11 April 2015

Ekzema radang kulit

Oleh NORAINON OTHMAN

Dikenali juga sebagai atopic dermatitis, ia berlaku disebabkan jangkitan bakteria di kawasan berpeluh yang menyebabkan kulit menjadi kemerahan, gatal dan berkerak. Ruam merah berkenaan kelihatan seperti kulit melecur.

Radang kulit ini berlaku pada semua bangsa dan pelbagai peringkat umur. 
Kira-kira 85 peratus kes dihidapi kanak-kanak berusia bawah lima tahun. Ia boleh berlaku di mana-mana bahagian tubuh, misalnya di lipatan leher, lengan, kaki, hidung, muka dan pelipat kaki.

Penyakit ini boleh pulih tetapi bergantung kepada ketahanan antibodi seseorang sama ada pada usia dua, enam atau 12 tahun. Dalam sesetengah kes, penyakit ini dihidapi pesakit hingga ke akhir hayat.

Komplikasi ekzema ialah gatal menyebabkan pesakit sering menggaru. Akibatnya, mereka terdedah kepada jangkitan kuman serta menyebabkan nanah. Ada pesakit yang mengalami ekzema daripada kepala hingga ke tubuh.

Jika ekzema dihidapi serius, steroid akan digunakan untuk merawat masalah itu atau pesakit dimasukkan ke dalam wad untuk rawatan selanjutnya.

Perunding Pediatrik Pusat Perubatan Kelana Jaya, Dr Syed Nazir Ms Kadir berkata, ekzema bukan penyakit popular satu masa dulu, tetapi bilangan penghidapnya kini semakin meningkat disebabkan faktor persekitaran dan pemakanan.

“Semua orang terdedah kepada risiko mendapat ekzema tetapi risiko lebih tinggi kepada yang ada sejarah penyakit tertentu seperti asma, alergi dan ekzema dalam keluarga,” katanya.

Menurutnya, disebabkan salah tanggapan ekzema boleh berjangkit, ada individu menjauhi pesakit ekzema. Bagaimanapun, penyakit radang kulit itu bukan penyakit berjangkit, sebaliknya berpunca daripada sistem imun yang lemah.

“Jangan buat kanak-kanak penghidap ekzema berasa tersisih. Emosi mereka terganggu kerana penyakit ini membataskan aktiviti mereka.

“Mereka tidak boleh bermain seperti kanak-kanak lain kerana penyakit ekzema menjadi lebih buruk apabila mereka berpeluh,” katanya.

Dr Syed Nazir berkata, penyakit itu datang dan pergi menyebabkan pesakit harus mengambil langkah pencegahan bagi mengelak ia berulang.

Antara perkara yang perlu dihindarkan pesakit ialah menggunakan sabun mandi yang mempunyai pewangi kerana ia mengandungi lebih banyak bahan kimia yang boleh menyebabkan kulit kering.

Pesakit juga perlu mengelak berada di tempat panas kerana kulit mereka yang sensitif akan memberi kesan buruk apabila berpeluh.

Mereka juga menghindarkan kulit daripada bahan atau perkara yang boleh mencetuskan ekzema seperti kosmetik, pakaian, sabun pencuci pakaian mahupun barang kemas. Selain itu, elak juga pakaian tebal yang mudah membuatkan mereka berpeluh.

Pesakit harus menyapu pelembap bagi mengelak kulit kering. Jika ekzema dihidapi serius, steroid akan digunakan untuk mengurangkan masalah itu.




0 comments: