05 Jun 2015

7 Tips Efektif Menghilangkan Stres

Kehidupan kita sebagai manusia tentu memiliki berbagai masalah. Kadang-kadang masalah yang kita hadapi sukar untuk diatasi. Masalah-masalah seperti masalah keluarga, percintaan, persahabatan, kewangan mahupun masalah yang berkaitan dengan pekerjaan anda sehari-hari. Stress merupakan puncak dari berbagai tekanan masalah-masalah tersebut. Stress pula boleh menimbulkan tekanan yang tidak baik untuk kesihatan tubuh dan jiwa kita. 

Lalu, apakah tips atau cara efektif menghilangkan stress tersebut?

Sebenarnya banyak tips ataupun cara yang boleh kita lakukan untuk menghilangkan stress. Salah satunya dengan melakukan aktiviti atau kegiatan-kegiatan yang menyihatkan seperti bersukan. Namun bukan hanya bersukan yang dapat membantu menghilangkan stress.

Berikut adalah 7 tips atau cara efektif menghilangkan stress dengan mudah :

# 1 Tips yang pertama iaitu jangan menunda pekerjaan sehingga semakin bertambah. Salah satu penyebab stress ialah masalah kerja yang bertambah. Jika kita tidak menunda pekerjaan tentu pekerjaan kita tidak akan bertambah. Menyebabkan kita tidak mengalami stress.

#2 Tips yang kedua iaitu memiliki keberanian untuk berkata tidak terhadap sesuatu pekerjaan baru yang tidak ada kaitannya dengan pekerjaan anda sekarang. Jika anda menerimanya, ini boleh menyebabkankan fikiran anda menjadi tidak fokus dan menjadikan anda berbelaj bahagi dan boleh menyebabkan stress.

#3 Tips berikutnya untuk menghilangkan stress iaitu dengan melakukan aktiviti atau kegiatan-kegiatan yang menyihatkan seperti bersukan dengan berjalan kaki atau berlari-lari santai. aktiviti tersebut mampu membuat anda merasa lebih rileks, dapat juga menurunkan tekanan darah serta menghasilkan hormon endorfin yang dapat menghilangkan stress tersebut.

#4 Tips berikutnya ialah supaya sentiasa berusaha belajar menerima diri sendiri seadanya dan bersyukur dengan segala nikmat dan menerima semua ujian dengan bersangka baik kepada Allah SWT.

#5 Selalu memiliki positive thinking atau selalu berfikiran positif terhadap segala masalah yang menimpa kita serta berusaha untuk mengambil semua hikmahnya. Sehingga kita menjadi seorang yang lebih baik daripada sebelumnya.

#6 Menghiburkan diri sendiri merupakan salah satu tips efektif untuk menghilangkan stress. Luangkan waktu untuk menghiburkan diri anda dengan berbagai hiburan yang anda sukai seperti bermain games, mendengarkan musik yang anda minati atau kegiatan yang dapat menghiburkan.

#7 Berusaha agar fokus terhadap pekerjaan yang sedang anda lakukan. Melakukan banyak kerja dalam satu masa boleh menyebabkan stress. Oleh itu, selesaikan satu persatu kerja terlebih dahulu sebelum melakukan pekerjaan lainnya. Ini juga cara yang boleh menghilangkan stress.

Baca Juga :

Kawal tekanan darah tinggi




Baca Lagi...

04 Jun 2015

Pastikan hormon seimbang

Hormon semakin menurun akibat peningkatan usia tetapi hormon juga boleh rosak dan merosot kerana pemakanan, alam sekitar yang tercemar, jangkitan virus dan ubat-ubatan seperti antibiotik.

“Jadi, tugas kita untuk menjaga kelenjar yang menghasilkan hormon dan menghalang agen perosak daripada merosakkan hormon dengan mengambil makanan tambahan atau vitamin khusus untuk membantu merangsang dan membantu penyerapan hormon.

“Selain itu pesakit juga perlu mengubah gaya hidup dengan senaman dan makanan tertentu yang sesuai dengan hormon dominan seseorang,” katanya.

Info Hormon

  • Berasal daripada istilah homaein yang bererti memacu.
  • Dihasilkan oleh kelenjar endokrin atau kelenjar (kerana tidak memiliki saluran) apabila ada rangsangan yang sesuai dan berfungsi untuk mengatur metabolisme, pertumbuhan, perkembangan, reproduksi dan tingkah laku.
  • Dihasilkan dalam jumlah sangat sedikit.
  • Diangkut oleh darah menuju ke sel, jaringan, atau organ sasaran. Pada organ sasaran, hormon mempengaruhi aktiviti enzim khusus, sehingga dapat mengatur pelbagai aktiviti tubuh seperti metabolisme, reproduksi, pertumbuhan, dan perkembangan.

Fungsi Hormon :

  • Mencetus pertumbuhan dan metabolisme tubuh.
  • Meningkatkan reproduksi.
  • Mengatur keseimbangan cairan tubuh atau homeostasis.
  • Mengatur tingkah laku.
  • Kelenjar endokrin pada manusia meliputi kelenjar hipofisis, tiroid, paratiroid, kelenjar adrenal, kelenjar kelamin, dan pankreas (kelenjar pulau-pulau langerhans).
  • Hormon diperlukan oleh tubuh dalam jumlah sedikit tetapi mempunyai pengaruh besar.
  • Pada hakikatnya hormon dan saraf memiliki persamaan tugas dalam pengaturan aktiviti tubuh.

Fisiologi

  • Mudah letih, kaki dan tangan sejuk, tidak bertenaga, sembelit, kurang selera makan, turun berat badan, sakit otot dan sendi, kekejangan.
  • Psikologi
  • Kurang tumpuan, murung, kurang daya ingatan, celaru, sensitif, mudah marah, imsonia.

Hubungan Kelamin

  • Mati pucuk, kurang ereksi, kurang sperma, nafsu yang lemah.
  • Fungsi ginjal
  • Sukar buang air kencing atau sering kencing, sukar kawal dan kuantiti air kencing tidak menentu.
  • Sistem kardiovaskular (jantung)
  • Sakit kepala, sering berpeluh sejuk, denyutan jantung kencang, sejuk kaki dan tangan.
  • Kesan kepada lelaki

Fisiologi

Wanita 20 tahun

Muka jerawat, tumbesaran ter­­bantut, senggugut, haid tidak teratur.

Wanita hamil 
(30 tahun)

  • Kurang subur, sukar hamil, imso­nia, lemah, cepat letih, kulit cepat berkedut, muka kelihatan tidak ceria, kulit kusam dan lain-lain.
  • Pertengahan umur
 (40 tahun)
  • Payudara kendur, sakit sendi dan otot, tangan dan kaki cepat sejuk, pigmentasi kulit, artritis.

Menopous (50 tahun ke atas)

Gout, cepat berpeluh, suka marah, emosi, suka berleter, cepat stres, muka kedut yang ketara, rambut gugur dan lain-lain.


Baca juga :

Gangguan hormon punca tiroid



Baca Lagi...

03 Jun 2015

Usah abaikan sakit sendi

Berbanding penyakit lain, sakit sendi sering dianggap remeh kerana dirasakan tidak berbahaya hingga menyebabkan kematian.

Tanpa menyedari penyakit dideritai ialah Artritis Reumatoid (RA), pesakit lambat mendapatkan rawatan, menyebabkan usaha mengubatnya sukar. Ini kerana RA mengambil masa lama untuk menunjukkan gejala ketara.

Sekitar lima daripada 1,000 individu di Malaysia dan 23.7 juta individu di seluruh dunia menghidap RA. Ia penyakit serius dan progresif yang boleh menyebabkan kerosakan sendi yang tidak boleh dipulihkan. RA ialah penyakit auto imun sistemik kronik yang menyakit dan melumpuhkan.

"Individu dengan artritis akan mengalami kesakitan, bengkak dan kejang pada sendi, terutama di tangan, kaki dan lutut. Kajian menunjukkan individu dengan RA adalah 40 peratus lebih berkemungkinan untuk mengalami kesihatan am yang sederhana atau teruk berbanding individu tanpa RA.

"Sebagai tambahan kepada simptom yang menyakitkan dan kesan seterusnya ke atas kualiti hidup, RA adalah penyakit jangka masa panjang yang boleh membebankan penyakit dari segi ekonomi," katanya.

Meskipun RA boleh menyerang semua peringkat umur, ia biasanya berlaku dalam lingkungan umur 40 hingga 70 tahun serta menyerang dua hingga tiga kali lebih ramai wanita berbanding lelaki.

Pesakit RA mempunyai taraf fungsi lebih teruk daripada mereka yang mempunyai osteoartitis dan kira-kira enam kali lebih berkemungkinan untuk menanggung caj perubatan berbanding mereka yang tidak mempunyai artritis.

Sendi diserang mengalami kerosakan dalaman dan sekitar tulang. Tiada rawatan khusus untuk menyembuhkan penyakit ini. Pesakit memerlukan rawatan yang bukan hanya untuk menangani kesakitan dan keradangan, juga mengekang proses perkembangan penyakit.

Lebih teruk lagi, RA juga dikaitkan dengan penyakit lain termasuk penyakit kardiovaskular, jangkitan kuman dan masalah kesihatan mental.

Dalam kalangan masyarakat kita, kesedaran dan pengetahuan mengenai RA masih pada tahap rendah. Lazimnya pesakit tidak menghiraukan gejala penyakit itu kerana menyangka ia sakit sendi biasa. Mereka hanya mendapatkan rawatan apabila sakit semakin teruk.

Baca juga :

Baca Lagi...

09 Mei 2015

Diabetes tidak mengenal usia

Kencing manis atau diabetes tidak mengenal usia. Sesiapa saja berisiko menghidapinya termasuk kanak-kanak mahupun ibu hamil.

Pakar Perunding Perubatan dan Neprologi Hospital Columbia Asia Setapak, Dr Gan Wee Hin, berkata kencing manis berlaku akibat kandungan gula di dalam darah melebihi tahap normal. 

Antara tanda atau gejala diabetes ialah penghidapnya akan sentiasa berasa dahaga, kerap kencing, lesu dan letih serta berat badan susut walaupun tidak mengamalkan diet tertentu.

Kencing manis terdiri daripada tiga jenis iaitu diabetes jenis satu, diabetes jenis dua dan diabetes jenis tiga.

Diabetes jenis satu dikenali juga diabetes bersandar insulin (Insulin Dependent Diabetes Mellitus) atau diabetes awal remaja. Ia berlaku akibat kegagalan kelenjar pankreas menghasilkan insulin.

Kebiasaannya, penghidap mula mendapat gejala penyakit ini ketika kanak-kanak atau remaja. Disebabkan kegagalan penghasilan insulin semula jadi oleh badan, pesakit memerlukan suntikan insulin untuk seumur hidupnya bagi mengawal tahap glukos darah. Bagaimanapun, tidak ramai di kalangan kita menghidap diabetes jenis ini.

Diabetes jenis dua pula adalah kumpulan penyakit yang banyak diidapi masyarakat kita iaitu sebanyak 80 peratus. Senario penyakit ini paling biasa dilihat bukan saja di kalangan penduduk Malaysia malah Asia.

Selalunya, penyakit ini boleh menyerang sesiapa saja yang berumur 30 tahun ke atas. Ia berpunca daripada pankreas tidak berada di dalam keadaan baik lantas kurang berfungsi untuk membolehkan badan kita menghasil dan menggunakan insulin.

Namun, disebabkan masih mempunyai sedikit insulin daripada pankreas, diabetes jenis ini masih boleh dikawal secara pemantauan pengambilan makanan, pengurangan berat badan, bersenam dan pengambilan ubat secara berterusan. 

Diabetes jenis ini biasa berlaku kepada mereka yang tidak mengamalkan gaya hidup sihat seperti mempunyai berat badan berlebihan, tidak bersenam dan merokok.

Sementara itu, jenis ketiga adalah diabetes ketika hamil atau gestational diabetes. Diabetes ketika hamil adalah sejenis alahan glukos yang dikenal pasti pada sebahagian wanita ketika mengandung. 

Diabetes ketika hamil juga biasa didapati di kalangan wanita yang kuat makan atau wanita daripada keturunan pengidap diabetes. Golongan ini memerlukan rawatan untuk menurunkan paras gula dalam darah agar tidak memberi kesan kepada kandungan.

Wanita yang mengalami diabetes ketika hamil mempunyai risiko 20 peratus hingga 50 peratus mengidap diabetes dalam tempoh lima hingga 10 tahun selepas itu.

Kaedah pencegahan awal dan rawatan selepas menghidap penyakit ini adalah dengan mengamalkan cara hidup sihat. Pilih dan ambil makanan dengan betul. Antara cara pemilihan yang boleh diikuti adalah mengambil 50 peratus makanan berasaskan karbohidrat, 25 peratus protein, kurang 15 peratus minyak (lemak) serta selebihnya serat (buah-buahan dan sayur-sayuran).


Baca Lagi...

07 Mei 2015

Jerawat jejas emosi, kualiti hidup

Jerawat adalah antara penyakit kulit yang paling biasa dihidapi remaja lingkungan usia 20-an ke atas. Pun begitu, golongan dewasa berusia 40-an juga berisiko mengalami masalah ini.

Jerawat secara amnya adalah fenomena biologikal yang terjadi pada kulit akibat masalah keradangan tisu pada bahagian kelenjar minyak pada kulit manusia.

Ia sering muncul pada bahagian kulit yang selalu berminyak seperti kulit muka dan kulit badan. Berdasarkan kajian yang dijalankan dalam bidang perubatan dermatologi, hampir 50 jenis jerawat menjadi masalah kepada lelaki dan wanita. 

Ia juga masalah kulit yang berlaku pada pilosebaceous (terdiri daripada rongga rambut dan kelenjar minyak) pada bahagian kulit. Masalah jerawat selalunya sering dialami golongan remaja akil baligh dan dewasa disebabkan oleh perubahan hormon badan normal. 

Perunding kulit dan estetik Klinik Pakar Kulit Ko, Dr Thean Pooi Yee, berkata kecenderungan timbulnya jerawat di kalangan individu disebabkan beberapa faktor terutama tekanan, hormon tidak seimbang dan pemakanan. 

“Walaupun tidak mengancam nyawa, jerawat boleh mengecewakan dan mencacatkan. Ia boleh bertahan bertahun-tahun dan menyebabkan kedua-dua fizikal dan psikologi terganggu. 

“Dalam kajian mengenai kualiti isu kehidupan, jerawat mempunyai kesan besar terhadap fungsi sosial dan kesejahteraan emosi,” kata Dr Thean, baru-baru ini. 

Jerawat boleh dirawat dengan krim atau gel, antibiotik lisan, pil isotretinoin, laser dan rawatan sinaran. Selain itu, pelbagai jenis parut jerawat boleh dikurangkan dengan pelbagai pilihan rawatan termasuk rawatan laser. 

Jenis-jenis jerawat 

Jerawat Ringan: biasanya mempunyai sedikit bintik hitam dan jerawat. Masalah ini hanya dikategorikan sebagai ‘ringan’ sekiranya jumlah lesi (bintik merah atau nanah putih yang tercela) kurang daripada 30. Kurangnya warna kemerah-merahan pada kulit akibat jerawat. 

Jerawat Sederhana: Pesakit akan mengalami banyak bintik jeragat (black heads) dan jerawat yang berwarna hitam dan merah pada bahagian wajah atau muka, dada dan belakang badan. 

Jerawat Kronik: Pesakit akan mengalami banyak nodul besar berwarna merah dan terasa sakit dan berdenyut pada bahagian muka, dada, belakang badan dan anggota tubuh yang lain. Keradangan kulit akan berlaku jika kelenjar minyak mengeluarkan kuantiti minyak dan sebum secara berlebihan dan menyebabkan kelenjar minyak tersumbat.
Baca Lagi...

24 April 2015

Trauma ekzema

RAMAI menyangkakan persekitaran atau cara hidup yang tidak mengutamakan kebersihan sebagai penyebab terjadinya jangkitan atau kegatalan kulit. Namun, hakikatnya, persekitaran yang terlalu bersih juga boleh menyebabkan jangkitan, kegatalan atau alahan kepada kulit.

Penyakit ekzema, kegatalan atau radang kulit misalnya, lebih banyak ditemui di negara maju, yang kebiasaan rakyatnya mengambil berat mengenai kebersihan. Bilangan penghidap ekzema yang tinggi dicatatkan di negara maju sejak tiga dekad yang lalu.

“Ia barangkali disebabkan persekitaran terlalu bersih di negara maju hingga membuatkan sistem imun badan seseorang itu malas, seterusnya tidak dapat membezakan antara unsur baik ataupun jahat.

“Sistem imun yang malas ini akan bertindak balas dengan setiap bakteria yang ada hingga membuatkan seseorang terlampau sensitif dan mudah mendapat alahan,” kata Perunding Dermatologi Pediatrik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Leong Kin Fon.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran kempen menentang ekzema di Malaysia,‘United Against Itch’, anjuran LEO Pharma baru-baru ini.



Baca Lagi...

11 April 2015

Ekzema radang kulit

Oleh NORAINON OTHMAN

Dikenali juga sebagai atopic dermatitis, ia berlaku disebabkan jangkitan bakteria di kawasan berpeluh yang menyebabkan kulit menjadi kemerahan, gatal dan berkerak. Ruam merah berkenaan kelihatan seperti kulit melecur.

Radang kulit ini berlaku pada semua bangsa dan pelbagai peringkat umur. 
Kira-kira 85 peratus kes dihidapi kanak-kanak berusia bawah lima tahun. Ia boleh berlaku di mana-mana bahagian tubuh, misalnya di lipatan leher, lengan, kaki, hidung, muka dan pelipat kaki.

Penyakit ini boleh pulih tetapi bergantung kepada ketahanan antibodi seseorang sama ada pada usia dua, enam atau 12 tahun. Dalam sesetengah kes, penyakit ini dihidapi pesakit hingga ke akhir hayat.

Komplikasi ekzema ialah gatal menyebabkan pesakit sering menggaru. Akibatnya, mereka terdedah kepada jangkitan kuman serta menyebabkan nanah. Ada pesakit yang mengalami ekzema daripada kepala hingga ke tubuh.

Jika ekzema dihidapi serius, steroid akan digunakan untuk merawat masalah itu atau pesakit dimasukkan ke dalam wad untuk rawatan selanjutnya.

Perunding Pediatrik Pusat Perubatan Kelana Jaya, Dr Syed Nazir Ms Kadir berkata, ekzema bukan penyakit popular satu masa dulu, tetapi bilangan penghidapnya kini semakin meningkat disebabkan faktor persekitaran dan pemakanan.

“Semua orang terdedah kepada risiko mendapat ekzema tetapi risiko lebih tinggi kepada yang ada sejarah penyakit tertentu seperti asma, alergi dan ekzema dalam keluarga,” katanya.

Menurutnya, disebabkan salah tanggapan ekzema boleh berjangkit, ada individu menjauhi pesakit ekzema. Bagaimanapun, penyakit radang kulit itu bukan penyakit berjangkit, sebaliknya berpunca daripada sistem imun yang lemah.

“Jangan buat kanak-kanak penghidap ekzema berasa tersisih. Emosi mereka terganggu kerana penyakit ini membataskan aktiviti mereka.

“Mereka tidak boleh bermain seperti kanak-kanak lain kerana penyakit ekzema menjadi lebih buruk apabila mereka berpeluh,” katanya.

Dr Syed Nazir berkata, penyakit itu datang dan pergi menyebabkan pesakit harus mengambil langkah pencegahan bagi mengelak ia berulang.

Antara perkara yang perlu dihindarkan pesakit ialah menggunakan sabun mandi yang mempunyai pewangi kerana ia mengandungi lebih banyak bahan kimia yang boleh menyebabkan kulit kering.

Pesakit juga perlu mengelak berada di tempat panas kerana kulit mereka yang sensitif akan memberi kesan buruk apabila berpeluh.

Mereka juga menghindarkan kulit daripada bahan atau perkara yang boleh mencetuskan ekzema seperti kosmetik, pakaian, sabun pencuci pakaian mahupun barang kemas. Selain itu, elak juga pakaian tebal yang mudah membuatkan mereka berpeluh.

Pesakit harus menyapu pelembap bagi mengelak kulit kering. Jika ekzema dihidapi serius, steroid akan digunakan untuk mengurangkan masalah itu.




Baca Lagi...

08 April 2015

Diet sihat elak penyakit

Oleh Siti Zarinah Sahib

BERDASARKAN Kajian Kesihatan dan Morbiditi Nasional ketiga, 70 peratus daripada rakyat Malaysia dalam semua kumpulan usia mengamalkan diet tidak sihat dengan pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran yang tidak mencukupi. Selain itu, hanya 30 peratus daripadanya kerap bersenam dan mengamalkan gaya hidup sihat.

Di negara maju seperti Jepun, Korea dan negara Timur Tengah, rakyat mereka hidup lebih lama kerana mengamalkan pemakanan serta gaya hidup sihat. Salah satu unsur dalam diet mereka ialah makanan berasaskan tumbuh-tumbuhan, buah-buahan, bijirin penuh dan sederhana dalam protein tanpa lemak seperti ikan dan minyak. 

Menurut pakar pemakanan, Indra Balaratnam, di Malaysia isu kesihatan yang biasa dihadapi adalah berkaitan kurangnya pengambilan buah-buahan dan sayuran yang mempunyai manfaat dalam kesihatan selain bebas rokok, tidak me­ngambil minuman beralkohol dan dadah. 

Pemakanan yang baik adalah apabila seseorang mengamalkan makanan sihat bagi mengekalkan berat badan supaya tidak terlalu berat atau kurus. Bersenam untuk menguatkan jantung, paru-paru dan otot, tidur yang cukup sekurang-kurangnya lapan jam sehari serta menguruskan tahap tekanan yang akan mempengaruhi kehidupan,” katanya.

Malangnya, kebanyakan individu tidak mahu berkompromi dalam memilih makanan dan makan apa saja bagi memenuhi perut mereka. Tanpa sedar mereka mengambil makanan segera kerana lebih cepat dan mudah. Makanan ini dipenuhi lemak tepu, garam dan pengawet serta mengalami kehilangan vitamin dan mineral semula jadi akibat pemprosesan.


Baca Lagi...

07 April 2015

6 makanan bakar lemak

Banyak perkara yang boleh diperkatakan mengenai penurunan berat badan sehinggakan tiada satu pun dianggap mustahil. Ini kerana terdapat pelbagai cara menurunkan berat badan terutama mengehadkan pengambilan makanan berkalori tinggi dan bersenam setiap hari.

Menurut pakar pemakanan Orlando Magic, Tara Gidus, ada beberapa makanan yang dapat membantu fungsi pembakaran lemak dipanggil termogenik. Makanan termogenik membakar lebih banyak kalori.

Penulis buku Weight Loss: The Alternative Medicine Guide menjelaskan, makanan pembakar lemak mempunyai tiga karakter iaitu mengandungi protein, lemak dan serat yang tinggi.

"Makanan ini walaupun mengandungi lemak, ia memerlukan tenaga ketika proses penghadamannya. Ini membuatkan proses pembakaran lemak menjadi lebih cepat," ujarnya.

Berdasarkan kajian, terdapat enam makanan membakar lemak terbaik antaranya:

Daging tanpa lemak

Mengambil daging tanpa lemak untuk makan tengah hari akan membuatkan anda kenyang lebih lama. Ini kerana daging kaya protein sehingga memerlukan banyak tenaga ketika proses penghadaman.

Sekiranya tubuh memerlukan lebih tenaga untuk pemecahan protein yang terkandung dalam daging, ini bererti tubuh memerlukan lebih banyak kalori untuk membakarnya.

Teh hijau

Jurnal Nutrisi Klinikal Amerika melaporkan, minum empat cawan teh hijau setiap hari membuatkan berat badan berkurangan sehingga enam kilogram dalam tempoh lapan minggu. Ini kerana kandungan EGCG iaitu sejenis bahan antioksidan di dalam teh hijau menjadikan minuman ini sangat berkesan sebagai bahan pembakar lemak.

Avokado

Avokado mempunyai nilai kalori yang sangat tinggi, kaya lemak serta tinggi kandungan serat yang membantu membakar banyak lemak. Pengambilan avokado dalam hidangan harian menjadikan pembakaran kalori berlaku setiap hari.

Badam

Segenggam badam mengandung protein, lemak dan serat. Badam memberikan rasa kenyang lebih lama dan membantu membakar lemak tiga kali lebih cepat berbanding kekacang lain.

Cili merah

Ramai tidak tahu cili merah yang berfungsi menambah rasa pedas dalam masakan membantu meningkatkan kemampuan tubuh membakar lemak. Ini kerana kandungan capsaicin di dalam cili meningkat-

kan metabolisme.

Kopi

Kafein juga mampu membuat metabolisme bekerja lebih cepat. Ini kerana kafein dapat melakukan proses pemecahan lemak atau liposis. Satu atau dua cawan kopi setiap hari sudah mencukupi untuk pembakaran kalori anda.

Selain itu, pastikan anda mengambil banyak sayur-sayuran hijau dan buah-buahan kerana kedua-duanya membantu mengurangkan rasa lapar. Kandungan gula semula jadi yang terdapat di dalamnya memberikan rasa kenyang lebih lama.

Untuk mengelak rasa bosan, buah boleh dijadikan salad, jus atau snek harian. Jangan lupa, bersenam setiap hari selama 10 minit membantu tubuh kekal langsing dan sihat.


Baca Lagi...

06 April 2015

Toksik punca penyakit hati

MENGIKUT laporan Yayasan Hati Malaysia (MLF) tahun lalu, dianggarkan 2.5 juta penduduk di negara ini menderita penyakit hepatitis kronik dan jumlah itu tidak termasuk penyakit hati serius seperti jaundis serta sirosis hati (parut pada hati) akibat pengambilan alkohol.

Kombinasi makanan tidak berkhasiat, merokok, pengambilan alkohol, minuman berkarbonat, makanan dengan pewarna, pengawet dan racun perosak memberi kesan kepada organ yang bertanggungjawab menyingkirkan toksik dalam tubuh, menyebabkan seseorang itu terdedah kepada penyakit hati pada usia muda.

Wanita lebih terdedah penyakit hati sekalipun menjalani gaya hidup sihat tanpa mengambil alkohol dan merokok. Alat solek, barangan penjagaan diri dan rambut mungkin memberi kesan kepada sistem hormon kerana pelbagai jenis toksik daripada barangan berkenaan mudah menyerap melalui kulit.

Tambahan pula, wanita sering terdedah kepada produk pembersihan rumah yang mengandungi lebih 30 toksik dan bahan kimia yang menghakis, sesetengah daripadanya berbau harum yang memberi tanggapan salah bahawa ia bersih dan segar.

Antara gejala kemerosotan hati ialah gangguan sistem imun yang kerap menyebabkan penyakit yang memberi tekanan kepada tubuh dan boleh menyebabkan cepat tua, letih, mengantuk dan kurang daya tumpuan, kemurungan dan perubahan emosi, jerawat badan, cela pada kulit wajah, lingkaran gelap dan bengkak merah pada mata, peluh berlebihan dan badan berbau, masalah pencernaan, pedih hulu hati, kembung dan sembelit serta kurang toleransi terhadap makanan berlemak dan alkohol.


Baca Lagi...

Elak potong kaki

Oleh Zaitie Satibi 

Ramai dalam kalangan kita lebih bimbang mengenai penyakit jantung dan barah yang menjadi dua penyebab utama kematian dan memberik hanya sedikit perhatian terhadap diabetes.

Sepatutnya tidak begitu kerana diabetes ialah penyakit membawa maut yang meningkat dengan cepat dan menambah risiko kepada penyakit pembunuh utama yang lain.

Kira-kira 360 juta orang kini menghidap diabetes di seluruh dunia, manakala Kajian Kesihatan dan Kemorbidan Kebangsaan (NHMS) Malaysia pada 2011 menunjukkan, berlaku peningkatan daripada 14.9 peratus pada 2006 kepada 20.8 peratus pada 2011. Ini bermaksud seorang dalam setiap lima rakyat Malaysia dewasa kini penghidap diabetes.

Peningkatan jumlah penghidap diabetes selari dengan pertambahan saiz badan mereka yang berkembang secara berterusan dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini.

Diabetes ialah penyakit yang tidak boleh dipulihkan tetapi dengan usaha mencukupi, kita boleh melambat atau menghentikan komplikasi yang dikaitkan dengan kemajuan penyakit itu. Mengawal tahap glukos darah sangat penting untuk meminimumkan komplikasi yang berkait dengan diabetes.

Kawalan gula dalam darah yang tidak baik untuk satu tempoh panjang akan membawa kepada beberapa komplikasi, termasuk penyakit jantung, penyakit buah pinggang, retinopati dan neuropati (kerosakan saraf).

Kerosakan saraf diabetes

Hilang deria rasa, rasa kebas, berdenyut-denyut, sakit, rasa terbakar, malah rasa seperti dicucuk-cucuk dengan jarum pada kaki, jari kaki, jari tangan, lengan dan tangan ialah gejala kerosakan saraf.

Kerosakan saraf juga boleh berlaku dengan senyap, maksudnya anda langsung tidak menunjukkan gejala. Keadaan ini sangat berbahaya, terutama bagi penghidap diabetes dan pradiabetes. Tahukah anda, sehingga 60 hingga 70 peratus penghidap diabetes juga mengalami beberapa jenis kerosakan saraf?

Jika tindakan segera tidak diambil, keadaan ini akan membawa kepada pemotongan anggota iatu satu daripada komplikasi neuropati yang paling berpotensi menjadi serius.

Diabetes penyebab utama pemotongan anggota bawah di seluruh dunia

Doktor meramalkan hampir separuh daripada semua pemotongan anggota disebabkan oleh neuropati dan masalah peredaran yang boleh dielakkan.

Di Malaysia, sejumlah besar pesakit diabetes dimasukkan ke wad ortopedik di hospital kerajaan disebabkan komplikasi kaki diabetes. Majoriti daripada mereka perlu tinggal di hospital untuk tempoh lama dan perlu dimasukkan ke wad serta dibedah berulang kali.

Segelintir pula memerlukan pemotongan di sekeliling kaki atau buku lali, manakala segelintir lagi terpaksa menerima pemotongan di bawah atau atas lutut. Risiko mengalami pemotongan kaki ialah 27.7 kali lebih besar untuk seseorang yang menghidap diabetes.


Atasi masalah kesihatan

Baca Lagi...

04 April 2015

Pastikan wanita kekal sihat

Oleh Zaitie Satibi

Kesihatan wanita bukan saja menjadi petanda penting mengenai kedudukan dan taraf mereka, malah sebagai ibu dan pengasuh kerana mereka boleh mempengaruhi kesihatan seluruh keluarga dan masyarakat.

Justeru sangat penting bagi wanita mendapat kualiti penjagaan kesihatan yang baik dan sempurna membabitkan aspek jasmani, mental dan emosi.

Berikut adalah 10 isu kesihatan yang kerap dialami wanita:

1. Kanser

kanser yang kerap menyerang wanita adalah barah payudara dan kanser serviks. Pengesanan awal dua jenis kanser ini menjadi kunci memastikan wanita kekal sihat. Statistik global terbaru menunjukkan kira-kira setengah juta wanita maut akibat kanser serviks, manakala setengah juta lagi maut akibat kanser payudara setiap tahun.

Kebanyakan kes kematian berlaku di negara berpendapatan sederhana dan rendah kerana imbasan awal, pencegahan dan rawatan hampir tidak disediakan, manakala vaksin untuk virus human papilloma (HPV) ditangguhkan.

2. Kesihatan reproduksi

Masalah kesihatan reproduksi dan hubungan kelamin menyumbang satu pertiga isu kesihatan wanita berusia 15 hingga 44 tahun. hubungan kelamin yang tidak selamat adalah faktor utama, terutama wanita dan remaja di negara membangun. Kira-kira 222 juta wanita tidak mendapat perkhidmatan kontrasepsi yang diperlukan.

3. Kesihatan ibu

Kebanyakan wanita mendapat manfaat daripada penambahbaikan besar-besaran penjagaan ketika kehamilan dan kelahiran yang diperkenalkan sedekad lalu. Namun, kemudahan itu tidak disediakan di semua tempat dan pada 2013 dilaporkan kira-kira 300,000 wanita maut akibat komplikasi ketika mengandung dan bersalin. Kebanyakan kes kematian ini boleh dicegah jika perancangan keluarga dan kemudahan asas disediakan.

4. HIV

Sejak 30 tahun lalu ketika wabak AIDS melanda, ramai wanita muda menjadi mangsa jangkitan. Terlalu ramai wanita muda berjuang melindungi diri mereka daripada penyakit jangkitan hubungan kelamin HIV dan mendapat rawatan diperlukan.
Mereka terdedah kepada penyakit tuberkulasis atau batuk TB yang juga penyebab utama kematian dalam kalangan wanita berusia 20 hingga 59 tahun di negara berpendapatan rendah.

5. Penyakit jangkitan hubungan kelamin (STI)

Walaupun jangkitan HIV dan HPV penyakit jangkitan kelamin paling kerap dialami di seluruh dunia, penyakit jangkitan lain juga penting untuk dicegah dan dirawat seperti gonorrhoea, klamidia dan sifilis.

Ini kerana sifilis yang tidak dirawat menyumbang kira-kira 200,000 kematian bayi dalam kandungan dan pramatang setiap tahun, manakala 90,000 kematian bayi baru dilahirkan.

6. Keganasan terhadap wanita

Wanita mudah menjadi subjek kepada pelbagai bentuk keganasan yang berlainan, tetapi keganasan fizikal dan hubungan kelamin, sama ada dilakukan pasangan atau orang lain, adalah paling menyakitkan.

Hari ini, seorang daripada tiga wanita bawah 50 tahun mengalami keganasan fizikal atau hubungan kelamin dilakukan pasangan atau orang lain yang menjejaskan fizikal dan mental mereka dalam jangka masa pendek dan panjang.

Oleh itu, penting kepada mereka yang sihat untuk sentiasa prihatin terhadap keganasan dan membantu mencegahnya, selain memberi sokongan kepada mangsa.

7. Kesihatan mental

Kajian menunjukkan wanita lebih cenderung daripada lelaki untuk mengalami keresahan, kemurungan dan aduan somatik iaitu gejala fizikal yang tidak dapat dijelaskan secara perubatan. Kemurungan adalah masalah kesihatan mental paling kerap berlaku dalam kalangan wanita dan kejadian membunuh diri penyebab utama kematian wanita berusia bawah 60 tahun.
Oleh itu, penting menyedarkan mereka mengenai isu kesihatan mental dengan memberi sokongan untuk mendapatkan bantuan.

8. Penyakit tidak berjangkit (NCD)

Pada 2012, kira-kira 4.7 juta wanita maut sebelum usia 70 tahun akibat NCD dan kebanyakan mereka dari negara berpendapatan sederhana dan rendah. Mereka maut akibat kemalangan jalan raya, merokok, alkohol, dadah dan obesiti. Dianggarkan 50 peratus wanita di Eropah dan Amerika mengalami obesiti dan membantu remaja perempuan dan wanita lain mengamalkan gaya hidup sihat di peringkat awal adalah kunci kesihatan hidup.

9. Menjadi ibu muda

Remaja perempuan berdepan pelbagai cabaran kesihatan reproduksi dan hubungan kelamin seperti STI dan kehamilan. Kira-kira 13 juta remaja perempuan bawah usia 20 tahun melahirkan anak setiap tahun.

Komplikasi daripada kehamilan dan bersalin menjadi penyumbang utama kematian dalam kalangan ibu muda dan ramai menderita akibat keguguran yang tidak selamat.

10. Menjadi tua

Kebanyakan wanita yang sudah tidak bekerja atau bersara memperoleh wang pencen dan kemudahan lain yang sedikit berbanding lelaki, sekali gus kurang mendapat penjagaan kesihatan dan perkhidmatan sosial. Selain berisiko miskin dan masalah lain berkaitan usia tua seperti nyanyuk, wanita tua kurang mendapat perkhidmatan kesihatan yang baik.


Sumber : Harian Metro Online


Atasi masalah kesihatan
Baca Lagi...

Racun yang manis

Oleh Zaitie Satibi 

Tahukah anda apa itu gula? Ia ialah benda berbintil berwarna putih yang kita ambil dengan teh tarik atau kopi susu. Rasa gula merembeskan hormon rasa sedap dalam otak dan ini menjelaskan kenapa ramai rakyat Malaysia ke-tagihkan racun yang manis ini.

Sedarkah anda bahawa Malaysia, negara yang kecil dengan jumlah penduduk lebih kurang 28 juta orang, adalah pengguna gula kelapan paling tinggi di dunia?

Berada di kedudukan kelapan daripada 195 negara di dunia dan keempat di Asia bukan sesuatu yang patut kita banggakan. Kerajaan berbelanja jutaan ringgit untuk mendidik masyarakat mengenai bahaya gula melalui kempen dan iklan bagi merayu kita untuk mengurangkan pengambilan gula.

Pakar kesihatan kini mengatakan, gula sungguh bahaya dan boleh diletakkan dalam kategori sama dengan tembakau dan alkohol. Hakikatnya, penggunaan gula secara berlebihan kini ialah satu krisis kesihatan awam. Diabetes bukan sekadar sejenis penyakit berkaitan makanan, tetapi penyakit berkaitan gaya hidup.

Diabetes: Penyakit berkaitan gaya hidup

Menjaga diet dengan mengurangkan pengambilan gula dan karbohidrat yang diproses ialah permulaan baik, tetapi mempunyai stres kronik dan berlebihan serta kurang aktiviti fizikal boleh mensabotaj niat baik anda untuk menambah baik kesihatan.

Cuba bertenang dan berehat melalui aktiviti mengurangkan stres seperti meditasi dan senaman pernafasan dalam atau mungkin dapatkan urutan. Menggerakkan otot melalui senaman secara tetap juga memainkan peranan penting dalam mencegah diabetes.

Pandemik diabetes

Pada 1985, kira-kira 30 juta orang di seluruh dunia dikatakan menghidap diabetes. Lebih kurang sedekad kemudian, jangkaan itu meningkat melebihi 150 juta orang. Hari ini, menurut angka Persekutuan Diabetes Antarabangsa (IDF), jumlah itu melebihi 250 juta orang. Jika tiada tindakan diambil untuk melaksanakan program pencegahan dan kawalan efektif, jumlah penghidap diabetes akan mencapai angka 380 juta menjelang 2025.

Menurut Kajian Kesihatan dan Kemorbidan Kebangsaan (NHMS) dijalankan Kementerian Kesihatan, satu daripada lima rakyat Malaysia menghidap diabetes dan ini bermakna diabetes menjejaskan sehingga 22 peratus daripada penduduk negara ini.

Komplikasi diabetes

Majoriti penghidap diabetes atau pra-diabetes sering diberitahu mengenai komplikasi jangka panjang seperti serangan jantung dan strok, kebutaan, penyakit buah pinggang dan penyakit saraf (neuropati) yang akhirnya boleh membawa kepada pengulseran dan pemotongan jari-jari kaki, kaki dan anggota badan bahagian bawah.

Ini ialah sedikit fakta menakutkan tetapi benar:

a) Risiko pemotongan kaki ialah 27.7 kali lebih besar bagi penghidap diabetes
b) Separuh daripada semua pemotongan yang dijalankan berlaku kepada penghidap diabetes

Memahami neuropati periferal diabetes

Saraf periferal bertanggungjawab kepada sensasi yang anda rasa seperti sentuhan, kesakitan dan suhu. Hakikatnya, hujung jutaan saraf jenis ini ada di jari, tangan, jari kaki dan kaki anda. Saraf ini mengelak anda daripada bahaya dan menjauhkan anda daripada perkara panas, sejuk dan tajam.

Dalam neuropati periferal, anda mungkin kehilangan deria rasa, rasa berdenyut-denyut, kebas atau rasa panas pada kaki dan tangan. Kerosakan saraf boleh bermula sebelum seseorang itu didiagnosis dengan diabetes. Malah, seseorang dengan pra-diabetes juga boleh mendapat neuropati.

Walaupun rasa berdenyut-denyut, kebas atau rasa panas yang melampau ialah tanda biasa neuropati, ada juga penghidap diabetes langsung tidak mengalami gejala. Orang yang mempunyai neuropati diabetes selalunya me-ngalami masalah mengawal tahap glukosa darah, tekanan darah, kolesterol dan berat badan.

Bagaimana anda boleh tahu jika mengalami kerosakan saraf?

Doktor mendiagnosis kerosakan saraf berdasarkan gejala dan pemeriksaan fizikal. Ketika pemeriksaan, doktor memeriksa tekanan darah, kadar degupan jantung, kekuatan otot, refleks dan sensitiviti anda terhadap perubahan kedudukan, getaran, suhu atau sentuhan lembut.

Membawa tahap gula dalam darah ke julat normal ialah langkah pertama untuk mencegah kerosakan saraf lebih teruk. Pemantauan tahap gula dalam darah, perancangan hidangan makanan, aktiviti fizikal, pengambilan ubat atau insulin secara tetap akan membantu mengawal tahap glukos darah.

Ia mungkin mengambil sedikit masa tetapi secara umumnya, gejala akan bertambah baik apabila ada pengawalan glukos yang baik. Kawalan glukos darah yang baik boleh juga membantu mencegah atau melambatkan bermulanya masalah kesihatan lain.

Baca Lagi...

03 April 2015

Ibu hamil lemah daya imun tubuh

Berpantang makan adalah perkara biasa bagi mereka tetapi keperluan ini meningkat ketika hamil bagi mengelakkan masalah alahan diwarisi anak.

Meskipun tiada kajian yang membuktikan wujudnya kaitan langsung antara pemakanan ibu dengan risiko alahan pada janin, pakar perubatan menasihatkan supaya mereka lebih berhati- hati; setidak-tidaknya ia dapat mengelakkan masalah pada diri sendiri.

Alahan boleh berlaku kepada sesiapa pada bila-bila masa tanpa mengira usia. Kajian mendapati ramai orang dewasa alah terhadap makanan, ubat-ubatan, gigitan serangga dan senaman. Kebanyakan kanak-kanak pula mengalami alahan terhadap makanan.

Sesetengah pakar berpendapat hampir semua orang alah terhadap bahan tertentu tetapi tidak menyedarinya, mungkin disebabkan reaksi alahan yang sedikit dan tidak mendatangkan masalah besar.

Alahan ialah tindak balas sistem imun. Ia berlaku apabila badan tersilap tafsir bahan di dalam makanan (biasanya protein) sebagai benda asing berbahaya dan perlu dihapuskan. Badan menghasilkan antibodi dipanggil imunoglobulin E atau IgE untuk ‘membunuh’ protein itu dan tindak balas ini menyebabkan pelbagai gejala.

Menurut Perunding Obstetrik dan Ginekologi Hospital Assunta di Petaling Jaya, Dr Liew Fah Onn, gejala alahan boleh dibahagikan kepada tiga iaitu alahan sedikit, sederhana dan teruk (anafilaksis). Bagi alahan yang sedikit, seseorang itu mengalami gejala setempat (tidak merebak) seperti:

Ruam
Gatal
Mata berair 
Hidung tersumbat

Alahan sederhana bermakna gejala merebak ke lain bahagian badan dan seseorang itu boleh mengalami:

Gatal
Kesukaran bernafas

Alahan teruk atau melampau (anafilaksis) adalah tindak balas mendadak terhadap alergen yang membabitkan seluruh badan. Gejala alahan boleh bermula dengan gatal pada mata atau muka, dan dalam masa beberapa minit ia menjadi serius.

Tindak balas badan individu yang mengalami alahan teruk, berlaku dengan cepat. Apabila alergen memasuki aliran darah, badan melepaskan sejenis bahan kimia iaitu histamin untuk menghapuskannya. Bagi individu yang mengalami anafilaksis, badan mereka menghasilkan terlalu banyak histamin sehingga menyebabkan pelbagai gejala yang boleh mengancam nyawa pesakit. Antara gejala anafilaksis ialah: 

Gejala gangguan saluran pernafasan (lelah, bronkitis, asma) - yang menyebabkan kesukaran bernafas atau menelan

Kulit menjadi gatal, tumbuh ruam dan ekzema
Sakit perut
Muntah
Cirit-birit
Pening atau berasa keliru
Baca Lagi...