18 Julai 2018

Merawat Penyakit Tiroid


Penyakit tiroid lebih kerap berlaku dalam kalangan wanita berbanding lelaki. Penyakit ini boleh berlaku semasa dan selepas kehamilan. Bagaimanapun penyakit ini selamat serta mudah dirawat jika diagnosis dan rawatan pada peringkat awal dilakukan.


Secara anatomi, kelenjar tiroid terbahagi dua, seperti rama-rama. Dua hormon dikeluarkan kelenjar ini iaitu hormon tiroksin (T4) dan juga triiodotiroksin (T3). Hormon ini mengawal metabolisme (pengeluaran tenaga) manusia. Jika tiroid tidak berfungsi dengan sempurna, ia memberi kesan terhadap aspek kesihatan, terutama berat badan, kemurungan dan tahap tenaga.

Dengan metabolisme tinggi, anda mungkin berasa panas dan sebaliknya. Jadi kelenjar tiroid membantu fungsi badan berjalan pada kadar selamat dan berkesan. Kawalan kelenjar ini dilakukan oleh kelenjar pituitari pada otak, melalui hormon

Apabila aras hormon tiroid tinggi, akan timbul penyakit hipertiroidisme dan jika aras hormon terlalu rendah, penyakit hipotiroidisme pula berlaku. Penyakit lain seperti diabetes mellitus juga boleh mengganggu pengeluaran hormon tiroid.

Terdapat ujian, pemeriksaan dan juga simptom tertentu yang boleh digunakan untuk mendiagnosis penyakit tiroid. Anda juga mungkin akan menghidap penyakit lain susulan daripada perjalanan fungsi kelenjar tiroid yang tidak teratur.

Ada dua jenis penyakit tiroid iaitu hipertiroidisme dan hipotiroidisme yang biasa menyerang wanita berbanding lelaki. Empat nisbah satu penyakit tiroid menyerang wanita berusia 20 tahun ke atas. Namun, sebab dan alasannya tidak diketahui hingga kini.

Penyakit ini berlaku apabila kelenjar tiroid tidak berfungsi secara optimum sehingga hormon tidak dikeluarkan secukupnya. Ubat yang dimakan untuk merawat fungsi tiroid berlebihan juga boleh menyebabkan penyakit hipotiroidisme.

Lazimnya, penyakit hipotiroidisme disebabkan keradangan pada kelenjar tersebut, yang dipanggil tiroiditis. Penyakit ini juga dikenali sebagai penyakit Hashimoto iaitu sejenis penyakit autoimun yang merangsang pertahanan badan supaya mengeluarkan antibodi terhadap kelenjar tiroid.

Akibatnya, otak mengeluarkan isyarat melalui hormon perangsang tiroid supaya kelenjar tiroid berkerja lebih kuat. Kesannya, kelenjar tersebut membesar dan dipanggil goiter. Akhirnya, kelenjar tiroid tidak lagi dapat mengeluarkan hormon yang diperlukan oleh badan.

Simptom hipotiroidisme adalah bengkak kaki, ingatan terganggu, lembap, malas, kuat tidur, badan sering terasa sejuk dan boleh mengakibatkan masalah jantung jika tidak segera dirawat. Pesakit yang mengalami penyakit ini mudah dirawat, tetapi terpaksa mengambil hormon tiroksin seumur hidup. Dos ubat juga mungkin diubah secara berkala bergantung kepada aras hormon tiroid.

Penyakit ini berlaku apabila kelenjar tiroid mengeluarkan hormon berlebihan. Biasanya ia disebabkan penyakit autoimun manakala badan manusia pula menghasilkan antibodi yang mampu merangsang kelenjar tiroid. Hipertiroidisme berlaku apabila kelenjar tiroid terlalu aktif dan menghasilkan terlalu banyak hormon tiroksin.

Penyakit Grave adalah penyebab utama peningkatan aktiviti kelenjar. Selain itu, ubat yang diambil untuk hipotiroidisme mungkin menyebabkan hipertiroidisme, jadi pengawasan doktor amat penting. Simptom hipertiroidisme adalah hilang berat badan, kerap buang air besar, berpeluh, berdebar-debar, menggeletar, penglihatan terjejas dan bertambah selera makan.

Penyakit tiroid memberikan risiko pada anda dan juga kandungan. Sebab itulah pentingnya anda menjalani pemeriksaan kesihatan semasa lawatan pertama ke klinik ibu mengandung.

Dengan rawatan, anda boleh mengandung secara normal dan selamat. Rawatan anda juga mungkin diubah dos ubat secara berkala di samping ujian darah dan ujian lain yang difikirkan perlu.

Rawatan iodin beradioaktif tidak akan diberikan pada pesakit hamil. Ada sesetengah ibu mengalami masalah tiroid selepas bersalin. Ini dipanggil postpartum tiroiditis. Lazimnya aras hormon tiroid ibu terbabit kembali ke normal dengan pantas. Namun, ada segelintir ibu mungkin mengalami hipotiroidisme pada masa hadapan. Perlu ditegaskan ujian pengesanan atau ujian darah hormon tiroid bukan pemeriksaan rutin semasa pemeriksaan antenatal.

Sebenarnya, tiroid boleh menyebabkan kematian jika tidak dirawat segera, apatah lagi kepada ibu hamil serta bayi dalam kandungan yang menyebabkan keguguran, kelahiran pramatang, janin kecil dan kecacatan mental.

Kes ini biasanya di bawah pengawasan doktor pakar yang biasanya akan dipantau di combine clinic iaitu doktor pakar perbidanan dan doktor pakar endokrin. Usah gusar, ia selamat dan mudah dirawat. Sama-sama juga saya doakan agar kakak ipar anda dan bayi yang dikandung selamat dilahirkan.

Baca Juga






0 comments: