27 Mac 2014

Mati Kerana Resdung ?


Resdung, sejenis penyakit hidung yang terjadi akibat radang pada membran sinus. Sinus merupakan rongga dalam tulang muka yang mengandungi udara dan permukaannya diselaputi mukosa iaitu kulit yang mengeluarkan mukus atau hingus. Resdung dikatakan berpunca daripada alahan terhadap habuk, pijat, kutu atau makanan tertentu.

Sekiranya penghidap resdung tidak mendapatkan rawatan yang sewajarnya dengan segera, radang pada ruang sinus ini akan merebak dan menyebabkan radang pada tulang tengkorak (osteomyelitis). Radang tersebut seterusnya merebak ke mata menyebabkan kelopak mata membengkak dan sakit. Pandangan menjadi kabur dan adakalanya mata akan menjadi buta.

Di samping itu, radang ini boleh merebak ke tekak, selaput otak yang mengakibatkan meningitis dan ke otak menyebabkan otak bernanah. Penyakit resdung yang tidak dirawat boleh membawa maut!


Terdapat beberapa faktor yang telah dikenal pasti sebagai punca resdung. Antara yang utama:

· Jangkitan kuman seperti bakteria dan virus yang berulang kali pada rongga hidung yang kerap menyebabkan seseorang mendapat demam dan selesema. Penyakit resdung ini juga sering dikaitkan dengan ketumbuhan dalam hidung seperti ‘polyps’ dan kanser.

·Struktur tulang hidung yang tidak normal, contohnya patah akibat kemalangan menyebabkan seseorang berisiko mendapat penyakit resdung. Mereka yang mempunyai struktur hidung yang senget (deviated nasal septum) juga berisiko tinggi untuk mendapat resdung.

·Kuman atau bakteria yang berasal dari gigi atas yang sakit atau rosak akan merebak dengan mudah ke rongga sinus dan menyebabkan resdung. Rongga sinus yang terdapat di dalam tulang pipi merupakan rongga yang paling kerap mendapat sinusitis akibat kerosakan gigi.

·Kajian juga menunjukkan tabiat menyelam di air sungai atau kolam yang kotor serta laut yang tercemar boleh mengakibatkan resdung.

0 comments: