25 Mac 2014

Tonsil dan masalah berkaitan tonsil


UNGKAPAN ‘saya ada tonsil’ seringkali kedengaran di kalangan masyarakat umum. Tidak kurang juga ada daripada golongan warga kerja perubatan dan kesihatan sendiri yang menggunakan pernyataan sedemikian yang merujuk kepada suatu struktur yang kelihatan pada mereka tidak normal di dalam rongga mulut.

Sebenarnya, tonsil adalah agregasi tisu limfoid yang terdapat dalam rongga mulut dan tekak seseorang.

Tonsil yang biasa dirujuk ialah struktur kelenjar yang terletak di bahagian tepi, iaitu di kanan dan kiri orofarinks seseorang, yang juga dikenali sebagai ‘palatine tonsil’.

Selain itu, ada lagi agregasi limfoid lain yang berhampiran dengannya yang turut memainkan peranan dan fungsi yang sama.

Ia dikenali sebagai ‘lingual tonsil’ iaitu yang terletak di pangkal lidah, ‘tubal tonsil’ yang terletak di belakang hidung dan beberapa kumpulan tisu limfoid yang lain di dalam tekak yang kesemuanya tersusun dalam bentuk lingkaran yang dipanggil ‘Lingkaran Weldeyer Dalam’.

Tonsil sememangnya wujud pada semua orang terutamanya pada golongan kanak-kanak. Tonsil bertindak sebagai sebahagian daripada sistem pertahanan badan sewaktu masih kecil kerana pada waktu tersebut sistem imuniti badan belum lagi mencapai tahap kematangan sepenuhnya.

Imuniti yang dibekalkan oleh ibu sewaktu dalam kandungan juga sudah beransur-ansur hilang. Justeru, ungkapan mengatakan ‘saya ada tonsil’ tidaklah lebih daripada mengumumkan bahawa diri mempunyai struktur normal seperti mana orang lain.

Dari segi signifikan maksudnya, ia samalah seperti mengatakan saya ada hidung, saya ada mata, saya ada telinga dan sebagainya.

Pada awal usia kanak-kanak, saiz tonsil ini akan meningkat sedikit demi sedikit sehingga mencapai ke suatu tahap yang kekal atau plateau.

0 comments: