ADA orang menganggap alahan bukan perkara yang sangat membimbangkan, tetapi mereka tidak tahu perkara ini sebenarnya boleh membahayakan nyawa jika tidak dihiraukan atau dipandang remeh.
Apabila seseorang mengalami alahan, perkara yang sering ditanya ialah makan apa semalam? Gejala alahan bukan hanya dicetuskan oleh makanan kerana banyak benda lain boleh menyebabkan berlakunya masalah ini. Selain makanan, ada orang yang alah pada logam, nikel, minyak wangi, getah, gigitan serangga, ubat dan senaman.
Kes Azlina Saian, 34, yang meninggal dunia selepas digigit serangga, adalah contoh yang menunjukkan alahan tidak boleh dianggap masalah ringan kerana ia boleh membawa maut jika lewat mendapat rawatan.
Ada pendapat mengatakan, sebenarnya hampir semua orang mengalami alahan terhadap bahan tertentu tetapi tidak menyedarinya. Ia mungkin disebabkan reaksi alahan yang sedikit dan tidak mendatangkan masalah besar kepada individu berkenaan.
Alahan yang sedikit boleh diatasi dengan cara menghindari faktor penyebab atau alergen, tetapi individu yang mengalami alahan melampau (akut atau dipanggil anafilaksis) perlu lebih berwaspada.
Tindak balas badan individu yang mengalami alahan melampau berlaku dengan cepat. Apabila alergen memasuki aliran darah, badan membebaskan sejenis bahan kimia yang dikenali sebagai histamin untuk menghapuskan alergen berkenaan.
Bagaimanapun, bagi individu dalam kumpulan ini, badan mereka menghasilkan terlalu banyak histamin sehingga menyebabkan gejala gangguan saluran pernafasan (lelah, bronkitis, asma); kulit menjadi gatal, tumbuh ruam dan ekzema.
0 comments:
Catat Ulasan