06 April 2015

Elak potong kaki

Oleh Zaitie Satibi 

Ramai dalam kalangan kita lebih bimbang mengenai penyakit jantung dan barah yang menjadi dua penyebab utama kematian dan memberik hanya sedikit perhatian terhadap diabetes.

Sepatutnya tidak begitu kerana diabetes ialah penyakit membawa maut yang meningkat dengan cepat dan menambah risiko kepada penyakit pembunuh utama yang lain.

Kira-kira 360 juta orang kini menghidap diabetes di seluruh dunia, manakala Kajian Kesihatan dan Kemorbidan Kebangsaan (NHMS) Malaysia pada 2011 menunjukkan, berlaku peningkatan daripada 14.9 peratus pada 2006 kepada 20.8 peratus pada 2011. Ini bermaksud seorang dalam setiap lima rakyat Malaysia dewasa kini penghidap diabetes.

Peningkatan jumlah penghidap diabetes selari dengan pertambahan saiz badan mereka yang berkembang secara berterusan dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini.

Diabetes ialah penyakit yang tidak boleh dipulihkan tetapi dengan usaha mencukupi, kita boleh melambat atau menghentikan komplikasi yang dikaitkan dengan kemajuan penyakit itu. Mengawal tahap glukos darah sangat penting untuk meminimumkan komplikasi yang berkait dengan diabetes.

Kawalan gula dalam darah yang tidak baik untuk satu tempoh panjang akan membawa kepada beberapa komplikasi, termasuk penyakit jantung, penyakit buah pinggang, retinopati dan neuropati (kerosakan saraf).

Kerosakan saraf diabetes

Hilang deria rasa, rasa kebas, berdenyut-denyut, sakit, rasa terbakar, malah rasa seperti dicucuk-cucuk dengan jarum pada kaki, jari kaki, jari tangan, lengan dan tangan ialah gejala kerosakan saraf.

Kerosakan saraf juga boleh berlaku dengan senyap, maksudnya anda langsung tidak menunjukkan gejala. Keadaan ini sangat berbahaya, terutama bagi penghidap diabetes dan pradiabetes. Tahukah anda, sehingga 60 hingga 70 peratus penghidap diabetes juga mengalami beberapa jenis kerosakan saraf?

Jika tindakan segera tidak diambil, keadaan ini akan membawa kepada pemotongan anggota iatu satu daripada komplikasi neuropati yang paling berpotensi menjadi serius.

Diabetes penyebab utama pemotongan anggota bawah di seluruh dunia

Doktor meramalkan hampir separuh daripada semua pemotongan anggota disebabkan oleh neuropati dan masalah peredaran yang boleh dielakkan.

Di Malaysia, sejumlah besar pesakit diabetes dimasukkan ke wad ortopedik di hospital kerajaan disebabkan komplikasi kaki diabetes. Majoriti daripada mereka perlu tinggal di hospital untuk tempoh lama dan perlu dimasukkan ke wad serta dibedah berulang kali.

Segelintir pula memerlukan pemotongan di sekeliling kaki atau buku lali, manakala segelintir lagi terpaksa menerima pemotongan di bawah atau atas lutut. Risiko mengalami pemotongan kaki ialah 27.7 kali lebih besar untuk seseorang yang menghidap diabetes.


Atasi masalah kesihatan

0 comments: