25 September 2010

Langkah awal mengesan diabetes

BADAN kita memproses karbohidrat di dalam makanan dan menukarnya kepada glukos, iaitu makanan utama untuk sel badan. Diabetes atau kencing manis pula berlaku apabila badan kita kekurangan hormon yang dikenali sebagai insulin.

Insulin membantu tisu dan organ untuk menggunakan glukos di dalam saluran darah. Oleh itu apabila insulin berkurangan di dalam badan, paras glukos akan meningkat dalam saluran darah, sekali gus memungkinkan seseorang menghidap diabetes.

Sebenarnya, diabetes dapat dikesan melalui ujian glukos dalam darah.

Ada dua jenis diabetes:

Pertama: Dikenali sebagai Insulin-dependent diabetics melitus (IDDM). Ia keadaan kekurangan insulin di dalam badan. Ini kebanyakannya berlaku di kalangan remaja dan peringkat awal dewasa.

Kedua: Dikenali sebagai Non-insulin dependent diabetics mellitus (NIDDM. Ia keadaan insulin tidak dapat diterima oleh badan. Ini kebanyakannya berlaku di kalangan orang dewasa dan ia sering dikaitkan dengan masalah kegemukan dan tekanan darah tinggi.

Antara gejala diabetes ialah berasa dahaga yang keterlaluan dan
kerap membuang air kecil.

Tanda-tanda diabetes jenis kedua mungkin boleh dikesan di peringkat awal antaranya:

Berat badan turun tiba-tiba.
Berasa kebas pada kaki, jari kaki dan tangan
Luka yang lambat sembuh
Lemah dan tidak berdaya
Rasa mual dan muntah-muntah

Harus diingat, diabetes boleh merosakkan saluran darah yang kecil di dalam badan, menjejas fungsi ginjal (buah pinggang), mata, kulit, sistem saraf, otot dan jantung. Ujian menunjukkan bahawa apabila pesakit kencing manis menghidap tekanan darah tinggi, kemungkinan besar mereka juga mengalami kerosakan ginjal.

Tambahan pula protin dalam air kencing adalah antara sebab utama pesakit kencing manis menghidap kerosakan ginjal.

Pesakit diabetes juga perlu mengawal tahap gula dalam darah untuk mengelakkan sebarang masalah. Oleh itu, mengesan dan mengawal tekanan darah tinggi dan mengurangkan protein dalam air kencing melalui perubatan adalah sangat penting bagi pesakit kencing manis.

Antara golongan yang berisiko tinggi mendapat penyakit ginjal ialah:

Mereka yang mengalami berat badan berlebihan.

Mempunyai ahli keluarga yang berpenyakit diabetes dan penyakit ginjal di dalam sejarah ahli keluarga.

Berusia lebih daripada 40 tahun.

Pesakit yang tidak mengawal diabetes dengan baik.

Pesakit yang mempunyai tekanan darah tinggi, air kencing berprotein atau paras kolestrol yang tinggi.

Kurang pengawalan diabetes boleh menyebabkan masalah perubatan seperti buta, penyakit ginjal, mandul, gangguan sistem saraf dan kehilangan anggota badan akibat terpaksa dipotong.


0 comments: