rawatan dan sihat tanpa ubat

Blog Minyak Kelapa Dara | Blog Info Terkini


Custom Search




17 Januari 2011

Pendinding penyakit

APABILA sakit, biasanya kita akan dibekalkan dengan pil atau cecair antibiotik bersama ubat-ubatan tetapi jarang kita mendengar mengenai probiotik. Antibiotik adalah sebatian kimia yang diguna untuk melawan jangkitan bakteria berbahaya.

Ia boleh diperoleh daripada sumber biologi seperti kulat dan mikro organisma. Dengan kemajuan sains, antibiotik kini boleh dihasilkan melalui sintesis kimia. Antibiotik ini bertindak membunuh bakteria yang menyebabkan jangkitan.

Semua antibiotik mesti dimakan sehingga habis. Ini bagi memastikan semua bakteria penyebab penyakit dibunuh untuk mengelak wujudnya jenis bakteria yang akan imun kepada antibiotik itu. Jika ini berlaku, seseorang individu itu akan memerlukan antibiotik yang lebih kuat untuk membunuh bakteria berkenaan.

Manakala probiotik ialah bakteria baik yang wujud secara semula jadi pada dinding usus untuk menjadikan kita kuat dan sihat. Ia menggalakkan kesihatan yang baik, menghasilkan keseimbangan kehidupan mikro organisma dalam usus dan membantu sistem penghadaman berfungsi dengan baik.

Jadi, probiotik adalah pencegah penyakit berbanding antibiotik yang bertugas selepas diserang penyakit. Dalam kata lain, probiotik lebih bertindak sebagai pendinding kepada sebarang penyakit.

Kebanyakan penyakit berpunca daripada pemakanan tidak sihat, gaya hidup dan keturunan serta bermula di bahagian penghadaman atau usus.

Adalah penting melakukan sesuatu untuk menambah bakteria baik dalam mengekalkan mekanisma imun usus berfungsi dengan baik. Selain kulit dan sel darah putih, usus juga menjadi sebahagian daripada sistem pertahanan badan manusia.

Cara paling mudah menambah probiotik adalah mengambil makanan mengandungi kultur hidup seperti minuman probiotik atau suplemen, yogurt, keju dan bijiran probiotik setiap hari.

Apabila memperkatakan mengenai probiotik, pasti akan dikaitkan dengan pelopornya, Dr Minoru Shirota, penyelidik dari Universiti Kyoto, Jepun, yang menemui bakteria baik itu pada 1930. Beliau menamakan penemuan bakteria itu sebagai Lactobacillus casei Shirota strain (LcS) bersempena namanya.

Penyelidikan Dr Shirota itu didorong penyelidikan saintis Rus- sia, Dr Elie Metcnikoff yang membongkar rahsia golongan nomad Bulgaria yang mampu hidup lebih 100 tahun disebabkan pengambilan susu masam setiap hari.

Bertitik tolak daripada penemuan itu, lahirlah minuman Yakult yang diperkenalkan di pasaran Jepun pada 1935 dengan falsafah Shirotaisme bahawa manusia mampu hidup lebih lama dengan menjaga kesihatan usus, iaitu tempat makanan diserap tubuh.

Sejak itu beberapa kajian saintifik mengenai kegunaan bakteria baik dijalankan secara berterusan, terutama kebaikannya dalam mencegah pelbagai penyakit seperti cirit-birit dan kanser, termasuk kanser kolon, payudara dan pundi kencing.

Selain itu, pengambilan bakteria baik itu turut diamalkan dalam pemakanan bagi mereka yang menghidap kanser di beberapa hospital yang memberi rawatan kanser di Jepun.

Dalam kajian yang dijalankan Yakult Dengan Institut Taun Dan Penyakit Enterik India pada 20 Ogos lalu, mengenai kejadian cirit-birit teruk dengan Institut Taun Dan Penyakit Enterik Di Kolkata, India, mendapati pengambilan bakteria baik itu berkesan dalam mengurangkan kejadian cirit birit di kalangan kanak-kanak yang dikaji.

Kajian itu membabitkan 3,585 kanak-kanak yang tinggal di dalam masyarakat setinggan bandar di Kolkata.

Hasilnya, pengambilan bakteria berkenaan dalam minuman kultur Yakult dilihat berkesan dalam mengurangkan kejadian cirit-birit teruk di kalangan kanak-kanak dan perbezaan secara statistik adalah sangat ketara.

Kesimpulannya, pengambilan berterusan minuman Yakult boleh menambah bakteria baik dan mengurangkan bakteria berbahaya dalam usus; mengurangkan penghasilan bahan toksid berbahaya dalam tubuh; membantu pelawasan; mengelak sembelit dan cirit-birit; membantu sistem imun (pertahanan badan) melawan jangkitan serta mencegah pembentukan sel kanser.

APABILA sakit, biasanya kita akan dibekalkan dengan pil atau cecair antibiotik bersama ubat-ubatan tetapi jarang kita mendengar mengenai probiotik.

Antibiotik adalah sejenis sebatian kimia yang digunakan untuk melawan jangkitan bakteria berbahaya.

Ia boleh diperoleh daripada sumber biologi seperti kulat dan mikro organisma. Dengan kemajuan sains, antibiotik kini boleh dihasilkan melalui sintesis kimia. Antibiotik ini bertindak membunuh bakteria yang menyebabkan jangkitan.

Semua antibiotik mesti dimakan sehingga habis. Ini bagi memastikan semua bakteria penyebab penyakit dibunuh untuk mengelak wujudnya jenis bakteria yang akan imun kepada antibiotik itu. Jika ini berlaku, seseorang individu itu akan memerlukan antibiotik yang lebih kuat untuk membunuh bakteria berkenaan.

Manakala probiotik ialah bakteria baik yang wujud secara semula jadi pada dinding usus untuk menjadikan kita kuat dan sihat. Ia menggalakkan kesihatan yang baik, menghasilkan keseimbangan kehidupan mikro organisma dalam usus dan membantu sistem penghadaman berfungsi dengan baik.

Jadi, probiotik adalah pencegah kepada penyakit berbanding antibiotik yang bertugas selepas diserang penyakit. Dalam kata lain, probiotik lebih bertindak sebagai pendinding kepada sebarang penyakit.

Kebanyakan penyakit berpunca daripada pemakanan tidak sihat, gaya hidup dan keturunan serta bermula di bahagian penghadaman atau usus.

Adalah penting melakukan sesuatu untuk menambah bakteria baik dalam mengekalkan mekanisma imun usus berfungsi dengan baik. Selain kulit dan sel darah putih, usus juga menjadi sebahagian daripada sistem pertahanan badan manusia.

Cara paling mudah menambah probiotik adalah dengan mengambil makanan mengandungi kultur hidup seperti minuman probiotik atau suplemen, yogurt, keju dan bijiran probiotik setiap hari.

Apabila memperkatakan mengenai probiotik, pasti akan dikaitkan dengan pelopornya, Dr Minoru Shirota, penyelidik dari Universiti Kyoto, Jepun yang menemui bakteria baik itu pada 1930. Beliau menamakan penemuan bakteria itu sebagai Lactobacillus casei Shirota strain (LcS) bersempena namanya.

Penyelidikan Dr Shirota itu didorong penyelidikan saintis Russia, Dr Elie Metcnikoff yang membongkar rahsia golongan nomad Bulgaria yang mampu hidup lebih 100 tahun disebabkan pengambilan susu masam setiap hari.

Bertitik tolak daripada penemuan itu, lahirlah minuman Yakult yang mula diperkenalkan di pasaran Jepun pada 1935 dengan falsafah Shirotaisme bahawa manusia mampu hidup lebih lama dengan menjaga kesihatan usus, iaitu tempat makanan diserap dalam tubuh.

Sejak itu beberapa kajian saintifik mengenai kegunaan bakteria baik berkenaan dijalankan secara berterusan, terutama kebaikannya dalam mencegah pelbagai penyakit seperti cirit-birit dan kanser, termasuk kanser kolon, payudara dan pundi kencing.

Selain itu, pengambilan bakteria baik itu turut diamalkan dalam pemakanan bagi mereka yang menghidap kanser di beberapa hospital yang memberi rawatan kanser di Jepun.

Penyelidik kanan di Institut Yakult Pusat Tokyo, Dr MasanobuNanno dalam kajiannya membuktikan ada hubungan antara pengambilan secara berterusan Yakult dan risiko kanser pundi kencing.

Kajian itu meliputi 180 pesakit kanser pundi kencing yang dirawat di hospital di tujuh wilayah Jepun dalam tempoh tiga tahun. Seramai 445 orang yang sihat dijadikan perbandingan dari segi umur dan jantina.

Hasil kajian menunjukkan, mereka yang mengambil Yakult mencatat penurunan risiko menghidap kanser pundi kencing, manakala mereka yang merokok meningkat peluang menghadapi penyakit itu.

Dalam satu lagi kajian yang dijalankan Yakult Dengan Institut Taun Dan Penyakit Enterik India pada 20 Ogos lalu, mengenai kejadian cirit-birit teruk dengan Institut Taun Dan Penyakit Enterik Di Kolkata, India mendapati pengambilan bakteria baik itu berkesan dalam mengurangkan kejadian cirit birit di kalangan kanak-kanak yang dikaji.

Kajian itu membabitkan 3,585 kanak-kanak yang tinggal di komuniti setinggan bandar di Kolkata. Hasilnya, pengambilan bakteria berkenaan dalam minuman kultur Yakult dilihat berkesan dalam mengurangkan kejadian cirit-birit teruk di kalangan kanak-kanak dan perbezaan secara statistik adalah sangat ketara.

Kesimpulannya, pengambil berterusan minuman Yakult boleh menambahkan bilangan bakteria baik dan mengurangkan bakteria berbahaya dalam usus; mengurangkan penghasilan bahan toksid berbahaya dalam tubuh; membantu pelawasan; mengelak sembelit dan cirit-birit; membantu sistem imun (pertahanan badan) melawan jangkitan serta mencegah pembentukan sel kanser.



16 Januari 2011

Beban batu karang

SAKIT batu karang sudah terlalu kerap kita dengar. Jika bukan diri sendiri, pasti ada rakan atau saudara mara yang mengadu pernah berdepan masalah yang menjejaskan kehidupan seharian.

Apa tidaknya, ada yang sukar berjalan akibat kesakitan teramat sangat pada perut sehingga terpaksa cuti sakit. Apakah sebenarnya masalah ini? Batu karang merujuk keadaan yang mana wujud sisa mineral halus seakan batu kristal di sepanjang saluran kencing. Saluran ini mengandungi organ seperti buah pinggang, ureter, pundi kencing dan urethra yang berfungsi menapis darah untuk membuang kekotoran yang kemudian disingkir dari tubuh.

Pembentukan batu biasanya mula terbentuk di buah pinggang sebelum bergerak ke bahagian lain saluran kencing hingga tersumbat di tiub yang lebih kecil seperti batu pundi, batu uriterik dan batu buah pinggang menyebabkan pesakit merasa sakit yang teramat sangat.

Pakar Perunding Urologi Hospital Pakar KPJ Kajang, Dr Mohd Ridzwan Yusof berkata kelompok usia yang sering mengalami masalah ini adalah antara 20 hingga 40 tahun. Ada juga yang berlaku pada usia di bawah 20 dan melebihi 40 tahun, walau bagaimanapun kes begini adalah jarang.

Penyakit batu karang lebih mudah menyerang lelaki berbanding wanita iaitu pada nisbah tiga lelaki bagi setiap seorang wanita. Ini disebabkan lelaki memiliki hormon testosteron yang tinggi. Ini menjelaskan mengapa orang tua dan kanak-kanak jarang mendapat penyakit ini memandangkan hormon testosteron mereka rendah.

“Punca utama terbentuknya batu karang terbahagi kepada faktor luaran membabitkan diet yang tinggi kandungan bahan kimia atau purine. Bahan kimia ini ada di dalam organ dalaman haiwan, angsa, ekstrak daging, makanan laut, telur ikan dan arak,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Faktor lain penyebab batuk karang adalah kurang minum air, keadaan kerja yang tidak banyak pergerakan (seperti di pejabat atau kerjaya pemandu lori, teksi) dan kerja di luar yang terdedah kepada matahari. Tidak ketinggalan, faktor geografi iaitu negara Asia termasuk Malaysia yang ramai pesakit batu karang serta bangsa yang mana mereka berkulit cerah lebih mudah menghidapnya berbanding kulit hitam.
Punca lain termasuk kadar mineral tidak seimbang, peningkatan hormon, pesakit yang menjalani pembedahan pintasan usus, kekurangan bahan-bahan pencegahan dalam air kencing (citrate, magnesium dan zink), jangkitan saluran kencing dan laluan kencing yang tidak normal.

“Kajian sebelum ini pula menunjukkan 25 peratus pesakit batu karang mempunyai sejarah keluarga dan ini bermakna ia ada kaitan dengan faktor genetik. Malah antara penyakit genetik yang dikaitkan dengan batu karang termasuk renal tubular, tubalar acidosis dan cystinuria,” katanya.

Dr Mohd Ridzwan berkata, tanda-tanda utama penyakit batu karang termasuk rasa senak secara mengejut dan berulang-ulang dan terlalu sakit hingga ada pakar yang menggambarkan kesakitannya lebih teruk daripada sakit bersalin, kencing berdarah, muntah-muntah dan kencing tak lawas.

Bagi tanda-tanda yang agak lewat pula, adalah kegagalan buah pinggang, loya, muntah dan sesak nafas.

Mengenai saiz batu karang, katanya, ia bergantung kepada di mana lokasi ia terbentuk sama ada di dalam buah pinggang yang mana ia boleh memenuhi semua rongganya dengan saiz maksimum sehingga 4 sentimeter.

Dalam pundi kencing pula ia boleh memenuhi rongga itu sehingga 10 sentimeter dan di saluran uriter (antara buah pinggang dan pundi kencing) selalunya kurang daripada satu sentimeter.

Mengikut kaedah konservatif, batu karang boleh dirawat dengan meningkatkan pengambilan air sebanyak 3 liter sehari, rawatan perubatan atau ubat-ubatan mengurangkan asid dalam air kencing; ubat penahan sakit, suntikan dan ubat-ubatan pemecah batu yang tidak spesifik bagi kes yang tidak serius.

Apakah jenis batu dialami mereka? Menurut Dr Ridzwan, bagi 100 pesakit misalnya, kira-kira 80 peratus mengalami jenis batu kalsium, batu asid urik, struvite dan lain-lain.

Bagi kaedah kurang invasif atau tidak membabitkan pembedahan, beberapa cara boleh digunakan mengikut tahap batu karang pesakit seperti gelombang Extracorporial shockwave lithotripsy (ESWL) khusus untuk batu bersaiz kurang dua sentimeter.

Sesetengah batu seperti systine dan calsium oxalat monohydrate adalah sangat keras dan susah untuk dipecahkan menggunakan kaedah ini. Teknik ini juga tidak sesuai bagi mereka yang menghidap darah tinggi, masalah saluran darah mengambil ubat pencair darah dan batu yang dijangkiti kuman.

PCNL atau Percutaneous Nephrolithotripsy merawat batu saiz lebih dua sentimeter; retrograde Intrarenal surgery (RIRS) merawat batu kurang satu sentimeter yang mana batu karang itu dipecahkan menggunakan laser.

Apakah peluang pesakit untuk pulih? Biarpun hakikatnya, batu karang boleh pulih sepenuhnya, tetap ada kebarangkalian tinggi untuk berulang. Kajian di Amerika Syarikat menunjukkan 10 peratus pesakit boleh mengalami semula masalah itu dalam masa setahun, 35 peratus kes dalam masa lima tahun dan 50 peratus kes dalam masa 10 tahun.

Namun masih ada kaedah untuk mengelak penyakit itu berulang iaitu menerusi pengambilan air yang mencukupi sekurang-kurangnya tiga liter sehari. Di samping itu, menjaga pemakanan dengan mengamalkan diet rendah purin seperti bijirin, roti dan bihun, telur, hasil tenusu dan minuman seperti teh, kopi dan coklat.

Bagaimana pula dengan masyarakat yang sebaliknya lebih cenderung berjumpa pengamal perubatan alternatif terlebih dulu sebelum mendapat nasihat pakar?

Persepsi ini, kata Dr Mohd Ridzwan, harus diperbetulkan.

“Ada pelbagai cara dilakukan tetapi ada risikonya. Jika batu di buah pinggang itu tersumbat, anda dinasihatkan mendapatkan rawatan pakar dengan kadar segera kerana jika terlambat ia akan menyebabkan kerosakan buah pinggang atau kematian andai ada jangkitan kuman yang merebak dan menyebabkan keracunan dalam darah.

“Tidak salah menjalani rawatan sebegini kerana sebahagian besar pesakit saya melakukannya...cuma saya nasihatkan sekiranya anda melakukan rawatan alternatif ini sila pastikan anda diperiksa semula oleh pakar perubatan bertauliah di hospital untuk memastikan batu itu benar-benar sudah berjaya dikeluarkan.”



13 Januari 2011

Peranan lemak berbeza

“KALAU hendak masakan rasa lebih sedap, gunakan minyak jagung, bunga matahari atau kacang untuk menumis. Rasanya memang berbeza. Namun untuk menggoreng, gunakan minyak sawit; bukan saja rasanya enak warnanya juga lebih cantik,” bisik seorang teman membuka rahsia memasak.

Ini ilmu baru bagi penulis. Tidak pernah penulis tahu masakan seharian juga perlu menggunakan minyak berbeza untuk menaikkan rasanya kecuali bagi nasi atau lauk-pauk tertentu; malah lidah yang tidak terlatih ini tidak dapat membezakan rasa seperti yang diberitahu teman tadi.
sebelum   selepas

Bagaimanapun soal rasa itu soal kedua dan ia bergantung kepada cita rasa seseorang. Yang lebih penting ialah, adakah minyak pilihan anda itu sesuai dengan kaedah memasak kerana ia memberi pengaruh besar terhadap kesihatan, kata Pengurus Pemakanan Hospital Assunta, Ho Shiau Fen.

Isu penggunaan lemak dan kebimbangan terhadap kesan negatif lemak sudah lama dibincangkan. Bagaimanapun bukan semua lemak itu berbahaya dan ia mempunyai peranan tersendiri yang sangat penting.

Lemak memberi badan tenaga untuk berfungsi dengan baik, diperlukan untuk mengekalkan kesihatan kulit dan rambut; membantu badan menyerap vitamin A, D, E dan K (dipanggil vitamin larut lemak).

Lemak akan memenuhi sel-sel lemak di bawah kulit bagi membantu memanaskan badan. Selain itu lemak berperanan penting untuk perkembangan otak, mengawal keradangan dan pembekuan darah.

Tidak kira jenis minyak yang dipilih, semuanya adalah lemak. Lemak boleh dibahagikan kepada dua iaitu lemak tepu dan lemak tidak tepu. Klasifikasi ini dilakukan berdasarkan jumlah kandungan asid lemak tepu dan tidak tepu. Semua minyak, tidak kira semahal mana pun ia, tetap mengandungi lemak tepu tetapi dalam jumlah berbeza.

a. Lemak tepu: Ia adalah lemak yang diperoleh daripada haiwan dan ia beku pada suhu bilik; contohnya mentega, keju, minyak sapi dan lemak pada daging.

Bagaimanapun sesetengah lemak daripada tumbuh- tumbuhan juga dikelaskan sebagai lemak tepu seperti minyak kelapa, santan kelapa dan isi rong kelapa sawit. Minyak sawit juga dikategorikan sebagai minyak tepu kerana kandungan lemak tepu dan tidak tepu adalah sama. Kesannya, ia akan meninggikan paras kolesterol buruk dan tahap kolesterol keseluruhan jika diambil berlebihan.

b. Lemak tidak tepu: Lemak jenis boleh diperoleh daripada sumber haiwan dan tumbuhan. Ia boleh dibahagikan kepada tiga iaitu lemak poli tak tepu, lemak moto tak tepu dan asid lemak trans. Pada suhu bilik, ia berada dalam keadaan cecair.

# Lemak poli tak tepu - Sumber lemak jenis ini ialah bijian, kekacang dan ikan laut dalam. Contohnya minyak bunga matahari, jagung, soya, safflower, bijan, biji benih flaks dan kacang.

Ikan laut dalam pula seperti salmon, tuna, sardin, makerel dan trout membekalkan asid lemak perlu Omega-3 manakala minyak jagung, soya dan safflower pula mengandungi asid lemak perlu Omega-6.

Asid lemak perlu ialah lemak yang tidak boleh dihasilkan oleh badan.

Lemak jenis ini dikategorikan sebagai lemak baik kerana ia boleh mengurangkan paras kolesterol buruk (LDL), trigliserida dan jumlah kolesterol keseluruhan.
# Lemak mono tak tepu - Sumbernya ialah bijian dan kekacang seperti minyak kanola, kacang tanah, zaitun dan bran beras. Ia juga dianggap lemak baik kerana boleh mengurangkan jumlah kolesterol keseluruhan dan meningkatkan paras kolesterol baik (HDL).

# Lemak trans - Lemak trans dihasilkan apabila minyak dalam bentuk cecair ditukar ke bentuk pepejal seperti margerin, pepejal susu atau lemak (lemak yang digunakan dalam pastri) dan gi sayuran (vegetable ghee). Proses penukaran ini dipanggil hidrogenasi.

Ia dikategorikan sebagai lemak yang sangat buruk (dua hingga lima kali lebih teruk daripada lemak tepu) kerana asid lemak trans boleh meningkatkan paras kolesterol buruk dan merendahkan kolesterol baik.

Lemak trans adalah lemak tidak tepu; bermakna rantaian kimianya tidak dipenuhi hidrogen. Namun, apabila lemak tidak tepu menjalani proses hidrogenasi (penambahan hidrogen pada rantaian kimianya), ia menjadi satu rantaian baru menyebabkan lemak trans berada dalam keadaan pepejal pada suhu bilik.

Lemak trans digunakan untuk memperbaiki kualiti produk makanan, mengekalkan kesegarannya dan menaikkan rasa makanan supaya ia boleh berada di pasaran bagi tempoh lama.

Yang menjadi isu ialah, lemak trans boleh meningkatkan paras kolesterol buruk dan merendahkan paras kolesterol baik; sekali gus meninggikan risiko untuk mendapat penyakit jantung, strok, kencing manis dan lain-lain penyakit kronik.

Pilihan minyak dan kaedah memasak

Menurut Ho, pemilihan yang dilakukan oleh rakan penulis seperti diceritakan awal tadi memang tepat kerana bukan semua minyak sesuai digunakan dalam semua kaedah memasak.

“Kegunaan setiap minyak itu berbeza dan ia memberi ‘prestasi’ terbaik dalam lingkungan suhu tertentu. Sesetengah minyak memang boleh digunakan untuk menggoreng dan sesetengahnya lagi hanya untuk kaedah memasak yang tidak membabitkan suhu terlalu tinggi. Ada pula yang lebih enak jika dipercikkan sahaja pada makanan.

“Perbezaan ini disebabkan adanya keadaan dipanggil titik asap iaitu tahap suhu minyak yang akan menyebabkan ia berasap apabila dipanaskan. Apabila minyak dipanaskan sehingga ia berasap, akan berlaku perubahan pada rantaian kimia minyak berkenaan yang boleh memberi kesan buruk kepada kesihatan jika ia terus digunakan.

“Untuk menggoreng, gunakan minyak sawit kerana ia mempunyai titik asap yang tinggi. Manakala minyak lain dalam kategori lemak tidak tepu sesuai digunakan untuk menumis kerana titik asapnya yang lebih rendah,” katanya.

Malangnya ada orang salah anggap mengenai penggunaan minyak. Ada yang percaya mereka perlu menghindari minyak sawit sepenuhnya dan menggunakan minyak dalam kumpulan lemak tidak tepu untuk semua masakan.

“Ramai orang percaya jika menggunakan minyak tidak tepu, mereka akan jadi lebih sihat. Anggapan ini kurang tepat kerana ia mempunyai titik asap lebih rendah. Jadi apabila digunakan untuk menggoreng, akan berlaku perubahan pada rantaian kimia minyak tadi dan boleh mengakibatkan paras kolesterol dalam darah mereka semakin meningkat.

“Walaupun minyak sawit sesuai digunakan untuk menggoreng, kita perlu ingat, penggunaan minyak ini ada hadnya. Pakar pemakanan menyarankan penggunaan minyak menggoreng ini terhad kepada dua kali saja. Maknanya kita boleh menggunakan minyak sama untuk menggoreng setakat dua kali saja,” katanya.

Kali kedua anda memanaskan minyak, titik asapnya akan menjadi lebih rendah daripada kali pertama minyak berkenaan digunakan.

Ini sebabnya pakar pemakanan tidak menyarankan kita menggunakan semula minyak, terutama untuk makanan bergoreng.

Namun kini dengan teknologi penapisan yang semakin canggih, kebanyakan minyak sawit di pasaran boleh digunakan sehingga tiga kali seperti didakwa pengeluar. Cara mudah untuk mengenali minyak yang sudah digunakan ialah melihat warnanya. Elak membeli makanan yang digoreng dengan minyak berwarna gelap.

Satu perkara penting yang perlu kita tahu ialah semua minyak mengandungi asid lemak tepu. Tidak kira sebaik manapun ia, penggunaan minyak secara keseluruhannya perlu dikurangkan kerana satu gram lemak mengandungi sembilan kalori berbanding hanya empat kalori daripada setiap gram karbohidrat atau protein.

Ini sebabnya makanan mengandungi minyak atau banyak lemak dipanggil ‘menggemukkan’.

Walaupun lemak memberi kita tenaga, ia adalah sumber tenaga akhir yang akan dikeluarkan apabila kita bersenam atau melakukan aktiviti cergas.

Dalam masa 20 minit pertama kita bersenam, tenaga yang digunakan datang daripada karbohidrat.

Hanya lepas 20 minit bersenam baru badan akan membakar lemak sebagai sumber tenaga.

Ini sebabnya kita disaran bersenam sekurang-kurangnya 30 minit sehari, lima kali seminggu untuk membakar lemak dalam badan yang boleh mendekatkan kita dengan pelbagai penyakit, terutama sakit jantung, strok, kencing manis dan masalah kolesterol tinggi.

“Antara 25 hingga 30 peratus tenaga kita sepatutnya datang daripada lemak. Ringkasnya, kita harus mengehadkan pengambilan lemak kepada enam hingga tujuh camca teh saja dalam pemakanan seharian.

“Bagaimanapun, jumlah ini sukar dicapai kerana kebanyakan makanan kita tinggi kandungan lemaknya, baik dalam masakan sayur-sayuran, lauk-pauk mahupun kuih-muih. Masalah pemakanan bertambah teruk kerana ramai orang tidak mengambil sayur-sayuran dan buah-buahan secukupnya setiap hari,” katanya.

Minyak dan kolesterol

Menurut Ho, semua lemak atau minyak yang dihasilkan daripada sumber tumbuh-tumbuhan tidak mengandungi kolesterol.

Kolesterol hanya ada dalam lemak yang berasaskan sumber haiwan. Maknanya makanan dari sumber haiwan yang dimasak sama ada menggunakan sedikit atau banyak minyak mengandungi kolesterol.

Kolesterol ialah bahan lembut dan berminyak yang boleh berkumpul dan melekat pada dinding salur darah. Pengumpulan kolesterol ini lama kelamaan membuatkan salur darah tersumbat yang boleh menyebabkan serangan jantung atau otak.

Tahukah anda, kebanyakan kolesterol dalam badan sebenarnya dihasilkan oleh hati daripada lemak tepu? Hanya tiga peratus kolesterol dalam darah datang terus daripada makanan. Hati adalah organ yang bertanggungjawab menghasilkan kolesterol baik dan buruk.

Jika begitu, bagaimana boleh timbul masalah kolesterol tinggi dalam darah? Apabila kita makan makanan mengandungi lemak tepu, hati akan memprosesnya dan menghasilkan kolesterol.

Lebih banyak kandungan lemak tepu, hati akan menghasilkan lebih banyak kolesterol untuk dilepaskan ke dalam darah.

Jadi walaupun makanan kita umumnya tidak mengandungi kolesterol, misalnya pisang goreng, ia dimasak menggunakan lemak tepu. Apabila banyak lemak tepu masuk ke dalam badan, banyaklah juga kolesterol yang akan dihasilkan hati.

Kolesterol mempunyai peranannya tersendiri; ia menjadi komponen pada dinding sel dan penting untuk otak dan saraf berfungsi dengan baik. Ia juga membantu penghasilan hormon yang diperlukan untuk pertumbuhan dan peranakan.

Ia menjadi pelopor untuk hormon estrogen, progesteron dan testosteron.

Malah banyak hormon lain turut bergantung kepada kolesterol untuk berfungsi, namun terlalu banyak kolesterol jahat boleh memudaratkan kesihatan.

Selain makanan, peningkatan kolesterol buruk juga disumbangkan oleh beberapa faktor seperti genetik, kurang bersenam, tekanan, umur, pengambilan terlalu banyak alkohol dan kurang makan sayur-sayuran serta buah-buahan.

Bagaimana pula dengan orang yang mengamalkan minum minyak tidak tepu untuk menjaga kesihatan? Menurut Ho, ia mungkin memberi manfaat tertentu tetapi perlu diingat, ia adalah lemak yang mengandungi banyak kalori dan jika melebihi keperluan kalori harian, ia akan menyebabkan masalah pertambahan berat badan.

Panduan mengurangkan penggunaan dan pengambilan lemak

# Gunakan kuantiti kecil dalam penyediaan makanan.

# Guna kuali tidak melekat untuk memasak bagi mengurangkan minyak. Menggoreng ikan di kuali leper akan menggunakan kurang minyak berbanding kuali melengkung.

# Hadkan makanan bergoreng kepada dua kali seminggu.

# Gunakan tuala kertas untuk melapik pinggan, ia akan menyerap lebihan minyak daripada makanan

# Pilih kaedah memasak yang lebih sihat seperti kukus, rebus, celur atau bakar.

# Gantikan santan kelapa dengan susu atau dadih rendah lemak.

# Buang lapisan minyak yang timbul apabila makanan sudah sejuk dan panaskan semula sebelum dihidang.

# Buang lemak pada daging dan ayam (terutama kulit ayam).

# Hadkan pengambilan marjerin, mentega, mentega kacang, makanan mengandungi banyak lemak dan snek.

# Apabila anda membeli produk makanan, lihat senarai bahan-bahannya. Hadkan membeli produk mengandungi pepejal susu atau lemak seperti biskut, kerepek, aneka kek dan pastri serta makanan bergoreng yang mungkin tinggi kandungan asid lemak trans.

# Baca label makanan dan pilih produk mengandungi paling rendah jumlah lemak keseluruhan, lemak tepu dan asid lemak trans.



12 Januari 2011

Senaman kawal kencing manis

“ADAKAH senaman hujung minggu selama dua setengah jam memberi kesan sama dengan bersenam 30 minit sehari yang dilakukan lima hari berturut-turut? Walaupun hanya bersenam satu atau dua kali, jumlah waktunya sama. Jadi, sepatutnya kesannya juga sama, bukan?” soal seorang teman.

Jawapannya: Tidak. Ini jawapan yang diberikan Ketua Jabatan dan Perunding Perubatan Kanan, Jabatan Perubatan Hospital Taiping, Dr Letchuman Ramanathan. Tidak kira perkara apa pun sama ada soal makan, amal ibadat mahu pun penjagaan kesihatan, yang penting ialah konsisten atau istiqamah; iaitu ia dilakukan secara berterusan; apatah lagi bagi mereka yang menghidap penyakit gaya hidup termasuklah kencing manis.

Kencing manis kini ancaman besar kepada penduduk dunia terutama di Asia; dengan gaya hidup kita hari ini dan semua orang berpeluang mendapat kencing manis kerana risikonya bertambah dengan peningkatan umur. Kajian Kesihatan dan Morbiditi 2006 mendapati 14.9 peratus rakyat negara kita yang berumur 30 tahun ke atas menghidap kencing manis berbanding hanya 8.3 peratus pada 1996.

Antara kaedah terbaik mengawal kencing manis ialah bersenam dan menjaga pemakanan. Ramai pakar kesihatan bersetuju senaman perlu dijadikan preskripsi iaitu ia perlu diambil (dilakukan) setiap hari; bukan untuk pesakit saja bahkan semua orang. Ini kerana senaman boleh mengurangkan risiko kencing manis sebanyak 66 peratus.

Jadi, kenapa perlu bersenam setiap hari dan tidak boleh ‘dikumpul’ untuk dilakukan pada hujung minggu? Menurut Dr Letchuman, kencing manis jenis 2 yang dihidapi 90 peratus pesakit disebabkan badan mungkin tidak menghasilkan cukup insulin (yang bertindak sebagai pengangkut gula dari dalam darah masuk ke sel) atau badan hilang sensitiviti terhadap insulin (keadaan ini dipanggil kerintangan terhadap insulin) dan mengakibatkan insulin tidak diguna dengan sebaik-baiknya. Kesannya, makin banyak gula terkumpul dalam darah.

“Bersenam mempunyai kesan legasi iaitu ia mampu mengurangkan kerintangan terhadap insulin dan kesan ini boleh berlanjutan sehingga 48 jam. Jadi, sensitiviti badan terhadap insulin meningkat dan boleh menggunakan insulin untuk mengangkut gula dari darah masuk ke dalam sel. Jadi, jumlah gula dalam darah akan menurun.

“Jika kita bersenam setiap hari, kesan legasi ini akan berterusan dan membolehkan paras gula darah sentiasa berada dalam julat normal. Inilah sebabnya kita tidak boleh tunggu hingga hujung minggu saja untuk bersenam. Setiap orang sepatutnya bersenam 30 minit sehari; lima hari seminggu atau jumlah terkumpul 150 minit seminggu jika ia dilakukan selang sehari,” katanya.

Menurutnya, perubahan gaya hidup dengan menjaga pemakanan dan bersenam boleh melengahkan kemunculan penyakit kencing manis terutama bagi golongan berisiko tinggi iaitu yang mempunyai ibu dan ayah penghidap kencing manis serta mempunyai masalah berat badan berlebihan.

“Peningkatan harga gula bukanlah perkara buruk, ia mempunyai manfaat tersirat. Ia secara tidak langsung menyedarkan kita semua untuk mengurangkan penggunaan gula dalam semua makanan dan minuman yang sekali gus membantu memudahkan kawalan penyakit.

“Sebenarnya kita tidak memerlukan gula. Ia hanyalah untuk memuaskan selera lidah. Badan masih boleh mendapatkan gula daripada sumber karbohidrat seperti nasi, mi, bihun, pasta, kentang, ubi dan semua makanan berkanji. Lebih lama badan terdedah kepada gula, makin banyak kerosakan yang berlaku pada tisu,” katanya pada bengkel Kawalan Glisemik dan Pengurangan Risiko Kardiovaskular anjuran GlaxoSmithKline (GSK) sempena Hari Diabetes Sedunia yang disambut pada 14 November setiap tahun.

Senaman membantu usaha mengawal kencing manis dengan:

# Memperbaiki keupayaan badan menggunakan insulin;

# Membakar lebihan lemak, sekali gus membantu mengurangkan berat badan. Pengurangan lemak badan akan meningkatkan sensitiviti badan terhadap insulin;

# Memperbaiki kekuatan otot;

# Meningkatkan ketumpatan dan kekuatan tulang;

# Merendahkan tekanan darah;

# Memperbaiki dan melancarkan aliran darah;

# Mengurangkan paras kolesterol buruk dan meningkatkan kolesterol baik, sekali gus memberi perlindungan daripada penyakit jantung;

# Mengurangkan tekanan dan merangsang penghasilan hormon yang membuat kita berasa tenang dan seronok.

Dr Letchuman mengakui kencing manis adalah antara penyakit yang sukar dikawal di negara kita. Ada banyak faktor yang menyumbang kepada masalah ini seperti:

# Pengambilan makanan yang berlebihan dan kurang bersenam;

# Penyakit lewat dikesan. ramai tidak sedar mereka menghidap kencing manis kerana gejala awalnya tidak jelas. Ini menyebabkan 50 peratus pesakit lewat mendapatkan rawatan;

# Pesakit bertindak merawat diri sendiri dengan mencuba pelbagai jenis ubat, rawatan alternatif dan persediaan tradisional;

# Pesakit tidak mematuhi jadual pengambilan ubat; keberatan menjalani rawatan atau bimbang terhadap penggunaan insulin. Salah anggapan terhadap insulin menyebabkan ramai mencuba rawatan alternatif sedangkan insulin boleh membantu memperlahankan perkembangan penyakit;

# Bimbang kesan sampingan ubat seperti dilihat pada pesakit lain. Pesakit tidak perlu gusar kerana ubat untuk setiap individu berbeza mengikut tahap penyakit masing-masing. Jika ada kesan sampingan, berbincanglah dengan doktor supaya tindakan sewajarnya boleh diambil.

Senaman apakah yang baik untuk pesakit kencing manis? Pesakit boleh melakukan semua jenis senaman aerobik mengikut kemampuan mereka. Senaman yang paling mudah ialah berjalan kerana ia boleh dilakukan bila-bila masa dan di mana-mana saja hatta di dalam rumah.

Bagaimanapun, jika anda tidak pernah bersenam, dapatkan nasihat doktor mengenai senaman yang sesuai untuk anda dan dalam keadaan bagaimana anda tidak boleh bersenam atau perlu berhenti bersenam.

“Apabila doktor kata anda perlukan suntikan insulin, jangan panik dan takut. Suntikan insulin bukan bermakna penyakit anda sudah sampai ke peringkat akhir. Ia boleh memperlahankan atau melengahkan perkembangan penyakit.

“Jika doktor mencadangkan anda mengambil suntikan insulin, cuba untuk seminggu dan lihat perubahan yang berlaku pada anda. Jika suka boleh teruskan dan jika tidak, boleh kembali kepada ubat.

“Berdasarkan pengalaman, kebanyakan pesakit berkata kualiti hidup mereka lebih baik selepas mengambil suntikan insulin. Mereka juga tidak lagi kerap bangun malam untuk membuang air kecil,” katanya.

Mengawal kencing manis bukan saja membuatkan anda lebih selesa, juga mengurangkan risiko mendapat:

# Penyakit jantung;

# Strok;

# Penyakit mata yang boleh menyebabkan kehilangan penglihatan atau kebutaan;

# Kerosakan saraf pada tangan, kaki atau bahagian lain badan. Ia juga antara punca utama kaki pesakit dipotong kerana apabila saraf rosak, pesakit hilang sensitiviti terhadap rasa sakit. Malah ia juga kerap mengakibatkan pesakit lelaki mati pucuk atau erektil disfungsi.

# Kegagalan buah pinggang;

# Penyakit gusi yang menyebabkan kehilangan gigi;

Pengarah Yayasan Jantung Malaysia, Datuk Dr Khoo Kah Lin; berkata kencing manis yang bertambah teruk boleh memberi kesan buruk kepada salur darah yang menyebabkan pelbagai penyakit. Jika salur darah besar yang terbabit; ia boleh mengakibatkan strok, serangan jantung dan masalah pada kaki (antara penyebab kaki pesakit terpaksa dipotong).

Kerosakan salur darah halus akibat kencing manis biasanya berlaku pada mata (retinopati diabetes atau kebutaan), kegagalan buah pinggang dan saraf pada kaki.

“Serangan jantung adalah pembunuh utama di kalangan pesakit kencing manis. Pesakit kencing manis mempunyai risiko meninggal dunia dua hingga tiga kali lebih tinggi akibat serangan jantung berbanding orang normal. Oleh kerana ramai pesakit lewat berjumpa doktor, biasanya ketika kencing manis dikesan, mereka sudah mengalami pelbagai masalah salur darah yang meningkatkan risiko mendapat serangan jantung.

“Selain pengambilan ubat, saya selalu beri preskripsi diet kepada pesakit kencing manis iaitu isikan separuh pinggan dengan sayur-sayuran, satu perempat untuk sumber karbohidrat (contohnya nasi, mi, roti) dan satu perempat lagi untuk sumber protein sama ada ikan, ayam atau daging,” katanya.



11 Januari 2011

Legakan sakit sendi

PENYAKIT ini menyeksakan jutaan manusia di seluruh dunia. Arthritis adalah penyakit degeneratif (penyakit berkaitan penuaan) yang kronik dan berbeza daripada jenis sederhana sehingga ke tenat dan melemahkan.

Arthritis didefinisikan sebagai radang pada satu atau lebih sendi dan gejalanya termasuk kemerahan, bengkak, keempukan, kekakuan, rasa sakit-sakit dan kepanasan di kawasan terbabit.

Ada lebih 100 jenis arthritis termasuk osteoarthritis, arthritis reumatoid, ankylosing spondylitis, lupus dan penyakit gout.

Arthritis paling biasa ialah osteoarthritis, yang berlaku apabila rawan yang menampan hujung tulang pada sendi kita lama-kelamaan merosot. Perkataan ‘Oste’/‘Osteo’ bermakna tulang dalam bahasa Yunani.

Osteoarthritis

Osteoarthritis (OA), juga dikenali sebagai osteoartroses atau penyakit sendi degeneratif, adalah jenis arthritis paling biasa. Osteoarthritis ialah keadaan yang kronik dan mencirikan kerosakan rawan sendi. Rawan ialah bahagian sendi yang melapisi dan menampan hujung tulang dan membolehkan kita menggerakkan sendi dengan senang.

Rawan sihat sangat kuat serta anjal dan membolehkan sendi bergerak dengan licin tanpa kesakitan. Namun apabila diserang osteoarthritis, rawan menjadi rosak dan beransur lusuh dan haus. Proses melusuh berterusan sehingga sedikit saja atau tiada lagi rawan tinggal pada sendi terbabit.

Ini menyebabkan tulang bergesel sesama tulang. Dalam keadaan sedemikian, sendi anda mungkin mengeluarkan bunyi ‘krik-krik’. Kesakitan dan kekakuan dirasai adalah perkara lazim bagi penyakit osteoarthritis yang berlanjutan.

Osteoarthritis lazimnya membabitkan sendi tertentu saja seperti pinggang, tangan, lutut, bawah belakang dan leher. Osteoarthritis berlaku lebih kerap apabila kita semakin berumur. Sebelum umur 45 tahun, osteoarthritis berlaku lebih kerap pada lelaki. Selepas umur 55 tahun, ia berlaku lebih kerap pada wanita.

Fakta rawan

Rawan boleh dibina semula dan ditumbuhkan semula secara semula jadi. Namun, dalam penyakit osteoarthritis, rawan dimusnahkan lebih cepat daripada ia dibina semula.

Ramai yang menghidap osteoarthritis tidak mengambil khasiat untuk rawan mereka. Kita harus membekalkan nutrien perlu kepada badan supaya ia dapat membina rawan kuat dan anjal.

Mempunyai rawan kuat dan anjal adalah langkah pertama untuk mewujudkan sendi sihat. Justeru dengan sokongan nutrisi betul, penghidap osteoartritis dapat membina dan menumbuhkan semula rawan yang haus dan lusuh.

Sokongan nutrisi untuk osteoartritis
Glukosamin dan kondroitin adalah dua sebatian nutrisi penting yang digunakan untuk rawatan osteoarthritis.

Glukosamin dan kondroitin adalah komponen semula jadi bagi tisu sendi yang sihat. Ia menjalankan tugasnya dengan membekalkan ramuan mentah semula jadi yang diperlukan rawan untuk membaiki dan membina semula dirinya dan juga menumpaskan enzim semula jadi yang merosakkan rawan itu pada mulanya.

Glukosamin ialah sejenis sebatian semula jadi yang didapati dalam rawan sihat. Glukosamin juga unsur biasa glycsoaminoglycans dalam matriks rawan dan cecair sinovial. Molekul ini digunakan dalam pembentukan dan pembaikan rawan.

Kondroitin adalah unsur glycsoaminoglycans paling banyak dalam rawan dan ia bertanggungjawab memberi kebingkasan kepada rawan. Ia bertindak sebagai ‘magnet air’. Keupayaan kondroitin memegang air memberi ketegasan kepada rawan dan bertindak sebagai ‘penyerap hentakan’.

Mengambil suplemen glukosamin dan kondroitin membantu melegakan sakit sendi, membina semula rawan, meningkatkan keanjalan, melincirkan sendi, menggalakkan tisu sambungan yang sihat dan mengurangkan kekakuan.

Pada tahun kebelakangan ini, kajian menunjukkan suplemen glukosamin dan kondroitin 2-dalam-1 jauh lebih berkesan untuk merawat osteoarthritis sederhana hingga tenat berbanding ubat anti radang yang berkuasa (celecoxib), malah jika glukosamin atau kondroitin diambil secara berasingan dan bersendirian sekalipun.





09 Januari 2011

Kaedah baru rawatan jantung

SETIAP tahun, jumlah kemasukan pesakit ke hospital akibat pelbagai komplikasi jantung melebihi 100,000 kes manakala hampir 12,000 kematian direkodkan akibat serangan jantung . Majoritinya berusia 60 tahun ke atas.

Namun kini, lebih ramai lelaki muda yang berusia kurang 40 tahun meninggal dunia kerana serangan jantung dan setiap tahun, 500 kematian direkodkan.

Fakta ini merupakan sesuatu yang membimbangkan dan perlu diatasi. Ini kerana semakin hari semakin ramai rakyat Malaysia menghidap penyakit berkaitan kardiovaskular terutamanya serangan jantung .

Ini kerana penyakit jantung merupakan pembunuh nombor satu dunia yang dianggarkan meragut 17.5 juta nyawa setiap tahun.

Justeru itu, PPUM mengambil inisiatif untuk menawarkan Extracorporeal Shockwave Myocardial Revascularization ( ESMR ) sebagai rawatan terkini penyakit jantung.

Menurut Dr. Zul Hilmi, ESMR hanya sesuai untuk pesakit jantung yang tidak boleh menjalani angioplasti atau pembedahan pintasan jantung.

“ESMR berperanan menghantar gelombang kejutan pada dos berbeza ke atas beberapa otot jantung yang tidak mempunyai cukup pengaliran darah (ischemia).

Penghantaran gelombang kejutan tersebut akan merangsang pertumbuhan pembuluh darah yang baru di dalam otot jantung (angiogenesis) seterusnya menggalakkan pembekalan oksigen dalam bekalan darah,” ujarnya.

ESMR ini boleh dilihat sebagai rawatan pelengkap kepada pesakit jantung setelah mereka masih tidak pulih dengan memakan ubat melalui preskripsi doktor dan tidak sesuai menjalani rawatan pintasan jantung atau angioplasti.

Dr. Zul Hilmi memberitahu, kelebihan rawatan ini ialah ia tidak memerlukan sebarang pembedahan sekali gus tidak meninggalkan sebarang parut pada tubuh badan selain tiada kesan sampingan.

Dalam pada itu, pesakit tersebut perlu menjalani rawatan tiga kali dalam seminggu untuk minggu pertama sebelum dia direhatkan selama tiga minggu.

Rawatan seterusnya akan dijalankan pada minggu kelima dan kesembilan di mana tiga lagi sesi rawatan akan dijalankan bagi tiap-tiap minggu tersebut.

Secara keseluruhannya, pesakit perlu menjalani rawatan sebanyak sembilan kali.

Tambahnya, alat ESMR boleh digunakan oleh pesakit jantung koronari yang tidak boleh menjalani pembedahan pintasan jantung kerana sebab tertentu.

Peluang

“Kebiasaannya, kaedah rawatan kepada pesakit jantung koronari yang tidak sesuai untuk rawatan konvensional iaitu angioplasti atau pembedahan pintasan jantung pada hari ini bergantung kepada ubat-ubatan sahaja dan pesakit masih lagi mengalami masalah sakit di bahagian dada atau kesukaran untuk bernafas.

Dengan adanya teknologi ini, diharap ia mampu memberi peluang dan harapan baru kepada pesakit jantung untuk terus menjalani hidup yang lebih berkualiti,” katanya.

Namun, dalam rawatan ini, masalah pada saluran darah jantung tetap ada tetapi ia merangsang pembukaan atau pertumbuhan salur darah yang baru. Kemudian ia meningkatkan pengaliran darah ke dalam otot jantung.

Setakat ini seramai 20 pesakit jantung di PPUM telah menerima rawatan ini. Sebahagian besar daripada mereka berjaya mengalami perubahan yang positif.

“Jika sebelum ini mereka yang mudah letih ketika berjalan jauh atau menaiki tangga, selepas menjalankan rawatan ESMR, mereka lebih cergas dan sihat. Kebiasaannya, selepas sembilan kali melakukan ESMR, pesakit akan diimbas menggunakan imbasan perubatan nuklear (SPECT). Jika ada kemajuan, pesakit tidak perlu mengulang rawatan ini. Dalam pada masa yang sama, pesakit-pesakit masih mengambil ubat-ubatan yang lain seperti yang disarankan doktor,” jelasnya.

Sementara itu, Ketua Unit dan Pakar Perunding Kanan Kardiologi PPUM, Prof. Wan Azman Wan Ahmad berkata, apa yang lebih membanggakan lagi apabila Malaysia menjadi negara terawal di Asia yang memiliki alat ESMR selepas Filipina, China, Jepun dan Indonesia.

“PPUM telah menggunakan peralatan ESMR sejak Jun 2010 yang diperoleh dengan kos RM2.8 juta. Penyediaan perkhidmatan ESMR ini memperlihatkan unit kardiologi PPUM adalah sebuah unit yang dinamik, berdaya saing dan terulung di Malaysia dalam mengikuti arus kemajuan teknologi perubatan.

“Justeru dengan adanya alat seperti ini, ia telah membawa satu pembaharuan besar dalam bidang rawatan penyakit jantung di negara ini,” katanya.

Menurut Dr. Wan Azman, rawatan ESMR diberikan dari luar badan pesakit dan setiap sesi rawatan mengambil masa satu jam.

Berbeza daripada rawatan jantung yang lain, pesakit tidak perlu tinggal di PPUM.




07 Januari 2011

Fobia terapi insulin

RAMAI penghidap diabetes beranggapan terapi insulin sebagai pilihan terakhir rawatan. Atas alasan itu, ada yang sanggup menunggu sehingga rawatan oral gagal barulah beralih kepada terapi insulin. Malangnya ketika itu, penyakit sudah pun menguasai kehidupan mereka.

Hakikatnya, rawatan oral tidak gagal cuma penyakit itu menjadi semakin teruk. Apa yang tidak disedari ramai pesakit dan pakar perubatan ialah insulin mengembalikan kawalan penyakit itu kepada pesakit. Malah apabila mereka mula menggunakan insulin, pesakit selalunya dapat menikmati kualiti hidup yang lebih baik.

Secara ringkasnya, diabetes Jenis 2 adalah penyakit progresif yang disebabkan rintangan insulin dan kekurangan insulin. Kebanyakan pesakit diabetes Jenis 2 akhirnya akan memerlukan insulin disebabkan sifat semula jadi penyakit itu.

Perlu diingat, insulin adalah selamat, berkesan dan ubat yang paling kuat ketika ini untuk mencapai sasaran glisemik. Bagaimanapun, di Malaysia, ia tidak digunakan seawal mungkin, cukup kerap atau cukup agresif untuk membolehkan pesakit mencapai matlamat yang terbukti mengurangkan risiko kematian.

Kawasan Asia-Oseania ketika ini menghadapi peningkatan mendadak diabetes. Di Asia saja, dianggarkan jumlah pesakit diabetes mencecah lebih daripada 138 juta orang. Di Malaysia, 14.9 peratus atau kira-kira 1.5 juta orang yang berumur 30 tahun ke atas menghidap diabetes dan lebih kurang 20 peratus menguruskannya dengan terapi insulin di pusat kesihatan Kementerian Kesihatan.

Kadar obesiti yang tinggi menyumbang secara langsung peningkatan jumlah pesakit diabetes manakala kurangnya kefahaman di kalangan kakitangan kesihatan yang merawat diabetes Jenis 2 merencatkan pengurusan penyakit itu.
Apa puncanya ramai pengidap tidak berminat menggunakan insulin?

Presiden Persatuan Endokrin dan Metabolik Malaysia (MEMS), Prof. Dr Nor Azmi Kamaruddin, berkata antara alasannya termasuk takut sakit tusukan jarum, stigma yang dikaitkan dengan penggunaan jarum, kebimbangan komplikasi seperti hipoglisemia, pertambahan berat badan, perasaan malu dan kos.

“Atas kesedaran itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil inisiatif menerbit dan melancarkan Panduan Praktikal Untuk Terapi Insulin, 2 Disember lalu bertujuan melatih pakar perubatan bagaimana hendak memulakan, mengoptimumkan dan meningkatkan penggunaan insulin untuk memperbaiki hasil rawatan.

“Di Malaysia, kita memiliki sistem penjagaan kesihatan yang amat baik yang menyediakan penjagaan kesihatan yang cemerlang pada harga yang berpatutan kepada rakyat. Bagaimanapun kita menghadapi masalah diabetes yang semakin meningkat. Tanpa pengurusan yang sesuai, latihan pakar perubatan dan kesedaran orang awam, penyakit ini akan mengurangkan sumber penjagaan kesihatan kita dengan cepat,” katanya.

Panduan ini sangat penting kerana latihan akan membimbing pakar perubatan mengenai penggunaan insulin yang wajar, membantu mereka menerangkan faedah insulin kepada pesakit dan menanamkan keyakinan pada pesakit untuk menggunakan insulin. Hasilnya meningkatkan penggunaan insulin dalam pengurusan diabetes di seluruh negara.

Kumpulan pertama 30 orang pakar perubatan rawatan asas sudah dilatih menggunakan panduan itu sedari awal dan dijangkakan lebih 200 pakar perubatan akan dilatih kementerian dengan bantuan Sanofi-Aventis dalam masa 12 bulan berikutnya. Sanofi-Aventis juga membantu pembangunan Panduan tersebut menerusi pemberian geran pendidikan.

Kementerian juga berharap dapat mendidik kesemua pakar perubatan rawatan asas dan pesakit diabetes mengenai penggunaan insulin yang wajar dan hasilnya mereka yang menderita diabetes Jenis 2 akan memulakan terapi insulin pada peringkat awal dan mampu untuk menjalani kehidupan yang normal serta menikmati kualiti hidup yang lebih baik.

Info:

# Kira-kira 1.5 juta orang yang berumur 30 tahun ke atas menghidap diabetes di Malaysia.

# Malaysia adalah negara terendah di dunia dari segi penggunaan insulin (20 peratus).

# Bekalan ubatan dan terapi insulin di hospital kerajaan adalah percuma, namun tetap diambil mudah.




06 Januari 2011

Saring kesihatan anda

Bilakah kali terakhir anda menjalani ujian saringan atau pemeriksaan kesihatan? Mungkin ada di antara kita yang hanya menjalani pemeriksaan kesihatan ketika diterima bekerja, tidak kurang beranggapan ia tidak penting kerana berasakan mereka cukup sihat.

Ada juga yang takut hendak menjalani pemeriksaan kesihatan, bimbang jika keputusannya kelak menunjukkan mereka menghidap penyakit tertentu. Kebimbangan ini sebenarnya tidak berasas kerana lebih cepat sesuatu penyakit dikesan, lebih baik supaya kita boleh mendapatkan rawatan sewajarnya dengan segera. Kaedah rawatan lebih mudah dan murah jika penyakit masih di peringkat awal.

Mungkin ada yang bertanya, apa perlunya pemeriksaan kesihatan sedangkan mereka berasa cukup sihat? Pertubuhan Kesihatan Sedunia mendefinisikan kesihatan adalah sihat dari segi fizikal, mental dan sosial dan bukan hanya sekadar bebas dari segala penyakit atau ketidakupayaan.

Pemeriksaan kesihatan adalah kaedah untuk mengesan penyakit sebelum gejala penyakit muncul dan mengenalpasti punca sekiranya ada sebarang tanda tidak normal. Ini kerana ada banyak penyakit terutama penyakit kronik seperti kencing manis, tekanan darah tinggi, kegagalan buah pinggang dan kanser yang bersarang dalam diam; gejala hanya muncul apabila penyakit sudah teruk.

Penyakit jantung, strok dan kanser adalah faktor utama kemasukan ke hospital dan kematian. Kegemukan, tekanan darah tinggi, kencing manis dan paras kolesterol yang tinggi adalah faktor risiko utama untuk penyakit jantung dan strok. Mengawal keadaan tersebut boleh mengelakkan atau mengurangkan kadar kejadian serangan jantung dan strok.

Keperluan ujian saringan kesihatan bergantung kepada umur, jantina, sejarah kesihatan keluarga dan sama ada anda mempunyai faktor risiko terhadap penyakit tertentu. Contohnya individu gemuk atau terlalu gemuk (obes) berisiko tinggi mendapat kencing manis.

Malah orang yang mempunyai salah seorang ibu atau bapa atau kedua-duanya menghidap kencing manis juga berisiko tinggi mendapat penyakit yang sama.

Penyakit gaya hidup seperti kencing manis, tekanan darah tinggi, masalah kolesterol tinggi adalah antara penyakit kronik yang tidak menunjukkan gejala awal sehinggalah ia sampai ke tahap serius.

Banyak masalah kesihatan dan penyakit kronik yang boleh menyebabkan kematian awal sebenarnya boleh dicegah. Melalui pemeriksaan kesihatan berkala, kita bukan saja mengetahui status kesihatan diri sendiri malah meningkatkan kesedaran terhadap penyakit, faktor risiko, jenis rawatan dan bentuk sokongan yang ada jika disahkan menghidap penyakit tertentu.

Ujian yang boleh dilakukan:

Ujian darah - Paling penting dalam saringan atau pemeriksaan kesihatan. Ujian darah bukan saja penting untuk mengetahui tahap kesihatan seseorang tetapi juga dijadikan asas bagi memantau keberkesanan rawatan yang diterima seseorang pesakit.

Gejala penyakit biasanya tidak disedari pada peringkat awal tetapi ketidaknormalan ini boleh dikesan pada darah. Apabila penyakit semakin berkembang, ketidaknormalan pada darah juga bertambah banyak. Jika penyakit dirawat, kesan perubahan pertama (pada status kesihatan) akan dilihat pada darah.

Ujian darah juga adalah cara paling lazim digunakan doktor apabila pesakit mengadu kurang sihat. Walaupun mereka boleh mengagak masalah kesihatan yang dihadapi, tetapi dengan ujian darah pengesahan jenis penyakit adalah lebih tepat.

Bagi individu sihat, ujian darah juga boleh mengesan sebarang ketidaknormalan yang tidak disedari dan memberikan pelbagai maklumat penting untuk diagnosis, rawatan dan kaedah pencegahan bagi satu-satu penyakit.

Ujian darah mengesan paras komponen penting dalam darah; adakah ia dalam julat yang normal. Ini termasuklah jumlah kiraan darah untuk jenis sel dalam darah (sel darah merah, sel darah putih dan platelet). Sel ini kemudiannya dianalisis untuk melihat sama ada ia menunjukkan ketidaknormalan.

Antara penyakit yang boleh dikesan melalui ujian darah ialah kencing manis, jantung dan aterosklerosis, buah pinggang, hati, talasemia, anemia, hepatitis B, artritis, gout, masalah tiroid, jangkitan dan sesetengah jenis kanser seperti prostat, hati dan kolon.

l Ujian air kencing - Doktor biasanya mencadangkan ujian air kencing untuk memastikan buah pinggang pesakit berfungsi dengan baik atau apabila mereka mengesyaki pesakit itu mengalami masalah kesihatan yang berkaitan dengan buah pinggang.

Buah pinggang berfungsi menapis kekotoran dalam darah supaya bahan penting seperti gula dan protein dapat dialirkan ke seluruh badan. Jadi apabila air kencing mengandungi gula, protein atau bahan-bahan lain, ia biasanya menandakan ada masalah pada buah pinggang.

Ujian air kencing digunakan untuk mengesan penyakit atau jangkitan pada saluran kencing, kencing manis, batu karang, tekanan darah tinggi, masalah hati dan buah pinggang.

Umur yang panjang tidak bermakna jika kita tidak sihat. Jangan perjudikan kesihatan anda dan segeralah jalani pemeriksaan kesihatan seperti yang disarankan. Sesiapa yang bertanggungjawab terhadap kesihatan sendiri, seharusnya menjalani saringan pemeriksaan.


05 Januari 2011

Sumber utama serat

KEKURANGAN makanan ini menyumbang kepada 85 peratus penyakit kardiovaskular (jantung), 19 peratus kes kanser perut dan usus, 15 peratus kanser secara keseluruhan dan 11 peratus angin ahmar.

Pengambilan yang cukup sebanyak tiga hingga lima hidangan sehari pula boleh mengurangkan 17 peratus penyakit jantung — penyakit pembunuh nombor satu di dunia.

Makanan apa yang hebat sangat ini? Maaf, penulis bukan mahu berteka-teki kerana makanan ini ada di keliling kita dan boleh dibeli dengan mudah pada harga murah, namun tidak ramai menggemarinya.

Malah ada yang mengambil satu atau dua hidangan seminggu dianggap banyak, sedangkan jumlah itu sebenarnya terlalu sedikit. Makanan hebat yang dimaksudkan ialah sayur-sayuran dan buah-buahan.

Kajian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 2003 mendapati lebih 80 peratus rakyat Malaysia mengambil kurang lima hidangan sayur dan buah setiap hari dan hampir 40 peratus penduduk makan hanya satu atau dua hidangan sayur sehari.

Keadaan ini menyedihkan kerana negara kita mewah dengan sayur-sayuran dan buah-buahan yang boleh dibeli dengan harga murah.

Untuk meningkatkan tahap kesihatan dan mencegah penyakit, WHO menyarankan kita mengambil sembilan hingga 13 hidangan sayur dan buah sehari.

Jumlah ini mungkin keterlaluan tetapi jika kita dapat mengambil sekurang-kurangnya lima hidangan sayur dan buah sehari sudah memadai.

Dalam soal selidik dijalankan Persatuan Advokasi Kanser Malaysia (Empowered) ke atas 400 warga kota di tiga kawasan di Lembah Klang (Sentul, Sri Pantai dan Selayang Prima) mendapati responden mengaku suka makan sayur tetapi kekerapan pengambilannya ialah dua atau tiga kali (hidangan) seminggu.

Cara hidup moden yang kita jalani kini (banyak makan, tidak aktif dan kurang bersenam) sebenarnya mendekatkan kita dengan pelbagai penyakit gaya hidup dan kronik lain seperti sakit jantung, strok, tekanan darah tinggi, kencing manis, obesiti dan kanser.

Sayur-sayuran dan buah- buahan membekalkan banyak khasiat yang tidak boleh disediakan sendiri oleh badan. Selain vitamin dan garam galian, bahan yang sangat diperlukan daripada tumbuh-tumbuhan ialah serat.

Ia boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu serat boleh larut dan serat yang tidak larut dalam air.

Menurut perunding diet klinikal, Tan Yen Seng, serat tidak larut air membantu mencegah sembelit dan melancarkan pembuangan najis manakala serat yang larut dalam air pula boleh mengurangkan paras gula dan kolesterol dalam darah. Setiap tumbuh-tumbuhan mempunyai kedua-dua jenis serat ini pada nisbah berbeza.

Serat tidak larut air memberi jisim kepada najis, untuk membolehkan najis dikeluarkan dengan lebih mudah. Najis kita menjadi ‘besar dan lembut’ kerana mengandungi pelbagai jenis serat tumbuh-tumbuhan yang menyerap banyak air. Dengan itu kurang tekanan diperlukan untuk mengeluarkan najis daripada usus besar.

“Berapa banyak serat yang kita perlukan? Setiap hari kita memerlukan 20 hingga 35 gram serat sehari. Untuk kanak-kanak (tiga hingga 18 tahun) keperluan serat harian mereka berbeza dan cara kiraannya ialah mencampurkan umur dengan lima. Contohnya anak anda berumur lima tahun, jumlah serat diperlukannya ialah 5 (umur) + 5 bersamaan 10 gram serat.

“Bagaimana pula hendak mengira jumlah serat dalam buah dan sayur? Memang bukan mudah, tetapi anda boleh membuat anggaran berdasarkan Jadual 1,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, cara lebih mudah ialah memastikan anda mengambil sekurang-kurangnya lima hidangan sayur dan buah setiap hari. Saiz satu hidangan ialah satu potong atau sebiji buah bersaiz sederhana atau setengah cawan sayur.

“Program lima-hidangan- sehari diamalkan banyak negara di dunia dan ia terbukti dapat meningkatkan pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan, terutama di kalangan kanak-kanak.

“Ini kerana kanak-kanak tanpa mengira negara, keturunan dan mahupun latar belakang pendidikan atau ekonomi memang susah makan sayur,” katanya.

Lazimnya tabiat yang dipupuk sejak kecil itu akan berterusan hingga dewasa dan pada ketika ini lebih sukar untuk kita mula menyemai perasaan suka terhadap ‘rasa’ sayur-sayuran kecuali jika terpaksa berbuat demikian, contohnya selepas menghidap penyakit tertentu.

Obesiti antara faktor utama kepada kanser kerana ia boleh merangsang pertumbuhan sel kanser. Pada masa sama ia meningkatkan risiko penyakit gaya hidup lain. Obesiti dikenal pasti ada kaitan dengan banyak jenis kanser, contohnya kanser usus, payudara, prostat, rektum, endometrium (pada wanita), buah pinggang, rahim dan tiroid.

Kita juga perlu mengurangkan pemakanan yang tinggi kandungan lemak, bukan untuk mengawal berat badan saja tetapi kajian menunjukkan lemak berlebihan boleh meningkatkan risiko kepada pelbagai jenis kanser seperti usus, payudara, prostat, rektum dan endometrium.

Sebaliknya, lebihkan pengambilan makanan yang kaya serat, terutama buah- buahan dan sayur-sayuran, untuk melindungi kita daripada kanser paru-paru, usus, payudara, prostat, pundi kencing, mulut, rahim dan perut.

“Semua jenis serat boleh membantu kita mengurangkan berat badan. Serat tidak boleh dihadam, jadi ia tidak menambah kalori dalam diet anda.

“Oleh kerana makanan mengandungi banyak serat mengambil masa lebih lama untuk dikunyah, ia secara tidak langsung memperlahankan rentak makan kita.

“Katakan tidak pada bahan laksatif dan diuretik (yang membuatkan anda berulang alik ke tandas) kerana bukan saja tidak membantu mengurangkan lemak tetapi juga boleh membahayakan kesihatan.

“Penurunan berat yang ketara selepas anda letih berulang alik ke tandas sebenarnya disebabkan berat air yang hilang daripada badan, sedangkan jumlah lemak masih tetap sama. Berat badan anda akan naik semula selepas anda minum bagi menggantikan air yang dibuang.

“Kita tidak perlu berbelanja lebih untuk mendapat khasiat buah dan sayur. Beli buah yang dalam musim. Maknanya ia boleh dibeli dengan banyak pada harga murah. Kalau kita dapat memasukkan beraneka warna sayur dan buah dalam diet seharian, lebih baik.

“Pada masa sama, pastikan kita minum air secukupnya iaitu satu hingga satu setengah liter air sehari. Air penting untuk mengawal suhu badan, membolehkan buah pinggang berfungsi dengan baik dan mencegah sembelit. Jika kita makan banyak serat tetapi kurang minum air, kita boleh mengalami sembelit kerana serat menyerap banyak air,” katanya.

Ramai tidak sedar kudapan yang diambil sebenarnya banyak menyumbang kepada masalah pertambahan berat badan kerana kebanyakannya berkalori tinggi.

Bagaimanapun, bukan bermakna kita tidak boleh makan di antara waktu makan, cuma perlu bijak membuat pilihan.

A. 90 gram kerepek epal (mengandungi 460 kalori). Gantikan ia dengan empat biji epal bersaiz sederhana (320 kalori) dan empat batang pretzel (120 kalori). Jumlah kalori kudapan baru anda ialah 460 kalori.
B. Sepotong kek epal (320 kalori). Ia bersamaan dengan sehiris tembikai madu (80 kalori), secawan buah-buahan campur (60 kalori), 120 gram sorbet (80 kalori) dan bisotto (100 kalori).
C. Gantikan seketul ayam goreng (720 kalori) dengan ayam panggang (400 kalori)
D. Gantikan sepinggan mihun goreng (850 kalori) dengan semangkuk mihun sup (550 kalori)
E. Gantikan seketul pisang goreng (200 kalori) dengan dua biji kiwi (90 kalori)
F. Segelas teh tarik (150 kalori) dengan segelas air kosong (0 kalori)

Bila masa terbaik untuk makan buah?
Ramai yang keliru apabila ada sesetengah pendapat mengatakan masa terbaik untuk makan buah ialah sebelum menikmati hidangan utama seperti makan tengah hari atau malam. Antara alasan yang diberikan ialah untuk melancarkan proses penghadaman dan badan dapat menyerap khasiat buah- buahan dengan lebih baik.

Ada pula yang memberi pendapat lebih ekstrem mengatakan buah yang dimakan selepas hidangan berat akan menjejaskan sistem penghadaman.

Sebenarnya sehingga kini tiada kajian khusus yang menyokong dakwaan berkenaan kerana sama ada dimakan selepas atau sebelum hidangan berat, badan masih boleh menyerap khasiat dalam buah- buahan kecuali jika ada masalah pada usus, kata perunding pemakanan, Indra Balaratnam.

“Buah-buahan boleh dinikmati bila-bila masa, tetapi ia perlu dimakan dalam keadaan paling segar dan secepat mungkin selepas dipotong.

“Ini kerana sebaik terkena angin, proses pengoksidaan berlaku dan ia memusnahkan bahan antioksida dalam buah, walaupun ia dibalut dengan plastik pembalut makanan atau disimpan dalam peti sejuk.

“Bahan antioksida penting untuk membantu pencegahan banyak jenis penyakit seperti kanser. Untuk mendapat manfaat ini, hiris buah sejurus sebelum dihidang dan elak membeli buah yang dibelah seperti tembikai. Jika bimbang ia tidak dapat dihabiskan selepas dipotong, beli yang bersaiz kecil.

“Untuk buah-buahan yang boleh dimakan kulitnya seperti jambu batu, epal, lai dan pir; makan dengan kulitnya sekali. Ini kerana kebanyakan vitamin terletak betul-betul di bawah kulit. Walaupun kulit buah dicuci, ada juga yang mencucinya sekali lagi selepas dikupas dan makin banyak vitamin terbuang,” katanya.

Tidak kira bila buah dimakan, kita masih dapat khasiatnya. Namun, memakan buah sebelum makan nasi ada kebaikannya, terutama bagi individu yang menjaga atau cuba menurunkan berat badan. Kandungan serat dan air di dalam buah membuatkan kita lebih cepat kenyang dan ia secara tidak langsung membantu kita mengurangkan jumlah hidangan tengah hari atau malam.

Buah juga adalah snek atau kudapan terbaik untuk menggantikan kuih- muih, kerepek, coklat atau hidangan ringan lain. Sebabnya mudah — ia bukan saja kaya dengan bahan antioksida, vitamin, garam galian dan serat, bahkan kandungan kalorinya juga rendah.

Jadi, anda tidak perlu risau isu berlebihan kalori harian apabila menjadikan buah-buahan (kecuali durian) sebagai kudapan.

Bagaimanapun, untuk pesakit kencing manis, berbincang dengan doktor dulu mengenai kuantiti yang boleh diambil untuk mengelak masalah kawalan penyakit kerana kebanyakan buah-buahan tempatan sangat manis dan tinggi kandungan gulanya.

Namun, kata Indra, individu yang ada masalah gastrik diingatkan tidak mengambil buah-buahan sitrus atau berasid, terutama daripada keluarga limau, sebelum makan kerana ia boleh menyebabkan mereka sakit perut.

“Yang lebih penting ialah cuba amalkan makan buah dan sayur berlainan warna. Lebih baik jika kita dapat masukkan lima warna iaitu hijau, merah, biru- ungu, kuning-jingga dan putih dalam diet seharian kerana setiap warna ada fungsi berbeza dalam membantu meningkatkan tahap kesihatan,” katanya.

Epal

Mencegah dementia (nyanyuk), masalah berat badan berlebihan, melawan kanser, mengurangkan paras kolesterol. Makan epal bersama kulitnya kerana hampir 50 peratus vitamin C dalam epal berada betul-betul di bawah kulitnya.

Pisang

Kaya potassium, bertindak sebagai anti kemurungan (ia merangsang emosi baik dan tidur), kaya antioksidan, mengawal tekanan darah, memberi tenaga segera, mengurangkan risiko kanser dan mencegah sembelit mahupun cirit-birit.

Anggur dan kismis

Mengurangkan risiko kanser, strok, penyakit jantung dan masalah ingatan; kaya dengan bahan antioksida yang baik untuk kelihatan awet muda, penglihatan, kesihatan kulit; mencegah masalah gigi dan gusi; melancarkan perjalanan usus dan sebagai sumber tenaga segera.

Buah kiwi

Membantu mengatasi masalah insomnia (tidak boleh tidur malam); bertindak sebagai ejen pencair darah semula jadi untuk pesakit jantung (sekali gus merendahkan paras kolesterol dan trigliserida); membantu melancarkan pernafasan untuk kanak-kanak dan baik untuk kesihatan mata, usus serta prostat.

Mangga

Kaya dengan vitamin A, C dan E; yang bertindak sebagai anti kanser, meningkatkan kesihatan mata; membantu pencernaan; membuatkan kulit lebih berdaya tahan terhadap haba daripada sinaran matahari; mencegah masalah pertambahan berat badan dan merangsang ingatan.

Oren

Kaya vitamin C dan beta karoten (antioksidan); sangat baik untuk membantu perkembangan janin dan mengawal tekanan darah; penting untuk kesihatan mata; meningkatkan daya ketahanan badan dan mengurangkan risiko pelbagai jenis kanser.


30 Disember 2010

Probiotik bantu cegah penyakit

PERANAN usus bukan sekadar sebagai tempat salur laluan makanan sebelum dikumuhkan, malah ia berperanan sebagai barisan pertahanan penting tubuh terhadap bakteria berbahaya.

Kesihatan usus akan mempengaruhi penyerapan zat daripada makanan dan ini tentunya memberi kesan kepada kesihatan tubuh yang juga mempengaruhi kekuatan sistem ketahanan badan.

Kebanyakan masalah lazim berkaitan dengan saluran gastrousus sebenarnya bermula dengan ketidakseimbangan mikroflora usus, iaitu akibat gangguan mikro-organisma berbahaya.

Menurut Penyelidik Kanan, Institut Penyelidikan Mikrobilogi Yakult, Dr. Takuya Takahashi, probiotik merupakan bakteria yang bertindak membantu mengekalkan kesihatan dan ia bukan saja membantu fungsi pencernaan serta mengurangkan kehadiran organisma berbahaya.

''Penggunaan probiotik terbukti mampu mencegah atau merawat penyakit,'' ujarnya.

Terang beliau lagi, penyelidikan mendapati probiotik juga boleh membantu menguatkan sistem imunisasi badan untuk melawan alahan, tekanan, pendedahan kepada bahan toksik dan penyakit lain.

Secara umumnya, probiotik melekat pada dinding dan menghuni saluran gastrousus. Ia berperanan memperbaiki masalah usus seperti kembung, cirit-birit dan sembelit yang disebabkan mikroflora usus yang tidak seimbang dengan mengeluarkan anti infektif protein untuk melawan patogen.

Selain itu, probiotik juga berupaya menghalang atau mengawal pertumbuhan patogen usus.

Ia penting kerana pertumbuhan patogen usus boleh menyebabkan alergi, kembung perut, cirit-birit dan gastritis.

Ia terbukti melalui kajian pada Ogos lalu dengan kerjasama Institut Taun dan Penyakit Enterik India, membabitkan 3,585 kanak-kanak yang berusia setahun hingga lima tahun.

Daripada kajian itu, kanak-kanak yang meminum susu kultur Yakult yang mengandungi Lactobacillus casei strain Shirota mampu mengurangkan kadar penyakit terutama cirit birit.

Malah terang Dr. Takahashi lagi, ada kajian yang menyokong pengambilan probiotik kerana ia mungkin membantu mengelak kejadian seperti masalah keradangan usus di kalangan orang dewasa, manakala kanak-kanak juga tidak terlepas daripada mengalami masalah gangguan penghadaman seperti intoleransi laktosa, sembelit, cirit-birit dan juga kembung perut.

''Sistem pertahanan badan yang lemah akan menyebabkan anak-anak mudah jatuh sakit. Senario begini yang kerap bukan sahaja merisaukan ibu bapa tetapi mungkin menjejaskan tumbesaran dan prestasi kognitif anak-anak,'' terangnya.

Probiotik juga membantu merangsang pertumbuhan bakteria baik dalam saluran usus.

''Ia mampu menghasilkan bahan anti mikrobial, reuterin dan asid organik yang mewujudkan persekitaran yang merencatkan pertumbuhan bakteria berbahaya," jelasnya.



25 Disember 2010

Sakit perut tanda kanser usus

PERNAHKAH anda mengalami gastritis? Mungkin ramai pembaca di luar sana tidak mengetahui apa itu gastritis kerana ia merupakan nama saintifik bagi penyakit angin atau sakit perut.

Gastritis atau angin bukanlah satu penyakit. Tetapi satu keadaan di mana berlaku inflamasi dalam lapisan perut.

Tetapi merupakan tanda-tanda awal kanser perut.

Menurut Pakar Bedah dan Runding Gastrointestinal, Pusat Perubatan Sunway, Dr. Ramesh Gurunathan, sekiranya mereka yang mengalami sakit perut berlarutan atau kerap mengalaminya, dinasihatkan agar mendapatkan rawatan doktor atau melakukan ujian endoskopi.

Malah tambah beliau, sekiranya ia tidak dirawat dengan segera ia boleh membawa maut.

''Keadaan ini (angin) disebabkan oleh bakteria yang dikenali sebagai helicobacter pylori iaitu sejenis bakteria yang boleh dirawat dengan antibiotik.

''Tetapi sekiranya ia (bakteria tersebut) tidak dirawat dengan segera, ia boleh membawa maut di mana bakteria tersebut akan bertukar menjadi sel-sel kanser.

''Untuk itu, sekiranya pesakit mengalami sakit perut yang kerap ataupun berlarutan, selain diberikan ubat oleh doktor, mereka juga berhak untuk melakukan ujian endoskopi untuk mengetahui penyakit sebenar,'' ujarnya ketika ditemui di pejabatnya, baru-baru ini.

Jelas beliau lagi, di Malaysia, kanser perut merupakan penyakit yang ketujuh tertinggi di kalangan kaum lelaki manakala bagi wanita pula ia merupakan penyakit yang ke-10.

Sebanyak 50 peratus daripada penduduk dunia sememangnya dijangkiti dengan bakteria helicobacter pylori dan 90 peratus masyarakat setempat akan mengalami sakit perut atau angin.

Mengikut statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan, antara tahun 1997 hingga 2007, di Malaysia terdapat 13,539 kes dan setiap tahun lebih daripada 100 orang akan meninggal.

Jika dilihat tahun-tahun sebelum ini, terdapat 800 kes baru yang dikesan tetapi bermula daripada tahun 2000 jumlah tersebut telah meningkat sehingga 1,000 kes.

Peningkatan angka tersebut menurut Dr. Ramesh kerana di Malaysia sendiri kurang pendedahan diberikan kepada masyarakat mengenai kanser perut.

Berbicara dengan lebih lanjut mengenai kanser perut, jelas Dr. Ramesh lagi, secara amnya, inflamasi terjadi akibat jangkitan bakterium yang sama dengan ulser perut dan faktor-faktor lain yang menyumbang kepada gastritis termasuklah kecederaan traumatik dan penggunaan pil penahan sakit secara kerap.

Bagaimanapun ujar beliau lagi, gastritis juga boleh menyebabkan pendarahan di dalam perut tetapi ia jarang berlaku melainkan jika terdapat ulser.

Pendarahan di dalam perut akan menyebabkan pesakit muntah darah atau membuang najis yang hitam seakan tar di mana ia memerlukan penjagaan perubatan dengan segera.

Kanser perut, selain disebabkan oleh bakteria helicobacter pylori, ulas Dr. Ramesh, para penyelidik percaya bahawa amalan memakan makanan yang diawet, termasuklah makanan yang dikeringkan, disalai atau dijeruk juga menjadi punca kanser perut.

Tambahnya, negara Jepun adalah negara yang mempunyai kadar pesakit kanser perut yang tertinggi di dunia.

Beliau memberitahu, kelambatan diagnosis kanser perut merupakan masalah utama yang dihadapi oleh pakar perubatan dalam menangani kes kanser di Malaysia.

Ini disebabkan gejala kanser perut hanya timbul setelah ketumbuhan tersebut di tahap yang kronik dan terlalu lewat.

Bagaimanapun, kanser perut yang dikesan di peringkat awal (early gastric cancer) berpotensi untuk sembuh berbanding kanser perut peringkat lewat.

Untuk itu, Dr. Ramesh turut menasihatkan agar mengamalkan pemakanan yang seimbang dan sihat dalam menentukan tahap kesihatan masing-masing.

''Gaya hidup yang sihat dan amalan melakukan pemeriksaan usus dan perut sekali setahun merupakan langkah pencegahan yang paling efektif bagi mengelakkan nyawa daripada diragut penyakit itu,'' katanya.


Custom Search



rawatan dan sihat tanpa ubat







Info Kesihatan