Amalan gaya hidup sihat cegah NCD

Posted by BioVCO on 06:04 with No comments
PENYAKIT tidak berjangkit (Non-Communicable Diseases atau NCD) seperti penyakit jantung, diabetes, kanser dan paru-paru kronik adalah pembunuh utama penduduk dunia. 

Mengikut kajian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di peringkat global, seramai 17 juta orang mati akibat penyakit kardiovaskular pada 2005, 7.4 juta lagi mati akibat kanser pada 2004, 220 juta penduduk lagi menghidap diabetes pada 2005, manakala 1.1 juta meninggal dunia akibat penyakit sama. 

Setiap tahun, kira-kira empat juta orang di seluruh dunia mati akibat penyakit paru-paru. 

Malaysia tidak terkecuali. Malah, kajian mendapati penyakit jantung dan strok mencatatkan jumlah tertinggi kadar kematian di hospital kerajaan dan ia juga adalah punca utama kematian pramatang (di bawah 60 tahun) di Malaysia. 
Tahun lalu saja, jumlah kematian akibat NCD di hospital kerajaan di seluruh negara mencecah 47,266 orang. 

Negara turut berada di kedudukan ke enam di Asia Tenggara dengan kadar obesiti dewasa yang tertinggi. 
Menyedari pentingnya kawalan dan pencegahan bagi NCD, Kementerian Kesihatan mengambil langkah proaktif bagi menangani isu berkenaan menerusi Pelan Strategik Kebangsaan untuk Penyakit NCD (National Strategic Plan for NCD atau NSP-NCD). 

NSP-NCD mengguna pakai tujuh strategi utama, iaitu pencegahan dan promosi kesihatan, rawatan klinikal, memperkasakan pesakit, bertindak bersama badan bukan kerajaan, badan profesional dan lain-lain pihak yang berkaitan, pemantauan, penyelidikan dan survelan, bina insan dan intervensi polisi dan peraturan-peraturan. 

Antara rancangan yang sudah dan bakal dilaksanakan (bagi intervensi polisi dan peraturan-peraturan) termasuklah mengukuhkan polisi aktiviti fizikal dan pemakanan dalam perancangan pembangunan di semua agensi dan kementerian, meneruskan pengawalan serta pengurangan kandungan garam dan gula dalam makanan yang diproses dan minuman berbungkus. 

Selain itu, kemudahan awam turut dipertingkatkan bagi mempromosi lebih banyak aktiviti senaman dan fizikal dalam persekitaran selamat misalnya di taman awam, kompleks sukan awam, laluan basikal, joging dan gimnasium awam. 

Meningkatkan liputan sistem pengangkutan awam yang efisien di seluruh negara bagi menggalakkan orang ramai menggunakan kemudahan itu dengan lebih meluas dan merangsang lebih banyak aktiviti fizikal, selain menambah lebih banyak kemudahan pengesanan kesihatan. Cadangan wajibkan saringan kesihatan kepada semua pekerja 40 tahun dan ke atas. 

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata tahun ini saja, kementerian sudah melaksanakan 55 projek pencegahan NCD iaitu 35 projek di dalam komuniti, 11 di sekolah dan sembilan di tempat kerja seluruh negara. 

Selain itu, klinik 1Malaysia turut disediakan di beberapa kawasan bandar (urban) yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi seluruh negara. kini dianggarkan 75 peratus penduduk Malaysia tinggal dalam dalam lingkungan lima kilometer radius dari fasiliti kesihatan KKM. Di kawasan luar bandar (rural), kementerian telah menyediakan klinik bergerak, termasuklah inisiatif terbaru Klinik Bergerak 1Malaysia, dan juga perkhidmatan flying doctor. 

“Pencegahan NCD memerlukan pembabitan semua pihak. Amalan gaya hidup sihat adalah antara kunci utama bagi pencegahan penyakit NCD. 

“Mengikut kajian lebih 80 peratus daripada penyakit jantung, strok, diabetes Jenis 2 dan lebih sepertiga kanser boleh dicegah menerusi amalan gaya hidup sihat dan mengelakkan diri daripada terjebak dalam amalan berisiko seperti merokok, pemakanan yang tidak sihat, gaya hidup yang sedentari (atau tidak aktif) dan pengambilan alkohol,” katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di Putrajaya, baru-baru ini. 

Liow berkata tanpa gaya hidup sihat, rakyat negara kini lebih terdedah kepada penyakit NCD. 

Malah, katanya, di Malaysia, jumlah perokok yang berusia 18 tahun ke atas adalah seramai 2.8 juta orang atau 21.5 peratus pada 2006, kurang aktiviti fizikal seramai 5.5 juta rakyat Malaysia atau 43.7 peratus, berlebihan berat badan sebanyak 29.1 peratus, manakala obesiti sebanyak 14 peratus. 

Kajian juga mendapati wanita mempunyai kadar berlebihan berat badan sebanyak 17.4 peratus berbanding lelaki hanya 10 peratus, manakala golongan suri rumah mempunyai kadar obesiti tertinggi iaitu 20.3 peratus. Kaum India dan Melayu pula mencatatkan kadar obesiti lebih tinggi daripada bangsa lain. 

Penyakit NCD boleh menyebabkan krisis keluarga dan kewangan, kekurangan kualiti kehidupan, kerugian dalam produktiviti dan meningkatkan bebanan negara. 

 Rawat dan sihat tanpa ubat