16 Oktober 2010

Burger McDonald's tidak busuk selama enam bulan

NEW YORK - Burger daging dan kentang goreng McDonald's didapati tidak busuk selama enam bulan selepas ia dibiarkan berada di atas pinggan di dalam apartmen seorang wanita, Sally Davies di New York.

Wanita itu membeli set Happy Meal McDonald's enam bulan lalu dan dia tidak memakannya.

Apa yang dibuat dengan burger itu ialah dia merakamkan gambar makanan tersebut dengan kamera bagi melihat sama ada ia mengalami perubahan selama enam bulan. Dia membeli burger dan kentang goreng itu pada 10 April lalu.

Burger dan kentang goreng yang tidak busuk itu pernah disiarkan dalam beberapa program televisyen dan menjadi perdebatan semasa orang ramai memikirkan bagaimana makanan segera boleh menunjukkan perubahan bentuk selepas enam bulan berada di atas pinggan.

"Ia (merakamkan burger itu selama enam bulan) bermula dengan satu pertaruhan dengan seorang rakan saya," katanya.

"Oleh itu, pada 10 April lalu, saya membeli sebiji burger dan saya mula merakamkan gambarnya tetapi tidak ada apa yang berlaku. Burger itu berbau selama satu hari dan ia kemudian terhenti (tidak ada bau lagi)," kata wanita tersebut.

Roti burger itu mengecut sedikit tetapi ia masih mengekalkan keadaan asal dan kelihatan sama seperti baru dibeli. Seperti yang dikatakan wanita itu, burger itu juga tidak ada bau.
Dua ekor anjingnya, Shih Tzu dan Charlie tidak menunjukkan minat untuk memakan buger itu kerana ia tidak mengeluarkan bau.

Ketahanan buger tersebut selama enam bulan mencetuskan kebingungan dan kebimbangan ramai pihak sama ada makanan segera yang bertahan lama itu sihat untuk kesihatan.

Pihak McDonald's enggan memenuhi permintaan ditemu ramah. 

Bagaimanapun, menurut satu kenyataan rangkaian restoran itu, bahan makanan segar disediakan di restoran McDonald's.

"Adalah tidak munasabah untuk menyediakan satu maklumat terperinci berhubung dakwaan (wanita itu) tanpa mengetahui keadaan makanan itu disimpan. Kami meminta orang ramai tidak membuat sebarang kesimpulan," kata kenyataan daripada rangkaian restoran McDonald's.

Menurut kenyataan itu, bakteria dan kulat membiak berdasarkan keadaan tertentu. Jika makanan kering secukupnya, ia tidak akan membesarkan bakteria atau kulat.

Wanita yang merakamkan gambar itu benci dengan dakwaan yang diterimanya menerusi e-mel bahawa dia menipu berhubung burger tersebut.

"Saya tidak tahu kenapa saya mahu menipu. Saya berharap orang ramai akan membeli burger itu dan melakukan beberapa eksperimen," katanya. - AFP " 


0 comments: