Jejas organ utama

Posted by BioVCO on 11:08 with No comments
Arthritis tidak hanya serang sendi sebaliknya boleh rosakkan jantung, ginjal selain turut dialami si kecil

APABILA disebut arthritis, tidak ramai dapat meneka dengan tepat bahawa penyakit itu berkaitan sendi. Malah, berapa ramaikah yang tahu penyakit ini bukanlah bersifat setempat atau pada bahagian sendi semata-mata, sebaliknya boleh menyebabkan kerosakan organ penting badan selain boleh dihidapi kanak-kanak.

Pengetahuan yang sebegitu terhad itu menyebabkan penyakit arthritis ini kurang diberi perhatian biarpun pelbagai kempen dan program kesedaran mengenainya diadakan dari semasa ke semasa.

Di peringkat antarabangsa, Hari Arthritis Sedunia diisytiharkan pada 12 Oktober lalu tetapi pelbagai kempen dan program mengenainya terus diadakan sepanjang bulan ini.

Secara umumnya, arthritis merujuk radang sendi. Malah, ada lebih 100 penyakit rheumatik dan lain-lain keadaan yang menyebabkan rasa sakit, kejang dan bengkak pada sendi.

Arthritis turut memberi kesan kepada sistem otot dan tulang (musculoskeletal), terutama sendi yang bertindak menyambung antara dua tulang dan ‘diikat’ oleh ligamen. Fungsi sendi ini dibantu rawan yang menutup permukaan tulang bagi mengelak pergeseran.

Itulah keadaannya bagi insan normal. Malangnya, bagi pesakit arthritis, sendi mereka menjadi tidak normal yang mungkin berpunca daripada rawan terkoyak, masalah jangkitan atau penyakit auto imun (tubuh menyerang sel tubuh) atau kombinasi pelbagai faktor.
Pakar Bedah Ortopedik Hospital Pantai Kuala Lumpur, Dr Kok Choong Seng, berkata bagi kebanyakan jenis arthritis, ia diklasifikasikan sebagai sistemik bermaksud memberi kesan kepada seluruh tubuh.

“Arthritis juga boleh menyebabkan kerosakan pada organ atau sistem tubuh termasuk jantung, paru-paru, ginjal, salur darah juga kulit. Sementara keadaan lain berkaitan dengan arthritis umumnya menjejaskan otot dan tulang.

“Walaupun arthritis lebih banyak ditemui di kalangan mereka yang berusia namun, ia boleh terjadi pada kanak-kanak. Bagaimanapun arthritis pada kanak-kanak kerap kalinya dianggap sebagai masalah kesakitan yang biasa atau disebabkan kecederaan bersukan,” katanya.

Bagaimanapun, bagi ibu bapa yang peka pada perkembangan anaknya, mereka pasti berupaya mengesan perubahan anak menerusi sendi yang bengkak, demam atau ruam yang tidak dapat dipastikan.

“Arthritis di kalangan kanak-kanak dikenali sebagai ‘juvenile arthritis’. Kanak-kanak sebenarnya boleh berhadapan dengan jenis-jenis arthritis yang menyerang orang dewasa namun mereka lebih kerap dikesan dengan juvenile rheumatoid arthritis,” katanya.

Dr Kok berkata, bergantung jenis arthritis, sebahagian daripadanya boleh dirawat misalnya gout manakala yang lain boleh dielakkan.

“Perlu diingat, kualiti hidup tidak terjejas walaupun anda berhadapan dengan arthritis sekiranya mendapatkan rawatan dan menguruskannya dengan baik,” katanya.

INFO: Arthritis yang paling biasa ditemui

1) Osteoarthritis (OA)

Jenis arthritis paling lazim. Di rantau ini OA menjejaskan kualiti hidup antara 10 ke 20 peratus penduduk. Malah di Malaysia, OA yang kerap dikesan adalah OA pada lutut. Umumnya, OA disebabkan rawan tidak lagi elastik menyebabkan ia mudah rosak. Apabila ia koyak, tendon dan ligamen pula meregang ia akan menyebabkan kesakitan. Tulang akan bergeser antara satu sama lain menyebabkan rasa sakit.

2) Rheumatoid arthritis (RA)

Masalah radang yang menyaksikan membran synovial (tisu lembut dalam lutut) terjejas yang menyebabkan rasa sakit dan bengkak. Tanpa rawatan, ia akan menyebabkan kecacatan. RA lebih kerap ditemui pada perempuan berbanding lelaki dan menyerang pesakit berusia 40 tahun ke atas.

3) Infectious arthritis (septic arthritic)

Berlakunya jangkitan pada cecair synovial dan tisu pada sendi yang berpunca daripada bakteria. Ada kalanya disebabkan oleh kulat dan virus. Bakteria, kulat dan virus merebak melalui salur darah daripada tisu yang terjejas dan menjangkiti sendi.

4) Gout

Masalah yang berpunca daripada pengumpulan kristal pada sendi. Kristal daripada asid urik ini terbentuk hasil daripada pecahan bahan-bahan dalam tubuh yang lazim. Pengumpulan asid urik ini dalam sendi menyebabkan gout (gouty arthritis). Biasanya, sendi yang kerap terjejas dengan gout adalah ibu jari kaki dan lutut.

5) Pseudogout Arthritis

Jenis arthritis yang hampir sama dengan gout tetapi puncanya berbeza. Pseudogout arthritis berlaku kerana pengumpulan lebihan kalsium dalam sendi dan kerap ditemui pada sendi lutut.




Categories: