kronik yang dihidapi kira-kira dua hingga tiga peratus penduduk setiap negara di seluruh dunia. Penyakit ini ada dalam semua kelompok masyarakat tanpa mengenal umur, jantina dan keturunan.

Biasanya simptom psoriasis bermula ketika pesakit masih muda, tetapi kebanyakan pesakit mula mengalami masalah ini dalam lingkungan umur 20 hingga 30 tahun.

Bagaimana bentuk dan rupa psoriasis? Ketua Jabatan Dermatologi Universiti British Columbia merangkap Pengarah Perubatan Pusat Penjagaan Kulit, Hospital Besar Vancouver, Kanada, Profesor Harvey Lui, berkata psoriasis ada lima ciri utama iaitu tompokan kulit yang timbul, berwarna merah menyala dan bersisik perang berkilat.







04 Januari 2010

Kenali sakit kepala



ADA satu humor perubatan, di mana seorang pemuda yang begitu bimbang akan penyakit yang dideritainya meminta penjelasan daripada doktor yang merawatnya.

Doktor, saya sakit apa? tanya pesakit tersebut.

Adakah anda pernah mengalaminya sebelum ini? soal doktor balik kepada pesakit berkenaan.

Ya, jawabnya.

Tak apa, anda cuma mengalaminya sekali lagi, ujar doktor berkenaan bersahaja.

Pengajaran yang tersembunyi di dalam jenaka ini, ada ketikanya, fakta paling penting tentang gejala penyakit anda adalah sama ada ia berulang.

Keadaan ini sangat bertepatan dengan sakit kepala, sakit yang paling biasa menyerang dari sekian banyak gangguan kesihatan yang dialami manusia.

Berdasarkan laporan Majlis Pendidikan Sakit Kepala Amerika (ACHE), dianggarkan hampir 90 peratus lelaki dan 95 peratus wanita pernah mengalami sekurang-kurangnya rasa sakit kepala seumur hidup mereka terutamanya ketika jatuh sakit, keletihan ataupun tertekan.