10 Disember 2013

Usah abai kesihatan rambut

Sebenarnya, keguguran rambut selepas bersalin adalah normal. Ia tiada kaitan dengan bayi menyembur atau menyusu badan.

Rambut mengalami dua fasa iaitu pertumbuhan dan fasa rehat iaitu rambut akan kekal dan gugur bagi memberi laluan kepada pertumbuhan rambut baru. 

Namun bagi ibu yang baru saja melahirkan anak, keguguran rambut lebih ketara disebabkan hormon progesteron yang dikeluarkan daripada bahagian sistem saraf otak menyebabkan rambut mengalami fasa pertumbuhan yang cepat. Pada masa ini rambut kelihatan berminyak, hitam dan sedikit lebat. 

Keadaan ini berubah selepas bersalin. Rambut akan mengalami fasa ‘rehat’ dan sebagai memberi laluan kepada pertumbuhan rambut baru, lebih banyak rambut asal akan gugur. Biasanya keguguran rambut selepas bersalin berlaku dalam dua hingga tiga bulan selepas bersalin. 

Selain itu, kadar metabolisme menyebabkan hormon sukar dilaraskan. Tiga hingga lima bulan selepas bersalin, kira-kira 30 peratus daripada jumlah rambut akan gugur. Ibu-ibu juga akan kehilangan rambut yang banyak disebabkan stamina dan kesihatan yang lemah selepas bersalin. 

Biasanya 50 hingga 60 peratus rambut akan gugur disebabkan perubahan hormon malah dalam kes yang serius, rambut gugur secara bertompok-tompok. 

Antara ciri-ciri yang boleh dikesan ialah kulit kepala berminyak dan gatal. Ini berlaku disebabkan kelenjar minyak terlalu aktif dan merembeskan banyak minyak. Namun kotoran ini tidak dapat dibersihkan menggunakan syampu biasa dan hanya dapat dirawat menggunakan rawatan khas. Biasanya rawatan untuk rambut gugur harus dilakukan segera sekiranya ibu-ibu mendapati rambut mereka gugur sehingga enam bulan ke atas. Ini bagi memastikan mereka tidak mengalami masalah botak. 

Kebiasaannya rambut yang gugur akan tumbuh semula selepas kira-kira lima bulan. Bagaimanapun, jika rambut terus gugur selepas tempoh itu dan kulit kepala semakin jelas kelihatan, wanita tidak harus mengabaikannya. 

Pesakit yang mengalami masalah rambut dinasihatkan supaya tidak menjadi doktor dan menggunakan rawatan yang terbukti boleh menyebabkan keburukan pada rambut. Mereka perlu berjumpa pakar untuk mendapatkan diagnosis dan rawatan yang tepat. Malah rawatan yang cepat dapat mengembalikan kehitaman dan kesuburan rambut. 

Selain itu, makan makanan seimbang dengan mengambil hidangan buah-buahan dan sayur-sayuran pelbagai warna seperti merah, kuning, putih, hijau dan ungu biru memberikan vitamin, mineral, serat yang diperlukan untuk badan serta mengurangkan masalah penuaan. 

Kekurangan pemakanan, perubahan cuaca dan kurang bersenam menyebabkan badan menjadi mangsa terutama rambut. Terdapat fakta baru yang menyebabkan masalah kehilangan rambut seperti demodex iaitu sejenis parasit yang hidup dalam kulit kepala. Ia mencuri nutrien untuk kulit dan mengeluarkan enzim tidak baik yang menyebabkan rambut gugur.

Selain itu, ramai wanita bertudung melakukan kesilapan apabila tidak mencuci rambut setiap hari disebabkan rasa leceh kerana perlu mengeringkan semula. Apabila ini berlaku, liang folikel rambut akan tersumbat disebabkan minyak berlebihan. Keadaan ini akan mencetuskan kelemumur, rambut bercabang serta keguguran rambut. 

Bagi wanita bertudung, cuci rambut setiap hari dan mengeringkannya sebelum memakai tudung. Ini bagi memastikan rambut terhindar daripada kotoran dan dapat kembali bernafas.
rawatan dan sihat tanpa ubat
Baca Lagi...

03 Oktober 2013

Peranan lemak berbeza

Isu penggunaan lemak dan kebimbangan terhadap kesan negatif lemak sudah lama dibincangkan. Bagaimanapun bukan semua lemak itu berbahaya dan ia mempunyai peranan tersendiri yang sangat penting.

Lemak memberi badan tenaga untuk berfungsi dengan baik, diperlukan untuk mengekalkan kesihatan kulit dan rambut; membantu badan menyerap vitamin A, D, E dan K (dipanggil vitamin larut lemak).

Lemak akan memenuhi sel-sel lemak di bawah kulit bagi membantu memanaskan badan. Selain itu lemak berperanan penting untuk perkembangan otak, mengawal keradangan dan pembekuan darah. 

Tidak kira jenis minyak yang dipilih, semuanya adalah lemak. Lemak boleh dibahagikan kepada dua iaitu lemak tepu dan lemak tidak tepu. Klasifikasi ini dilakukan berdasarkan jumlah kandungan asid lemak tepu dan tidak tepu. Semua minyak, tidak kira semahal mana pun ia, tetap mengandungi lemak tepu tetapi dalam jumlah berbeza. 

a. Lemak tepu: Ia adalah lemak yang diperoleh daripada haiwan dan ia beku pada suhu bilik; contohnya mentega, keju, minyak sapi dan lemak pada daging. 

Bagaimanapun sesetengah lemak daripada tumbuh- tumbuhan juga dikelaskan sebagai lemak tepu seperti minyak kelapa, santan kelapa dan isi rong kelapa sawit. Minyak sawit juga dikategorikan sebagai minyak tepu kerana kandungan lemak tepu dan tidak tepu adalah sama. Kesannya, ia akan meninggikan paras kolesterol buruk dan tahap kolesterol keseluruhan jika diambil berlebihan. 

b. Lemak tidak tepu: Lemak jenis boleh diperoleh daripada sumber haiwan dan tumbuhan. Ia boleh dibahagikan kepada tiga iaitu lemak poli tak tepu, lemak moto tak tepu dan asid lemak trans. Pada suhu bilik, ia berada dalam keadaan cecair.

Lemak poli tak tepu - Sumber lemak jenis ini ialah bijian, kekacang dan ikan laut dalam. Contohnya minyak bunga matahari, jagung, soya, safflower, bijan, biji benih flaks dan kacang. 

Ikan laut dalam pula seperti salmon, tuna, sardin, makerel dan trout membekalkan asid lemak perlu Omega-3 manakala minyak jagung, soya dan safflower pula mengandungi asid lemak perlu Omega-6.

Asid lemak perlu ialah lemak yang tidak boleh dihasilkan oleh badan.

Lemak jenis ini dikategorikan sebagai lemak baik kerana ia boleh mengurangkan paras kolesterol buruk (LDL), trigliserida dan jumlah kolesterol keseluruhan.
Lemak mono tak tepu - Sumbernya ialah bijian dan kekacang seperti minyak kanola, kacang tanah, zaitun dan bran beras. Ia juga dianggap lemak baik kerana boleh mengurangkan jumlah kolesterol keseluruhan dan meningkatkan paras kolesterol baik (HDL).

Lemak trans - Lemak trans dihasilkan apabila minyak dalam bentuk cecair ditukar ke bentuk pepejal seperti margerin, pepejal susu atau lemak (lemak yang digunakan dalam pastri) dan gi sayuran (vegetable ghee). Proses penukaran ini dipanggil hidrogenasi.

Ia dikategorikan sebagai lemak yang sangat buruk (dua hingga lima kali lebih teruk daripada lemak tepu) kerana asid lemak trans boleh meningkatkan paras kolesterol buruk dan merendahkan kolesterol baik.

Lemak trans adalah lemak tidak tepu; bermakna rantaian kimianya tidak dipenuhi hidrogen. Namun, apabila lemak tidak tepu menjalani proses hidrogenasi (penambahan hidrogen pada rantaian kimianya), ia menjadi satu rantaian baru menyebabkan lemak trans berada dalam keadaan pepejal pada suhu bilik.

Lemak trans digunakan untuk memperbaiki kualiti produk makanan, mengekalkan kesegarannya dan menaikkan rasa makanan supaya ia boleh berada di pasaran bagi tempoh lama. 

Yang menjadi isu ialah, lemak trans boleh meningkatkan paras kolesterol buruk dan merendahkan paras kolesterol baik; sekali gus meninggikan risiko untuk mendapat penyakit jantung, strok, kencing manis dan lain-lain penyakit kronik.

Pilihan minyak dan kaedah memasak

Menurut Ho, pemilihan yang dilakukan oleh rakan penulis seperti diceritakan awal tadi memang tepat kerana bukan semua minyak sesuai digunakan dalam semua kaedah memasak. 

“Kegunaan setiap minyak itu berbeza dan ia memberi ‘prestasi’ terbaik dalam lingkungan suhu tertentu. Sesetengah minyak memang boleh digunakan untuk menggoreng dan sesetengahnya lagi hanya untuk kaedah memasak yang tidak membabitkan suhu terlalu tinggi. Ada pula yang lebih enak jika dipercikkan sahaja pada makanan.

“Perbezaan ini disebabkan adanya keadaan dipanggil titik asap iaitu tahap suhu minyak yang akan menyebabkan ia berasap apabila dipanaskan. Apabila minyak dipanaskan sehingga ia berasap, akan berlaku perubahan pada rantaian kimia minyak berkenaan yang boleh memberi kesan buruk kepada kesihatan jika ia terus digunakan.

“Untuk menggoreng, gunakan minyak sawit kerana ia mempunyai titik asap yang tinggi. Manakala minyak lain dalam kategori lemak tidak tepu sesuai digunakan untuk menumis kerana titik asapnya yang lebih rendah,” katanya.

Malangnya ada orang salah anggap mengenai penggunaan minyak. Ada yang percaya mereka perlu menghindari minyak sawit sepenuhnya dan menggunakan minyak dalam kumpulan lemak tidak tepu untuk semua masakan.

“Ramai orang percaya jika menggunakan minyak tidak tepu, mereka akan jadi lebih sihat. Anggapan ini kurang tepat kerana ia mempunyai titik asap lebih rendah. Jadi apabila digunakan untuk menggoreng, akan berlaku perubahan pada rantaian kimia minyak tadi dan boleh mengakibatkan paras kolesterol dalam darah mereka semakin meningkat.

“Walaupun minyak sawit sesuai digunakan untuk menggoreng, kita perlu ingat, penggunaan minyak ini ada hadnya. Pakar pemakanan menyarankan penggunaan minyak menggoreng ini terhad kepada dua kali saja. Maknanya kita boleh menggunakan minyak sama untuk menggoreng setakat dua kali saja,” katanya. 

Kali kedua anda memanaskan minyak, titik asapnya akan menjadi lebih rendah daripada kali pertama minyak berkenaan digunakan.

Ini sebabnya pakar pemakanan tidak menyarankan kita menggunakan semula minyak, terutama untuk makanan bergoreng.

Namun kini dengan teknologi penapisan yang semakin canggih, kebanyakan minyak sawit di pasaran boleh digunakan sehingga tiga kali seperti didakwa pengeluar. Cara mudah untuk mengenali minyak yang sudah digunakan ialah melihat warnanya. Elak membeli makanan yang digoreng dengan minyak berwarna gelap.

Satu perkara penting yang perlu kita tahu ialah semua minyak mengandungi asid lemak tepu. Tidak kira sebaik manapun ia, penggunaan minyak secara keseluruhannya perlu dikurangkan kerana satu gram lemak mengandungi sembilan kalori berbanding hanya empat kalori daripada setiap gram karbohidrat atau protein.

Ini sebabnya makanan mengandungi minyak atau banyak lemak dipanggil ‘menggemukkan’. 

Walaupun lemak memberi kita tenaga, ia adalah sumber tenaga akhir yang akan dikeluarkan apabila kita bersenam atau melakukan aktiviti cergas.

Dalam masa 20 minit pertama kita bersenam, tenaga yang digunakan datang daripada karbohidrat.

Hanya lepas 20 minit bersenam baru badan akan membakar lemak sebagai sumber tenaga. 

Ini sebabnya kita disaran bersenam sekurang-kurangnya 30 minit sehari, lima kali seminggu untuk membakar lemak dalam badan yang boleh mendekatkan kita dengan pelbagai penyakit, terutama sakit jantung, strok, kencing manis dan masalah kolesterol tinggi.

“Antara 25 hingga 30 peratus tenaga kita sepatutnya datang daripada lemak. Ringkasnya, kita harus mengehadkan pengambilan lemak kepada enam hingga tujuh camca teh saja dalam pemakanan seharian. 

“Bagaimanapun, jumlah ini sukar dicapai kerana kebanyakan makanan kita tinggi kandungan lemaknya, baik dalam masakan sayur-sayuran, lauk-pauk mahupun kuih-muih. Masalah pemakanan bertambah teruk kerana ramai orang tidak mengambil sayur-sayuran dan buah-buahan secukupnya setiap hari,” katanya.

Minyak dan kolesterol

Menurut Ho, semua lemak atau minyak yang dihasilkan daripada sumber tumbuh-tumbuhan tidak mengandungi kolesterol.

Kolesterol hanya ada dalam lemak yang berasaskan sumber haiwan. Maknanya makanan dari sumber haiwan yang dimasak sama ada menggunakan sedikit atau banyak minyak mengandungi kolesterol. 

Kolesterol ialah bahan lembut dan berminyak yang boleh berkumpul dan melekat pada dinding salur darah. Pengumpulan kolesterol ini lama kelamaan membuatkan salur darah tersumbat yang boleh menyebabkan serangan jantung atau otak.

Tahukah anda, kebanyakan kolesterol dalam badan sebenarnya dihasilkan oleh hati daripada lemak tepu? Hanya tiga peratus kolesterol dalam darah datang terus daripada makanan. Hati adalah organ yang bertanggungjawab menghasilkan kolesterol baik dan buruk.

Jika begitu, bagaimana boleh timbul masalah kolesterol tinggi dalam darah? Apabila kita makan makanan mengandungi lemak tepu, hati akan memprosesnya dan menghasilkan kolesterol.

Lebih banyak kandungan lemak tepu, hati akan menghasilkan lebih banyak kolesterol untuk dilepaskan ke dalam darah.

Jadi walaupun makanan kita umumnya tidak mengandungi kolesterol, misalnya pisang goreng, ia dimasak menggunakan lemak tepu. Apabila banyak lemak tepu masuk ke dalam badan, banyaklah juga kolesterol yang akan dihasilkan hati.

Kolesterol mempunyai peranannya tersendiri; ia menjadi komponen pada dinding sel dan penting untuk otak dan saraf berfungsi dengan baik. Ia juga membantu penghasilan hormon yang diperlukan untuk pertumbuhan dan peranakan. 

Ia menjadi pelopor untuk hormon estrogen, progesteron dan testosteron.

Malah banyak hormon lain turut bergantung kepada kolesterol untuk berfungsi, namun terlalu banyak kolesterol jahat boleh memudaratkan kesihatan.

Selain makanan, peningkatan kolesterol buruk juga disumbangkan oleh beberapa faktor seperti genetik, kurang bersenam, tekanan, umur, pengambilan terlalu banyak alkohol dan kurang makan sayur-sayuran serta buah-buahan.

Bagaimana pula dengan orang yang mengamalkan minum minyak tidak tepu untuk menjaga kesihatan? Menurut Ho, ia mungkin memberi manfaat tertentu tetapi perlu diingat, ia adalah lemak yang mengandungi banyak kalori dan jika melebihi keperluan kalori harian, ia akan menyebabkan masalah pertambahan berat badan.

Panduan mengurangkan penggunaan dan pengambilan lemak 

Gunakan kuantiti kecil dalam penyediaan makanan.

Guna kuali tidak melekat untuk memasak bagi mengurangkan minyak. Menggoreng ikan di kuali leper akan menggunakan kurang minyak berbanding kuali melengkung.

Hadkan makanan bergoreng kepada dua kali seminggu.

Gunakan tuala kertas untuk melapik pinggan, ia akan menyerap lebihan minyak daripada makanan

Pilih kaedah memasak yang lebih sihat seperti kukus, rebus, celur atau bakar. 

Gantikan santan kelapa dengan susu atau dadih rendah lemak. 

Buang lapisan minyak yang timbul apabila makanan sudah sejuk dan panaskan semula sebelum dihidang.

Buang lemak pada daging dan ayam (terutama kulit ayam). 

Hadkan pengambilan marjerin, mentega, mentega kacang, makanan mengandungi banyak lemak dan snek.

Apabila anda membeli produk makanan, lihat senarai bahan-bahannya. Hadkan membeli produk mengandungi pepejal susu atau lemak seperti biskut, kerepek, aneka kek dan pastri serta makanan bergoreng yang mungkin tinggi kandungan asid lemak trans.

Baca label makanan dan pilih produk mengandungi paling rendah jumlah lemak keseluruhan, lemak tepu dan asid lemak trans.

Bebaskan diri dari risiko penyakit kronik yang amat berbahaya



Jika ada tanda-tanda selalu lemah badan serta perlukan sesuatu yang membolehkan anda cergas semula maka saya sarankan anda teruskan membaca. Apa yang anda cari ada dalam laman berikut...

Baca Lagi...

02 Oktober 2013

Tiroid boleh sebabkan koma

By 08:42
Tiroid adalah kelenjar yang terletak di leher manusia. Ia antara kelenjar terbesar dalam badan manusia. Kebiasaannya, kelenjar ini tidak kelihatan dan seolah-olah permukaan kulit leher yang meliputi adalah rata. Perlu difahami bahawa, tidak semua bengkak pada leher ialah kelenjar tiroid dan tidak semua kelenjar yang bengkak mempunyai masalah.

Fungsi kelenjar ini ialah untuk merembeskan hormon yang dipanggil hormon tiroid. Iodin ialah komponen utama penghasilan hormon ini. Hormon ialah bahan merangsang tisu badan untuk ‘bekerja’.

Dalam kata lain ialah, ia menentukan kadar metabolisme dalam badan. Jika berlaku masalah pada kelenjar itu dan jumlah hormon tiroid ini meningkat, kadar metabolisme dalam badan juga meningkat. Ia dipanggil hyperthyroid, di mana hiper bermaksud ‘lebih’.

Di dalam keadaan rembesan hormon ini menjadi berlebihan, kadar metabolisme atau pekerjaan tisu badan menjadi meningkat dan laju.

Ini menyebabkan seseorang itu mempunyai simptom seperti jantung berdebar, sesak nafas, cemas, tangan menggeletar, berpeluh walaupun di dalam cuaca atau persekitaran dingin, gelisah, cepat marah, haid tidak teratur dan susut berat badan dengan mendadak walaupun selera makan bertambah. Ini antara simptom jika berlebihan hormon tiroid.

Masalah utama yang dirisaukan ialah jika hormon ini dirembeskan terlalu banyak secara tiba-tiba. Ini akan menyebabkan jantung menjadi laju, sesak nafas, loya, suhu badan meningkat, keliru dan akhirnya degupan jantung gagal berfungsi dan boleh mengakibatkan koma.

Rawatan kecemasan perlu diberi jika simptom ini berlaku. Keadaan ini dipanggil Thiroid Storm.

Justeru, penting untuk mereka yang disyaki atau mempunyai simptom hyperthyroid tadi untuk membuat pemeriksaan oleh pegawai perubatan atau pakar.

Ujian darah dapat mengesahkan sama ada anda menghidapi masalah berkenaan atau tidak seterusnya dapat mengenal pasti punca hyperthyroid.

Ujian ultrasound atau scan boleh dilakukan jika kelenjar pada leher membengkak atau ujian darah mengesahkan anda menghidapi masalah hyperthyroid.

Selain itu, ujian yang menggunakan cecair iodin juga boleh dijalankan, bergantung pada penilaian klinikal oleh pakar.

Rawatan untuk hyperthyroid berbeza bergantung kepada berapa banyak hormon tiroid yang dirembeskan dan bergantung pada jenis penyebab masalah itu.

Ubat untuk merendahkan paras hormon tiroid serta mengurangkan kadar denyutan jantung biasanya diberi jika perlu untuk mengelak berlakunya thiroid storm.

Pilihan lain ialah dengan membuat pembedahan untuk membuang kelenjar tiroid atau memulakan rawatan khas menggunakan cecair iodin. Selain itu, pesakit dinasihatkan tidak memakan rumpai laut yang kaya dengan kandungan iodin.


Bebaskan diri dari risiko penyakit kronik yang amat berbahaya

Jika ada tanda-tanda selalu lemah badan serta perlukan sesuatu yang membolehkan anda cergas semula maka saya sarankan anda teruskan membaca. Apa yang anda cari ada dalam laman berikut...


Baca Lagi...

01 Oktober 2013

Kemurungan perlu dirawat

By 05:48
RASA sakit dan lesu seluruh badan biasanya disebabkan keletihan dan kerja keras, namun tidak ramai daripada kita yang mengaitkannya dengan masalah kemurungan.

Keadaan itu menyebabkan ramai mereka yang mengalami kemurungan tidak menyedari mereka mempunyai masalah tersebut kerana menyangkakan sakit badan yang dialami adalah sakit biasa.

Ramai yang tidak sedar bahawa kesakitan yang tidak dapat dijelaskan ini sebenarnya berkait rapat dengan kemurungan

Para penyelidik mendapati bahawa 82 peratus daripada pesakit murung yang datang mendapat rawatan daripada pengamal perubatan pada awalnya tidak mengetahui mereka mengalami gejala kemurungan.

Ini menyebabkan mereka tidak mendapat rawatan sewajarnya, sementara 18 peratus lagi hanya menerima ubat anti kemurungan.

Pemahaman mengenai hubung kait kesakitan dan kemurungan amat penting bagi memudahkan proses rawatan penyakit tersebut.

Ini terutama bagi pesakit yang berada di tahap yang lebih kronik sehingga terdorong kepada perasaan ingin membunuh diri. Kemurungan merupakan penyakit yang melanda kira-kira 121 juta manusia di seluruh dunia.

Malam menurut Laporan Kesihatan Sedunia 1999 yang diterbitkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kemurungan merupakan penyakit keempat paling ramai dihidapi di dunia yang boleh menimbulkan ketidakupayaan individu.

"Perlu untuk diberitahu kepada masyarakat juga bahawa kemurungan bukan penyakit yang sengaja diada-adakan.

"Ia adalah satu penyakit yang memerlukan rawatan dan banyak mempengaruhi kehidupan lebih-lebih lagi dalam negara yang mengalami krisis ekonomi," katanya.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Psikiatri Malaysia (MPA), Dr. Yen Teck Hoe berkata, terdapat beberapa simptom kemurungan yang boleh dikenalpasti secara mata kasar.

Ini termasuk hilang minat atau keinginan terhadap aktiviti yang lazim dilakukan seperti bersukan, riadah bersama keluarga dan sebagainya.

"Pesakit juga mudah dilanda rasa sedih, cepat marah, hilang tumpuan dan lebih teruk lagi timbul rasa ingin bunuh diri.

"Kemurungan tidak mengenal mangsa, ia boleh terjadi kepada kanak-kanak semuda usia lima tahun dengan simptom yang berbeza," tambah beliau.

Dr. Teck Hoe berkata, mengikut kajian, kejadian kemurungan di kalangan wanita adalah lebih tinggi berbanding lelaki dengan nisbah 2:1.

"Antara sebabnya ialah perubahan peringkat hormon yang dialami wanita. Itu sebabnya, kemurungan berlaku ketika wanita mengalami peredaran haid, hamil selepas bersalin dan putus haid.

"Biasanya wanita akan menunjukkan tanda-tanda kemurungan seperti putus asa dan tidak berupaya manakala lelaki pula bersikap berang atau cepat marah," jelas beliau.

Dari segi saintifiknya, penyelidikan mendapati kemurungan disebabkan ketidakseimbangan dua bahan kimia dalam otak dan badan iaitu serotonin dan noradrenalin.

Serotonin ialah sejenis bahan kimia yang wujud dalam sistem saraf pusat dan perubahan paras serotonin dalam otak boleh mengubah mood seseorang.

Begitu pun, kajian turut mendapati bahawa kemurungan boleh diwarisi yang bermaksud ia mempunyai hubung kait dengan faktor genetik.

Sementara itu, perunding psikiatri Pusat Perubatan Universiti Malaya, Profesor Dr. Nor Zuraida Zainal, dalam kertas kerjanya yang bertajuk Penyakit Kronik dan Hubung Kaitnya dengan Kemurungan dan Kesakitan pula menjelaskan, kemurungan di kalangan pesakit yang menghidapi penyakit kronik seperti barah, jantung, strok dan parkinson boleh memburukkan lagi keadaan kesihatan mereka.

"Hubung kait kemurungan dan penyakit kronik amat tinggi. Kesakitan menyebabkan kemurungan dan kemurungan menyebabkan kesakitan.

"Penyakit kronik menyebabkan jiwa tertekan dan menjejaskan keadaan psikologi pesakit, seterusnya membawa kepada kemurungan.

"Kemurungan pula boleh memburukkan lagi keadaan kesakitan dan menjejaskan keadaan fizikal yang mengganggu keberkesanan rawatan penyakit tersebut," jelas beliau.

Sementara itu, pensyarah kanan Jabatan Perubatan Psikologi Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Dr. Jesjeet Singh Gill berkata, cabaran sebenar dalam mengenal pasti kesakitan dan kemurungan ini ialah untuk mengatasi stigma yang berkait rapat dengan diagnosis dan rawatan penyakit tersebut.

"Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan kedua pada tahun 1996 menyatakan 10.7 peratus daripada orang dewasa Malaysia berusia 16 tahun ke atas menghadapi masalah kesihatan mental.

"Kemurungan menyumbang 11.8 peratus kepada masalah psikologi paling umum dihadapi oleh para responden. Walaupun peratusan itu tidak tinggi, ia telah menunjukkan tanda-tanda amaran.

"Didapati hanya sebilangan kecil pesakit yang berjumpa dengan pengamal perubatan am untuk mengatasi masalah kemurungan manakala hanya segelintir yang terus berjumpa dengan pakar psikiatri," jelas beliau.

Dr. Jesjeet menambah, masalah kemurungan ini boleh dirawat namun ramai pesakit yang enggan atau keberatan untuk berjumpa pengalam perubatan.

"Kami mendapati para pesakit enggan mendapatkan rawatan kerana mereka bimbang akan dipulaukan. Mereka juga takut dipandang rendah di tempat kerja dan mereka yang menghidapi masalah ini masih dianggap sebagai mempunyai masalah emosi atau kurang keazaman," ujar Dr. Jesjeet.

Pensyarah kanan Jabatan Perubatan Psikologi, Universiti Malaya, Dr. Ting Joe Hang menegaskan kemurungan bukan satu kelemahan peribadi tetapi penyakit yang menjejaskan otak dan memerlukan rawatan segera.

"Sekiranya pesakit mempunyai empat atau lima simptom tetapi tidak tahu apakah sebabnya berkemungkinan mereka menghidap kemurungan.

"Pesakit tidak harus berdiam diri, mereka perlu berjumpa dengan doktor dan utarakan kemungkinan menghidapi kemurungan supaya mereka boleh dirujuk kepada doktor pakar. Perkara yang tidak harus dilakukan oleh doktor ialah dengan menganggap kesakitan fizikal ini sebagai sakit biasa," ujar beliau.

Menerusi satu kajian kes yang dijalankan, beliau mendapati bahawa seorang suri rumah yang mengadu mengalami sakit gigi masih mengalami kesakitan tersebut walaupun giginya telah dicabut.

"Menerusi perbualan dengan pakar psikiatri, menemukan hasil bahawa wanita tersebut sebenarnya mengalami kemurungan sejak tiga tahun lalu iaitu sebelum dia mengalami kesakitan gigi.

"Wanita itu juga mengakui sukar tidur, hilang selera makan, tidak lagi gemar berkebun seperti dahulu dan mudah sensitif.

Setelah diagnosis dijalankan, rawatan melibatkan ubat, terapi dan sokongan sosial terbukti membantu wanita tersebut mengembalikan keceriaan hidupnya. Bukannya kesakitan gigi yang menyebabkan beliau sakit, tetapi apa yang dipendam menjadi punca kemurungan tersebut," kata beliau.

Bebaskan diri dari risiko penyakit kronik yang amat berbahaya

Jika ada tanda-tanda selalu lemah badan serta perlukan sesuatu yang membolehkan anda cergas semula maka saya sarankan anda teruskan membaca. Apa yang anda cari ada dalam laman berikut...




Baca Lagi...

30 September 2013

Sakit kepala dan migrain

RAMAI menganggap sakit kepala hanya penyakit ringan, namun kecekapan kerja seseorang akan terjejas apabila penyakit ini terutama yang dikategori sebagai migrain dan sakit akibat ketegangan menjadi serius.

Setakat ini belum ada ubat yang benar-benar mampu mengatasi migrain dan sakit kepala akibat ketegangan.

Bagaimanapun, kombinasi pengubatan, pengendalian stress atau ketegangan serta faktor-faktor penyebab yang lain boleh membantu menyekat, menghapus atau meringankan migrain.

Bagaimana migrain berlaku belum difahami sepenuhnya tetapi doktor tahu ia melibatkan penguncupan dan pengembangan saluran darah ke otak. Biasanya, perjalanan darah mengurang di belakang otak dan merebak ke bahagian depan dan bila saluran yang menguncup itu mengembang, asakan darah dengan tiba-tiba mencetuskan rasa sakit yang kuat. Migrain dikesan menerusi dengutan, kadangkala sakit yang kuat dan biasanya di bahagian sebelah kepala. Deria pendengaran dan pemandangan menjadi semakin sensitif.

Faktor-faktor pendorong lain termasuk ketegangan, makanan seperti coklat, minuman berkopi, alkohol, tidak cukup tidur atau haid, dalam hal wanita, katanya.

Kajian mengenai kejadian sakit kepala di Malaysia menunjukkan 51.9 peratus dan 55.7 peratus penghidap migrain dan sakit kepala akibat ketegangan menyatakan kerana mereka terdedah kepada panas matahari, kata Tan.

Kajian juga menunjukkan lebih ramai wanita daripada lelaki mengalami migrain dan sakit kepala akibat ketegangan. Ini mungkin disebabkan perubahan hormon yang dialami wanita semasa haid. Wanita yang memakan pil lebih mirip menghidap migrain.

Sebaliknya, lelaki lebih mudah menghidap sakit kepala yang merupakan serangan kuat sesekejap tertumpu sekitaran mata dan ini berlaku beberapa kali dalam sehari selama beberapa bulan.

Kajian ke atas masyarakat Orang Asli baru-baru ini _ yang tinggal jauh daripada kehidupan moden _ mendapati migrain dan sakit kepala akibat ketegangan tidak wujud di kalangan mereka.

Ini disahkan oleh pemerhatian doktor bahawa orang yang tinggal di bandar-bandar besar dan yang terpelajar lebih mudah diserang migrain dan sakit kepala, kata Raymond Azman.

Beliau berkata, cara hidup memang ada kaitan dalam hal ini akibat diet yang diambil, kesesakan lalu lintas, kerja dan beberapa bentuk tekanan lain.

Simptom amaran sebelum berlakunya migrain bersifat tidak menentu, seperti menguap atau keletihan, walaupun sesetengah orang mengalami pemandangan yang berbayang, kata beliau.

Bayangan ini boleh mencetuskan ilusi pancaran cahaya, kelumpuhan, sakit kepala dan imej visual yang tidak sempurna.

Migrain boleh menyerang pada sebarang masa walaupun biasanya ini bermula pada usia belasan tahun dan memuncak pada usia antara 35 dan 45 tahun dan kemudian reda.

Bila pesakit menemui doktor kerana sakit kepala, pengesanan otak dilakukan dan sinar x dibuat bagi menentukan ia bukannya akibat ketumbuhan atau darah beku sebelum melihat faktor lain.

Doktor mungkin mencadangkan supaya pesakit menyimpan ''diari migrain'' yang tercatat makanan yang diambil dan faktor ketegangan bagi mengesani penyebab migrain. Migrain dan sakit kepala akibat ketegangan tidak boleh diubati sepenuhnya tetapi boleh disekat atau dikurangkan menerusi pengubatan, termasuk bahan ''beta blocker'', dan pengelakan faktor penyebab, kata Raymond Azman.

Beliau menasihatkan mereka yang mengalami sakit kepala agar tidak memandang remeh, sebaliknya segera menemui doktor untuk didiagnosa.




Baca Lagi...

27 September 2013

Kuasa berjalan kaki

Adakah aktiviti senaman seperti ini berguna kepada kesihatan tubuh badan kita? Kali ini, topik saya mengupas mengenai kuasa berjalan kaki atau power walking. Seperti yang kita tahu, membakar kalori tidak semestinya dengan bersukan atau berjoging, malah ia juga boleh dilakukan menerusi aktiviti seperti me–ngemas rumah atau melakukan kerja harian yang membabitkan pembakaran kalori. 

Berjalan juga salah satu bentuk aktiviti yang boleh membakar kalori. Ia aktiviti yang paling mudah dilakukan, tetapi ramai antara kita kurang peka dengan kelebihan aktiviti ini.

Kuasa berjalan ialah kunci kecergasan tubuh badan seseorang. Ia perkara lazim yang banyak dilakukan dalam kehidupan harian kita. Cara senaman ini paling mudah dan berkesan untuk mengurangkan berat badan selain penjagaan kalori pemakanan harian.

Tetapi ia perlulah dilakukan dengan konsisten kerana ia bukan bergantung kepada bilangan dan jarak aktiviti berjalan yang dilakukan, sebaliknya kekerapan melakukannya. Mari kita lihat kuasa atau faedah melakukan aktiviti ini. 

1) Diet yang sihat 

Secara tidak langsung, jika kita seorang yang mengamalkan rutin harian dengan melakukan kecergasan melalui berjalan, kita juga masih memerlukan pemakanan yang sihat. 

Tujuannya membantu menyerap nutrisi yang berkualiti dan elok ke dalam tubuh badan. 

Dengan adanya matlamat ini, nafsu keinginan makan kita akan terdorong kepada makanan yang berkhasiat seperti sandwic, buah-buahan 
dan bijirin. 

2) Pembakaran kalori 

Proses pembakaran kalori bukan semestinya dengan melakukan aktiviti sukan yang lasak atau memanjat gunung untuk membuatkan kalori terhapus di dalam tubuh. 

Ia sama sekali tidak menjurus kepada aktiviti sedemikian saja kerana dengan berjalan, proses pembakaran kalori juga dapat dilakukan. 

Mungkin pembakaran kalori tidak sehebat aktiviti lasak berkenaan, tetapi sekurang-kurangnya ia dapat membakar sejumlah 1,800 kalori pada tiga kali set selama 60 minit setiap minggu. 

3) Mengelakkan kecederaan 

Apakah kaitan berjalan atau berlari dengan kecederaan? Ia merujuk kepada individu yang mempunyai berat badan berlebihan. 

Ini kerana bagi individu yang mempunyai berat badan berlebihan, mereka kurang sesuai untuk melakukan aktiviti kardio yang memberikan banyak tekanan pada bahagian kaki mereka. 

Ia boleh menyebabkan tekanan yang kuat di bahagian pergelangan kaki dan akhirnya menyebabkan kecederaan. Cara terbaik yang boleh dilakukan ialah berjalan. Senaman ini memberikan kesan sederhana kepada kaki anda. 

Melakukan aktiviti berjalan sebanyak tiga kali seminggu, ia sudah mencukupi untuk membantu mengurangkan berat badan selain memberi kecergasan kepada tubuh badan. 

4) Penjagaan kesihatan 

Berjalan ialah senaman yang dapat menampung berat dan menguatkan tulang anda. Selain itu, ia membantu anda mengurangkan risiko mendapat osteoporosis. 

Bagi mereka yang menghadapi masalah tekanan, senaman ini juga dapat mengurangkan tekanan kerana ia melepaskan endorfin ke dalam otak. 

Akhir sekali, berjalan tidak perlu menggunakan kelengkapan, jadi senaman ini murah dan amat mudah dilakukan.

Bebaskan diri dari risiko penyakit kronik yang amat berbahaya

Jika ada tanda-tanda selalu lemah badan serta perlukan sesuatu yang membolehkan anda cergas semula maka saya sarankan anda teruskan membaca. Apa yang anda cari ada dalam laman berikut...

RAHSIA kekal sihat secara SEMULAJADI




Baca Lagi...

25 September 2013

Usah abai makan pagi

PENTINGKAH bersarapan? Suatu masa dulu, sarapan menjadi juadah yang paling penting dalam kehidupan seharian. Namun, kesibukan sering menyebabkan semua ahli keluarga tidak sempat untuk duduk menikmati sarapan bersama-sama. Apakah sebenarnya yang sudah berlaku kepada waktu sarapan?
Seiring dengan perkemba­ngan teknologi, kita mulai mengalami tekanan untuk menye­gerakan tugas seharian dalam masa yang singkat seterusnya menyebabkan semakin ramai tidak mengambil sarapan. 
Istilah sarapan dalam bahasa Inggeris, ‘breakfast’, membawa maksud berbuka puasa iaitu ‘puasa’ yang bermula dari waktu makan malam pada malam sebelumnya sehingga waktu makan tengah hari hari berikutnya. Sarapan penting untuk memberikan kita tenaga melakukan aktiviti seharian. 

Tetapi kebanyakan mereka daripada golongan profesional terlalu sibuk untuk bersarapan dan hanya sempat menggantikannya dengan secawan kopi, dengan harapan ia cukup untuk bertahan sehingga waktu tengah hari.

Menurut Majlis Maklumat Pemakanan Antarabangsa (IFIC) yang terletak di Washington, Amerika Syarikat, seseorang yang makan sarapan secara konsisten akan mendapat khasiat serat, kalsium, vitamin A, vitamin C, riboflavin, zink dan zat besi, di samping jumlah kalori dan lemak makanan yang lebih sedikit berbanding mereka yang tidak mengambil sarapan.

Kajian lanjut turut menunjukkan bahawa mereka yang mengambil sarapan berkhasiat mempunyai ukur lilit bahagian pinggang yang ‘lebih sihat’. Malah IFIC mengatakan sarapan turut menambah kecerdasan otak dan ingatan, di samping meningkatkan lagi ketangkasan, tumpuan serta kebolehan menyelesaikan masalah. 


Sekiranya kita tidak mengam­bil sarapan, tubuh kita akan mengalami keadaan di mana ia tidak menerima sebarang nutrien dan menganggap ia sedang berpuasa. 

Selepas jangka masa yang lama tidak mengambil makanan, sebaik saja kita mengambil makanan tengah hari, tubuh akan menyimpannya dalam bentuk lemak kerana ia tidak mendapat makanan pada waktu yang tetap dan makanan seterusnya masih tidak dapat dipastikan waktunya. 

Tanpa vitamin dan garam mineral yang diperoleh ketika sarapan, tubuh kita akan kekurangan tenaga untuk beraksi pada tahap optimum kerana ia tidak menerima khasiat yang diperlukan. 


Menurut Presiden Persatuan Nutrisi Malaysia, Dr Tee E Siong, pengambilan bijirin dan produk berasaskan bijirin adalah penting untuk keperluan tenaga dan nutrisi harian kerana bijirin adalah sumber utama bagi pembekal tenaga dan protein. Pengambilan bijirin bijian penuh amat digalakkan kerana ia kaya dengan karbohidrat, serat, vitamin, garam mineral dan asid lemak. 


Di Eropah, jawapannya mungkin ada di dalam sebiji croissant manakala di Timur Tengah, kebab dan falafel menjadi pilihan, sementara di Malaysia mungkin di dalam smoothie dan bijirin sarapan. Dengan selera juadah yang semakin global, sarapan turut sama berkembang dengan cita rasa ‘Timur bertemu Barat’. 


Pelbagai herba tradisional Cina seperti Ginseng Amerika dan Dang Gui sudah mula diperkenalkan di dalam bijirin sarapan pagi untuk membantu golongan profesional berasa hebat menghadapi hari yang lebih produktif. Sayangilah tubuh anda. Mulakan hari anda dengan sarapan berkhasiat setiap hari dan alamilah perubahannya.


Bebaskan diri dari risiko penyakit kronik yang amat berbahaya

Jika ada tanda-tanda selalu lemah badan serta perlukan sesuatu yang membolehkan anda cergas semula maka saya sarankan anda teruskan membaca. Apa yang anda cari ada dalam laman berikut...

RAHSIA kekal sihat secara SEMULAJADI



Baca Lagi...

25 Ogos 2013

Penyakit Tiroid

Penyakit tiroid lebih kerap berlaku di kalangan wanita berbanding lelaki. Penyakit ini boleh berlaku semasa dan selepas kehamilan. Bagaimanapun penyakit ini selamat serta mudah dirawat jika diagnosis dan rawatan pada peringkat awal dilakukan.

Kelenjar tiroidSecara anatomi, kelenjar tiroid terbahagi dua, seperti rama-rama. Dua hormon dikeluarkan kelenjar ini iaitu hormon tiroksin (T4) dan juga triiodotiroksin (T3). Hormon ini mengawal metabolisme (pengeluaran tenaga) manusia. Jika tiroid tidak berfungsi dengan sempurna, ia memberi kesan terhadap aspek kesihatan, terutama berat badan, kemurungan dan tahap tenaga.

Dengan metabolisme tinggi, anda mungkin berasa panas dan sebaliknya. Jadi kelenjar tiroid membantu fungsi badan berjalan pada kadar selamat dan berkesan. Kawalan kelenjar ini dilakukan oleh kelenjar pituitari pada otak, melalui hormon perangsang tiroid. Apabila aras hormon tiroid tinggi, akan timbul penyakit hipertiroidisme dan jika aras hormon terlalu rendah, penyakit hipotiroidisme pula berlaku. Penyakit lain seperti diabetes mellitus juga boleh menganggu pengeluaran hormon tiroid.

Tiroid bukan sekadar bengkak pada leher


rawatan dan sihat tanpa ubat
Baca Lagi...

22 Ogos 2013

Banyak faktor kencing berdarah

Kehadiran darah pada air kencing adalah keadaan luar biasa yang dipanggil hematuria. Banyak faktor boleh menyebabkan kehadiran darah itu.
Ia boleh berpunca dari mana-mana tempat seperti buah pinggang, saluran tiub ureter (sambungan tiub dari buah pinggang ke pundi kencing), pundi kencing, prostat (bagi lelaki) dan urethra.
Antara sebab utama darah pada air kencing ialah batu karang, jangkitan di bahagian pundi kencing atau kencing kotor, bengkak kelenjar prostat (bagi lelaki) dan kecederaan pada alat sulit.

Namun, kehadiran darah dalam air kencing ada pelbagai sebab. Kebanyakannya boleh dibezakan antara satu dengan lain jika simptom diberikan mencukupi.
Pesakit batu karang biasanya datang dan sakit pada bahagian atas kiri atau kanan perut. Ada kala sakit juga bermula dari bahagian belakang kiri atau kanan badan seakan-akan sakit pinggang.

Sakit akan datang secara tiba-tiba sehingga pesakit terpaksa membongkok sedikit untuk menahan kesakitan. Sakit itu juga dikatakan ‘bergerak’ dari bahagian pinggang ke depan menuju ke ari-ari.

Ada juga pesakit batu karang hanya sakit pada bahagian ari-ari. Air kencing bukan hanya mengandungi darah, malah ada kalanya ia ‘berpasir’.


Bagi kencing kotor pula, biasanya pesakit merasa sakit pada ari-ari untuk beberapa hari.

Selepas itu, setiap kali membuang air kecil, wujud rasa pedih atau ngilu pada kemaluan. Kencing juga tidak lawas, menyebabkan pesakit kerap ke tandas namun hanya sedikit air kencing keluar.
Jangkitan pundi kencing yang disebabkan hubungan kelamin pula biasanya disertai dengan keputihan keluar daripada kemaluan.

Demam jarang berlaku, tetapi jika jangkitan kuman bertambah banyak, demam akan terasa selepas beberapa hari.

Untuk bengkak kelenjar prostat pula (bagi lelaki), simptomnya berbeza. Ia berlaku terutama pada lelaki berusia lebih 70 tahun.

Antara simptom ialah kerap ke tandas namun hanya sedikit air kencing keluar, meneran untuk membuang air kecil, air kencing tidak lancar iaitu hanya menitis, mengambil masa lama untuk mengeluarkan air kencing dan ada kalanya terlalu sukar mengeluarkan air kencing.

Walaupun kebanyakan penyebab berkenaan memberi simptom berbeza, beberapa ujian perlu dijalankan untuk mengenal pasti punca kencing berdarah.

Ujian air kencing, x-ray dan darah boleh dilakukan sebagai ujian asas. Jika keputusannya ke arah batu karang, satu ujian Imbasan Tomografi Berkomputer (CT scan) dipanggil CT Urogram boleh dijalankan untuk mengenal pasti lokasi dan saiz batu karang itu. Ultrasound boleh dilakukan jika bengkak kelenjar prostat adalah puncanya.

Rawatannya pula bergantung pada punca kencing berdarah. Bagi kencing kotor atau jangkitan pundi kencing, mereka boleh dirawat sebagai pesakit luar saja.

Namun jika disebabkan batu karang, ia perlu dibuang untuk mengelak bengkak pada buah pinggang dan menyebabkan gagal berfungsi.

Ada beberapa kaedah untuk membuang batu karang, bergantung pada saiz dan lokasinya. Begitu juga dengan kelenjar prostat yang bengkak, jika ia terlalu besar, bahagian yang bengkak perlu dibuang.


Baca Lagi...