15 November 2010

Nikmat berhenti merokok

“BERHENTILAH merokok. Simpan duit itu untuk buat kebaikan,” pesan Mohammad Ameen, 30, bekas perokok tegar yang mula merokok sejak belasan tahun lagi itu.

Lelaki yang berasal dari England Utara itu pernah membelanjakan sehingga RM30 sehari untuk menampung kos ketagihannya itu.

Namun, pada bulan Ramadan 2008, beliau memutuskan untuk berhenti sepenuhnya menghisap 25 batang rokok sehari yang selama ini dilakukannya itu.

“Seorang cendekiawan memberitahu saya merokok itu haram kerana apabila seseorang itu merokok dia sebenarnya sedang memusnahkan dirinya sendiri.

“Kita semua tahu bahaya merokok jadi memang benarlah kita merosakkan tubuh kita.

“Tambahan pula, pakar perubatan mengatakan perokok sebenarnya sedang membunuh diri dengan perlahan,” ujarnya.

Bagaimanapun, ketika memutuskan untuk berhenti merokok, Mohammed Ameen sudah pun memasang niat yang besar.

“Ketika saya memutuskan untuk berhenti merokok saya juga berjanji untuk menggunakan wang perbelanjaan untuk rokok itu untuk melakukan penghijrahan spritual yang paling besar dalam hidup saya, iaitu mengerjakan haji,” kata Mohammed Ameen.

Kokain

Akuinya, sukar sekali untuknya berhenti merokok. Namun, Mohammed Ameen nekad bahawa ia bukan sesuatu yang mustahil untuk dilakukan walaupun adakalanya beliau sendiri berasa ragu-ragu usaha itu akan berhasil.

“Ia merupakan satu usaha yang paling sukar saya pernah lakukan dalam hidup saya kerana saya sangat seronok menghisap rokok, setiap batang yang pernah saya hisap.

“Jadi ketika berhenti merokok, ia amat sukar. Tetapi kerana saya sudah nekad dan sanggup mengharunginya, akhirnya saya berjaya juga.

“Selepas dua tahun, rasa mengidam untuk menghisap rokok sudah hilang tetapi keinginan itu masih ada. Keluarga saya juga sangat gembira apabila mereka tahu saya sudah berhenti merokok.

“Tak sangka saya berhabis sehingga RM14,991 untuk merokok dalam setahun!” luahnya.

Biarpun berat untuk ditanggung, Mohammed Ameen berasakan keputusan untuk berhenti merokok merupakan keputusan terbaik yang pernah dilakukan dalam hidupnya.

“Saya tahu pada bulan Ramadan ramai yang cepat-cepat merokok sebaik saja berbuka puasa. Tetapi kalau difikirkan sejenak, selepas menahan diri daripada merokok selama 18 jam kenapa tidak dilanjutkan tempoh itu sehingga 24 jam?

“Daripada menggunakan duit itu untuk melayan ketagihan seperti itu, lebih baik gunakannya untuk kebajikan.

“Ramai yang tidak sedar ada begitu banyak bahan kimia dalam sebatang rokok. Sejumlah 85 peratus daripada kes kanser paru-paru berlaku disebabkan tabiat merokok.

MOHAMMED AMEEN

“Malah, bukan perokok saja yang menderita, orang di sekelilingnya juga menyedut toksin berbahaya ketika berada dekat dengan mereka,” kongsi Mohammed Ameen.

Pada hari ini, Mohammed Ameen sudah berada di bumi Mekah dan bersedia untuk mengerjakan haji.

Malah, Penasihat Kesihatan Berhenti Merokok NHS itu kini menggunakan pengalamannya itu untuk menasihati perokok tegar yang lain agar mempertimbangkan keputusan untuk berhenti merokok.

“Saya bermula sebagai sukarelawan di sini tetapi kemudian saya berasa saya boleh memberi nasihat kepada orang lain.

“Memanglah saya sendiri berhenti merokok secara mengejut tanpa menggunakan sebarang bentuk gantian namun saya harap orang lain akan menggunakan apa jua bentuk bantuan yang diperlukan untuk berhenti merokok.

“Pergilah dapatkan nasihat daripada pusat-pusat pemulihan berdekatan tempat tinggal anda. Saya sudah berjumpa ramai perokok yang gagal berhenti merokok kerana mereka tidak mempunyai sokongan yang berterusan,” pesannya.


 
Baca Lagi...

13 November 2010

Punca suara serak, batuk lama

Berkait dengan masalah asid refluks, pedih ulu hati

PENYAKIT berkaitan sistem gastro usus seperti pedih ulu hati atau masalah asid refluks (gastroesophageal reflux disease - GERD) dari perut yang menghakis struktur salur penghadaman, sebenarnya sudah menjadi sebahagian daripada statistik permasalahan kesihatan di Asia.

Tanyalah sesiapa saja, pasti ada yang tahu peritnya kalau ditimpa masalah pedih ulu hati ini. Namun, masalah GERD bukan saja pada sistem gastro usus tetapi juga boleh menjejaskan suara anda. Ada pesakit yang datang dengan sejarah penyakit GERD mengadu mereka suara menjadi serak selain tekak terasa masam atau batuk yang berpanjangan.

Namun, ada juga pesakit yang datang dengan masalah sebegini, selepas dikenal pasti mempunyai masalah GERD.

Bagi pesakit GERD, masalah yang dialami sebenarnya mempengaruhi perubahan suara dan masalah lain di sekitar tekak. Jika dilihat anatomi manusia, saluran makanan kita bersambung dari mulut hingga ke anus. Di sepanjang laluan itu, makanan yang kita telan akan ‘dipindah-pindahkan’ bagi melancarkan proses pencernaan dan penyerapan.

Pemindahan makanan dari satu bahagian ke bahagian yang lain berlaku melalui bukaan-bukaan yang terdapat antara keduanya seperti antara esofagus dengan perut, atau perut dengan duodenum. Apabila keabnormalan berlaku baik pada kuantiti asid yang dihasilkan dalam perut, atau masalah lain pada saluran makanan yang sebelum ini berupaya menghalang asid daripada refluks maka ia akan melimpah keluar dengan jumlah yang melebihi had biasa.

Tidak kurang juga tabiat pemakanan menjadi faktor penggalak terjadinya masalah ini.  Keadaan refluks ini menyebabkan asid daripada perut berpotensi merebak keluar daripada rongga perut. Ia boleh merebak ke salur makanan (esofagus)  dan juga duodenum (bahagian pertama usus kecil).
Dalam keadaan normal, kuantiti asid yang kecil masih boleh diterima dinding esofagus dan mekanisme perut boleh mengurangkan gejala GERD. Bagaimanapun, jika asid ini berlebihan, kuantitinya dan naiknya pula mencapai tahap lebih tinggi iaitu sehingga ke permulaan esofagus iaitu di bahagian tekak (farinks) dan saluran pernafasan yang dipanggil larinks, asid ini akan termasuk ke dalam larinks. Ia akan menyebabkan gejala refluks laringofarinks (LPR) terjadi.

 Pensyarah Perubatan Telinga, Hidung dan Tekak,Pusat Pengajian Sains Perubatan Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian Kelantan, Dr Irfan Mohamad berkata, punca tunggal sebenar yang menyebabkan sesetengah orang mengalami LPR masih belum diketahui.

Jelasnya, pelbagai faktor risiko dan kaedah gaya hidup, dikaitkan dengan gejala suara serak dalam pesakit GERD ini. Bagaimanapun, di Amerika Syarikat, insidennya cukup tinggi sehingga boleh mencapai 50 peratus daripada  mereka yang mengalami masalah suara. Antara gejala LPR adalah suara serak, selalu berdehem (akibat tidak selesa pada tekak), terasa ada benda dalam tekak, sukar menelan makanan, rasa masam di bahagian tekak, batuk berpanjangan dan gangguan pernafasan.

“Gejala berkaitan suara dan pernafasan ini boleh berlaku secara berasingan atau mungkin juga secara serentak. Ini kerana dalam saluran pernafasan, ada struktur peti suara yang mengawal kualiti suara yang dituturkan.

 “Apabila berlaku radang kronik akibat asid yang terpercik daripada saluran makanan, simptom keradangan akan terjadi. Jika keradangan ini berlaku secara kronik dan berpanjangan, tisu granulasi pula akan terbentuk.

“Tisu ini jika cukup besar dan mengganggu saluran pernafasan. Jika tidak pun, peti suara yang secara kroniknya mengalami keradangan akibat asid, akan membengkak dan pembengkakan itu sedikit sebanyak akan mengganggu proses pernafasan,” katanya.

Mengenai rawatan, kata Dr Irfan, ia boleh dibahagikan kepada tiga cara iaitu ubah suai cara pemakanan dan gaya hidup, penggunaan ubat-ubatan atau pembedahan. Kombinasi kaedah rawatan ini, terutama amalan pemakanan dan ubat-ubatan sering kali umumnya berupaya menyelesaikan  LPR.

Ubah suai diet dan gaya hidup

Elak makanan berlemak/pedas, coklat dan kurangkan makanan berasid seperti sitrus, tomato. Pada masa sama, kurangkan minuman berkarbonat, berkafein dan alkohol. Jangan baring sehingga empat jam selepas makan, elak makan lewat malam, kurangkan berat badan, bersenam dan andai anda merokok, hentikanlah tabiat itu.

Ubat-ubatan

Ini secara umumnya diambil bagi mengurangkan asid di dalam perut dan ia perlu dimakan bagi jangkamasa yang agak panjang. Keberkesanannya mungkin mengambil sedikit masa untuk dilihat namun ia menjadi rawatan pilihan setakat ini bagi mereka yang disahkan mengalami LPR. Namun ia harus diambil mengikut preskripsi dan nasihat perubatan dari doktor yang mengesahkan penyakit ini.

Pembedahan

Pilihan rawatan ini digunakan bagi mengurangkan refluks. Bagaimanapun ia jarang diperlukan dan dilakukan oleh pakar bedah umum yang mana kes yang teruk akan dirujuk selepas kaedah lain tidak berkesan untuk mengawal simptom yang dialami.

Sebenarnya, jelas Dr Irfan pengesanan awal boleh membantu menangani masalah ini. Apa yang penting, pesakit mendapatkan rawatan, tidak kiralah untuk penyakit GERD yang dialami atau masalah perubahan suara.

INFO: Ubah suai gaya hidup
# Elak makanan pedas
# Kurang makanan berasid
# Kurang minuman berkarbonat
# Jangan baring selepas makan
# Elak makan lewat malam.


Baca Lagi...

Merawat wajah

Jerawat adalah masalah yang dihadapi sebahagian besar remaja sekarang. Lebih-lebih lagi, apabila parut jerawat meninggalkan kesan pada wajah.

WAJAH adalah bahagian yang sering menjadi perhatian, khususnya wanita. Untuk tampil memiliki wajah yang halus dan sihat, kita seharusnya menjaga kulit wajah sejak dari awal lagi atau sebaik-baiknya sejak dari usia belasan tahun.

Aktiviti harian biasanya memerlukan setiap daripada kita bergerak aktif dalam melakukan pelbagai aktiviti. Hal itu menyebabkan mereka sering terdedah dengan debu dan cahaya matahari yang terik.

Disini disenaraikan beberapa tip bagi merawat wajah :

1. Basuh muka Seelok-eloknya basuh muka setiap hari dengan menggunakan pembersih

wajah yang bersesuaian dengan kulit wajah anda.

Elakkan membasuh wajah ketika anda berpeluh. Ia bertujuan bagi mengelakkan wajah anda ditumbuhi panau.

Setiap kali bangun tidur, selepas melakukan aktiviti dan sebelum tidur adalah masa yang paling sesuai untuk remaja membersihkan wajah.

Bagi yang memiliki kulit wajah berminyak, seelok-eloknya anda gunakan pembersih wajah yang mengandungi benzoil peroksida atau asid salisilik bersama penyegar.

Sementara untuk mereka yang memiliki kulit kering atau normal, sebaiknya menggunakan pembersih wajah yang lembut.

2. Gunakan krim pelindung matahari Umumnya, aktiviti luar yang dilakukan menyebabkan remaja sering terdedah di bawah sinaran matahari yang terik. Justeru, bagi mengelak pendedahan sinar matahari secara langsung yang boleh merosakkan kulit, gunakan krim pelindung matahari yang sesuai dengan tempoh waktu anda mendedahkan kulit wajah pada sinar mentari. Lagi lama anda terdedah pada sinar matahari, maka lebih tinggi SPF bagi krim pelindung yang digunakan.

MENJAGA kebersihan wajah perlu menjadi rutin harian remaja. - Gambar hiasan

3. Rawat kulit setiap hari Bagi remaja yang tidak menghadapi sebarang masalah kulit, tugas menjaga wajah akan menjadi lebih mudah. Mereka hanya perlu melakukan perawatan wajah iaitu pembersihan dan penyegaran pada setiap hari.

Jika kulit anda cenderung berjerawat, ada baiknya melakukan rawatan tambahan seperti berikut:

* Gunakan masker untuk jerawat seelok-eloknya seminggu sekali. Fungsinya untuk membuang lebihan lemak dan mengecilkan pori-pori (khusus untuk kulit berminyak).

* Menggunakan ubat jerawat yang sesuai dan pakai hanya pada bahagian wajah yang ditumbuhi jerawat.

4Perawatan Jerawat adalah masalah yang dihadapi sebahagian besar remaja sekarang. Lebih-lebih lagi, apabila parut jerawat meninggalkan kesan pada wajah.

* Aplikasikan krim antijerawat yang mengandung benzoil peroksida, asid glikolik dan asid salisilik ke bahagian yang bermasalah.

* Gunakan krim malam yang menghilangkan noda bekas jerawat.

* Pada waktu pagi, jangan lupa menggunakan krim pelindung matahari bebas minyak di seluruh wajah.

* Hindari daripada memicit atau menggaru wajah dengan menggunakan jari. Dalam kuku dan jari kita terdapat banyak kekotoran yang tidak diketahui dan ia boleh merosakkan wajah.

* Banyaklah minum air putih.

* Jika anda memiliki parut jerawat yang ketara, atasi masalah tersebut dengan menggunakan krim atau bedak asas.

* Jangan menggosok wajah. Kulit yang berjerawat adalah kulit yang mengalami iritasi. Jika anda menggosoknya, ia akan pecah dan pori-pori akan membesar.

* Jika masalah jerawat sudah sampai ke tahap teruk, segera berjumpa doktor bagi mengatasi masalah tersebut.

* Sebelum tidur malam, oleskan limau nipis atau tomato pada wajah dan bersihkannya pada keesokan hari. Ia boleh mengecutkan jerawat.  




 
Baca Lagi...

12 November 2010

Mendalami punca strok

SERANGAN strok atau angin ahmar boleh mengubah kehidupan seseorang untuk sepanjang hayatnya. Ini kerana jika mangsa serangan strok terselamat daripada maut, kebiasaannya akan mengalami lumpuh dan lemah anggota badan sama ada sebelah tubuh atau keseluruhan badan.

Presiden Persatuan Neurosains Malaysia, Prof. Dr. Hamidon Basri berkata, ramai yang mengetahui kewujudan penyakit ini tetapi tidak ramai yang mengetahui sejauhmana ia boleh menyerang dan kekerapan serangannya terhadap mangsa.

''Penyakit strok tidak boleh dipandang mudah, ia mampu merubah kehidupan seseorang dan lazimnya pesakit memerlukan penjagaan yang rapi sepanjang hayatnya,'' katanya

Beliau yang juga seorang pakar runding neurologi, berkata, kira-kira 40,000 rakyat Malaysia diserang strok setiap tahun, tetapi tidak ramai yang sedar bahawa mereka mempunyai risiko besar terhadap penyakit tersebut.

Malah hanya segelintir sahaja yang mengetahui tanda amaran atau maklum tentang apa yang patut dilakukan sekiranya disyaki mengalami strok.

Tegasnya lagi, strok merupakan masalah kesihatan yang diakibatkan oleh salur darah tersumbat dan gangguan bekalan darah ke bahagian-bahagian otak yang mengakibatkan bahagian tersebut tidak mendapat cukup oksigen.

Biasanya penyakit ini menyerang seseorang secara tiba-tiba sehingga boleh menyebabkan kematian atau lumpuh separuh badan.

Strok juga dikenali sebagai 'serangan otak' kerana strok berlaku apabila aliran darah ke otak terganggu.

"Kejadian ini boleh berlaku dalam dua cara yang berbeza, apabila salur darah di dalam otak pecah (dikenali sebagai strok berdarah) atau apabila terdapat salur darah tersekat (yang dikenali sebagai strok iskemia),'' kata Dr. Hamidon lagi.

Menurut beliau, orang ramai juga perlu memahami bahawa strok, khususnya strok iskemia boleh dirawat secara berkesan untuk mengurangkan kerosakan kepada otak.

Jelasnya lagi, serangan strok boleh berlaku secara tiba-tiba dan pesakit tidak mengalami sebarang tanda amaran kedatangan penyakit ini sehinggalah tiba waktunya dia mengalami rasa lemah-lemah dan lumpuh sebelah badan sama ada kiri atau kanan.

''Lemah dan lumpuh akibat strok ini akan menyebabkan mangsa mengalami kesukaran untuk bercakap atau kemungkinan kehilangan terus keupayaan bercakap atau dikenali sebagai aphasia.

''Antara masalah lain ialah kemungkinan berlakunya gangguan pada bahagian otak yang lebih penting peranannya,'' katanya ditemui pada majlis pelancaran Kempen 1 Misi 1 Juta Mendalami Punca Strok.

Menurut Dr. Hamidon lagi, lagi, bukan semua jenis strok akan menyebabkan lumpuh. Ini kerana gangguan saraf berlaku jauh daripada bahagian otak yang mengawal pergerakan.

Katanya lagi, otak sama seperti bahagian tubuh yang lain, harus menerima bekalan berterusan melalui pembuluh darah dan arteri.

''Jika salah satu daripada arteri tersumbat, bahagian otak yang tidak mendapat bekalan darah akan mati kerana tidak mendapat bekalan oksigen," katanya.


Baca Lagi...

08 November 2010

Risiko tersedak susu

Kecuaian ibu bapa, pengasuh tak endah teknik penyusuan botol punca tragedi

TIGA kes berbeza membabitkan mangsa berlainan tetapi berkongsi punca sama - kematian akibat tersedak susu. Kejadian itu sudah pasti membimbangkan ramai ibu bapa, khususnya yang terpaksa bergantung harap kepada perkhidmatan pusat jagaan kanak-kanak.

Ibu bapa mana yang dapat menerima berita buruk apabila permata hati yang baru mengenali dunia, hilang sekelip mata. Lebih dikesali, kematian insan tersayang akibat punca yang sememangnya boleh dielakkan andai semua pihak, khususnya yang menjaga bayi berkenaan, lebih bertanggungjawab menjaga bayi itu.

Namun, perlu diingat, kejadian seumpama itu tidak hanya membabitkan pusat jagaan, sebaliknya boleh berlaku di mana-mana. Apalagi ia membabitkan risiko ketika memberi susu botol kepada si kecil berkenaan.
Persoalannya, bagaimanakah kejadian tersedak susu itu boleh berlaku?

Pakar Perunding Pediatrik, Pusat Perubatan Darul Ehsan Shah Alam, Dr Varughese Koshy, berkata, tidak dinafikan, bayi sememangnya berisiko untuk tersedak ketika menyusu terutama jika mereka yang berusia di bawah setahun.

Malah, katanya, semakin kecil usia mereka, semakin tinggi risiko untuk tersedak ketika menyusu.

“Dua fakta yang utama, sistem pertahanan tubuh yang belum matang dan kecuaian ibu bapa atau pengasuh mengenai keselamatan anak-anak menyumbang kepada kejadian tersedak susu ini.
“Walaupun ia bukan kes yang terlalu kerap dilaporkan tetapi kecuaian boleh menyebabkan ia terjadi. Setiap bayi sememangnya berisiko untuk mengalami masalah ini,” katanya.

Dr Varughese turut mengingatkan, bayi juga tidak hanya berisiko tersedak susu tetapi juga pelbagai jenis makanan lain. Ini seperti kekacang, ketulan daging atau ikan yang dipotong dalam saiz besar atau disediakan dengan tidak sempurna seperti tidak dihancurkan sebaiknya hingga menyukarkan mereka untuk menelan.

Katanya, berbanding orang dewasa, sistem pertahanan tubuh bayi juga belum terbentuk dengan sempurna. Dan bagi kes tersedak susu, ia membabitkan pembentukan ‘cough reflex’ yang belum cukup matang.

‘Cough reflex’ merujuk komponenan sensori dan motor, iaitu sebahagian daripada mekanisme pertahanan badan yang sangat penting. Sistem pertahanan tubuh ini memungkinkan reseptor batuk dalam epithelium di laluan pernafasan sangat sensitif pada stimulasi mekanikal ataupun kimia.

Stimulasi pada reseptor batuk bertindak mengeluarkan bahan asing daripada sistem pernafasan sebelum ia sampai ke paru-paru.

“Keadaan itu menyebabkan bayi sukar untuk mengeluarkan bahan asing atau yang tidak dikehendaki, termasuklah cecair seperti susu daripada tekak.

“Otot mereka masih kecil untuk bertindak sedemikian,” katanya.

Sehubungan itu, kata Dr Varughese, tiada cara yang lebih berkesan bagi mengelak permasalahan atau risiko itu kecuali ibu bapa atau penjaga bersikap lebih prihatin dalam penjagaan bayi.

“Jangan sesekali tinggalkan mereka sendirian ketika menyusu. Walaupun anda berada di sebelah bayi itu sekali pun, jangan biarkan mereka menyusu dengan bertindak menjadikan bantal sebagai bahan penyendal atau penahan botol susu.

“Sebaliknya, cara terbaik adalah memegang botol susu itu. Pada masa sama, pantau sesi penyusuan itu,” tegasnya.

Dr Varughese berkata, ibu bapa juga perlu prihatin aspek pemilihan puting botol susu yang digunakan.

Ini kerana, lubang puting yang besar menyebabkan susu mengalir terlalu laju yang memudahkan mereka tersedak.

Begitu juga ketika memberi mereka makan, ibu bapa atau pengasuh perlu peka untuk melihat keupayaan anak sama ada si kecil itu sudah berupaya mengunyah makanan dengan baik atau sebaliknya.

“Tidak semua makanan mesti dihancurkan sebelum disuap kepada anak. Sebaliknya, potong makanan dalam saiz kecil yang bersesuaian dengan keupayaan anak untuk mengunyah atau menelan.

Info: Cara betul/teknik menyusu bayi

* Ini bergantung pada cita rasa dan pilihan anda. Anda boleh menyusu sambil duduk, berbaring atau serong sebelah.

* Tentukan kedudukan anda betul. Bermakna cara anda duduk atau baring, memegang bayi dan bagaimana bayi menyesuaikan mulutnya apabila menyusu.

* Bayi perlu diampu dengan baik. Anda boleh duduk bersandar di atas katil dengan kepala bayi di atas lengan atau duduk bersandar di kerusi.

* Jangan bersandar terlalu jauh daripada bayi sehingga susah ia mencapai puting payu dara. Jangan terlalu membongkok sehingga terlalu rapat dengan bayi.


* Gunakan sesuatu seperti bantal, kusyen, atau bahan yang lembut tapi kukuh untuk bersandar atau merehatkan kaki agar dapat menyokong anda dan bayi.



Perkara perlu dielak

* Jangan sekali-kali tinggalkan bayi sendirian ketika menyusu.

* Jangan jadikan bantal atau kusyen sebagai penahan atau penyendal botol susu yang diberi kepada si kecil, sebaliknya pegang botol susu itu.

* Pantau sesi penyusuan itu bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.

* Jangan pandang remeh pembelian puting susu. Sebaliknya, peka kepada aspek lubang puting itu kerana lubang besar juga berisiko menyebabkan bayi tersedak susu.


 
Baca Lagi...

06 November 2010

Telefon bimbit beri kesan kepada kulit

Awas jika anda sememangnya menghidap masalah alahan kulit dan pada masa sama, adalah pengguna setia telefon bimbit.

Penyelidikan terbaru saintis Jepun mendakwa radiasi telefon bimbit boleh memberi kesan alahan kepada mereka yang menghidap masalah seperti eczema atau dermatitis, lapor sebuah akhbar Britain kelmarin.

Dr Hajime Kimata kali pertama membuat penemuan itu dua tahun lalu tetapi melakukan penyelidikan lanjut, baru-baru ini.

Menerusi kajian itu, dia mendapati darah beberapa pengguna telefon bimbit itu mempunyai paras bahan kimia yang tinggi dan dihasilkan sistem daya tahan badan sebagai kesan reaksi alahan.

Kajiannya itu sekali gus mengesahkan kaitan alahan kulit dengan telefon bimbit biarpun penyelidikan mengenai kesan sebenar alat komunikasi itu, termasuk kesannya kepada kesihatan pengguna, sedang dilakukan.

Pakar kesihatan Britain sebelum ini menolak kaitan telefon bimbit boleh menjejaskan kesihatan.

Namun, kajian membandingkan pengguna telefon di bandar dan pedalaman bulan lalu, menunjukkan mereka di kawasan kampung lebih berisiko mengalami masalah ketumbuhan otak disebabkan pancaran lebih tinggi diperlukan berbanding di bandar yang banyak stesen pemancarnya.

Malah, saintis turut menasihati agar kanak-kanak tidak menggunakan telefon bimbit, kecuali bagi kes kecemasan.

Pakar alahan Britain menganggap kajian Dr Kimata itu menarik biarpun tiada sebarang penjelasan saintifik bagaimana radiasi itu boleh meningkatkan reaksi alahan kulit berkenaan. – Agensi



 
Baca Lagi...

05 November 2010

Gastrik dan Ulser

Apakah sistem Gastrousus?

Sistem gastrousus dikenali juga sebagai sistem penghadaman. Ia terbahagi kepada bahagian atas dan bawah. Sistem penghadaman bahagian bawah terdiri daripada esofogus, perut, deudenum, jejunum dan ileum.

Dalam keadaan normal, esofogus menyalurkan makanan dari mulut ke dalam perut melalui proses peristalsis (pengecutan dan pengenduran otot). Di hujung bahagian bawah esofogus terdapat sfinkter yang membenarkan dan mengawal makanan masuk ke dalam perut serta menghalang kandungan dalam perut untuk masuk semula ke dalam esofagus. Proses di mana makanan dalam perut masuk semula ke dalam esofogus dikenali sebagai refluks.

Perut terdiri daripada dua bahagian: proksimal dan distal yang berfungsi untuk mengosongkan bahan yang berbentuk cecair dan pepejal. Di perut terdapat sfinkter yang mengawal pengosongan perut. Perut yang mengeluarkan beberapa jenis rembesan seperti enzim pepsin dan asid hidroklorik yang menjadikan jus dan cecair gastrik yang diperlukan untuk mencerna makanan. Rembesan cecair gastrik berlaku dalam beberapa keadaan atau fasa. Dalam fasa sefalik, rembesan perut dapat dihasilkan biarpun ketika seseorang sedang berpuasa. Dalam fasa gastrik, kehadiran makanan dalam perut akan merangsang rembesan perut. Satu lagi fasa ialah intestinal. Dalam fasa ini, rembesan boleh direncat atau dirangsang oleh beberapa jenis bahan kimia.

Faktor merangsang dan merencat rembesan perut

Terdapat beberapa bahan kimia dalam perut yang boleh merangsang penghasilan cecair atau rembesan perut. Antaranya ialah asetilkolin, hormon gastrin, histamin dan enzim protein kinase. Bahan-bahan kimia ini dihasilkan daripada rangsangan bahan seperti asid amino, peptid, alkohol dan kalsium.

Sebaliknya, tedapat beberapa bahan yang boleh merencat rembesan perut. Antaranya ialah bahan berlemak, larutan yang tinggi kepekatannya dan kandungan gula yang tinggi dalam darah. Rembesan perut boleh menghakis dan mencederakan lapisan dalam perut. Namun, lapisan gel mukus yang dihasilkan dalam perut mampu melindungi perut daripada sebarang kecederaan dan dengan cepat. Proses ini biasanya memakan masa sehingga 30 minit. Proses pertahanan dan pembaikan lapisan perut dan usus merupakan faktor utama yang menentukan kejadian ulser peptik.

Bahagian duodenum menerima dan menyimpan makanan yang telah dihadamkan. Makanan itu kemudiannya disalurkan ke bahagian distal perut. Di sini rembesan gastrik bercampur dengan makanan sebelum disalurkan ke bahagian duodenum (bahagian atas usus kecil). Kadar pengosongan perut dipengaruhi oleh beberapa perkara seperti hormon, larutan yang pekat, larutan berasid, bahan berlemak dan perut yang distensi (kembung).

Perut sentiasa terdedah kepada persekitaran luar kerana pelbagai bahan dapat masuk ke dalamnya. Inflamasi atau radang yang akut (segera) atau kronik (berpanjangan) dapat berlaku kepada sistem gastrousus jika mekanisme pertahanan gagal mengawal keadaan.

Jenis gangguan sistem gastrousus

Terdapat dua masalah utama yang berlaku kepada sistem gastrousus:

a) Masalah akut pada bahagian atas sistem gastrousus

Refluks gastroesofagus

Aliran kandungan daripada perut atau deudenum ke bahagian esofagus. Kesannya bergantung kepada campuran asid, pepsin, garam hempedu dan enzim.

Gastritis

Inflamasi pada bahagian lapisan perut. Antara perkara yang menyebakan keradangan ialah ubat, termakan bahan yang menghakis atau tekanan emosi.

Esofagitis

Inflamasi pada bahagian esofagus akibat aliran berlawanan kandungan di dalam duodenum. Kandungan ini mungkin mengandungi hempedu enzim atau alkali.

Dispepsia (bukan ulser)

Ketidakselesaan bahagian atas abdomen yang sekejap-sekejap selepas makan. Masalah ini dikaitkan dengan gangguan fungsi atau keupayaan penghadaman.



Ulser akibat ubat dan bahan kimia

Hakisan dan kecederaan pada bahagian lapisan perut dan usus. Bahan-bahan seperti ubat, alkohol, kafein dan asap rokok boleh menyebabkan keadaan ini.

Ulser akibat tekanan

Hakisan dan kecederaan pada bahagian lapisan perut (bahagian utama), duodenum dan esofagus akibat tekanan emosi.

b) Masalah kronik pada bahagian atas sistem gastrousus


Gastritis kronik

Berlaku kecederaan berpanjangan yang boleh memberi kesan negatif kepada fungsi perut untuk menghasilkan rembesan bagi proses penghadaman. Terdapat kaitan yang rapat antara masalah ini dengan tabiat merokok.

Penyakit ulser peptik

Secara umum, ulser dalam perut dan duodenum dikenali sebagai ulser peptik. Ini merupakan masalah kronik tetapi kadangkala pesakit boleh mendapat serangan akut (secara tiba-tiba). Kajian menunjukkan bahawa ulser peptik disebabkan oleh kuman Helicobacter Pylori. Kuman ini kerap hadir bila berlaku keradangan pada bahagian lapisan perut.

Selain itu, ia ada kaitan dengan kesan menghakis asid dan pepsin. Bahagian yang paling kerap menghadapi masalah ini ialah duodenum dalam perut. Masalah ulser peptik membawa implikasi kesihatan dan ekonomi yang serius. Kos rawatan agak mahal kerana ia melibatkan kemasukan ke haspital, kos profesional kesihatan dan kos ubat-ubatan serta kos daripada sudut kehilangan produktiviti akibat tidak dapat bekerja dalam tempoh yang lama.

Ulser gastrik

Merujuk kepada ulser perut. Pesakit mungkin mempunyai kandungan asid yang rendah atau normal. Ulser gastrik peringkat primer dikategorikan oleh rembesan asid yang sedikit, manakala ulser gastrik sekunder akibat ulser duodenal dikategorikan oleh rembesan asid yang tinggi. Pesakit sering merungut kesakitan dan pendarahan berlaku pada bahagian gastrousus. Darah boleh dikesan dalam muntah atau najis.


Kesakitan dirasakan dalam tempoh 30 hingga 60 minit selepas makan dan kekal selama 60 hingga 90 minit. Ini kerana makanan yang masuk ke dalam perut akan mengembangkan bahagian perut serta merangsang rembesan asid. Pesakit akan kerap berasa sakit apabila makan dan ini akan membuatkan pesakit tidak mahu makan dan mengakibatkan kehilangan berat badan.

Ulser duodenal

Ia disebabkan oleh rembesan asid dan pepsin yang terlalu banyak. Pesakit berasa sakit dua hingga tiga jam selepas makan dan boleh berterusan sehingga waktu makan yang selanjutnya. Ia berlaku apabila perut kosong. Sebaliknya pesakit ulser duodenal mempunyai selera makan yang baik dan peningkatan berat badan berlaku akibat pengambilan makanan yang kerap untuk mengurangkan atau mencegah rasa sakit.

Antara faktor yang menyebabkan ulser ialah gaya hidup, merokok, kafein, alkohol, tekanan, asid dan pepsin, dan kuman bakteria Helicobactor pylori.

Rawatan

Pesakit boleh memilih sama ada untuk merawat sendiri atau merujuk kepada doktor. Kesemua in bergantung kepada tahap serta jenis masalah yang dialami oleh individu. Jika rungutan berkaitan dengan maslah bahagian atas sistem gastrousus seperti gastritis akut tanpa pendarahan dan redluks, pesakit boleh mengamalkan swa-pengubatan dengan berjumpa ahli farmasi dan mendapatkan nasihat serta ubat yang sesuai. Ubat dalam kumpulan antasid hanya boleh disarankan jika pesakit mengalami serangan akut atau maslah tersebut disebabkan oleh jenis dan jumlah makanan yang dimakan, pengambilan minuman beralkohol atau tekanan emosi.

Individu yang mengalami masalah yang akut tetapi terdapat tanda-tanda yang menunjukkan berlaku kecederaan yang teruk pada bahagian lapisan perut, pesakit tersebut harus dirujukkan kepada doktor. Pemerhatian doktor sangat penting jika individu mengalami gangguan yang kronik atau menghidap penyakit ulser. Ini penting kerana pesakit mungkin mengalami masalah lain seperti kanser pada bahagian perut atau duodenum. Gastritis akut yang berlaku berulang-ulang boleh mengakibatkan ulser gastrik.

Beberapa kelas ubat-ubatan boleh digunakan bergantung kepada jenis dan tahap masalah tersebut. Secara ringkas, ia terdiri daripada kumpulan antasid, kumpulan antibiotik, kumpulan antagonis (atau penghalang) reseptor H2, penghalang pam asid dan ubat-ubatan pelindung lapisan mukosa.

Dengan adanya pengetahuan tentang proses berlaku gastitis dan ulser, faktor penyebab dan rawatan yang tepat, masalah yang dihadapi oleh individu boleh dirawat.Namun apa sahaja yang melibatkan ketidakselesaan yang melibatkan abdomen kita.



 
Baca Lagi...

04 November 2010

Cedera jiwa

BUNYI ciut tayar kereta sewaktu membrek di luar rumah membuatkan Nina gelisah. Bukan sekali dua dia berkeadaan begitu malah, setiap kali mendengar bunyi tayar berdecit atau melihat paparan kemalangan dalam berita televisyen, tiba-tiba sahaja jantungnya berdegup kencang.

Walaupun terselamat dalam satu kemalangan beberapa tahun lalu, Nina mendapati dia mudah resah, panik dan tersentak sewaktu tidur. Situasi yang berlarutan itu menyebabkan Nina menjadi seorang yang murung.

Mengulas kejadian cedera jiwa yang dialami Nina, Pakar Runding Psikiatri, Dr. Daniel Zainal Abdul Rahman menjelaskan, apa yang dilalui Nina ialah simptom klasik gangguan tekanan pascatrauma (PTSD).

Jelas beliau, keadaan tersebut berlaku apabila seseorang terdedah kepada satu peristiwa buruk hingga membawa kepada trauma.

Trauma, menurut Daniel, adalah peristiwa yang tidak biasa dialami dalam kehidupan seharian seseorang.

Gemuruh

“Seringkali ia dikaitkan dengan keadaan anggota tentera Amerika Syarikat (AS) yang pernah bertugas di Vietnam dan mengalami pelbagai kejadian dramatik,” katanya yang ditemui di Hospital Pantai Kuala Lumpur baru-baru ini.

KESAN trauma akibat peristiwa mencemaskan mungkin berlarutan sehingga bertahun lamanya. - Gambar hiasan

Sambung beliau, penyebab PTSD mungkin berdasarkan beberapa faktor selepas sesuatu insiden sama ada ia berlaku pada diri sendiri atau hanya melihat insiden tersebut.

Jelasnya, terdapat tiga faktor yang berkait rapat iaitu faktor kecenderungan, pencetus dan kemudaratan.

“Bagi mereka yang datang daripada keluarga yang mempunyai darah gemuruh, kecenderungan untuk mendapat PTSD adalah tinggi.

“ Ini kerana urat saraf yang membawa bahan kimia untuk mengawal gemuruh tidak stabil,” ujarnya.

Selain itu, peristiwa seperti kemalangan atau rogol boleh menjadi pencetus kepada penyakit itu.

Jelas Daniel, bukan luar biasa sekiranya sesuatu insiden yang dipendam selama bertahun-tahun akan tercetus semula.

“Ia umpama api dalam tanah gambut yang menunggu masa untuk marak kembali,” ungkapnya yang turut menyatakan, individu yang mempunyai personaliti pendiam atau suka memendam perasaan berisiko mengalami PTSD.

Jelas Daniel, antara kes yang pernah ditangani olehnya ialah pesakit yang dirogol ahli keluarga terdekat sewaktu kecil.

Perkara tersebut dipendam hinggalah ia tercetus kembali ketika mahu berkahwin atau menjalinkan hubungan dengan seseorang.

“Perasaan trauma akan menghantui individu tersebut kerana ia seolah-olah memantulkan kembali memori silam ketika dirogol walaupun dalam perspektif berbeza,” dedah Daniel sambil memberitahu PTSD boleh tercetus walaupun melibatkan perkara kecil.

ROGOL merupakan insiden klasik dalam menterjemahkan keadaan PTSD terutama apabila ia dilakukan oleh orang yang dikenali. - Gambar hiasan

Termasuk dalam kategori gangguan keresahan, pesakit PTSD juga mengalami serangan panik, kemurungan, cepat berdebar atau gangguan tidur.

Sebenarnya, PTSD mula dikaji selepas tamat Perang Bosnia terutama di kawasan Sebrenica yang menjadi lokasi pembunuhan beramai-ramai.

Kajian dilakukan ke atas wanita yang dirogol oleh tentera Serb di hadapan suami mereka.

Berdasarkan temu bual dan pemerhatian, kebanyakan suami mangsa rogol mengalami PTSD.

“Keadaan tidak dapat berbuat apa-apa membuatkan rata-rata suami mangsa rogol khususnya yang sedang mengandung menghidap PTSD walaupun cuma melihat kejadian tersebut.

“Ia mengambil masa yang cukup lama sebelum mereka menyedari perkara tersebut,” kata Daniel.

Tambah Daniel, keadaan yang sama dialami veteran perang AS di Vietnam atau mangsa kemalangan, mangsa dera atau sesuatu yang melibatkan antara hidup dan mati.



 
Baca Lagi...

03 November 2010

Kuasa buah

Ketahui khasiat sebenar makanan wajib bantu ubati, hindari penyakit

BUAH-BUAHAN memiliki kandungan gizi, vitamin dan mineral yang sangat baik untuk tubuh. Khasiat buah-buahan diletakkan pada aras dua Piramid Makanan bersama sayur-sayuran. Pengambilan buah-buahan mengikut jumlah hidangan mencukupi dapat memastikan tubuh badan dan otak kita menerima semua nutrien mencukupi bagi membolehkan ia berfungsi dengan baik.

Malangnya, berapa ramai antara kita tahu kelebihan sebenar khasiat buah-buahan kecuali vitamin C yang sudah terlalu kerap dikaitkan dengan buah-buahan tertentu seperti oren dan epal.
Bagaimana pula dengan aspek lain buah-buahan seperti khasiatnya membantu mengurangkan penyakit?

Pakar Diet Klinikal, Pusat Perubahan Gaya Hidup, Pusat Perubatan Prince Court, Tan Yen Sing menjelaskan, kajian menunjukkan pengambilan lebih daripada lima hidangan buah-buahan dan sayur-sayuran sehari dikatakan boleh mengurangkan sehingga 17 peratus penyakit jantung koronari.

“Pada 2005, 17.5 juta orang mati akibat penyakit kardiovaskular iaitu 30 peratus daripada jumlah kematian global. Pemakanan yang baik adalah pendekatan terbaik untuk mencegah penyakit dan penjagaan kesihatan.

“Nutrien adalah khasiat yang mesti kita peroleh daripada makanan. Khasiat pemakanan ini adalah penting untuk pertumbuhan dan penjagaan tubuh badan sepanjang hayat,” katanya.
Lebih menarik lagi, hasil penyelidikan mengenai manfaat buah-buahan kepada kesihatan turut dikongsi pada kempen kemasyarakatan, Kesihatan Itu Kekayaan anjuran MBG Fruitshop di Jaya 33, Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Antara fakta menarik yang dikongsi termasuk, ramai tidak tahu pisang membantu menentang kemurungan. Selain itu, antioksidan daripada buah-buahan dan sayur-sayuran mengurangkan risiko kanser esofagus; buah kiwi meningkatkan kesihatan seksual lelaki dan kismis membantu menjaga kesihatan gigi serta pembangunan mental kanak-kanak.

Bagi kanak-kanak misalnya, buah-buahan yang kaya dengan pelbagai khasiat seperti karbohidrat, mineral dan vitamin penting dalam pertumbuhan mental fizikal mereka. Karbohidrat dalam buah-buahan misalnya, adalah dalam bentuk gula yang menyumbang kepada tenaga badan. Selain itu, buahan-buahan juga tinggi dengan serat yang membantu dalam mengelak masalah sembelit terutama di kalangan kanak-kanak.

Khasiat buah-buahan:

# Anggur/kismis
Mengurangkan risiko kanser; strok; penyakit jantung dan hilang ingatan; antipenuaan; antioksidan; antiradang; kesihatan kulit; mata; kardiovaskular; kesihatan gastrik; kesihatan saluran kencing dan penyakit gusi.

# Buah oren
Kesihatan jantung; penglihatan; pelalian dan mengurangkan risiko penyakit kanser. Pada masa sama, buah sitrus ini turut memiliki kelebihan sebagai antioksidan; membantu perkembangan otak janin dan mengawal tekanan darah.

# Buah Epal
Pengambilannya yang kerap dikatakan dapat mencegah dementia atau nyanyuk; mencegah kenaikan berat badan; menurunkan kolesterol; menentang kanser dan antioksidan.

# Buah pear
Bersifat antioksidan; menjaga kesihatan kardiovaskular; antiradang; menjaga kesihatan jantung; menyembuhkan luka dan lebam; membaiki tisu; menjaga kesihatan penglihatan; menentang jangkitan; menyokong transmisi saraf dan melawaskan perut.

# Pisang kaki
Menjaga kesihatan penglihatan, melegakan sembelit, cirit-birit, hemoroid (buasir) dan antioksidan.

# Mangga
Anti kanser; menjaga kesihatan penglihatan; membantu penghadaman; menjaga kesihatan kulit; membantu membaiki kesihatan seksual; menambah berat badan; menguatkan daya ingatan; berfaedah untuk anemia (kurang darah) dan mencegah selaran panas.

# Kiwi
Buah yang kaya dengan vitamin C dan berasal dari New Zealand ini membantu mengatasi insomnia (sukar tidur); mencairkan darah untuk kesihatan kardiovaskular (menurunkan kolesterol dan trigliserida); membantu membaiki pernafasan kanak-kanak (pendek nafas dan batuk malam); mencegah kerosakan kulit yang menyebabkan kanser kulit; menjaga kesihatan penglihatan; kesihatan kolon dan kesihatan prostat.

# Pisang
Bagi mereka yang mudah stres atau alami tekanan, buah pisang boleh menjadi pilihan. Ini disebabkan ia kaya khasiat antikemurungan (membantu membaiki mood dan tidur); antioksidan; mengawal tekanan darah; meningkatkan daya tumpuan dan menguatkan ingatan; meningkatkan tenaga; menjaga kesihatan jantung; mengurangkan risiko kanser; menentang ulser peptik; melegakan cirit-birit dan sembelit.



 
Baca Lagi...

31 Oktober 2010

Cuci tangan cegah jangkitan

Ketika seluruh dunia dilanda kebimbangan kemunculan pelbagai wabak, banyak pihak mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengambil pelbagai langkah berjaga-jaga untuk mengelak jangkitan.

Menyedari akan kepentingan penjagaan kesihatan diri, rangkaian penjagaan diri antibakteria Antabax dan Kementerian Kesihatan baru-baru ini melancarkan program kesedaran dan pendidikan bersama menerusi Kempen Kebersihan Tangan 1Malaysia sepanjang bulan Oktober ini.

Usaha murni itu juga turut mendapat sokongan Hospital Sungai Buloh dan juga hospital-hospital di seluruh negara, pengusaha restoran dan 33 buah sekolah.

Kempen tersebut dijangka membabitkan penyertaan lebih dua juta orang dari pelbagai peringkat. Ia juga dipercayai menjadi kempen kebersihan tangan haisl kerjasama jabatan kerajaan dan swasta yang terbesar di negara ini.

Kempen tersebut menumpukan perhatian kepada golongan muda termasuk murid-murid sekolah di mana golongan tersebut yang paling mudah terdedah dengan risiko jangkitan virus dan penyakit berjangkit.

''Mencuci tangan dengan sabun antara cara yang paling berkesan dan mampu mencegah daripada dijangkiti penyakit,'' katanya pada majlis tersebut.

Katanya, melalui kempen ia menjadikan pelajar dan guru sebagai duta untuk mengelakkan risiko jangkitan dan penyakit melalui udara.

Katanya lagi, kempen melalui sekolah sebenarnya mampu dihebahkan lebih cepat berbanding saluran lain dan konsep mulut ke mulut mampu memberikan latihan, didikan dan kesedaran mengenai aspek kesihatan yang betul.

Selaras isu semasa, kaedah mencuci tangan dengan betul dikatakan mampu mengelakkan masalah wabak HFMD yang kian hangat diperkatakan kini.

Malahan, wabak seperti selesema, batuk dan jangkitan kerongkong yang ketara meningkat akibat cuaca juga bakal berkurangan.

Seeloknya, beliau mencadangkan individu terutama pengguna perkhidmatan awam agar menyediakan tisu, sapu tangan atau sanitizier apabila bersin atau batuk di tempat umum.

''Apabila bersin atau batuk di tempat awam, secara automatik kita menyebarkan virus di udara. Jadi, tutup mulut dan hidung dengan tisu atau sapu tangan.

"Jika tidak ada jangan pula tahan dengan tangan kerana ia digunakan untuk memegang pelbagai barang yang turut digunakan orang ramai sebaliknya bersin pada baju di kawasan ketiak.

''Baju akan menyerap bakteria daripada terawang-awang di udara seterusnya mengelakkan risiko jangkitan pada orang ramai," katanya.

Turut hadir merasmikan kempen tersebut, Pengarah Hospital Sungai Buloh, Dr. Khalid Ibrahim dan Duta produk Antabax, Ziana Zain.

Sementara itu, Pengurus Pemasaran Lam Soon , Carmen Foo memberitahu, Antabax menganjurkan kempen selama sebulan selepas mendapat maklum balas yang memberansangkan.

''Sebagai sebuah jenama Malaysia yang komited terhadap penjagaan kesihatan da kebersihan, kami telah memperuntukan sejumlah dana khas untuk program bagi memastikan mesej menjaga kebersihan tangan di capai dan difahami oleh seluruh rakyat,'' ujarnya .


Baca Lagi...

30 Oktober 2010

Alahan Semasa Mengandung

Alahan semasa mengandung sering dikaitkan dengan muntah-muntah, pening kepala dan perut berasa sebu dan tidak selesa. Keadaan ini biasa berlaku apabila anda baru bangun dari tidur dengan mengalami sedikit pening dan muntah, namun ada juga yang akan mengalaminya sepanjang hari. Keterukan alahan bergantung kepada individu dan ada juga wanita yang bernasib baik yang tiada alahan langsung.


Punca alahan

Punca sebenar alahan sebenarnya masih kurang jelas. Kebanyakan penyelidik percaya yang alahan wanita mengandung disebabkan oleh perubahan fizikal dan hormon pada badan. Ada juga pendapat yang mengatakan alahan mungkin disebabkan oleh ketidak seimbangan paras gula dalam darah.

Bila alahan berlaku?

Kebiasaannya, wanita mengandung akan mengalami alahan dalam trimester pertama. Apabila usia kandungan mencecah trimester kedua, alahan akan beransur-ansur hilang. Walau bagaimana pun, ada sesetengah individu akan mengalami alahan yang berlanjutan sehingga bersalin.

Kebanyakan wanita yang mengalami alahan semasa mengandung akan sedikit sebanyak merasai kesannya pada rutin seharian. Ada yang terpaksa menukar perancangan harian untuk menyesuaikan diri dengan keadaan ini, malah ada yang terpaksa bercuti dari kerja kerana alahan yang terlalu teruk.

Kesan alahan terhadap kesihatan
 
Secara amnya, alahan dalam jangka masa pendek tidak akan menjejaskan kesihatan ibu dan bayi. Jika alahan anda terlalu teruk sehingga apa yang dimakan akan dimuntahkan kembali, bayi berkemungkinan akan kekurangan nutrisi untuk perkembangannya dan kesihatan ibu akan terjejas. Tambahan lagi, ibu akan mengalami dehidrasi (kekurangan air dalam badan). Simptom dehidrasi ialah pening-pening, dahaga dan air kencing sedikit daripada biasa. Jika anda mengalami simptom-simptom ini, anda memerlukan rawatan dengan segera. Ibu yang mengalami dehidrasi biasanya akan diberi cecair dan suplemen tambahan melalui drip.

Cara mengatasi alahan

Makanan

    * Apabila anda sedar di waktu pagi, makan kraker atau biskut dan rehat selama 15 minit, kemudian barulah bangun.

    * Bangun perlahan-lahan dan jangan terus baring selepas makan.

    * Kerap makan snek atau hidangan dalam kuantiti yang kecil supaya perut tidak kosong (contoh: setiap 2 jam) walau pun anda tidak lapar.

    * Makan apa sahaja yang anda mahu tapi elakkan mengambil makanan pedas, berlemak dan bergoreng.

    * Jika anda tidak tahan dengan bau yang kuat ketika memasak, buka tingkap dan kipas. Lebih baik jika orang lain yang memasak.

    * Makan makanan yang sudah sejuk berbanding makanan panas kerana makanan yang sudah sejuk kurang baunya.

    * Hidu bau limau nipis, limau kasturi atau halia boleh meredakan perut yang berasa sebu atau tidak selesa.

    * Elakkan mengambil kafein dan merokok.

Minuman

    * Minum air dengan kerap sehingga 12 cawan sehari.

    * Elakkan minum semasa makan serta sebaik sahaja sebelum dan selepas makan.

    * Pengambilan air halia boleh mengurangkan rasa mual.

Rutin harian

    * Berehat secukupnya kerana alahan akan bertambah buruk apabila kepenatan. Tidur sekejap di siang hari kerana biasanya pada trimester pertama, wanita mengandung kerap berasa letih dan mengantuk.

    * Dapatkan bantuan untuk mengemas rumah dan menjaga anak yang lain. Pastikan anda peruntukkan masa untuk berehat.

    * Bersiar-siar dan lakukan senaman ringan di luar rumah untuk dapatkan udara segar. Buka tingkap rumah untuk pengudaraan yang baik dalam rumah.

    * Elakkan tempat panas kerana kebiasaannya alahan akan bertambah teruk.

    * Jika pengambilan vitamin mengandung anda menyebabkan alahan bertambah teruk, minta nasihat doktor.

    * Bergerak perlahan-lahan dan elakkan pergerakan pantas.

    * Jangan gosok gigi sebaik sahaja lepas makan kerana ini boleh menyebabkan rasa mual.

    * Dapatkan sokongan daripada orang yang rapat (contoh: suami, ibu bapa, rakan)

Bila anda perlu dapatkan nasihat doktor?

    * Cadangan di atas tidak memberikan kesan.

    * Anda muntah lebih dari 3-4 kali sehari dan sebaik sahaja makan, anda muntah.

    * Berat badan anda menurun dengan banyak.

    * Muntah anda mengandungi darah atau berwarna hitam pekat.

    * Anda mengalami simptom-simptom dehidrasi.

    * Anda risau dengan keadaan anda atau merasakan perubahan serius pada kesihatan anda.




Baca Lagi...

28 Oktober 2010

Jejas organ utama

Arthritis tidak hanya serang sendi sebaliknya boleh rosakkan jantung, ginjal selain turut dialami si kecil

APABILA disebut arthritis, tidak ramai dapat meneka dengan tepat bahawa penyakit itu berkaitan sendi. Malah, berapa ramaikah yang tahu penyakit ini bukanlah bersifat setempat atau pada bahagian sendi semata-mata, sebaliknya boleh menyebabkan kerosakan organ penting badan selain boleh dihidapi kanak-kanak.

Pengetahuan yang sebegitu terhad itu menyebabkan penyakit arthritis ini kurang diberi perhatian biarpun pelbagai kempen dan program kesedaran mengenainya diadakan dari semasa ke semasa.

Di peringkat antarabangsa, Hari Arthritis Sedunia diisytiharkan pada 12 Oktober lalu tetapi pelbagai kempen dan program mengenainya terus diadakan sepanjang bulan ini.

Secara umumnya, arthritis merujuk radang sendi. Malah, ada lebih 100 penyakit rheumatik dan lain-lain keadaan yang menyebabkan rasa sakit, kejang dan bengkak pada sendi.

Arthritis turut memberi kesan kepada sistem otot dan tulang (musculoskeletal), terutama sendi yang bertindak menyambung antara dua tulang dan ‘diikat’ oleh ligamen. Fungsi sendi ini dibantu rawan yang menutup permukaan tulang bagi mengelak pergeseran.

Itulah keadaannya bagi insan normal. Malangnya, bagi pesakit arthritis, sendi mereka menjadi tidak normal yang mungkin berpunca daripada rawan terkoyak, masalah jangkitan atau penyakit auto imun (tubuh menyerang sel tubuh) atau kombinasi pelbagai faktor.
Pakar Bedah Ortopedik Hospital Pantai Kuala Lumpur, Dr Kok Choong Seng, berkata bagi kebanyakan jenis arthritis, ia diklasifikasikan sebagai sistemik bermaksud memberi kesan kepada seluruh tubuh.

“Arthritis juga boleh menyebabkan kerosakan pada organ atau sistem tubuh termasuk jantung, paru-paru, ginjal, salur darah juga kulit. Sementara keadaan lain berkaitan dengan arthritis umumnya menjejaskan otot dan tulang.

“Walaupun arthritis lebih banyak ditemui di kalangan mereka yang berusia namun, ia boleh terjadi pada kanak-kanak. Bagaimanapun arthritis pada kanak-kanak kerap kalinya dianggap sebagai masalah kesakitan yang biasa atau disebabkan kecederaan bersukan,” katanya.

Bagaimanapun, bagi ibu bapa yang peka pada perkembangan anaknya, mereka pasti berupaya mengesan perubahan anak menerusi sendi yang bengkak, demam atau ruam yang tidak dapat dipastikan.

“Arthritis di kalangan kanak-kanak dikenali sebagai ‘juvenile arthritis’. Kanak-kanak sebenarnya boleh berhadapan dengan jenis-jenis arthritis yang menyerang orang dewasa namun mereka lebih kerap dikesan dengan juvenile rheumatoid arthritis,” katanya.

Dr Kok berkata, bergantung jenis arthritis, sebahagian daripadanya boleh dirawat misalnya gout manakala yang lain boleh dielakkan.

“Perlu diingat, kualiti hidup tidak terjejas walaupun anda berhadapan dengan arthritis sekiranya mendapatkan rawatan dan menguruskannya dengan baik,” katanya.

INFO: Arthritis yang paling biasa ditemui

1) Osteoarthritis (OA)

Jenis arthritis paling lazim. Di rantau ini OA menjejaskan kualiti hidup antara 10 ke 20 peratus penduduk. Malah di Malaysia, OA yang kerap dikesan adalah OA pada lutut. Umumnya, OA disebabkan rawan tidak lagi elastik menyebabkan ia mudah rosak. Apabila ia koyak, tendon dan ligamen pula meregang ia akan menyebabkan kesakitan. Tulang akan bergeser antara satu sama lain menyebabkan rasa sakit.

2) Rheumatoid arthritis (RA)

Masalah radang yang menyaksikan membran synovial (tisu lembut dalam lutut) terjejas yang menyebabkan rasa sakit dan bengkak. Tanpa rawatan, ia akan menyebabkan kecacatan. RA lebih kerap ditemui pada perempuan berbanding lelaki dan menyerang pesakit berusia 40 tahun ke atas.

3) Infectious arthritis (septic arthritic)

Berlakunya jangkitan pada cecair synovial dan tisu pada sendi yang berpunca daripada bakteria. Ada kalanya disebabkan oleh kulat dan virus. Bakteria, kulat dan virus merebak melalui salur darah daripada tisu yang terjejas dan menjangkiti sendi.

4) Gout

Masalah yang berpunca daripada pengumpulan kristal pada sendi. Kristal daripada asid urik ini terbentuk hasil daripada pecahan bahan-bahan dalam tubuh yang lazim. Pengumpulan asid urik ini dalam sendi menyebabkan gout (gouty arthritis). Biasanya, sendi yang kerap terjejas dengan gout adalah ibu jari kaki dan lutut.

5) Pseudogout Arthritis

Jenis arthritis yang hampir sama dengan gout tetapi puncanya berbeza. Pseudogout arthritis berlaku kerana pengumpulan lebihan kalsium dalam sendi dan kerap ditemui pada sendi lutut.




Baca Lagi...

27 Oktober 2010

Asid perfluoro oktanoik sebabkan tiroid

SEJENIS bahan kimia yang digunakan untuk membuat lapisan tidak lekat pada periuk bertangkai, asid perfluoro oktanoik (PFOA) telah dikaitkan dengan masalah tiroid dalam kalangan orang dewasa.

Para saintis mendapati 25 peratus daripada sejumlah 4,000 orang dewasa di Amerika Syarikat (AS) yang memiliki paras PFOA tertinggi dalam darah adalah dua kali ganda lebih berisiko memperoleh masalah tiroid.

PFOA yang telah dihasilkan sejak lima dekad lalu banyak digunakan dalam pembuatan pelbagai bahan termasuk fabrik dan permaidani. Ia dipercayai memasuki tubuh menerusi diet atau melalui habuk yang disedut masuk ke dalam paru-paru.

Kajian ke atas haiwan mendapati bahan kimia tersebut berpotensi menjejaskan fungsi tiroid yang sememangnya penting untuk mengekalkan kadar degupan jantung.

Selain itu, ia juga membantu menyelaraskan suhu tubuh dan menyokong fungsi-fungsi tubuh yang lain. – Environmental Health Perspectives



Baca Lagi...