09 Mei 2015

Diabetes tidak mengenal usia

Kencing manis atau diabetes tidak mengenal usia. Sesiapa saja berisiko menghidapinya termasuk kanak-kanak mahupun ibu hamil.

Pakar Perunding Perubatan dan Neprologi Hospital Columbia Asia Setapak, Dr Gan Wee Hin, berkata kencing manis berlaku akibat kandungan gula di dalam darah melebihi tahap normal. 

Antara tanda atau gejala diabetes ialah penghidapnya akan sentiasa berasa dahaga, kerap kencing, lesu dan letih serta berat badan susut walaupun tidak mengamalkan diet tertentu.

Kencing manis terdiri daripada tiga jenis iaitu diabetes jenis satu, diabetes jenis dua dan diabetes jenis tiga.

Diabetes jenis satu dikenali juga diabetes bersandar insulin (Insulin Dependent Diabetes Mellitus) atau diabetes awal remaja. Ia berlaku akibat kegagalan kelenjar pankreas menghasilkan insulin.

Kebiasaannya, penghidap mula mendapat gejala penyakit ini ketika kanak-kanak atau remaja. Disebabkan kegagalan penghasilan insulin semula jadi oleh badan, pesakit memerlukan suntikan insulin untuk seumur hidupnya bagi mengawal tahap glukos darah. Bagaimanapun, tidak ramai di kalangan kita menghidap diabetes jenis ini.

Diabetes jenis dua pula adalah kumpulan penyakit yang banyak diidapi masyarakat kita iaitu sebanyak 80 peratus. Senario penyakit ini paling biasa dilihat bukan saja di kalangan penduduk Malaysia malah Asia.

Selalunya, penyakit ini boleh menyerang sesiapa saja yang berumur 30 tahun ke atas. Ia berpunca daripada pankreas tidak berada di dalam keadaan baik lantas kurang berfungsi untuk membolehkan badan kita menghasil dan menggunakan insulin.

Namun, disebabkan masih mempunyai sedikit insulin daripada pankreas, diabetes jenis ini masih boleh dikawal secara pemantauan pengambilan makanan, pengurangan berat badan, bersenam dan pengambilan ubat secara berterusan. 

Diabetes jenis ini biasa berlaku kepada mereka yang tidak mengamalkan gaya hidup sihat seperti mempunyai berat badan berlebihan, tidak bersenam dan merokok.

Sementara itu, jenis ketiga adalah diabetes ketika hamil atau gestational diabetes. Diabetes ketika hamil adalah sejenis alahan glukos yang dikenal pasti pada sebahagian wanita ketika mengandung. 

Diabetes ketika hamil juga biasa didapati di kalangan wanita yang kuat makan atau wanita daripada keturunan pengidap diabetes. Golongan ini memerlukan rawatan untuk menurunkan paras gula dalam darah agar tidak memberi kesan kepada kandungan.

Wanita yang mengalami diabetes ketika hamil mempunyai risiko 20 peratus hingga 50 peratus mengidap diabetes dalam tempoh lima hingga 10 tahun selepas itu.

Kaedah pencegahan awal dan rawatan selepas menghidap penyakit ini adalah dengan mengamalkan cara hidup sihat. Pilih dan ambil makanan dengan betul. Antara cara pemilihan yang boleh diikuti adalah mengambil 50 peratus makanan berasaskan karbohidrat, 25 peratus protein, kurang 15 peratus minyak (lemak) serta selebihnya serat (buah-buahan dan sayur-sayuran).


Baca Lagi...

07 Mei 2015

Jerawat jejas emosi, kualiti hidup

Jerawat adalah antara penyakit kulit yang paling biasa dihidapi remaja lingkungan usia 20-an ke atas. Pun begitu, golongan dewasa berusia 40-an juga berisiko mengalami masalah ini.

Jerawat secara amnya adalah fenomena biologikal yang terjadi pada kulit akibat masalah keradangan tisu pada bahagian kelenjar minyak pada kulit manusia.

Ia sering muncul pada bahagian kulit yang selalu berminyak seperti kulit muka dan kulit badan. Berdasarkan kajian yang dijalankan dalam bidang perubatan dermatologi, hampir 50 jenis jerawat menjadi masalah kepada lelaki dan wanita. 

Ia juga masalah kulit yang berlaku pada pilosebaceous (terdiri daripada rongga rambut dan kelenjar minyak) pada bahagian kulit. Masalah jerawat selalunya sering dialami golongan remaja akil baligh dan dewasa disebabkan oleh perubahan hormon badan normal. 

Perunding kulit dan estetik Klinik Pakar Kulit Ko, Dr Thean Pooi Yee, berkata kecenderungan timbulnya jerawat di kalangan individu disebabkan beberapa faktor terutama tekanan, hormon tidak seimbang dan pemakanan. 

“Walaupun tidak mengancam nyawa, jerawat boleh mengecewakan dan mencacatkan. Ia boleh bertahan bertahun-tahun dan menyebabkan kedua-dua fizikal dan psikologi terganggu. 

“Dalam kajian mengenai kualiti isu kehidupan, jerawat mempunyai kesan besar terhadap fungsi sosial dan kesejahteraan emosi,” kata Dr Thean, baru-baru ini. 

Jerawat boleh dirawat dengan krim atau gel, antibiotik lisan, pil isotretinoin, laser dan rawatan sinaran. Selain itu, pelbagai jenis parut jerawat boleh dikurangkan dengan pelbagai pilihan rawatan termasuk rawatan laser. 

Jenis-jenis jerawat 

Jerawat Ringan: biasanya mempunyai sedikit bintik hitam dan jerawat. Masalah ini hanya dikategorikan sebagai ‘ringan’ sekiranya jumlah lesi (bintik merah atau nanah putih yang tercela) kurang daripada 30. Kurangnya warna kemerah-merahan pada kulit akibat jerawat. 

Jerawat Sederhana: Pesakit akan mengalami banyak bintik jeragat (black heads) dan jerawat yang berwarna hitam dan merah pada bahagian wajah atau muka, dada dan belakang badan. 

Jerawat Kronik: Pesakit akan mengalami banyak nodul besar berwarna merah dan terasa sakit dan berdenyut pada bahagian muka, dada, belakang badan dan anggota tubuh yang lain. Keradangan kulit akan berlaku jika kelenjar minyak mengeluarkan kuantiti minyak dan sebum secara berlebihan dan menyebabkan kelenjar minyak tersumbat.
Baca Lagi...