Perkongsian Info dan maklumat Kesihatan.



07 November 2017

Cara Mudah Kecutkan Bengkak Tonsil Agar Tidak Sakit Lagi Ketika Menelan

Mengalami sakit tekak ketika demam sering terjadi kepada orang dewasa mahupun kanak-kanak. Lazimnya, jika mengalami sakit tekak seperti ini, ia disebabkan oleh tonsil yang membengkak akibat jangkitan kuman.

Setiap manusia mempunyai dua kelenjar dinamakan tonsil yang terletak di bahagian kiri dan kanan rongga mulut. Tonsil berfungsi untuk menapis virus dan bakteria daripada masuk ke saluran pernafasan kita. Dan sekali gus menjadikannya salah satu daripada sistem pertahanan badan.

Namun, kadangkala tonsil gagal melaksanakan fungsinya apabila tidak lagi mampu untuk menahan serangan virus dan bakteria. Akibatnya, tonsil mengalami radang atau inflamasi dan membengkak. Keadaan ini dipanggil sebagai tonsilitis.

Tonsilitis boleh disebabkan oleh jangkitan virus ataupun bakteria di dalam tekak. Jangkitan bakteria seperti streptococcus boleh menyebabkan tonsil bengkak dan bernanah. Jangkitan virus seperti Epstein Barr Virus, adenovirus atau measles juga boleh menyebabkan tonsil membengkak.

Tonsil yang bengkak boleh menyebabkan rasa sakit dan perit di bahagian tekak, sukar untuk menelan makanan ataupun air liur dan sekaligus membantutkan selera makan. Kadang kala boleh jadi lebih teruk, mungkin akan mengalami demam yang tinggi suhunya dan tonsil boleh membengkak hingga mencapai saiz yang besar sehingga boleh menyempitkan laluan makanan, malah boleh mengganggu pernafasan.

Secara amnya, tonsil yang membengkak akan pulih dengan sendirinya, namun mungkin mengambil masa. Dan sekiranya tonsil dijangkiti bakteria, doktor menyarankan supaya mengambil antibiotik supaya penyembuhan berlaku lebih cepat.

Sekiranya sistem pertahanan badan kita lemah, masalah tonsil membengkak boleh berulang empat atau lima kali setahun. Jika ini berlaku, biasanya doktor akan nasihatkan untuk menjalani pembedahan membuang tonsil.

Sebelum radang tonsil ini menjadi lebih teruk dan membengkak lebih besar, saya nak kongsikan 4 cara mudah untuk kecutkan bengkak tonsil yang anda boleh buat hanya di rumah. Inilah cara yang saya buat waktu tonsil saya membengkak bulan lepas.

3 Cara Mudah Kecutkan Bengkak Tonsil

1. Banyakkan minum air masak & air suam

Cara ini yang paling mudah dan yang paling senang. Banyakkan minum air masak suam. Elakkan minum air sejuk berais. Minum sekurang-kurangnya 3 liter sehari.

2. Pilih Makanan Yang Lembut dan Berkhasiat

Sepanjang tonsil membengkak, tekak akan sakit dan sukar untuk menelan. Seeloknya, pilih makanan yang lembut seperti bubur nasi atau nasi bersama sup ayam. Elakkan makanan yang pedas-pedas dan berempah. Jus buah-buahan juga sangat digalakkan minum. Pastikan jus buah yang dikisar sendiri bukan yang dalam tin atau botol.

3. Elakkan Makanan Manis dan Bergula

Sepanjang saya mengalami bengkak tonsil bulan lepas, salah satu cara yang saya buat, elakkan daripada memakan makanan yang manis dan bergula seperti contoh air manis, kek, kuih muih manis dan pencuci mulut yang mengandungi gula. Tonsil membengkak salah satunya disebabkan sistem pertahanan (sistem imun) kita lemah.

Gula putih salah satu makanan yang boleh melemahkan sistem imun badan kita. Jadi, seeloknya pantang sementara dan elakkan mengambil makanan bergula sehingga betul-betul sembuh.


 Rawatan dan Sihat Tanpa Ubat

06 November 2017

Lumpuh sebelah badan

Strok atau angin ahmar adalah penyakit yang sangat biasa berlaku sekarang. Ia berkaitan cara hidup tidak sihat masyarakat zaman sekarang.
Penyakit ini akan mengakibatkan masalah lumpuh sebelah badan atau lemah sebelah badan dengan masalah pertuturan serta muka menjadi senget. Ia kerana saluran darah pada bahagian otak menjadi tersumbat atau berlaku pendarahan pada otak.
Seseorang yang mengalami penyakit ini akan mengalami kesukaran meneruskan aktiviti seharian dan akan terlantar serta perlu dibantu untuk aktiviti kehidupan asas seperti mandi, bergerak, makan dan berpakaian.
Berdasarkan satu kajian dibuat di Sweden yang dilaporkan dalam Journal Neurology tahun ini, gaya hidup lebih sihat mampu menurunkan risiko mendapat strok.
Kajian menunjukkan lima faktor dikatakan sebagai gaya hidup sihat iaitu pemakanan sihat, tidak merokok, aktif secara fizikal, meninggalkan minum alkohol dan mengawal berat badan.
Kajian menunjukkan sese­orang mengamalkan gaya hidup sihat mempunyai kadar risiko lebih rendah mendapat penyakit strok sehingga 54 peratus berbanding seseorang yang tidak mengamalkan gaya hidup sihat.
Kajian itu dibuat selama 10 tahun membabitkan 31,696 orang peserta berusia purata 60 tahun. Berdasarkan kajian ini, kita disaran mengamalkan gaya hidup sihat, malah kajian turut menunjukkan risiko mendapat strok menurun dengan setiap pertambahan kaedah gaya hidup sihat.
Bagi pesakit yang mengalami masalah strok, mengamalkan gaya hidup sihat akan mendapat faedah mengurangkan impak dan mening­kat peratusan pemulihan kepada lebih baik.
Beberapa langkah boleh kita amalkan untuk mencegah penyakit ini dan mengurangkan risiko mendapat strok berdasarkan saranan daripada laporan yang dikeluarkan dalam Journal of American Medical Association (JAMA) pada 1999.
1. Mengawal tekanan darah tinggi
Penyakit darah tinggi risiko utama untuk mendapat strok. Kita perlu selalu memeriksa tekanan darah dan memastikan ia tidak tinggi dan terkawal. Pesakit darah tinggi perlu mendapat rawatan dan mematuhi arahan doktor dengan mengambil ubat yang dipriskripsi secara tetap.
2. Berhenti merokok
Merokok juga faktor risiko tinggi boleh menyebabkan penyakit strok. Merokok merosakkan dinding saluran darah dan menyebabkan berlaku penyumbatan saluran darah oleh plak kolesterol yang mendap pada dinding saluran darah di otak.
Merokok juga menyebabkan tekanan darah tinggi dan saluran darah lebih mudah menjadi sempit.
3. Mengawal paras kolesterol
Paras kolesterol terlalu tinggi akan menyebabkan saluran darah tersumbat akibat mendapan kolesterol pada dinding saluran darah. Kolesterol tinggi juga menyebabkan saluran darah menjadi sempit dan lebih mudah tersumbat akibat darah beku yang akan menyebabkan penyakit strok.
4. Mengawal paras glukosa darah
Tinggalkan tabiat mengambil gula berlebihan menurunkan risiko mendapat strok. Pesakit diabetes didapati mempunyai risiko mendapat strok lebih tinggi berbanding orang lain. Pesakit diabetes perlu mengawal paras gula dengan baik mengikut arahan doktor dan me­ngambil ubat dengan betul.
5. Bersenam atau aktif secara fizikal
Seseorang tidak aktif secara fizikal berisiko mendapat masalah obesiti. Seseorang yang mengalami masalah itu mempunyai risiko lebih tinggi untuk mendapat pe­nyakit strok. Bersenam akan melancarkan perjalanan darah dan mengawal berat badan lebih baik selain menurunkan risiko mendapat penyakit strok secara terus.
Bagi pesakit strok, senaman secara fisioterapi penting untuk me­ngelak anggota menjadi keras dan kaku. Kajian juga menunjukkan senaman membantu mempercepat­kan pemulihan pesakit strok secara umumnya.
6. Makanan lebih sihat
Kajian mendapati seseorang yang mengambil lebih banyak buah-buahan dan sayur-sayuran dalam pemakanan seharian mereka akan menurunkan risiko mendapat penyakit strok. Ia juga benar untuk pesakit yang diserang pe­nyakit ini.
Makan lebih banyak ikan juga membantu menurunkan risiko penyakit strok kerana ikan mempunyai kandungan Omega 3 yang tinggi. Pesakit strok juga didapati boleh pulih dengan lebih baik jika makan ikan secara tetap atau mengamalkan makanan tambahan Omega 3. Mengambil makanan tambahan vitamin dan mineral juga boleh membantu mempercepatkan pemulihan pesakit strok.
7. Tidak minum alkohol
Minuman beralkohol diharam­kan dalam Islam. Ba­nyak kajian menunjukkan pe­ngambilan alkohol menyebabkan penyakit strok dan pelbagai pe­nyakit kronik lain. Meninggalkan tabiat minum arak akan mengurangkan risiko mendapat penyakit ini.
8. Degupan jantung yang betul
Degupan jantung tidak normal seperti masalah Atrial Fibrillation (AF) boleh mewujudkan masalah darah beku dalam jantung yang boleh menyebabkan penyumbatan saluran darah dalam otak yang menjadi punca penyakit strok. Pesakit perlu mendapat rawatan tepat dengan doktor.
Dengan menjaga kesihatan secara keseluruhan, kita akan menurunkan risiko mendapat serangan angin ahmar. Di samping itu, ia akan mencegah dan menurunkan risiko mendapat pe­nyakit lain seperti diabetes, darah tinggi, kanser dan sakit jantung, insya-Allah.


 Rawatan dan Sihat Tanpa Ubat



Salah satu komplikasi yang berisiko bagi pesakit diabetes adalah penyakit kardiovaskular, seperti jantung dan stroke.

Rawatan dan Sihat Tanpa Ubat