31 Januari 2014

Cara kawal sakit gout

Memang diakui berpantang itu susah dan hanya orang yang benar-benar teguh semangat mampu melakukannya, apatah lagi untuk jangka masa panjang.

Ini sebabnya pakar perubatan menyarankan kita ‘jaga makan’ dengan mengamalkan pemakanan secara bersederhana, melebihkan sayur-sayuran dan buah-buahan serta minum banyak air kosong.

Nasihat dan panduan ini juga diberi kepada pesakit gout bagi mengelak serangan berulang. Ini kerana pemakanan mengandungi banyak sumber tumbuh-tumbuhan dapat membantu mengurangkan penghasilan asid urik dalam badan dan secara tidak langsung mengurangkan kekerapan mendapat serangan gout.

Gout disebabkan pengumpulan asid urik dalam darah; yang terhasil daripada proses pemecahan makanan. Buah pinggang akan menapis darah dan menyingkirkan asid urik melalui air kencing.

Bagaimanapun bagi pesakit gout, asid urik tidak dapat disingkirkan sepenuhnya dan lama kelamaan paras asid urik dalam darah akan meningkat. Asid urik ini kemudian akan mendap di sendi, terutama pada sendi besar. Biasanya mendapan berlaku pada sendi ibu jari tetapi ia juga boleh berkumpul di sendi lain seperti belakang kaki, buku lali, lutut, pergelangan tangan, siku dan jari.

Asid urik boleh menyebabkan keradangan pada sendi dan ketika inilah serangan gout berlaku. Pesakit akan berasa sakit sehingga tidak boleh menggerakkan sendi terbabit. Malah ada pesakit terpaksa mengambil cuti sakit setiap kali mengalami serangan gout.

Gout adalah satu daripada penyakit sendi dan serangan pertama biasanya berlaku dalam lingkungan umur 40 hingga 50 tahun. Bagaimanapun, gout boleh menyerang semua peringkat umur, termasuk remaja.

Gout juga boleh disebabkan oleh gemuk, tekanan, kerosakan buah pinggang, penghasilan terlalu banyak asid urik, terlalu sedikit penyingkiran asid urik, kesan sampingan ubat diuretik dan akibat penyakit lain seperti tekan darah tinggi serta kebuluran.

Serangan berlaku secara mengejut dan cepat, tidak seperti artritis lain yang menyerang perlahan-lahan. Sendi terbabit terasa sangat sakit sehingga jika ditindih dengan kain nipis pun dirasa boleh menambah kesakitan.

Serangan gout berlaku pada satu sendi dan tanpa rawatan, setiap serangan boleh berlanjutan antara satu hingga dua minggu. Manakala serangan kedua biasanya mengambil masa lama (bulan atau tahun) untuk berlaku dan serangan ini boleh berulang dari semasa ke semasa pada sendi sama.

Dianggarkan 60 peratus pesakit mengalami serangan kedua dalam masa setahun dan 78 peratus mendapat serangan kedua dalam masa dua tahun. Hanya tujuh peratus pesakit tidak mengalami serangan berulang dalam tempoh 10 tahun.

Serangan gout boleh dicetuskan oleh beberapa faktor seperti pengambilan minuman beralkohol berlebihan, terlalu banyak makan terutama makanan yang kaya purin, kecederaan kecil pada sendi, tidak cukup minum air, badan mengalami kekurangan air disebabkan pengambilan sesetengah jenis ubat dan mengamalkan diet melampau.

Jika tidak diberi rawatan, serangan boleh berlaku dengan lebih kerap, lama dan mungkin membabitkan sendi lain. Satu perkara penting yang perlu diketahui ialah, serangan gout yang terlalu kerap boleh merosakkan sendi dan kerosakan ini adalah kekal, tidak boleh dipulihkan dan akan menyebabkan pesakit menjadi cacat.

Untuk mengelak kesakitan dan kecacatan inilah, selain pengambilan ubat, pesakit gout diingatkan berulang kali untuk minum banyak air sekurang-kurangnya dua hingga tiga liter air masak sehari.

Apabila mendengar saranan ini, ramai pesakit gout, terutama yang sudah berumur, berasa kurang senang kerana ia akan membuatkan mereka kerap buang air kecil dan perkara ini dianggap sangat menyusahkan.

Sebenarnya ini antara kaedah kawalan dan pengurusan penyakit gout. Apabila pesakit minum banyak, air kencing akan menjadi cair dan setiap kali mereka berulang ke tandas, sebahagian daripada asid urik dikeluarkan daripada badan.

Antara langkah lain yang perlu dilakukan pesakit ialah:

Kawal makan dengan mengehadkan pengambilan protein daripada sumber haiwan — sesetengah pesakit beranggapan tidak mengapa makan ikut selera kerana ubat gout yang ada sekarang berkesan dan boleh menghilangkan kesakitan akibat keradangan dalam masa beberapa jam. Betul, tetapi kawalan penyakit gout lebih berkesan dengan menjaga pemakanan.

Ini bukan bermakna pesakit perlu berpantang, tetapi mengurangkan pengambilan jenis makanan yang kaya purin kerana ia boleh meningkatkan paras asid urik seperti organ dalaman (otak, hati, buah pinggang, limpa, jantung), daging angsa, ikan bilis, sardin, ikan kembung dan makanan laut bercengkerang.

Kajian menunjukkan diet bebas purin hanya dapat mengurangkan 15 hingga 20 peratus paras asid urik. Jadi anda masih boleh makan makanan kegemaran, tetapi pada kuantiti kecil.

Sebaliknya gantikan dengan sumber protein daripada tumbuh-tumbuhan seperti kacang dan kekacang. Ia juga dapat membantu pesakit mengurangkan pengambilan lemak yang boleh mengakibatkan pertambahan berat badan. Lemak tepu juga dikenal pasti antara penyumbang tidak langsung kepada masalah gout.

Kawal berat badan. Kegemukan boleh menjejaskan keupayaan badan untuk menyingkirkan asid urik. Jika anda mempunyai masalah berat badan berlebihan, mulakan bersenam dan kawal pengambilan makanan supaya berat badan dapat dikurangkan secara perlahan-lahan. Diet keterlaluan dan mendadak boleh menyebabkan serangan gout.

Jika anda minum minuman beralkohol, hadkan kepada segelas wain atau satu tin bir saja sehari. Alkohol boleh meningkatkan paras asid urik dalam darah dan meninggikan risiko mendapat keradangan (serangan gout). Jika anda mengalami serangan, jangan minum minuman beralkohol.

Minum banyak air iaitu sekurang-kurangnya dua liter sehari. Tidak mengapa jika anda terpaksa berulang ke tandas banyak kali kerana ia petanda baik. Semakin kerap anda ke tandas, semakin banyak asid urik dibuang.

Pilih produk tenusu rendah lemak atau bebas lemak. Ada kajian menunjukkan pengambilan produk tenusu rendah lemak dapat membantu mengurangkan risiko gout.

Ambil karbohidrat kompleks — sasarkan untuk makan lebih banyak bijirin, sayur dan buah. Kurangkan makanan mengandungi karbohidrat yang diproses seperti roti putih dan kek.

Hadkan pengambilan gula — terlalu banyak gula akan membuatkan kita kurang makan buah, sayur dan bijirin. Makanan yang banyak gula juga banyak kalori yang akan membuatkan anda lebih senang mengalami pertambahan berat badan.

 Rawat dan sihat tanpa ubat

Baca Lagi...

29 Januari 2014

Amalan gaya hidup sihat cegah NCD

PENYAKIT tidak berjangkit (Non-Communicable Diseases atau NCD) seperti penyakit jantung, diabetes, kanser dan paru-paru kronik adalah pembunuh utama penduduk dunia. 

Mengikut kajian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di peringkat global, seramai 17 juta orang mati akibat penyakit kardiovaskular pada 2005, 7.4 juta lagi mati akibat kanser pada 2004, 220 juta penduduk lagi menghidap diabetes pada 2005, manakala 1.1 juta meninggal dunia akibat penyakit sama. 

Setiap tahun, kira-kira empat juta orang di seluruh dunia mati akibat penyakit paru-paru. 

Malaysia tidak terkecuali. Malah, kajian mendapati penyakit jantung dan strok mencatatkan jumlah tertinggi kadar kematian di hospital kerajaan dan ia juga adalah punca utama kematian pramatang (di bawah 60 tahun) di Malaysia. 
Tahun lalu saja, jumlah kematian akibat NCD di hospital kerajaan di seluruh negara mencecah 47,266 orang. 

Negara turut berada di kedudukan ke enam di Asia Tenggara dengan kadar obesiti dewasa yang tertinggi. 
Menyedari pentingnya kawalan dan pencegahan bagi NCD, Kementerian Kesihatan mengambil langkah proaktif bagi menangani isu berkenaan menerusi Pelan Strategik Kebangsaan untuk Penyakit NCD (National Strategic Plan for NCD atau NSP-NCD). 

NSP-NCD mengguna pakai tujuh strategi utama, iaitu pencegahan dan promosi kesihatan, rawatan klinikal, memperkasakan pesakit, bertindak bersama badan bukan kerajaan, badan profesional dan lain-lain pihak yang berkaitan, pemantauan, penyelidikan dan survelan, bina insan dan intervensi polisi dan peraturan-peraturan. 

Antara rancangan yang sudah dan bakal dilaksanakan (bagi intervensi polisi dan peraturan-peraturan) termasuklah mengukuhkan polisi aktiviti fizikal dan pemakanan dalam perancangan pembangunan di semua agensi dan kementerian, meneruskan pengawalan serta pengurangan kandungan garam dan gula dalam makanan yang diproses dan minuman berbungkus. 

Selain itu, kemudahan awam turut dipertingkatkan bagi mempromosi lebih banyak aktiviti senaman dan fizikal dalam persekitaran selamat misalnya di taman awam, kompleks sukan awam, laluan basikal, joging dan gimnasium awam. 

Meningkatkan liputan sistem pengangkutan awam yang efisien di seluruh negara bagi menggalakkan orang ramai menggunakan kemudahan itu dengan lebih meluas dan merangsang lebih banyak aktiviti fizikal, selain menambah lebih banyak kemudahan pengesanan kesihatan. Cadangan wajibkan saringan kesihatan kepada semua pekerja 40 tahun dan ke atas. 

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata tahun ini saja, kementerian sudah melaksanakan 55 projek pencegahan NCD iaitu 35 projek di dalam komuniti, 11 di sekolah dan sembilan di tempat kerja seluruh negara. 

Selain itu, klinik 1Malaysia turut disediakan di beberapa kawasan bandar (urban) yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi seluruh negara. kini dianggarkan 75 peratus penduduk Malaysia tinggal dalam dalam lingkungan lima kilometer radius dari fasiliti kesihatan KKM. Di kawasan luar bandar (rural), kementerian telah menyediakan klinik bergerak, termasuklah inisiatif terbaru Klinik Bergerak 1Malaysia, dan juga perkhidmatan flying doctor. 

“Pencegahan NCD memerlukan pembabitan semua pihak. Amalan gaya hidup sihat adalah antara kunci utama bagi pencegahan penyakit NCD. 

“Mengikut kajian lebih 80 peratus daripada penyakit jantung, strok, diabetes Jenis 2 dan lebih sepertiga kanser boleh dicegah menerusi amalan gaya hidup sihat dan mengelakkan diri daripada terjebak dalam amalan berisiko seperti merokok, pemakanan yang tidak sihat, gaya hidup yang sedentari (atau tidak aktif) dan pengambilan alkohol,” katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di Putrajaya, baru-baru ini. 

Liow berkata tanpa gaya hidup sihat, rakyat negara kini lebih terdedah kepada penyakit NCD. 

Malah, katanya, di Malaysia, jumlah perokok yang berusia 18 tahun ke atas adalah seramai 2.8 juta orang atau 21.5 peratus pada 2006, kurang aktiviti fizikal seramai 5.5 juta rakyat Malaysia atau 43.7 peratus, berlebihan berat badan sebanyak 29.1 peratus, manakala obesiti sebanyak 14 peratus. 

Kajian juga mendapati wanita mempunyai kadar berlebihan berat badan sebanyak 17.4 peratus berbanding lelaki hanya 10 peratus, manakala golongan suri rumah mempunyai kadar obesiti tertinggi iaitu 20.3 peratus. Kaum India dan Melayu pula mencatatkan kadar obesiti lebih tinggi daripada bangsa lain. 

Penyakit NCD boleh menyebabkan krisis keluarga dan kewangan, kekurangan kualiti kehidupan, kerugian dalam produktiviti dan meningkatkan bebanan negara. 

 Rawat dan sihat tanpa ubat

Baca Lagi...

28 Januari 2014

Gaya hidup sihat cegah penyakit

Jika kita lihat gaya hidup masyarakat dahulu dan sekarang sangat berbeza. Dulu, masyarakat tidak makan makanan segera sebaliknya, makan sayur-sayuran yang ditanam sendiri.

Pada hari ini kita banyak menyambut majlis perayaan dengan hidangan pelbagai makanan. Ini menyebabkan kita banyak makan tetapi kurang menggunakan fizikal untuk mengeluarkan peluh.

Tambah beliau, cadangan makan sehingga 80 peratus kenyang menggalakkan kita merancang makanan. Jadi, kita akan makan apa yang perlu sahaja.

Bahaya makan lewat malamSelain itu, orang ramai turut digalakkan makan sebelum pukul lapan malam.

"Seperti yang kita tahu, ada segelintir masyarakat yang enam kali makan sehari iaitu sarapan, minum pagi, tengahari, minum petang, makan malam dan lewat malam.

Amalan makan tengah malam adalah bahaya.

Ini kerana budaya makan lewat malam sudah menjadi satu perkara biasa bagi mereka yang bergelar warga kota. Mana tidaknya, mereka gemar mengunjungi premis-premis restoran atau gerai yang dibuka 24 jam setiap hari," ujarnya.

Beliau menambah, ramai antara mereka tidak sedar risiko kesihatan jangka panjang yang mereka boleh hadapi secara beransur-ansur akibat pembawaan budaya ini.

Sekiranya mereka melakukan aktiviti berat seperti bersukan tiada salahnya mengambil makanan berlebihan di waktu malam.

Bagaimanapun, ia menjadi masalah yang besar kepada individu yang tidak melakukan apa-apa aktiviti di waktu malam kerana akan terdedah kepada masalah kegemukan.

"Protein dan karbohidrat adalah nutrien yang amat diperlukan oleh badan tetapi sekiranya berlebihan ia menjadi punca penyakit yang berkait dengan kolestrol.

Ditambah pula kadar metabolisme yang rendah pada badan di waktu malam , kalori yang tidak digunakan akan bertukar menjadi lemak dalam badan," ujarnya.

Sekiranya makan lewat dari pukul 8 malam ke atas, kemungkinan badan kita gagal membakar kalori yang diproses daripada makanan yang dicernakan.

Ini kerana pergerakan aktiviti malam yang terhad dan bertambah teruk sekiranya tidur terus selepas makan kerana lemak yang tidak dibakar kepada bentuk tenaga akan terkumpul di dalam badan.

Dr. Abu menjelaskan, lama-kelamaan aktiviti ini akan menjadi masalah perut buncit dan gemuk sebelum ia berubah menjadi kepada obesiti untuk tahap yang lebih serius.

Beliau menasihatkan pengambilan makanan yang terbaik ialah makan sebelum pukul lapan malam

Minum air dan cukup tidur Selain makanan, air juga penting untuk tubuh badan.

"Kita disarankan mengambil lapan gelas bersamaan dua liter sehari. Jika kita kurang minum air, badan akan menjadi kering. Ia juga menyebabkan kencing menjadi pekat dan memberi kesan pada buah pinggang atau penyakit lain seperti batu karang," ujarnya.

Menurut Dr. Abu, tidur juga penting kerana ia merupakan masa rehat yang terbaik.

Namun, kebanyakan daripada kita pada hari ini tidur lewat iaitu selepas 12 tengah malam.

Akibatnya, kita hanya tidur empat hingga lima jam sahaja.

Nasihatnya, golongan dewasa perlu tidur selama tujuh hingga lapan jam sehari.

"Sebab itulah, kita dinasihatkan makan awal supaya kita boleh tidur dua jam selepas itu. Pukul 10 malam adalah waktu yang terbaik untuk tidur dan kita boleh bangun seawal enam pagi.

Bangun pada waktu pagi baik untuk kecergasan dan kesegaran badan," katanya.

SenamanSelain tidur, kita juga digalakkan melakukan senaman.

Dr. Abu tidak menafikan kebanyakan orang pada hari ini sukar melakukan senaman seperti berjoging atau ke gim.

Jadi, dengan berjalan sekurang-kurangnya 8000 langkah sehari, kita dapat membakar kalori.

"Masalahnya, ramai yang sering membeli alasan apabila hendak berjalan kaki ke sesuatu tempat seperti panas dan penat.

Bukan itu sahaja, anak-anak di rumah tidak banyak melakukan pergerakan fizikal kerana mereka tertumpu pada permainan video atau gajet. Tanpa melakukan senaman, badan menjadi lesu dan boleh menggalakkan obesiti," ujarnya.

Justeru, kita digalakkan berjalan seperti menaiki tangga yang boleh kita lakukan di pejabat dan lupakan fungsi lif untuk sementara waktu.

Selain itu, Dr. Abu berharap, orang ramai mengamalkan gaya hidup sihat lain seperti berhenti merokok.

rawatan dan sihat tanpa ubat
Baca Lagi...

27 Januari 2014

Tiroid jadi masalah

Apabila menyebut penyakit tiroid, kita tentu akan terbayangkan bahagian leher yang membengkak dengan tubuh yang kurus dan mata terjojol seperti mata ikan.

Pakar Runding Pembedahan Am Pusat Perubatan Taman Desa, Kuala Lumpur, Dr. Nanda Kumar Rajendram berkata, mereka yang menghidap penyakit berkaitan dengan tiroid biasanya cepat marah, panas baran dan tidak fokus.

"Kelenjar tiroid secara anatominya terbahagi kepada dua seakan-akan rama-rama dan terletak di bahagian hadapan leher dan menjaga beberapa fungsi utama badan," katanya.

Menurut Dr. Nanda, kelenjar tiroid mengeluarkan dua jenis hormon iaitu tiroksin atau T4 dan triiodotiroksin atau T3.

MengawalKedua-dua hormon berkenaan mengawal kadar perjalanan kebanyakan fungsi badan yang dipanggil metabolisma.

"Apabila hormon berkenaan meningkat, metabolisma badan juga meningkat dan begitulah sebaliknya akan berlaku jika hormon terbabit dikurangkan.

"Metabolisma yang tinggi menyebabkan pesakit berasa panas, cepat marah dan kurang fokus manakala jika metabolisma rendah, pesakit kurang bermaya sehingga berat badan meningkat," katanya.

Justeru kelenjar tiroid dengan hormon T3 dan T4 membantu fungsi badan pada kadar yang selamat dan berkesan.

Dr. Nanda berkata, kawalan kelenjar ini dilakukan oleh kelenjar pituitari pada otak, melalui hormon perangsang tiroid.

Apabila hormon tiroid terlalu banyak, penyakit hipertiroidisma berlaku dan sekiranya hormonnya sedikit, pesakit menghidapi hipotiroidisma.

Menurut Dr. Nanda, penyakit tiroid boleh mempengaruhi hampir kesemua bahagian badan dan ketidakseimbangannya membahayakan kesihatan.

"Sebenarnya penyakit tiroid lebih kerap berlaku dalam kalangan wanita berbanding lelaki.

"Penyakit ini juga boleh berlaku semasa dan selepas kehamilan. Rawatan untuk penyakit ini bagaimanapun selamat serta mudah," katanya.

Menurut Dr. Nanda, terdapat ujian, pemeriksaan dan rungutan pesakit atau orang sekeliling yang boleh digunakan untuk mendiagnosis penyakit tiroid.

"Selain itu pesakit juga mungkin akan menghidap penyakit-penyakit lain susulan daripada perjalanan fungsi kelenjar tiroid yang tidak teratur.

"Leher perlu diperhatikan kerana kelenjar tiroid akan bergerak dengan tindakan menelan. Jika dipegang, boleh dirasai bentuk kelenjar dan juga pergerakannya dengan menelan," katanya.

DiperiksaKulit dan mata juga boleh diperiksa di samping suhu badan serta berat badan boleh diamati untuk memastikan masalah kelenjar tiroid.

Penyakit hipotiroidisma berlaku apabila kelenjar tiroid tidak berfungsi secara optimum sehinggakan hormon-hormon tidak dikeluarkan secukupnya.

Selain itu, ubat yang dimakan untuk merawat fungsi tiroid yang berlebihan juga boleh menyebabkan penyakit hipotiroidisma.

Biasanya, jelas Dr. Nanda, penyakit hipotiroidisma disebabkan oleh radangan pada kelenjar tiroid, dipanggil tiroiditis.

Penyakit berkenaan juga dikenali sebagai penyakit Hashimoto iaitu sejenis penyakit autoimun merangsang pertahanan badan supaya mengeluarkan antibodi terhadap kelenjar tiroid.

Akibatnya, otak mengeluarkan isyarat melalui hormon perangsang tiroid supaya kelenjar tiroid bekerja dengan lebih kuat.

Akhirnya, kelenjar tiroid membesar dan dipanggil sebagai benguk. Lama-kelamaan, kelenjar tiroid tidak lagi dapat mengeluarkan hormon yang diperlukan oleh badan.

"Ujian paras darah hormon tiroid akan dilakukan untuk mengesahkan yang anda sememangnya menghidapi hipotiroidisma.

"Sekiranya paras hormon adalah normal, mungkin pesakit mempunyai penyakit lain dan ujian lanjutan mungkin diperlukan," katanya.

rawatan dan sihat tanpa ubat
Baca Lagi...

Rawatan buasir

Masalah buasir pada golongan dewasa adalah perkara biasa, namun tidak ramai yang sanggup bercerita mengenai masalah pembuangan air besar dialami disebabkan ia berkaitan dengan bahagian sulit.

Bagaimanapun, apabila ada antara rakan yang sudah menjalankan rawatan ataupun pembedahan untuk menanganinya barulah ada yang berani membuka mulut dan mengakui mereka juga turut mengalaminya.

Masalah ini sudah berlaku sejak dulu lagi, tetapi kini ia makin kerap diperkatakan disebabkan perubahan gaya hidup. 

Menurut Perunding Pakar Bedah Laparoskopik dan Kolorektum, Pusat Perubatan Prince Court (PCMC), Datuk Dr Yunus Gul Alif Gul, masalah buasir yang berlaku di peringkat awal tidak menyebabkan rasa sakit.

Namun, lebihan buasir yang terkeluar dari dubur akan dapat dirasai ketika individu berkenaan membersihkan dubur.

“Biasanya individu yang ada masalah buasir akan mengalami gejala pendarahan, tetapi ada juga yang tidak berhadapan dengan sebarang masalah. 

“Sekiranya pendarahan dialami berlarutan, dapatkan rawatan awal bagi mengesan masalah sebenar untuk mengelakkan mudarat pada kemudian hari nanti,” katanya.

Apa itu buasir?

Buasir atau hemoroid adalah pembengkakan pada salur darah vena yang terletak di bahagian rektum dan dubur. Apabila vena ini membonjol keluar ia meng­ganggu dan menyebabkan membran di sekitarnya membengkak, terasa sakit, perit, gatal dan berdarah. 

Buasir terjadi disebab­kan tekanan dalam darah di bahagian rektum terlalu tinggi, menyebabkan dinding vena meregang atau ‘memberi’ dan membonjol. Kadangkala ia boleh pecah, terutamanya ketika meneran apabila membuang air besar.

Kewujudan tisu buasir adalah satu komponen normal dalam anatomi badan manusia. Ia bertindak sebagai ‘kusyen’ yang kaya dengan saluran darah di dubur dan menjadi ‘pelapik termampat’ untuk membenarkan dubur tertutup de­ngan ketat.

Dr Yunus berkata, apabila seseorang mengalami sembelit dan cuba meneran najis yang keras di dalam kolon dengan kuat ketika membuang air besar, struktur terbabit akan membengkak.

Kemudian, ia menjadi kurang memberi dan akhirnya terjulur keluar daripada dubur bersama darah yang berwarna merah cerah yang menitis, tersembur atau meninggalkan kesan apabila dikesat dengan tisu tandas.

Walaupun pendarahan dan sembelit dilihat sebagai gejala utama buasir, namun pendarahan yang berlaku daripada dubur tidak semestinya disebabkan buasir, tetapi boleh menjadi petunjuk kepada pe­nyakit lain yang lebih serius seperti kanser kolorektal.

“Penting bagi individu berkenaan menjalani pemeriksaan di peringkat awal bagi menge­sahkan penyakit dialami dan menjalani rawatan sewajarnya.

“Tetapi biasanya pesakit lambat mendapatkan rawatan dan hanya datang berjumpa doktor selepas masalah mereka menjadi teruk,” kata­nya.

Menurutnya, antara penyebab lazim buasir ialah tidak cukup minum air dan pengambilan makanan yang kurang serat.

Selain itu, terlalu kerap mengangkat barangan berat juga menyebabkan individu berkenaan berisiko tinggi untuk mengalami buasir kerana tekanan dialami di bahagian dubur apabila melakukannya amat tinggi.

“Amalan duduk terlalu lama ketika membuang air besar juga tidak digalakkan dan kebiasaannya individu berkenaan berkemungkinan me­ngalami masalah buasir tahap tiga atau empat untuk jangka masa lama tanpa sebarang rawatan khusus.

“Jangan tahan atau bertang­guh-tangguh untuk buang air besar. Apabila ‘keinginan’ itu datang, segeralah menyahut ‘panggilan’ itu,” katanya.

Ada empat peringkat buasir yang perlu diberi perhatian:

Peringkat pertama membabitkan buasir yang mengalami pendarahan, tetapi ia tidak menonjol keluar.

Peringkat kedua berlaku apabila buasir menonjol keluar ketika buang air besar, tetapi masuk kembali dengan sendirinya.

Peringkat ketiga buasir keluar ketika atau selepas buang air besar dan hanya hilang (masuk kembali) apabila ditekan atau ditolak dari luar.

Peringkat keempat (kronik) apabila buasir sentiasa berada di luar hingga menyebabkan ketidakselesaan untuk melakukan aktiviti harian.

“Untuk peringkat paling kronik mungkin pembedahan adalah pilihan terbaik, tetapi kini ada banyak cara boleh dilakukan untuk mengurangkan kesakitan ketika ‘menghilangkan’ buasir serta mempercepatkan penyembuhan.

“Buasir mengambil masa yang lama untuk berkembang namun, gejalanya berbeza bergantung kepada peringkat ia berlaku,” katanya.

Punca

Sembelit dan meneran berlebihan ketika buang air.

Pekerjaan yang membabitkan keadaan duduk atau berdiri dalam masa yang lama.

Obesiti, kehamilan dan proses melahirkan anak.

Masalah ini juga berlaku disebabkan faktor gaya hidup atau tabiat pemakanan yang meningkatkan kecenderungan untuk mendapat buasir.

Namun, ia boleh dicegah dan gejalanya dapat dikawal jika diurus pada peringkat awal. Walaupun sudah mendapat rawatan, individu berkenaan perlu mengubah gaya hidup untuk mengelakkan masalah berulang.

Rawatan

Antara proses rawatan yang boleh dilakukan ialah:

Untuk peringkat awal pemberian ubat melembutkan najis menjadi pilihan.

Lingkaran getah (rubber band ligation) bagi peringkat ketiga dan keempat - Bagi buasir yang tidak dapat disembuhkan dengan rawatan konservatif, rawatan standard boleh dijalankan iaitu mengikat de­ngan lingkaran getah (rubber band ligation). 

Satu atau dua lingkaran getah diikat di sekeliling pangkal buasir. Ini akan menyekat peredaran darah ke buasir berkenaan. Ikatan lingkaran getah ini hanya digunakan untuk buasir dalaman saja. Ia dilakukan tanpa menggunakan ubat bius dan tidak menimbulkan kesakitan. 

Ligasi Arteri Hemoroid (Haemorrhoidal Artery Ligation) - Kaedah ini menggunakan alat yang dikenali sebagai ultrabunyi Doppler bagi mengikat atau jahit saluran darah untuk mengurangkan tekanan pada bahagian berkenaan. Alat ini akan dimasukkan ke dalam dubur dan prosesnya membabitkan bahagian dalam anus yang kurang sensitif.

Menggunakan laser - Jarum laser akan dimasukkan dalam buasir yang terkeluar dan proses ini menyebab­kannya mengecut. Buasir mengambil masa dua hingga empat minggu untuk kecut sepenuhnya.

Panduan mengelak buasir.

Minum air sekurang-kurangnya 1.5 hingga dua liter sehari.

Kurangkan pengambilan daging merah kerana boleh menyebabkan sembelit.

Makan makanan seimbang dengan mengambil makanan yang tinggi serat, bijirin, buah-buahan dan sayur-sayuran.

Kurangkan menikmati makanan segera. Jika makan di luar rumah pilih makanan yang mengandungi serat tinggi dan segar.

Elakkan memakan makanan yang boleh me­nyebabkan gangguan pada proses pembuangan air seperti makanan pedas atau berempah.

Apabila terdapat gejala tertentu seperti darah dalam najis, sakit atau gangguan pada dubur segeralah berjumpa doktor dan jangan tunggu hingga ia melarat.

rawatan dan sihat tanpa ubat
Baca Lagi...

Awas selesema seminggu

BATUK dan selesema adalah penyakit lumrah di kalangan kanak-kanak. Setiap kanak-kanak pasti mengalami batuk dan selesema.
Malah, ibu bapa sering menerima komen seperti “biasalah budak-budak” apabila mengeluh mengenai anak mereka yang mengalami gejala ini. Bilakah batuk selesema dianggap biasa dan bilakah perlu dirisaukan? 
Batuk dan selesema sering disebabkan jangkitan virus. Ini mudah berlaku kerana daya ketahanan kanak-kanak tidak sekuat orang dewasa, terutama bayi. 

Insiden batuk dan selesema juga lebih kerap berlaku jika anak dihantar ke tadika atau rumah pengasuh, di mana anak terdedah kepada ramai kanak-kanak lain.
Begitu juga anak yang mempunyai abang atau kakak yang bersekolah, di mana si kecil akan kerap dijangkiti kuman yang dibawa pulang oleh abang atau kakak daripada sekolah.
Bagaimanapun, berlaku juga kes batuk dan selesema berlarutan hingga berminggu-minggu atau menjadi lebih teruk. Dalam kes sebegini, rawatan perlu ditingkatkan dan punca batuk dan selesema perlu dikenal pasti. 

Batuk dan selesema yang sering dijangkiti kanak-kanak biasanya tidak melarat hingga lebih seminggu. Pada peringkat awal, kanak-kanak mungkin demam sedikit tapi ia akan berkurangan dan batuk juga akan reda. Nafas biasanya tidak kencang dan kanak-kanak biasanya aktif seperti biasa. 

Punca lain termasuk jangkitan paru-paru (pneumonia), alahan seperti allergic rhinitis (resdung) dan asma. 

Tanda yang anak mungkin mengalami jangkitan paru-paru ialah: 
  • demam (suhu tinggi) 
  • nafas laju 
  • dada berombak 
  • apabila anak bernafas, ada lekuk di antara tulang rusuk 
  • hidung mungkin kembang kuncup 

    Pneumonia dapat dikenal pasti melalui pemeriksaan doktor dan juga menerusi sinaran-X. Jika doktor mengesyaki anak menghidap pneumonia, antibiotik akan diberi bersama ubat demam. Jika ada bunyi berdehit, rawatan spesifik akan diberi. 

    Kebanyakan kes pneumonia sembuh tanpa komplikasi. Bagaimanapun, ada beberapa kes dengan komplikasi seperti cecair atau nanah di dalam paru-paru berlaku. 

    Dalam kes sebegini, pembedahan mungkin diperlukan untuk memasukkan tiub bagi mengeluarkan cecair atau nanah. Komplikasi sebegini lebih kerap berlaku dengan jangkitan kuman seperti pneumokokkus dan staphylokokkus. 

    Alahan dan asma 

    Batuk dan selesema mungkin disebabkan alahan yang juga boleh menyebabkan asma. Biasanya punca gejala dalam kes sebegini ialah habuk, asap terutama asap rokok, debunga dan bulu haiwan seperti kucing, arnab dan anjing. 

    Julat gejala apabila terdedah kepada alergen (bahan yang menyebabkan alahan) agak luas, daripada bersin setiap pagi (sering dikenali sebagai resdung) kepada berdehit. Di samping itu, mungkin juga ada tanda lain seperti ekzema pada kulit. 

    Allergic rhinitis 

    Kanak-kanak yang mengalami masalah ini sering selesema pada waktu pagi dan ‘sembuh’ apabila tengah hari. Mereka menjadi sihat dan aktif seperti biasa. Kadangkala hidung berasa tersumbat dan apabila diperiksa, didapati sama ada banyak hingus di dalam rongga hidung atau tisu dikenali sebagai ‘inferior turbinate’ bengkak. 

    Rawatan untuk allergic rhinitis ialah menggunakan semburan hidung untuk membersihkan rongga hidung serta semburan mengandungi ubat untuk mengurangkan bengkak pada ‘inferior turbinate’. Di samping itu, ubat ‘antihistamine’ juga mungkin diberikan. Adalah penting untuk mengenal pasti dan mengelak punca alahan. 

    Secara amnya, punca alahan membabitkan: 

  • asap, terutama asap rokok 
  • habuk, termasuk yang terperangkap pada mainan berbulu dan permaidani 
  • bulu haiwan peliharaan 
  • debunga 
  • wangian 

    Asma 

    Asma ialah tindak balas paru-paru terhadap alahan iaitu saluran pernafasan (bronkus) menjadi sempit akibat pendedahan kepada alahan. 

    Ini menyebabkan pesakit mengalami batuk serta kesukaran bernafas. Tidak semua kanak-kanak yang mempunyai asma mengalami berdehit. 

    Tanda asma termasuk: 

  • batuk pada waktu malam dan awal pagi 
  • batuk atau berdehit selepas bermain 
  • nafas laju dan dada berombak 
  • lekuk di antara tulang rusuk dan di leher ketika bernafas 
  • kedengaran bunyi nada tinggi ketika bernafas. Ini dikenali sebagai berdehit 

    Jika anak mengalami serangan asma, doktor akan memberi ubat dalam bentuk nebuliser di klinik. Ini akan disusuli dengan ubat sama dalam bentuk ‘inhaler’ atau ubat air. 

    Rawatan pencegah dalam bentuk inhaler diberi kepada kanak-kanak yang mengalami batuk malam lebih tiga malam seminggu, yang mengalami serangan asma kerap atau serius. 

    Ubat ini perlu digunakan setiap hari walaupun anak sihat untuk mengelak terkena serangan. Di samping menggunakan ubat, doktor akan menasihati supaya menghindari punca alahan. 

    Alahan dan asma ialah masalah keturunan. Oleh itu, jika ibu bapa mengalami masalah ini, kemungkinan besar anak juga mengalami masalah sama. Ia tidak boleh disembuhkan. 

    Tujuan rawatan ialah menghindari serangan supaya anak aktif seperti biasa dan dapat mengambil bahagian dalam aktiviti di sekolah. 

    Biasanya kekerapan serangan berkurangan apabila kanak-kanak membesar. Bagaimanapun, perlu diingatkan, serangan asma boleh menjadi serius dan dalam kes tertentu, boleh membawa maut. Oleh itu, pemantauan rapi dan penggunaan ubat dengan betul adalah penting.
    1.  Rawat dan sihat tanpa ubat

    Baca Lagi...

    12 Januari 2014

    Halitosis - Mulut Berbau

    By 07:29
    PERNAHKAH anda mengalami mana-mana situasi yang berikut?

    *Mulut yang berbau memberi kesan pada kehidupan sosial dan profesional anda

    *Anda selalu mempunyai rasa kurang sedap dalam mulut sendiri

    *Orang akan selalunya melangkah ke belakang apabila bercakap dengan anda atau mengelak daripada berkomunikasi langsung dengan anda

    *Seseorang pernah memberi komen tentang mulut anda yang berbau dan telah mempelawa atau memberi anda gula-gula pudina

    *Anda mengalami satu lapisan putih atau kuning di lidah anda

    Jikalau jawapan anda ya, anda mungkin sedang mengalami masalah mulut berbau atau lebih dikenali sebagai halitosis.

    Punca Mulut Berbau

    Mulut berbau disebabkan oleh beberapa faktor. Bau kurang menyenangkan itu boleh datang dari masa ke semasa atau untuk jangka masa yang panjang, bergantung kepada puncanya.

    Berjuta-juta bakteria hidup di dalam mulut, terutamanya di belakang lidah.

    Bagi kebanyakan orang, bakteria itu adalah punca utama mulut berbau.

    Keadaan mulut kita yang suam dan lembap menjadikan ia tempat yang ideal bagi pertumbuhan bakteria.

    Kebanyakan masalah mulut berbau disebabkan oleh sesuatu di dalam mulut.

    Mulut berbau boleh disebabkan oleh faktor-faktor berikut:

    *Penjagaan kebersihan mulut yang lemah - Jarang memberus gigi dan tidak memberus gigi dengan betul akan mengakibatkan sisa-sisa makanan mereput di dalam mulut.

    *Jangkitan di dalam mulut - Periodontal (masalah gusi)

    *Jangkitan saluran respirasi - Tekak, resdung atau masalah paru-paru

    *Agen luaran - Bawang putih, bawang, kopi, merokok dan mengunyah tembakau

    *Mulut kering (xerostomia) - Disebabkan oleh masalah penghasilan air liur yang tidak betul, pengambilan ubat tertentu atau 'pernafasan mulut'

    *Penyakit sistemik (keseluruhan badan) -l Kencing manis, penyakit hati, penyakit buah pinggang, penyakit paru-paru, resdung, penyakit 'refluks' dan lain-lain.

    Mencegah mulut berbau

    Mulut berbau yang disebabkan oleh masalah dental boleh dicegah dengan mudah melalui penjagaan di rumah dan secara profesional.

    Ini bermakna:

    *Memberus gigi anda selepas setiap kali makan dengan menggunakan ubat gigi berfluorida untuk menanggalkan sisa makanan dan plak.

    *Memberus lidah anda juga, sebaik-baiknya menggunakan berus gigi yang mengandungi pembersih lidah.

    *Menggunakan flos gigi atau alat untuk mencuci ruangan di celah gigi sekali setiap hari.

    *Menggunakan cecair pencuci mulut bagi memastikan mulut anda sentiasa rasa bersih dan nafas anda segar setiap masa.

    *Kerap mengunjungi doktor gigi (sekurang-kurangnya dua kali setahun) untuk membuat pemeriksaan dan pembersihan gigi.

    Jika anda rasa mulut sentiasa berbau, catatkan makanan yang anda makan dan senaraikan jenis ubatan yang anda ambil.

    Sesetengah ubat mungkin boleh jadi punca mulut berbau.

    Maklumkan kepada doktor gigi anda jika anda telah melakukan sebarang pembedahan atau mendapat penyakit sejak temu janji anda yang terakhir.

    Anda juga boleh mencegah mulut berbau dengan minum lebih banyak air setiap hari untuk menolong badan menghasilkan air liur.

    Setiap tegukan air melalui mulut sedikit sebanyak boleh melonggarkan serpihan makanan dalam mulut.

    Produk-produk lain yang boleh membantu menyegarkan mulut dan mencegah pembentukkan plak adalah termasuk:

    *Gula-gula tanpa gula

    *Gula-gula pudina tanpa gula

    *Lobak mentah

    *Salari
    Baca Lagi...