21 Januari 2011

HPV serang lelaki

BIASANYA apabila membincangkan pemberian vaksin bagi melindungi jangkitan virus Human Papilloma (HPV), tumpuan lebih diberi kepada wanita. Antara langkah proaktif terbaru yang diambil ialah memberi tiga dos suntikan vaksin kepada semua remaja perempuan berumur 13 tahun sebagai langkah pencegahan barah pangkal rahim.

Namun vaksin HPV yang pada asalnya dikhususkan untuk wanita kini didapati turut memberi perlindungan kepada lelaki dalam lingkungan usia sembilan hingga 26 tahun daripada jangkitan ketuat genital atau condyloma acuminata.

Ketuat genital ialah ketumbuhan mirip kubis bunga yang lembut, lembap atau menyerupai warna kulit, dan muncul di kawasan genital dalam tempoh beberapa minggu atau bulan selepas dijangkiti HPV 6 dan 11.

Ketuat genital ialah gejala jangkitan HPV genital yang paling mudah dikenali. Di kalangan wanita, ketuat genital boleh muncul pada bibir faraj (vulva) dan serviks, serta di dalam dan sekeliling faraj serta dubur. Manakala di kalangan lelaki pula ketuat boleh ‘tumbuh’ pada zakar (skrotum), pangkal paha dan paha.

Kajian menunjukkan kira-kira 75 peratus jangkitan baru HPV berlaku di kalangan lelaki dan wanita berusia antara 15 hingga 24 tahun. Persoalannya, bagaimana jangkitan virus HPV boleh berlaku?

“Jangkitan virus HPV berlaku melalui hubungan kelamin. Kebanyakan orang yang aktif dalam hubungan kelamin akan mendapat jangkitan HPV pada satu ketika dalam hayat mereka,” kata Perunding Obstetrik dan Ginekologi, Dr Suresh Kumarasamy.

Dalam kebanyakan kes baik bagi lelaki atau wanita, jangkitan HPV akan hilang dengan sendirinya (badan boleh membunuh virus). Bagaimanapun, sesetengah jenis jangkitan HPV boleh menyebabkan lesi genital luaran pada lelaki dan manakala wanita berisiko menghidap barah pangkal rahim dan barah lain yang berkaitan dengan HPV.

Ketuat ini lembap, lembut dan lazimnya mempunyai warna sama dengan kulit, dan boleh tumbuh pada bahagian genital (kemaluan) lelaki dan wanita dalam tempoh beberapa minggu atau bulan selepas dijangkiti. Kadangkala, ketuat genital muncul dalam kelompok yang menyerupai kubis bunga dan boleh berbeza bentuk dan saiznya.

Menurut Dr Suresh, ketuat genital sangat mudah berjangkit. Kira-kira dua pertiga daripada orang yang mengadakan hubungan kelamin dengan pasangan yang mempunyai ketuat genital juga akan dijangkiti, lazimnya dalam tempoh tiga bulan.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan ada 32 juta kes ketuat genital baru di seluruh dunia setiap tahun.

Kadar kejadian ketuat genital tertinggi berlaku dalam kalangan lelaki dan wanita berusia 18 hingga 28 tahun dan kadar ini semakin meningkat dalam kalangan kelompok lebih muda (15 hingga 19 tahun).

Antara tanda dan gejala ketuat genital ialah:

# Bagi wanita, ketuat genital tumbuh pada bibir faraj, pangkal rahim, bahagian di sekeliling dubur dan faraj

# Kes ketuat genital selalunya tiada gejala. Namun, bagi yang ada, gejala yang lazim berlaku termasuk:

> Lelehan yang lebih banyak dari faraj

> Pendarahan abnormal dari faraj selepas bersetubuh

> Pendarahan pada bahagian tumbuhnya ketuat

> Rasa pedih pada bahagian tumbuhnya ketuat

> Bagi lelaki, ketuat genital lazimnya muncul pada zakar dan boleh juga tumbuh pada celah kelangkang atau paha, namun ini jarang berlaku. Antara gejalanya ialah gatal-gatal pada zakar dan dubur.

Ketuat genital terbukti memberi kesan psikososial yang buruk kerana individu dijangkiti dilanda perasaan bimbang, cemas dan malu yang boleh menjejaskan hubungan pasangan, kata Perunding Dermatologi, Dr Steven Chow pada majlis pengumuman berkenaan kelulusan Kementerian Kesihatan pada penggunaan vaksin Gardasil untuk lelaki.

Dalam kaji selidik antarabangsa membabitkan 166 lelaki dan wanita mendapati, pesakit mengakui berasa lebih gelisah, malu, marah dan tidak lagi dapat merasai nikmat hubungan kelamin dengan pasangan selepas disahkan dan dirawat akibat ketuat genital.

Oleh kerana ketuat genital berbeza daripada segi rupa dan bahagian dijangkiti, pelbagai kaedah boleh digunakan untuk mengesannya sama ada secara visual, malah ada doktor menggunakan asid asetik atau cuka pada bahagian yang diperiksa untuk menampakkan lesi dengan lebih jelas.

Kata Dr Suresh, antara langkah pencegahan yang boleh diambil ialah mengelak hubungan kelamin dengan pasangan yang dijangkiti dan suntikan vaksin HPV.

Walaupun penggunaan kondom dapat mencegah kebanyakan penyakit kelamin, ia tidak melitupi seluruh bahagian kemaluan, justeru ia tidak dapat memberi perlindungan sepenuhnya daripada ketuat genital.

Itu perlindungan untuk lelaki. Bagi wanita pula, suntikan HPV melindungi daripada barah pada pangkal rahim, faraj dan bibir faraj.

Hampir semua kejadian barah disebabkan virus HPV dan dua pertiga daripadanya akibat HPV 16 dan 18. Di seluruh dunia, barah pangkal rahim menduduki tangga kedua paling lazim menyerang wanita dan menjadi penyebab kematian kedua terbesar di kalangan wanita selepas barah payudara.

Keadaan sama berlaku di negara kita dan kes paling banyak dicatat di kalangan wanita berusia 15 hingga 44 tahun. Anggaran terkini menunjukkan kira-kira enam wanita di Malaysia dikesan menghidap barah pangkal rahim yang menyebabkan dua kematian setiap hari.

Menyedari hakikat inilah rata-rata remaja perempuan berumur 13 tahun teruja menerima suntikan vaksin HPV apabila program ini dimulakan tahun lalu.

Di negara kita ada dua jenis vaksin HPV; jenis pertama yang diberi kepada pelajar perempuan tingkatan satu memberi perlindungan kepada HPV16 dan HPV18 iaitu dua strain virus paling kerap menyebabkan barah pangkal rahim.

Manakala jenis kedua pula memberi perlindungan kepada empat strain HPV iaitu HPV6, 11, 16 dan 18; jenis inilah yang disaran untuk diberi kepada lelaki berusia sembilan hingga 26 tahun.

Walaupun vaksin yang diberi kepada pelajar perempuan hanya memberi perlindungan kepada HPV16 dan 18, ia juga dianggap cukup untuk mencegah barah faraj. Meskipun kes catatan dua barah ini jauh lebih rendah, tetapi lebih baik jika ia dapat dicegah.

Ini sebabnya ibu bapa juga perlu membawa anak lelaki mendapatkan suntikan vaksin HPV dan bagi yang bekerja, tidak salah melaburkan sedikit wang demi kebaikan isteri dan diri sendiri. 




0 comments: