26 Mac 2014

Punca suara serak, batuk lama


PENYAKIT berkaitan sistem gastro usus seperti pedih ulu hati atau masalah asid refluks (gastroesophageal reflux disease - GERD) dari perut yang menghakis struktur salur penghadaman, sebenarnya sudah menjadi sebahagian daripada statistik permasalahan kesihatan di Asia.

Tanyalah sesiapa saja, pasti ada yang tahu peritnya kalau ditimpa masalah pedih ulu hati ini. Namun, masalah GERD bukan saja pada sistem gastro usus tetapi juga boleh menjejaskan suara anda. Ada pesakit yang datang dengan sejarah penyakit GERD mengadu mereka suara menjadi serak selain tekak terasa masam atau batuk yang berpanjangan.

Namun, ada juga pesakit yang datang dengan masalah sebegini, selepas dikenal pasti mempunyai masalah GERD. 

Bagi pesakit GERD, masalah yang dialami sebenarnya mempengaruhi perubahan suara dan masalah lain di sekitar tekak. Jika dilihat anatomi manusia, saluran makanan kita bersambung dari mulut hingga ke anus. Di sepanjang laluan itu, makanan yang kita telan akan ‘dipindah-pindahkan’ bagi melancarkan proses pencernaan dan penyerapan.

Pemindahan makanan dari satu bahagian ke bahagian yang lain berlaku melalui bukaan-bukaan yang terdapat antara keduanya seperti antara esofagus dengan perut, atau perut dengan duodenum. Apabila keabnormalan berlaku baik pada kuantiti asid yang dihasilkan dalam perut, atau masalah lain pada saluran makanan yang sebelum ini berupaya menghalang asid daripada refluks maka ia akan melimpah keluar dengan jumlah yang melebihi had biasa.

Tidak kurang juga tabiat pemakanan menjadi faktor penggalak terjadinya masalah ini.  Keadaan refluks ini menyebabkan asid daripada perut berpotensi merebak keluar daripada rongga perut. Ia boleh merebak ke salur makanan (esofagus)  dan juga duodenum (bahagian pertama usus kecil).

Dalam keadaan normal, kuantiti asid yang kecil masih boleh diterima dinding esofagus dan mekanisme perut boleh mengurangkan gejala GERD. Bagaimanapun, jika asid ini berlebihan, kuantitinya dan naiknya pula mencapai tahap lebih tinggi iaitu sehingga ke permulaan esofagus iaitu di bahagian tekak (farinks) dan saluran pernafasan yang dipanggil larinks, asid ini akan termasuk ke dalam larinks. Ia akan menyebabkan gejala refluks laringofarinks (LPR) terjadi.


0 comments: