22 Oktober 2010

Kawal darah tinggi

Jangan berhenti ambil ubat

MUDAH disebut dan kerap kali diingatkan, tetapi masih ramai yang bersikap tidak kisah. Realitinya, itulah sikap masyarakat terhadap penyakit darah tinggi atau hipertensi.

Sedar atau tidak, hipertensi menjadi antara penyakit paling umum dihidapi ramai, khususnya bagi mereka yang tinggal di kawasan bandar.

Keadaan itu tidak boleh dibiarkan berterusan kerana hipertensi menjadi antara faktor penyebab strok, serangan jantung dan kegagalan buah pinggang berfungsi. Akibat terburuk daripada penyakit itu adalah kematian. Justeru, penyakit yang membawa punca kesengsaraan hidup dan meragut nyawa itu harus dicegah.

Presiden Persatuan Hipertensi Malaysia (PHP), Dr Azani Mohamed Daud, berkata jika seseorang itu memiliki tekanan darah yang tinggi hendaklah mengawalnya supaya tidak terus memudaratkan tahap kesihatannya.

Dr Azani berkata, kebimbangan penyakit hipertensi yang semakin meningkat dan menjadi faktor risiko penyakit kardiovaskular bukan saja di negara ini, tetapi juga di seluruh dunia. Dianggarkan bahawa 972 juta orang menghidap hipertensi atau tekanan darah tinggi di seluruh dunia. Jumlah itu dijangka meningkat kepada 1.56 bilion menjelang 2025 bersamaan kadar kira-kira seorang daripada setiap tiga orang dewasa berusia lebih 20 tahun.

“Sama ada lelaki atau wanita, kedua-duanya boleh mendapat penyakit hipertensi. Apa yang membimbangkan, penyakit itu disifatkan antara penyakit yang membunuh dalam senyap kerana ia menyerang pesakit tanpa sebarang tanda memandangkan kebanyakan pesakit tidak dikaitkan dengan sebarang simptom dan hanya menyedarinya selepas menjalani pemeriksaan doktor ataupun lebih serius diserang strok yang boleh membawa maut atau lumpuh, sekali gus mengurangkan kualiti hidup,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Persidangan Mesyuarat Tahunan Persatuan Hipertensi Malaysia di ibu negara, baru-baru ini.

Dr Azani berkata, walaupun hipertensi berleluasa dan menjadi satu faktor risiko utama bagi penyakit kardiovaskular, ia antara sebilangan faktor risiko yang boleh dikawal. Ini termasuklah, mengubah cara gaya hidup yang lebih sihat seperti melakukan senaman, berhenti merokok, mengurangkan kolesterol dan mengelakkan diri menjadi obesiti.

Katanya, gaya hidup masyarakat urban pada masa kini yang terlalu sedikit melakukan senaman dan terlalu banyak makan adalah antara punca utama yang menyebabkan hipertensi.

“Masalah obesiti juga ada di kalangan kanak-kanak dan menjadi isu masa kini. Semua itu adalah berpunca amalan pemakanan dan gaya hidup yang tidak sihat, sekali gus menjadi punca utama hipertensi di kalangan generasi muda. Berasaskan data terkini yang boleh didapati, sekurang-kurangnya 42 peratus dewasa Malaysia berusia lebih 30 tahun mengalami hipertensi.

“Hanya 35.8 peratus yang prihatin mereka mempunyai hipertensi. Tetapi lebih membimbangkan lagi kerana daripada 4.8 juta rakyat Malaysia yang menghidap penyakit ini hanya lapan peratus daripada mereka dapat mengawal tekanan darah mereka supaya berada dalam julat yang boleh diterima,” katanya lagi.

Semua data dikemukakan itu adalah hasil kajian Morbiditi dan Kesihatan Kebangsaan ke-3 yang dijalankan pada 2006 dan membabitkan orang dewasa berusia 30 tahun serta ke atas. Berbanding 10 tahun lalu, jumlah purata didapati meningkat daripada 33 peratus hingga 43 peratus.

Menjelaskan penyakit hipertensi Dr Azani berkata, darah tinggi sebenarnya terjadi apabila darah dalam 'arterial' dan 'venous circuit' sistem kardiovaskular mengalir dengan tekanan yang lebih tinggi daripada biasa. Keadaan itu menyebabkan jantung bekerja lebih keras untuk menentukan pengaliran darah ke seluruh tubuh dan menyebabkan masalah kesihatan yang serius.

Membicara lebih lanjut hipertensi dan wanita Dr Azani berkata, kebanyakan wanita hamil hanya mengalami masalah yang ringan dan dianggap biasa saja, tetapi sebilangan kecil yang kurang bernasib baik mengalami masalah serius yang boleh mengancam nyawa ibu dan anak yang dikandungnya.

“Wanita hamil memang kerap mengalami masalah penyakit darah tinggi. Tetap ramai juga wanita tidak menyangka mereka boleh menghidap hipertensi ketika hamil. Ini kerana mereka berkeadaan sihat dan tidak menghidap sebarang penyakit sebelum hamil. Sesetengah wanita mungkin hanya mengalami tekanan darah tinggi sepanjang tempoh kehamilan saja tetapi selepas bersalin keadaan kembali normal.

“Ini berlaku kerana ramai wanita mengandung makan berlebihan kerana selera mereka meningkat ketika hamil. Ini menyebabkan mereka mengalami masalah darah tinggi.

Namun, tidak kurang juga ada wanita selepas bersalin akan berterusan dikesan berdepan dengan masalah tekanan darah tinggi. Justeru, seseorang itu perlu mengawalnya dan tidak boleh ambil mudah saja,” katanya.

Dr Azani berkata, bagi wanita yang mempunyai masalah darah tinggi sebelum hamil, perlu lebih berhati-hati. Apa yang penting, wanita berkenaan tidak menghentikan pengambilan ubat ketika tempoh kehamilan bagi mengawal masalah darah tinggi yang dialaminya. Malah, untuk tidak membahayakan diri dan anak yang bakal dikandung, adalah lebih baik jika wanita yang berdepan yang masalah seperti itu mendapatkan pandangan doktor terlebih dulu sebelum mengambil keputusan untuk hamil.

“Begitu juga apabila wanita itu mengetahui dia hamil, patutlah mendapatkan pemeriksaan doktor dengan secepat mungkin untuk tujuan yang sama. Jika terdapat sesuatu penyakit, bolehlah diberi rawatan dan jagaan yang sewajarnya sejak dari peringkat awal lagi. Pemeriksaan setiap bulan khususnya di peringkat akhir kehamilan sangat penting untuk mengesan penyakit darah tinggi,” katanya.
Jika keadaan itu tidak terkawal ia boleh mengancam nyawa ibu dan bayi.

Kemungkinan bayi akan mati dalam kandungan. Bayi itu juga biasanya lahir dengan timbang berat yang ringan dan kadangkala lahir sebelum cukup bulan. Kedua-dua masalah berkenaan boleh mengancam nyawa dan kesejahteraan bayi pada masa hadapan.

Katanya lagi, sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat tempatan, pendidikan pesakit perlu menjadi satu keutamaan. Individu perlu melakukan saringan pemeriksaan kesihatan dan melakukan pemeriksaan susulan bagi mencapai sasaran.

Selain itu, kesedaran mengenai bahaya penyakit hipertensi perlu dipertingkatkan di kalangan masyarakat. Adalah penting bagi pesakit hipertensi mengambil ubat mengikut jadual bagi memastikan tekanan darah terkawal pada setiap masa.

INFO: Penyebab Darah Tinggi

  • Keturunan: Faktor ini tidak boleh dielakkan. Jika seseorang memiliki ibu bapa atau ahli keluarga yang memiliki tekanan darah tinggi, maka kemungkinan ia menderita tekanan darah tinggi lebih besar. Statistik menunjukkan bahawa masalah tekanan darah tinggi lebih tinggi pada kembar seiras berbanding sebaliknya. Sebuah penelitian menunjukkanm ada bukti gen yang diturunkan menyumbang masalah tekanan darah tinggi.


  • Usia: Faktor ini juga tidak boleh dielakkan. Penelitian menunjukkan, semakin usia seseorang itu bertambah, tekanan darah pun akan meningkat. Anda tidak dapat mengharapkan, tekanan darah ketika anda muda akan sama ketika bertambah tua. Namun, anda dapat mengendalikan supaya jangan melewati batas atas yang normal.


  • Garam: Faktor ini boleh dikendalikan. Garam dapat meningkatkan tekanan darah dengan cepat pada sesetengah individu orang, khususnya bagi penderita diabetes, hipertensi ringan, orang tua, dan mereka yang berkulit hitam.


  • Kolesterol: Faktor ini boleh dikendalikan. Kandungan lemak yang berlebihan dalam darah boleh menyebabkan timbunan kolesterol pada dinding pembuluh darah. Hal ini boleh membuatkan pembuluh darah menyempit dan akibatnya tekanan darah akan meningkat. Kendalikan kolesterol sebaik mungkin.


  • Obesiti/Kegemukan: Faktor ini boleh dikendalikan. Individu yang memiliki berat badan melebihi 30 peratus berat badan ideal, memiliki kemungkinan lebih besar menderita tekanan darah tinggi.


  • Stres: Faktor ini boleh dikendalikan. Stres dan keadaan emosi yang tidak stabil juga mengakibatkan tekanan darah tinggi.


  • Rokok: Faktor ini boleh dikendalikan. Merokok juga dapat meningkatkan tekanan darah menjadi tinggi. Kebiasaan merokok dapat meningkatkan risiko diabetes, serangan jantung dan strok.


  • Kafein: Faktor ini boleh dikendalikan. Kafein yang terdapat pada kopi, teh mahupun minuman lain menyebabkan peningkatan tekanan darah.


  • Alkohol: Faktor ini boleh dikendalikan. Pengguna alkohol secara berlebihan juga menyebabkan tekanan darah tinggi.


  • Kurang Olahraga: Faktor ini boleh kendalikan. Kurang olahraga dan bergerak boleh menyebabkan tekanan darah dalam tubuh meningkat. Olahraga teratur mampu menurunkan tekanan darah tinggi tetapu jangan melakukan olahraga yang berat jika anda menderita tekanan darah tinggi. 



  • 0 comments: