26 Oktober 2010

Keguguran Rambut

Botak boleh dielakkan jika setiap individu amal gaya hidup seimbang, jaga pemakanan dan diet.

PENUAAN sering dikaitkan dengan tumpuan kepada kulit wajah sehingga ada yang lupa bahawa rambut juga mengalami masalah penuaan. Malah ada yang menganggap masalah keguguran rambut serius seperti botak hanya dialami oleh mereka yang semakin meningkat usia.

RAMAI lelaki dan wanita yang terpaksa bertarung dengan masalah kekurangan rambut di kepala sering memikirkan mengapa mereka kehilangan rambut dan bagaimana cara untuk memulihkannya.
Kehilangan rambut atau ketipisan rambut telah menjadi isu yang sensitif dan mengecewakan ramai lelaki dan wanita.

Ramai yang menyalahkan kekurangan nutrien, sistem pengedaran kurang baik, dan penyumbatan folikel rambut lalu menggunakan pelbagai kaedah tradisional untuk menangani masalah ini.

Terdapat banyak mitos dan cerita rawatan ajaib yang dikaitkan dengan kehilangan rambut. Namun, berapa banyakkah daripadanya berasaskan fakta sebenar dan berapa banyak pula rekaan semata-mata?

Pakar-pakar Australia menganggarkan bahawa 30 peratus daripada kalangan wanita dan 40 peratus lelaki akan mengalami kehilangan rambut akibat faktor keturunan menjelang usia 40 tahun.

Bagaimanapun, menurut hasil tinjauan kaji selidik membabitkan lebih 700 peserta yang dijalankan menerusi Internet oleh Pfizer Consumer Healthcare, semakin ramai lelaki dan wanita mengalami kehilangan rambut. Keadaan ini amat membimbangkan.

Masalah kehilangan atau ketipisan rambut boleh dialami oleh lelaki dan wanita seawal usia belasan tahun.

Kehilangan rambut disebabkan faktor keturunan (androgenetic alopesia) selalunya bermula antara usia 12 dan 40 tahun dan kira-kira separuh daripada kita mengalami sesuatu bentuk kehilangan rambut menjelang usia 50 tahun.

Meskipun kadar ini agak tinggi, kesedaran mengenai kehilangan rambut di kalangan lelaki dan wanita dan puncanya atau pilihan rawatan yang boleh diperoleh amat kurang.

``Keguguran rambut adalah masalah biasa. Masyarakat kita meletakkan nilai yang begitu tinggi ke atas rambut, menjadikan kehilangan rambut atau ketipisan rambut isu yang sukar dibincangkan,'' kata Pakar Perunding Dermatologi, Dr. Ting Hoon Chin.

Kehilangan rambut atau ketipisan rambut?

Lebih separuh daripada mereka yang menyertai tinjauan kaji selidik pernah mendengar tentang kehilangan rambut, tetapi mereka tidak pasti sama ada terdapat perbezaan antara kehilangan rambut dan ketipisan rambut.

Istilah umum `kehilangan rambut' boleh merujuk kepada banyak masalah yang berlainan, daripada sedikit ketipisan hingga kebotakan penuh, dan keadaan ini boleh berlaku kerana banyak sebab yang berlainan.

Dr. Ting menjelaskan bahawa kehilangan rambut boleh berlaku secara beransur-ansur menyebabkan rambut menjadi semakin nipis.

Adakah kerana gen?

Sebanyak 21 peratus daripada responden percaya bahawa kehilangan rambut adalah berpunca daripada kombinasi faktor keturunan, hormon dan usia.

Umumnya, kehilangan rambut di kalangan lelaki dan wanita adalah diwarisi daripada ibu atau bapa mereka, atau kedua-duanya. Gen kita mempengaruhi pertumbuhan rambut kita.

Ia mengaktifkan kepekaan kepada androgen (hormon lelaki) termasuk testosteron, yang menyebabkan folikel rambut mengecut. Folikel yang mengecut (selaput yang menyarung umbi rambut) mengeluarkan rambut yang nipis.

Menurut Dr. Ting, punca kehilangan rambut paling biasa di kalangan lelaki (90 peratus) dan wanita (70 peratus) ialah androgenetic alopesia (sering dipanggil oleh masyarakat bukan perubatan sebagai kehilangan rambut akibat faktor warisan atau keturunan).

``Keadaan ini adalah disebabkan kesan androgen (hormon lelaki) ke atas folikel rambut dan corak tindak balas ditetapkan secara genetik. Semua wanita juga mempunyai hormon androgen dan kerana itu gejala ini dialami oleh lelaki dan wanita.

``Kehilangan rambut di kalangan lelaki biasanya dilihat pada bahagian depan, khususnya atas dahi, atau tompok botak di bahagian tengah atas kepala,'' ujar beliau.

Bagaimanapun, keadaannya berbeza di kalangan wanita - kehilangan rambut tidak berlaku secara setempat tetapi di seluruh kulit kepala, menyebabkan rambut kelihatan semakin nipis.

Faktor tekanan

Sementara itu, sebanyak 21 peratus daripada peserta yang mengalami kehilangan rambut menyangka bahawa punca masalah kehilangan rambut mereka adalah tekanan emosi atau fizikal, manakala 20 peratus lagi percaya bahawa masalah ini berpunca daripada kekurangan nutrien.

Jika mereka ternampak lebih banyak rambut gugur ke dalam besen cuci muka atau di atas lantai selepas menyikat rambut, mereka percaya ia adalah tanda kehilangan atau ketipisan rambut.

Hasil tinjauan ini juga menunjukkan bahawa 34 peratus daripada responden telah mengalami masalah kehilangan rambut selama dua hingga lima tahun, dan kira-kira 60 peratus peserta yang menyertai tinjauan telah mencuba pelbagai cara untuk mengatasi masalah ini.

``Tekanan adalah punca biasa kehilangan rambut berbentuk khusus, yang dikenali sebagai Telogen Effluvium.

``Apa yang berlaku ialah kitaran pertumbuhan rambut akan memasuki keadaan rehat apabila anda di bawah tekanan, seperti baru menjalani pembedahan atau mengalami sakit teruk atau demam teruk,'' kata Dr. Ting.

Tambahnya, seseorang itu boleh kehilangan banyak rambut dalam tempoh enam minggu hingga tiga bulan selepas mengalami tekanan fizikal atau emosi yang teruk tetapi rambut biasanya akan tumbuh

semula dalam masa beberapa bulan kemudian.

Siapakah yang patut saya temui?

Kaum lelaki dan wanita biasanya mencari pelbagai cara untuk mengatasi masalah ini. Mereka cuba mendapatkan bantuan daripada pakar pendandan rambut, ahli farmasi, doktor, pakar dermatologi dan pakar rawatan rambut.

Tinjauan kaji selidik menunjukkan bahawa antara orang pertama yang dirujuk ialah pakar pendandan rambut (28 peratus), diikuti oleh ahli farmasi (27 peratus). Hanya sebilangan kecil (11 peratus) mendapatkan rawatan daripada pakar dermatologi.

Bantuan

Pakar pendandan rambut merupakan orang pertama yang menyedari kehilangan rambut seseorang. Mereka mempunyai keupayaan untuk memecahkan benteng dan memperkatakan tentang kehilangan rambut.

Orang lain mungkin mendapatkan bantuan daripada ahli farmasi kerana mereka arif tentang ubat-ubatan, dipercayai dan mudah ditemui.

Bagaimanapun, jelas Dr. Ting, adalah langkah bijak bagi mereka yang mengalami masalah kehilangan rambut menemui doktor untuk mendapatkan

penilaian klinikal dan diagnosis sebelum memulakan rawatan yang sesuai.

Ia memalukan!

Tinjauan kaji selidik tersebut menunjukkan bahawa 22 peratus daripada responden yang telah atau pernah mengalami keadaan ini mengalami kesan psikologi akibat kehilangan rambut, menyebabkan mereka berasa malu. Keadaan ini lebih ketara di kalangan wanita.

Responden yang tidak mengalami kehilangan rambut (38 peratus) menyatakan bahawa mereka akan berasa kurang yakin pada diri sendiri jika mengalami keadaan sedemikian.

``Memandangkan kehilangan rambut di kalangan lelaki dan wanita boleh menimbulkan banyak kesan psikologi seperti tekanan perasaan dan emosi disebabkan mereka merasa tidak menarik, pengguna perlu dididik mengenainya.

``Nasihat daripada pakar penjagaan kesihatan profesional yang mempunyai kepakaran khusus dalam penjagaan dan rawatan rambut boleh memberi ketenangan fikiran kepada mereka yang dihantui masalah kehilangan rambut dengan memberikan rawatan yang betul,'' tegas Dr. Ting.

Kehilangan rambut wanita

Benarkah kehilangan rambut jarang berlaku di kalangan wanita? Ini adalah salah tanggapan yang

paling kerap disuarakan.

Hanya lapan peratus daripada responden yang memberikan pendapat mereka percaya bahawa kehilangan rambut adalah masalah biasa di kalangan wanita, berbanding 26 peratus yang berkata bahawa kehilangan rambut adalah masalah biasa di kalangan lelaki.

Kehilangan rambut memang biasa dialami oleh lelaki, tetapi kehilangan rambut di kalangan wanita adalah juga satu fenomena biasa.

Kebanyakan wanita yang mengalami keadaan rambut semakin nipis tidak pernah menduga masalah ini boleh berlaku ke atas mereka kerana ia adalah masalah yang jarang dibincangkan di kalangan mereka atau membabitkan mereka.

Bagaimana dengan rambut palsu?

Hanya satu peratus responden menggunakan rambut palsu untuk menyembunyikan masalah kehilangan atau ketipisan rambut mereka.

Cara paling popular ialah menyikat rambut ke atas bahagian yang kehilangan rambut (50 peratus), diikuti oleh cara lain (24 peratus) seperti mengeritingkan rambut, memotong pendek, membotakkan kepala dan menerima seadanya.

Tinjauan kaji selidik itu juga menunjukkan bahawa mereka yang mengalami kehilangan rambut menukar syampu (33 peratus) dan menggunakan produk merangsangkan pertumbuhan rambut seperti Topical Minoxidil (20 peratus) untuk memulihkan keadaan. 




Baca Lagi...

25 Oktober 2010

Hapuskan parut jerawat

SALLY merenung ke bayangnya di cermin. Jerawat sudah sembuh hasil rawatan yang dijalani dengan bersungguh-sungguh. Selain berubat di klinik, dia juga rajin ke salon untuk mencuci mukanya. Tak cukup dengan itu dia turut mengamalkan rejim mencuci muka dan pemakanan sihat.

Setahun yang lalu masalah jerawat bagaikan tragedi ngeri yang menimpa Sally. Syukurlah dengan teknologi perubatan moden maka mimpi ngeri tersebut sudah berakhir dan kini hanya tinggal kesan parut kehitaman.
Baru-baru ini Sally datang bertemu saya. Dia bertanya sama ada parut parut tersebut dapat dipulihkan atau tidak.

“Bagaimanakah cara terbaik bagi memulihkah parut. Jika ada apakah peratusan ia boleh pulih semula?” tanya beliau bertalu-talu.

Semangat Sally tetap kental sebagaimana saya mengenalinya setahun lalu.

Saya yakin Sally akan berjaya merealisasikan impiannya. 

Apakah sebenarnya 

parut jerawat?

Apabila jerawat sembuh, ia akan meninggalkan kesan kemerahan atau kesan parut hitam. Ini sebenarnya bukan parut jerawat tetapi kesan daripada radang jerawat . Jika tiada jerawat baru yang tumbuh, kulit akan sembuh dengan sendiri . Proses penyembuhan ini boleh mengambil masa 6 hingga 12 bulan. Kesan akibat jerawat lebih daripada setahun dikenali parut jerawat. Biasanya parut ini kekal dan membuatkan kulit muka kelihatan gelap dan kurang menarik. Untuk mengelakkannya rawatan awal boleh dilakukan. 

Rawatan awal 

Radang kulit disebabkan oleh jerawat adalah satu proses penyembuhan yang normal. Ada beberapa langkah yang boleh dilakukan untuk membantu merawat peringkat awal parut jerawat.

Pendedahan kepada matahari melambatkan proses penyembuhan radang jerawat dan boleh merosakkan kulit. Oleh itu pengunaan sunblock yang sesuai amat penting 

Doktor boleh memberi krim tretinoin untuk mempercepatkan proses remodeling kulit. 

Penggunaan peeling agent seperti AHA (Alpha Hydroxy Acid) yang bersesuaian juga boleh mempercepat kan proses remodeling kulit 

Jangan memicit jerawat atau parut jerawat . Ini akan mengganggu proses penyembuhan jerawat. Ia juga boleh menyebabkan bakteria yang terdapat di dalam jerawat tersebar lebih ke dalam kulit. Ini boleh menyebabkan parut jerawat yang lebih dalam berlaku 

Penggunaan krim antioksidan seperti Vitamin C juga membantu memulihkan kesan jerawat. 

Rawatan parut jerawat

Dengan kemajuan teknologi laser dermatologi/ aesthetic , kini rawatan yang paling berkesan untuk rawatan parut jerawat adalah dengan menggunakan laser. Dua jenis laser yang paling berkesan adalah laser CO2 (karbon dioksida ) atau Erbium Yag. Kedua-dua laser ini adalah dalam kategori ablative. Ia bermaksud akan meratakan kawasan kulit yang dirawat dengan laser. Ia juga akan merangsang kulit untuk membentuk kolagen. Ini menyebabkan kulit akan kelihatan lebih tegang, kesan parut jerawat kurang dalam serta pori pori muka kelihatan lebih halus. Proses rawatan ini perlu dilakukan beberapa sesi di antara enam ke lapan minggu. 

Masalah jerawat adalah masalah utama untuk remaja . Masalah ini menjadi lebih rumit apabila remaja mula mencuba pelbagai jenis produk. Saya boleh memberi beberapa tip dan panduan untuk remaja yang mempunyai masalah jerawat.

1. Amalkan banyak pemakanan yang mengandungi antioksidan yang tinggi seperti buah-buahan citrus, nenas, kiwi dan anggur. Kebanyakan sayur sayuran juga mempunyai antioxidan yang tinggi . 

2. Stres juga boleh menjadikan jerawat tumbuh dengan banyak. Oleh itu lakukan aktiviti yang boleh mengurangkan stres dan menyihatkan seperti bersukan

3. Apa-apa produk yang diletakkan di muka mestilah bebas minyak, berasaskan air dan non-comedogenic (tidak menyumbat pori-pori muka). Gunakan pencuci muka yang sesuai dan jangan mencuci muka dengan sabun mandi.

4. Jika peralatan kosmetik anda menyebabkan tumbuh whitehead atau blackhead, tukar kepada jenama lain. Yang terbaik adalah kosmetik berasaskan mineral. Kosmetik di muka mesti dicuci sebelum tidur .

Perubahan hormon juga boleh menyebabkan jerawat yang teruk. Jika langkah langkah di atas tidak dapat membantu, rawatan seperti antibiotik, chemical peeling, photofacial dan rawatan hormon boleh membantu. Sila berjumpa dengan pakar kulit. 

Parut di muka selalunya disebabkan oleh kesan jerawat. Namun begitu ia juga boleh disebabkan kesan kecederaan seperti terbakar atau luka. Setakat ini belum ada produk yang boleh merawat kesan parut dengan berkesan. Jika parut itu tidak dalam, rawatan seperti chemical peeling dan microdermabrasion boleh membantu mengurangkan masalah parut. Tetapi jika parut itu dalam dan banyak, rawatan yang sesuai adalah laser CO2 atau Erbium YAG. Rawatan yang diperlukan adalah sebanyak tiga ke lima sesi. Rawatan ini adalah yang terbaik untuk masalah parut. 

Jerawat di badan

Untuk merawat Jerawat di badan , saya nasihatkan untuk mengambil antibiotik yang sesuai seperti Minocycline HCL. Ini bertujuan membunuh bakteria yang menyebabkan jerawat itu bengkak dan sakit. Semasa rawatan antibiotik , nada perlu menggunakan krim Benzoyl peroxide (seperti jenama Oxy) agar rawatan lebih berkesan. Jika jerawat tersebut mempunyai blackhead, rawatan seperti krim tretinoin perlu digunakan. Namun begitu anda dinasihatkan bertemu doktor untuk mengenal pasti rawatan yang sesuai.

Untuk rawatan terkini, terdapat dua jenis laser yang sangat berkesan untuk merawat jerawat iaitu Isolaz yang mendapat kelulusan untuk merawat jerawat tahap 1 hingga tahap 6 dan laser long pulse Nd:Yag. Kelebihan rawatan ini adalah ia ringkas, tidak sakit dan sangat berkesan.



Baca Lagi...

22 Oktober 2010

Kawal darah tinggi

Jangan berhenti ambil ubat

MUDAH disebut dan kerap kali diingatkan, tetapi masih ramai yang bersikap tidak kisah. Realitinya, itulah sikap masyarakat terhadap penyakit darah tinggi atau hipertensi.

Sedar atau tidak, hipertensi menjadi antara penyakit paling umum dihidapi ramai, khususnya bagi mereka yang tinggal di kawasan bandar.

Keadaan itu tidak boleh dibiarkan berterusan kerana hipertensi menjadi antara faktor penyebab strok, serangan jantung dan kegagalan buah pinggang berfungsi. Akibat terburuk daripada penyakit itu adalah kematian. Justeru, penyakit yang membawa punca kesengsaraan hidup dan meragut nyawa itu harus dicegah.

Presiden Persatuan Hipertensi Malaysia (PHP), Dr Azani Mohamed Daud, berkata jika seseorang itu memiliki tekanan darah yang tinggi hendaklah mengawalnya supaya tidak terus memudaratkan tahap kesihatannya.

Dr Azani berkata, kebimbangan penyakit hipertensi yang semakin meningkat dan menjadi faktor risiko penyakit kardiovaskular bukan saja di negara ini, tetapi juga di seluruh dunia. Dianggarkan bahawa 972 juta orang menghidap hipertensi atau tekanan darah tinggi di seluruh dunia. Jumlah itu dijangka meningkat kepada 1.56 bilion menjelang 2025 bersamaan kadar kira-kira seorang daripada setiap tiga orang dewasa berusia lebih 20 tahun.

“Sama ada lelaki atau wanita, kedua-duanya boleh mendapat penyakit hipertensi. Apa yang membimbangkan, penyakit itu disifatkan antara penyakit yang membunuh dalam senyap kerana ia menyerang pesakit tanpa sebarang tanda memandangkan kebanyakan pesakit tidak dikaitkan dengan sebarang simptom dan hanya menyedarinya selepas menjalani pemeriksaan doktor ataupun lebih serius diserang strok yang boleh membawa maut atau lumpuh, sekali gus mengurangkan kualiti hidup,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Persidangan Mesyuarat Tahunan Persatuan Hipertensi Malaysia di ibu negara, baru-baru ini.

Dr Azani berkata, walaupun hipertensi berleluasa dan menjadi satu faktor risiko utama bagi penyakit kardiovaskular, ia antara sebilangan faktor risiko yang boleh dikawal. Ini termasuklah, mengubah cara gaya hidup yang lebih sihat seperti melakukan senaman, berhenti merokok, mengurangkan kolesterol dan mengelakkan diri menjadi obesiti.

Katanya, gaya hidup masyarakat urban pada masa kini yang terlalu sedikit melakukan senaman dan terlalu banyak makan adalah antara punca utama yang menyebabkan hipertensi.

“Masalah obesiti juga ada di kalangan kanak-kanak dan menjadi isu masa kini. Semua itu adalah berpunca amalan pemakanan dan gaya hidup yang tidak sihat, sekali gus menjadi punca utama hipertensi di kalangan generasi muda. Berasaskan data terkini yang boleh didapati, sekurang-kurangnya 42 peratus dewasa Malaysia berusia lebih 30 tahun mengalami hipertensi.

“Hanya 35.8 peratus yang prihatin mereka mempunyai hipertensi. Tetapi lebih membimbangkan lagi kerana daripada 4.8 juta rakyat Malaysia yang menghidap penyakit ini hanya lapan peratus daripada mereka dapat mengawal tekanan darah mereka supaya berada dalam julat yang boleh diterima,” katanya lagi.

Semua data dikemukakan itu adalah hasil kajian Morbiditi dan Kesihatan Kebangsaan ke-3 yang dijalankan pada 2006 dan membabitkan orang dewasa berusia 30 tahun serta ke atas. Berbanding 10 tahun lalu, jumlah purata didapati meningkat daripada 33 peratus hingga 43 peratus.

Menjelaskan penyakit hipertensi Dr Azani berkata, darah tinggi sebenarnya terjadi apabila darah dalam 'arterial' dan 'venous circuit' sistem kardiovaskular mengalir dengan tekanan yang lebih tinggi daripada biasa. Keadaan itu menyebabkan jantung bekerja lebih keras untuk menentukan pengaliran darah ke seluruh tubuh dan menyebabkan masalah kesihatan yang serius.

Membicara lebih lanjut hipertensi dan wanita Dr Azani berkata, kebanyakan wanita hamil hanya mengalami masalah yang ringan dan dianggap biasa saja, tetapi sebilangan kecil yang kurang bernasib baik mengalami masalah serius yang boleh mengancam nyawa ibu dan anak yang dikandungnya.

“Wanita hamil memang kerap mengalami masalah penyakit darah tinggi. Tetap ramai juga wanita tidak menyangka mereka boleh menghidap hipertensi ketika hamil. Ini kerana mereka berkeadaan sihat dan tidak menghidap sebarang penyakit sebelum hamil. Sesetengah wanita mungkin hanya mengalami tekanan darah tinggi sepanjang tempoh kehamilan saja tetapi selepas bersalin keadaan kembali normal.

“Ini berlaku kerana ramai wanita mengandung makan berlebihan kerana selera mereka meningkat ketika hamil. Ini menyebabkan mereka mengalami masalah darah tinggi.

Namun, tidak kurang juga ada wanita selepas bersalin akan berterusan dikesan berdepan dengan masalah tekanan darah tinggi. Justeru, seseorang itu perlu mengawalnya dan tidak boleh ambil mudah saja,” katanya.

Dr Azani berkata, bagi wanita yang mempunyai masalah darah tinggi sebelum hamil, perlu lebih berhati-hati. Apa yang penting, wanita berkenaan tidak menghentikan pengambilan ubat ketika tempoh kehamilan bagi mengawal masalah darah tinggi yang dialaminya. Malah, untuk tidak membahayakan diri dan anak yang bakal dikandung, adalah lebih baik jika wanita yang berdepan yang masalah seperti itu mendapatkan pandangan doktor terlebih dulu sebelum mengambil keputusan untuk hamil.

“Begitu juga apabila wanita itu mengetahui dia hamil, patutlah mendapatkan pemeriksaan doktor dengan secepat mungkin untuk tujuan yang sama. Jika terdapat sesuatu penyakit, bolehlah diberi rawatan dan jagaan yang sewajarnya sejak dari peringkat awal lagi. Pemeriksaan setiap bulan khususnya di peringkat akhir kehamilan sangat penting untuk mengesan penyakit darah tinggi,” katanya.
Jika keadaan itu tidak terkawal ia boleh mengancam nyawa ibu dan bayi.

Kemungkinan bayi akan mati dalam kandungan. Bayi itu juga biasanya lahir dengan timbang berat yang ringan dan kadangkala lahir sebelum cukup bulan. Kedua-dua masalah berkenaan boleh mengancam nyawa dan kesejahteraan bayi pada masa hadapan.

Katanya lagi, sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat tempatan, pendidikan pesakit perlu menjadi satu keutamaan. Individu perlu melakukan saringan pemeriksaan kesihatan dan melakukan pemeriksaan susulan bagi mencapai sasaran.

Selain itu, kesedaran mengenai bahaya penyakit hipertensi perlu dipertingkatkan di kalangan masyarakat. Adalah penting bagi pesakit hipertensi mengambil ubat mengikut jadual bagi memastikan tekanan darah terkawal pada setiap masa.

INFO: Penyebab Darah Tinggi

  • Keturunan: Faktor ini tidak boleh dielakkan. Jika seseorang memiliki ibu bapa atau ahli keluarga yang memiliki tekanan darah tinggi, maka kemungkinan ia menderita tekanan darah tinggi lebih besar. Statistik menunjukkan bahawa masalah tekanan darah tinggi lebih tinggi pada kembar seiras berbanding sebaliknya. Sebuah penelitian menunjukkanm ada bukti gen yang diturunkan menyumbang masalah tekanan darah tinggi.


  • Usia: Faktor ini juga tidak boleh dielakkan. Penelitian menunjukkan, semakin usia seseorang itu bertambah, tekanan darah pun akan meningkat. Anda tidak dapat mengharapkan, tekanan darah ketika anda muda akan sama ketika bertambah tua. Namun, anda dapat mengendalikan supaya jangan melewati batas atas yang normal.


  • Garam: Faktor ini boleh dikendalikan. Garam dapat meningkatkan tekanan darah dengan cepat pada sesetengah individu orang, khususnya bagi penderita diabetes, hipertensi ringan, orang tua, dan mereka yang berkulit hitam.


  • Kolesterol: Faktor ini boleh dikendalikan. Kandungan lemak yang berlebihan dalam darah boleh menyebabkan timbunan kolesterol pada dinding pembuluh darah. Hal ini boleh membuatkan pembuluh darah menyempit dan akibatnya tekanan darah akan meningkat. Kendalikan kolesterol sebaik mungkin.


  • Obesiti/Kegemukan: Faktor ini boleh dikendalikan. Individu yang memiliki berat badan melebihi 30 peratus berat badan ideal, memiliki kemungkinan lebih besar menderita tekanan darah tinggi.


  • Stres: Faktor ini boleh dikendalikan. Stres dan keadaan emosi yang tidak stabil juga mengakibatkan tekanan darah tinggi.


  • Rokok: Faktor ini boleh dikendalikan. Merokok juga dapat meningkatkan tekanan darah menjadi tinggi. Kebiasaan merokok dapat meningkatkan risiko diabetes, serangan jantung dan strok.


  • Kafein: Faktor ini boleh dikendalikan. Kafein yang terdapat pada kopi, teh mahupun minuman lain menyebabkan peningkatan tekanan darah.


  • Alkohol: Faktor ini boleh dikendalikan. Pengguna alkohol secara berlebihan juga menyebabkan tekanan darah tinggi.


  • Kurang Olahraga: Faktor ini boleh kendalikan. Kurang olahraga dan bergerak boleh menyebabkan tekanan darah dalam tubuh meningkat. Olahraga teratur mampu menurunkan tekanan darah tinggi tetapu jangan melakukan olahraga yang berat jika anda menderita tekanan darah tinggi. 



  • Baca Lagi...

    21 Oktober 2010

    RESDUNG - Risiko Jangkitan Otak

    ANDA batuk, kerap bersin, tidak bermaya dan tidak sedap badan. Hidung pula rasa berair dan tersumbat. Anda terasa yang anda demam.

    Apabila ubat-ubatan yang diambil tidak meredakan gejala-gejala demam biasa, bangun pagi anda mulai diiringi dengan sakit kepala dan rasa berat pada bahagian muka.

    Selepas doktor mendengar sejarah gejala, memeriksa bahagian muka, dahi dan mungkin menjalankan sinaran-X pada bahagian sinus, anda disahkan menghidap penyakit resdung atau sinusitis.

    Di kalangan masyarakat setempat, ia lebih popular sebagai resdung dan sangat biasa terjadi di kalangan rakyat negara ini.

    ``Ringkasnya, resdung menghasilkan pelbagai gejala hidung dan tidak ketinggalan boleh juga memberikan kesan terhadap tekak, peti suara serta telinga tengah.

    ``Salah satu punca resdung adalah disebabkan oleh jangkitan bakteria ke atas hidung dan rongga di sekelilingnya yang dipanggil sinus,'' kata Pakar Telinga, Hidung dan Tekak, Hospital Pusrawi, Kuala Lumpur, Dr. Amir Izwan Mohamed Dahan.

    Menurutnya, sinus sebenarnya adalah rongga-rongga di dalam tulang muka yang bersambung ke hidung melalui saluran-saluran yang sangat kecil.

    Sinus terletak pada bahagian muka - pipi di bawah mata, di antara dua mata, hanya sedikit di belakang hidung dan turut meliputi bahagian dahi seseorang.

    Ia terbahagi kepada empat; masing-masingnya dikenali sebagai sinus frontal, sinus maksila, sinus etmoid dan sinus sfenoid.

    Fungsi sebenar sinus tidak diketahui dengan tepat tetapi ada antara teori mengatakan sinus berfungsi meringankan tengkorak selain turut memainkan peranan dalam degungan suara.

    ``Biasanya lendir dihasilkan oleh rongga-rongga ini pada setiap masa dan disalirkan ke dalam hidung.

    ``Jika saluran daripada sinus ini tersumbat, lendir akan terkumpul dan rongga sinus menjadi tempat pembiakan yang baik bagi kuman bakteria,'' katanya.

    Dr. Amir Izwan yang juga pakar bedah kepala dan leher berkata, bengkakan di dalam lapisan hidung juga boleh menyebabkan salur sinus ini tersumbat.

    Salah satu punca utama bengkakan dalam hidung ini ialah radang hidung disebabkan oleh alahan (rhinitis) yang agak berleluasa dalam masyarakat kita.

    Mengulas lanjut, resdung boleh juga terjadi disebabkan oleh rerambut halus silia di dalam sinus yang sepatutnya membantu pengaliran mukus, gagal menyempurnakan tugasnya.

    Aktiviti menyelam ataupun berenang merupakan antara beberapa faktor yang boleh meningkatkan risiko resdung selain asap rokok yang dikenal pasti sebagai pencetus radang hidung.

    Oleh itu, adalah sangat penting `mengharamkan' tabiat merokok di dalam persekitaran rumah mahupun kenderaan pesakit resdung, sekali gus mengelakkan tempat-tempat yang seumpamanya.

    Katanya, apabila gejala resdung berlaku dalam tempoh beberapa hari hingga beberapa minggu, ia diklasifikasikan sebagai akut.

    Resdung akut kadangkala adalah penyebab demam, terutamanya yang berlanjutan lebih daripada tujuh hingga 10 hari.

    ``Asalnya, virus-virus yang menyebabkan selesema biasa, menyerang lapisan dalam hidung dan sinus menyebabkan bengkak dan menyempit.

    ``Badan juga bertindak balas terhadap virus dengan menghasilkan lebih banyak mukus. Ini menyebabkan hidung tersumbat dan nanah terkumpul di dalam sinus yang bengkak,'' kata Dr. Amir Izwan.

    Demam yang mula kebah tetapi kemudiannya bertukar melarat menjadi sebahagian tanda-tanda resdung akut.

    Di samping itu, kesakitan di dalam bahagian dahi yang timbul semasa anda mencondongkan badan ke depan seperti waktu sujud juga boleh menjadi petanda.

    Ditanya bagaimanakah caranya untuk membezakan di antara resdung, demam selesema biasa dan alahan hidung memandangkan ketiga-tiganya mempunyai gejala yang saling bertindihan, Dr. Amir Izwan menjelaskan:

    ``Jika pesakit demam dan mempunyai gejala berkaitan hidung seperti sakit muka dan hidung, keluar nanah berwarna kuning atau hijau daripada hidung atau kahak warna sama pada sebelah pagi, itu resdung.

    ``Apabila gejala-gejalanya berlaku lebih kerap ataupun jangkitan berpanjangan lebih daripada tiga bulan, resdung akut boleh menjadi kronik.

    ``Gejalanya mungkin tidak seteruk resdung akut namun, jika tidak dirawat boleh menyebabkan kerosakan kepada sinus dan tulang pipi sehingga memerlukan pembedahan,'' katanya.

    Walaupun resdung tidak boleh menjadi kanser sehingga menyebabkan hidung rompong tetapi sebaliknya kanser boleh memperlihatkan gejala-gejala seperti penyakit itu.

    Sekiranya dibiarkan tanpa rawatan, resdung boleh mengakibatkan maut tidak langsung yang disebabkan oleh komplikasi pada otak pesakit.

    Serangan resdung berulang-ulang juga boleh berlaku. Pesakit selalunya diberikan rawatan antibiotik untuk menyembuhkannya tetapi penyakit datang semula sebulan dua kemudian.

    Puncanya mungkin disebabkan oleh faktor penyebab penyakit ini yang tidak dirawat sepenuhnya, lazimnya susunan tulang dalaman sinus yang tidak normal dan sempit. Dalam kes-kes begini, pembedahan endoskopi dilakukan.

    Sekiranya gejala resdung masih berterusan, kaedah baru ini akan dilakukan di mana rongga-rongga sinus terlibat akan dibuka menggunakan alat-alat khas di bawah penglihatan kamera skop.

    Pembedahan sinus endoskopi ini sama sekali tidak memerlukan belahan pada kulit kerana segala prosedurnya dilakukan di dalam rongga hidung.

    Ini berbeza dari kaedah lama pembedahan di mana belahan terpaksa dibuat di sekeliling kawasan hidung.

    Pun begitu, gejala alahan hidung masih boleh terjadi selepas pembedahan dan hanya dapat dikawal melalui penggunaan ubat-ubatan.

    ``Justeru, adalah sangat penting bagi para pesakit untuk mengekalkan pengambilan ubat-ubatan antialahan selepas pembedahan,'' kata Dr. Amir Izwan.

    Tambahnya, cara terbaik untuk mencegah serangan resdung ialah dengan merawat gejala-gejala hidung dengan segera sebelum ia melarat.

    Gejala resdung:

    * Hidung tersumbat

    * Lendir daripada hidung dan tekak

    * Muka berasa sakit dan berat terutamanya pada bahagian antara mata

    * Sakit tekak berpanjangan dan berulang-ulang

    * Demam atau rasa tidak sedap badan yang berpanjangan akibat gejala di atas

    * Gejala alahan hidung seperti bersin, gatal hidung dan sebagainya.

    Punca resdung:

    * Susunan tulang dalaman hidung yang sempit

    * Hidung bengkok

    * Mandi dan terjun di dalam air yang kotor

    * Jangkitan gigi atas

    * Ketumbuhan di dalam hidung

    * Objek dimasukkan ke dalam hidung, contohnya putik kapas, maik dan kertas

    * Tisu belakang hidung yang bengkak terutamanya kanak-kanak.

    Komplikasi resdung:

    * Jangkitan nanah di sekeliling kawasan mata

    * Jangkitan otak (meningitis)

    * Sakit tekak yang kronik

    * Jangkitan tulang muka

    * Memburukkan keadaan lelah

    * Berdengkur yang kronik

    * Jangkitan telinga dan tonsil, terutamanya kanak-kanak

    * Alahan hidung atau hidung sensitif

    * Selesema biasa yang melarat.

    Diagnosis:

    * Skop hidung untuk melihat punca resdung

    * Skan CT hidung dan sinus untuk melihat rongga-rongga yang terlibat dan kawasan putih menandakan lendir atau dipenuhi nanah

    Rawatan:

    Berdasarkan gejala pesakit dan hasil diagnosis, rawatan bersesuaian akan disyorkan.

    * Antibiotik (10 hingga 14 hari bagi resdung akut)

    * Ubat selesema

    * Dekongestan; ubat titis atau semburan hidung

    * Pembedahan hanya akan dipertimbangkan setelah rawatan-rawatan lain tidak berkesan ataupun jika ada sesuatu yang menghalang sinus dan ia tidak dapat disembuhkan dengan ubat-ubatan.

    Tip menguruskan resdung:

    * Bagi pesakit yang mempunyai alahan hidung disarankan agar tidak menyapu rumah tetapi menggunakan vakum atau mop

    * Elakkan makanan yang boleh menyebabkan alahan

    Setiap individu alah kepada makanan yang berlainan terutamanya ramai orang yang tidak boleh memakan makanan laut yang kaya protein atau belacan

    * Banyakkan berehat. Berbaringlah menggunakan bahagian badan yang membuatkan anda bernafas dengan lebih baik kerana ia berupaya melegakan resdung

    * Hirup sup atau cecair yang panas dan minum banyak air

    * Lap muka anda dengan menggunakan tuala yang dibasahkan dengan air suam ataupun melakukan pernafasan wap

    * Jangan menggunakan semburan hidung dekongestan lebih dari tujuh hari. Jika tidak, bengkak di dalam sinus akan menjadi lebih teruk selepas anda memberhentikan penggunaannya

    * Bilas saluran sinus menggunakan larutan salina yang boleh didapati di farmasi

    * Anda juga boleh menggunakan ubat-ubatan seperti acetaminophen dan parasetamol untuk merawat kesakitan

    * Berbincanglah dengan doktor anda sebelum mengambil ubat demam kerana sesetengahnya boleh memburukkan gejala resdung ataupun menimbulkan lain-lain masalah.

     

    Baca Lagi...

    17 Oktober 2010

    Darah tinggi penyakit seumur hidup

    HIPERTENSI ataupun darah tinggi merupakan salah satu penyakit utama yang sering dihidapi penduduk negara ini. Walaupun bahaya penyakit ini banyak didedahkan, begitu juga cara-cara untuk mencegahnya namun bilangan penghidapnya tidak menampakkan tanda-tanda penurunan.

    Ini kerana ketiadaan simptom ketara yang dapat mengaitkan seseorang dengan penyakit ini.

    Pakar Kardiologi dan Pengarah Klinikal Perkhidmatan Kecemasan Jantung, Institut Jantung Negara (IJN), Datuk Dr. Azhari Rosman menegaskan, punca tekanan darah tinggi membabitkan 95 peratus pesakit masih tidak diketahui.

    “Malah, ada individu yang tidak mengetahui mereka menghidap darah tinggi selama bertahun-tahun tanpa sedikit pun menunjukkan simptom,” katanya.

    Ujarnya lagi, penyakit ini tidak akan hilang. Dalam kebanyakan kes, ia merupakan penyakit seumur hidup.

    Akibatnya, penghidap darah tinggi perlu bergantung kepada ubat-ubatan sepanjang hayat bagi mengawal tekanan darah mereka.

    Secara amnya, darah tinggi merujuk pada tekanan darah yang meningkat lebih tinggi daripada tahap biasa secara kronik.

    Pesakit yang mempunyai tiga bacaan tekanan darah yang melebihi 140/90mmHg dalam keadaan rehat berpotensi positif mendapat penyakit tersebut.

    “Darah tinggi memang tiada sebarang gejala. Namun, jika tidak dibendung daripada awal, seseorang boleh terkena serangan atau kegagalan jantung, strok dan kerosakan buah pinggang,” katanya.

    Satu daripada dua

    Mengikut satu kajian pada tahun 2006, satu daripada tiga rakyat negara ini yang berumur 30 tahun ke atas menghidap darah tinggi.

    “Saya berpendapat angka ini telah meningkat dan melebihi 50 peratus rakyat Malaysia menghidapnya.

    “Dahulu penghidapnya berusia 30 tahun ke atas, kini ia tidak mengira peringkat umur.

    “Mereka yang berada di bawah umur tersebut juga berisiko. Malah kanak-kanak turut terdedah kepada penyakit ini kerana faktor pemakanan dan obesiti,” ujarnya.

    Tambah Azhari, ada pesakit hanya mengetahui mereka mempunyai darah tinggi setelah mereka diserang strok.

    Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Merican berkata, risiko komplikasi darah tinggi boleh dielakkan jika seseorang berdisiplin dengan mengambil makanan berkhasiat.

    “Kawalan diet terutama pengambilan garam selain rejim senaman bagi mengekalkan berat badan ideal juga perlu bagi penghidap darah tinggi,” katanya.

    Berbicara mengenai rawatan darah tinggi melalui medium perubatan alternatif, pengamal perubatan alternatif, Nik Omar Nik Daud berkata, penyakit itu memerlukan rawatan secara holistik selain mengurangkan pengambilan ubat-ubatan yang bersumberkan dadah.

     “Dari sudut homeopati, keadaan pesakit darah tinggi termasuk simptom yang mereka alami akan dinilai terlebih dahulu.

    “Selepas didiagnosis, mereka akan diberikan ubat-ubatan yang bersumberkan alam semula jadi seperti garam galian,” katanya.

    Ujarnya lagi, garam galian berbeza daripada garam yang terdapat dalam makanan yang menjadi punca darah tinggi.

    Katanya, garam galian lebih selamat dan bersumberkan sulfur, magnesium dan kapur.

    “Ia selamat dan boleh membantu mengurangkan tekanan darah seseorang,” katanya.

    Akupuntur

    Tambah beliau, kebiasaannya pesakit darah tinggi memerlukan masa selama tiga bulan untuk pulih sepenuhnya. “Namun, mereka juga mesti mengambil makanan yang sihat dan banyak bersenam,” katanya.

    Ujar Nik Omar lagi, rawatan akupuntur dan bekam turut membantu memulihkan tekanan darah tinggi.

    “Rawatan akupuntur memberi tumpuan pada bahagian kaki dan tangan yang merupakan kawasan berkaitan saluran darah.

    “Ini untuk memastikan pengaliran darah sempurna dan stabil selain mengaktifkan sel-sel darah yang terjejas,” katanya.


    Baca Lagi...

    16 Oktober 2010

    Burger McDonald's tidak busuk selama enam bulan

    NEW YORK - Burger daging dan kentang goreng McDonald's didapati tidak busuk selama enam bulan selepas ia dibiarkan berada di atas pinggan di dalam apartmen seorang wanita, Sally Davies di New York.

    Wanita itu membeli set Happy Meal McDonald's enam bulan lalu dan dia tidak memakannya.

    Apa yang dibuat dengan burger itu ialah dia merakamkan gambar makanan tersebut dengan kamera bagi melihat sama ada ia mengalami perubahan selama enam bulan. Dia membeli burger dan kentang goreng itu pada 10 April lalu.

    Burger dan kentang goreng yang tidak busuk itu pernah disiarkan dalam beberapa program televisyen dan menjadi perdebatan semasa orang ramai memikirkan bagaimana makanan segera boleh menunjukkan perubahan bentuk selepas enam bulan berada di atas pinggan.

    "Ia (merakamkan burger itu selama enam bulan) bermula dengan satu pertaruhan dengan seorang rakan saya," katanya.

    "Oleh itu, pada 10 April lalu, saya membeli sebiji burger dan saya mula merakamkan gambarnya tetapi tidak ada apa yang berlaku. Burger itu berbau selama satu hari dan ia kemudian terhenti (tidak ada bau lagi)," kata wanita tersebut.

    Roti burger itu mengecut sedikit tetapi ia masih mengekalkan keadaan asal dan kelihatan sama seperti baru dibeli. Seperti yang dikatakan wanita itu, burger itu juga tidak ada bau.
    Dua ekor anjingnya, Shih Tzu dan Charlie tidak menunjukkan minat untuk memakan buger itu kerana ia tidak mengeluarkan bau.

    Ketahanan buger tersebut selama enam bulan mencetuskan kebingungan dan kebimbangan ramai pihak sama ada makanan segera yang bertahan lama itu sihat untuk kesihatan.

    Pihak McDonald's enggan memenuhi permintaan ditemu ramah. 

    Bagaimanapun, menurut satu kenyataan rangkaian restoran itu, bahan makanan segar disediakan di restoran McDonald's.

    "Adalah tidak munasabah untuk menyediakan satu maklumat terperinci berhubung dakwaan (wanita itu) tanpa mengetahui keadaan makanan itu disimpan. Kami meminta orang ramai tidak membuat sebarang kesimpulan," kata kenyataan daripada rangkaian restoran McDonald's.

    Menurut kenyataan itu, bakteria dan kulat membiak berdasarkan keadaan tertentu. Jika makanan kering secukupnya, ia tidak akan membesarkan bakteria atau kulat.

    Wanita yang merakamkan gambar itu benci dengan dakwaan yang diterimanya menerusi e-mel bahawa dia menipu berhubung burger tersebut.

    "Saya tidak tahu kenapa saya mahu menipu. Saya berharap orang ramai akan membeli burger itu dan melakukan beberapa eksperimen," katanya. - AFP " 


    Baca Lagi...

    15 Oktober 2010

    Punca mata rosak

    Golongan perokok empat kali ganda berisiko alami masalah penglihatan

    PERNAHKAH anda mengalami masalah penglihatan tengah yang kabur? Tidak cukup dengan itu, garisan yang lurus pula kelihatan bengkang-bengkok dan tidak lama selepas itu, anda mula menyedari anda cuma bergantung kepada penglihatan sisi.

    Anda mungkin menyangka ia petanda mata sudah tua dan memerlukan kaca mata baru. Namun, berita lebih buruk, simptom itu adalah gejala makular iaitu kerosakan mata akibat penuaan (AMD). Biarpun ia tidak menyerang semua orang, apa yang lebih menakutkan masalah AMD ini tiada penawarnya.

    Ada dua faktor yang menyebabkan AMD iaitu faktor yang boleh dikawal dan faktor yang tidak boleh dikawal. Faktor yang tidak boleh dikawal adalah genetik dan peningkatan usia manakala faktor yang boleh dikawal membabitkan tabiat merokok, pengambilan diet tidak seimbang selain masalah obesiti dan tidak bersenam.

    Merokok memang sangat kerap dikaitkan dengan pelbagai komplikasi kesihatan. Kajian mendapati golongan perokok mempunyai risiko diserang AMD sebanyak empat kali ganda berbanding mereka yang tidak merokok. Malah kes AMD dikesan antara dua hingga tiga kali ganda lebih banyak di kalangan perokok. Ringkasnya, lebih banyak merokok maka lebih besar risiko diserang AMD.

    Pakar Bedah Mata, Dr Ahmad Fauzi Md Sharif, berkata secara umumnya AMD adalah penyakit yang berkaitan dengan penuaan. Ia memusnahkan pandangan tengah mata dan menyebabkan pandangan anda tidak setajam dulu. Pandangan tengah mata diperlukan bagi membolehkan kita melihat objek dengan jelas. Antara tugas harian yang memerlukan penglihatan tengah mata adalah membaca dan memandu.

    Bagaimanapun, kebanyakan orang tidak menyedari mereka berhadapan dengan AMD. Ini kerana AMD tidak menyebabkan sebarang kesakitan. Malah dalam sesetengah kes ia terjadi perlahan-lahan sehinggakan anda merasakan AMD itu sebahagian daripada perkara wajib apabila usia meningkat tua.

    Namun, menurut bekas pensyarah Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) ini, ada juga kes AMD berlaku dengan cepat dan menyebabkan penglihatan tengah kedua-dua belah mata terjejas.

    “AMD lazimnya berlaku pada usia 50 tahun ke atas. Walaupun ia bukanlah faktor yang boleh menyebabkan buta sepenuhnya tetapi ia menjejaskan kualiti kehidupan.

    “Satu ketika dulu, AMD dianggap penyakit orang barat tetapi kajian terbaru yang dikeluarkan Mei lalu mendedahkan orang Asia juga cenderung diserang AMD.

    “Kajian di lima negara Asia iaitu Jepun, China, Korea Selatan, India dan Singapura mengesahkan kekerapan orang Asia berhadapan dengan peringkat awal AMD ialah 6.8 peratus manakala AMD tahap akhir pula 0.56 peratus berbanding 8.8 peratus dan 0.59 peratus di barat. Kebanyakan mereka yang diserang AMD berusia antara 40 hingga 79 tahun,” katanya.

    Ketua Pusat Penyelidikan Mata PPUM, Prof Madya Dr Fong Choong Sian, pula berkata, makular itu merujuk bahagian di tengah retina dan ia sejenis tisu yang sensitif pada cahaya dan terletak di belakang mata. Umumnya retina dengan pantas menukarkan cahaya atau imej kepada ‘impulse’ atau isyarat elektrik. Retina kemudian menghantar isyarat saraf itu ke otak.

    Bagi kes AMD, sel yang rapuh itu rosak atau tidak lagi berfungsi. Ada dua jenis AMD yang dirujuk sebagai AMD Basah dan AMD Kering. AMD Basah terjadi apabila salur darah baru tumbuh di belakang retina dan disebabkan sifatnya yang rapuh, ia mudah berdarah atau tercalar yang menyebabkan penglihatan terjejas.

    AMD Basah terjadi dengan cepat dan ada kalanya sebagai tidak balas pada rawatan peringkat awal. Dalam keseluruhan pesakit AMD, hanya 10 peratus saja yang dikesan dengan masalah ini.

    Jelas Prof Fong, AMD Kering merujuk keadaan yang biasa dikesan di kalangan pesakit AMD. Ia berlaku perlahan-lahan hingga akhirnya pesakit hilang penglihatan tengah.

    “Kebanyakan orang mula mendapatkan rawatan selepas penglihatan tengahnya kabur, apabila melihat sesuatu yang berwarna ia kelihatan kelabu atau luntur. Namun dalam kedua-dua jenis AMD ini ia boleh menjejaskan kedua-dua belah mata walaupun awalnya ia dikesan pada sebelah mata saja,” katanya.

    Di Asia katanya, kebanyakan pesakit yang dikesan dengan AMD adalah mereka yang berhadapan dengan AMD Kering. Jelasnya lagi, AMD boleh diklasifikasikan pada tahap awal, pertengahan, tahap lanjutan non-neovaskular dan tahap lanjutan neovaskular.

    “Bagi AMD peringkat awal, proses pesakit hilang penglihatan selalunya bermula agak perlahan dan tiada simptom. Namun ada juga kes AMD awal yang mempunyai gejala seperti penglihatan kabur, gagal menyesuaikan penglihatan dari tempat gelap ke tempat terang dan memerlukan cahaya lebih terang untuk membaca tulisan kecil,” katanya.

    FAKTA: Tahap-tahap AMD

    # AMD awal - dicirikan dengan kehadiran sedikit lebihan putih atau kuning (drusen) pada membran mata atau pigmentasi pada retina.

    # AMD pertengahan - dicirikan dengan sekurang-kurangnya gumpalan putih atau kuning yang besar dan pelbagai saiz.

    iii) AMD peringkat lanjutan bukan neovaskular (pembuluh darah liar) dan neovaskular. Bukan neovaskular membabitkan kes-kes AMD yang kering manakala neovaskular membabitkan AMD basah.

    # AMD tahap lanjutan neovaskular dicirikan dengan lebihan kuning atau putih di tengah makular.

    Faktor risiko yang tidak boleh dikawal

    # Genetik
    # Umur

    Faktor boleh dikawal

    # Merokok
    # Nutrisi, diet yang tinggi kolesterol dan lemak boleh menyebabkan lebih plak lemak berada dalam salur makular yang menjejaskan aliran darah dan meningkatkan risiko AMD
    # Hipertensi atau tekanan darah tinggi
    # Obesiti dan tidak bersenam
    # Pendedahan pada cahaya matahari

    Rawatan

    # Pembedahan laser - Selalunya digunakan bagi memusnahkan salur darah yang rapuh dan bocor. Namun hanya sebilangan kecil saja pesakit AMD Basah dirawat dengan prosedur ini. Ada laporan menyebut risiko salur darah baru tumbuh selepas rawatan ini agak tinggi dan memerlukan rawatan ulangan.

    # Terapi photodinamik - Terapi jenis suntikan ini digunakan bagi ‘melekat’ di permukaan salur darah baru sebelum mata anda didedahkan pada sinaran bagi mengaktifkan ubat berkenaan. Prosedur ini tidak menjejaskan tisu yang sihat. Ia juga memperlahankan kadar kehilangan penglihatan anda. Namun ia tidak boleh mengembalikan semula pandangan yang sudah musnah disebabkan AMD peringkat lanjutan.

    # Suntikan - Ia membabitkan pesakit AMD Basah dan bertindak menyekat penumbuhan salur darah baru yang ganjil.


    Baca Lagi...

    12 Oktober 2010

    Keracunan makanan boleh dielak

    RESMI kita bila memilih tempat-tempat makan mahupun restoran - tinjau dahulu dari jauh, ramai atau tidak pengunjungnya.

    Kalau ramai, maknanya sedaplah makanan yang disediakan. Sebaliknya, jika lengang sahaja, `mesti tak sedaplah tu', begitu kesimpulan mudah yang dibuat.

    Setelah berpuas hati dengan hasil tinjauan dan dalam pada kaki mengatur langkah menghampiri premis berkenaan untuk menjamu selera, tiba-tiba mata kita tersorot insiden ini.

    ``Arggkkkhhh... ptuih!'' Dengan tidak semena-mena pengendali makanan tidak kira sama ada tukang masak, pelayan, juruwang mahupun pemilik premis meludahkan air liur atau kahaknya sesuka hati.

    pelayan, juruwang mahupun pemilik premis meludahkan air liur atau kahaknya sesuka hati.

    Seorang pekerja yang lain pula mengorek hidung dan telinganya sambil menggaru-garu kepala atau bahagian-bahagian lain anggota badannya.

    Salah seorang daripada mereka juga, kukunya kalau secara kiasannya, nah! Panjang sedepa.

    Tidak kurang juga yang mengamalkan kelakuan buruk seperti merokok, bersin dan berbual-bual semasa sedang menyediakan makanan.

    Sesekali ada kelibat seekor kucing yang keluar dari longkang tetapi rupa-rupanya tikus mondok bersaiz gergasi, menumpang lalu di situ.

    Jika demikianlah senarionya, anda mempunyai peluang yang sangat cerah untuk mendapat keracunan makanan.

    Pengarah Bahagian Keselamatan & Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan, Dr. Abd. Rahim Mohamad berkata, keracunan makanan adalah sejenis penyakit yang berlaku akibat memakan bahan-bahan tercemar.

    ``Makanan dikatakan tercemar jika ia mengandungi sesuatu bahan yang tidak seharusnya berada di dalamnya,'' kata beliau.

    Menurut Dr. Abd. Rahim, pencemaran makanan utama terbahagi kepada tiga jenis iaitu:

    Biologi; bakteria, virus, fungus, kulat dan yis

    Fizikal; benda atau bahan asing seperti rambut, cebisan kaca, paku dan lain-lain

    Kimia; racun serangga, racun rumpai, bahan pencuci kimia, aditif makanan seperti pengawet yang berlebihan.

    Beliau berkata, memakan makanan atau meminum minuman yang mengandungi toksin atau racun semula jadi seperti sesetengah jenis kulat, cendawan, makanan laut dan sebagainya merupakan antara beberapa punca utama berlakunya keracunan makanan.

    ``Gejala yang dialami adalah berbeza bagi setiap orang.

    ``Ia bergantung kepada jenis racun atau bakteria, jumlah racun atau bakteria yang termakan, umur dan daya ketahanan tubuh seseorang,'' kata Dr. Abd. Rahim.

    Tambahnya, tanda-tanda dan gejala biasanya mulai timbul beberapa jam selepas memakan makanan yang tercemar atau beberapa hari kemudian.

    Ditanya mengapakah kes-kes keracunan makanan berlaku, beliau berkata, rata-ratanya ia disebabkan oleh sikap pengendali makanan yang tidak mengamalkan kebersihan diri baik ketika menyedia, menghidang mahupun menjual makanan.

    ``Mereka tidak mengendahkan kebersihan persekitaran luar dan dalam premis makanan selain membiarkan sahaja makanan terdedah kepada serangga atau haiwan lain dan pencemaran fizikal.

    ``Menggalakkan amalan pelanggan mengambil sendiri makanan tanpa kawalan atau konsep layan diri juga boleh meningkatkan risiko keracunan makanan,'' kata Dr. Abd. Rahim.

    Katanya, keracunan makanan dapat dielakkan jika pengguna tidak melanggani atau dalam kata lain, ``pakat-pakat memboikot premis makanan yang kotor''.

    Orang ramai juga disarankan agar tidak memakan makanan dalam tin kemik atau berkarat, paket bocor, menggelembung, rosak dalam apa jua bentuk serta tamat tempoh penggunaannya.

    Cara paling berkesan untuk mencegah keracunan makanan yang boleh dikatakan dilaporkan terjadi dari semasa ke semasa, adalah dengan melindunginya daripada tercemar.

    Langkah-langkah mengawasi punca pencemaran:

    Manusia

    Membasuh tangan dengan bersih terutamanya selepas ke tandas, memegang bahan mentah, membuang sampah sarap atau sisa-sisa makanan

    Memastikan peralatan yang rosak, sumbing atau retak tidak digunakan lagi

    Sentiasa menudung makanan yang dihidang

    Tidak menyediakan makanan terlalu awal

    Belajar tidak menjamah atau mengambil makanan dengan tangan yang kotor.

    Bahan mentah

    Bahan-bahan mentah terutama daging atau hasilnya harus disimpan pada suhu rendah (kurang 4oC)

    Bahan mentah harus disimpan berasingan daripada makanan yang sudah dimasak dan sedia untuk dimakan.

    Ini dapat mengelakkan pencemaran silang dari bahan mentah ke makanan yang sedia dimakan.

    Gunakan peralatan seperti pisau dan papan memotong berasingan bagi mengelakkan pencemaran silang

    Cuci bahan mentah dengan teliti untuk mengeluarkan kekotoran dan bendasing pada permukaannya

    Basuh tangan secara teliti setelah memegang bahan mentah seperti daging mentah sebelum mengendalikan makanan yang sedia dimakan seperti kuih-muih dan salad.

    Serangga dan haiwan

    Makhluk perosak seperti lalat, lipas, tikus, burung dan binatang peliharaan adalah pembawa habuk, kekotoran dan bakteria

    Kawalan serangga dan haiwan ini akan membantu mengurangkan pencemaran makanan secara berkesan.

    Bekalan air

    Jika air yang digunakan tidak diperoleh secara langsung dari sumber utama, contohnya dari tangki yang terdedah atau menggunakan sambungan paip getah, pencemaran boleh berlaku melalui kebocoran ini.

    Sisa dan bahan buangan

    Bahan buangan mengandungi makanan yang sedang mereput, sisa kulit kupasan dan bahan organik yang menjadi sumber bakteria hidup dan membiak dengan mudah

    Bekas sisa dan sampah sarap yang terdedah atau melimpah akan menarik haiwan dan serangga perosak seperti tikus, burung, lalat dan lipas.


    Baca Lagi...

    10 Oktober 2010

    Cabaran menurunkan berat

    BERAT badan wanita sentiasa berubah bergantung pada peristiwa harian yang dialaminya. Antaranya adalah mengandung, masalah emosi dan perubahan persekitaran pekerjaannya.

    Kebanyakan wanita moden akan mengalami tekanan dalam isu diet dan mengekalkan berat badan ideal.

    Melangsingkan tubuh selalunya dianggap hanya memperbaiki penampilan luaran. Tetapi, berat badan berlebihan adalah salah satu faktor risiko paling utama yang menjurus kepada pelbagai jenis penyakit. Antaranya ialah kencing manis jenis II, penyakit jantung, kanser, tekanan darah tinggi, penyakit sendi, sakit belakang, penyakit jantung koronari dan penyakit pundi hempedu.

    Kadar metabolisme yang tinggi dapat menolong seseorang itu membakar kalori yang berlebihan dengan berkesan dan seterusnya mengurangkan penyimpanan lemak.

    Gen, umur, nisbah otot dengan lemak merupakan antara perkara penting yang menentukan kadar metabolisme seseorang.

    Sesetengah individu mempunyai kadar metabolisme yang lebih tinggi secara semula jadi. Hal ini disebabkan oleh gennya.

    Berat ideal

    Seseorang dikatakan mempunyai berat badan berlebihan jika BMI (Indeks Jisim Badan) melebihi 25. Seseorang juga digolongkan sebagai gemuk gedempol jika BMInya melebihi 30. BMI dikira dengan rumusan kg/m2, di mana kg adalah berat badan dan m adalah ketinggian dalam meter.

    Jika anda mengalami berat berlebihan, anda haruslah cuba untuk mencapai BMI yang ideal (antara 18.5 dan 25). Jika BMI anda melebihi kadar yang ideal, anda haruslah menurunkan berat badan anda untuk mencapai tahap BMI yang ideal.

    Satu cara lain untuk mengira adalah dengan nisbah pinggang dan pinggul anda:

    Pengiraan: Lilitan pinggang dan pinggul dalam inci.

    Bentuk tubuh anda.

    *Jika nisbahnya melebihi 0.8, anda berbentuk epal.

    *Jika nisbahnya ialah 0.8 atau kurang, anda berbentuk pir.

    Kebanyakan orang menyimpan lemak badannya dengan dua cara berbeza:

    *Di sekeliling pertengahan badan (berbentuk epal).

    *Di sekeliling bahagian pinggul (berbentuk pir).

    Nisbah pinggang ke pinggul bergantung pada kadar lemak yang tersimpan di bahagian pinggang dan pinggul anda.

    Bentuk badan risiko kesihatan:

    *Bentuk epal, berat yang berlebihan pada perut. Risiko kesihatan yang lebih tinggi.

    *Bentuk pir, berat yang berlebihan pada bahagian pinggul atau paha. Kurang risiko kesihatan.

    Bantuan melangsingkan tubuh

    Melangsingkan badan secara praktikal bermakna menyingkirkan berat sebanyak dua hingga tiga kilogram sebulan.

    Menghilangkan berat badan bermaksud menghilangkan lemak badan yang berlebihan dan bukan cecair badan. Program pelangsingan yang ekstrem selalunya menghilangkan cecair badan dan bukannya lemak.

    Program pelangsingan yang ekstrem akan menyebabkan kehilangan air. Kehilangan air menyebabkan kulit badan menjadi lemah dan kadangkala ia menyebabkan ketidakseimbangan elektrolit.

    Adalah mitos jika produk melangsingkan badan seharusnya membawa kesan cirit-birit.

    Tip

    Cara yang paling berkesan untuk menurunkan berat badan adalah:

    *Kurangkan pengambilan makanan sebanyak empat peratus.

    *Minum air sekurang-kurangnya lapan gelas setiap hari.

    *Bersenam sekurang-kurangnya lima hari seminggu.

    Penurunan berat badan bergantung pada jumlah lemak yang berada dalam badan seseorang.


    Baca Lagi...

    09 Oktober 2010

    Penyakit senyap

    Ramai pembawa talasemia tidak sedar penyakit keturunan

    SAYA ada menerima pertanyaan seorang gadis yang risau selepas dimaklumkan tunangnya seorang adiknya disahkan doktor sebuah hospital kerajaan sebagai pembawa penyakit talasemia. Doktor yang merawatnya itu menyarankan seisi keluarga menjalani ujian darah kerana ia adalah penyakit keturunan. Si gadis juga risau kemungkinan bakal anaknya boleh menghidap penyakit itu serta mungkinkah ada cara untuk mengatasi.

    Untuk makluman semua, talasemia adalah sejenis penyakit genetik yang mana penghasilan struktur hemoglobin di dalam sel darah merah yang tidak normal. Hemoglobin ini terdiri daripada dua rantaian protein globulin yang utama iaitu alpha dan beta.

    Ada beberapa jenis penyakit talasemia iaitu talasemia alpha (a) dan talasemia beta (ß). Seseorang boleh mewarisi satu gen daripada ibu atau bapa dan menjadi pembawa talasemia minor. Sementara itu sekiranya mewarisi dua gen iaitu setiap satu daripada ibu dan bapanya maka mereka akan menghidap talasemia major.

    Kecacatan gen pada pesakit talasemia akan menyebabkan hemoglobin dalam sel darah merah menjadi tidak normal dan tidak mencukupi. Hemoglobin adalah komponen darah yang mengangkut oksigen dari paru-paru ke seluruh tubuh. Kesan kekurangan sel darah merah yang normal, pesakit akan kelihatan pucat disebabkan paras hemoglobin yang rendah. Keadaan ini juga dipanggil anemia bagi pesakit jenis talasemia major.

    Majoriti pesakit talasemia minor pula tidak menyedari mereka adalah pembawa gen ini sehinggalah mereka menjalani ujian darah ataupun mereka mempunyai anak yang disahkan menghidap talasemia major. Anak yang lahir sebagai talasemia major akan menunjukkan simptom apabila mencapai usia 3-18 bulan.

    Apa yang pasti, pesakit memerlukan pemindahan darah setiap 6 - 8 minggu sepanjang hayatnya. Transfusi darah yang berterusan boleh menyebabkan zat besi berkumpul secara berlebihan di dalam tubuh dan ia dapat dikeluarkan menerusi kaedah chelation therapy.

    Jika seseorang pesakit talasemia minor berkahwin dengan seorang yang normal, ada 50 peratus kemungkinan anak yang dikandung akan menjadi pembawa talasemia minor dan 50 peratus lagi normal. Manakala jika kedua-dua suami isteri adalah pembawa talasemia minor, ada 50 peratus kemungkinan anak yang dikandung menjadi pembawa, 25 peratus kemungkinan akan menghidap penyakit talasemia major dan 25 peratus lagi dilahirkan normal.

    Di Malaysia, penyakit talasemia adalah masalah kesihatan yang besar yang mana kira-kira 3 - 5 peratus daripada penduduk kita adalah pembawa pe-nyakit ini. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah memulakan Program Saringan Talasemia Kebangsaan sebagai program kawalan dan langkah pencegahan. Di antara objektif program ini adalah untuk mengesan pembawa gen talasemia, menyedarkan masyarakat mengenai kadar kematian kes talasemia serta impak penyakit itu kepada individu, keluarga dan komuniti.

    Saringan penyakit ini dapat dilakukan dengan mengambil darah sebanyak 2.5 mililiter untuk ujian darah ÔFull Blood Count.Õ Julat normal hemoglo-bin 3-18 g/dL. Sekiranya didapati hemoglobin (Hb) rendah dan parameter Mean Corpuscular Haemogolobin (MCH) adalah < 27pg, ada kemungkinan pesakit menghidapi anemia dan rawatan yang sewajarnya akan diberikan.

    Jika pesakit tidak memberi sebarang respon kepada zat besi yang diberikan atau bagi individu yang mempunyai Hb normal tetapi MCH < 27pg, ujian lanjutan analisis hemoglobin akan dijalankan. Melalui kaedah ini, talasemia beta dan beberapa jenis talasemia hemoglobinopati yang lain seperti Hb E, Sickle cells, Hb Constant Spring boleh dikenal pasti. Diagnosis untuk Talasemia Alpha pula hanya boleh dilakukan melalui kaedah Polymerase Chain Reaction (PCR) iaitu suatu ujian analisis DNA.

    Bagi ibu hamil yang mana kedua-dua pasangan adalah pembawa gen talasemia, ujian pranatal diagnosis boleh dijalankan dengan mengambil darah janin, cecair amniotik atau korionik villi bagi ujian analisis DNA. Amatlah digalakkan agar mereka yang mengetahui pasangan atau ahli keluarganya menghidap atau pembawa talasemia berjumpa doktor dan membuat ujian saringan. 



    Baca Lagi...

    03 Oktober 2010

    Kawal kolesterol di tahap rendah

    SARANAN melebihkan pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan serta bersenam setiap hari bukan hanya untuk individu yang ingin menurunkan berat badan, tetapi juga bermanfaat bagi golongan yang ada masalah paras kolesterol tinggi.

    Sterol ini boleh didapati secara semula jadi di dalam buah-buahan, sayur-sayuran, pokok kekacang, kacang dan bijian. Jadi bagi individu yang ada masalah paras kolesterol tinggi, selain pengambilan ubat, perubahan makanan sangat penting untuk mengurangkan risiko penyakit jantung.

    Menurut pakar kesihatan, mengambil makanan mengandungi sterol adalah cara paling mudah untuk menurunkan paras kolesterol tidak baik, sekali gus mengurangkan risiko serangan jantung.

    Kini ada pengusaha makanan menambah sterol kepada produk mereka, termasuk dalam susu, marjerin, jus, bijirin sarapan pagi dan makanan lain berasaskan bijirin.

    Bagaimanapun, ramai pakar berpendapat, lebih baik jika mendapat khasiat baik ini daripada sumber makanan kerana bukan saja mengandungi sterol tetapi turut mempunyai pelbagai zat lain yang saling bekerjasama memberi kebaikan kepada kesihatan.

    Kolesterol ialah bahan lembut seperti lilin yang wujud dalam aliran darah dan sel badan. Ia penting untuk membantu badan berfungsi dan pembentukan membran sel dan hormon. Kolesterol dibawa oleh lipoprotein.

    Lipoprotein densiti tinggi (HDL) adalah kolesterol baik yang mampu mengelak endapan kolesterol dalam salur darah. Lipoprotein densiti rendah (LDL) juga dipanggil kolesterol tidak baik boleh berkumpul pada dinding saluran darah dan membentuk plak.

    Pengumpulan plak ini lama-kelamaan membuatkan saluran darah menjadi sempit atau tersumbat. Jika bekalan darah ke jantung terhalang, ia menyebabkan serangan jantung dan jika ia membabitkan saluran darah ke otak, seseorang itu boleh mengalami strok. Ini kerana saluran darah ke jantung atau otak sangat halus dan mudah tersumbat.

    Justeru, penjagaan paras kolesterol sangat penting. Semua orang perlu tahu paras kolesterol masing-masing dan paras selamat ialah di bawah 5.2 milimol/liter. Antara langkah yang boleh diambil untuk merendahkan paras kolesterol ialah:

    a. Makan cara berhemah

    Banyak penyakit gaya hidup muncul kerana kita tewas pada dugaan selera. Antara penyakit itu ialah kencing manis, sakit jantung, strok, tekanan darah tinggi dan obesiti. Sama ada anda belum atau mempunyai penyakit gaya hidup ini, buat perubahan sekarang demi kesihatan diri. Walaupun perubahan dilakukan itu kecil tetapi jika diamalkan setiap hari, ia boleh membawa perubahan besar terhadap status kesihatan.

    Antara langkah yang anda boleh ambil ialah:

    # Pilih ayam tanpa kulit atau daging tanpa lemak. Jika ayam yang anda beli mempunyai kulit, buang kulitnya.

    # Makan ikan yang mempunyai asid lemak beberapa kali seminggu.

    # Banyakkan makan sayur-sayuran dan buah-buahan. Cuba ambil sekurang-kurangnya lima hidangan sehari.

    Bagi yang jarang makan sayur, mulakan dengan mengambil satu hidangan sayur-sayuran setiap kali anda makan nasi dan apabila sudah biasa, jadikan dua hidangan. Cara lain yang anda boleh lakukan ialah dengan makan sebiji atau sepotong buah-buahan pada waktu pagi (sarapan) atau sebagai snek antara waktu makan.

    Pakar Kardiologi, Datuk Khoo Kah Lin berulang kali mengingatkan supaya kita membahagikan pinggan kepada empat bahagian — satu bahagian untuk sumber karbohidrat (nasi); satu bahagian untuk protein (contohnya ikan, daging, telur) dan dua bahagian lagi diisi dengan sayur-sayuran. Lebih baik jika anda boleh memulakan hidangan tengah hari atau malam dengan sebiji atau sepotong buah-buahan.

    # Kurangkan penggunaan minyak dan santan kelapa ketika memasak.

    # Kurangkan snek bergoreng yang mengandungi banyak garam dan lemak, terutama ketika menonton televisyen.

    # Kurangkan pengambilan produk tenusu penuh lemak dan gantikan dengan jenis rendah atau tanpa lemak.

    b. Ubah sikap

    # Bergiat aktif dengan sekurang-kurangnya berjalan pantas setiap hari selama 20 hingga 30 minit; tiga atau empat kali seminggu. Antara aktiviti cergas lain yang boleh dilakukan ialah berenang, berbasikal, berjoging atau menari. Melakukan aktiviti cergas (pada tahap sederhana) selama dua setengah jam seminggu atau senaman lasak selama sejam seminggu boleh mengurangkan risiko penyakit jantung sebanyak 30 peratus.

    Jika tidak dapat bersenam selama 20 hingga 30 minit berterusan, anda boleh membahagikannya kepada tiga waktu iaitu 10 minit untuk satu waktu. Ia boleh dilakukan pada waktu pagi, tengah hari dan malam kerana kajian menunjukkan kesan senaman yang dibahagikan kepada tiga waktu adalah sama dengan senaman dalam satu sesi; selagi ia dilakukan pada hari sama.

    # Kekalkan ukuran pinggang yang sihat iaitu tidak melebihi 80 sentimeter (36 inci) bagi wanita dan 90 sentimeter (41 inci) bagi lelaki.

    # Pelajari pelbagai kaedah untuk mengawal tekanan. Ini termasuk berehat secukupnya, tidur, bersenam, meditasi dan bersembahyang.

    # Bahagikan tugas mengikut keperluan; oleh kerana semuanya sama penting; lihat kepada mana yang perlu diutamakan. Belajar berkata ‘tidak’ apabila diberi tugas berlebihan, terutama jika anda ada banyak kerja dan di luar daripada kemahiran anda.

    # Berhenti merokok.

    # Kurangkan pengambilan minuman beralkohol atau lebih baik jika dapat berhenti terus. Walaupun ada pendapat mengatakan wain merah memberi manfaat kepada kesihatan jantung, tetapi jika anda tidak meminumnya, anda tidak rugi apa-apa.

    # Jalani pemeriksaan kesihatan secara berkala. Dapatkan nasihat doktor mengenai kesihatan jantung.


    Baca Lagi...