12 Disember 2017

Obesiti punca penyakit kronik

Kegemukan atau obesiti ialah satu penyakit kronik yang sedang menular dalam kalangan masyarakat dunia dan Malaysia khususnya.

Sepuluh tahun dahulu, obesiti hanyalah dikenal pasti sebagai faktor risiko kesihatan terutama untuk penyakit kardiovaskular khususnya penyakit jantung. Tetapi sejak lima tahun kebelakangan, bersandarkan penemuan saintifik baharu, masalah obesiti ternyata merupakan satu penyakit yang membawa kesan buruk terhadap kesihatan dan menyumbang kepada penyakit-penyakit serius pada individu yang terdedah kepada obesiti seperti penyakit jantung dan diabetes.

Statistik di Malaysia melalui Kajian Kebangsaan Kesihatan Morbiditi yang dijalankan pada 2011 mencatatkan 15.1 peratus rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas mempunyai masalah obesiti. Ini menunjukkan peningkatan berbanding dengan 14 peratus pada 2006. Ini bermakna seramai 2.6 juta populasi dewasa adalah obes, menjadikan Malaysia antara yang tertinggi kadar obesiti dalam kalangan negara Asia Tenggara.

Obesiti membawa maksud satu keadaan yang kompleks iaitu seseorang individu itu mempunyai lemak berlebihan. Ini merupakan penyakit kronik yang memerlukan rawatan susulan berpanjangan, terapi dan perhatian yang wajar oleh pengamal perubatan. Lelaki dikatakan obes sekiranya mempunyai kadar lemak berlebihan sebanyak 25 peratus, manakala wanita pula dikatakan obes apabila mempunyai lebihan lemak sebanyak 35 peratus. Obesiti boleh diukur menggunakan pengiraan Indeks Jisim Badan (BMI). BMI ialah indeks pengukuran berat badan berbanding dengan ketinggian.

Formula ialah BMI = Berat (kg) / Tinggi (m) ²

Saringan obesiti memerlukan ukuran berat badan dalam kilogram dan ukuran ketinggian dalam meter.

Implikasi obesiti

Obesiti menyumbang kepada banyak penyakit kronik yang boleh membawa kematian atau morbiditi. Penyakit-penyakit ini boleh merendahkan kualiti hidup pesakit. Antara penyakit yang disebabkan oleh obesiti:

- Diabetes Mellitus
- Hempedu
- Kolesterol tinggi
- Syndrom metabolik
- Gangguan tidur
- Penyakit jantung koronari
- Penyakit serebrovaskular
- Kegagalan jantung
- Tekanan darah tinggi
- Osteoarthritis
- Gout

Cara mencegah obesiti

- Rawatan-rawatan yang telah dinyatakan hanya akan berjaya jika pesakit mengubah sikap dan menjalankan cara hidup sihat dengan mengawal pemakanan dan meningkatkan aktiviti fizikal.

- Pengawalan pemakanan boleh dibantu dengan kaunseling, pakar diet atau doktor. Manakala penambahan aktiviti fizikal memerlukan tunjuk ajar daripada pegawai pendidikan kesihatan.

- Amalan pemakanan yang sederhana dan sesuai dengan menambahkan kadar serat dan mengurangkan lemak serta karbohidrat boleh membantu mengurangkan berat badan.

- Mengamalkan aktiviti fizikal sederhana 60 hingga 90 minit setiap hari boleh membantu mengurangkan BMI bagi mereka yang obes.

0 comments: