27 Januari 2011

Gejala perut kembung

SELAIN jaga makan dengan mengurangkan pengambilan makanan berlemak, rajin-rajinlah bersenam. Banyak gangguan kesihatan diatasi dengan bersenam termasuk masalah kembung perut; nasihat seorang pakar perubatan dalam ceramah umum menjawab soalan wanita yang mengadu kerap berasa tidak selesa setiap kali selepas makan walaupun dia hanya makan sedikit.

Kembung perut atau banyak angin tidak hanya berlaku pada bayi tetapi dianggap masalah biasa yang dialami kebanyakan orang, terutama wanita.

Dianggarkan tujuh atau lapan daripada setiap 10 orang mengalami masalah gas berlebihan dan walaupun tidak berbahaya, ia boleh menjejaskan daya tumpuan, prestasi kerja dan kualiti hidup seseorang.

Masalah kembung perut atau pengembangan abdomen sebenarnya tidak berlaku pada perut, sebaliknya di dalam usus kecil. Biasanya ia disebabkan proses penghadaman yang tidak teratur dan mengakibatkan penghasilan lebih banyak gas daripada biasa. Kehadiran gas berlebihan ini menyebabkan perut terasa sesak dan tidak selesa.

Gejala kembung perut menandakan kita mengalami masalah tidak toleran makanan — maknanya ada jenis makanan yang boleh mengakibatkan kita berasa tidak selesa.

Ketika proses pencernaan di dalam usus, makanan dipecahkan kepada komponen nutrien untuk diserap semula sebagai tenaga. Bahan yang tertinggal ini bergerak ke dalam usus besar untuk dibuang sebagai najis.

Sesetengah bahan sisa ini menghasilkan gas metana, oksigen dan nitrogen. Namun, apabila gas dihasilkan secara berlebihan, ia menolak dinding usus yang menyebabkan kita berasa ‘kembung’ dan tidak selesa.

Secara purata kita menghasilkan antara 0.5 hingga dua liter gas di dalam sistem pencernaan setiap hari iaitu oksigen, karbon dioksida, nitrogen, hidrogen sulfida, ammonia dan metana.

Gas oksigen, karbon dioksida dan nitrogen adalah komponen yang paling besar masuk ke dalam sistem pencernaan melalui mulut ketika kita menelan.

Gas dalam usus datang daripada dua sumber utama iaitu udara yang ditelan dan makanan. Setiap kali kita menelan, sedikit gas masuk ke dalam perut dan berpindah ke usus kecil di mana sebahagian daripadanya diserap ke dalam badan. Baki gas yang tidak diserap akan masuk ke dalam usus besar (kolon) dan dikeluarkan melalui dubur (rektum). Angin yang masuk ke dalam perut tidak berpindah ke usus kecil atau besar, sebaliknya dikeluarkan melalui mulut (sendawa).

Gas yang terkumpul dalam perut dan usus dikeluarkan secara berperingkat sepanjang hari. Biasanya ia tidak menimbulkan masalah tetapi bagi individu yang sensitif, pengumpulan gas menyebabkan ketidakselesaan dan perut terasa kembung setiap kali selepas makan.

Ada dua cara semula jadi untuk mengeluarkan gas ini iaitu melalui sendawa dan kentut. Gas ini tidak berbau tetapi bau kentut disebabkan kehadiran gas surih seperti hidrogen sulfida yang terhasil apabila makanan di dalam usus mengalami proses pereputan.

Biasanya masalah kembung atau sakit perut lebih terasa pada waktu tengah hari, terutama selepas makan, kerana makanan berlemak juga sebenarnya boleh merangsang kepada pengumpulan gas di dalam perut kerana lemak memperlahankan proses pengosongan perut dan membenarkan lebih banyak gas terkumpul.

Banyak faktor boleh menyebabkan seseorang itu mengalami masalah angin berlebihan, seperti kerap mengunyah gula-gula getah atau mengulum gula-gula keras; makan atau minum terlalu cepat dan makanan ditelan sebelum ia lumat; banyak bercakap, bercakap terlalu cepat atau banyak berbual ketika makan; minum minuman berkarbonat, gigi palsu tidak dipasang dengan baik, tekanan (individu tertekan biasanya menelan lebih banyak udara), merokok dan makan makanan banyak lemak mengambil masa lebih lama untuk dicerna dan memberi peluang banyak gas terkumpul dalam perut. Masalah ini juga boleh disebabkan keradangan pada lapisan dalam perut atau gastritis. Banyak perkara boleh menyebabkan gastritis dan antara paling lazim ialah jangkitan bakteria Helicobacter pylori (H pylori). Apabila bakteria ini masuk ke dalam perut, ia menyebabkan masalah kembung yang berpanjangan.

Selain itu pengambilan sumber serat (sayur, buah atau kekacang) yang terlalu banyak secara mendadak; ketegangan sebelum haid (yang hilang apabila haid bermula); pengambilan pil pencegah kehamilan; kekurangan protein dan air serta terlalu banyak makan makanan masin atau diproses juga dikenal pasti boleh menyumbang kepada masalah ini.

Malah proses pemecahan makanan yang tidak tercerna juga mengakibatkan masalah gas berlebihan. Bukan semua makanan diserap oleh badan. Sesetengah jenis karbohidrat, contohnya gula, kanji dan serat di dalam usus tidak dapat diserap akibat kekurangan atau ketiadaan enzim tertentu. Jadi, makanan yang tidak diserap akan berpindah dari usus kecil ke usus besar di mana bakteria baik memecahkannya dan menghasilkan gas hidrogen, karbon dioksida dan metana. Semua gas ini akhirnya keluar melalui dubur.

Antara gejala kita mengalami masalah angin berlebihan ialah:

# Kerap buang angin — Secara purata kita buang angin kira-kira 10 kali sehari. Namun kekerapan ini boleh bertukar antara enam hingga 20 kali sehari. Jika lebih daripada itu, ia dikira keterlaluan;
# Kerap sendawa — Sendawa selepas makan adalah perkara normal dan gas dikeluarkan apabila perut penuh berisi makanan. Bagaimanapun jika kerap sendawa, ia mungkin disebabkan seseorang itu menelan terlalu banyak udara dan melepaskan udara berkenaan sebelum ia sampai ke perut. Sesetengah orang sengaja menelan udara untuk membuat mereka sendawa bagi melegakan ketidakselesaan perut.

Kajian menunjukkan tindakan ini tidak memberi kelegaan, sebaliknya ia hanya menambah kandungan udara dalam perut. Malah ia boleh merangsang berlakunya masalah asid refluks iaitu aliran songsang asid dalam perut ke dalam salur makanan (asid gastrik di dalam perut tertolak ke atas ketika individu berkenaan cuba sendawa). Selain itu sendawa yang terlalu kerap mungkin menjadi petanda kepada masalah usus atas seperti ulser peptik atau asid refluks,

# Kembung — Keadaan ini boleh disebabkan oleh kehadiran angin dalam perut dan usus. Ia juga mungkin disebabkan jangkitan bakteria H pylori;

# Sakit perut atau rasa tidak selesa — Ia adalah masalah biasa tetapi kadangkala gejala ini boleh mengelirukan. Pengumpulan gas dalam usus yang menyebabkan kesakitan boleh berlaku di mana-mana sepanjang usus, sama ada di kiri atau kanan. Jika pengumpulan gas berlaku pada bahagian kiri usus, mungkin ditafsir sebagai penyakit jantung dan jika di belah kanan pula, ia menyerupai masalah batu hempedu atau apendiks.

Masalah gas berlebihan ini boleh diatasi dengan beberapa cara, antaranya:

# Perubahan pada makanan — Kenal pasti makanan yang boleh menyebabkan banyak angin seperti bunga kubis, kubis, brokoli, kekacang, kebanyakan makanan berkanji kecuali beras (kentang, jagung, gandum), bawang serta makanan bergoreng dan banyak lemak;

# Jika anda ada masalah alahan pada gula dalam susu (laktosa); elak mengambil susu dan produk tenusu. Sebaliknya, gantikan dengan susu tanpa laktosa atau minum yogurt kerana kajian mendapati bakteria dalam yogurt (probiotik) dapat mengurangkan masalah ini;

# Kurangkan buah-buahan dan pemanis makanan kerana makanan manis mengandungi gula fruktosa juga boleh menyebabkan penghasilan gas berlebihan dalam usus. Usus kecil kita hanya boleh menyerap fruktosa pada jumlah tertentu dan selebihnya masuk ke dalam usus besar dan menjalani proses penapaian seperti laktosa. Elak juga pemanis makanan seperti sorbitol kerana ia sukar diserap badan;

# Elak minum minuman berkarbonat, mengunyah gula-gula getah atau mengulum gula-gula;
# Pastikan gigi palsu dipasang dengan baik;

# Tumpukan perhatian pada makanan ketika makan dan kunyah makanan perlahan-lahan sehingga benar-benar lumat;
# Perlahankan rentak percakapan;

# Tingkatkan pengambilan sumber serat secara berperingkat;

# Kerap bersenam kerana senaman semudah berjalan atau joging boleh membantu merangsang pergerakan gas dalam usus. 




 

0 comments: