04 April 2014

Cara atasi alahan


Wanita hamil biasanya me­ngalami alahan dalam trimester pertama (tiga bulan pertama) dan sering dikaitkan dengan muntah, pening kepala dan perut berasa sebu serta tidak selesa.

Keadaan ini berlaku terutamanya ketika bangun tidur di mana seseorang wanita itu mungkin berasa pening dan loya. Namun ada juga wanita yang me­ngalami gejala ini sepanjang hari. 
Namun, apabila kandungan memasuki trimester kedua (empat hing­ga enam bulan), alahan akan hilang secara beransur-ansur. Tetapi dalam kes yang teruk, ada wanita terpaksa bertahan dengan masalah alahan ini sepanjang kehamilan sehinggalah dia melahirkan anak. 

Alahan ketika me­ngandung ini membuat­kan ramai wanita terpaksa menukar perancangan harian supaya masalah itu tidak menjejaskan rutin atau tugas mereka. Keadaan alahan setiap wanita tidak sama, kerana ada yang diduga dengan alahan teruk sehingga terpaksa mengambil cuti dan berehat secukupnya.

Sebenarnya alahan untuk jangka masa pendek adalah perkara biasa dan ia tidak akan menjejaskan kesihatan ibu mahupun anak dalam kandungan. Namun jika ia berlarutan sehingga muntah setiap kali makan, bayi berkemungkinan kekurangan nutrisi untuk perkembangannya dan kesihatan si ibu juga boleh terjejas.

Jika ini berlaku, si ibu akan mengalami masalah kekurangan air dalam badan. Antara gejala yang boleh dilihat ialah pening, dahaga dan air kencing sedikit daripada biasa. Segeralah dapatkan rawatan sekiranya perkara ini berlaku pada anda. 


Makanan 

Apabila bangun tidur pada waktu pagi, makanlah sedikit biskut dan rehat selama 15 minit, kemudian barulah bangun. 

Bangun secara perlahan-lahan dan ja­ngan terus baring selepas makan. 

Makan sedikit tetapi kerap supaya perut tidak kosong contohnya setiap dua jam walaupun tidak lapar. 

Makan apa saja yang diingini tetapi elakkan mengambil makanan pedas, berlemak atau bergoreng. 

Jika tidak tahan de­ngan bau yang kuat ketika memasak, buka tingkap dan kipas. Lebih baik jika individu lain yang memasak. 

Makan makanan yang sudah sejuk berbanding makanan panas kerana ia kurang bau. 

Petua menghidu bau limau nipis, limau kasturi atau halia boleh meredakan perut yang berasa sebu atau tidak selesa. 

Elakkan diri daripada mengambil kafein atau merokok. 

Minuman 

Minum air dengan kerap sehingga 12 gelas sehari. 

Elakkan minum ketika makan, sebelum dan selepas makan. 

Pengambilan air halia boleh mengurangkan rasa mual. 

Rutin harian 

Pastikan waktu rehat cukup kerana alahan akan bertambah buruk apabila kepenatan. Tidur sekejap di siang hari kerana biasanya pada trimester pertama, wanita mengandung kerap berasa letih dan mengantuk. 

Dapatkan bantuan untuk mengemas rumah dan menjaga anak yang lain jika ada. Pastikan peruntukkan masa untuk berehat. 

Elakkan berada di tempat panas kerana alahan akan bertambah teruk. 

Bergerak dengan perlahan-lahan dan elakkan pergerakan pantas. 

Dapatkan sokongan daripada individu yang rapat antaranya suami, ibu bapa ataupun rakan.

0 comments: