Racun yang manis

Posted by BioVCO on 17:44 with No comments
Oleh Zaitie Satibi 

Tahukah anda apa itu gula? Ia ialah benda berbintil berwarna putih yang kita ambil dengan teh tarik atau kopi susu. Rasa gula merembeskan hormon rasa sedap dalam otak dan ini menjelaskan kenapa ramai rakyat Malaysia ke-tagihkan racun yang manis ini.

Sedarkah anda bahawa Malaysia, negara yang kecil dengan jumlah penduduk lebih kurang 28 juta orang, adalah pengguna gula kelapan paling tinggi di dunia?

Berada di kedudukan kelapan daripada 195 negara di dunia dan keempat di Asia bukan sesuatu yang patut kita banggakan. Kerajaan berbelanja jutaan ringgit untuk mendidik masyarakat mengenai bahaya gula melalui kempen dan iklan bagi merayu kita untuk mengurangkan pengambilan gula.

Pakar kesihatan kini mengatakan, gula sungguh bahaya dan boleh diletakkan dalam kategori sama dengan tembakau dan alkohol. Hakikatnya, penggunaan gula secara berlebihan kini ialah satu krisis kesihatan awam. Diabetes bukan sekadar sejenis penyakit berkaitan makanan, tetapi penyakit berkaitan gaya hidup.

Diabetes: Penyakit berkaitan gaya hidup

Menjaga diet dengan mengurangkan pengambilan gula dan karbohidrat yang diproses ialah permulaan baik, tetapi mempunyai stres kronik dan berlebihan serta kurang aktiviti fizikal boleh mensabotaj niat baik anda untuk menambah baik kesihatan.

Cuba bertenang dan berehat melalui aktiviti mengurangkan stres seperti meditasi dan senaman pernafasan dalam atau mungkin dapatkan urutan. Menggerakkan otot melalui senaman secara tetap juga memainkan peranan penting dalam mencegah diabetes.

Pandemik diabetes

Pada 1985, kira-kira 30 juta orang di seluruh dunia dikatakan menghidap diabetes. Lebih kurang sedekad kemudian, jangkaan itu meningkat melebihi 150 juta orang. Hari ini, menurut angka Persekutuan Diabetes Antarabangsa (IDF), jumlah itu melebihi 250 juta orang. Jika tiada tindakan diambil untuk melaksanakan program pencegahan dan kawalan efektif, jumlah penghidap diabetes akan mencapai angka 380 juta menjelang 2025.

Menurut Kajian Kesihatan dan Kemorbidan Kebangsaan (NHMS) dijalankan Kementerian Kesihatan, satu daripada lima rakyat Malaysia menghidap diabetes dan ini bermakna diabetes menjejaskan sehingga 22 peratus daripada penduduk negara ini.

Komplikasi diabetes

Majoriti penghidap diabetes atau pra-diabetes sering diberitahu mengenai komplikasi jangka panjang seperti serangan jantung dan strok, kebutaan, penyakit buah pinggang dan penyakit saraf (neuropati) yang akhirnya boleh membawa kepada pengulseran dan pemotongan jari-jari kaki, kaki dan anggota badan bahagian bawah.

Ini ialah sedikit fakta menakutkan tetapi benar:

a) Risiko pemotongan kaki ialah 27.7 kali lebih besar bagi penghidap diabetes
b) Separuh daripada semua pemotongan yang dijalankan berlaku kepada penghidap diabetes

Memahami neuropati periferal diabetes

Saraf periferal bertanggungjawab kepada sensasi yang anda rasa seperti sentuhan, kesakitan dan suhu. Hakikatnya, hujung jutaan saraf jenis ini ada di jari, tangan, jari kaki dan kaki anda. Saraf ini mengelak anda daripada bahaya dan menjauhkan anda daripada perkara panas, sejuk dan tajam.

Dalam neuropati periferal, anda mungkin kehilangan deria rasa, rasa berdenyut-denyut, kebas atau rasa panas pada kaki dan tangan. Kerosakan saraf boleh bermula sebelum seseorang itu didiagnosis dengan diabetes. Malah, seseorang dengan pra-diabetes juga boleh mendapat neuropati.

Walaupun rasa berdenyut-denyut, kebas atau rasa panas yang melampau ialah tanda biasa neuropati, ada juga penghidap diabetes langsung tidak mengalami gejala. Orang yang mempunyai neuropati diabetes selalunya me-ngalami masalah mengawal tahap glukosa darah, tekanan darah, kolesterol dan berat badan.

Bagaimana anda boleh tahu jika mengalami kerosakan saraf?

Doktor mendiagnosis kerosakan saraf berdasarkan gejala dan pemeriksaan fizikal. Ketika pemeriksaan, doktor memeriksa tekanan darah, kadar degupan jantung, kekuatan otot, refleks dan sensitiviti anda terhadap perubahan kedudukan, getaran, suhu atau sentuhan lembut.

Membawa tahap gula dalam darah ke julat normal ialah langkah pertama untuk mencegah kerosakan saraf lebih teruk. Pemantauan tahap gula dalam darah, perancangan hidangan makanan, aktiviti fizikal, pengambilan ubat atau insulin secara tetap akan membantu mengawal tahap glukos darah.

Ia mungkin mengambil sedikit masa tetapi secara umumnya, gejala akan bertambah baik apabila ada pengawalan glukos yang baik. Kawalan glukos darah yang baik boleh juga membantu mencegah atau melambatkan bermulanya masalah kesihatan lain.

Categories: